Home Novel Cinta Jane & Cassandra (Sudah Terbit)
Jane & Cassandra (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/1/2025 09:17:59
832
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

DIA menguap buat ke sekian kalinya. Jam di telefon pintar menunjukkan sudah pukul 2.30 petang. E-mel yang diterima mengatakan majlis akan bermula pada pukul 2.00 petang. Kalau dia tahu perkara begini akan berlaku lagi, sudah pasti dia tidak  tergopoh-gapah makan tengah hari dan menunaikan solat zuhur sebelum memulakan perjalanan.

Telefonnya bergetar, tanda ada mesej masuk.

Dah mula ke? – Nik, 2.33PM

Dia menaip dengan pantas.

Kau rasa? – Leila, 2.33PM

Agak ekstrem. Nik cuma memberitahu dia supaya bersiap cepat. Lelaki itu tidak kata pun dia perlu ke panggung wayang secepat mungkin. Bukan salah Nik kalau dua orang pelakon utamanya masih berada entah di mana sementara para wartawan menunggu sejak pukul 1.00 petang.

Kalau sampai pukul 3 pun dia orang masih belum mula, balik ajelah ke ofi s. Tak worth it. It's not even a good movie – Nik, 2.34PM

Leila tergelak membaca mesej itu. Tipikal perangai Nik. Lelaki itu paling tidak suka kalau perlu menunggu majlis bermula. Kalau kata pukul 2.00, harus bermula pukul 2.00. Kalau kata tamat pukul 5.00, pukul 5.00 dia akan terus balik. Katanya, dia masih banyak kerja mahu dibuat dan tiada masa nak menghadap benda-benda enteng yang suka dibuat pengelola majlis. 

Set – Leila, 2.35PM

Pada jam 3.15 petang, lima minit sebelum para bintang fi lem seram yang ditunggu-tunggu oleh semua wartawan muncul tanpa sebarang permohonan maaf kerana terlambat lebih sejam. Leila membuat keputusan untuk kembali ke pejabat.

Kalau para pelakon tidak serius mahu mempromosikan fi lem, dia juga tidak perlu serius untuk menghadap mereka. Kalau dia boleh sampai ke majlis tepat pada masanya sekalipun perlu ke acara lain sebelum itu, mereka juga boleh lakukannya.

"Awalnya balik?" tegur Mahima sebaik sahaja Leila muncul di muka pintu. 

Si teman merangkap rakan perniagaan sedang menaip sesuatu di komputer riba. Bukan main rapat komputer riba itu pada perutnya yang semakin membesar. Tubuhnya pula disandarkan pada bantal dengan kedua-dua belah kaki di atas sofa.

"Tak kuasa dah nak tunggu." 

Leila menanggalkan kasutnya di tepi pintu. Kamera jenis Nikon yang digantung di leher disimpan semula ke dalam almari yang sepatutnya, lantas dia menurunkan tandatangan pada papan senarai. Tanda dia sudah memulangkan harta pejabat.

Harta pejabat kata mereka. Tetapi sebenarnya harta Nik. Kebanyakan barang di pejabat itu ialah harta Nik. Sofa berkepala kuning dan berbadan kelabu yang menampung berat Mahima itu pun milik Nik. Almari berwarna kuning dengan permukaan coklat itu juga dibeli oleh Nik. Malah, pelekat lantai vinil bercorak kayu yang menyembunyikan simen kelabu hodoh yang datang bersama lot kedai itu juga dibeli menggunakan duit Nik.

Tetapi, itu tidak bermakna semua benda yang ada di pejabat mereka milik Nik. Pendingin hawa 2.8 kuasa kuda ditaja oleh Mahima. Begitu juga dengan ketuhar gelombang mikro dan pemanas air di pantri. Rak kasut dan kabinet pantri dibeli oleh Ramie, sekalipun gadis itu tidak lagi bekerja di syarikat yang sama. 

Leila sendiri pula menaja bidai yang menutup tingkap dan tirai yang menghiasi pintu pantri. Dia juga belikan semua meja kerja walaupun kerusi masing-masing dibeli menggunakan duit sendiri kerana setiap pekerja mempunyai pilihan berbeza. Barang-barang yang boleh dikira benar-benar barang pejabat hanyalah mi, kopi dan teh segera di pantri.

Syarikat mereka tidaklah sebesar mana, tetapi Leila tetap bangga dengan semua yang mereka miliki. Kali pertama Nik menyuarakan hasratnya untuk menjadi pencipta kandungan, dia dan lelaki itu sama-sama bekerja di sebuah syarikat penerbitan. Katanya, sudah bosan menguruskan laman sesawang syarikat yang dirasakan terlalu tegar dan tidak kreatif. Niat lelaki itu disuarakan ketika mereka sedang makan tengah hari bersama di kedai mamak. 

"Jom," ujar Nik tiba-tiba ketika Leila baru nak menyuap nasi goreng cili api ke dalam mulut. 

"Jom apa?"

"Jom buat business sendiri. Aku dah ajak Mahima, Ben dengan Ramie. Dia orang okey aje. Sabtu ni, aku nak jumpa Joshua dan tanya apa-apa yang patut. Kalau kau nak join, jomlah."

"Joshua?"

"Joshua KUACI."

"Kuaci Media, maksud kau?"

"Yes."

Semuanya berlaku dengan pantas. Dia dan Nik bertemu Joshua dan rakan  perniagaannya, Razman untuk bertanya lebih lanjut tentang bidang yang mereka ceburi. Nik menghantar surat berhenti kerja dua hari selepas pertemuan itu lalu diikuti oleh Mahima, Ben, Ramie dan Leila sendiri.

Sebulan kemudian, Projek Laksa berjaya ditubuhkan dan berpusat di rumah bujang Nik. Lapan bulan kemudian, mereka berpindah operasi ke sebuah lot kedai. Lima tahun kemudian, mereka masih bertapak di tempat yang sama. Daripada lima, sudah jadi enam orang. Ramie dan Ben berkahwin lalu berhijrah ke luar negara pada tahun ketiga. Tempat mereka berdua digantikan oleh pekerja-pekerja lain dan begitulah seterusnya. 

"Mana yang lain?" tanya Leila sambil memandang sekeliling.

"Nik keluar jumpa klien. Abang Jo belum balik dari PC. Putri pula pergi urus payment freelancers," balas Mahima.

Matanya sedikit pun tidak beralih daripada skrin.

"Kau seorang ajelah ni?"

"Ya. Dekat pantri ada burger kalau kau lapar. Tadi aku beli dua, ingatkan lapar sangat. Rupa-rupanya satu pun dah cukup." 

"Should you be eating burger?"

"Anak aku lapar burger," jawab Mahima mudah.

Leila tergelak. Dia mengenali Mahima sejak wanita itu masih anak dara. Kini, Mahima sudah menjadi ibu beranak dua yang bakal melahirkan anak ketiga dalam beberapa bulan sahaja lagi.

"Oh, tadi ada orang telefon ofis. Katanya nak bercakap dengan kau. Aku kata kau tak ada. Jadi, dia minta nombor telefon kau. Aku kata kita orang tak boleh bagi nombor telefon staf sesuka hati. Lepas tu, dia kata nanti dia telefon balik," beritahu Mahima panjang lebar. 

Leila berkerut dahi memandang si teman.

"Siapa?"

Mahima menghembus nafas panjang, cuba mengingati nama si pemanggil. 

"Apa ya? Nama dia macam .... Apa nama artis Akademi Fantasia yang popular dulu, lepas tu dah tak popular sangat tu?"

"Hah? Ramai. Yang mana satu?"

"Alah, yang sekarang jadi DJ tu. Maswi ke apa entah."

Leila rasa macam darah naik ke muka.

"Mawi?"

"Ya! Asmawi nama dia. Dia kata nanti dia call kau balik."

Leila mengangguk. Dia sedar dia mengangguk. Dia boleh rasakan gerakan kepalanya naik dan turun. Telinganya macam berdesing, walaupun hakikatnya sedikit pun tidak berdesing. Dia nampak mulut Mahima terbuka dan terkatup mengatakan sesuatu  yang tiada kaitan lagi dengan Akademi Fantasia mahupun Mawi, tetapi Leila tidak dengar buah butirnya. 

Asmawi.

"Ma, aku nak keluar sekejap. Kalau Nik balik, cakap dengan dia aku masih kat TGV." 

Mahima yang masih berbicara topik entah apa segera berhenti membebel.

"Kau okey ke tak ni?"

"Hah? Ya, okey. Aku rasa aku tertinggal barang kat TGV."

"Oh, okey."

Leila tahu Mahima tidak percayakan kata-katanya. Tetapi dia harus pergi dari situ. Dia tidak boleh berada di pejabat tatkala Asmawi membuat panggilan sekali lagi.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.