Home Novel Cinta Osaka, with Love (Sudah Terbit)
Osaka, with Love (Sudah Terbit)
Meja Editor
23/4/2025 09:13:23
105
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

FAEEQ tidak puas hati apabila kelibat Umairah masih tiada di tempatnya. Bermula dengan mata pelajaran pertama, Bahasa Melayu diikuti mata pelajaran Fizik, kepalanya hanya tertancap pada pintu utama Kelas 5 Gamma. Manalah tahu kalau-kalau kelibat Umairah kelihatan tiba-tiba.

Dia sudah berjanji, kalau Umairah hadir ke sekolah sekejap lagi, dia akan bangun dan bertepuk tangan. Dia mahu mengajak Lan, Apek dan Bob sama-sama buat standing ovation untuk Umairah.

Cikgu marah? Ah, itu hal kedua! Yang penting, Umairah mempamerkan reaksi marah. Marah cikgu tak seberapa berbanding marah Umairah yang comel dan memikat hati. Dia sanggup jawab sepuluh soalan Fizik di papan putih asalkan dapat menyakitkan hati Umairah.

"Psst..." Terdengar siulan halus dari belakang.

Faeeq lantas berpaling tetapi cuak melihat segumpal kertas dibaling ke arahnya tak disangka-sangka. 

Mujurlah dia sempat menyambut gumpalan kertas itu. Kurang asam punya Bob! Sempat dia tunjuk penumbuk ke arah Bob sebelum rakannya yang duduk di barisan belakang itu ketawa mengekek. Tentu Bob ketawakan riaknya yang terkejut tadi. Namun, Faeeq buat tidak tahu sebaliknya sibuk melihat kandungan gumpalan kertas itu.

"Mana buah hati hang?"

Usai membaca nota itu, dia berpaling mencari respons Bob. Apabila mata mereka bertentangan, Faeeq lantas mencebik. Bob mengangguk-angguk kemudian sibuk menyambung kerjanya. 

Faeeq pula seperti kucing kehilangan anak. Gelisahnya tertangkap dek mata Cikgu Nora. Dia senyum sebelum memanggil nama Faeeq kuat-kuat.

"Apa, cikgu?" tanya Faeeq selamba.

Dia tidak resah, malah sedikit pun tidak gentar bila bertentangan mata dengan guru muda awal 30-an itu. 

"Apa? Mata melilau kiri kanan. SPM tinggal tak kurang dua bulan. Fokus awak ke mana?" soal Cikgu Nora.

"Cikgu perasan tak?"

"Tentang apa?"

"Umairah tak datang sekolah hari ni," kata Faeeq, selamba.

Kelas yang senyap sebelumnya mulai riuh dengan gelak ketawa rakan sekelas. Pelbagai reaksi daripada mereka. Ada yang berbisik sesama sendiri, ada yang menepuk dahi, tak menyangka dengan reaksi Faeeq yang disifatkan terlalu berterus terang, tak kurang juga yang menggeleng, tanda meluat dengan Faeeq. 

"SPM pun tak habis, gatalnya mengalahkan Pak Keladi," sahut Izzati, teman baik Umairah. Dia sempat menjeling tanda meluat.

Cikgu Nora bertindak sebagai pemerhati. Dia sedar, mereka lalui pelajaran itu dengan sedikit tekanan. Jadi, apabila ada hal yang tercetus, dia bertindak sebagai pemerhati sebelum mengawalnya ke paras normal. Asam garam dalam bidang pendidikan, dia sudah lali. Apatah lagi mendidik anak-anak remaja. Tidak dapat tidak, pasti terjebak dalam konflik ciptaan sendiri.

"Hang sakit hati kan, Zati? Tak dak sapa nak mengayat hang." Bob tukang bela Faeeq bersuara di belakang.

Lan pun sibuk "menyimbah minyak" membakar perasaan Izzati. Dia tak boleh tengok Faeeq kena marah, seolah-olah dia juga yang kena marah. Jadi, dia bertindak sebagai pembela.

"Aku sakit hati? Eh, tolonglah! Tak hingin! Selagi aku tak jejak kaki ke universiti, tak ada istilah mengayat dalam kamus hidup aku," sembur Izzati.

Hujahnya mendapat sambutan hangat daripada rakan-rakan perempuan. Maklumlah, mereka di kelas Sains Tulen, maka tentulah hal begitu mendapat tepukan semangat daripada kawan-kawan perempuan yang lain. 

"Sikit-sikit kamus hidup, sikit-sikit kamus hidup! Acting saja tu!" Apek teringin hendak membantai, lalu ikut serta dalam peperangan mulut yang mula berlarutan.

Izzati semakin geram. Api perasaannya bersemarak apabila disindir pelajar lelaki. Takkan nak biarkan Apek and The Gang menang lagi dalam peperangan ini! "Sekurang-kurangnya hidup aku ada tujuan. Hidup kau? Kosong! Celik mata, tutup mata demi kawan semata-mata," bidas Izzati.

"Pergh... dah gaya ustazah. Ustazah tudung pendek," sembur Apek, sakit hati.

Kemudian, terdengar suara Cikgu Nora di celah-celah kegamatan perang mulut beberapa orang pelajar Kelas 5 Gamma.

"Masa itu emas. Ayuh, kita fokus pada pelajaran! Saya harap perang mulut tadi tamat di sini. Saya tak suka nak membebel panjang sebab tahu ini masa-masa emas kamu. Jom, kembali pada ulang kaji kita!

Kenyataan pertama untuk Faeeq, isi padu gelembung udara yang dilepaskan oleh pam udara pada kedalaman 0.5 meter ialah 5cm3. Soalannya, kira isi padu gelembung udara apabila ia mencecah permukaan air. Andaian, tekanan atmosfera bersamaan 10m." Suara Cikgu Nora jelas di telinga para pelajarnya.

Formula kiraan sudah disimpan lama dalam minda lantas jari-jemarinya terus menggerakkan pena untuk mengira jumlah isipadu gelembung udara itu. 

"Psst... nah, jawapan!" Gumpalan kertas dilambung Bob dari meja hadapan.

Faeeq tidak menyambut, malah membiarkan gumpalan kertas itu jatuh ke lantai. Dia sudah punya jawapan lalu dengan lagak genius, dia melangkah ke arah papan putih. 

Cikgu Nora hanya tersenyum. Dia tahu kebolehan Faeeq walaupun anak remaja itu nakal semacam.

Faeeq terus menulis langkah pengiraan dengan tertib sebelum memberi jawapan di bahagian paling bawah.

"Sila terangkan jawapan kamu kepada kawan-kawan," pinta Cikgu Nora, tepat memandang wajah Faeeq. 

"Bob boleh tolong saya terangkan, cikgu!" Riak nakal Faeeq dapat dibaca oleh Cikgu Nora.

Suara marah-marah Bob kedengaran di belakang, menyampuk kerana tidak bersetuju. Dia underground, aliran bawah tanah saja. Menjawab soalan ilmiah secara terbuka bukan kegemarannya. Namun, panggilan Cikgu Nora membuatkan dirinya tidak tentu hala sekejap. Sungutannya membuatkan rakan-rakan ketawa geli hati.

"Jaga kau, Faeeq!" Suaranya antara jelas dengan tidak ketika bertembung dengan Faeeq.

SEMINGGU berlalu, namun kelibat Umairah tidak juga kelihatan di Kelas 5 Gamma. Puas Faeeq dan rakan-rakannya tunggu, malah mereka sepakat untuk membuat standing ovation demi menyakat Umairah. Namun, insan yang dinanti tidak juga kunjung tiba. 

Loceng rehat baru saja berbunyi. Faeeq bangun juga, berniat hendak bertanya kepada Izzati.

"Zati... Umai mana?" tanya Faeeq ketika Izzati sibuk mengemas buku-buku di atas meja.

Izzati hanya menjongket bahu, buat Faeeq bengang. Pantas Izzati mengatur langkah tanpa menunggu Faeeq. Bagi Izzati, buang masa saja melayan Faeeq. Kerjanya menyakitkan hati setiap hari. Apabila terdesak hendakkan sesuatu, barulah terhegeh-hegeh mendekati dan bermulut manis. Huh, memang pantang dia!

"Takkan hang tak tau?" tanya Faeeq, cuba bersabar.

"Mana aku tau! Bukan hang sekampung dengan Umai?" sergah Izzati sebelum bergegas menuruni anak tangga.

Faeeq tidak berniat hendak bertanya lagi walaupun tanda soal besar belum lagi  berjawab.

"Makan, makan, jom! Lapaq wei." Suara Lan kedengaran sambil menepuk bahunya.

Sempat Lan melompat di muka pintu dan bergayut dibahagian atas rangka pintu. Dia menarik dan menurunkan badannya dalam kiraan 20 sebelum melepaskan gayutan.

"Dah macam monyet," komen Faeeq selamba.

"Aku monyet, hang bapak monyet," sahut Lan, tersengih-sengih.

Faeeq mencebik, tanda tidak geli hati dan tidak mahu ketawa. Mereka jalan berkumpulan menuruni tangga.

"Adoi, kesian kat bapak monyet ni! Makan minum tak lalu gara-gara marka dia tak mai sekolah seminggu."

"Hairanlah aku... awat dia tak mai sekolah, hah?" tanya Faeeq, langsung tak ambil hati gurauan Lan.

"Demam kut," tebak Bob yang berjalan di sebelah kirinya.

"Demam apa, seminggu?" sanggah Faeeq lagi.

"Demam tak lama, sakit hati yang lama. Daripada dia mai sekolah menghadap muka monyet hang yang menyakitkan mata, baik dia belajaq kat rumah. Tengok bendang, sejuk mata sampai ke otak."

"Balik sekolah ni hang pi lah ziarah dia," cadang Apek.

Kasihan pula melihat Faeeq seperti orang sasau. Selama lima tahun mengenali Faeeq, tidak pernah pula dia melihat Faeeq tersangkut hati dengan mana-mana gadis di sekolah mereka ataupun dari sekolah lain. Maklum saja, Faeeq atlet bola sepak mewakili negeri ke peringkat kebangsaan, tentu dia bertemu dengan ramai gadis cun. Tetapi, di kala mereka sibuk dengan peperiksaan SPM, muncul Umairah yang membuatkan Faeeq angau sepanjang masa.

"Malas aku."

"Kalau malas, tutup mulut dan tunggu. Kalau ada, adalah! Kalau tak dak, tok sah nak bersungut." 

Bob menjawab bagi pihak rakan-rakannya. Ketika sedang bersembang, Apek sibuk menunjuk ke arah seorang pelajar perempuan yang duduk bersendirian di sebuah bangku.

"Budak baru ka?"

"Hang ni... budak form three pun nak usik jugak." Lan menyanggah.

Apek tidak mempedulikan teguran rakannya, malah mengatur langkah panjang, mendekati pelajar perempuan yang dimaksudkannya tadi. Faeeq menggeleng tetapi mengikut rentak Apek. Dia duduk mengapit pelajar muda itu dari sebelah kiri.

"Student baru ka?" tanya Faeeq, selamba. 

Pelajar baru itu hanya menunduk, segan apabila dirinya diapit dua pelajar lelaki yang kelihatan lebih tua daripada usianya.

"Nama siapa?" Apek turut bertindak sebagai penemu ramah. Soalan itu memang biasa ditanya kepada pelajar baru sekolah mereka.

"Kuat sikit! Abang tak dengaq," komen Apek, biarpun pelajar muda itu belum pun menjawab soalannya.

Lan dan Bob hanya tersengih. Mereka geli hati dengan reaksi takut-takut pelajar perempuan itu.

"Fiqa."

"Oh, Fiqa! Fiqa ni kelas mana?"

"4 Gamma."

"Eh, junior kita! Kenalkan, dari kiri Fiqa tu Abang Paeeq, bapak kepada 'monyet-monyet' di SMK Alor Janggus. 'Monyet' paling kanan nama Abang Lan, 'Monyet' paling sado nama Abang Bob dan abang sendiri, Abang Apek, penjaga kepada sekalian 'monyet' ni."

"Oi... awat tu? Budak baru pun pi sakat jugak. Gila ka mereng?" sergah Izzati dari belakang.

Apek menepuk dahi. Izzati tak habis-habis dengan sikap kacau daunnya. Ada saja yang tak senang di matanya. 

"Mailah, Zati! Join sekaki, berkenalan dengan junior kita. Fiqa ni dari Kelas 4 Gamma," pelawa Apek, tidak mahu larut dengan emosi tidak senang Izzati.

Izzati menjeling tajam seperti selalu. Sakit hati dengan pelajar lelaki dari kelasnya.

"Fiqa, mai ikut Kak Zati. Toksah layan 'beruk-beruk' empat ekoq ni," ajak Izzati.

Fiqa hanya menurut. Dia selesa mengikut Izzati yang belum dikenali dari duduk sebangku dengan pelajar-pelajar lelaki itu. 

"Eh, blah lagu tu ja?" Apek sengaja menguatkan suara, namun suaranya larut dek bunyi loceng rehat yang telah pun tamat. 

"Melepaih waktu makan aku," sungut Bob, disambut gelak daripada rakan-rakannya. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.