Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
104,469
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

Musim panas di Bercelona.


Agak hangat, hawanya buat aku berpeluh sedikit di tengah bandarayanya yang meriah dengan pelancong. Aku dan tiga lagi pelajar lelaki lain, Jimmy Chan, Frankie Freddy Jr. dan Maddox Wales tinggal di kuarters yang disediakan oleh pihak Adios berdekatan dengan syarikat di mana studio Adios pun berada dilokasi yang sama.


 Hari pertama tiba di Barcelona kami dibawa berjalan-jalan ke pelusuk kota dengan menaiki van. Seorang kakitangan Adios yang menjadi tour guide menunjukkan kami di mana hendak mendapatkan makanan dan pengangkutan awam.


Aku sempat mengambil gambar dengan kamera Nikon D5600 yang aku bawa untuk praktikal. Bangunan-bangunan di Barcelona pada pengamatanku sedikit berbeza rupa bentuk dan warnanya bahkan sesetengah bahan binaannya nampak lebih kasar dari bangunan di New York. Warna kebanyakan bangunannya lebih kepada warna krim, putih dan kekuningan. Benar-benar mengujakan. Tetapi dari katalog Barcelona ditanganku, semua kawasan pelancongannya terkenal dengan ciri-ciri keunikan dan pelik.

Oleh kerana musim panas baru menjengah, orang tempatannya seperti juga di New York lebih selesa memakai baju yang ringkas, nipis dan terdedah dalam cuaca sedikit berbahang. Para pelancong juga bebas ke mana-mana. Selepas dari berjalan-jalan kami dibawa ke kuarters sementara.


Awan kelihatan jarang-jarang dan menipis di langit biru yang lapang ketika aku mengemas baju-baju dan menggantungnya dalam almari. Semua kami diberikan bilik setiap seorang satu, walaupun kecil tetapi bilikku ada bilik air sendiri memandangkan aku seorang sahaja perempuan dalam kumpulan kami. Rasanya cukup menyelesakan. Untuk, hari pertama semuanya lancar. Selepas makan bekalan yang aku bawa dari New York, aku kemudian menelefon Hensen yang memesan supaya aku menelefonnya setiap hari.



***


Besok paginya selepas sarapan ringkas kopi dan roti yang disediakan syarikat aku memulakan tugas belajar sambil bekerja. Pertama sekali kami dikumpulkan di bilik mesyuarat dan diberikan taklimat tentang barangan terbaru Adios yang bakal dipromosikan. Antaranya jaket dan seluar.

Hola, buenas dias. Me ilamo Mauricio Alanzo,” ucap tenaga pengajar kami.

Hola, buenas dias,” sahut kami semua.

Ko-mo se iya-ma?” Mauricio menyoal aku mendadak.

Me… ilamo… Halyn, Yong.” Jawabku kalut.

Mauricio mengangkat ibu jarinya. “Mucho gusto Halyn.”

Sesi mengenalkan diri yang sepatutnya singkat menjadi lama bila Jimmy dan Maddox tergagap-gagap sibuk nak cakap Sepanyol yang menggelikan hati Mauricio. Selepas selesai sesi pengenalan ringkas, Mauricio memberi sedikit pengetahuannya cara mengambil gambar dari sudut yang betul, pencahayaan untuk mendapatkan warna yang lebih menarik dan menarik minat pelanggan.


Mujurlah Mauricio, selaku jurugambar itu pandai berbahasa english walaupun bercampur sedikit dengan bahasa sepanyol tetapi sekurang-kurangnya aku mudah faham. Selepas dua jam, kami dibawa pula melihat keluaran terbaru baju Adios dan orang yang bertanggungjawab membantu kami pada hari itu seorang wanita tegas tetapi peramah, berumur 45 tahun. Masih mudah dan cantik walaupun rambutnya nampak serabai. Namanya Graciana Mendez. Rambut keritingnya berwarna kemerahan berkombinasi baik dengan wajahnya yang cengkung.

Hola, que tal? Mucho gusto,” ucap Graciana dengan senyuman lebar manyambut kami di bilik pameran rekaan terbaru.

Bien, gracias…” sahutku serentak dengan Frankie yang agak fasih berbahasa Sepanyol.

Graciana sebagai salah seorang pereka Adios memberikan nota-nota penting tentang fabrik-fabrik yang sesuai dipakai. Dia menerangkan bentuk fabrik jenis ringan, cepat kering dan selesa untuk pergerakan angin dan cuaca, malahan ada jersi yang dicipta dari jenis fabrik untuk menahan suhu dingin dalam sejam dua. Aku kagum dengan kepakarannya, begitu berbeza dengan apa yang High Style hasilkan. Pengalaman baru yang menakjubkan rasanya untuk aku.


Kemudian sebelah petangnya pula, kerja kami dibawa melihat-lihat studio yang besar dan serba maju itu. Aku kagum melihat pekerja-pekerjanya yang optimis dalam tugasan mereka mirip dengan drama Sepanyol yang selalu aku lihat. Sebelum pulang, aku dan yang lain diberikan jadual tugasan mengikut giliran. Aku dan Jimmy Chan ditempatkan bersama Mauricio pada minggu pertama untuk praktikal dalam bidang fotografi yang akan dimuatkan dalam majalah. 

“Este semana (minggu ini)… kamu berdua akan ikut saya ambil gambar model yang memperaga jaket terbaru Adios,” kata Mauricio.

Aku dan Jimmy mengangguk-angguk, buat-buat faham. 

“Saya akan ajar kamu berdua macam mana nak dapatkan pose model yang berkesan dalam studio. Graciana pun ada sama esok. Jadi jangan lupa, esok awal pagi, kamu berdua mesti berada di studio ni, kemas sedikit-sedikit dan sediakan peralatan penting, kamu berdua boleh tengok macam mana Tomas yang buat kerja lighting, ok.”

Aku dan Jimmy terus mengangguk-angguk, betul-betul macam budak baru belajar yang perlu disuruh-suruh dan kena diingatkan selalu.

“Baiklah, kamu boleh balik sekarang. Berehat.” 

“Gracias Mauricio.”

“De na da (sama-sama).” Sahutnya.


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.