Home Novel Cinta Sepasang Kurung Pink
Sepasang Kurung Pink
7/1/2014 22:54:28
49,681
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

DIZA hidupkan enjin kereta Vivanya dan menekan punat penghawa dingin. Tingkap di sebelah kanan diturunkan sedikit bagi mengeluarkan haba panas yang terkumpul di dalam kereta. Kemudian tali pinggang keledar ditarik. Beberapa minit kemudian, Viva putihnya bergerak keluar dari kawasan parkir.

Sebaik melepasi pagar, matanya terpandang kereta Audi A5 berwarna hitam yang diparkir betul-betul di luar kawasan sekolah. Seorang wanita separuh umur, anggun dengan blaus berenda dan skirt labuh berwarna hitam sedang berdiri sambil memegang payung. Terlihat keretanya, wanita itu tersenyum dan payung di tangan ditutup.

Tidak jadi Diza mahu meneruskan perjalanan bila ternampak wanita itu melambaikan tangan. Terus dibelokkan keretanya dan berhenti di sebelah Audi A5. Tali pinggang keledar ditanggalkan dan dia keluar.

Daim yang duduk di sebelah Diza hanya menjadi pemerhati. Dia tidak teruja lagi melihat Diza melangkah mendekati wanita separuh umur itu kerana sudah acapkali dia melihat si kakak bersembang dengan wanita itu.

“Apa khabar, puan?” Diza hulurkan tangan ke arah Puan Lisa. Tangan wanita itu diciumnya. Lembut dan gebu tangan Puan Lisa tatkala bersentuhan dengan kulitnya yang jarang-jarang disapu losyen. Dia terasa malu dan rendah diri pula bila berhadapan dengan Puan Lisa yang sentiasa mementingkan penampilan diri.

“Sihat. Diz macam mana? Okey?” Ramah Puan Lisa bertanya. Matanya tekun merauti wajah lembut anak gadis yang sopan berbaju kurung Pahang dan bertudung Ariani warna biru muda itu. Wajah gadis ini tidak jemu dipandang. Wajah yang senantiasa menyejukkan mata dan menenangkan hati. Hati tuanya sudah berkenan benar kepada Diza. Dia berharap anaknya, Syahrin Haiqal juga akan merasakan begitu tatkala bertemu gadis ini kelak.

“Saya pun sihat,” jawab Diza. Dia jenguk sedikit ke dalam kereta Puan Lisa. Di sebalik cermin yang dilindungi tinted gelap itu, dia lihat Afiq Husaini, cucu Puan Lisa yang turut belajar di sekolah yang sama, sedang melambai-lambaikan tangan ke arahnya.

Diza membalas lambaian Afiq dengan senyuman. Pandangannya kembali ke wajah Puan Lisa. Hatinya masih terkenang-kenang bait-bait kata Puan Lisa sebulan lepas. Wanita itu mengajukan satu hajat besar dan sekarang mahukan kepastian daripadanya.

“Diz dah nak balik ke? Tak nak keluar minum dulu?” ajak Puan Lisa.

“Rasanya tak bolehlah, puan. Saya nak balik cepat. Kejap lagi nak hantar Daim ke sekolah agama.” Diza memberikan alasan. Alasan yang sudah lapuk. Setiap kali Puan Lisa mengajaknya keluar, itulah alasannya. Hendak hantar Daim ke sekolah agama, hantar Daim pergi tuisyen ataupun hendak memasak untuk Daim. Lagi-lagi Daim yang menjadi mangsa. Kalau diketahui Daim yang sedang terlelap di dalam kereta, mahu menjerit adik lelakinya itu. Tidak pasal-pasal Daim yang tidak ada kena mengena dengan Puan Lisa turut terkena tempiasnya.

“Diz dah fikirkan hajat auntie tu?” Puan Lisa enggan menunggu lebih lama. Dia tahu Diza tidak mahu keluar bersembang dengannya. Diza mahu mengelak daripada memberi kata putus. Jika tidak ditanya sekarang, sampai bila-bila pun permintaan yang satu itu masih kekal tidak berjawab. Sedangkan dia sudah tidak sabar-sabar mahukan jawapan dari si gadis bermata kuyu ini.

“Err... nantilah, puan. Saya belum buat keputusan.” Lemah nada suara Diza. Sememangnya hajat Puan Lisa menggunung tingginya. Tidak terdaya rasanya bahu ini menggalas beban yang akan ditimpakan wanita itu ke atas dirinya.

“Bila Diz? Lama dah rasanya auntie tunggu ni,” keluh Puan Lisa. Lelah dan tidak sabar menanti jawapan secebis itu daripada gadis bernama Diza Irdina.

“Saya tahu, puan. Tapi hajat puan tu terlalu besar. Saya kena fikirkan masak-masak. Saya bimbang kalau-kalau saya salah buat keputusan. Bagilah saya masa lagi.” Diza seakan merayu. Dia buang pandang ke arah lain. Tidak mampu menentang mata Puan Lisa yang penuh mengharap.

Puan Lisa mengeluh. “Diz takut auntie jodohkan Diz dengan orang yang tak elok ke?” Muka Puan Lisa berubah. Nampak kecil hati dengan jawapan Diza.

“Eh, taklah, puan. Saya langsung tak bermaksud macam tu.” Segera Diza membalas bagi membetulkan tanggapan Puan Lisa.

“Auntie faham, Diz. Auntie tak salahkan Diz bila masih berbelah-bahagi macam ni. Diz bukannya kenal dia. Muka dia pun Diz tak pernah tengok. Tapi percayalah, auntie tak akan jodohkan Diz dengan orang yang tak senonoh. Percayalah cakap auntie ni.” Puan Lisa memujuk.

“Saya percaya cakap puan tapi puan kena ingat, saya ni anak yatim. Saya tak layak untuk anak puan tu...”

“Auntie tak lupa tentang tu. Tapi auntie tak kisah siapa pun Diz. Auntie terima Diz seadanya. Baiklah, macam ni...auntie tak mahu memaksa. Diz fikirlah baik-baik ya? Tapi auntie harap biarlah jawapannya nanti positif.” Puan Lisa hamparkan suara hati yang masih belum jemu menagih kata pasti.

Dari tutur katanya jelas Puan Lisa mahukan Diza menurut saja rentak kemahuannya. Namun, bagaimana mahu menurut, jika tidak pernah sekali pun dilihatnya batang hidung lelaki bernama Syahrin Haiqal itu?

“Ataupun Diz nak terus jumpa dia? Kalau nak tengok orangnya macam mana, nanti auntie aturkan pertemuan dengan dia.” Belum sempat Diza membalas kata, Puan Lisa sudah mengusulkan begitu.

“Eh! Nantilah dulu, puan. Saya belum bersedia!” Diza terjerit mendengar cadangan Puan Lisa. Hendak bertemu empat mata dengan pemuda yang bernama Syahrin Haiqal itu? Aduh... tidak lena tidurlah dia nanti!

Tergelak Puan Lisa melihat gadis di hadapannya kelam-kabut. Senyumannya semakin lebar melihat wajah manis itu sudah bertukar merah padam. Entah mengapa dia senang benar dengan gadis berpenampilan sederhana ini. Sikap Diza yang lemah lembut dan bercakap dengan penuh sopan-santun cukup memikat hatinya. Tambahan lagi, Diza agak manja orangnya. Bila bercakap dengan Diza, tidak lekang senyuman daripada bibir manis itu. Dia yang melihat Diza sudah terpaut, apatah lagi Syahrin. Pasti Syahrin sukar hendak menolak.

“Tak apalah, kalau Diz tak nak jumpa dia sekarang. Auntie tak paksa. Kalau Diz dah ada keputusan nanti, call auntie ya? Tapi janganlah biarkan auntie tunggu lama.” Puan Lisa kendurkan suara. Memang dia tidak mahu memaksa. Takut jika terus dipaksa dan ditekan, Diza akan bertindak menjauhkan diri. Kecewalah dia jika Diza mengambil keputusan begitu.

Diza mengangguk. Itulah yang sebaik-baiknya. Berikannya lebih masa agar dia dapat berfikir dengan waras dan tidak terburu-buru. Ingat senang ke hendak mendirikan sebuah masjid? Lebih-lebih lagi dengan lelaki yang langsung tidak dikenali hati budinya. Kenal pun hanya setakat melihat gambar yang tidak berapa jelas di skrin telefon bimbit Puan Lisa. Cukup ke hanya sekadar itu?

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.