BAB 88
“YA ALLAH! ABANG, KENAPA ni?” Soal Haryati yang muncul
kembali. Hairan dan terkejut dia melihat keadaan Raish yang sudah berlainan.
Kedua lelaki yang tidak dikenalinya ditenung dengan rasa hairan juga.
Pemergiannya yang sebentar tadi telah mengubah keadaan. Dia bingung. Pakaian
Raish sudah basah dan mulut lelaki itu berlumuran darah. Dia menghampiri,
mengelap darah yang melumuri dagu lelaki itu tanpa mempedulikan Kamalia yang
sedang berdiri tercegat berhampiran Raish. Terbelalak mata Kamalia melihat
perbuatan perempuan itu, sementara suaminya hanya membiarkan.
“B, apa ertinya semua ini? Siapa
pula perempuan ni?” Soal Kamalia dengan wajah yang menyinga, cemburunya sudah pecah
di dada melihat kemesraan perempuan itu terhadap Raish di depan matanya.
“Sayang… berilah peluang untuk I jelaskan
pada you!”
“Abang, siapa perempuan ini?” Soal Haryati pula. Dia menatap Kamalia
tanpa sebarang syak.
“Heh, Perempuan! siapa kau hah?”
Jerit Kamalia.
“Abang, apa semua ni?” Soal Haryati,
terkejut sudah dikasari perempuan yang tidak dikenalinya itu. Raish bediri di
tengah, dia cuba melindungi Haryati, bila dilihat mata isterinya mencerlang ke
arah gadis itu.
“Sayang… I sebenarnya nak bagi tahu you, tapi
I tak sangka akan jadi begini… I tak beniat nak lukakan hati you!” Jelas Raish,
matanya menyoroti wajah Kamalia.
“I berikan kepercayaan I pada you, tapi inikah yang you balas untuk I?”
Rintih Kamalia, tidak mampu lagi untuk membendung segala kesakitan yang
terpendam. Lelaki itu seperti sedang menyiat-nyiat hatinya.
“Abang Isham… apa erti semua ini?” Soal Haryati lagi. Hatinya mula
berdetak. Pandangannya tertuju ke mata Raish, menagih penjelasan.
“Er… Atie, dia…” ayat Raish terhenti di situ.
“Heh, Perempuan! Kau ni nampak je baik, tapi perampas suami orang!” Cemuh
Kamalia, tudingannya lurus ke muka Haryati. Mendengar itu, Haryati serasa ingin
terjelepok, tetapi dikuatkan juga kakinya untuk terus berdiri. Bibirnya
gementar menahan tangis, sungguh dia tidak percaya mendengar kata-kata itu.
“Abang???” Soal Haryati dengan mata berkaca. Dia menggigit bibir, kesal.
Cuba ditahan rasa pilu yang hadir.
“Atie,
sebenarnya inilah yang ingin abang jelaskan pada
Atie tadi… tapi
abang tak sangka akan jadi begini. Maafkan abang,” jelas Raish. Haryati
berundur, tangannya menutup mulut. Terus
dia berpaling dan melangkah menjauh dari semua itu. Dia tidak percaya Raish bukan seperti yang difikirkannya. Kerana
kecewa menguasai diri, kakinya begitu ringan melangkah pergi. Berlarian dia
membawa hati yang terhiris.
“Atie!!!” Jerit Raish, dia ingin menahan Haryati agar jangan pergi.
Tetapi sudah terlambat. Langkah gadis itu makin menjauh…
“Kenapa tergamak you buat begini pada I?” Soal Kamalia. Air jernih
mengalir laju di pipinya. Dia berpaling, langkahnya tertuju pada Azyan yang
terkedu sejak tadi. Di bahu Azyan dia meluahkan tangisnya…
Raish terduduk dengan kedua
lututnya terlipat di atas pasir. Kedua tangannya meramas kasar kepalanya. Dia
meraung kesakitan sendiri… Debur ombak lewat senja itu menyaksi segala derita
sang musafir yang
hanyut dalam perjalanan sebuah cinta. Musafir yang sudah hanyut dalam dirinya.
Senja itu juga bagai sebuah lukisanabstrak
yang payah untuk dimengertikan oleh sesiapa…
……
Kamalia pula baru mengerti makna luka.
Peritnya bila disakiti dan dibohongi. Perpisahan dengan Kamazul tidaklah
sesakit yang dirasakannya sekarang. Semua yang terjadi baginya bagai satu
pembalasan dan hukuman atas perbuatannya dulu.
Saat itu juganya matanya
bertentang kembali dengan Kamazul. Perempuan yang berdiri di sisi Kamazul,
diteliti dengan pandangan mata dari hujung rambut hingga hujung kaki. Matanya
mencerlang dengan pandangan tajam.
“Emylia… selamat bertemu
kembali!” Ujar perempuan itu, ketika melangkah mendekatinya. Emylia tunak
memandangnya tanpa berkedip.
“Apa yang kau tenung? Apa…
kau sudah lupa pada aku Amy?” Sambung perempuan itu lagi. Azyan pula seperti
sedang menyaksikan sebuah lakonan, dia terlopong. Apakah kedua perempuan itu
saling mengenali?
Kamalia menelan air liurnya
yang bagaikan sudah bertukar bara melewati rengkungnya, pijar dalam dadanya
bagai tiada kata untuk diungkapkan lagi… Sekarang baru terjawap persoalannya,
tentang perempuan yang ditemui di majlis perkahwinan Azyan dulu.
Benaknya baru mengerti maksud
Azyan ketika berbual di restoran di awal pertemuan mereka.
“Kak Emy, bumi
Malaysia ni terlalu kecil bagi orang-orang macam kita!”
“Apa Maksud Zyan sebenarnya?”
“Nanti Kak Emy
akan tahu…,” jawab Azyan, senyumnya nampak kelat. Roman wajahnya seperti sedang
menyimpan sesuatu. Kamalia dihambat persoalan pula.
“Amyra???” Bibirnya berdesis perlahan dengan
gementar. Mata mereka bertaut, selaut kenangan silam berombak menghempas pantai ingatan. Terdamparlah
saat itu, momen-momen manisnya bersama Kamazul yang sudah musnah.
“Ya! Aku Amyra… Amyra yang
pernah menjadi sahabatmu dulu! Yang telah mengizinkan kau membina mahligai
cintai dari juraian air mata ku! Sekarang… takdir telah mengembalikan semua
kesakitan itu pada kau Emylia! Aku sedang berdiri di sisi Zul… mengambil alih
tempat aku yang kau rampas dulu! Kau janga tak percaya Emylia. Ini adalah
reality bukannya mimpi.… Sesungguhnya Tuhan itu mahal adil… kau harus sedar dan
terima semua ini!” ujar Amyra, sinis. Emylia terpempan.
Dalam menanggungg kesakitan
kerana perbuatan Raish,
dia berhadapan juga dengan sahabat lamanya, yang
rupanya menjadi isteri baru kepada bekas suaminya. Kamazul memandangnya tanpa
kata, tanpa simpati. Sungguh dia merasa cemburu dalam batin yang terseksa.
Terasa dosanya sedang dibayar tunai, satu persatu…
Oh Tuhan! Apakah semua ini pembalasan di atas segala
dosa-dosa ku yang telah lalu…?Rintihnya dalam diam. Dia kelu, bersimbah malu.
Amyra, ternyata sudah
mengenali Emylia ketika berlangsungnya majlis perkahwinan anak tirinya di utara
dulu. Pengakuan Kamazul yang telah menceraikan Kamalia di satu pertemuan dulu
membuatkan dia berani untuk menerima lamaran lelaki itu, bila Haziq mendesak
Kamazul untuk memperisterikannya.
…………..
Kisah sadis di senja itu
berlalu bersama putaran masa, semuanya tersimpan dalam kamus hari dan ditutup
kemas sebagai satu memori duka. Semua yang hadir di situ waktu itu sudah
maklum, tahu dan faham cerita yang sebenarnya. Itu pun kerana Mazlin. Ibu muda
itu terpaksa membuka mulut, berterus terang pada Kamalia, juga Amyra yang turut
mendengar demi untuk menjernihkan kekeruhan.
Haryati. Gadis itu merasa sungguh terhina dengan
tuduhan Kamalia. Tidak terlintas untuk dia menjadi perampas suami orang. Dia
tidak menyangka lelaki pujaannya rupa-rupanya sudah memiliki perempuan lain yang sudah
pun bergelar isteri. Demi maruah dan harga diri, juga demi sebuah cinta yang
sudah lama diidamkannya, dia harus menebus penghinaan itu…
……..
Karmilla pula sekarang sudah
nekad dengan hasratnya membawa hati walangnya jauh dari bumi Malaysia. Hari
itu, dia sudah pun siap sedia untuk berangkat, melanjutkan pelajaran ke
Indonesia. Di KLIA, dia diiringi papa dan mama tirinya untuk berangkat.
Tubir matanya entah mengapa
masih juga bertandang air jernih walau cuba dia menahan. Hatinya sudah puas
dipujuk agar tenang untuk menghadapi semua ini. Masih ada sedikit waktu lagi
sebelum dia masuk ke balai berlepas. Matanya yang basah itu melilau ke sana
sini, di tengah-tengah kesibukan manusia dia mencari kelibat seseorang. Sudah
tidak sudikah insan itu untuk datang bertemu dengannya dalam saat-saat begini
buat kali yang terakhir? Beberapa kali sudah dia menelan liurnya yang rasa
tersekat di rengkongnya. Sekejap masa lagi dia harus meninggalkan ruang itu.
“Mama…” ujarnya perlahan.
Perempuan yang sedang berbual mesra dengan lelaki yang berbadan tinggi itu
menoleh.
“Mama...
maafkan Milla. Milla sudah menyinggung perasaan mama,” ujarnya sambil menyalami
tangan lembut itu lalu pantas mengucupnya.
“Milla tidak bersalah sikit pun
pada mama, mama yang tidak tahu cerita sebenarnya dari Haziq, jika tidak...,” kata-katanya
terhenti di situ bila anak mata mereka berlaga, menerbitkan rasa terharu. Lalu pantas
saja Karmilla memeluk perempuan itu bersama esak tangisnya. Myra membalas
pelukan itu, erat dan mesra tanda kasih sayangnya juga sebagai seorang ibu.
Kamazul yang berdiri di sisi mereka hanya memerhati. Beberapa saat berlalu
Karmilla menghuraikan pelukannya. Dia berpaling ke arah Kamazul.
“Papa... Milla pergi, doakan Milla selamat
dan maafkan Milla, yang selalu menyusahkan papa,” jujur dan telus semua itu
terlafaz dari bibirnya. Tangan kasar itu disalami dan dikucup juga. Kamazul
menepuk mesra bahu anak gadisnya, tanda memaafkan dan memberi semangat.
“Papa pun sama... maafkan papa juga. Jaga diri
baik-baik di rantau orang, Milla tu perempuan... kain yang putih jangan sampai
tercorak hitam, itu je pesan dan amanah papa pada Milla, ingat ya!” Lafaz
Kamazul dengan tegas dan panjang lebar, nasihat yang terkandung erti yang mendalam.
Ternyata gadis itu memahami apa yang terluah dari bibir lelaki itu, air matanya
kian lebat berjuraian. Insaflah dia sekarang, bahawa papanya selalu ingin dia
selamat. Tidak mampu lagi untuk dia membalas kata-kata itu, selain mengangguk
dengan bibir terkunci dan perasaan yang sayu.
Kerana mengikut kata hati dia mendemdami dan memusuhi
semua insan-insan di sekelilingnya tanpa dia sedar. Sekarang baru dia sedar
yang semua orang masih menyayanginya dalam saat-saat perpisahan begini.
Ternyata mereka itu bukan mementingkan perasaan mereka sendiri, tetapi semua
itu adalah lukisan takdir.
Milla!” Satu suara kedengaran memanggil. Semuanya
menoleh. Kira dia menyangka sudah kehilangan semuanya, tetapi ternyata
prasangkanya selalu salah.
“Mama!” Jerit Karmilla girang,
air mata gembira bercampur aduk dalam tangis sayunya.
“Milla!”
“Mama… ampunkan Milla. Milla sudah berdosa pada mama,”
pintanya dengan rintih pilu. Kamalia begitu terharu. Dia hanya mampu mengangguk
saja. Beberapa saat suaranya tertahan di kerongkong. Amyra berdiri rapat di
sisi suaminya, memerhati adegan kemunculan Emylia sekali lagi.
“Maafkan mama
juga yang terlalu mengikut perasaan. Mama terlalu mengikut kata hati mama, mama
lupa yang tempat seorang isteri itu adalah di sisi seorang suami. Jika tidak
kerana sikap ego mama, semua ini tidak akan terjadi…” ujar Kamalia. Dia
tertunduk pilu, tangannya menggenggam erat tangan anak gadisnya.
Karmilla teresak.
“Milla sangka
mama tak akan datang, dan mama sudah lupakan Milla…”
“Milla... Milla
anak mama dan selalu di hati mama, mama tidak pernah lupa pada Milla, Milla
yang tak tahu...” luah Kamalia perlahan, sebak berbaur sayu.
“Mama janji
akan selalu doakan Milla?” Soal Karmilla. Kamalia mengangguk beberapa kali. Beberapa saat
keduanya meluahkan kesedihan.
“Mama...
datang sorang?” Baru sempat dia menyoal tentang ketibaan mamanya. Dia tidak
nampak kelibat Raish ketika itu. Karmilla sememangnya tidak tahu apa yang sudah
terjadi pada rumahtangga mamanya sejak peristiwa di pantai dulu, dia sebenarnya
bimbang jika sesuatu yang buruk telah terjadi antara Raish dan mamanya. Kamalia
tertunduk. Tidak mampu untuk menjelaskan tentang hidupnya sekarang.
“Mama... Milla
tak mahu melihat mama sedih hari ini. Milla ingin lihat mama senyum seperti dulu,”
pinta Karmilla bila dilihat Kamalia terdiam dan tertunduk.
“Milla bahagia sekarang, sudah ada dua
ibu. Tapi... mana suami mama?” Soal Karmilla, mula ragu. Apakah Raish sudah
menceraikan mamanya?
“Dia ada... kat sana,” jelas Kamalia
sambil menghalakan pandangannya ke tempat duduk di ruang itu. Kelihatan Raish
sedang berbual-bual dengan seseorang. Berubah sebentar wajah
Karmilla.
Mesra benar lagak mereka. Terserlah wajah perempuan itu dengan aura dan seri
yang menawan. Kelihatan tangan Raish membetulkan kerudung di wajah Haryati.
Jarak yang tidak berapa jauh masih menampakkan dengan jelas
inai merah di tangan perempuan itu. Ya, perempuan yang dilihat bersama Raish di
pantai dulu. Nampaknya Raish menang lagi. Menang dalam meretakkan hati perempuan.
“Mungkin ini bahagian mama. Mama akan
cuba mencari bahagia jika sudah begini suratan yang tertulis,” jelas Kamalia
perlahan. Sejenak dia mencuri pandang ke arah bekas suaminya. Lelaki itu sedang
rancak berbual dengan isteri barunya. Kamalia menelan air liurnya. Hampa terasa
mengenang segala yang sudah terjadi.
“Kalau
benar cinta you tulus, relakan jalan kebahagiaan yang I pilih ini, tetapi I tak
akan sesekali melepaskan you pergi dari hidup I kerana I tak ingin kehilangan
you,”kata- kata Raish padanya selepas perisitiwa di satu senja dulu masih
segar di ingatannya. Ternyata, dia tidak terdaya untuk kehilangan lelaki itu
dan menghalang keinginannya.
Saat
perpisahannya dengan Kamazul sudah menemui jalan bahagia, dia tidak menduga
Raish mengambil keputusan yang begitu memilukannya. Tetapi dia sedar
sebab-sebab Raish membuat keputusan itu. Begitu berat untuk merelakan, tetapi
apakan dayanya… dia terpaksa.
Sekarang, fahamlah
Karmilla maksud kata-kata mamanya. Sungguh, baginya Raish seorang lelaki yang
kejam! Dalam diam dia menangisi nasib mamanya.
“Milla akan selalu doakan kebahagiaan mama dari jauh,” ujar
Karmilla. Perlahan dia melepaskan genggaman tangan mamanya.
“Milla pergi mama… doakan Milla ya?” Ujarnya. Terasa berat
pula kaki ingin melangkah pergi ketika itu. Beberapa langkah menapak, dia
terhenti bila masih ada lagi suara yang menyeru namanya. Lantas dia menoleh.
Empat mata berlaga. Namun dengan dua rasa yang sudah berbeda.
“Kau sengaja ingin pergi!” Ujar Haziq, jelas. Karmilla diam membatu,
hatinya diselubungi dengan berbagai rasa atas takdir yang telah mereka lalui.
“Untuk apa kau datang? Jika untuk merayu aku agar jangan
pergi… maaf, keputusan aku tetap tidak berubah!” Kasar sudah bahasa yang mereka
tuturkan. Ber ‘kau’ dan ber ‘aku’.
“Kau kejam Milla! Sanggup kau lupakan semua janji-janji kita
dulu.”
“Siapa sebenarnya yang kejam? Aku atau kau!? Aku
hanya membunuh janji, tapi kau? Kau hampir membunuh manusia yang
tidak bersalah hanya kerana cemburu! Kau belum layak untuk menyandang gelaran
suami!”
“Milla?”
“Seorang lelaki yang baik tidak akan menggunakan kekuatannya
untuk menzalimi orang lain!” Tegas Karmilla, hatinya sudah tetap dengan
keputusannya. Tiada sedikit pun ruang hatinya untuk lelaki bernama Haziq.
“Milla... Kalau aku ini tidak bermakna dan
bukan sesiapa lagi bagimu, padamkanlah saja nama aku dari kamus hidup mu,” ujar
Haziq dengan mata berkaca. Wajah cerahnya bertukar sedikit kemerahan. Karmilla
terpaku bersama linangan airmata kesal. Haziq tidak menunggu lama lagi, tanpa
pamitan dia berpaling lalu melangkah. Karmilla nampak lelaki itu berpapasan
pula dengan Raish.
“Raish, aku minta maaf,” pinta Haziq
sambil menghulurkan tangannya pada Raish. Lambat-lambat Raish menyambutnya,
dengan sedikit senyum hambar.
“Aku pun sama. Kita semua tak sempurna
Ziq!” Balas Raish pula sambil tangan kirinya menepuk bahu pemuda itu. Karmilla
melihat itu semua dengan perasaan senang. Sekurang-kurangnya dia tahu, kedua
lelaki itu tidak lagi bermusuhan. Raish melangkah menghampiri Karmilla, yang sudah
pun ingin berlalu. Tangan kasar lelaki itu erat memegang tangan mamanya.
“Milla, maafkan abang! abang janji akan
menemani mama Milla hingga ke akhir nanti...” ujar Raish, Karmilla tertunduk. Dia
tahu Raish telah menduakan mamanya. Bertimpa-timpa rasa kecewanya pada sikap
kaum Adam.
Ah, lelaki! Betapa teganya memperlakukan kaum perempuan
sesuka hati!Hati kecilnya meraung. Dengan payah dia cuba memujuk
hati. Dalam kebisuan dia cuba menatapi wajah lelaki itu.Ketika itu terdengar pengumuman
agar semua pemumpang masuk ke balai berlepas.
“Tolong jagakan mama untuk Milla…” ujarnya. Pandangan mereka
bertemua buat kali terakhir, tanpa bertukar senyum. Pahitnya kenyataan itu
baginya tiada siapa yang tahu. Raish hanya mengangguk. Hari ini dia pergi
meninggalkan semuanya, tetapi akan pergikah kenangan lalu dari dirinya? Hanya
waktu-waktu yang mendatang bakal menjawab semuanya…
…….
“Amy, maafkan aku atas semua yang terjadi dulu. Aku mengaku,
aku yang merampas Zul dulu!”
“Emylia, bukan seratus peratus kau yang salah, Zul juga
salah. Dia yang mata keranjang. Kata orang, bertepuk tangan sebelah takkan
berbunyi,” balas Amyra, matanya melirik suaminya di sebelah. Kamazul tersenyum
hambar.
“Jangan diungkit cerita lama, kelak luka lama berdarah
kembali…” ujar Kamazul. Tangan isterinya digenggam kemas. Saat itu Raish datang
sendirian setelah menghilang beberapa minit sebentar tadi. Haryati yang datang
sekejap bertemu dengannya di situ, sudah pergi ke ibu kota Kuala Lumpur bersama
kakaknya. Raish menyalami Kamazul, keduanya bertukar senyum.
“Sayang, jom kita balik!” Ajak Raish. Tangan Kamalia diraih
mesra bersama senyum bahagia mekar di bibirnya. Pandangan Kamalia terarah ke
wajah lelaki itu. Di mata itu ada sinar keikhlasan dan kejujuran.
“Semua yang terjadi
ada sebab-sebabnya dan tidak sia-sia. Percayalah… aturan ALLAH itu maha adil
dan maha saksama,” ujar Kamazul kemudiannya. Matanya terarah pada bekas
isterinya. Hati lelakinya merasa sayu. Seperti tidak percaya yang perempuan itu
bukan miliknya lagi.
“Emy… senang-senang nanti datanglah ke rumah
kami, pintu rumah ku sentiasa terbuka menerima kedatangan mu,” ujar Amyra
ketika mereka beriringan ke kereta masing-masing. Sejenak Kamalia memandang Kamazul. Lelaki itu mengerdipkan matanya sambil
mengangguk ikhlas.
“Datanglah…”
“Terimakasih… Insya ALLAH!”
“Emy!” Panggil Kamazul pula. Kamalia dan Raish menoleh ke
arahnya.
“Belajarlah untuk setia, walaupun sukar!” ujar Kamazul sambil
mengeyitkan matanya.
“Awak pun!” Cepat saja Amyra menyampuk, sambil menghadiahkan
sebuah cubitan manja ke lengan sasa suaminya. Kamazul memandang Amyra sambil
senyum. Mereka berempat ketawa bersama.
Bunyi ngauman kapal
terbang yang baru meluncur di udara mengganggu keasyikan mereka berbual.
Pandangan mata mereka semuanya terarah ke angkasa, mengiringi sebuah pemergian.
-----TAMAT----