Home Cerpen Umum HALUSINASI
HALUSINASI
20/5/2015 23:38:05
2,967
Kategori: Cerpen
Genre: Umum
Aku terbaring kaku di katil usang ini mengenang nasib yang sentiasa malang…tanpa dapat ku kawal airmata mengalir tidak berhenti.

"Rrring...rrring...""Hello, Ilham buat apa? Anna ganggu Ilham ke?"

Terdiam aku seketika, cuba menyorok sedu tangisan.
"Ohh Anna. Tak lah..Ilham tengah baring ni...Ilham baru je nak tidur".

Lantas aku dan Anna berbual hampir setengah jam sebelum kami tamatkan panggilan. Bibirku masih menguntum senyum sebaik talian terputus, masih terasa gurauan Anna yang suka membuat lawak ketika berbual.Tapi entah kenapa sebaik sunyi kembali, kegembiraan tadi melebur pantas seperti embun yang dibakar mentari.

------

Setiba di tempat karnival,tempat aku berkerja; pandangku tertancap pada seorang gadis. Wajahnya persis seperti arwah tunangku! Entah kenapa tubuh ini tiba-tiba bergerak sendiri seolah2 dikawal oleh remote control halimunan.

"Haaii,ada apa yang saya boleh bantu?",

soalan berani tiba-tiba keluar sendirinya sedang kebiasaannya aku tidak pernah menegur orang yang tidak ku kenal.

"Haa encik...saya cari gerai perubatan herba, belah mana ek?"

Soalan itu menjadi simpul pertama yang mengikat perhubungan aku dengan Afiqah.

----

"Ilham,boleh Anna nak jumpa Ilham hari ini", 

Anna masih mencuba tanpa serik.Akalku ligat mencari alasan. Aku mahu bertemu Afiqah bukan Anna.

“Hmmm…Anna,maaf ya...Ilham banyak kerja hari ni, kena overtime, kita jumpa esok-esok ye?”.
“Hmmm…ok…”,

nada suara Anna jelas hampa. Aku tahu kata-kata aku menyinggung perasaan Anna kerana baru kelmarin aku menggunakan alasan yang sama. Tapi aku tidak berdaya untuk menidakkan Afiqah, di minda ku hanya dia yang berlegar.
Kami kini semakin rapat dan aku semakin jauh denganAnna.

-----

"Rring...Rring".

Telefon bimbit berbunyi lagi. Terasa malas untuk mengangkat,sebab aku tahu itu tentu panggilan dari Anna.

“Rring…Rring”.
“Rring…Rring”.

Tiga kali deringan ku abaikan dan akhirnya aku mengalah.
“Anna….sori…Ilham tertidur tadi”. 

Anna cuba berbual-bual, cuba membuat lawak dan mengusik seperti kebiasaan dan aku menahan perasaan dari meluahkan kejengkelan ku pada rutin yang tidak lagi menghiburkan. Aku lebih suka berbual dengan Afiqah yang lemah lembut dan manja seperti arwah tunangku, Izzati.

----

Hidup ku yang dulu terkunci dalam kotak kemurungan kini berubah. Afiqah telah membuka kunci yang membelenggu jiwaku. Walau Anna mencuba tapi Afiqah yang berjaya memimpin aku keluar dari kesedihan dari kehilangan Izzati.

“Afiqah, terima kasih sebab hadir dalam hidup saya”,

aku meluahkan rasa. Afiqah tunduk malu dan tersenyum. Lesung pipitnya kemerahan. Senyumnya sahaja sudah memberi aku jawapan dia merasakan yang sama.

----

"Ilham,sihat? Kenapa dah lama tak contact Anna?”

Hatiku berulang memohon maaf pada Anna yang tidak bersalah namun lidahku tidak terluah. Kafe tempat kami bertemu terlalu sunyi, tidak ramai pelanggan, membuatkan aku semakin gugup untuk berterus terang.

“Anna…errr…Ilham ada benda nak bagitau…”,

 aku memecah hening. Aku tidak sanggup bermain dengan masa, walau perit untuk Anna terima tapi aku rasa ini jalan sebaiknya. 
tidak adil untuk Afiqah. Aku tidak pernah merancang untuk jatuh cinta dengan Afiqah, hanya cuba untuk merawat luka silam namun cinta itu aneh, ia boleh datang tiba-tiba dan entah bagaimana aku kini jadi perosak hati Anna, gadis yang selama ini menjaga aku dengan baik selepas arwah Izzati.

---

Selepas pertemuan di kafe tersebut Anna terus menghilangkan diri. Berkali-kali aku cuba hubungi untuk mengekalkan hubungan sebagai kawan biasa tetapi panggilanku tidak diangkat. Aku faham, Anna tidak mahu berhubungan dengan aku langsung. Aku menerima hakikat tersebut dan aku juga tidak mahu membuatkan dia terus terluka. Walaupun begitu aku tetap ingin tahu keadaannya. Aku tidak mahu dia merosakkan dirinya kerana aku.

"Hello, Nita..kau ada jumpa Anna?",
aku menghubungi salah seorang kawan baik Anna.

"Aku pun dah lama tak contact dia", jawab Nita. Perbualan kami kemudiannya terhenti tanpa jawapan.

Sudah 7 hari aku mencari Anna tapi tiada siapa yang tahu berita terbaru dirinya. Walaupun Afiqah kini suri di hati namun aku terus bimbangkan nasib Anna. 

“Awak, awak okay ke?”, Afiqah menyoal di depan pintu rumahnya semasa aku menghantarnya balik dari kerja.

“Saya okay, awak jangan risau ya, saya ada benda sikit nak setel”. Afiqah angguk dan memberikan aku senyumannya yang menenangkan jiwa kusut ku.

----

"Rrring...rring".
Bergegas aku ke ruang tamu mengangkat panggilan itu dan berharap ia dari Anna. Aku harap Anna tidak membuat perkara-perkara bodoh yang menyakiti dirinya dan panggilan itu bukan panggilan yang membimbangkan.

"Salam,Ilham..? Nita ni...aku nampak Anna dekat Tasik Permaisuri baru kejap ni".

 Walaupun agak kecewa itu bukan panggilan dari Anna tetapi aku sedikit gembira kerana dia telah ditemui.
Aku berlari mencari kunci motor untuk memecut ke Tasik Permaisuri. Aku rasa bertanggungjawab untuk memastikan Anna boleh meneruskan hidupnya. Aku tahu apa aku buat mungkin tidak adil untuk Afiqah tetapi aku hargai hubungan aku dengan Anna sebelum ini. Biarlah aku dikata sebagai lelaki yang kalut tetapi aku tidak pandai membenci orang yang tidak bersalah.

----

"Ilham dah sedar?". Aku terasa sangat lemah.
"Kita ….dekat mana?"

Anna di sisi bila aku membuka mata. Dia senyum tenang dan menjawab, 
"Kita dekat hospital,Ilham kemalangan, kena langgar dengan lori".Aku kebingungan.

Setelah mendengar cerita dari Anna..barulah aku tahu,sebaik motor ku keluar dari simpang tidak jauh dari rumah aku telah dilanggar oleh sebuah lori sampah kerana kecuaian aku tidak memberi isyarat keluar simpang.2 bulan rupanya aku koma dihospital. Tuhan sahaja yang tahu betapa bersalahnya rasa hati aku pada Anna. Anna, teman setia yang sentiasa bersama dengan aku ketika susah senang terus setia di sisi.
Walau terdetik dihati mahu bertanya kepada Anna samada Afiqah datang melawat ketika aku tidak sedar tapi aku tidak mampu menyuarakannya. Aku serba salah.Tetapi Anna seolah boleh membaca fikiranku.

“Ilham,Afiqah hari-hari datang melawat Ilham".
Terkejut aku mendengar kata-kata Anna.Dia rupanya lebih tabah dari yang aku sangkakan.

“Ilham,Anna ada benda nak cerita,sangat penting…Anna tak sanggup lagi tengok Ilham jadi macam ni."Aku kehairanan dengan kata-kata Anna.

----

"Maafkan Anna,Ilham…"
Tiba-tiba tubuh ku lemah longlai, aku jatuh melutut di tanah.Air mata yang sudah lama kering sejak bertemu Afiqah kini tidak dapat dibendung.

“Ya Allah, apa yang telah terjadi pada aku selama ni?”
Dugaan aku terlalu besar rupanya. Tapi Anna, kau seorang yang sangat kuat! Aku kagum dengan Anna, hati tidak berhenti memuji ketabahannya.

“Dia tiada…?”
Anna menggelengkan kepalanya.Sukar aku menerima kenyataan. Afiqah sudah tiada. Dia tidak akan muncul lagi dalam hidup aku.

----

“Sebelum kemalangan Ilham hidup dalam bayang-bayang”,Anna memulakan bicara.

“Semenjak arwah tunang Ilham, Izzati; meninggal dunia kerana kanser perut yang tidak disangka, hidup Ilham terumbang-ambing.”

“Dah setahun Ilham hidup dalam halusinasi.Seolah Ilham masih dengan Izzati. Semua watak gadis yang Ilham temui menyerupai arwah Izzati meskipun berlainan nama.”

“Apa kau cakap ni Anna?”, Anna membuatkan aku kusut.

Anna menyambung cerita absurdnya,
“Afiqah tidak wujud, Ilham. Begitu juga dengan Farah, Mimi, Salina, Yasmin….semuanya yang persis wajah Izzati itu hanya halusinasi minda Ilham.”

“Tak!! Tak mungkinnnn!!”, aku tidak dapat menerima kenyataan.Anna menunjukkan telefon bimbit ku, nama-nama gadis tersebut semua ada dalam senarai nombor telefon tapi bila dihubungi semuanya wrong number!.Dan untuk memuaskan hatiku Anna membawaku ke rumah Afiqah yang sebenarnya adalah rumah arwah Izzati yang sudah kosong.Kemalangan dengan lori itu bagaimanapun telah menghentikan halusinasi aku.---“Ya Allah, lemahnya iman hambamu ini. Disebabkan tidak mampu menerima kenyataan kepulangan Izzati ke pangkuanmu, terlalu angkuh tidak mahu menerima takdirmu menyebabkan aku terperangkap dalam dunia sendiri”, aku teresak di atas sejadah.

“YaAllah,ampunkanlah segala dosaku...dan kau tempatkanlah Izzati Binti Halim dikalangan orang yang beriman”

---

"Abang rindu Sayang...Abang harap Sayang tenang disana", menitis lagi air mataku di pusara Izzati.

"Sudahlah Ilham, tak baik menangis dekat pusara arwah..sedih dia tengok Ilham macam ni", Anna menasihatiku.

Aku menggangguk setuju dengan kata-kata Anna. Aku membaca surah Al-Fatihah sambil mengelap air mata dengan hujung lengan baju Melayu. Perlahan aku bangkit dan berdiri.

“Terima kasih Anna atas bantuan Anna untuk menyedarkan Ilham selama ini. Jomlah kita beransur…

Anna tidak menjawab.

Aku berpaling.

Anna tiada.

Tanah perkuburan Islam itu sunyi sepi. Aku bersendirian di sisi kubur Izzati.

Anna….?

Aku melihat seorang pakcik, mungkin penjaga tanah perkuburan sedang membersihkan rumput-rumput tidak berapa jauh dari aku.

“Assalammualaikum Pakcik….tumpang tanya, ada nampak perempuan yang datang dengan saya tadi tak? Yang pakai baju kurung putih? ”

“Perempuan? Eh…encik kan seorang diri je dari tadi. Mana ada orang lain dengan encik?”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.