Home Novel Cinta Aku Yang Kau Pilih
Aku Yang Kau Pilih
Suhailah Selamat
31/1/2021 09:42:05
408
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

“Urgh! Penatnya hari ni.” Kerusinya ditolak ke belakang sebelum tubuhnya direnggangkan sedikit. Segala otot di tubuhnya terasa sakit gara-gara duduk terlalu lama di atas kerusi. Prof Lora punya pasallah ni. Bagi assignment bukan main banyak. Macam tak ada hari esok! 

Bila budak-budak kelasnya merungut, mulalah Prof Lora bising-bising. Bukan makin dikurangkan kerja. Makin bertambah adalah! Ciss!

“Aih, tekak ni rasa haus pula. Tiba-tiba teringin nak minum air nescafe 3 in 1. Hmmm…” Rose mengomel sendiri sambil kakinya melangkah menuruni tangga. Dua anak tangga dilangkah sekaligus menyebabkan gadis itu hampir jatuh tersungkur ke lantai.

Mujur tangan kirinya sempat berpaut pada penghadang tangga sementara tangan kanannya melekap ke dinding bagi menstabilkan diri. 

“Aduh!” Rose mula hilang imbangan lalu jatuh terduduk di anak tangga terakhir. Punggungnya diusap perlahan. 

Di luar, rintikan hujan semakin lebat turun membasahi bumi. 

Rose memandang ke sekeliling dengan wajah ketakutan. Pada waktu malam, hanya lampu di bahagian anjung rumah tidak dimatikan. Manakala rumah dua tingkat itu dibiarkan bergelap tanpa sebarang cahaya. 

Kilat tiba-tiba memancar di kaki langit lalu menyebabkan suasana yang gelap bertukar terang selama beberapa saat. Ketika itu, pandangan Rose sudah terpaku ke satu arah. 

Tanpa diduga, langsir yang menutupi pintu sliding door terselak ke tepi dengan sendiri! Tiada angin, tiada ribut. Sepasang tangan muncul di celah pintu kaca itu.

“Argh!” Rose hampir menjerit namun sempat ditahan setelah melihat figura itu yang mula memunculkan diri dengan mengesot ke lantai. Sebijik macam hantu dalam filem ju-on. Siap pakej rambut panjang lagi.

Rose menghembuskan nafas dengan kasar. Dia melompat turun dari tangga lalu berlari mendapatkan gadis itu yang sudah terbaring di atas lantai. Nafasnya laju dan dadanya kelihatan turun naik melepaskan lelah. Nampak penat sangat. Entah ke mana hala tuju gadis itu tadi.

“Kau pergi ke mana tadi?” Rose bercekak pinggang di hadapan Tiya. Mata kuyu miliknya terus membuntang besar sebaik sahaja melihat Rose yang sudah berdiri tegak di atas kepalanya. 

Tiya mendongakkan kepalanya ke atas seraya memandang tepat ke wajah bengis Rose.

“Tadi, saya ke library. Ada discussion pasal projek akhir untuk sem ni.” Tiya membalas selamba. Dia bangun lalu duduk bersimpuh di hadapan Rose. Tiada langsung riak takut ketika berhadapan dengan anak majikannya itu.

“Oh, yeker? Ke sebenarnya kau keluar dengan jantan mana entah. Lepas tu, buat alasan keluar dengan kawan sebab ada discussionlah… Konon…” Nada suaranya sengaja dileretkan. Niat Rose memang sengaja ingin menyakiti hati gadis itu. Biar Tiya sedar diri yang dirinya sekadar anak orang gaji dalam rumah ini. Tidak lebih dari itu. 

“Mungkin betul saya memang ada keluar dengan jantan. Tapi jantan yang saya maksudkan tu sahabat saya sendiri. Saya tahu Cik Rose kenal siapa jantan yang saya maksudkan tu. Jadi, tak salah kalau saya keluar dengan dia, kan?” Tiya tersenyum puas setelah merasakan kemenangan sedang berpihak kepada dirinya. 

Rose mengetap bibirnya kuat tanda geram. Tiya sudah semakin berani melawannya semenjak gadis itu memegang gelaran ‘anak angkat’ kesayangan Datin Suzanna. Dia pula telah dianak tirikan oleh mamanya sendiri. Dia bertambah bengang apabila Datin Suzannah selalu menangkan gadis itu setiap kali mereka bertikam lidah. 

Siapa anak Datin Suzanna sebenarnya? Helena Rose atau Tiya Alana!

“Darwin?” Rose bersuara setelah agak lama dia mendiamkan diri. Dia sudah tahu lelaki mana yang dimaksudkan Tiya. Namun dirinya sengaja ingin bertanya sekadar untuk mendapatkan kepastian. 

“Yep!” Tiya menjawab penuh yakin sedangkan hakikat sebenarnya hanya dirinya seorang yang tahu. 

Rose tergamam. Nafasnya terasa sesak mendengar kenyataan yang begitu menyakitkan itu. Cemburukah dia pada Tiya? Sedangkan mereka berdua hanya sekadar teman biasa. Tetapi melihat dari gerak-geri Tiya. Dia sudah dapat mengagak yang gadis itu ada menyimpan perasaan pada Darwin.

Tiya bingkas bangun dari duduknya. Dirinya tidak betah berlama-lama di situ lagi. Dia harus segera ke biliknya dan menukar bajunya yang basah. Takut punya pasal. Sampai tak teringat langsung nak guna payung yang sentiasa dibawa di dalam beg sandang. 

Tubuh Tiya menggeletar kesejukan setiap kali angin luar menyapa kulitnya.

“Saya minta diri dulu, Cik Rose.” Belum selangkah dia menapak, tiba-tiba tubuhnya terdorong ke tepi lalu memeluk tubuh tinggi lampai Rose di sebelah. 

Bunyi guruh yang berdentum kuat benar-benar mengejutkan kedua-dua gadis itu. Lebih-lebih lagi Tiya. Mujur Rose tidak sempat menarik pergelangan tangan Tiya kerana gadis itu terlebih dahulu melakukannya.

“Aku takut!” rengek gadis itu sambil menyembamkan wajahnya ke dada Rose.

Tanpa sedar, tangan Rose mula bergerak dan hampir menyentuh belakang Tiya. Lebih-lebih lagi setelah telinganya menangkap bunyi esakan gadis itu yang kedengaran semakin jelas.

“Hei!” Tiba-tiba satu figura muncul dan menjerkah mereka dari tingkat dua.

Serentak, Tiya dan Rose menoleh ke atas. Keadaan yang gelap menyukarkan mereka untuk melihat wajah makhluk itu dengan lebih jelas.

‘Bung!’ Suasana bertukar terang selama sesaat. Tiya terus pengsan sebaik sahaja melihat rupa sebenar makhluk itu.

Rose pula sekadar memandang makhluk serba putih itu tanpa perasaan. Dibiarkan Tiya tidur dengan ‘lena’ di bawah kakinya.

“Emmm…. Mama rupanya. Ingatkan hantu bedak manalah yang malam-malam buta sibuk nak kacau Rose.” Rose terus mencebik.

Datin Suzanna terus ketawa terbahak-bahak. Siap pegang perut lagi. Suka ler tu sebab dapat kenakan anak orang sampai pengsan budak tu dibuatnya.

“Jom tolong mama angkat Tiya masuk ke bilik dia.” Datin Suzanna bersuara sebaik tawanya mula mereda. Air matanya yang keluar diseka dengan jari telunjuk.

“Mama nikan. Suka bertindak tak fikir dulu. Kan dah menyusahkan Rose nak kena angkat budak debab ni pula,” rungut Rose. 

“Sudah. Jangan banyak cakap. Cepat tolong mama. Or else… Mama potong elaun Rose untuk bulan depan!” ugut Datin Suzanna yang sudah pun berdiri di sebelahnya.

“Mama!” Rose menjerit geram.


Keesokan harinya. Pagi-pagi lagi Rose sudah mendengar suara riuh-rendah dari ruang tingkat bawah. Itu suara Datin Suzanna dengan Tiya! Entah apalah agaknya yang masing-masing bualkan. Nak juga dia tahu apa yang dibualkan mereka berdua sampai masing-masing tergelak kuat macam tu sekali.

Rose mendengus marah.

“Ya Allah. Kenapa mama dengan perempuan tu bising sangat! Tak tahu sekarang ni baru pukul…” Jam loceng di meja sebelah dipandang lama. Matanya yang separuh terbuka mula terbuka luas.

“Dah nak pukul 9.00? Kenapa mama tak kejutkan aku macam biasa!” Omel Ros. Kelam-kabut dia turun dari katil. Tuala yang tersangkut di depan pintu almari dicapai sebelum menghilangkan diri di dalam bilik air.

Gadis itu bersiap ala kadar sahaja. Hari ini dia cuma ada satu kelas pada sebelah pagi. Petang dah boleh lepak dengan member yang lain.

Ketika melangkah turun dari tangga. Rose sempat menjenguk ke ruang makan untuk melihat keeadaan di di situ yang tiba-tiba bertukar sunyi-sepi. 

“Malaikat lalu kut,” bisik Rose lalu tertawa perlahan. Sebaik sahaja tiba di ruang makan. Pandangan Rose mula tertumpu ke arah jejaka itu yang sedari awal sudah melemparkan senyuman terhadapnya.

Rose sengaja buat-buat tidak perasan. Padahal, dalam hati sudah menjerit kesukaan melihat jejaka idaman di depan mata. Dia mengambil tempat di sebelah Datin Suzanna. Atau lebih tepat lagi di hadapan jejaka yang bernama Darwin. Auw! 

Dalam diam, Rose merenung mata hazel itu dengan wajah teruja. Alahai, cantiknya mata awak! Dalam hati, sudah berbakul-bakul pujian dirinya berikan buat jejaka idaman kampusnya itu. Korek punya korek. Rupa-rupanya Darwin teman sepermainan Tiya. Dari kecil lagi mereka memang rapat. Sampai ke besar pun tetap rapat juga. Rose yang melihatnya naik berbulu mata. Bukan main gedik dia melihat gadis itu.

Mujur Tiya tinggal di asrama yang disediakan oleh pihak kampus. Tak adalah hari-hari dia kena mengadap muka gatal Tiya. Sesekali pulang ke rumah dah berani tunjuk perangai tak semenggah di depan Dtao’ Zainal dan Datin Suzanna. Dasar perempuan tak tahu malu…

“Wah, ada kek cheese oreolah. Mama yang buat ke?” Rose menoleh ke sebelah. Kek favourite dia kut. Bukan setakat ada kek. Tapi mereka siap pasang belon lagi pada setiap kerusi di meja makan. Datin Suzanna turut dipakaikan kain selempang yang tertulis ‘Happy birthday, auntie Suzanna.’

Nak touching sejekap. Sambil matanya dijulingkan ke atas tanda… Menyampah plus… Cemburu? Oh, pleaselah. Mestilah tak!

“Tengok ni, Tiya. Anak auntie sendiri boleh lupa hari ni hari lahir mama dia. Nasib baik Tiya dengan Darwin tak lupa.” Datin Suzanna menjeling manja ke arah anak tunggalnya.

Rose mencebik. Nasib baik comel…

Setelah selesai makan kek cheese orea sebagai sarapan pagi. Rose segera menyalam kedua orang taanya sebelum berlalu ke pintu rumah.

“Nanti dulu,” tegah Darwin dari meja makan. Tiga pasang mata serentak menoleh memandang mereka. Hmmm…. Rasa diri ni macam artis sekejap….

Tiya sudah tarik muka masam. Kurang senang melihat Darwin yang sudah mula memberi perhatian pada Rose.

“Nah, ini untuk awak.” Beg kertas warna coklat cair dihulur pada Rose.

Wajah Rose serta-merta bertukar ceria. Beg kertas itu sudah bertukar tangan.

“Untuk saya? Betul ke ni, Darwin?”

Darwin segera membalas dengan anggukan.

“Yep! Untuk awak.” Redup mata hazelnya menatap wajah Rose yang begitu manis dipandang.

Gadis itu mendongak ke atas lalu mereka bertentang mata untuk seketika. Kedua-dua keningnya mula bertaut menandakan ada sesuatu yang menganggu fikirannya ketika ini.

“Tapi hari jadi saya minggu depan. Bukannya hari ni.”

“Tak apa. Alang-alang kita sambut hari jadi auntie Suzanna. Saya bagi sekali hadiah ni dekat awak. Bulan depan ada lagi tau. Emmm… Cuba cakap awak nak apa?”

“Saya nak hati awak.” Tanpa sedar, mulutnya telah terlepas cakap!










Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Suhailah Selamat