CINTA itu tidak sesederhana menatap wajah yang indah lalu rasa aneh menyeluk turun ke pangkal hati. Itu hanya tarikan. Cinta itu tidak sesederhana tersentuh di hujung jari dan terasa bagaikan terkena renjatan. Itu sekadar elektrostatik. Cinta itu tak perlu diterjemah logika akal. Kerana takkan ada punca warasnya. Walaupun dia berpijak di tanah hitam yang hampir serupa dan mendongak ke langit biru yang persis. Cinta itu masih belum mengocak ruangan hati Baqi. Dia mahu pulang.
"Kau rasa kan, apa yang buat seseorang tu digelar patriotik?" soal Baqi.
Baqi duduk menyilang kaki sambil mengusap-usap dagu seakan-akan sedang berfikir panjang. Selang beberapa minit, dia berhenti dan mendongak ke langit, merasai salju pertama musim sejuk yang singgah ke muka. Ah, mengapa momen itu tak pernah datang dengan rasa romantis seperti yang ditonton di kaca televisyen?
Bulu romanya meremang, menahan suhu dingin yang menggigit sampai ke tulang. Tak ada romantisnya bermain salji andai tubuh tidak ampuh menahan sejuk. Dia hanya anak Melayu yang dilahirkan dalam iklim khatulistiwa. Kulitnya tak lut dek hujan lebat dan panas terik, tetapi lut dengan salji.
"Patriotik? Nak 'curhat' ke kau ni?" soal Kekwa kembali.
Baqi menjongketkan kening. "Curhat?"
"Curahan hati ...."
Baqi tampak terkejut seraya teruja. Matanya membuntang sedikit.
"Mana pula kau belajar ni?"
Kekwa berlagak "kekwat" seperti selalu. Dia tidak menunjukkan sebarang ekspresi pada wajah. Bagai ais yang membeku. Wajah gadis itu selalu tidak mempamerkan sebarang rasa.
"TikTok," balas Kekwa sepatah.
"Tapi aku serius ni. Kau dapat rasa tak aura patriotik tu datang? Tak nampak apa pun. Bukan ada kibaran bendera ke, lagu Negaraku berkumandang ke. Tup-tup, menempel rasa tu depan muka. Tiba-tiba terkeluar rasa rindu kat tanah air sendiri ...."
"Patriotik? Kau duduk kat bumi asing ni, minum Coke sambil perhatikan salji turun. Kau nak cakap pasal jiwa patriotik? Please ...," sindir Kekwa.
Dia membetulkan cermin mata yang senget di atas batang hidungnya yang tidak berapa mancung. Buku rujukan Business Law yang ditelaah tadi dikatup kemas dan ditempatkan di sebelahnya.
"Jangan fikir macam tu. Fikir macam ni, orang yang tengah duduk kat bumi asing, minum Coke dan perhatikan salji turun, tapi sebenarnya fikir pasal tanah air sendiri.
Hah, gitu! Tak ke kau rasa patriotik?" ungkit Baqi.
Kekwa tidak menjawab.
"Aku tau Scotland ni masih dunia alien bagi kau. Tak kisah berapa lama kau kat sini, kau masih fikir pasal Malaysia. Dan aku tau, kau rindu nak balik sebenarnya, kan?" luah Baqi, cuba meyakinkan Kekwa yang dia tahu apa yang sedang menerawang dalam fikiran gadis cengeng itu.
Kekwa menjongketkan kening sekali lagi.
"Aku?"
Baqi mengangguk.
Kekwa mengeluh.
"Dahlah tu ... sejak bila kau kisah apa aku nak? We don't sync that way. Straight to the point ajelah, Baqi. Apa kau nak sebenarnya ni?"
"Okey, kalau kau dah cakap macam tu." Baqi menggigit hujung bibir.
"Sebenarnya ... aku nak kau balik ... sebab aku pun nak balik. Sebab aku memang kena balik Malaysia. Aku tak nak balik sorang. Jomlah, kita balik sama-sama! The more, the merrier! Bosanlah kalau kau tak ada."
Kekwa hanya memberi pandangan kosong. Tiada keterujaan yang menyusup ke dada dan tiada jua yang terpantul dari riak wajahnya. Dia seakan-akan tidak peduli. Otaknya mencerna walaupun dia masih diam membisu. Fikirannya yang berada dalam ketidakpastian yang bersirat rasa keliru tidak dipertontonkan melalui air mukanya.
"Kek?" panggil Baqi apabila Kekwa tidak membalas.
"Macam mana? Sudi tak kau ikut aku balik?" Dia menjongket-jongket kening tebalnya.
"No, thanks!" balas Kekwa spontan.
Baqi pula yang mengeluh. Dia mengubah postur ke depan.
"Kau tak nak tau kenapa aku nak balik?" soal Baqi.
Kekwa menjongket bahu. Perlukah dia peduli? Adakah hubungan mereka sudah naik ke aras yang menuntut dia peduli? Bukankah dia selalunya hanya menelan informasi yang ditawarkan oleh lelaki itu tanpa cuba mengorek rahsia. Seperti mana dia tidak mahu orang menyelak rahsia buku hatinya, seperti itulah dia tidak cuba mengintip rahsia hati sesiapa. Kekwa pentingkan diri. Begitu juga dengan Baqi. Mereka serasi begitu.
"Tolong tanya. Please ...," rayu Baqi.
Kekwa menggerakkan bola mata dalam pusingan. Rasa menyampah tidak mencelah, tetapi dia sengaja mempamerkan riak wajah seperti dia sedang menyampah.
"Okey, kenapa kau nak balik sangat, wahai bakhil?" soal Kekwa yang kedengaran seakan-akan mengejek.
"Sebenarnya, bukan sekadar 'nak'. Aku 'kena' balik untuk pertahankan hak aku. Dah sampai masanya aku tuntut semuanya balik."
Kekwa disampuk keliru.
"Hak kau?"
"Abu Jahal nak tanah aku. Cuba kau bayangkan. Tu satu-satunya harta atuk yang masih tinggal. Yang lain dah jadi debu kena makan dengan Abu Jahal," luah Baqi sambil merenung wajah pucat Kekwa. Dia tahu gadis itu kesejukan.
"Abu Jahal ke Jalal?" Dahi Kekwa berkerut. Dia cuba mentafsir sendiri.
Baqi menjongket bahu.
"Lebih kuranglah tu."
Dia sudah terbiasa menggelar ayah saudaranya itu dengan nama Abu Jahal di depan Aloi, tetapi tidak Kekwa. Nama timangan itu dirasakan lebih sinonim dengan peribadi Abu Jalal.
"Lagipun, aku tau kau patriotik macam aku. Kau patut balik. Screw PR. Baliklah, Kek. Kita patut berbakti pada tanah air sendiri."
"Kejap. Apa maksud kau screw PR? Kau tau aku tak pernah mohon status permanent resident kat sini, kan? Dan kau tu, beria nak balik sebab tanah pusaka. Kenapa terdesak sangat nak mengaku diri kau tu patriotik?" balas Kekwa bertubi-tubi.
"Aku akan rindu kalau kau tak ada, Kekwat," ujar Baqi.
"Whatever. Aku mungkin teringat kau sekali-sekala.
Bila aku free ... which is less likely ... sebab aku tak pernah free," balas Kekwa dengan gaya angkuh.
Ingat senang dia hendak termakan pujuk rayu seorang lelaki? Apatah lagi si bakhil itu. Minta dijauhkan sangat. Dia menyeluk ke dalam poket seluar jean dan mengeluarkan beberapa not mata wang asing.
Baqi memuncungkan bibir, tersentap lagaknya.
"Aku tau kau datang sini sebab aku belum bayar duit makanan semalam tu, kan? Now, would you mind ... blah? Aku nak lepak sini baca buku, bukan nak berborak dengan kau," balas Kekwa, dingin.
Baqi menarik duit kertas yang dihulurkan Kekwa dan memasukkan ke dalam poket.
"Kau tak perlu bayar sebenarnya," ucap Baqi, namun dia tetap mengambil duit tadi dengan laju.
"Ya, right ...," sindir Kekwa.
Dia memandang Baqi yang sedang tersengih. "Orang panggil kau 'bakhil' bersebab."
"Dan orang panggil kau 'kekwat' pun bersebab," balas Baqi selamba.
Pandangan Baqi dan Kekwa saling bertemu. Mereka saling tersenyum bersama berjuta makna. Merekalah sahabat dan mereka jugalah seteru.
"You should go. Aku takkan belanja kau kopi hari ni. Lagipun, kau dah nak balik Malaysia. Kau dah tak ada kegunaan untuk aku sekarang," balas Kekwa sambil meneguk baki kopi panas.
Baqi menyilang tangan, berfikir lagi. Dia sememangnya seorang pemikir.
"Kau patut ikut aku balik," ulang Baqi, masih mencuba nasib. Kali ini, nadanya lebih serius. Begitu juga dengan riak wajahnya.
Dahi Kekwa berkerut.
"Aku tak ada sebab yang kuat untuk balik. Kau tak nampak ke betapa bahagianya aku kat Scotland ni?" balas Kekwa. Nadanya perlahan tetapi serius.
Kekwa sentiasa serius. Itu perwatakannya. Otaknya selalu ada pada paksi rasional tanpa tertekan dengan emosi. Orang menyelar dia gadis sombong dan ego. Nama gelarannya kekwat. Hanya si bakhil Baqi yang setia berada di sisinya.
"Siapa nak layan kau kat sini lepas aku balik? Kau dah habiskan MBA. Sekarang kau nak buat law? Seriously, Kekwa? Lepas ni apa? Nak study music, theatre?" soal Baqi.
Kekwa mengeluh.
"Aku tak jadi kawan baik kau untuk diadili. Aku yang bersengkang mata belajar, bukan kau. Suka hati akulah nak belajar apa lagi. Selagi otak aku tak tepu dan keluarga aku tak jatuh bankrap."
"Otak kau takkan tepu dan harta keluarga kau takkan habis tujuh keturunan. Susah nak bankrap," balas Baqi.
"Habis tu?" soal Kekwa.
Baqi menguntum senyuman. Kalau gadis itu tidak kekwat dan mudah dimonopoli, bukan Kekwa yang bergelar kawan baiknya. Tidak mudah untuk memahami Kekwa. Tetapi, dia tahu memahami bukan tuntutan untuk menjadi sahabat karib gadis unik itu. Dia tak perlu faham. Dia hanya perlu bertolak-ansur. Kerana manusia tidak serupa.
Sebetulnya, dia dan Kekwa saling bergantungan, saling memerlukan. Takdir yang menemukan si bakhil dan gadis kekwat itu di bumi asing dalam kondisi hidup yang ralat untuk mereka tempuhi sendiri. Tanpa Kekwa, dia umpama pensel patah, pointless.
"Hidup kau akan bosan tanpa aku, Kek. Aku satu-satunya kawan yang kau ada. Kau rasa ada ke lelaki lain yang boleh faham kau, tolak-ansur dengan kau?" duga Baqi, mengajak Kekwa mempertimbangkan semula tawarannya.
"Kau tengah cuba nak lamar aku ke?" soal Kekwa.
Tetapi masih tiada ekspresi pada wajahnya.
Baqi menjuih bibir. Kemudian dia membengkokkan postur kepala ke kanan dan ke kiri, seolah-olah sibuk mentafsir kata-katanya sendiri. Tawaran itu barangkali aneh. Sehingga sekarang dia masih belum pasti sama ada dia memerlukan Kekwa lebih daripada dia diperlukan Kekwa. Adakah status hubungan mereka bukan lagi give and take? Atau mungkin friends with benefit versi patuh syariah?
"Aku rasa ... ni tawaran paling dekat dengan lamaran yang kau akan dapat. Aku just rasalah ... dengan perangai kekwat kau tu," ujar Baqi, menarik Kekwa berpijak di dunia nyata.
Kekwa ketawa.
"Kau pandang rendah kat aku, Baqi?"
"Kau sememangnya lebih rendah daripada aku," balas Baqi olok-olok, membuat perbandingan ketinggian mereka secara fizikal.
"Okey, aku dengar proposal kau. Apa yang aku dapat kalau aku ikut kau balik?"
"Kau dapat lari daripada musim sejuk yang kau benci. Kalau tinggal lama kat kampung aku. Kau ada tempat nak sambut raya tanpa menghadap muka mak tiri kau. Siapa tau Kekwat? Mungkin kau akan jumpa cinta sejati di bumi sendiri," ujar Baqi.
Kekwa tertawa lagi. Baqi yang dikenalinya selama ini merupakan seorang pelabur yang mahir. Dia takkan membuat pelaburan kalau keuntungannya tidak berlipat kali ganda. Pasti ada sesuatu yang direncanakan dalam kepala lelaki kedekut itu.
"Dan kau? Apa yang kau dapat kalau kau bawa aku balik dengan kau?" soal Kekwa.
"Abu Jahal takkan desak aku kahwin dengan calon pilihan dia. Aku yakin, dia akan cuba ambil kesempatan kat sisa harta aku. Dan aku ada pekerja mahir dengan gaji rendah," jawab Baqi.
"Ada hati nak gajikan aku? Tolonglah, Qi. Subsidi bapak aku lagi banyak daripada gaji yang kau mampu tawarkan. Kau ingat aku bodoh sangat nak ikut kau balik Malaysia? Aduh!" tempelak Kekwa.
"Kau mungkin takkan rasa sekarang. Tapi kau akan rindukan aku, Kekwat. Aku serius."
"Eww ...," ejek Kekwa.
Baqi menghembus nafas kuat. Pujukannya gagal. Dia perlu menggunakan perancangan lain.
"Okey, beritahu aku, apa kau nak? Aku akan cuba penuhi. Aku tau kau tunggu aku buat tawaran macam ni, kan? Jangan malu-malu. Name your price."
Kekwa menjeling Baqi dari atas ke bawah. Aura overconfident lelaki itu sentiasa menggeletek urat perutnya. Hiburan pada waktu senggang. Mungkin mengikut lelaki itu pulang ke Malaysia bukan sesuatu yang buruk. Dia boleh kembali ke Scotland bila-bila masa. Kuasa terletak di hujung jarinya dengan baki akaun bank yang mencukupi dan kuasa internet dengan jaringan 5G untuk menempah tiket. Asalkan dia ada kedua-duanya itu, dia boleh menempah tiket penerbangan pada bila-bila masa dengan halaju transaksi yang memuaskan.
"Apa yang buat kau rasa kau ada apa aku nak?"
"Come on ... aku taklah teruk sangat," balas Baqi.
Kekwa menjongket bahu.
"Kau rasa berperang dingin dengan bapa saudara kau tu seronok sangat ke? Kau yakin aku takkan bosan?"
"Mestilah, Kek. Kau tak teringin ke nak pergi berperang tanpa pegang senapang? It's fun, wei. Kalahkan Abu Jahal tu, rasa dia macam keluar berjihad tau."
"Hisy, lain macam!" tempelak Kekwa.
Baqi ketawa seakan-akan terbayang air muka tewas Abu Jalal. Apabila dia berhenti ketawa, dia melihat tepat ke mata Kekwa dengan air muka berharap.
"I need you to win this war, Kek!" ujarnya serius.
"Sejak bila Ahmad Baqi Bin Abu Uthman sanggup rendahkan diri, mengaku dia perlukan aku? Nampak? Aku tengah terbang sekarang," balas Kekwa, mengejek.
Dia mengepakkan tangannya bagaikan sedang berada di awangan.
"Aku tengah serius ni. Tak kelakar, okey!" balas Baqi.
"Kelakar, memikirkan betapa terdesaknya kau sampai sanggup merayu," balas Kekwa, kembali dengan senyuman kejam.
Tidak ada secuit rasa jenaka yang terpalit pada air mukanya. Dia tampak serius meskipun mulutnya mengakui yang kata-kata Baqi itu kelakar.
"Kau nak tolong ke tak?"
"Hmm ...." Kekwa mengusap dagu. Kepalanya ligat berfikir.
"Kalau kau nak aku ikut kau balik, kau kena ikut aku balik rumah keluarga aku. Kau kena datang masa sambutan hari jadi adik tiri aku, Orked. Boleh?" soal Kekwa.
"Aku tak ada masalah ikut kau. Tapi, kenapa? Aku ingat kau tak pernah berminat dengan saudara-mara kau? Masa ayah kau sakit pun kau tak balik. Ni pula hari jadi Orked," ungkit Baqi, pelik.
"Saja ... aku teringat masa Orked datang sini. Dia cakap kau kacak. Mana tau boleh berjodoh, kan?"
Baqi ketawa berdekah-dekah.
"Biadab!" tempelak Kekwa.
Baqi menutup mulut.
"Orked tu kan cantik. Kau patut bersyukur aku cuba jodohkan kau dengan adik tiri aku," balas Kekwa dengan muka bersahaja. Tak dapat diteka andai dia benar-benar memaksudkan kata-katanya.
Baqi menggeleng pula.
"Aku ... dengan Orked? Kau nak tulis novel romantik ke apa ni?"
"Mungkin perancangan aku lepas undang-undang, aku nak belajar sastera. Kalau aku boleh tulis cerita cinta kau dengan Orked, aku letak tajuk ... hmm ... 'Si Bakhil Dengan Bunganya'?"
Baqi ketawa lagi.
"Wei, pleaselah ... macam tajuk buku cerita kanak-kanak," ujar Baqi, mempersoalkan tajuk pilihan Kekwa.
Kekwa menjongket bahu dengan air muka sombong seperti selalu.
"Jadi, kau setuju tak ikut aku balik?"
Kekwa diam sejenak. Dia mengangkat cawan, menghirup baki air.
"Nanti aku fikir," jawab Kekwa.
Baqi menggigit bibir.