Home Novel Cinta CINTA INI, tak seindah biasa.
CINTA INI, tak seindah biasa.
Azlina Ismail
7/8/2023 14:04:09
15,686
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Safa Hawani merenung bekas makanan di hadapan. Hari ini, termenung saja kerjanya. Tumpuan di dalam kelas juga sedikit hilang. Tidak banyak ilmu masuk ke dalam kepala. Pertanyaan demi pertanyaan Ahmad Iqbal, tidak diendah begitu juga dengan sungutan sahabatnya itu. 

Dia menarik dan menghembus nafas panjang. Puas memikirkan tentang apakah kesalahan yang telah dilakukan? Semakin jauh dia termenung hingga tidak sedar tangan menongkat pipi kiri. Nasi goreng di dalam bekal, dikuis-kuis dengan sudu. 

“Kau ni kenapa, Safa!” 

Sergahan itu menyentakkan Safa Hawani dan lekas-lekas dia berpaling. Matanya dijulingkan ke atas sebaik melihat susuk itu mempamerkan senyum simpul. Dia merengus halus. Mengacau betul. Nak layan blues sekejap pun tidak boleh. Mulut dicebik.

“Kenapa apa?” Safa Hawani bertanya dengan nada perlahan.

“Ei, boleh tanya aku balik? Jawablah soalan aku dulu!”

“Soalan apa, Iqbal?”

“Kaukan, Safa. Nak kata mati laki, tak kahwin lagi. Kenapa monyok macam dah telan cuka sebotol? Apa masalah kau ni?”

“Amboi mulut kau Iqbal.” Safa Hawani menjeling.

“Kenapa!” Ahmad Iqbal sudah menjerit. Geram kerana soalannya tidak berjawab.  

Beberapa pasang mata di sekitar kantin menjeling ke arah mereka berdua.

“Sakitlah telinga aku. Nak bagi aku pekak? Kalau nak jerit, pergilah tengah padang sana.” Turun naik nafas Safa Hawani memandang Ahmad Iqbal sambil tangan menggosok telinga kanan berlapikan tudung putih. 

“Cepatlah jawab, Safa. Aku jerit lagi kuat nanti!” 

“Tak ada apa-apalah. Iqbal. Aku, tengah fikir macam mana nak cari duit lebih...”

“Kau tak cukup duit? Berapa kau nak?” 

“Bagi aku habis cakap dulu, boleh tak?” Safa Hawani merengus halus lagi.

“Okey. Cakaplah.”

“Mak Cik Melah... dah pecat aku,”

Ahmad Iqbal sudah ketawa besar. 

“Apa yang lawak sangat ni, Iqbal?” Mencerlung mata Safa Hawani melihat ulah mat patah.

“Patutnya, dah lama kau pecatkan diri kau tu.”

“Eh, kenapa pula aku kena berhenti?”

“Kaukan, akal letak kat lutut? Dah berapa lama kau tolong mak cik tu?”

“Dekat setahun setengah. Kenapa?” Kening Safa Hawani bertaut.

“Berapa upah dia bagi kat kau?”

“Sepuluh.”

“Tengok. Sepatutnya upah kau bukan banyak tu. Kau patut dapat upah lebih lagi. Takkan kau tak perasan, kuih jualan mak cik tu dah makin laku sekarang. Itulah, entah apa Mak Cik Melah bagi kau makan sampai tak boleh fikir?”

“Kau ni, Iqbal. Tak baik kata Mak Cik Melah macam tu. Dia baik, apa?”

“Baik kau kata? Baiklah sangat. Kedekut, taik hidung masin lagi adalah...”

PAP!

“Sakitlah Safa. Luruh jantung aku ni, kau kutip.” Ahmad Iqbal menyilangkan tangan kanan ke bahu kiri. Menggosok belakang tubuh yang menjadi mangsa tamparan bekas makanan dipegang oleh Safa Hawani.

“Tak kuasa aku. Kutiplah sendiri. Jantung kau. Bukan jantung aku.” Safa Hawani mencebik.

“Kaukan, Safa. Ei...” Ahmad Iqbal menjeling.

Senyap.

“Dahlah, Safa. Ni pasal Mak Cik Melah kau tu, lupakan ajelah. Lagipun, kau bukan orang susah. Yang nak susahkan diri, cari duit lebih tu kenapa? Kau nak beli apa sampai sanggup bersusah-payah macam ni? Dah lama aku nak cakap benda ni kat kau, malas aje. SPM dah makin dekat. Apa kata, guna peluang ni belajar. Yang tu pun nak kena aku cakap!” 

Safa Hawani menunduk. Ayat berjela-jela daripada Ahmad Iqbal memang banyak benarnya. Betul, hidupnya bukanlah susah mana pun. Sebelum mendapat keizinan ayah, puas mencipta bermacam-macam alasan. 

Dia pun tidak tahu mengapa beria-ia mahu menolong Mak Cik Melah? Sebenarnya, dia merasa seronok. Bolehlah juga mengisi masa lapang. Lebih baik daripada melepak-lepak sahaja. Ada juga sedikit ilmu masakan dapat dia pelajari. 

“Kau fikir apa lagi ni? Apa aku cakap, tak betul? Sudah, lupakan aje semua. Tumpu pada exam kita tu.” Ahmad Iqbal semakin geram melihat kebisuan Safa Hawani.

“Termenung apa lagi, Safa!” Memekik pula Ahmad Iqbal.

“Kuss semangat. Terkejut aku. Kau Iqbal... huh. Malas aku nak cakap apa lagi. Yelah, yelah. Aku ikutlah nasihat kau tu.”

“Hah, bagus. Macam tniah anak murid yang baik. Tak sia-sia aku ambil kau jadi anak murid aku, Safa.” 

Safa Hawani menjuihkan bibir sedang Ahmad Iqbal sudah gelak besar.



***



Safa Hawani merengus kasar. Hatinya kepanasan walaupun hujan sedang turun dengan begitu lebat, mencurah-curah ke tanah. Tiada langsung suhu sejuk dirasai. Tepat anak mata, dipicingkan ke arah susuk di depan. Tidak faham bahasa betul! Sudahlah tu, berani pula menghalang perjalanannya.

“Safa, janganlah macam ni.” Dia cuba menyambar lengan Safa Hawani tetapi dengan pantas tangannya ditepis. 

“Apa ni! Semua orang tengah tengok kita. Tak malu?” Muka Safa Hawani semakin merah menahan marah.

“Nak malu apa? Saya bukan buat apa-apa pun kat awak. Tolonglah, Safa.” Ada dia kisah dengan mata-mata memandang. 

“Aku tak tahu nak cakap bahasa apa lagi kat kau? Aku kata tak nak, tak naklah!” tenggelam timbul suara Safa Hawani dek bunyi hujan yang kuat.

“Saya tetap nakkan awak, Safa.”

Senyap.

“Kenapalah kau jadi macam ni, Aiman? Tepilah. Aku nak lalu!” 

“Tak nak!” Aiman berdegil.

Safa Hawani semakin hilang sabar namun cuba untuk bertahan. Dia was-was mahu membolosi ruang di sebelah Aiman. Bimbang jika Aiman bertindak di luar batasan. Sudahlah lorong laluan berbumbung di sekolahnya agak sempit. Hujan pula sedang lebat hinggakan dia tidak dapat mengelak ke sebelah sana. Basah bajunya nanti. 

Dia merengus lagi. Aiman, seperti makhluk asing. Hampir dia tidak mengenali Aiman. Berbeza benar tingkah Aiman itu hari ini. Apa masalah Aiman?

“Jangan sampai penampar aku hinggap kat muka kau!” Safa Hawani semakin geram.

“Awak ingat, saya tunggul kayu? Safa. Kenapa payah sangat nak kata, ‘ya’?”  

“Kali terakhir aku cakap, aku TAK NAK! Jadi, ke tepi. Aku nak lalu.” 

“Jangan harap!” Aiman dengan berani mula mendekati Safa Hawani

“Aduh. Apa ni, Safa!” Aiman menyeringai kesakitan. Dia menunduk. Kemudian dia melutut ke lantai kerana menahan senak yang semakin menular.

Safa Hawani mengambil peluang ini dengan pantas melarikan diri. 

“Ambil kau! Padan muka. Degil sangat. Aku suruh ke tepi, tak nak. Memang sengaja cari penyakit. Kan dah kena penendang aku ni,” bebel Safa Hawani sambil berjalan laju. Langsung tidak menoleh, melihat Aiman sedang menahan senak kerana ditendang di... faham-faham sendirilah. 

“Safa.” 

Safa Hawani berhenti melangkah. Suara memanggil namanya sangat dikenali. Tercungap-cungap sedikit nafas seperti dia berlari satu padang. Cuba mengatur pernafasan yang agak lintang-pukang hingga kembang kempis hidung. Kemudian, dia berpaling sambil mengukirkan senyuman.

“Kesian kat Aiman kau buat macam tu. Tak patut betul kau ni, Safa.” 

Serta-merta senyumannya ditarik kembali. Safa Hawani menjeling tajam ke arah susuk itu kemudian menjuihkan bibir. Menyampah! Tidak padan dengan lembut! Kalau dah sama spesis tetap juga nak pertahankan. Dia merengus. 

“Safa, dengar tak apa aku cakap? Tak patutlah kau buat Aiman macam tu.”

Senyap.

“Wei, Iqbal. Yang kau nak bela sangat si Aiman tu, kenapa? Padan muka dia yang tak reti bahasa. Tu, balasan untuk orang macam dia. Perlahan aje aku tendang. Kalau kuat, boleh mandul dia.”

“Kau ni, Safa. Agak-agaklah.”

“Nak agak-agak lagi? Dia tu, dah macam orang gila. Merepek, meraban bukan-bukan. Entah tersampuk apa agaknya? Ei, geram aku!” 

“Safa, cuba jangan keraskan sangat hati kau tu. Nampak macam dia ikhlas nak kat kau. Kau nak lelaki macam mana lagi? Elok aje aku tengok si Aiman tu. Antara lelaki terkacak dalam sekolah ni tahu. Cubalah jangan cerewet sangat.”

“Iqbal, dah aku tak nak. Susah-susah sangat, kau ajelah terima dia.”

“Eh, eh. Kau pun dah tersampuk sama? Merepek, meraban bukan-bukan. Kau nak aku ni jadi orang yang nabi tak mengaku umat?”

“Dah tu?” Safa Hawani merenung muka Ahmad Iqbal yang licin, tidak berjerawat. 

“Hesy, payah betul bercakap dengan kau sekarang. Kau, bukan macam Safa yang aku kenal.”

“Gelilah aku, Iqbal.” Safa Hawani menggoyang kedua bahu.

Sebenarnya, bukanlah Ahmad Iqbal mahu membela Aiman. Dia pun mahu kata, “Padan muka kau, Aiman.” Degil sangat. Berbuih sudah mulutnya menasihati Aiman supaya tidak  melakukan perkara yang Safa Hawani tidak suka. 

Aiman ada berjumpa dengannya beberapa hari lepas. Memintanya memujuk Safa Hawani supaya menerima cinta yang ingin dihulurkan. Gila! Mujurlah dia tidak menurut. Tidak pasal-pasal, lebam matanya nanti. Bukan dia tidak nampak, bagaimana Aiman menerima tendangan padu daripada Safa Hawani tadi? Sehari semalam akan terasa senak tu. 

“Kau kenapa, Iqbal?” Safa Hawani menoleh. Memandang tepat Ahmad Iqbal sedang ketawa. 

“Kena sampuk dengan kaulah, Safa.” Dia menyambung ketawa yang semakin terbahak-bahak.

Safa Hawani mengerutkan kening. Kalau dulu, gelak Ahmad Iqbal adalah gelaknya. Sejak bila sudah berubah? Sudah bertukar ‘jantinakah’ antara dia dengan Ahmad Iqbal? Sejak kebelakangan ini, tingkah mereka sedikit berubah. ‘Kekerasan’ dirinya semakin lembut begitu juga sebaliknya untuk Ahmad Iqbal. ‘Kepatahan’ Ahmad Iqbal semakin lurus pula.

“Kenapa sampai tenung aku macam tu, Safa? Aku tahulah aku ni, hensem.” Ahmad Iqbal terus membuat mimik muka macho. 

“Perasan.” Safa Hawani menjelirkan lidah. 

Sudahnya, mereka berdua ketawa serentak.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.