Segala kesedihan dan derita yang dia tanggung selama ini akan
ditinggalkan. Kalau semalam dia menangis, esok akan dia pastikan yang
dia tidak akan menangis lagi. Akan!
Dia ingin menjadi Syafiqah yang baru. Syafiqah yang tidak gentar
hatinya dan tidak lemah jiwanya. Dia tidak mahu selamanya menjadi hamba
kesedihan dan penghinaan. Untuk merealisasikan impiannya itu, dia harus
keluar dari kebiasaan hidupnya. Dia harus pergi dari tempat yang banyak
menyimpan kenangan pahit untuknya. Dia tidak mahu perubahan yang ingin
dia lakukan mulai esok akan menjadi sia-sia sekiranya dia masih tetap
berada di situ.
“Kau serius ke ni, Sya?” tanya Zarina lagi. Dia
inginkan kepastian. Wajah Syafiqah yang langsung tidak menunjukkan riak
kesedihan dipandang dengan pelbagai persoalan. Drastik sungguh perubahan
Syafiqah!
“Aku serius Rina. Jangan risau, aku akan tetap kuatkan
hati untuk mengharungi segala dugaan ini. Demi anak aku, aku akan
tabahkan hati. Kau berdua tahu, jiwa aku hampir mati bila aku melangkah
keluar dari rumah tu? Tapi hari ini tak lagi. Aku dah sedar. Anak yang
aku kandung ni akan jadi kekuatan aku. Aku dah tak perlukan apa-apa
lagi. Cukuplah dia harta yang aku ada,” ucap Syafiqah dengan penuh
yakin. Wajah Zarina dan Lydia yang sedang memandangnya turut dipandang
bersilih ganti.
Zarina dan Lydia saling berbalas pandangan. Apa
sudah jadi dengan Syafiqah? Bicaranya sungguh yakin. Langsung tidak ada
perasaan sedih seperti semalam. Syafiqah benar-benar sudah berubah!