Home Novel Cinta Nak Pilih Yang Mana?
Nak Pilih Yang Mana?
14/9/2013 20:00:35
18,604
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 5

BAB 5

Mentari petang sudah lama melabuhkan tirainya menyembunyikan diri. Kini giliran malam pula melepaskan layarnya menyapa penghuni bumi. Zulaikha mengeringkan rambutnya dengan tuala dan membungkusnya selepas mandi. Sambil bernyanyi-nyanyi kecil dia turun makan malam dengan keluarganya. Zulaikha telah belajar banyak perkara untuk hari pertama dia bekerja. Memang penat. Setiap masa hanya mengira wang yang banyak berlambak-lambak diberikan oleh pelanggan bank untuk disimpan. Buat balancing dan membuka akaun simpanan dan akaun semasa untuk pelanggan banknya. Itu tak kira lagi Jabatan lain yang melibatkan pembelian saham dan tukaran wang asing. Memang mencabar bagi dirinya yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia perbankan. Hari ini dia sampai rumah pun sudah lewat pukul 6.30 petang.

“Kak, macamana dengan hari pertama kerja? Seronok tak?” tanya adik Zulaikha dengan penuh harapan. Dia suka sangat mendengar cerita-cerita selingan harian dari kakak kesayangannya itu. Bila mendengar kisah luar dari dunia sekolahnya dia rasakan macam bertambah kebijaksanaannya di dalam meranduk kehidupan remajanya.

“Seronok... Seronoklah sangat!” Zulaikha menaikkan ibu jarinya sebagai menyokong kenyataan tadi. Wajahnya menunjukkan keletihan mental. Sepasang mata almondnya kelihatan kuyu, letih. Dia tak mampu nak senyum manis dengan Shila lagi. Senyumnya sudah habis dia sedekahkan kepada semua pelanggan banknya hari itu.

“Akak makan lunch dengan budak bank tadi.” Sambil membuka baju untuk mandi, Zulaikha sempat lagi bercerita.

“Ye ke? Lelaki ke pompuan?” tanya Shila dengan nada suara yang agak taksub.

“Cuba teka?” Umpan Zulaikha. Sengaja nak buat adiknya berasa geram tak sabar untuk mendengar ceritanya. Tangannya mengirai rambut dan membalut tuala pada bahunya.

“Citalah kak, Citalah kak.” Rengek Shila. Dia menghempas punggungnya kasar di atas katil yang dia kongsi bersama dengan Zulaikha. Berenjut tilam empuk bercadar cerah itu dibuatnya.

“Eemm... dengan lelaki.” Balas Zulaikha tersenyum simpul mengumpan. Seronok tengok adiknya ‘gelojoh’ macam tu.

“Lelaki? Wah! Handsome tak? Cayalah kak. Baru hari pertama dah ada orang minat tu....” puji Shila. Dalam kepala otaknya dia mula berangan yang indah-indah. Manis roman wajahnya semanis gambar buatan di dalam fikirannya.

“Bolehlah tahan...” lantas dengan pantas Zulaikha mematikan perbualan mereka. Dia masuk bilik mandi tergesa-gesa untuk mengelak diri dari adiknya. Shila berdecit halus tak puas hati kerana tahu kakaknya memang sedang mengenakan dia. Perasaan ingin tahunya sedang meronta-ronta hebat, dahagakan kisah pengalaman Zulaikha untuk hari itu. Dalam diam Shila menyimpan hasrat untuk menjadi seperti kakaknya.

Tiba-tiba wajah Mazli yang berkumis nipis itu menjengah kotak fikiran Zulaikha. Berubah serta-merta rona wajah gadis lincah itu. Sedikit rasa tak selesa mencuit hatinya. Mazli tu agak gelojoh sikit perwatakannya langsung tak gentleman walaupun dia perasan yang dia gentleman.Kutuk Zulaikha dalam hatinya.Zulaikha menyambung lagi,jejaka yang handsome seperti ala-ala Mat saleh tu dan kawannya yang berambut hitam berkilat dan segak, mereka tu bahagian manalah agaknya ya? Tubuhnya kurus tapi tidaklah melidi. Zulaikha tidak dapat hendak mengecamkan wajah kawannya yang berambut hitam itu kerana pada masa tersebut Zulaikha hanya nampak belakang badan dia saja. Tentunya mereka tu best friendkan? rumus Zulaikha. Ketika itu, segaris senyuman manis menjalar pada bibirnya yang mungel itu. Pasti siapa yang melihat akan tertawan. Makanya tuala yang membalut rambutnya tadi disangkut dengan kemas pada tempatnya.

Fikirannya masih merumus-rumus hal-hal di pejabat lagi. Terutama pasal dua orang pemuda yang kontras warna rambut mereka itu. Seorang coklat dan seorang hitam. Hehehe... Pemuda berdua itu telah menggamit perhatiannya. Kemesraan mereka jelas boleh dilihat walaupun mereka tu lelaki. Zulaikha menyambung andaiannya. Bangga juga dia kerana kebanyakkan staf yang bekerja di bank itu boleh dikatakan segak-segak dan bergaya belaka baik lelakinya mahupun yang perempuan. Walaupun mereka sudah berkahwin tetap ada ‘umphnya’. Harap-harap aku pun tergolong macam mereka, seronoknya! Angan Zulaikha. Tiba-tiba wajah Zulaikha bertukar kelat bila teringatkan staf yang bernama Mala. Perempuan itu ibarat watak emak tiri dalam cerita Snow White. Garang dan zalim! Zulaikha mula mencemikkan mulutnya. Perasaan jengkel dan meluat menyelinap ke dalam hatinya. Lantas decitan kecil meluncur keluar tanpa disengajakan.

‘Heee, Menyampahnya!’ getus hati Zulaikha geram tatkala wajah gadis bermata sepet itu muncul lagi bermain dilayar mindanya. Sampai terherot bibir Zulaikha bila bayangan jelingan mata Mala tergambar kembali. Jelingan itu tajam, menghina. Menyombong betul minah tu, gerutu Zulaikha lagi. Hhmmm...

Minah tu kerek semacam. Macamlah dia bagus sangat. Tak boleh nak silap sikit pasti ada yang kena herdik dengan dia. Macam singa laparlah perangai perempuan tu … serta-merta tersengih Zulaikha bila terbayangkan wajah singa lapar. Bila dibayangkan kembali wajah Mala tu, memang pun persis singa kerana rambut Mala yang ala-ala maggie itu mengerbang macam kepunyaan rambut sang singa. Hehehehe...

Kening Zulaikha terangkat-angkat bila dia cuba menggambarkan kembali wajah staf-staf bank yang lain dalam fikirannya. Dia cuba untuk mengingati semula nama dua orang pemuda yang kecoh petang tadi.‘Siapa agaknya pemuda yang berambut hitam tu ye? Siapa nama dia? Yang ala-ala Mat saleh tu... tak silap Kent Helmi tetapi this other guy. Siapalah pula dia? Heem… tak sabar-sabar rasanya nak kerja esok!’ Fikiran Zulaikha semakin menerawang tinggi sehingga ke langit tujuh.

Selepas makan malam bersama-sama dengan keluarganya, Zulaikha lantas naik ke biliknya semula dan mengeluarkan baju kebaya labuh warna pucuk pisang dari dalam almari untuk digosok. Dia bercadang hendak memakainya esok. Sepanjang masa makan bersama-sama dengan keluarganya tadi hati Zulaikha memanjang berdebar-debar. Manakan tidaknya, dia bimbang sangat kalau-kalau Mak Zara akan mengungkit pasal sepupunya Kamal tu lagi. Sedangkan otaknya dah penat sangat untuk berhujah dengan maknya kalau-kalau isu itu berbangkit. Tetapi sepanjang masa menjamu selera tadi mujurlah Mak Zara tak sentuh langsung akan hal ‘kahwinnya’. Lega hati aku, desis Zulaikha.

Sudah beberapa kali Zulaikha menguap semasa dia menggosok bajunya. Mengantuk sangatlah tu. Oh! Itu sudah pastinya. Sudahlah pada waktu siang tadi dia puas berjalan ke hulu ke hilir dalam bangunan bank itu. Meluas dia berjalan, mengalahkan macam makan angin. Seluruh tenaganya serasakan bagai disedut keluar. Kalau macam ni hari-hari tak payah nak berdiet-dietlah. Sah-sah aku akan kekal maintain slim, getus Zulaikha. Tangannya cekap melayarkan seterika di atas baju kebayanya.

“Kak Zu, sambunglah cerita tadi. Budak lelaki tu macam mana rupanya? Siapa namanya? Kedekutlah kak Zu ni. Ceritalah!” Pinta Shila tiba-tiba tak sabar. Nak menyambung semula perbualan yang terhenti siang tadi. Shila sedang tekun mengulangkaji pelajarannya di meja tulis bersebelahan katil. Sejak di meja makan lagi hatinya bagai digeletek-geletek nak tahu pasal lelaki yang makan dengan kakaknya itu.

“Ingat lagi kau pasal tu ye! Tu sejarah depan mata tu. Layan dulu.” Tegas Zulaikha. Anak matanya tepat menghala ke arah buku di atas meja. Shila tersenyum malu-malu. Sedar dirinya bersalah kerana menyibukkan hal orang.

“Alah. Kerani bank... biasa je orangnya. Hitam manis dan bermisai nipis. Tetapi akak tak berkenan sangatlah Shila. Not my taste. Lagi pun dia ni macam gelojoh sikit. Nampak sangat macam dia tu desperate. Heee! Sabar jelah. Sepanjang masa makan dengan dia tu, akak ni menahan je rasa nak tumbuk muka dia yang selamba tu. Kasihan pun ada juga.’ Terang Zulaikha.

“Shila, kak Zu masuk tidur dululah ye. Ngantuk sangat hari ni,” sambil dia merebahkan badannya pada katil empuk yang sudah sedia menanti. Tangannya memeluk erat bantal panjang dan menutup matanya setelah usai membaca surah Al-Fatihah dan tiga Qul. Sudah menjadi kelaziman kepada dirinya setiap kali sebelum tidur.

“Selamat malam kak Zu.” Shila masih lagi tekun mengulang kaji. Langsung tidak berganjak dari tempat duduk itu. Menoleh pun tidak. Hanya bibirnya sahaja yang bergerak-gerak memberi ucap selamat kepada kakak kesayangannya. Puas hatilah tu selepas Zulaikha bercerita mengenai makan tengaharinya dengan budak bank. Barulah Shila dapat fokus pada pelajarannya.

“Selamat malam.” Jawab Zulaikha lalu melelapkan matanya. Dia terus terlena tanpa sempat bermimpikan apa-apapun untuk malam itu. Letih sungguh gamaknya.

Matanya mula kesat dan terasa panas. Mazli mengelip-ngelipkan matanya sepantas yang boleh untuk membasahkan bebola matanya yang mula mengering. Lama betul dia merenung skrin komputer. Sedari petang tadi asyik mengadap komputer untuk menyiapkan laporan bulanan kredit untuk dihantar ke Bank Negara. Sekali-sekala dia menggeliat bagi mengendurkan segala urat-uratnya yang sedang tegang. Mazli melihat jam di tangan, sudah pukul 8.00 malam. Perutnya pun dah mula bermainkan lagu keroncong asli. Sejak dari tengahari tadi hanya nasi saja yang masuk di perutnya, untuk minum petang pun dia tak sempat. Malah, Rais dan Kent rakan serumahnya sudah lama pulang. Nak makan apa ye hari ni? Bila memikirkan apa nak dimakan terasa malas nak ke kedai pun ada…tetapi perut lapar. Dah malam-malam begini mana ada nasi kalau ada pun dah sejuk, siang tadi punya…nak makan mi goreng mamak, heeem...terasa muaklah pula. Banyak betul alasan yang muncul. Kalau dah lapar tu sebat sahajalah rezeki yang ada. Tak kisah makan apa. Ni tidak, nak memilih pula. Cubalah bersyukur sikit dengan apa yang ada! Tiba-tiba hatinya mula bertazkirah mengingatkan dirinya yang ‘terlupa’ diri sekejap tu. Lantas, Mazli bangun dari kerusi perlahan-lahan dengan malas dan mengemaskan beg sandangnya yang dia sentiasa bawa.

What everlah…”Getus hatinya. Satu keluhan kecil tercicir dari mulutnya dan nafasnya dilepaskan berat. Dia menggeliatkan badannya sekali lagi.

“Asalkan aku makan dan perut tak kosong dan aku kenyang.” Sambungnya lagi malas nak fikir banyak menyesakkan urat-urat otaknya yang sudah sedia penat. Mazli lantas menghayun langkahnya menuruni anak tangga pejabat. Mazli bersiul-siul kecil menghiburkan hatinya. Selera makannya sedang membara ke tahap maksima sekarang ini.

Rais Furqan sedang terbaring di atas sofa panjang di ruang tamu. Sepasang pijama kelabu bercorakkan kotak-kotak kecil merah hati menyaluti tubuhnya yang langsing itu. Sedikit anak rambut depan Rais terjuntai jatuh di dahinya. Membuatkan wajahnya kelihatan comel keanak-anakkan. Dia terlena sebentar semasa sedang menonton televisyen. Tubuhnya dibelai lembut oleh angin yang datangnya dari kipas di siling rumah. Nyenyak sungguh dia terlelap. Kent pula berada di dalam biliknya sedang melayan internet dan berchatting dengan ibunya yang sekarang ini sedang berada di Australia. Ibu dan bapa Kent baru saja bercerai tiga tahun lepas dan Kent merupakan anak bongsu dari dua beradik. Kent ada abang dan sekarang ini sedang berada di Jepun menguruskan cawangan perniagaan ayahnya di sana.

Mereka sangat jarang bertemu. Jadi terang-teranglah Kent keseorangan di sini. Hanya mengharapkan kepada Rais sajalah sebagai teman paling rapatnya. Segala sakit-pening dan suka-dukanya hanya kepada Rais dikongsikan bersama. Ibarat isi dan kuku dan macam aur dengan tebing.

Bye mum,’ coretan terakhir dari Kent untuk menamatkan perbualan internet dengan ibunya. Kent mengeluh halus lalu Lap top di tutup dan Kent keluar dari biliknya. Matanya melilau mencari teman ‘istimewanya’ bila kelibat Rais tidak kelihatan di mana-mana. Hanya suara televisyen saja yang kedengaran mengisi kesunyian rumah itu. Hatinya terdetak bimbang kerana rumah itu terasa seperti tiada berpenghuni. Sunyi. Bayang Rais pun dia tak nampak. Kent berlalu menjenguk ke ruang dapur sebentar kalau-kalau Rais ada di situ. Tiada. Dia melangkah keluar. Berjalan melepasi pintu biliknya dan sebelahnya, bilik Rais. Mazli mungkin belum balik lagi kerana pintu biliknya masih tertutup kerana kalau Mazli ada di rumah dia suka membuka pintu biliknya, bagi peredaran udara katanya.

Kent melangkah ke ruang tamu. Lantas hatinya berdebar-debar bila ternampakkan sekujur tubuh Rais sedang lena, terbaring di atas sofa panjang. Salah satu dari tangannya terletak di atas dahi dan wajahnya kelihatan tenang dan damai. “Comelnya….” bisik hati Kent. Tiba-tiba perasaan nak menyakat timbul mencuit hatinya. Kent menarik nafasnya dalam-dalam kerana dia perlu berhati-hati agar Rais tidak terkejut dari tidurnya. Dengan langkah yang perlahan macam harimau meninjau mangsanya Kent mendekati sofa itu. Penuh berhati-hati dia menghampiri Rais. Lalu dia mencangkung sebelah Rais. Sepasang matanya merenung wajah yang sedang lena itu. Bila dah dekat semakin jelas dada Rais berombak dengan teratur menarik nafas dengan tenang. Keadaan ini telah membuatkan Kent tidak dapat menahan nalurinya lagi. Ingin disentuhnya bibir Rais yang penuh dan kemerahan itu. Kent menjadi tidak tentu arah dan serba-salah. Nafasnya yang dilepaskan menjadi tersekat-sekat. Seluruh pandangannya sudah dikaburi dengan imej Rais yang kelihatan comel sedang tertidur itu.

“Apa yang aku nak buat dengan mamat ni ye? Cubit pipi dia yang sedang tidur tu? Atau jerit kat telinga dia? Mata Kent merenung. Tanpa Kent sedari tangan kanannya mula bergerak dengan sendirinya mengarah ke situ…. ke bibir penuh kepunyaan Rais. Geramnya! Comel betullah kau ni Rais! Desis hati Kent. Ya Allah! Kenapalah Allah jadikan kau ni comel sangat? Patutnya kau ni memang kena jadi adik aku. Hari-hari aku...

“Hah! Buat apa tu?” Sergah Mazli secara tiba-tiba. Kent terkedu terus. Pintu di belakangnya ditutup dengan perlahan dan berhati-hati tanpa menghasilkan sebarang bunyi. Lalu Mazli menuju terus ke dapur tanpa menoleh kearah Kent dan Rais lagi. Macam tiada apa-apa yang ganjil telah berlaku. Dia sudah lama menahan rasa dahaga semasa menunggu bas untuk pulang ke rumah tadi. Langsung bergegas-gegas dia ke dapur mencari air. Apa yang Kent hendak lakukan kepada Rais langsung dia tak ambil endah. Memang dia tak kisahkan pun. Lagipun Kent dah memang selalu berperangai macam tu. Menyakat Rais Furqan adalah keistimewaan Kent dalam rumah itu!

Pada waktu yang sama Kent dengan penuh rasa gelabahnya segera mengalih tangannya menyentuh tangan Rais di dahinya.

“ Wei, Rais! Bangun, sembahyang Isyak… amboi sedapnya kau tidur,” mujurlah dia dapat bertindak secara spontan untuk menutup perbuatannya. Kent menghela nafasnya, lega. Walaupun sudah menjadi kebiasaan dia menyakat Rais tetapi kali ini dia memang terkejut gila dengan kemunculan Mazli yang tiba-tiba itu. Bergegar jantungnya. Rancangannya langsung terbantut. Hilang terus ideanya nak mengenakan Rais.

Terperanjat betul Kent dengan kepulangan Mazli secara tiba-tiba tu. Tanpa isyarat atau sebarang bunyi tau-tau saja sudah masuk ke dalam rumah. Tak dapat nak dibayangkan sekiranya Mazli ternampak akan perbuatan Kent sedang menyentuh bibir Rais. Apa reaksi dia agaknya? Muka Kent mula merona merah kerana menahan malu sendirian bila dia cuba membayangkan keadaan itu. Tak dapat dia nak bayangkan. Pasti kecoh malam itu jadinya. Betul ke? Bukan ke dia memang ‘raja sakat’ dalam rumah itu? Rais mengangkat kelopak matanya dengan berat.

Rais bangun dan masih terpisat-pisat terjaga dari tidurnya. Dia menggosok-gosokkan matanya. Dia memfokuskan matanya. Cuba mengamati sekeliling. Kelihatan Kent berada di sebelahnya sedang duduk di hujung sofa tempat dia berbaring. Kent tersenyum memandangnya.

“Hah, mengigaulah tu. Dah tak ingat dah yang awak tu ada kat mana?” usik Kent dengan senyuman yang cuba disembunyikan. Rais termenung seketika cuba mengingati balik apa yang sudah terjadi. Televisyen masih terpasang.

“Eh, dah pukul berapa dah ni? Aku tertidur rupanya. Huh! Mengantuk betul,” Kent masih memandang wajah Rais. Tiba-tiba tangannya pantas saja menyelak helaian rambut Rais yang jatuh di dahi dengan lembut. Ingin saja rasanya dia memberikan ‘ciuman curi’ di pipi Rais yang masih mamai dengan ngantuknya. Rais kelihatan sungguh comel dalam keadaan begitu. Terpisat-pisat mengantuk. Tentu dia akan terperanjat atau akan marah ke dia? Gumam Kent dalam hatinya. Berbagai-bagai bayangan bersilih ganti bermain-main dalam fikiran nakal Kent. Otaknya mula ligat membuat congakkan.

‘Kalaulah Rais tahu apa yang hendak aku lakukan kepada dia sebentar tadi bagaimana?’ bisik hati Kent. Pandangan matanya telus menikam wajah Rais. Apa lagi pasti akan berlaku adegan kejar-mengejar antara merekalah. Mazli pula akan jadi tukang damai antara mereka berdua.

Rais sedikit terkejut dengan tindakan Kent yang tiba-tiba tu. Sambil menepis tangan Kent yang sedang tersenyum, Rais segera bangun dan menuju ke arah bilik air untuk mengambil wuduk bila dia melihat jarum jam sudah menunjukkan pukul 10.00 malam. Kent menemani langkah Rais dengan sorotan matanya yang redup.

Jantung Kent sedang berdegup dengan sangat kencang, terasa sakit bagai nak terkeluar dari dadanya. Sedikit perasaan marah menerjah hati Kent, niatnya untuk menyentuh bibir mungel kepunyaan Rais yang selama ini diidam-idamkannya terbantut dek Mazli yang telah muncul secara tiba-tiba. Kadang-kadang Kent amat kagum bila merenung wajah Rais. Betapa agungnya dan ajaibnya ciptaan Tuhan. ALLAH maha berkuasa mencipta segala makhluk. Dan ciptaan ALLAH ini amat indah. Tak jemu-jemu dia menatap wajah Rais yang tenang dan bersih itu. Wajah kesayangan hamba, gumam Kent sendirian.

“Kacau daun betul,” Kent terus duduk di sofa panjang itu sambil tangannya mencapai remote control tv dan menukar channeltv sambil menguatkan semula volumenya. Masih terasa hangatnya sofa itu, kesan dari haba badan yang Rais tinggalkan.Kent meletakkan tangannya di situ.

“Bila masa pula mamat ni balik? Tak dengar pun dia buka pagar rumah?” Kent memandang kearah pintu yang tertutup rapat dan kemudian matanya dikalihkan ke arah pintu dapur di mana Mazli sedang menikmati air sejuk dengan nikmatnya.

“Lambatnya kau balik Mazli, dah siap ke report kau tu? Kau dah makan ke?” laung Kent tanpa menanti jawapan dari Mazli. Sekadar hendak berbasa-basi saja. Atau lebih tepat lagi nak menghilangkan sebarang sangkaan yang mungkin ada pada fikiran Mazli ketika itu. Kent Helmi masih terbayangkan wajah Rais yang lembut sedang tidur dibuai mimpi. Masih terasa lagi sakit di dadanya menahan debaran. Keimanan Kent benar-benar rasa tercabar.

Rais Furqan pemuda yang sedang bertakhta di hati Kent sekarang ini. Rambut pendek Rais yang hitam berkilat dan lurus itu, menambahkan lagi ketampanannya atau lebih sesuai lagi dipanggil cute pada pandangan mata Kent Helmi. Dialah penawar dan dialah racun buat Kent. ‘Adik’ yang tak pernah Kent miliki selama ini. Tetapi telah muncul di sini buat peneman dan penenang jiwanya yang kesunyian.

“Rais, tahukah kau betapa kau amat istimewa buat ku,” bisik Kent sambil kelopak matanya dipejamkan rapat-rapat bagaikan tak ingin kehilangan bayangan wajah Rais dari mindanya. Rasa sayang dia pada Rais hanya ALLAH sahaja yang tahu. Kedengaran bunyi kipas angin menemani Kent di ruang tamu itu.

Di dalam biliknya, selesai Solat Isyak Rais masih lagi duduk di atas tikar sembahyang. Rais masih terfikir-fikir kenapa Kent buat begitu. Tak semena-mena tangan Kent menghela rambut di dahinya dengan lembut. Perbuatan Kent itu membuatkan emosi Rais terasa sedikit kacau dan di waktu yang sama terasa mesra. Rais menarik nafasnya dalam-dalam. Jiwanya seperti entahlah tak tahu apa nak kata seperti ‘disayangi’. Rais kebingungan, seluruh tubuhnya terasa hangat bila dia mengingati kembali peristiwa tadi dilayar fikirannya. Senyuman Kent terbayang diruang matanya. Hhmm...

“Mungkin perasaan aku je, Kent macam abang aku sendiri. Mungkin sebab itu layanannya kepada aku macam tu..” pintas hati Rais cuba berhenti dari memikirkan perkara yang bukan-bukan.

Kent seorang yang memang suka bergurau. Lagi pun dia sudah rapat dan selesa dengan aku. Apa yang hendak di hairankan? fikir Rais. Aargh! Kadang-kadang gurauannya melampau! gerutu Rais lagi. Tangannya menggomol-gomol dan mengusut-ngusutkan rambutnya yang pendek dan hitam itu kerana geram bila terkenangkan perangai Kent Helmi yang kuat menyakat itu. Huh, sabar jelah!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.