Home Novel Cinta CINTA HILANG ARAH
CINTA HILANG ARAH
Noreey
1/12/2015 22:56:14
1,848
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 28

BAB 28

MAZLIN TERUS BERTEKA –TEKI sendiri. Semenjak perisitiwa di Ekspo Kesenian dulu, banyak sudah sikap Karmilla yang tidak berapa disenangi mencuit hatinya. Dia mula bertanya pada dirinya, siapa dia dan Karmilla sekarang? Persahabatan mereka terasa semakin jauh dan renggang.

Jarang sudah suara Karmilla menyinggahi telefon bimbitnya. Dia yang sibuk bekerja di restoran makanan segera juga seperti sudah tiada masa untuk menghubungi Karmilla. Masa-masa terluangnya pula banyak dihabiskan berbual dengan tunangnya.

Jauh di sudut hatinya dapat merasa, sahabat karibnya yang sudah pun bergelar pelajar kolej itu seperti banyak menyimpan rahsia dengannya. Peristiwa ketika menyaksik pertunjukkan Tattoo angkatan tentera di Pusasda, (Pusat Latihan Angkatan Tentera Darat) pada suatu malam, menguatkan lagi tanggapannya.

Namun dia hanya berdiam, belum masanya untuk dia bersuara dan bertanya tentang apa yang disaksikannya itu. Terus juga dipendamkannya, hingga selepas mereka berempat pulang dari Pusat perkelahan Ulu Bendul pada satu hujung minggu. Masih jelas pertengkaran kecil itu di ingatan Mazlin.

“Aku tak sangka kau macam ni Milla!” luah Mazlin Ketika itu mereka berhenti di sebuah hentian rehat.

“Macam ni macam mana tu? Aku tak faham!”

“Kau bukan seperti yang aku kenal dulu.”

“Eh, kau nak cakap topik apa sebenarnya ni?”

“Aku tengok kau dengan Raish mesra semacam je?” Soal Mazlin tanpa berselindung lagi. Dia mula ragu kiranya benar perasaan temannya sudah beralih arah.

“Semacam macam mana pulak? Aku biasa-biasa je...”

“Sebenarnya dah lama aku perhatikan, kau macam ada hubungan lain je dengan pelukis tu?”

“Oohhh... jadinya selama kita berempat keluar makan, kau jadi ‘ mata-mata'lah pulak?” Karmilla sudah mula naik angin. Mazlin terdiam, wajah masing-masing sudah mencuka.

“Hemmm... aku pun perhati jugak, ada orang tu asyik berkepit dengan tunang hingga tak ingat dunia, tak ingat kawan di sisi!” balas Karmilla geram.

“Huh... kau dengki?”

“Heee... tak ada untunglah aku nak dengki kat kawan sendiri!”

“Kau tak jawab pun soalan aku tadi?”

“Eh, mana ada... aku dengan dia bukan ada apa-apa pun!”

“Tapi aku tengok, kau kalau berbual dengan dia dah macam kekasih, terlebih gedik!”

“Heh... jaga sikit mulut kau!”

“Haziq tunggu kau siang malam, jangan buat-buat lupa!”

“Kau jangan nak masuk campur urusan peribadi aku!”

“Milla?!”

“Aku tak ‘sign’ surat sumpah nak sehidup semati dengan dia... dasar buaya darat!” Tukas Karmilla, keras. Mazlin terdiam, terasa mukanya merah padam saat itu.  Waktu itu juga, Irsyad dan Raish yang menghilang ke tandas awam muncul kembali. Kedua lelaki itu tetap mesra seperti biasa.

Bukan semudah itu untuk Mazlin mempercayai kata-kata temannya itu. Dia juga tidak boleh menerima hakikat andai benar telahannya yang hubungan Karmilla dan Haziq sedang menuju kehancuran. Dia inginkan hubungan Karmilla dengan Haziq mesra bagai dulu. Dia sayangkan Haziq, dia juga sayangkan Karmilla. Dia tidak mahu melihat hubungan antara keduanya berkecai di tengah jalan.

....

Segala yang terjadi bagaikan perkasihan mimpi yang indah. Sepasang mata jernih itu terkebil-kebil saat malam sudah sepi. Teman sebilik di katil sebelah sudah lama diulit mimpi. Cuma dia yang resah sendiri sejak tiba di kolej petang tadi. Kuliah yang akan bermula seawal jam 8 pagi esok membuatkan mereka dengan awal memadam lampu bilik.

Benaknya masih terimbas pertengkaran dengan teman karibnya, Mazlin. Dapat dia rasakan, sejak Mazlin bertunang mereka sudah tidak banyak masa untuk berbual. Mazlin jarang sudah menghubunginya ketika dia di kolej.

Mereka cuma bertemu di hujung minggu ketika dia pulang bercuti. Biarpun begitu, perkenalannya dengan pelukis kacak berkulit hitam manis dan berjambang itu seperti menyelamat keadaan.

Siapa sangka, pelukis berkumis dan berjambang nipis yang mereka lihat di Ekspo Kesenian dulu rupanya sahabat karib tunang Mazlin. Pada hari peristiwa itu juga baru Mazlin membuka mulut padanya, yang tunangnya itu sebenarnya berasal dari pantai timur. Gadis pekerja restoran itu juga seperti tidak berminat untuk menceritakan perihal Irsyad tunangnya. Irsyad pula sejak bertemu sahabat karibnya Raish, selalu mengatur pertemuan antara mereka berempat setiap kali dia pulang bercuti. Dia pula seperti orang mengantuk yang disorongkan bantal, bila Mazlin pula mempelawanya untuk bersama mereka.

Mungkinkah Irsyad sudah mengetahui akan pertemuan antara dia dengan Raish dulu? Jika Irsyad sudah tahu, semestinya Mazlin juga mesti sudah tahu akan hal itu.

Perkenalan dengan Raish secara kebetulan sebelum itu, sememangnya telah pun membuahkan kemesraan antara mereka tanpa diketahui orang lain. Sudah beberapa kali pula dia bertemu Raish tanpa pengetahuan Mazlin.

Perancangan Irsyad yang mengajak mereka bertiga ke Pusat Rekreasi Ulu Bendul pada satu hari minggu, juga membuatkan kemesaraan mereka semakin menjadi-jadi.

Mata dipejamkan, selimut ditarik sehingga menutupi kepalanya. Beberapa minit selepas itu dia berkalih, mengiring ke kanan. Ada sesuatu sedang merantai perasaannya.

Wajah Haziq, sesekali mencelah kenangannya. Pemuda itu yang dikenali setelah beberapa bulan berpindah ke sini dulu, benar-benar mengundang kemelut di dalam hatinya.

Dia mengakui di hatinya dulu sudah bercambah rasa sayang pada pemuda itu, setelah beberapa kali Haziq menulis surat dan meluahkan isihatinya. Tetapi sejak pemuda itu menabur duka di depan matanya, rasa hatinya mula tercalar.

Seingatnya, perasaannya yang menggilai Haziq dulu tidaklah seteruk ini. Sudah benar-benar jatuh cintakah dia sekarang? Karmilla sungguh keliru. Setiap masa dia jadi rindu untuk segera pulang dan bertemu lagi dengaan pelukis tampan itu. Dia ingin duduk-duduk di tepian pantai bersama lelaki itu seperti mana yang pernah dia lalui beberapa minggu lepas.

Sekarang baru dia terfikir, pertengkarannya dengan Mazlin berpunca dari dirinya. Dia mula rasa bersalah kerana merahsiakan semuanya dari Mazlin. Baru dia sedar tidak sepatut dia merahsiakan hubungannya dengan Raish. Mungkinkah Mazlin berjauh hati dengannya kerana mengetahui tentang itu dari mulut orang lain? Dia berjanji sendiri mencari masa sesuai, pulang dan berdamai semula dengan Mazlin.

Hanya gadis itulah satu-satunya sahabat karibnya sejak dia di sini. Segala suka duka dalam hidupnya selalu dikongsi dengan Mazlin, dan Mazlin tidak pernah keberatan mendengar segala ceritanya. Akhirnya mata itu terlelap jua berteman rindu yang sarat. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.