Tengku Zafri mengeluh perlahan. Tangannya tidak henti-henti meraup wajah yang sedikit berpeluh. Sudah hampir tiga jam dia menunggu di hadapan pintu wad bersalin. Badannya yang berasa letih langsung tidak diendahkan. Apa yang paling penting ialah keadaan isterinya yang sedang bertarung nyawa melahirkan anak sulung mereka di dalam.
Ahli keluarganya yang lain turut sama membisu. Sebentar tadi, puas dia dimarahi oleh Tengku Sharif kerana tidak mengambil cuti beberapa hari lebih awal dan menemani Nina yang sedang menunggu hari di kondonya. Bukan Tengku Zafri tidak mahu. Semakin hari semakin banyak kes jenayah yang perlu diselesaikan.
Namun, Tengku Zafri turut kesal dengan tindakannya yang kurang cerdik, meninggalkan Nina hampir seminggu lamanya gara-gara mahu menyelesaikan kes tersebut. Apa yang membuatkan Tengku Zafri lebih kesal adalah sikap Nina yang terlalu berdikari! Sehinggakan isterinya sanggup memandu sendiri ke hospital ketika air ketubannya pecah.
“Lambatnya!” Rungutnya perlahan sehingga didengari oleh Tengku Darra yang duduk di sebelahnya.
“Ishh kamu ni, Zaf! Ingat nak beranak tu senang ke. Daripada kamu sibuk mengeluh lebih baik berdoa semoga semua proses bersalin Nina dipermudahkan,” tegur Tengku Darra. Luarannya dia memang nampak tenang. Sedangkan hatinya turut berasa risau dengan keadaan menantunya itu.
‘Moga-moga semuanya baik-baik sahaja,’ doa Tengku Darra tidak henti-henti dalam hati.
Sedang Tengku Zafri ingin bersuara lagi, tiba-tiba pintu wad bersalin terbuka dan muncul seorang doktor perempuan yang berpakaian jubah putih sambil mencabut keluar sarung tangan getahnya.
Tengku Zafri bingkas bangun dari kerusi sehingga hampir terlanggar bahu Tengku Sharif yang terlebih dahulu mendapatkan doktor perempuan tersebut. Doktor tersebut tersengih-sengih melihat gelagat Tengku Zafri yang baginya agak biasa bagi semua lelaki yang baru bergelar ayah.
“Doktor, macam mana dengan Nina? Anak saya pula?” Soal Tengku Zafri dengan riak yang cemas.
“Jangan risau. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Tahniah, encik dapat anak perempuan,” beritahunya seraya tersenyum.
Tengku Zafri tersenyum lebar sambil di dalam hatinya tidak henti-henti memanjatkan seribu kesyukuran. Jelas kedengaran di telinganya suara ceria Tengku Darra kerana sememangnya menjadi harapan dirinya untuk mendapat cucu perempuan. Alhamdulillah, termakbul juga!
“Boleh saya tengok isteri saya dekat dalam, doktor?” Tanya Tengku Zafri, tidak sabar-sabar lagi.
“Boleh, encik. Tak ada masalah. Tapi, encik kena tunggu dulu sebab kami nak pindahkan isteri encik ke bahagian wad dulu. Lepas tu, bolehlah encik tengok Puan Nina. Sekarang ni, puan masih tidur di dalam. Keadaannya masih lagi lemah. Jadi, biarlah Puan Nina berehat dulu buat sementara ni.”
“Baiklah, doktor. Terima kasih."
“Sama-sama. Oh, ya. Pembantu saya sedang bersihkan anak perempuan encik di dalam. Lepas siap nanti, encik dah boleh azankan.”
Setelah doktor perempuan tersebut berlalu, Tengku Zafri terus mendekati Tengku Sharif yang sedari tadi tidak henti-henti tersenyum.
“Ayah, Zaf dah jadi bapa! Macam tak percaya yang Zaf dah ada anak,” tuturnya sambil mengesat air matanya yang tiba-tiba mengalir. Perasaan sayu mula menerjah dalam hatinya tatkala teringatkan Tengku Nadim. Bagaimana agaknya perasaan Tengku Sharif dan Tengku Darra tatkala berhadapan dengan kematian anak lelakinya itu. Sedih dan peritnya hati mereka tidak terkata.
“Didiklah anak kamu menjadi anak yang solehah, Zaf. Tanggungjawab kamu dah makin bertambah. Jangan nak buat perangai macam budak-budak lagi,” usik Tengku Sharif. Dia menepuk-nepuk bahu anaknya itu dengan mesra.
“Ayah, maafkan Zaf.”
“Kenapa pula kamu tiba-tiba minta maaf dengan ayah ni?” Soal Tengku Sharif dengan dahi yang berkerut. Hairan bin pelik!
“Zaf dah lukakan hati ayah dan Ummi dengan kematian abang Nadim. Sekarang baru Zaf faham bagaimana gembiranya hati seorang ayah setelah anaknya lahir dan betapa peritnya tatkala menangisi pemergian anaknya. Walaupun anak itu bukan lahir dari perut seorang ayah. Tetapi kasih seorang ayah terhadap anaknya tak pernah berbelah bahagi,” luah Tengku Zafri. Semakin laju air matanya berjujuran keluar.
“Sudahlah, Zaf. Kami dah lama terima kematian arwah Nadim sebagai suatu ketentuan. Kita sebagai manusia biasa tak boleh nak sangkal. Lagipun, ayah dan Ummi dah anggap kelahiran anak kamu sebagai pengubat luka dalam hati kami. Ummi pun nak minta maaf juga sebab terlalu ikutkan hati. Sampaikan kamu dan Nina jadi mangsa pelepas marah Ummi. Ingat pesan Ummi, jaga Nina elok-elok!” Bersungguh-sungguh Tengku Darra berpesan.
Perbualan mereka terhenti tatkala seorang jururawat keluar dari bilik bersalin sambil mengendong seorang bayi perempuan. Tengku Zafri dengan berhati-hati mengambil bayi perempuannya dari jururawat tersebut.
“Azankan anak kamu, Zaf,” arah Tengku Sharif.
Tengku Zafri mengangguk perlahan. Dengan perasaan yang bercampur-baur, untuk pertama kalinya bergelar seorang bapa benar-benar memberi dirinya kebahagiaan yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Pertama kali mengazankan puteri sulungnya hampir membuatkan air mata Tengku Zafri menitis. Masing-masing yang mendengar turut berasa sayu bercampur gembira menerima anugerah yang terindah tersebut.
Tengku Zafri tercungap-cungap mencari nafas sambil tangan kanan memegang dada yang terasa sakit. Dia sempat menjeling ke arah Nina yang begitu nyenyak tidur di atas katil. Barangkali keletihan setelah menahan sakit selama beberapa jam di bilik bersalin tadi. Risau pula jika suara erangannya yang boleh tahan kuat membuatkan Nina terjaga.
Dia memegang tangan Nina lalu menciumnya bertalu-talu. Untuk kesekian kalinya, air mata mengalir lesu di pipi. Tengku Zafri memejamkan rapat matanya bagi mengurangkan rasa sakit di dadanya.
“Abang,” panggil Nina perlahan. Dia menarik tangan Tengku Zafri sebelum mengusap tangan itu penuh kasih.
“Abang,” panggil Nina lagi apabila Tengku Zafri masih tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Tengku Zafri yang seakan baru tersedar dari mimpi cepat-cepat mengelap air matanya. Tengku Zafri tidak mahu Nina terlalu risaukan dirinya. Sengaja dia membiarkan wanita kesayangannya itu dalam diam tertanya-tanya mengapa dirinya menangis tadi.
“Sayang dah bangun?” Dia bangun dari duduknya lalu mengucup lembut pipi Nina.
Nina tersenyum sambil menganggukkan kepala.
“Saya hauslah, bang.”
“Tunggu sekejap. Abang ambilkan air untuk sayang, ya,” Tengku Zafri berjalan ke meja kecil yang terletak di sudut bilik. Ketika dia sedang menuang air ke dalam cawan, sakit di dadanya kembali menyerang menyebabkan botol mineral yang dipegangnya terlepas jatuh dari tangan.
“Abang!” Panggil Nina. Nada suaranya kedengaran agak cemas.
“Abang okaylah, sayang. Botol ni licin sangat,” ujar Tengku Zafri sambil tertawa perlahan. Sedaya-upaya dia cuba menyembunyikan kesakitan yang sedang dialaminya dari pengetahuan Nina
“Hati-hati sikitlah, bang. Nasib baik bukan air panas. Kalau tak, mesti tangan abang melecur. Terus jadi tak lawa dah.”
Tengku Zafri tersengih-sengih. Segelas air dihulur kepada Nina.
“Abang dah tengok baby kita? Comel macam saya tak?”
“Comel macam ayah dialah,” balas Tengku Zafri sehingga mengundang tawa Nina.
“Terima kasih sayang sebab dah lahirkan zuriat untuk abang. Abang nak Nina jaga anak kita baik-baik. Didik dia jadi insan yang berguna,” tutur Tengku Zafri dengan nada yang sebak. Dia tidak mampu lagi mengekang air matanya dari mengalir keluar.
“Insyaallah, Nina janji, abang. Kita akan sama-sama didik dan jaga anak-anak kita sampai akhir hayat kita berdua.” Sengaja ditekankan perkataan anak-anak. Supaya suaminya mengerti yang dirinya memerlukan lelaki itu untuk membesarkan puteri sulung mereka dan juga bakal adik-adiknya kelak. Bukan seorang diri. Tetapi berdua! Sama macam orang lain juga.
Tengku Zafri terdiam. Dia memandang sayu ke arah Nina yang masih tidak menyedari perubahan pada riak wajahynya.
“Abang tak mampu nak janji, sayang….,” bisiknya sekadar menggerakkan bibir tanpa suara.
Abang nak minta maaf kalau abang tak mampu nak tunaikan janji abang. Abang sayangkan Nina dan baby kita. Abang cintakan sayang. Kalau abang dah pergi nanti, tolong jaga anak kita sebaik mungkin. Jaga diri baik-baik ya, sayang……
“Apa abang merepek ni? Nina minta abang tolong jangan cakap macam tu lagi. Nina tak suka….”
Tangan Nina cuba mencapai pergelangan tangan Tengku Zafri. Namun, tangannya tidak dapat menyentuh tangan suaminya, tangannya hanya mampu menembus tangan itu.
“Abang……? Abang!”
Nina terus terbangun dari tidurnya. Di dalam kegelapan bilik, tangannya teraba-raba mencari anak perempuannya yang sedang terlena di sebelah.
“Raisya….” Di saat tangannya menyentuh pipi Raisya, automatik air matanya mengalir laju menuruni pipinya.
“Nina rindukan abang,” bisiknya bersama rasa yang semakin sesak di dalam dada.