Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 58

BAB RANDOM-

SATU petang setelah balik dari North End, Layla mengadu sakit kepala menyebabkan Faris risau. Faris menyuruh Layla tidur sahaja selepas memakan ubat. Lama juga Layla tertidur, bangun-bangun dan membuka pintu bilik sahaja, dia terbau bau masakan yang sangat menyelerakan. Dia ke dapur dan terkejut melihat Faris yang berpakaian santai dengan apron sedang menyediakan sesuatu di atas dapur.

 “Biar betul!” desis hatinya melihat Faris. Bau rosemary menusuk hidung. Sah, dia sedang memasak chicken rosemary untuk malam itu. Layla tahu kerana dia pernah belajar memasak lauk itu bersama Tok Zauyah. Sah juga Faris teringin untuk makan lauk kegemarannya setelah tiga hari makan diluar termasuk semasa di dalam penerbangan.

Bila Layla merapati sahaja ruang dapur itu bagai ada gerak rasa Faris menoleh sambil tersenyum.

“Dah okay sakit kepala awak tu?” soalnya mengambil berat. Layla mengangguk lemah. 

“Eh, pandainya awak masak.”  puji Layla tak percaya. Dia melirik dalam periuk yang berasap, beberapa kentang sedang direbus. Di tapisan ada sayur broccoli, cendawan, lobak merah dan kobis bunga. Sudah tentu Faris mahu mencelur sayur-sayur berkenaan untuk makan bersama ayam rosemary itu.

 “Kenapa?  Tak percaya ke?” tanya Faris kembali berpeluk tubuh.

“Susah saya nak percaya anak jutawan macam awak pandai masak macam ni. Kalau sandwich dan salad tu saya percaya. Tapi  main dish memang di luar jangkaan saya.” ujar Layla berterus-terang kemudian melirik pada Faris yang berapron itu. Boleh tahan juga bila lelaki itu pakai apron. Entah kenapa tampan sungguh di mata Layla. Teruja dia bila melihat seorang lelaki seperti Faris yang pandai memasak.

“Apa, awak ingat anak jutawan bukan manusia ke?” soal Faris kembali dengan sinis.

“Saya ingat bukan…”. Saya ingat awak raksasa tapi versi raksasa yang tampan! bisik Layla dalam hati sambil tersengeh. Alahai handsomenya abang aku ni dengan apron bagai. Memang menarik betul bila seorang lelaki pakai apron dan memasak tu. 

“Apa awak cakap?” tanya Faris memastikan, tadi dia kata aku bukan manusia? Sungguh kurang asam betul budak kecik itu, getus hati Faris pula.

“Err…ye   mestilah awak seorang manusia….eh... nasi awak tak masak ke? Tak kan makan kentang lenyek je? Saya dah rindu nasi ni. Last sekali saya makan paella aje. Masaklah nasi.” pintanya seraya mengubah tajuk perbualan.

“Kalau nak makan nasi,  awak masak sendiri. Kalau tak mau masak, makan aje apa yang saya masak ni.” komen Faris tidak puas hati.

“Hmmm…saya lapar nasi. Dah lama tak makan nasi. Tak apalah saya masak nasilah. Lagipun saya nak goreng sambal ikan bilis. Oh sedapnya.” ujar Layla. Kecur air liurnya. Dia bukan suka ayam rosemary yang tawar itu. Melihat saja dia rasa seperti ingin muntah. Loya tekaknya. Aik? Biar betul. Nak muntah? Aku mengandung ke? soalnya sendiri.

“Jangan nak mengada masak ikan bilis pulak. Makan saja apa saya masak.” marah Faris.

“Itu bukan favorite saya. Tak apalah, saya masak sikit saja. Saya janji tak kacau awak. Bolehlah ye abang. Saya teringin sangat ni. “ Abang? Faris pandang Layla macam tak percaya. Betulkah apa yang dia dengar? Layla menggigit jari. Aduhai terlepas panggil abang pula. Layla buat tak tahu tetapi dia perasan Faris yang memandang tajam padanya dengan wajah keliru. Cepat-cepat dia ke pantry mengambil ikan bilis dan kemudian mengisi beras ke dalam periuk nasi. Dia sedar masa memasukkan ikan bilis ke situ pantry itu penuh dengan barang makanan. Jelas ada orang yang telah lengkapkan stok makanan dalam rumah itu sebelum mereka datang.


AKHIRNYA bila terhidang di atas meja ketara betul perbezaan lauk kegemaran mereka berdua. Di bahagian Layla siap dengan sambal ikan bilis, telur dadar dan nasi putih. Di sebelah Faris pula ayam rosemary berkuah lada hitam, kentang lecek dan sayur celur ditabur lada hitam dan garam. 

Layla dengan tidak sabar terus saja menyenduk nasi ke pinggannya dan meletakkan lauk sambil diperhatikan oleh Faris. Faris kemudian berbuat perkara yang sama tetapi hanya mengambil lauk yang dia masak saja.

“Eh, baca doa dulu.” suruh Faris bila Layla sudah mahu menyuap. Mereka pun menadah tangan lalu Faris pun membaca doa. Selesai berdoa mereka pun makan dengan selera sekali. Terutama Layla. Walaupun sambal itu tidak sesedap masakan ibunya tapi cukuplah melepaskan idamnya buat sementara.

“Awak nak rasa?” tanya Layla pada Faris. Faris mengeleng.

“Eh tak apa…saya tak makan pedas.” balas Faris.

“Sambal saya ni tak pedas…saya guna cili merah saja. Rasalah.” Layla telahpun menyudu sambal tersebut mahu diberikan ke pinggan Faris. Faris mengeleng. 

“I’m okay. Jangan risau pasal saya.”

“Oh…okay. Tapi saya nak sayur awak tu…bolehkan?” tanya Layla meminta izin. Patutlah bersungguh menawarkan lauknya rupa-rupanya mahukan sayurnya, desis hati Faris sambil merenung wajah Layla yang comel di matanya.

“Sure…ambiklah.” katanya teruja.

“Thanks Faris.” balas Layla tersenyum. Faris memerhatikan gadis itu seketika yang nampak berselera makan.

“Nak rasa mash potato tu boleh?” tanya Layla lagi seperti kanak-kanak sahaja.

“Boleh...my pleasure sayang.” bisik Faris menyebabkan Layla sedikit tersentak namun terus meneruskan kunyahannya. 

“Mmm…sedap. Thanks Faris.” ucapnya.

“Bukan thanks abang ke?” tanya Faris tiba-tiba. Layla tersentak. 

“Err… kena panggil abang ke?” tanya Layla kelihatan tersenyum kekok. Serba-salah.

“Hmm…why not? It sounds good dan mesra. Lagipun kita kan dah…” namun kenyataan itu tidak diteruskan. Layla terdiam. Faris juga terdiam. Masing-masing tiba-tiba rasa tidak selesa. Layla cepat-cepat menghabiskan makanannya dan kemudian bangun dari meja makan lantas ke sinki membawa pinggan dan cawan.  Dia lantas membasuh cawan dan pinggannya dan meletakkannya di rak pinggan. Bila dia mahu berpusing untuk ke ruang makan, dia tak perasan yang Faris ada di belakangnya. Dia terlanggar dan hampir terjatuh tetapi dipegang oleh Faris segera. Takut juga kalau Layla terjatuh. Kemungkinan gadis itu hamil memang sering menerjah dalam fikirannya sejak di Cherating.

“Cepat sangat ni nak lari ke mana ni sayang?” tanya Faris lembut.

“Tak ada ke mana. Saya…saya..” Layla menelan air liur. 

“Please Layla, jangan larikan diri awak dari saya. Apa kata kita tinggal di sini bersama dan lupakan semua perjanjian kita dulu dan apa yang telah berlaku di Malaysia. Saya akan minta supaya awak tak perlu duduk dalam kampus. Berilah peluang pada perhubungan kita ni. Awak tentu dah dapat merasa betapa istimewanya hubungan ini kan? Saya pasti awak ada perasaan terhadap saya. Janganlah cuba menidakkan lagi apa yang kita dah kongsi bersama.” Layla terdiam. Tak pasti apa yang perlu dikatakan. Faris telahpun merapatkan kepala Layla ke dadanya. Sambil itu mengusap-ngusap kepala gadis itu. Rapatnya Layla dengan Faris sehingga Layla boleh dengar degupan jantung lelaki itu.

“Mungkin inilah masanya kita mulakan perhubungan kita sebagai suami isteri dengan cara yang betul. Saya mengaku dulu saya tak sedar bahawa awaklah yang terbaik untuk saya. Saya dah banyak menyakitkan hati awak. Saya buat macam-macam pada awak. Saya minta maaf. Boleh tak kita mula sekali lagi?” ujar Faris merenung ke dalam mata Layla. 

“Tunku Safinas?” tiba-tiba Layla mengungkit. Serta-merta hati Faris jadi panas. Dia memegang bahu Layla.

“Boleh tak jangan sebut nama dia! Saya tak suka!” ujarnya agak kasar. Punyalah dia memujuk tadi tapi Layla masih lagi mahu mengungkit tentang Tunku Safinas.

 “Tak suka? Tak suka?” soal Layla geram cuba merungkai pelukan Faris.

“Senangnya awak nak lepas tangan kan? Inilah lelaki. Bila dah dapat senang-senang saja nak lepaskan diri.  Saya minta maaf. Saya masih tak boleh terima apa yang awak dah lakukan pada Tunku Safinas. Jadi lepaskan tangan saya. Awak jangan harap apa yang berlaku harini mengubah segala apa yang telah awak lakukan pada Tunku Safinas. Saya masih tak percayakan awak.” Berubah wajah Faris. Serta-merta dia melepaskan Layla. Geram betul Faris bila nama itu diungkit lagi. Tak habis-habis lagi Layla menyebut nama itu walaupun tiada apa yang berlaku antara dia dan Tunku Safinas. Dia benar-benar marah menyebabkan dia mencapai jaket di pintu dan keluar dari apartment itu. Dia perlu tenangkan dirinya dari kekusutan dan amarah yang dia rasakan. Betapa sebelum ini dia berharap sangat beberapa hari itu Layla akan menerimanya semula tetapi ternyata tidak. Hanya dia sahaja yang memasang angan-angan kosong sedangkan Layla masih sama. Degil tak menentu. Siapa sangka gadis berwajah lembut itu mempunyai hati yang keras? Argghhh! Geramnya dia!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.