Bab 24
Tanpa
disangka-sangka oleh Azura, malam itu Yusuff dan Dato’ Rahim serta Datin Marlia
datang bertamu ke rumahnya. Kedatangan mereka disambut baik oleh orang tua
Azura. Senyuman yang dilemparkan oleh mereka sekeluarga amat menyenangkan mata
yang memandang.
Azura pantas ke dapur
selepas bersalaman dengan mereka untuk membacuh air untuk tetamunya. Sudah
menjadi kebiasaan bagi dirinya untuk melakukan kerja dapur kerana tidak
mempunyai pembantu rumah. Kata Datin Shafiqah, biarlah air tangan untuk anak
dan suaminya dari air tangannya sendiri. Itu lebih baik jika dibandingkan air
tangan orang lain.
Selesai membancuh air dan
meletakkan sedikit kuih di dalam pinggan berhias, Azura keluar dengan membawa
dulang dengan berhati-hati. Risau jika tersandung, dia juga yang akan mendapat
malu. Pasti akan menjadi perhatian Yusuff yang tidak pernah bosan melirik
kepadanya.
“ Auntie, uncle, jemputlah minum.
Ini jelah yang ada. Kalau Auntie bagitahu nak datang, pasti Zura masak-masak
sedap tadi!” Azura berseloroh sambil melabuh punggung di sebelah mamanya. Dato’
Azman dan Datin Shafiqah yang mendengar tergelak kecil. Begitu juga Datin
Marlia dan Dato’ Rahim yang memang menyenangi anak gadis sahabat mereka itu.
“ Hai, takkan uncle dan Auntie je!
Yusuff tak jemput sekali?” soal Datin Shafiqah tiba-tiba. Berderau darah Azura
mendengar kata-kata mamanya. Yusuff yang mendengar hanya tersenyum walaupun
sedikit terkilan.
“ Yusuff pun jemputlah minum! Macam
tak biasa!” Azura mencebik. Pantas Datin Shafiqah mencubit lembut pipi anak
daranya.
“ Azura dan Yusuff kan dah lama
kenal! Bukan orang asing! Masa kecil-kecil dulu, mana boleh berenggang. Dah
besar ni, mungkin dah tak berapa nak rapat! Maklumlah lelaki dan perempuan
mesti ada persaan malu! Tak macam tu Zura?” Datin Marlia seakan menduga.
Azura hanya mendiamkan
dirinya. Dia hanya memasang telinga mendengar perbualan mereka yang dirasakan
terlalu panjang. Yusuff juga tidak ketinggalan menceritakan perjalanan syarikat
Damai Suria kepada orang tuanya.
“ Azura boleh handle tak Jaya
Idaman? Uncle dapat tahu ni pun, papa Azura yang ceritakan! Elok sangatlah
Azura ambil alih tempat papa Azura tu!” Dato’ Rahim tiba-tiba menyapa Azura
yang termenung panjang.
“ Bolehlah uncle. Tapi kurang
sikitlah nak dibandingkan dengan Yusuff. Dia lagi berbakat dalam bisnes-bisnes
ni!” Azura sengaja menarik perhatian Yusuff. Lelaki itu seakan terperanjat
mendengar kata-katanya.
“ Biasa je! Tiada apa yang
menarik pun! Lainlah kalau Azura,” Yusuff membalasnya kembali. Kelihatan orang
tua mereka berbisik sesama sendiri dengan senyuman bermain di bibir.
Setelah bersembang panjang,
Dato’ Rahim meminta diri untuk pulang. Itupun setelah dipaksa oleh Azura untuk
menghabiskan juadah yang ada di hadapan mata. Yusuff yang bangun menuju ke
pintu sempat melempar senyum kepadanya. Datin Marlia dan Datin Shafiqah saling
berpelukan. Dato’ Azman dan Dato’ Rahim pula bersalaman agak lama. Mungkin ini
tandanya persahabatan sejati! Getus Azura sebelum melambai tangan apabila
mereka berlalu meninggalkan halaman rumah. Yang pasti saat itu Azura merasa
lega! Teramat lega apabila terlepas dari pandangan Yusuff.
****
Mila
yang kelaparan menyanyi kecil di dapur. Dia mengambil sebungkus maggi untuk
dimasak. Zyra yang datang dari dalam bilik menepuk bahu Mila dengan kuat. Hampir
terjatuh plastik maggi yang dipegang oleh temannya itu.
“ Kau ni Zyra, terperanjat aku!”
ujar Mila sambil mengambil bawang yang siap dikupas dari dalam peti sejuk.
Kemudian dia memotong sedikit sayur untuk dicampurkan ke dalam maggi yang
hendak dimasak.
“ Nak masak satu ke? Masaklah
dua..Aku pun lapar juga ni!” Zyra mengusap perutnya. Mila mencebik sebelum
menuang minyak ke dalam periuk.
“ Yalah sayang..Intan payung..”
Mila bersuara sambil menumis bawang yang dipotong. Setelah naik baunya, dia
memasukkan air dan perasa ke dalam periuk sebelum memasukkan dua bungkus maggi.
Setelah hampir siap, Zyra pula memecahkan sebiji telor dan memasukkan ke dalam
maggi yang mula mengelegak. Tidak sampai seminit, mereka menutup api dan siap…
“ Sekarang, kau masukkan dalam
mangkuk! Bawa ke depan, tuan puteri nak santap!” Mila seakan mengarah. Zyra
yang mendengar hanya tersengih. Banyaklah tuan puteri! Puteri maggi segeralah
tu! Zyra tersenyum pula. Pantas dia memasukkan maggi ke dalam dua biji mangkuk
dan membawanya ke ruang tamu.
“ Bagus juga sekali-sekala ada
orang tolong angkatkan! Tak pun tolong masakkan! Tak adalah tangan aku kasar
semacam je..” Mila bersuara apabila Zyra meletakkan makanan di atas meja.
“ Banyaklah kau! Tangan aku ni kasar, tak apa
pulak?” Zyra membidas. Kemudian dia meletuskan tawa melihat Mila membuat memek
muka sepuluh sen. Dah macam cekodok basi! Bisik Zyra sendiri sambil mengambil
remote TV dan mencari siaran yang menarik. Kemudian dia meletakkan remote
control setelah tertarik hati dengan cerita aksi yang dilakonkan oleh Stephen
Chow dalam filem The Kungfu Hustle. .
“ Mila, kau nak dengar cerita
tak?” soal Zyra tiba-tiba. Mila yang menikmati maggi yang masih panas
menumpukan perhatian kepada Zyra yang kelihatan serius.
“ Cerita apa? Cerita seram ke?”
Mila kelihatan teruja. Zyra yang mendengar tergelak kecil. Ada saja sikap Mila
yang menghiburkan hatinya.
“ Tak adalah seram sangat! Tapi
boleh tahanlah!” Zyra pula seakan berteka-teki. Dia turut menikmati makan malam
mereka dengan berselera. Mila yang ternanti-nanti mencebik tidak berpuas hati.
“ Zariff…” tutur Zyra singkat.
“ Kenapa dengan Zariff?” soal Mila
kehairanan. Apa masalah lelaki yang datang tanpa diundang itu? Agaknya ajak
Zyra keluar makan kut..Mila berbisik sendiri.
“ Dia panggil aku.. Mily! Kau
terkejut tak?” soal Zyra sambil tergelak kecil. Mila yang mendengar mengurut
dada. Seramlah sangat!
“ Mily?” Mily tu siapa? Awek dia
ek?” soal Mila kehairanan.
“ Tak tahulah aku, Mila. Sakit juga
kepala tengok perangai dia tu! Sejak bila pulak nama aku ni Mily! Agaknya,
Zariff ni tak betul kut? Ataupun meroyan sebab kena tinggal dengan kekasih. Tu
jadi macam tu!” Zyra pula serkap jarang. Dia menyuap kembali maggi yang mulai
kembang. Begitu juga Mila yang masih berfikir tentang sikap lelaki yang disebut
Zyra itu.
“ Mujurlah perempuan tu nama Mily!
Kalau Mila, terpaksalah aku korbankan jiwa raga aku untuk jadi isteri dia!”
Mila mula melalut.
“ Sempat lagi kau berangan ek!” Zyra
seakan menyindir. Mila hanya tersengih sebelum membutangkan matanya.
“ Mungkin dia pernah couple dengan
kak Lia?” tiba-tiba Mila memberi pandangan. Zyra yang mendengar seakan
terkejut. Alasan yang kuat untuk diterima. Namun mustahil! Getus Zyra perlahan.
“ Kak Lia kata, abang Iskandar
adalah cinta pertama dia. Kalau ada pun cinta monyet! Tak pernah pulak aku
dengar kak Lia sebut pasal Zariff! Dan satu lagi, sejak bila pulak kak Lia guna
nama Mily? Mustahil!” Zyra menafikan apa yang dikatakan oleh Mila. Pernah juga
Zyra bertanya tentang Mr. Gitaris kepada Amelia, namun kakaknya itu tidak
pernah mengenalinya. Mila yang mendengar menganggukkan kepalanya. Mungkin benar
kata-kata Zyra. Mustahil orang yang dipanggil Mily itu adalah Amelia. Mungkin
juga orang lain!
Kata orang, dalam dunia
ini ada tujuh orang yang sama rupa dengan kita. Mungkin Mily itu salah satu
contohnya. Zyra menghabiskan makan malamnya. Begitu juga dengan Mila yang masih
mencari-cari jawapan. Entah kenapa, kepalanya pula yang pening menghuraikan
cerita yang tidak berkesudahan.
“ Mungkin itu tektik Zyra! Si
Zariff tu sukakan kau! Dia buatlah cerita macam tu. Bila kau dah beri perhatian
pada dia, maksudnya pancingnya dah mengena. Dan kaulah ikan yang dipancingnya!”
Mila beria-ria mereka cerita. Zyra yang mendengar tergelak kecil. Masakan dia
disamakan dengan ikan! Tak ke haru!
“ Tektikpun tektiklah! Malas
aku nak fikir! Sakit kepala aku ni!” Zyra bangun untuk ke dapur. Mila yang
masih terkial-kial menghabiskan magginya turut bangun dan meletakkan mangkuknya
ke dalam singki. Dan yang pasti, Zyra yang menjadi mangsanya sekali lagi.