Home Cerpen Umum Izwan, Liliput dan Bintang
Izwan, Liliput dan Bintang
Syafiqah Kadir
24/7/2018 20:27:45
3,346
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Mana satu yang lebih sakit? 

Kita hilang orang yang kita sayang,

Atau, orang yang sayang kita hilang kita?


(...)


Imran merenung rakan baiknya yang terlantar di atas katil. Sudah hampir sebulan sejak Izwan dimasukkan ke hospital kerana disahkan menghidap ewing sarkoma tahap 3, tanpa pengetahuan semua orang di sekolah termasuk rakan-rakan sekelasnya. Berita Izwan masuk hospital inipun baru sahaja diketahuinya minggu lepas, terima kasih kepada Wanda sebab terlepas cakap.


Keadaan Izwan agak tragis. Tubuhnya yang sememangnya kurus tinggi itu semakin kurus, wajahnya sedikit cengkung. Kaki kirinya membengkak, namun dia masih mampu duduk dan berjalan. Itupun, tidak boleh lama-lama. Sesiapa sahaja yang melihatnya, pasti akan diselubungi rasa sedih dan kasihan.


Dan Izwan tidak suka reaksi itu.


"Sebab ni la aku malas nak bagitahu semua orang," bebel Izwan perlahan. Imran angkat kening seketika.


"Kenapa?"


"Yalah, aku pantang betul orang tengok aku dengan muka macam mop ni. Toya je," kata Izwan lagi, memalingkan mukanya ke arah tingkap. 


Imran terus tertawa. Izwan tersenyum kecil mendengar tawa itu.


"Dah lama aku tak dengar orang ketawa, tahu?"


"Heh. Inikan hospital. Ada ke orang sakit ketawa tanpa sebab?" Imran berkata, sambil tersenyum.


"Ada. Orang sakit mental."


"Woi!" Bahu Izwan ditepuk. "Tak baiklah."


"Betullah," Izwan membalas, mencebik tidak puas hati. Mereka sama-sama ketawa perlahan. Khuatir tawa mereka mengganggu ketenteraman wad onkologi itu.


(...)


Imran melangkah keluar dari hospital, sambil menghela nafas berat. Masa melawat baru sahaja tamat. Telinganya terngiang-ngiang kata-kata Izwan sebelum meninggalkan wad tadi.


"Aku dah ambil keputusan, tak nak ambil SPM tahun ni."


"Tak apa. Tahun depan boleh ambil..."


"Tak. Aku takkan ambil."


"Eh? Kenapa?"


"Sebab... Buat apa nak ambil kalau hayat kita dah tak panjang..."


Mahu sahaja dia ketuk kepala Izwan. Tapi, mengenangkan kata-katanya yang kedengaran depresif, dia diamkan saja. 


"Takkanlah disebabkan ujian berat sebegini, kau nak putus asa..." Imran menggumam perlahan.


(...)


Seorang jururawat sedang mundar mandir di koridor yang menghubungkan wad-wad di hospital itu. Gayanya seolah-olah sedang mencari seseorang. Sesekali kepalanya digaru.


"Kak Ju," jururawat itu bertanya kepada seorang jururawat senior di kaunter triaj. "Akak ada nampak Liliput tak?"


"Liliput? Tak ada la pulak. Dia hilang lagi ke, Teja?"


Teja mengangguk laju. "Alah... Mana budak ni pergi... Kak Ju, kalau jumpa si Liliput tu, bagitahu Teja ya." 


Teja menyambung pencariannya. Kak Ju hanya mengangguk sambil mengemas kertas yang bersepah di kaunter itu.


(...)


Izwan keluar dari surau, sebelah lengannya memaut tongkat, langkahnya perlahan dan kurang teratur disebabkan bengkak pada kakinya itu. Namun, dia lebih rela solat di surau daripada solat di wad. Lebih selesa, baginya. Lagipun, manalah tahu ada najis mutawasitoh yang ditinggalkan penghuni katil sebelum ini tanpa sengaja. Geli pula memikirkan.


Tiba-tiba kelihatan satu kelibat berkerusi roda menuju ke arahnya dengan laju. Mereka berdua tidak sempat mengelak. Maka, berlakulah kecelakaan yang tidak diundang ke atas Izwan dan lembaga kecil itu.


"Aduh," gumam Izwan, meraba kaki kanan dan pinggulnya yang sakit impak perlanggaran tadi. Kerusi roda itu pula tergolek di tengah-tengah koridor. Seorang kanak-kanak lelaki beruniform pesakit hospital berada berhampiran kerusi roda itu, terduduk di atas lantai sambil mengurut badannya yang sakit.


Kanak-kanak itu memandang Izwan sambil tersengih.


"Maaf, abang. Tak sengaja," katanya.


"Adik..." Izwan memandang ke arah kanak-kanak itu, sedikit geram. "Kalau ya pun tengoklah kiri kanan. Adik ni nak ke mana, laju-laju sangat ni?"


"Nak tengok bintang. Malam ni langit cerah. Nak ikut?"


Izwan hanya merenung kanak-kanak itu dengan wajah ragu-ragu.


(...)


"Wah, banyaknya bintang!"


Izwan hanya menopang dagu di tembok koridor, memandang ke arah kanak-kanak yang teruja melihat langit malam. Kawasan hujung koridor yang gelap menyerlahkan lagi cahaya bintang dari sudut pandang mereka. 


"Siapa nama adik?" Izwan bertanya.


"Jalil. Orang kat hospital ni gelar saya 'Liliput'." Kanak-kanak itu tersengih. "Abang pula?"


"Izwan." Tangannya dialihkan dari tembok koridor. "Umur adik, berapa?"


"Dua belas," kata Jalil. Izwan terkejut. Badan kanak-kanak itu agak kecil, hinggakan Izwan menyangka budak itu berumur sembilan tahun. Patutlah gelarannya 'liliput'.


"Tak padan langsung badan dengan umur," gumam Izwan sendirian. Jalil ketawa.


"Dah lama duduk hospital?"


Jalil mengangguk. "Dah dua bulan. Ambil UPSR pun kat sini."


Izwan terdiam. Sakit-sakit pun sempat ambil peperiksaan awam. Bersemangat waja betul budak ini.


"Liliput! Ya ALLAH, jumpa jugak budak ni akhirnya."


Seorang jururawat muncul dari hujung koridor yang satu lagi, di belakang mereka, termengah-mengah mengambil nafas. Jalil terus mencebik. 


"Ala, Nurse Teja ni, kacau saja," gumam Jalil perlahan. "Nak tengok bintang pun tak senang."


"Dahlah tu," kata Teja lembut. "Jom balik wad. Sekarang masa makan ubat."


"Mhmm..." Jalil mengangguk lemah. Dia kemudian menoleh ke arah Izwan. "Abang, boleh teman saya balik wad?"


Izwan mengangguk.


(...)


Izwan melihat kawasan sekitar wad onkologi pediatrik, kemudian memerhatikan Jalil yang lena di katilnya. Dia menoleh ke arah jururawat yang mencari Jalil tadi.


"Akak, dia sakit apa ya?"


"Multiple myeloma. Barah sumsum tulang. Tahap 4," kata Teja perlahan.


"Tahap 4?" Suara Izwan ternaik satu oktaf tanpa sengaja. Teja cepat-cepat membuat isyarat supaya merendahkan suaranya. 


"Berapa lama lagi dia boleh hidup?" Izwan bertanya dengan nada berbisik.


"Lebih kurang enam bulan, kalau ikut statistik."


"Tak... Tak ada cara nak rawat dia ke?" Izwan mula hiba. Keadaan budak itu lebih teruk darinya. Jururawat itu hanya menggeleng.


"Dah lambat sangat, dik. Lagipun dia ada anemia, dan salah satu ginjalnya pun dah rosak, jadi pembedahan tak boleh dijalankan," jawab Teja perlahan. Izwan mengangguk.


Macam tidak percaya sahaja yang kanak-kanak sekecil ini ditimpa ujian yang berat, dan masih mampu senyum dan ketawa. Terasa air mata bergenang di tubir mata. Cepat-cepat dia mengelap mata sebelum air matanya tumpah.


(...)


Tengah hari itu agak redup. Waktu melawat sudah bermula. Izwan menyelak buku nota Teknologi Kejuruteraan di atas ribanya. Entah dari mana datangnya motivasi untuk membaca nota itu.


"Abang Izwan tengok apa tu?"


Izwan terus menoleh ke sebelahnya. Kelihatan Jalil tersengih-sengih berdiri di sebelahnya. Budak ni... Boleh berjalan rupanya?


"Eh, kerusi roda mana?" Izwan bertanya pelik.


"Kerusi roda dah pulang balik. Ada orang nak pakai." 


Izwan memandang Jalil atas bawah. Nampak sihat saja budak ni. Dia menarik nafas lega.


Jalil menyentuh nota di atas katil yang terbuka. Gambar-gambar di dalam nota itu menaik perhatiannya.


"Macam best je buku ni. Ini buku apa, abang?"


"Oh, ni nota Teknologi Kejuruteraan. Bulan depan kan SPM. Jadi abang buat ulangkaji. Bosanlah duduk sorang-sorang ni," kata Izwan sambil tersenyum.


"Mak ayah abang mana?"


"InsyaALLAH, kejap lagi mereka datang. Lagipun mereka meniaga kecil-kecilan," kata Izwan. "Adik?"


Jalil menunduk. "Mama dengan Papa sibuk," katanya sebelum mendongak dan senyum. "Tapi mereka sibuk sebab cari duit untuk tampung kos ubat. Sebab, sakit adik susah nak sembuh."


Ayat itu meruntun jiwa, namun dituturkan penuh bersahaja. Gayanya bagaikan sudah redha dengan segala yang berlaku. Izwan hanya termenung jauh mendengar jawapan itu. 


Dari pintu masuk utama wad, muncul seorang wanita yang membuatkan hati Izwan girang. Sebelah tangan wanita itu menjinjit mangkuk tingkat.


"Assalamualaikum, Mama!" Izwan berkata teruja sebaik sahaja wanita itu berdiri di hadapan katilnya. Puan Balqis tersenyum melihat anaknya itu. Dia kemudian memandang ke arah Jalil yang duduk di kerusi, tersenyum manis dan menunduk tanda hormat.


"Waalaikumussalam," kata Puan Balqis, meletakkan mangkuk tingkat itu di atas meja berhampiran. "Siapa adik comel ni, Wan?"


"Oh, nama dia Jalil. Jalil, kenalkan, ini Mama abang."


Nampaknya, untuk pertama kalinya, Izwan dan Jalil menikmati masakan Puan Balqis, bersama. Makanan hospital hanya dijamah sedikit.


(...)


Pejam celik pejam celik, tahu-tahu saja sudah dua minggu berlalu sejak pertemuan pertama Izwan dan Jalil si budak liliput. Hubungan mereka berdua semakin akrab, bagaikan belangkas. Ibu bapa mereka berdua juga sudah saling mengenali. Puan Balqis pula, apabila datang melawat Izwan, akan bawa lebih masakannya untuk Jalil. 


Rakan-rakan dari kelas 5M2, datang melawat Izwan pada hujung minggu. Masing-masing tidak dapat meluangkan masa yang lama, maklumlah tinggal dua minggu lagi sebelum SPM. Mereka siap menyakat Izwan bersama Jalil lagi, untuk menceriakan mereka.


Selang dua malam, Izwan menemankan Jalil melihat bintang di hujung koridor. Sebelum mereka pergi melihat bintang, Izwan akan memastikan yang jururawat bertugas di wad onkologi pediatrik sudah diberitahu terlebih dahulu. Kasihan Kak Teja kelam kabut mencari Jalil sebelum ini.


"Jalil," kata Izwan, "kenapa kamu suka tengok bintang?"


"Sebab... Dia cantik. Dan... Dia berjasa," jawab Jalil, matanya tidak beralih dari langit. Bintang-bintang di langit malam ini cukup banyak, sampai susunannya boleh nampak buruj belantik di angkasa.


"Bintang... Berjasa?"


"Ha-ah," Jalil mengangguk. "Bintang ni, walaupun kecil dan nampak tak penting, tapi pengembara gunakan dia untuk tengok arah. Dan, walaupun lepas dia mati, tapi kita masih boleh nampak cahaya dia dalam masa yang lama. Sebab, jarak bintang dengan bumi jauh."


"Kejap. Macam mana pula cahaya bintang masih boleh nampak kat bumi walaupun bintang tu dah mati?" Izwan bertanya, keliru. 


"Macam inilah. Dia macam... Air paip dalam hos getah. Kalau pili air tutup pun, air masih lagi mengalir, sampailah air dalam hos habis. Lebih kurang macam tu la."


Izwan memandang Jalil, kagum. "Adik ni mesti minat astronomi, kan?"


Jalil tersengih, mengiakan kata-kata Izwan itu. 


"Jalil... Nak jadi macam bintang," kanak-kanak bertubuh kecil itu mula berpuitis. Izwan hanya mendiamkan diri, melihat jam di tangannya.


"Jalil, jom balik wad. Dah masa untuk makan ubat," kata Izwan seketika kemudian. 


"Abang Izwan ikut sekalilah. Jalil ada hadiah nak bagi abang," kata Jalil, nadanya berubah sedikit manja. Izwan mengangguk. Mereka berjalan beriringan ke wad.


(...)


Bungkusan kecil panjang berbalut surat khabar itu direnung Izwan, lama. Di permukaannya ada sebaris ayat yang ditulis menggunakan pen marker berwarna biru.


'Jangan buka sebelum Liliput keluar hospital.'


Izwan tertawa kecil. "Budak Jalil ni, aku betul-betul panggil dia Liliput kang, baru tahu." Bungkusan itu terus diletakkan di dalam lokar sebelah katilnya. Dia kemudian baring di atas katilnya dan terus lena dibuai mimpi.


(...)


"Abang Izwan!"


Terlompat kecil Izwan dibuatnya apabila Jalil tiba-tiba muncul di pintu utama wad. Niatnya mahu ke kedai runcit di tingkat bawah hospital. Mahu beli buku nota dan pen.


"Ish, budak ni, buat terperanjat je," bebel Izwan perlahan sambil mengurut dada. Jalil hanya ketawa mengekek melihat reaksi Izwan tadi.


Izwan melihat pakaian Jalil. Dia berkemeja T dan berseluar trek, bukan pakaian hospital seperti selalu.


"Eh, dah boleh keluar hospital ke?"


"Ha-ah," kata Jalil. Dia terus memeluk Izwan, erat. "Terima kasih sebab selalu teman Jalil tengok bintang. Dan selalu ajak makan sama-sama. Masakan Auntie Balqis sedap." Suaranya sedikit serak apabila menuturkan ayat-ayat tadi.


Izwan membalas pelukan itu, menggosok lembut rambut Jalil. "Tak ada apa-apalah semua tu, Lil," kata Izwan, tersenyum. Pelukan dilepaskan. Izwan menyeka air mata Jalil yang mengalir di pipi. "Dah, jangan nangis. Ingat, jaga diri. Jaga kesihatan. Okey?"


Jalil mengangguk. Dia kemudian keluar dari wad, pergi ke arah ibu bapanya di koridor. Sewaktu beredar, sempat Jalil menoleh ke arah Izwan yang berdiri di pintu wad sambil tersenyum.


(...)


"Hello, boleh saya bercakap dengan Imran?"


"Ya, sedang bercakap. Ada apa, Izwan?"


"Ceh, boleh pula cam suara aku walaupun guna pondok telefon."


Kedengaran Imran ketawa kecil di hujung talian. 


"Maaflah, Wan. Minggu depan kan SPM..."


"Ya. Aku tahu. Kalau kau, tak payah wish good luck pun. Kau memang ace kalau bab peperiksaan ni."


"Eh, tak adalah. Mana ada ace. Aku biasa-biasa je."


"Biasa-biasa mangkuk tingkat kau, dapat tempat pertama dalam tingkatan setiap kali periksa. Aku nak skor A subjek matematik pun terkulat-kulat."


Tawa terhambur lagi.


"Okey, tolong doakan aku, ya. Supaya dipermudahkan jawab SPM dengan baik kat sini."


"Eh?"


"Kenapa?"


"Kau... Ubah fikiran."


"Hati manusia ni kan mudah berbolak balik. Hehe."


"Susah nak ubah fikiran kau ni. Ni mesti budak liliput tu punya kerja, kan?"


"Pftt. Apahal kau ni? Dengan kau-kau panggil dia 'liliput'. Nama dia Jalil la."


"Nama tu glamour, senang ingat. Haha."


"Dahlah. Aku tak ada duit syiling lagi ni. Tolong doakan aku, tau!"


"Ye, ye. InsyaALLAH aku... Tak, kami semua doakan. Supaya kau senang jawab SPM, dan supaya kau cepat sembuh."


"Okey, tu je nak cakap. Assalamualaikum."


"Waalaikumsalam."


Gagang telefon diletak. Izwan memandang ke arah sekotak set alat tulis peperiksaan di tangannya - hadiah berbalut surat khabar yang diberikan Jalil malam kelmarin. Dia tersenyum kecil sebelum melangkah kembali ke wad.


(...)


Izwan keluar dari bilik khas untuk peperiksaan SPM. Letih betul rasanya. Soalan kali ini amat mencabar mentalnya. Mahu saja dia balik ke wad dan terus tidur.


Masuk sahaja di wad, matanya menangkap satu susuk tubuh yang dia kenali. Dia terus tersenyum lebar. Terus hilang penatnya.


"Jalil!" Izwan menegur kanak-kanak yang tersengih-sengih di sebelah kaunter jururawat. Jalil menghampiri Izwan, memeluknya erat.


"Hai, baru tiga minggu tak jumpa, terus rindu?" Izwan berseloroh.


"Tak," balas Jalil. Izwan mencebik. "Takdelah. Mestilah rindu Abang Izwan. Senang tak periksa?"


"Boleh-lah... Alhamdulillah," kata Izwan. 


"Ni, Jalil nak tunjuk ni," kata Jalil, menghulurkan slip peperiksaan UPSR kepada Izwan. Izwan mengambil dan membacanya. Mulutnya separa ternganga.


"Wah, hebatlah. 6A!" Izwan berkata, kagum. Sakit-sakit pun dapat skor UPSR! "Tahniah!"


Jalil sekadar sengih. "Alhamdulillah. Terima kasih. Abang, semoga berjaya."


"Okey!" Izwan membalas bersemangat. Kedua-dua mereka terus tertawa perlahan.


"Lil?" Tiba-tiba muncul Encik Ibrahim, bapa Jalil, di pintu wad. "Jom balik?"


Jalil mengangguk. "Okey, Abang Izwan. Jalil gerak dulu ya," katanya, bersalaman dengan Izwan. Selepas itu, dia berlari-lari anak membuntuti bapanya, meninggalkan Izwan di kaunter jururawat sambil tersenyum.


(...)


"Masa menjawab sudah tamat. Sila berhenti menulis."


Izwan meletakkan pen di atas meja. Dia menghela nafas lega. Selesai juga perperangannya dengan SPM, akhirnya.


Selepas bersalaman dengan pengawas peperiksaan, Izwan keluar dari bilik khas SPM. Tongkatnya dipaut kemas. Dia mahu berjalan-jalan, ambil angin, sebelum kembali ke wad. Langkahnya terhenti di mesin minuman panas berhampiran kaunter triaj unit kecemasan. Tekaknya tiba-tiba terasa haus.


Dia mengira wang syiling yang ada di sakunya, apabila telinganya menangkap bunyi siren ambulans. Dia menoleh ke belakang. Seseorang yang bertubuh kecil dibawa keluar menggunakan pengusung dari perut ambulans. Seorang paramedik sedang melakukan bagging, manakala seorang lagi sedang membuat CPR ke atas tubuh kecil itu. Dengan serta-merta mata Izwan membulat.


Jalil!


Jalil, yang tidak sedarkan diri, dibawa masuk ke unit kecemasan. Seorang wanita - ibu Jalil, turut masuk sekali ke sana. Yang tinggal di kaunter triaj unit kecemasan hanyalah Encik Ibrahim.


Izwan menghampiri Encik Ibrahim. Riak kerisauan jelas terpamer di wajahnya.


"Pak cik?" Izwan menegur, air matanya mula bergenang. "Kenapa dengan Jalil?"


(...)


Izwan merenung kosong ke arah Jalil yang terlantar di salah satu kubikel Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU). Alat bantuan pernafasan disambung terus ke dalam mulutnya. Kedengaran bunyi-bunyi mesin di dalam bilik itu, menandakan manusia yang tidak sedarkan diri itu masih lagi hidup. Encik Ibrahim baru sahaja keluar dari PICU, untuk memberi giliran kepada isterinya untuk melihat anaknya.


Rasa macam baru semalam dia jumpa aku, sebab nak tunjukkan slip UPSR dia tu, getus hati Izwan. Dia cuba tahan diri dari menangis. Sel barah, dengan jelasnya, sudah merebak, dan septic shock sudah berlaku. 


Sekarang, apa yang mampu dia lakukan hanyalah berdoa. Mengharapkan berlakunya keajaiban.


Izwan melangkah masuk ke dalam kubikel itu. Dia melabuhkan punggungnya di kerusi, memegang tangan Jalil. 


"Jalil liliput," kata Izwan, suaranya mula serak dek tangis yang cuba dibendung. "Heh, akhirnya abang Izwan terpanggil juga nama glamour kamu tu," katanya lagi, senyuman tawar terukir di wajahnya.


"Tolong. Jalil kena kuat. Demi ibu bapa Jalil. Tiap-tiap kali lepas solat, abang selalu doakan supaya Jalil kembali sihat. Jadi..." Izwan terasa setitis air matanya mengalir dan jatuh di atas tangan Jalil yang sedang dipegang Izwan. "Tolonglah sedar."


Tiba-tiba sahaja, mata Jalil terbuka. Dia memandang Izwan, cuba tersenyum, sebelum matanya kembali terpejam. Mesin perentak nadi tiba-tiba berbunyi kuat.


"Nurse, asystole!" Seorang jururawat berteriak dari luar kubikel. "Katil 3!" Dia segera masuk ke dalam kubikel itu. 


"Adik, tolong keluar," kata jururawat itu kepada Izwan yang terus berdiri sebaik sahaja jururawat itu berada di sebelahnya. Izwan patuh, terus keluar dari kubikel itu, memberi laluan kepada doktor dan jururawat untuk memberi bantuan kecemasan. Seorang jururawat keluar dari PICU, mungkin untuk memanggil ibu bapa Jalil. Serentak dengan itu juga, Puan Sofia, ibu Jalil, melangkah masuk dengan segera.


"Izwan..." Puan Sofia yang berjalan menghampiri Izwan terus memekup mulut melihat kubikel yang menempatkan anaknya dibanjiri pakar perubatan. Dia terus jatuh terduduk di atas lantai. Izwan berdiri membatu, matanya bagaikan melekat pada tingkap panel besar kubikel yang jelas menunjukkan keadaan kelam-kabut di dalamnya. Mindanya terasa kosong, tidak tahu apa yang patut dilakukan.


Masa terasa sangat pantas. Mata Izwan menangkap susuk tubuh Encik Ibrahim menghampiri isterinya, seorang doktor keluar dari kubikel dan memberitahu status anaknya 15 minit kemudian, dan kembali masuk ke dalam kubikel, diikuti Encik Ibrahim. Telinganya menangkap suara Encik Iskandar mengucap dua kalimah syahadah. 


Dan akhirnya...


(...)


"Kau... Okey tak ni?" Imran menegur.


"Tak." Izwan membalas, nadanya kedengaran robotik.


Imran hanya membisu, melihat Izwan yang terbaring sahaja di atas katil selepas apa yang berlaku beberapa hari lepas. Mata Izwan bengkak teruk disebabkan terlalu banyak menangis. Dia bagaikan hilang upaya untuk terus hidup. Makanan yang disediakan dijamah ala kadar sahaja, ada masanya tidak disentuh langsung.


Sekurang-kurangnya, dia masih pergi ke tandas untuk membuang air, dan ke surau untuk solat apabila masuk waktu.


"Sudahlah, Izwan. Redhakan saja pemergiannya," kata Imran, tangannya menepuk bahu Izwan.


"Kau tahu tak, budak tu tahu hayatnya tak panjang, tapi masih nak ambil UPSR. Dapat semua A pulak tu," kata Izwan, perlahan. "Kenapa dia beria-ia sangat? Dari mana dia dapat semangat tu?"


"Mungkin... Dari ibu bapa dia?" Imran membuat teori. "Dia nak bagi hadiah istimewa untuk ibu bapa dia, dan hadiahnya adalah keputusan UPSR dia. Mungkinlah."


"Emm... Masuk akal..."


"Lagipun, kau pernah cakap dulu, yang dia kata nak jadi macam bintang, kan?"


"Ha-ah," kata Izwan perlahan. Bagaimana dia hendak lupa pada malam dia menerima hadiah dari Jalil itu. "Bagi aku, dia bermetafora sahaja."


"Memang metafora pun," kata Imran.


"Dia... Dia macam tahu aku tak ada motivasi nak ambil SPM, dan cuba berikan aku semangat untuk teruskan perjuangan. Siap bagi hadiah kit peperiksaan lagi," kata Izwan lagi, hiba. Dia bagaikan mahu menangis, namun air matanya sudah kering. Nafasnya dihela lemah.


"Sabarlah, Izwan. Hidup mesti terus," kata Imran, menepuk lembut bahu Izwan. Kedengaran Azan berkumandang dari surau berhampiran. Imran dan Izwan saling berpandangan.


"Dah masuk waktu Asar. Jom solat?"


Izwan mengangguk.


"Kau boleh jalan tak?" Imran bertanya, memandang Izwan dengan ragu-ragu.Izwan terus mencebik.


"Boleh la~~~" Izwan membalas tidak puas hati, tongkat yang disandar di sebelah katilnya dicapai.


Imran terus tersenyum kecil.


(...)


"Muhammad Izwan, kamu dah sedia?"


"Dah, doktor."


"Kamu yakin?"


"Demi ALLAH, saya yakin."


Dan, Izwan disorong masuk ke dalam dewan pembedahan, untuk pembedahan limb salvage di kaki kirinya itu.


(FIN)


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.