Hujan yang turun renyai-renyai, menyejukkan
pandanganku. Terasa reduh cuaca di luar
sana, sama redup dengan hatiku. Jiwaku pasrah dengan ketentuan yang telah
ditakdirkan terhadapku. Kepulanganku
tidak dinanti, kehadiranku menyesakkan mereka.
Kata-kata sindiran sering menyinggah telingaku. Bernanar rasa jiwa dan sanubariku. Aku menyandar di birai katil sambil
memikirkan masa depanku. Masih adakah
lagi peluang dan ruang untuk aku meneruskan kehidupan ini? Masih adakah insan-insan di luar sana yang
masih sudi menerima kehadiranku kembali?
Aku tahu salahku, aku tahu dosa yang telah aku lakukan telah mencoret
dosa dan noda dalam kehidupanku dan keluargaku.
Aku tahu, aku telah mencemar nama keluarga, dalam hatiku berjuta
penyelasan bertamu.
“Kak
long,” sapa seseorang yang berada di muka pintu.
Laju
kepalaku menoleh. Emak? Aku melakarkan senyuman buat emak yang telah
melahirkan aku ke dunia ini. Dia datang
menghampiriku dan duduk di atas tilam.
Dia merenung wajahku, kemudian menunduk memandang lantai. Lama dia
membatukan diri. Aku kerisauan, apa pula
yang ingin emak sampaikan.
“Mak
rasa, baiklah kak long balik Kuala Lumpur. Di sini tiada apa untuk kak
long. Tambah sakit hati dan sakit jiwa
sahaja, hari-hari kena sindir, tahan ke kak long?” aju emak.
Aku
terdiam. Aku baharu sahaja balik dari
Kuala Lumpur. Ada sebab aku pulang ke
kampung. Semua orang tahu sebabnya. Sudah jadi viral di FB tentang diriku. Lenyap
sudah impianku, hilang sudah cita-citaku. Segalanya jadi sampah atas perbuatanku
sendiri. Musnah dijilat api tanpa aku
sedari. Jari-jemariku mati, fikiranku
buntu untuk mengarang lagi. Dalam
mengejar populariti, aku melawan arus, aku redah air yang sedang pasang
lantaran kegelojohan ingin sampai ke seberang.
Aku lupa, air yang deras kadangkala mampu menghanyutkan.
“Mak
tak suka along balik ke?” tanyaku hiba.
Berdegup laju jantungku.
Resah hatiku, begitu sekalikah
bencinya mereka kepadaku?
“Bukan
tak suka? tapi, along kenalah faham,”
ujar emak tanpa memandang wajahku.
Aku
memejamkan mataku seketika. Hancur luluh
hatiku. Rumah itu aku dirikan dengan
duit yang aku perolehi sewaktu menulis karya itu. Karya yang telah menghancurkan hidupku dalam
sekelip mata. Siang malam aku dicerca
dan dihina, kata-kata nista ditumpahkan kepadaku. Mulanya tiada penyesalan di hati. Pedulilah
apa orang hendak kata, asalkan aku mampu menjana populariti dikelilingi para
peminat yang suka membaca tulisanku itu. Aku alpa dan leka, nasihat
kawan-kawanku pandang sepi, kubiarkan mereka bernyanyi selagi daya, selagi ada
suara. Sudah letih mereka pasti membisu seribu bahasa, tiada lagi irama untuk
dinyanyi dan dilagukan. Itu tanggapanku.
Rupanya lagu terus dinyanyikan, kali ini lebih lantang dan keras. Jatuh
terduduk aku dibuatnya. Terasa pecah
dadaku. Kawan-kawan yang dahulu kuanggap
bagaikan keluarga sendiri juga mengamuk, seolah-olah tujuh keturunan tidak akan
berhenti.
“Baiklah
mak, jika sudah itu kehendak mak dan adik-adik,” kataku lirih.
“Along,
jangan marah emak ya? Kalau boleh emak tak nak along keluar dari sini, ini
rumah along juga. Along yang bina rumah ini.”
Emak memandang wajahku sayu.
Aku
tersenyum nipis. Memang aku membinanya tetapi dengan duit haram yang aku
terima. Emak mana tahu? Tidak mungkin
aku memberitahunya. Pasti hancur hati
emak. Aku hanya memberitahunya bahawa
rumah itu dibina oleh suamiku, emak percaya kerana suamiku bukan calang-calang
orang. Bergaji dan berpangkat
besar. Aku tidak pernah kekurangan
apa-apa. Aku ikutkan hawa nafsu untuk jadi orang terkenal. Penulis
terkenal. Aku lupa diri, aku ketepikan
adab dan akhlak dalam berkarya. Aku buang jauh-jauh natijah yang bakal
menimpa. Aku butakan mata dengan
pandangan orang. Aku pekakkan telinga
dengan teguran orang, terutama kawan-kawanku.
“Esok,
along akan keluar dari rumah ini mak.
Sesekali along telefon emak ya?”
Aku memegang tangannya lembut.
Kuusap perlahan lalu kucium dengan penuh rasa kasih dan sayang.
“Maafkan
emak, along,” luah emak.
Kulihat
matanya berkaca. Aku tahu emak pasti
bersedih dengan apa yang berlaku.
“Hussin
tak telefon along?” tanya emak, bertanyakan tentang suamiku. Erk… bekas
suamiku. Aku diceraikan dengan talak satu sebaik sahaja aku ditangkap kerana
menulis cerita lucah. Suamiku mengamuk,
habis semua perkataan keluar dari mulutnya.
Merah padam wajahnya. Matanya tajam memandangku.
“Kau
cemar nama abang! Kau lupa siapa abang?
Kenapa kau buat semua ini hah?
Kau sengaja nak menghancurkan maruah dan harga diri abang ke? Kau tak
kasihan dengan anak kita? Kenapa? Apa
lagi yang kurang?” jerkah suamiku.
Bertalu-talu
kemaafan terlahir di bibir, langsung tidak diendahkan. Malah suamiku telah meghalau aku keluar di
waktu sepasukan polis sedang menunggu untuk membawa aku ke balai polis bagi disoal
siasat. Ketika itu aku dan keluargaku
pulang bercuti ke tanah air.
Kegembiraanku dapat pulang ke negara tempat aku dilahirkan ini hilang
sekelip mata.
“Kau
jangan balik lagi ke sini, anak juga kau jangan jumpa. Kau cemarkan nama baik
kami, nama keluarga abang, nama baik keluarga kau sendiri. Manusiakah kau ini?”
marah suamiku, sebelum aku menaiki kereta polis.
Aku
menangis sayu, teresak-esak namun tiada siapa yang simpati. Aku benar-benar bersendirian. Tiada teman,
tiada kawan dan tiada keluarga, hatta suamiku sendiri membuang aku terbiar
bagaikan kain buruk yang sudah tidak berguna lagi. Menangis sehingga keluar
anak tekak, atau darah sekalipun, jalan pulang untukku bagaikan tertutup. Hina benar pandangan mereka menjadi penulis
lucah ini. Aku mengambil risiko tanpa
memikirkan natijahnya untuk kehidupanku di masa hadapan.
Ke
mana aku hendak pergi? Aku tidak mahu
dipenjarakan, maka aku membayar denda yang telah ditetapkan, maka aku terlepas
bebas. Masalahnya habis semua duit
simpananku. 50k aku perlu bayar untuk
membebaskan diri. Nasib baik diberi peluang membayar denda, jika tidak… pasti
aku dipenjarakan selama dua tahun. Ah! Menjadi penghuni penjara, bukan pilihan,
dan tidak mungkin aku mampu menghadapinya.
Rumahku juga sudah kugadaikan untuk mendapatkan duit bagi membayar denda
yang dikenakan. Kali ini, aku
benar-benar muflis dan miskin. Pulang ke
kampung dengan harapan keluargaku akan menerima kehadiranku. Malang sekali,
anggapanku salah. Mereka juga marah,
mereka juga berasa terhina rupanya. Apa
yang telah aku lakukan? Aku telah kehilangan semua dalam keghairahanku mengejar
nama. Mana dia peminat yang menyanjungku waktu aku berada dipuncak
kejayaan? Kenapa mereka tidak hadir
untuk memberi aku sokongan dan dokongan?
Ah! Manusia, berada di sisi jika aku berjaya, meninggalkan aku bila aku
ditimpa musibah.
“Along!”
tegur emak.
Aku
tersedar daripada lamunan. Wajah emak
yang mendung kutatap seketika.
“Bersabarlah,
berdoalah kepada ALLAH agar ada jalan keluar.
Kembalilah kepada Dia. Jangan sesekali
ulang perkara yang sama. Sehingga ke
mati orang akan bercakap. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali,
kata bidalan orang tua-tua yang perlu along pegang dan simpan,” nasihat emak.
Matanya sudah mula melahirkan manik-manik jernih.
“Maafkan
along mak,” kataku lirih.
“Laa…
tak keluar lagi?” tegur adik
keduaku. Matanya tajam merenungku.
“Angah,
along nak ke mana? Inikan rumah along
juga?” tanyaku semula.
“Itu
bukan soal kami, along dah menconteng arang pada kami semua. Kami tak sanggup menanggung malu, umpat keji
orang. Apa bezanya along dengan ‘pelacur’?
Pelacur jual tubuh, along jual novel lucah! Kami malu tahu tak? Waktu along nak jadi penulis, kami tumpang
bangga, kami sokong impian dan cita-cita along, tapi apa yang along buat? Along cemarkan bakat yang ada, sampai hati
along!”
“Maafkan
khilaf along!” kataku lagi.
“Maaf,
maaf, maaf! Mudahlah ucap along. Along
bukan budak-budak, along berpelajaran, perkara macam ini pun along tak boleh
fikir?”
“Sudahlah
angah. Jangan dimarahi lagi along tu,
dia dah insaf!” tegur emak.
“Memanglah
insaf. Tapi mak, sekali buat jahat
selamanya orang ingat!” marah adikku.
Benar
katanya, sekali buat jahat, selamanya orang ingat.
“Angah
akan bawa mak keluar dari rumah ini. Ini
rumah yang along bina dengan duit haram tu, kan? Kami takkan duduk di rumah ini. Along dah gila agaknya? Bina rumah untuk emak
dengan duit haram?” bebel adikku lagi.
“Angah!”
Aku tidak mampu berkata apa-apa lagi.
Semuanya benar belaka.Air mataku mengalir laju. Semakin laju dan hatiku
bertambah terluka, semuanya kerana sikapku sendiri. Rakan-rakan semuanya menjauh. Peminat dan penjual buku-bukuku juga telah
menghilangkan diri.
“Along
kena ingat satu saja, jika waktu along menulis karya cabul itu, ALLAH ambil
nyawa along, agak-agak along sempat ke along bertaubat dan mengucap? Along tak takut ALLAH ke?Hish… tak fahamlah! Mana
kepala otak along agaknya? Mana pergi
akal fikiran along?” marah adikku berapi-api.
Aku
tidak mampu menyangah kata-katanya.
Semuanya benar belaka. Katalah nyawaku dicabut ketika itu? Sempatkah aku bertaubat? Ya ALLAH, ampunkanlah dosaku. Kalaulah aku
tidak ikut kata hati, pasti hidupku tidak musnah begini. Aku kehilangan
keluarga, aku kehilangan masa depan dalam dunia penulisan. Orang sudah tahu siapa aku? Biarpun aku berbuat baik, namaku sudah
tercemar. Namaku mungkin boleh diubah, tetapi wajahku bagaimana? Ah! Kalaulah aku tidak gelojoh pasti hidupku
bahagia sehingga kini. Maafkanlah aku,
ampunilah aku Ya ALLAH!