Home Novel Cinta Kunci Hati Ina
Kunci Hati Ina
Hidayah
4/7/2020 04:59:38
6,661
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
BAB 1

AWAN sudah tidak berganding dengan sang matahari. Boleh dikatakan ‘mereka’ ingin berpisah seketika. Pun begitu, bahang mentari tidak menghalang sepasang kaki Ina untuk berjalan di bandar seorang diri.Tanpa sekaki payung, wajah mulusnya meredah terik yang tidak berputus asa meratah keringatnya sejak tadi. Payung bukanlah senjata yang digemari sejak dulu.  

Sekejap matanya berkalih melihat telefon bimbit sebelum menoleh ke kanan. Sepi. Ina yang cuba untuk melintas jalan raya terhalang apabila lengannya digenggam kuat oleh seseorang. Rasa sakit di sekitar lengan membuatkan sepasang matanya terasa ingin menoleh ke kiri. Belum sempat dia menoleh, terdengar sisa angin hasil bunyi kereta yang melintas laju di hadapannya. Bunyi kereta sebentar tadi berjaya membuatkan pipinya ditampar lembut tudung hitamnya.

Ina kaku seketika. Pada masa yang sama dia bersyukur kerana masih menikmati umurnya. Sempat dia memikirkan andaian demi andaian ketika itu. Andai saja kakinya diteruskan melangkah, sekelip mata saja nyawanya terbang melayang.

Lalaikah dia sehingga tidak sedar kenderaan yang dibawa melebihi had laju itu hampir sahaja membaham dirinya? Tidak mahu berfikir lagi, dia menghela nafas panjang.

Rasa tersentak di ruang hatinya bila satu suara menegur. Baru dia perasan lengannya masih dalam genggaman seseorang.

"Nak bunuh diri, dah putus tunang, gagal peperiksaan atau betul-betul tak sedar?"

Lain benar bunyi soalan! Mungkinkah itu merupakan andaian-andaian yang difikir lelaki itu benar? Hmmm... andaian yang terakhir itu mengenalah!

Ina menoleh pada empunya suara. Pantas sepasang mata tajamnya menusuk ke mata lelaki yang tinggi seakan model itu. Niat ingin mengucapkan terima kasih terbantut bila dia teringatkan lengannya masih berada dalam genggaman lelaki itu.

Muka selamba yang ditayangkan lelaki itu makin membuat hati Ina sebal. Sebelah kening yang terangkat seakan menunggu jawapan dari soalan-soalan tadi. Ina menjeling kemudian menarik kasar tangannya. Serentak itu ada riak terkejut dipamerkan.

"Oh,maaf!" ucap lelaki mata kuyu itu.

Ina masih membisu. Sepasang matanya masih melirik pada lengannya yang sudah tercemar oleh sang lelaki. Hatinya dirasakan mula membengkak. Hampir tersembul keluar biji matanya seakan ingin memakan tubuh lelaki yang tingginya melebihi 170cm itu!

Mereka berdua kaku di situ. Si lelaki bingung dengan riak wajah Ina yang seperti tidak puas hati terhadap sesuatu. Ina diam. Hatinya mula memberontak. Jiwanya kacau ditambah terik mentari yang memerhati sejak tadi. Keadaan silau membuatkan dia mengecilkan bebola matanya mencari-cari wajah lelaki. Tiba-tiba ada kerut didahi dan seulit senyum pada wajah di hadapannya.

“Salah ya saya selamatkan awak hari ni?”

Kendur soalan yang diajukan. Mungkin merajuk dengan tindak balas Ina sebentar tadi.Tanpa sebaris jawapan, Ina berlalu pergi meninggalkan lelaki yang masih menyimpan senyum manis. Ada lesung pipit di sebelah kanan pipi si lelaki buat dia tidak mahu berlama-lama di situ.


 


BEBOLA mata melirik sekali lagi pada wajah itu."Ina, kenapa bad mood ni?” Akhirnya soalan yang dipendam beberapa minit itu diutarakan juga oleh Imah. Rasa risau mula bertapak di hatinya sejak melihat wajah Ina yang kelihatan tidak bermaya. Dahi teman baiknya itu berkerut tanda tidak puas hati terhadap sesuatu atau mungkin terhadap seseorang? Imah sendiri tidak pasti. Apa yang pasti wajah itu tidak tenang sejak pulang dari bandar tadi.

Diam.

Sepi.

Sunyi.


Tak pernah lepas kau dalam ingatanku

Tak pernah bisa aku melupakanmu


Deringan telefon jelas kedengaran di cuping telinga Imah tapi dia tidak peduli. Bukan deringan telefonnya mahupun deringan telefon Ina. Nada dering telefon bimbit itu milik penghuni di bilik sebelah.

"Ina..." Belum sempat Imah menghabiskan susunan ayat yang baru direkanya, terdengar suara Ina mencelah.

"Inanak rehat," kata Ina ringkas. Dikerlingnya seketika jam di dinding bilik mereka. Masa yang sesuai untuk melaksanakan tuntutan sunnah Rasulullah. Qailullah sangat berkesan baginya untuk mudah bangun pada pada malam hari.

Imah senyum sambil mengangguk sedikit. Tiga patah perkataan itu sudah cukup membuatnya faham akan maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh Ina. 'Ina nakr ehat' membawa maksud Ina ingin tidur seketika.

Tanpa mempedulikan Imah, Ina mula memejamkan matanya. Kerutan kecil yang sejak tadi menjadi perhiasan pada wajahnya dikendurkan dan dikendurkan lagi sehingga kerutan itu tidak lagi kelihatan. Sekejap saja senyuman kecil sudah mula terukir di bibir.

Ina menarik nafas panjang dan menghembus menerusi mulutnya. Hembusan nafas itu umpama keluhan berat yang ditanggungnya sejak beberapa jam tadi ketika bertembung dengan lelaki yang mencemari lengannya. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.

Imah yang melihat gelagat Ina itu sudah maklum kerana itulah aktiviti rutin yang akan dilakukan oleh Ina sebelum tidur. Cuma ketika itu dia dapat merasakan hembusan nafas itu terselit keluhan yang sukar ditafsirkan. Dia sendiri hairan.


Apa masalahnya? Bergaduhkah? Eh, itu sangat mustahil! Habis itu? Takkan marah pasal novel baru dia yang aku belum baca tu.Em, tak mungkinlah! Hish! Erm, kenapa ea? Mesti   ada  sebab lain. Apa, ek?


Akhirnya Imah melepaskan keluhan. Penat pula dia berperang dengan kata hatinya sendiri. Soalan demi soalan dirasakan memeningkan. Jawapan demi jawapan yang direkanya sendiri tidak diketahui sama ada benar ataupun tidak.

Imah menatap wajah Ina. Wajah itu tenang saja walau dalam keadaan tidur begitu. Masih banyak soalan yang terkumpul dan hanya menunggu masa saja untuk diajukan kepada Ina. Hampir dua tahun mengenali Ina, dia tahu gadis yang fasih bertutur bahasa Melayu Brunei itu seorang yang suka berahsia dan pastinya masih banyak perkara yang belum diketahuinya.

Hujung jari Imah mencapai kertas kajang yang terselit di sebuah buku di atas meja Ina.Ina pernah memberitahunya bahawa sajak yang ditulis itu masih mentah dan tidak subur. Lagipun katanya puisi itu sudah lama. Tiga tahun yang lalu. Imah memerhati setiap bait kata dalam sajak itu buat yang kesekian kalinya.


Hati…

dindingmu lembut seperti gam

menempel setia di penjuru memori

lekatnya kuat di papan keresahan

cairnya indah di besi kebahagiaan... 


Wahai Ina …

tebalkan dindingmu

biar butir peluru kesakitan

tidak menembusimu…

kekalkan warna naturalmu

biar aura fitnah

tidak bisa membelaimu

jangan pernah pecahkan kaca imanmu

agar kau dipandang mulia

dunia dan akhirat..


Imah senyum sendiri. Sudah beberapa kali rasanya dia membaca puisi itu di dalam hati. Dia amat suka pada rangkap terakhir. Tanpa sedar, fikirannya terbang mengingatkan seseorang yang disayangi. Dia senyum nakal kali ini. Ya... Dia ada misi baru!


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.