Home Novel Cinta CINTA INI, tak seindah biasa.
CINTA INI, tak seindah biasa.
Azlina Ismail
7/8/2023 14:04:09
15,686
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

“Puaslah hati kau sekarang, Safa!” Berdiri sambil mengcekak pinggang. Mata pula dijegil seluas mungkin. Kalaulah dia seekor singa, sudah lama gadis di depan ditelan hidup-hidup.

Safa Hawani terkejut dengan herdikan itu pantas berpaling. Matanya dengan spontan dijulingkan ke atas. Lekas-lekas dia memalingkan muka semula sambil mencebik mulut. Menghadap sungai lagi baik daripada mengadap muka orang yang menjerkahnya.

‘Macam mana dia tahu aku kat sini? Ei, menyemak betullah dia ni.’ Safa Hawani berdecit kemudian merengus halus. Berdepan dengan makhluk ini kesabarannya perlu ditingkatkan ke tahap yang paling maksimum. 

“Sejak bila jadi pekak?” Geram apabila melihat musuhnya buat tidak endah. Dia merengus kasar. Tangan disilang, memeluk tubuhnya yang langsing. Mata dicerlungkan ke arah gadis yang telah dicap sebagai musuh abadinya.

“Hoi, Safa! Kau dengar tak?”

“Apa masalah kau ni, Hana?” Safa Hawani rasa jengkel. Muka diva itu langsung tidak dipandang. Meluat. 

Hana merengus lagi. 

“Kau. Kau tu masalah aku! Pasal kau, boyfriend aku kena keluar dari kampung ni. Puaslah hati kau sekarang!” Oktaf suara Hana sangat ketara marah. 

Ikutkan hati Hana yang kepanasan mahu saja kepala itu ditunjal sebaik melihat Safa Hawani mencebik. Terkejut dia sebaik mendapat berita tentang pemergian Aiman. Bertambah geram apabila mendapat tahu bahawa Safa Hawani menjadi penyebab.

“Puaslah hati kau!” Hana menempik.

“Ye, memang hati aku puas! Puas sangat-sangat. Jadi, puas hati kau Hana dengan jawapan aku?” Tahap meluatnya bersusun bertingkat-tingkat. Sudah setinggi menara berkembar rasa jengkelnya terhadap Hana.

“Kau memang cemburukan aku dari dulukan, Safa? Kau memang tak pernah senang tengok aku dengan Aiman, kan? Dalam diri kau tu, penuh dengan sifat hasad dengki kat aku. Tengok muka kau, ei sakitnya hati aku!” hambur Hana sambil kecil besar mata.

Safa Hawani menjulingkan lagi mata ke atas. Dia menghembus nafas dan kemudian mengigit bibir pula. Masih lagi cuba bersabar dengan Hana kalau tidak sudah lama tubuh  langsing itu berada di dalam sungai di depan secara lemparan paksa. 

“Kenapa diam? Jawablah!” Hana bengang. Ketenangan di muka Safa Hawani bagaikan racun buatnya.

‘Apa masalah minah ni? Dari dulu sampai sekarang, tak habis-habis cari pasal dengan aku?’ Safa Hawani menggigit kuat bibir.

“Kau memang cemburu kat aku, kan!” Hana jelas mahu mencari gaduh.

“Wei, Hana!”

Hana lekas-lekas berpaling kemudian spontan bibir dicebik. 

“Apa masalah kau, Hana? Tak habis-habis cari pasal dengan Safa.”

“Kau jangan sibuk, boleh tak? Ni, antara aku dengan Safa.” Hana mengetap gigi, menahan geram. Dia memandang kembali Safa Hawani.

“Safa! Kau memang hati busuk. Tak habis-habis cemburukan aku dengan...”

“Kau ni apa hal, Hana? Aku, tak pernah kacau hidup kau. Bukan kau tu ratu sekolah? Kenapa pula aku yang tak cantik ni, nak cemburukan kau?” 

“Kau, Safa...” Hana mengetap gigi.

“Wei, sudahlah Hana! Apa Safa buat sampai kau benci sangat kat dia? Tak faham betullah aku dengan kau ni?”

“Kau diamlah, Iqbal!”

“Eh eh. Aku ada mulut. Suka hatilah nak cakap apa!” Ahmad Iqbal bengang.

“Memang patutlah kau jadi kawan baik si Safa ni. Korang berdua ni, betul-betul daripada spesis terancam. Memang sesuai sangatlah korang bersatu!”

“Amboi kau Hana, tak sayang mulut betul. Kami ajelah yang terancam. Habis, spesis macam kau tu, taklah?”

“Orang macam korang ni, memang kena bagi pupus!” Kembang kempis hidung Hana.

“Hei, Hana. Kalau kau nak tahu, spesis macam kau tu berlambak kat pasaran tau. Spesis, suka dengki kat orang. Bersepah sana sini!” Ahmad Iqbal geram. Kelancangan mulut Hana semakin meningkat tahap pencapaiannya.

“Kaukan, Iqbal. Aku dah kata, ni antara aku dengan Safa. Kau tak payah menyemak kat sini. Tak payah nak bela dia.”

“Safa tu kawan aku. Kat mana yang salah kalau aku nak bela dia? Kenapa? Kau cemburu sebab Safa ada kawan?”

“Aku? Cemburukan Safa?” Hana ketawa sinis walhal jauh di lubuk hati, Safa Hawani adalah gadis yang sangat digeruni. Gerun dengan aura gadis itu sebenarnya.

“Dah sewel kot dia ni?” Ahmad Iqbal memandang hairan ke arah Hana.

“Hei, Iqbal. Memang padan sangatlah gaya gayah dengan kau. Mulut dah macam longkang!” Hana mencebik.

“Habis, mulut kau macam apa? Macam tongkeng ayam? Pot pet, pot pet macam mak nenek. Hello minah pot pet. Muka aje cantik tapi kalau mulut macam mak nenek, lari laki kau nanti. Jaga sikit mulut kau tu, ya!”

“Kau...” giginya diketap sekuat mungkin. Hana memandang muka mat patah dengan nafas turun naik. Ada juga makan penamparnya nanti.

“Apa? Kau nak gaduh? Marilah.” Ahmad Iqbal menggayakan gaya orang bertinju. 

“Ish. Dahlah korang ni!” 

Ahmad Iqbal diam manakala Hana, masih berombak dada menahan marah. 

‘Dua sahabat ni kalau bersatu...’ Hana merengus geram. Kenapalah Ahmad Iqbal perlu menyemak sama?

“Macam nilah, Hana,” Safa Hawani terpaksa memandang muka Hana walaupun malas sebenarnya.

“Apa kata, kau Google aje kat mana kekasih kau tu daripada buang masa bertekak dengan aku. Tak ada faedah pun. Takut nanti, boyfriend kau tu lari lagi jauh. Aku, datang sini nak tenangkan kepala aku tengah berserabut. Kau pula, datang macam angin ribut. Terbang habis semua ketenangan aku. Baik kau balik, Hana.”  

Hana mengecilkan mata sambil menggigit kedua bibir yang disaluti gincu merah menyala. Mahu berasap kedua telinga mendengar kata-kata Safa Hawani. Kecil besar memandang musuhnya yang sedang duduk di tebing sungai. 

Hingga hari ini, Hana masih tertanya-tanya apa sebenarnya terjadi kepada Aiman dan apa kaitan dengan Safa Hawani? Menambahkan lagi kehairanannya ialah, mengapa Aiman perlu keluar dari kampung?

“Apa tercegat kat situ lagi, Hana? Cepatlah. Pergi cari buah hati kau tu!” Semakin menyampah Ahmad Iqbal melihat Hana terlebih perasan diri diva. 

“Safa, jangan ingat kau akan terlepas. Dendam aku kat kau tak pernah padam. Lepas aku dapat korek apa dah jadi nanti, kau akan dapat malu!”

“Suka hati kaulah, Hana. Jangan nanti, malu tu terpalit kat kau balik. Aku nasihatkan, tak payahlah sibuk-sibuk, ambil tahu apa dah jadi.” Ahmad Iqbal mengerling sekilas ke arah Safa Hawani di sebelah. Muka temannya masih kelihatan tenang walaupun perbuatan dan kata-kata Hana boleh mengundang pergaduhan secara berjemaah.

“Okey. Hari ni hari korang. Hari aku akan sampai juga!” Hana terus melangkah pergi sambil menghentak kaki. 

Bertelingkah dengan pasangan sahabat selalu saja tewas memihaknya. Nasib baiklah Ahmad Iqbal lelaki kalau tidak, sudah ditonyoh mulut itu dengan selipar. Hana menghidupkan enjin motorsikal. Sengaja memulas minyak supaya bunyi ngauman motornya berkumandang. Hingga berkepul-kepul asap putih keluar daripada ekzos motor. 

Safa Hawani masih memusatkan pandangan ke arah sungai. Malaslah mahu menyemakan kepala dengan perangai Hana yang tidak habis-habis mencari pasal dengannya.

Ahmad Iqbal pula memandang Hana sedang memecut motor. Menggeleng berkali-kali. Tidak faham betul dengan perangai Hana yang begitu mencemburui Safa Hawani sejak dulu. Apalah ada pada Safa Hawani hingga begini sekali Hana membenci sahabat baiknya? 

Tetapi, Ahmad Iqbal terperasan sesuatu. Diantara Hana dan Safa Hawani, raut muka Safa Hawani boleh membuat mana-mana lelaki menoleh dua kali. Walaupun berlagak keras, ayu tetap ada pada Safa Hawani.

“Kalah perangai mat rempitlah minah diva ni. Bunyi motor macam ribut, jalan macam siput.” Ahmad Iqbal gelak kecil. 

Ahmad Iqbal mengalihkan pandangan ke arah Safa Hawani. Dia menghela nafas. Awal tadi, dia ke rumah Safa Hawani namun hampa apabila Mak Cik Rohaya mengatakan gadis itu tiada di rumah. Hatinya kuat mengatakan bahawa Safa Hawani pasti ke tempat biasa mereka melepak. 

Ahmad Iqbal merenung sisi kiri muka Safa Hawani yang beraut agak kelat. Dia kagum sebenarnya dengan ketabahan Safa Hawani, tidak terlalu melayan trauma. Dia juga bersyukur kerana sempat menyelamatkan sahabatnya tempoh hari. Jika terlambat... tidak dapat dibayangkan apa bakal dihadapi oleh Safa Hawani?

“Safa.” Ahmad Iqbal melirik lalu menilik raut muka itu dari tepi. Dari tadi, pandangan Safa Hawani hanya tertumpu ke arah sungai.

“Hmm.” Itu sahaja yang keluar daripada mulut Safa Hawani yang kemudiannya meletak dagu ke lutut. 

“Safa, kau macam mana? Okey tak?” 

Safa Hawani mengangkat muka perlahan-lahan, memandang Ahmad Iqbal. 

“Bibir kau...” terkejut Ahmad Iqbal sebaik melihat bibir kanan Safa Hawani. Ada kesan lebam yang sudah sedikit kekuningan warnanya.

Safa Hawani hanya senyum hambar.

“Kenapa tak cakap kat aku? Kalau aku tahu, biar aku ajar cukup-cukup Aiman tu!” Tangan dikepal. Geram apabila terkenangkan perbuatan kejam Aiman. Langsung tidak perasan Safa Hawani cedera di bibir tempoh hari.

“Iqbal, dahlah. Yang penting, dia dah jauh dari sini.” Perlahan nada suara Safa Hawani.

“Sakit tak?”  

Safa Hawani tergelak kecil. Apa punya soalan ditanya oleh Ahmad Iqbal? Sampai lebam bibirnya, tidak sakit lagi?

“Aku tak buat lawaklah, Safa!” 

“Ya, tahu. Dah tak sakit pun.”

Senyap.

“Iqbal...” Safa Hawani menyulam senyum.

“Kenapa?”

“Amboi nada kau, garangnya.” Gelak lagi Safa Hawani apabila menyedari Ahmad Iqbal sedang memainkan watak seorang lelaki sejati dan dia pula sebaliknya.

“Kenapa kau gelak, Safa?” Berdebar-debar pula hati Ahmad Iqbal.

“Iqbal, terima kasih sebab selamatkan aku hari tu.”

“Untuk apa ucap terima kasih? Kalau orang lain pun aku akan tolong juga.”

“Iqbal. Aku nak tanya kau satu soalan?”

“Apa dia?”

“Kat mana kau belajar silat?” 

“Kau nak tahu?” Ahmad Iqbal melihat Safa Hawani menggangguk.

“Kat mana lagi, kat atuk akulah.”

“Atuk kau? Atuk yang mana?” Safa Hawani mengerut kening. Setahu dia, Ahmad Iqbal mana ada atuk?

“Belah mama aku. Kira macam atuk saudaralah.” 

“Oh. Kalau macam tu, bolehlah ajar aku?” Lagak Ahmad Iqbal mahu membodeknya sebelum ini, ditiru. Safa Hawani menjongket kening berkali-kali. 

“Tak payah buat macam tulah, Safa. Tak sesuai dengan kau gaya aku tu. Dah, berhenti. Nak tergelak aku.”

“Bolehlah, Iqbal. Sekurang-kurangnya kalau jadi apa-apa kat aku nanti bolehlah aku ‘bantai’ balik orang tu.”  

“Tak payahlah. Aku akan selalu ada kat sisi kau. Aku janji akan jaga kau.”

“Sampai bila kau nak jaga aku, Iqbal? Satu hari nanti, kita akan bawa haluan masing-masing. Tolonglah Iqbal. Yang asas pun tak apalah. Ajarlah aku.” Safa Hawani masih mahu mencuba nasib. 

“Yelah, yelah. Nanti aku ajar. Dah, cukup-cukuplah kau sedih sehari dua ni. Kau kena kuat. Ingat. Apa yang dah jadi, aku harap tak melemahkan kau. Bukan salah kau tapi lelaki-lelaki kat luar sana tu. Terlalu layankan sangat nafsu serakah diorang sampai akal yang dikata ada sembilan, tak boleh pakai.”

“Terima kasih sebab sudi jadi kawan aku, Iqbal.” Manik-manik jernih, mula jatuh. Hati perempuannya, begitu terusik dengan apa dikatakan oleh Ahmad Iqbal. 

“Safa. Janganlah nangis. Aku tak sukalah tengok kau macam ni. Nanti, aku pun join sekali nangis.” 

Safa Hawani tergelak kecil. Ces... masih berbaki lagi kelembutan dalam diri Ahmad Iqbal. Dia terperasan, mata mat patah digenangi air. 

Akhirnya... mereka tertawa bersama


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.