Home Novel Cinta CINTA HILANG ARAH
CINTA HILANG ARAH
Noreey
26/11/2015 22:58:36
2,010
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 23

BAB 23

EMPAT KAKI YANG melangkah itu tiba-tiba terhenti, empat mata bertemu pandang dalam kebisuan. Masing-masing kehairanan bila melihat sekumpulan manusia berhimpun di salah sebuah gerai di situ.

Kedua sahabat karib itu menjenguk-jengukkan kepala sambil cuba menyusup dicelah-celahan manusia untuk melihat apa sebenarnya yang menjadi tarikan orang ramai di situ. Beberapa minit berusaha akhinya kedua gadis itu menemui jawapan.

Orang ramai yang sedang berdiri di situ rupanya sedang menyaksikan lukisan-lukisan yang dipamerkan, bersama tiga orang pelukis yang sedang tekun melukis.

Ternyata kedua gadis itu tidak berpuas hati, mereka berusaha lagi mencari laluan untuk berada lebih hampir. Ingin melihat dengan lebih jelas keindahan lukisan seni visual yang terpamer di hadapan mereka sekarang.

Salah seorang dari pelukis itu menoleh, memandang pada salah seorang dari mereka. Senyuman manis jelas terukir di bibirnya yang berkumis.

Aduh! tersentuh sudah hatinya. Gadis berbibir tipis yang berteman sebutir tahi lalat di kanan dagunya ikut tersenyum. Nampak telus dan ikhlas sungguh senyuman yang dihadiahkan padanya.

Pelukis itu, kiri kanan pipinya berjambang nipis, hidungnya yang sedikit tinggi dengan kulit yang tidak berapa cerah begitu menyerlahkan aura kelelakiannya. Dari perwatakannya memungkinkan dia bukan keturunan Melayu asli. Pelukis itu kembali menekuni lukisan di hadapannya menyedari banyak mata sedang memerhatikan.

Gadis itu, yang juga punya mata hitam dan jernih berbisik pula pada temannya. Teman yang setia itu lalu menghampiri meja kecil yang terletak di situ mengambil sesuatu. Kedua gadis itu tidak berlama di situ, segera berlalu untuk menjelajah gerai-gerai lain yang turut juga mempamerkan hasil seni yang berbagai.

….

Deretan gerai di bawah khemah dengan beraneka pameran hasil seni kraf sungguh menawan hati. Gegaran muzik segar pula begitu menghiburkan hati para pengunjung. Hiruk pikuk suara manusia memeriahkan lagi suasana di Ekspo Kesenian di bawah langit petang yang damai.

Lesu sudah kaki melangkah, penat juga mata melihat aneka pameran di situ bersama telinga yang sudah letih juga melayan alunan muzik rancak. Kedua gadis akrab itu menuju ke sebuah kedai minuman di bazar yang berhampiran.

Mereka duduk di sebuah meja lalu memesan minuman untuk membasah tekak. Terdiam mereka melepaskan letih, sambil mengelap peluh di wajah yang sudah nampak lesu. Mata mereka tak lepas-lepas memerhati manusia yang bersesak-sesak berjalan di sekitar ekspo, penuh dengan berbagai lagak dan gaya.

Yang berpegangan tangan sudah semestinya pasangan kekasih, yang berjalan berdekatan namun tidak berpegangan tangan tentulah suami isteri. Pelik dan terbalik sudah manusia di zaman ini. Yang dah halal tak mahu berpegangan tangan, sebaliknya yang belum halal nak pula berpegang-pegangan. Alahai..apa nak jadi sudahnya. Karmilla mengeluh sendiri memerhatikan gelagat anak mudah yang mungkin sebayanya. Tiba-tiba dia rasa muak dengan adegan-adegan itu.

“Milla, macamana dengan ‘mamat’ tu?” suara Mazlin tiba-tiba mengganggu lamunannya.

“Mamat mana pulak?”

“Buah hati kau lah.

“Buah hati? Bila masa pula aku ada buah hati?”

“Amboi…tak nak mengakulah pulak!”

“Hiss...mengarut aje lah kau ni!” tukas Karmilla terus membuang pandang ke hadapan, memerhati gelagat manusia. Mazlin berkerut dahi, matanya bulat menatap wajah temannya yang nampak bersahaja.

“Hehh…kenapa dengan kau ni?” Soal Mazlin, keras sedikit suaranya.

“Apa dia?” balas Karmilla, pandangannya beralih pula ke  mata gadis gempal di depannya. Nyata dia kurang senang dengan kenyataan dan soalan yang diajukan.

“Haiii..apa khabar, boleh I duduk sini?” belum sempat Mazlin menjawab tiba-tiba mereka didatangi seseorang. Kerusi kosong di sebelah Karmilla ditarik pantas, tanpa dipelawa tetamu itu terus saja duduk di situ. Ketika itu, gadis pembantu gerai datang menghantar minuman lalu diletakkan di hadapan mereka.

“Err...dik, tambah order ya, satu milo ais gelas besar,” tanpa rasa ragu tetamu yang tidak diundang itu terus memesan minumannya. Gadis pembantu gerai mengangguk dan berlalu.

Kedua sahabat itu saling memandang, tergamam sebentar.

“Isk..isk..isk..lasak betul kalian dua orang ni, penat kejar tak perasan ke I kat belakang?” ujar pemuda itu, wajahnya yang cerah nampak kemerahan dibakar panas mentari petang. Pemuda berkulit cerah dengan susuk tubuh yang tidak terlalu tinggi itu bersandar, melepaskan mengah. Sejenak dia berdiri sebentar sambil mengeluarkan saputangan dari poket seluarnya lalu mengelap peluh di wajah.

“Emm...manalah kami nak perasan sebab kami jalan pandang depan bukan jalan toleh belakang,” jawab Karmilla, matanya menjeling sekilas ke arah pemuda itu dengan jelingan yang kurang menyenangkan. Mazlin sekadar senyum dan sengeh memandang gelagat kedua insan di depannya. Baru saja dia nak buka cerita sebentar tadi, empunya diri sudah muncul di hadapan mereka.

“Eh Ziq, kau ni kan macam halimunan, aku baru nak sebut nama kau, tiba-tiba pulak muncul kat sini.”

“ Betul ke Alin? Haa… kalau macam tu memang kuatlah jodoh kita ya,” ujarnya lalu melirik ke wajah Karmilla yang begitu hampir dengannya. Karmilla menjeling lagi kali ini dengan reaksi yang benar-benar tidak suka sambil mencebik bibir. Pemuda yang berkulit cerah dengan gaya rambutnya ‘berjambul sepikul’ ala-ala gaya rambut Elvis Presley itu benar-benar membuatnya rasa meluat tiba-tiba.

Kepuasan menghirup suasana luar yang baru di kecapinya kini tiba-tiba ternoda dengan kehadiran pemuda itu. Wajahnya yang tadi sudah dibayangi ceria yang samar-samar sudah berubah mendung.

“Jangan nak syok sendiri lah,” sampuk Karmilla.

Bibirnya yang tipis berteman sebiji tahi lalat kecil di pinggir dagu kanannya mula menyedut minuman.

“Alin, you tengok lah sahabat karib you ni, lama tak jumpa I pun bukan nak tanya khabar.”

“Ha ha…nasib you lah Ziq, I tak boleh kata apa.” Mazlin tergelak melihat telatah keduanya. Yang seorang suka mengusik, yang seorang suka merajuk.

“Alin, you pergilah jalan-jalan dulu, bagi peluang I nak dating dengan Milla sekejap je,” arah pemuda itu pada Mazlin. Dia mengenyitkan matanya pada Mazlin. Ketika itu gadis pembantu gerai datang lagi ke meja mereka. Segelas milo ais disuakan di hadapan pemuda itu.

Karmilla sempat menghantar pandangannya pada Mazlin sambil menggeleng, tanda dia tidak mengizinkan Mazlin pergi dari situ. Dia cukup faham sikap Mazlin yang sentiasa ‘sporting’.

“Emm...jom kita minum sama-sama.” pelawa pemuda itu lagi dengan senyuman nakal. Tangannya pantas memegang straw lalu mengacau air di dalam gelas sebelum menyedutnya rakus. Suasana bising di sekeliling dengan gelagat manusia yang berbagai membuatkan peristiwa antara mereka bertiga itu tenggelam begitu saja tanpa ada sesiapa yang mempedulikan.

“Ziq, kau dari mana ni, tiba-tiba je muncul?” soal Mazlin selepas menghabiskan minumannya. Karmilla juga dengan pantas turut menghabiskan minumannya yang sekejap tadi hanya sedikit luak.

Mazlin merenung ke wajah pemuda itu, menunggu jawapan. Tapi nampaknya pemuda berkulit putih bernama Haziq yang muncul tiba-tiba itu tidak berminat pada soalannya. Sepasang mata anak muda itu sudah melekat pada gadis di sebelahnya sambil bibirnya yang merah itu menyedut minuman. Posisi duduknya juga sudah terarah pada Karmilla.

Jadilah Mazlin pemerhati yang setia ketika itu sambil mengimbau memori silam. Seingatnya hubungan kedua temannya itu bermula sejak zaman persekolahan lagi. Dia mengenali Haziq sewaktu di tingkatan 5.

Pemuda itu sesekali muncul di koperasi sekolah kerana menghantar barang-barang. Tetapi hubungan mereka hanyalah sebagai kawan. Tumpuan Haziq lebih pada Karmilla sejak gadis itu menjadi teman karibnya. Karmilla baru berpindah sekolah ketika itu dan muda setahun dari Mazlin.

Haziq memang suka sangat menunggu Karmilla ketika pulang dari sekolah. Pemuda itu seperti selalu menunggu peluang untuk berbual-bual dengan Karmilla. Malah beberapa kali juga Mazlin menjadi orang tengah, menyampaikan surat-surat Haziq pada Karmilla.

Masa-masa yang berlalu ternyata membuatkan mereka berdua nampak lebih berubah.. Wajah Karmilla kini lebih terserlah kecantikannya, begitu juga Haziq, ketampanannya jelas dengan ketrampilan yang bergaya.

Haziq dan Karmilla nampak sepadan dan serasi. Rugilah Karmilla andai melepaskan lelaki seperti Haziq. Pemuda itu seperti memiliki pakej yang menjadi kegilaan gadis-gadis zaman sekarang.

Kacak bergaya dengan motorsikal berkuasa tinggi dan, bakal mewarisi kekayaan bapanya sebagai seorang ahli perniagaan yang tersohor di daerah itu. Sayangnya Haziq tidak terpikat padanya, kalaulah Haziq cuba menguratnya dulu sudah tentulah dia tidak menolak…

Apa masalah Karmilla? Apa yang sudah terjadi pada keserasian mereka dulu?

Tiba-tiba Karmilla bangun, dari belakang Haziq dia menghampiri Mazlin lalu menarik tangan gadis itu.

“Jom, temankan aku ke bilik air.”

“Kalau kami tak kembali tolong bayar ya, thank you!” arah Karmilla, tangan Mazlin dicengkam kuat lalu beredar dari situ dan terus berjalan tanpa menoleh lagi.

Mazlin akur bagai kambing hitam yang diikat leher dan ditarik tuannya. Gadis berbadan gempal itu sempat melirik wajah Haziq, ternyata wajah pemuda yang bermuka bulat itu terpinga-pinga.

“Hiss kenapa kau ni?” Soal Mazlin tidak puas hati dengan

tindakan Karmilla.

“Ahh jangan banyak cakap… biarkan di!,” jawab Karmilla tanpa memandang Mazlin. Pegangan tangan Karmilla yang erat membuatkan dia terpaksa mengikut saja.

“Ziq, jumpa lagi ya!” Mazlin sempat lagi menoleh dan melaung pada Haziq sambil melambai tangan kirinya. Haziq ketika itu sudah berdiri dan kelihatan sedang memegang dompetnya. Di celah-celah orang ramai Karmilla terus menyusup laju, tangan Mazlin tidak juga dilepaskannya.

Di fikiran Karmilla ketika itu hanya ingin bolos dari pandangan Haziq dan harapannya agar pemuda nakal itu tidak dapat menjejak mereka lagi.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.