Home Novel Cinta Si Bakhil dengan Bunganya (Sudah Terbit)
Si Bakhil dengan Bunganya (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/2/2025 14:08:40
2,071
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

AZAN isyak baru selesai berkumandang ketika Baqi melangkah keluar dari kereta Grab yangdipesan Kekwa untuknya. Dia diizinkan masuk terus sampai ke halaman rumah oleh pengawal keselamatan yang bertugas hari itu. Mungkin Kekwa sudah memaklumkan akan kedatangannya kepada pengawal terlebih dahulu. Barangkali juga terlalu ramai tetamu yang dijemput untuk meraikan hari kelahiran Orked sampaikan pengawal keselamatan di situ sudah berputus asa  untuk menyemak identiti seorang demi seorang. 

Jari Baqi baru hendak menyentuh punat loceng yang melekat di dinding sebelah pintu rumah Tan Sri Jamal. Aneh, selalunya loceng sebegitu hanya ada di tepi pagar. Di rumah itu, loceng juga ada di pintu rumah dengan kamera yang terpasang untuk mengenal pasti tetamu sebelum pintu depan dibuka.

Belum sempat dia menekan, ada tangan lain yang menekan terlebih dahulu. Baqi yang berjaket kasual, tampil segak dengan jean biru, menoleh ke tepi memandang seorang lelaki yang bersut cerah. Lelaki itu turut memandangnya. Suasana yang agak janggal. Mereka seolah-olah dua orang lelaki yang datang menjemput gadis yang sama untuk ke prom night dalam drama remaja mat salih.

"Baqi?" teka lelaki itu.

"Sorry but you are?" soal Baqi.

Uwais tersenyum dan membetulkan jaketnya.

"Aku tunang Orked. Boleh panggil aku Uwais." 

Baqi tersenyum dan mengangguk sedikit. Dia menghulurkan tangan dulu, berjabat dengan lelaki itu. Daun pintu dikuak oleh Orked dengan laju. Orked tersenyum meleret melihat Uwais sudah ada di depan muka pintu sehinggakan kemunculan Baqi dipersetankan saja. Baqi terasa bagaikan baru ditempelak seolah-olah tidak diperlukan di situ. Uwais menghulurkan jambangan bunga yang dibawa bersamanya kepada Orked. Orked terus memeluk bunga pemberiannya dengan air muka bangga.

Baqi berdeham.

Barulah Orked perasan akan kehadiran Baqi. Namun, Uwais menarik Orked masuk sebelum Orked sempat menegur Baqi. Namun, dia serba salah. 

"Tak apa. Go ahead!" ujar Baqi perlahan sewaktu Orked menoleh dan memandangnya dengan rasa bersalah. 

Baqi masuk ke dalam rumah sendiri tanpa dijemput mahupun diiringi. Suasana di ruang tamu sudah pun gamat dengan tetamu ketika Baqi masuk. Dia keluar semula melalui pintu sisi menghala ke halaman yang dipasang kanopi bersebelahan kolam renang. Beberapa muda-mudi dilihat sedang melakukan aksi terjunan tidak profesional, memercikkan air ke kanan dan kiri kolam. Baqi bijak mengelak daripada percikan air. Mahu memastikan dia kekal segak untuk menjalankan misi yang telah diberikan Kekwa.

Mata Baqi meliar mencari kelibat Kekwa. Dia tersenyum apabila berselisih dengan wanita-wanita muda yang seakan-akan tidak segan memberikan pandangan menggoda kepada lelaki asing sepertinya. Tiba-tiba saja Baqi dijentik malu. Aneh. Dia tidak berasa begitu semasa di Scotland. Mungkin kerana dia tidak menyimpan tanggapan yang gadis berbangsa asing perlu menjaga adab pakaian.

Namun, dia mempunyai tanggapan begitu dengan gadis-gadis Malaysia di buminya sendiri. Adakah dia rasis atau seksisme? Entah, dia tidak tahu. Cuma dia mengharapkan lebih daripada bangsanya yang konon sudah merdeka. Barangkali mereka hanya bebas daripada jajahan fizikal, tetapi masih dijajah dari segi budaya dan mentaliti.

Baqi tidak pernah dibesarkan bermewah-mewah meskipun datuknya tergolong dalam golongan yang mampu. Datuk dan ayahnya memilih pertanian sebagai sumber pendapatan. Dia dibesarkan di dalam ladang bersama datuknya yang turut meminati bidang yang sama. Arwah emaknya pula datang dari golongan pertengahan dan bukanlah seorang wanita yang suka menunjuk. Emaknya wanita berbudi yang tahu di mana tingginya kedudukan wanita yang merendah diri.

"Hey, handsome!" tegur suatu suara.

Baqi memandang gadis yang mengenakan bikini di sebelahnya. Gadis itu berdiri dengan postur menggoda sambil menyelitkan tapak gelas di celah jari. Belum sempat jari berkarat gadis itu jatuh di bahunya, ada tangan yang menepis dengan kasar. Air di dalam gelas gadis tadi tertumpah sedikit. 

"Excuse me! He's taken!" umum Kekwa dengan lagak diva, menyuarakan amaran keras.

Wanita tadi sempat menjeling sebelum berlalu pergi. Baqi menahan tawa. Boleh tahan garang si Kekwa. Apa dia fikir Baqi barangan peribadinya? Aneh, untuk Kekwa menjadikan seorang manusia miliknya. Tetapi, entah mengapa hati Baqi rasa berbunga. Dia tidak janggal untuk menjadikan dirinya milik Kekwa. 

Kekwa menarik lengan baju Baqi, mendesak lelaki itu mengikutinya ke suatu sudut yang sedikit lengang.

"Aku suruh kau datang awal sikit. Bawa hadiah. Dahlah lambat, lepas tu terhegeh-hegeh suruh aku book Grab. Sampai sama masa dengan Uwais pula tu. Lembablah kau ni. Takkan tu pun aku nak kena ajar?" bebel Kekwa. 

"Ala ... bukan lambat sangat pun. Aku bukan apa. Kawan baik aku, Aloi ada kat bilik hotel aku. Aku lepaklah kejap dengan dia. Dia datang dari jauh kut." 

"Masalah aku ke, kawan baik kau atau bini kau nak datang? Bila aku suruh buat sesuatu, kau setuju, buatlah ikut perjanjian!" Kekwa menjeling geram. 

"Kau tak bawa hadiah, kan? Datang tangan kosong aje?" tekanya. 

Baqi tersengih. 

Kekwa menyusupkan satu kotak kecil ke dalam poket jaket Baqi. 

Baqi memberi isyarat tangan.

"Look at me, Kek. I'm the gift. Aku tak perlukan hadiah pun. Orang akan tetap nakkan aku." 

"Oh, please ...," ujar Kekwa, skeptikal. Rasa meluatnya menjadi-jadi. Semangat Baqi adakala mengujakan. 

Selebihnya membuatkan dia berapi.

"Tak percaya?"

Kekwa memandang dengan air muka menyampah.

Baqi berundur beberapa tapak ke belakang dengan gaya nakalnya.

"Watch me closely then!" suruhnya.

Kekwa masih menunjukkan air muka menyampah. 

Baqi berjalan masuk ke dalam semula dengan penuh keyakinan. Tanpa memandang, dia sempat mencapai gelas jus di atas dulang yang dibawa pelayan ketika berselisih dengannya.

Kekwa menunjukkan ekspresi meluat, tetapi dia mengikut juga jejak Baqi ke dalam rumah. Tempo langkahan Kekwa sengaja dilambatkan. Dia berada beberapa tapak di belakang lelaki itu. 

Baqi menyusup di tengah-tengah himpunan tetamu yang sedang bersorak. Uwais sedang melantunkan bola pingpong ke dalam gelas air di atas meja. Dengan sekali percubaan, bola itu terus masuk ke dalam gelas. Sorakan para tetamu kedengaran lagi.

Baqi memberi isyarat pada lelaki yang menjaga meja game. Sebuah bakul yang penuh dengan bola dihulur kepadanya. Baqi mencapai tiga bola pingpong serentak. Semua mata tertumpu pada Baqi. Dua biji bola dilantun bersilang. Kedua-duanya masuk ke dalam gelas yang bersusun di hujung meja sebelah kiri dan kanan. Satu dilepaskan lewat sedikit, dicampak terus ke gelas tengah.

Sorakan yang lebih gamat kedengaran. Orked tampak teruja dan terus menjerit keseronokan. Baqi mengenyit mata sekali kepada Orked sambil bibirnya bergerak menyebut "for you" tanpa suara. Orked meletakkan tapak tangan di atas dada, tergoda dengan kehebatan Baqi.

Kekwa yang memandang dari satu sudut lain, mengangguk sekali sambil bibirnya mengukir senyuman. 

"Not bad," luahnya perlahan.

Uwais memberi isyarat kepada Baqi, mencabarnya untuk permainan membaling dart pula. Uwais membuat balingan dulu. Dart mendarat di dalam bulatan bull'seye, tetapi tidak di tengah. Baqi hanya memandang acuh tidak acuh pada papan dart dan seperti biasa, balingannya mendarat di tengah. Permainan itu sememangnya kegemaran Baqi di dalam bilik sewanya di Scotland.

Uwais tampak sedikit tercabar, tetapi masih cuba menjaga air muka. Dia memeluk pinggang Orked, seakan-akan mahu mengumumkan gadis itu miliknya walaupun dia gagal mengalahkan Baqi. Dia tetap pemenang. 

Kekwa menapak ke sisi Baqi. Gadis itu berpura-pura sedang membersihkan habuk di atas jaket Baqi. Pada mulanya, Baqi berasa aneh dengan lenggok gaya Kekwa. Tetapi, setelah dia membaca air muka Uwais, barulah dia mengerti. Uwais tampak bengang. Jadi, lelaki itu sebenarnya mahukan Kekwa, bukan Orked.

Apa maksudnya itu? Baqi berfikir. Mungkinkah perasaan Uwais terlantun ke Orked hanya kerana penolakan Kekwa? Tetapi mengapa? Bukankah Kekwa dan Orked bersaudara? Perbuatan Uwais boleh menjerat diri sendiri.

"Cuba bagi hadiah tu kat Orked sementara aku halaukan lalat yang tengah meracau tu untuk kau," bisik Kekwa.

Kening Baqi terjongket. Dia menguntum senyuman. Kekwa menyelar Uwais sebagai lalat? Menarik. Apa yang dibenci sangat dengan Uwais? Mungkinkah mereka ada sejarah berdua?

Kekwa melirik ke arah Uwais sebelum berjalan keluar semula, menuju ke sebelah kolam renang. Langkahnya perlahan. Selang beberapa tapak, dia berpusing dan memandang Uwais seketika.

Uwais segera membisikkan sesuatu di telinga Orked. Orked mengangguk-angguk seakan-akan sudah termakan alasan Uwais. Uwais cuba mengejar bayang Kekwa, meninggalkan Orked sendirian. 

Baqi tersenyum sahaja melihatkan senario itu. Dia tahu umpan yang dipasang Kekwa mengena. Aneh. Wanita itu tidak perlu berusaha keras. Dia boleh membuatkan lelaki yang kononnya berkelas seperti Uwais mengikutnya hanya dengan pandangan mata. Benar, Kekwa cantik. Tetapi, ramai lagi yang lebih cantik. Apa yang menyebabkan Uwais terjebak? Gaya Kekwa? Atau cara Kekwa membuatkan dirinya premium, tidak mudah untuk dimiliki dan tidak terdesak untuk memiliki. Kekwa mahal maharnya.

Uwais menapak keluar, tercari-cari ke mana bayangan Kekwa menghilang. Matanya tertuju pada Kekwa yang tampak daring di dalam gaun kuning cair. Kekwa sedang duduk di bangku menghadap kolam renang tanpa mengambil tahu tentang keberadaan Uwais. Dia seolah-olah hanya peduli akan dirinya. Uwais menapak perlahan dan melabuhkan punggung di sebelah Kekwa tanpa dijemput.

"You tak cakap nak balik."

"Sejak bila kita bercakap?" soal Kekwa. Dia menoleh sekejap, mengerling Uwais yang tampak resah. 

"I tak sangka you sekejam ni, Kek. Kan dulu kita kawan baik. Sampai hati you."

Kekwa tersenyum.

"Kawan baik?" Dia ketawa sebelum menyambung bicaranya. "Kalau you anggap I kawan, kenapa tiba-tiba ayah you datang melamar? Jangan beritahu I yang you tak tau."

"Okey, I mengaku I patut terus terang dengan you dari awal yang I memang suka you. Salah I buat benda mengejut macam tu," luah Uwais.

"Please ... you suka I? Kalau you suka I, macam mana you boleh tiba-tiba melompat pilih Orked lepas I tolak lamaran you? Cepatnya perasaan you goyang. How cheap, Uwais."

Riak wajah Kekwa bersahaja. Tidak menggambarkan sindiran panas yang baru terlontar daripada anak tekaknya. Dia sekadar tersenyum nipis sambil bermain-main dengan gelas air yang dipegangnya. 

"Tu rancangan keluarga I. Dia orang nak sangat berbesan dengan Tan Sri Jamal. I tak boleh tolak. Lagipun you ... you yang tolak I macam tu aje. Lepas tu you terus lari ke Scotland. I akan tunggu kalau I tau you akan balik."

"Don't flatter yourself, Uwais. I bukan balik sebab you pun."

"Habis? Sebab jantan tu? Sebab Baqi?" 

Kekwa tersenyum mengejek.

"Siapa cakap kat you yang I balik sebab Baqi? You siasat pasal I ke?"

"I selalu ambil tau pasal you, Kek. Tapi you yang tak pernah nak bagi I peluang. Sekarang you balik sebab nak temankan budak kampung tu? Apa kurangnya I? Apa aje jantan macam tu mampu offer pada you?" 

Uwais menggeleng, tidak boleh menghadam situasi yang dirasakan tidak adil itu. Apa lebihnya Baqi berbanding dirinya? Dia lebih daripada pelbagai segi. Atau setidak-tidaknya dia merasakan begitu. Uwais anak lelaki dan cucu lelaki tunggal dalam keluarganya. Walaupun dia tidak sekaya Tan Sri Jamal, dia berkemampuan untuk memberi kemewahan kepada anak perempuan tunggal rakan niaga ayahnya itu.

"Keterujaan. Dia ajak I pergi perang tanpa senapang. You? Apa aje yang you boleh tawarkan kat I?" soal Kekwa, seakan-akan mencabar.

"Perang? You tengah merepek apa ni, Kek?"

Dia menarik dagu Kekwa, mendesak wanita itu memandangnya.

"You tau I boleh bagi apa saja yang you nak. I love you so much. Kalaupun I kena serah tubuh I pada Orked, hati I ni akan selalu jadi milik you, Kek."

"Eww ...," ujar Kekwa dengan riak menyampah.

Dia cuba bangun. Tetapi, Uwais menariknya kasar, mendesak dia duduk semula.

"Eww?" soal Uwais, geram diejek.

Kekwa duduk memeluk tubuh. Bukankah dia yang sepatutnya marah? Biadab untuk Uwais membuat tawaran separuh hati itu kepadanya. 

"Perempuan mana yang nak makan ayat geli tu? Body I untuk dia, hati I untuk you. You dah kenapa, Uwais? Banyak sangat tengok drama televisyen ke?" 

"Habis? You yang tak nak terima I, kan?" soal Uwais.

Kekwa menekan telunjuk di atas bahu Uwais.

"Kalau I nak sesuatu, I akan ambil semua sekali. Jangan katakan tubuh dan hati, nyawa sekali I ambil. Jangan tawarkan sesuatu kat I suku-suku. Takkan kenyang," ujarnya dengan gaya diva. Kekwa bangun sekali lagi, mahu berlalu.

Uwais berdiri menghadap Kekwa yang sudah mula mengatur langkah.

"Dan kalau I sanggup bagi semuanya kat you?" 

Langkah Kekwa mati. Dia tersenyum sinis mendengar tawaran Uwais. Dia berpusing menghadap Uwais semula. 

"Buktikan." 

Uwais mengangguk. 

"I will ...."

Kekwa sekali lagi tersenyum sinis.

"Tapi kalau I bagi you semua, I sanggup lepaskan Orked. You boleh terima I balik ke? You akan cakap dengan ayah you yang you nak kahwin dengan I?" uji Uwais. 

Bibir Kekwa terkunci. Kenapa dia perlu menabur janji yang akan menyusahkan diri sendiri? Apa Uwais fikir lelaki itu berhak selepas mengkhianati persahabatan mereka dulu?

"Apa jaminan you akan terima I?" soal Uwais. 

Kekwa merapati Uwais semula. 

"Apa jaminan you takkan pergunakan I untuk kepentingan you aje?"

"You tau I ikhlas," ujar Uwais, cuba meyakinkan.

Kekwa menggeleng.

"Tak. I tak tau. Sila buktikan."

Previous: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.