Home Novel Cinta Sepasang Kurung Pink
Sepasang Kurung Pink
7/1/2014 22:54:28
49,684
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

SETENGAH jam kemudian, Remy tiba di apartmen kos rendah tempat Diza tinggal. Terus dia menapak menaiki anak-anak tangga ke tingkat tiga.

Terdengar suara lelaki memberi salam, Diza yang sedang sibuk di dapur pantas mengarahkan Daim membuka pintu.

Tersenyum manis Daim bila terpandangkan Remy di muka pintu. “Masuklah, cikgu,” pelawanya seraya membuka daun pintu lebar-lebar.

“Tak apalah, Daim. Saya tunggu kat luar aje,” tolak Remy. Biarpun begitu, sempat lagi matanya melilau ke dalam mencari kelibat seseorang.

“Along ada kat dapur, tengah mengemas. Cikgu dah sarapan? Kalau belum masuklah, sarapan dulu. Pagi ni along masak mihun goreng. Sedap. Rugi tau kalau cikgu tak rasa,” goda Daim. Dia tersenyum-senyum di muka pintu memandang Remy. Macam tahu-tahu saja siapa yang ditinjau cikgunya itu.

“Tak apa ke kalau saya masuk?” Remy rasa serba salah. Risau pula dia kalau Diza tidak sudi mengajaknya masuk. Datangnya ke sini pun tidak disambut Diza.

“Eh, apa salahnya, cikgu? Masuklah. Nanti saya panggil along.” Daim ke dapur mendapatkan Diza. Sejurus kemudian, Diza muncul bersama Daim di belakangnya.

“Masuklah dulu, Remy. Maafkan I tak jemput you masuk tadi. I sibuk kat dapur,” kata Diza sambil memandang wajah Remy. ‘Tampan sangat dia hari ini,’ bisik hatinya. Dengan berseluar jeans hitam dan berkemeja biru muda yang dilipat lengannya hingga ke siku, Remy kelihatan jauh berbeza daripada penampilan biasanya sewaktu di sekolah.

Biarpun hati masih dihambat rasa serba-salah, Remy melangkah juga ke dalam kerana tidak mahu mengecewakan tuan rumah.

“You dah sarapan?” Diza mengulang pertanyaan Daim tadi. Sekadar berbasa-basi. Tidak sedap hati jika tidak bermanis mulut dengan tetamu yang bertandang ke rumah.

“Err... belum.” Teragak-agak Remy menjawab. Malu tetapi mahu sebenarnya. Dia memang belum menjamah apa-apa. Datangnya tadi hanya sempat meneguk air suam. Dia bercadang mahu mengajak Daim bersarapan di gerai makan dulu sebelum mula mengajar.

“Kalau macam tu sarapanlah dulu kat sini. I masak mihun goreng aje. Entah apa rasanya,” kata Diza merendah diri. Dia yang jarang-jarang ke dapur, malu mempamerkan skil memasaknya depan Remy. Takut gagal di tekak anak muda itu.

“Dah pakai macam chef hotel ni, tentu rasanya pun setanding masakan hotel,” usik Remy.

Tergelak Diza mendengarnya. “Nak tahu setanding ke tidak, kena rasa dulu. I takut you baru rasa sesudu terus reject,” balas Diza sambil menarik kerusi menyuruh Remy duduk. Pinggan kosong dicapai. Dia menyendukkan juadah sarapan pagi ke dalam pinggan Remy dan diletakkan di hadapan pemuda itu.

“Kalau macam tu, you jadi ajelah chef kat kedai mamak. Masak tak berapa sedap pun orang tetap makan. I pun hari-hari boleh rasa masakan you.” Kian galak Remy mengusik bila Diza ramah melayannya.

“Kalau dah hari-hari makan you tak jemu ke?” usik Diza. Air kopi yang masih berasap nipis dituang ke dalam cawan dan diletakkan bersebelahan pinggan mihun goreng.

“Tak, kalau you yang masak,” jawab Remy tenang, dengan mata tepat merenung ke anak mata Diza. Mendalam maksud kata-kata itu. Bagaikan menyampaikan hasrat hati yang mahukan Diza menjadi tukang masaknya seumur hidup. Namun, hati diulit rawan melihat gadis idaman hanya tersenyum tanpa membalas apa-apa. Lantas, dia tunduk menjamah juadah air tangan Diza bagi menyembunyikan gelodak rasanya.

“Macam mana?” Diza pantas bertanya bila melihat Remy diam. Khusyuk menyuap mihun goreng ke dalam mulutnya.

Passed.” Remy mengangkat ibu jari kanan menunjukkan isyarat bagus, tanda Diza sudah lulus.

Diza ketawa. Bukan suka sangat mendengar pujian Remy tetapi lucu melihat cara pemuda itu menjamah mihun. Langsung tidak mengangkat kepala. Macam tidak pernah berjumpa mihun goreng saja gayanya.

HABIS bersarapan, Remy duduk di ruang tamu menanti Daim yang sedari tadi tidak nampak muka. Ketika Remy sedang bersarapan tadi, Daim masuk ke bilik. Katanya mahu bersiap. Sampai sekarang Daim belum keluar.

“Im buat apa lama sangat?” Sebaik melihat Daim, Diza yang tidak selesa duduk melayan Remy, terus bertanya.

“Im bersiap,” kata Daim selamba.

“Bersiap apanya, lama sangat?” sungut Diza tidak puas hati. Bibir yang memuncung terus terlopong memandang penampilan Daim. Amboi, mak! Kacaknya dia dengan jeans dan T-shirt berkolarnya. Harum semerbak. Entah berapa botol minyak wangi yang disembur ke badan. Ini nak ke kelas tuisyen atau menonton wayang? Diza berdetik dalam hati.

“Lawa sangat ni. Ya ke Im nak pergi tuisyen? Entah-entah nak pergi tengok wayang tak?” risik Diza dengan mata bulat memandang Daim.

Daim dan Remy ketawa serentak. Mereka saling berpandangan sambil Remy mengangkat kening memandang Daim. Seperti ada rahsia di antara mereka yang disembunyikan daripada pengetahuan Diza.

Tajam mata Diza merenung Daim sambil sesekali lirik matanya menujah ke muka Remy, menanti penjelasan.

“Pandailah you teka.” Remy menyambung gelak. “Macam ni, sebenarnya I nak minta izin you. Lepas Daim habis belajar nanti, I nak ajak dia temankan I tengok wayang. Kami nak tengok Iron Man 3. Boleh ke, Diz?” Remy meminta izin Diza dengan senyuman masih di bibir.

Tengok wayang? Detik Diza tidak percaya. Ditenungnya muka Daim tanpa berkedip mata kerana geramkan adiknya. Betullah perangai Daim sekarang sudah berganjak dari paksinya. Kakaknya sekarang bukan lagi pakar rujuknya dalam segala hal. Tugas itu sedikit demi sedikit sudah diambil alih Remy. Diza diam. Berfikir dan menimbang-nimbang. Dia mahu menolak kerana tidak mahu Daim menjadi terlalu rapat dengan Remy. Tetapi, melihat wajah Daim yang terlalu mengharap, dia tidak sampai hati mahu membantah.

“Alah... bolehlah, along. Asyik belajar aje. Sesekali bagilah Im peluang tengok dunia luar. Along pun bukannya ada masa sangat nak bawak Im keluar. Asyik terperap dalam rumah aje. Boringlah.” Daim buat muka layu.

Betul juga kata Daim. Diza tidak ada masa untuk Daim. Dia memang jarang-jarang mengajak Daim keluar berjalan-jalan di bandar kerana dia sendiri bukanlah orang yang suka merayap ke sana ke mari tanpa tujuan. Rasanya tidak adil baginya untuk menghalang Daim daripada menikmati kehidupan yang penuh warna-warni sementelah Daim masih remaja. Hidup Daim masih terlalu panjang. Ada banyak perkara tentang kehidupan yang patut Daim pelajari di luar sana. Mengurung Daim di rumah, memang bukan tindakan yang bijak.

“Im boleh keluar dengan syarat balik nanti siapkan semua homework. Along tak mahu dengar cikgu-cikgu bising cakap Im tak siap homework,” ugut Diza sekaligus memberi kata dua untuk Daim.

“Jangan risaulah, along. Im dah siapkan semuanya malam tadi.” Pantas Daim membalas seraya tersenyum.

Remy yang mendengar kata-kata Daim, ketawa. “So, tak ada problem lagi ya, Diz? Boleh kami berdua bergerak sekarang?” pohon Remy sopan. Dia tersenyum lebar menatap wajah gadis yang sudah masam-masam kelat.

Diza mengangguk kerana sudah putus modalnya hendak membantah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.