BAB 37
DI KAMAR YANG BUKAN miliknya Mazlin terkelip-kelip. Sepasang mata sepet gadis itu tunak memerhati sawang yang bergayutan di bahagian atas dinding rumah berhampiran zink. Katil usang yang menampung badan sudah berapa kali berkeriut ketika dia berkalih. Tangannya bermain-main dengan telefon bimbit. Hasrat untuk menghubungi seseorang dibatalkan pula setelah berfikir sedalamnya. Sejenak,dipujuk diri agar melupakan semua yang terpamer di benak sebentar tadi. Lalu dia mula menghitung masa.
Sudah2 malam dia di sini, bermakna esok sudah masuk hari kedua juga dia di utara, di rumah saudara Irsyad. Mazlin terpaksa melunasi permintaan Irsyad yang sudah beberapa kali meminta agar dia mengambil cuti dan datangke utara dengan menaiki bas. Kata Irsyad, dia ingin memperkenalkan Mazlin pada sanak saudaranya dengan lebih dekat lagi.
Siang tadi dari pagi hingga ke malam, dia di bawa Irsyad meronda ke serata Pulau Pinang. Menurut cerita Irsyad juga, di rumah inilah dulu tempat dia menumpang setelah berhijrah dari kampungnya di Kelantan untuk mencari pekerjaan.