18
Amalia bersandar di kerusinya. Fail yang diserahkan oleh Encik
Farhan sebentar tadi diletakkan di atas meja. Amalia tahu dia sepatutnya
berjumpa dengan Cik Diana untuk mengetahui bagaimana kerja ini boleh dimulakan.
Tetapi dalam pada masa yang sama dia takut untuk melihat reaksi Cik Diana
apabila Cik Diana tahu bahawa Encik Farhan telah memberinya satu fail yang agak
besar jumlah urusniaganya. Setelah berfikir, akhirnya Amalia menolak perasaan
takut jauh-jauh dari hatinya. Dia tahu dia perlu menunjukkan potensi yang baik
di syarikat ini. Semua kejayaan adalah bergantung kepada dirinya sendiri.
Amalia membuat keputusan untuk berjumpa dengan Cik Diana selepas rehat makan
tengahari.
Ketukan di pintu kedengaran. Sharifah, kerani yang mula-mula
bertegur sapa dengan Amalia kelihatan berdiri di muka pintu.
“Cik Amalia, kalau tak keberatan, saya nak ajak Cik Amalia keluar
makan tengahari dengan saya. Di bawah bangunan ini ada kantin,” Sharifah
berkata.
Amalia tersenyum. Dia tidak sedar bahawa masa telah berganjak ke
pukul 1.00 tengahari.
“Baiklah, saya pun dah lapar,” Amalia terus bangun lalu mengekori
Sharifah untuk menuju ke kantin.
Mereka berdua memilih meja yang agak jauh dari orang ramai. Amalia
telah memesan mee goreng manakala Sharifah memilih nasi campur.
“Cik Amalia dah jumpa dengan girlfriend
Encik Farhan? Tadi saya nampak mereka berdua keluar, ” Sharifah memulakan
perbualan.
“Cik Farhana tu ke?” Amalia bertanya untuk mendapatkan kepastian.
Sharifah mengangguk.
“Cantik orangnya kan?
Maklumlah model dan pelakon iklan…,” Sharifah berkata.
Amalia mengangguk. Patutlah dia rasa macam pernah melihat wajah Farhana,
mungkin dalam salah satu iklan yang disiarkan di televisyen.
“Mereka tak nak kahwin lagi ke?” Amalia bertanya pula.
“Mereka tu baru je berkawan. Ada
dalam lima atau
enam bulan kot. Masih awal sangat lah kalau nak kahwin,” Sharifah berkata.
“Encik Farhan tu pun baru je balik dari luar negara. Baru habis
belajar. Dulu Datuk Kahar yang kendalikan syarikat ni. Bila Encik Farhan dah
habis belajar, dia terus ambil alih. Tapi mereka berdua memang baik. Bukan
mereka berdua saja, malah boleh dikatakan kesemua ahli keluarga mereka
baik-baik. Encik Farhan tu pun dua beradik je. Adik perempuan dia masih belajar
di Tingkatan Lima,”
“Banyak ya yang Sharifah tahu tentang Encik Farhan,”
“Kami semua macam tu. Kami di sini macam satu keluarga. Itu yang
Encik Farhan selalu tekankan. Dia pun rajin buat makan-makan di rumah keluarga
dia. Dan selalunya dia mesti jemput kami semua,” terang Sharifah.
“Cik Farhana ni macammana orang nya?” Amalia bertanya lagi.
“Macam saya kata tadi, dia okey. Tapi kuat cemburu sikit…,”
“Kenapa awak kata begitu?”
“Ya lah…boyfriend dia tu handsome, baik pulak tu. Encik Farhan
memang baik dengan kami semua. Selalu bergurau. Kadang-kadang ajak makan
bersama waktu tengahari. Cik Farhana tu macam tak suka. Dia nak Encik Farhan tu
tumpukan perhatian pada dia seorang sahaja,”
Amalia tersenyum. Itu memang sifat semulajadi wanita. Sukar untuk
berkongsi barang kesayangan. Ya, memang Encik Farhan seorang lelaki yang kacak.
Kesempurnaan dirinya ditambah pula dengan sikap baik hati dan mengambil berat.