Home Cerpen Umum Pabila Pohon Berbicara
Pabila Pohon Berbicara
Hana Mizari
28/2/2018 18:36:17
4,132
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

"Safiya Zahra," Safiya mendengar seorang jururawat memanggil namanya dengan lembut. Dengan hati yang berat, Safiya mengatur langkahnya dengan penuh berhati-hati. Safiya masuk ke sebuah bilik yang berlabel pakar psikiatri di hadapannya. Seorang doktor lelaki senyum melihat Safiya masuk ke biliknya. Safiya tidak membalas senyuman doktor itu sebaliknya dia membuat muka ketat. Doktor yang tertulis nama Aiman di tag namanya itu mempersilakan Safiya duduk. Safiya melabuhkan punggungnya di kerusi yang empuk itu.

"Safiya, awak apa khabar? Awak masih dengar suara-suara tu lagi?" tanya Dr. Aiman dengan lembut sambil tangannya membelek dokumen mengenai Safiya. Safiya mendengus kasar mendengar soalan yang dilemparkan Dr. Aiman kepadanya. Dia merenung wajah doktor itu tajam, kemudian matanya memandang tempat lain tanda protes. Dr. Aiman hanya senyum melihat Safiya.

"Doktor, saya tak gila tau! Saya memang boleh dengar pokok-pokok tu semua boleh cakap dengan saya!" balas Safiya dengan nada suara agak tinggi.

Dr. Aiman menarik nafas dalam dan menghembusnya sebelum memulakan bicara, "Safiya, kalau pokok itu boleh bercakap kenapa dia hanya bercakap dengan kamu sahaja?" Safiya tidak berpuas hati dengan pertanyaan yang dilemparkan Dr. Aiman kepadanya. Dia tidak dapat membuktikan kebenaran dakwaannya.

"Habis tu kalau bukan pokok tu yang bercakap dengan saya, dari mana suara-suara itu datang sebenarnya? Doktor nak cakap kat saya yang suara itu datang dari dalam kepala saya sendiri dan saya ini sedang berhalusinasi, begitu? Doktor ada bukti ke dengan dakwaan doktor tu." Safiya semakin meninggikan suaranya menahan geram.

Sekali lagi Dr. Aiman menarik nafasnya. Baginya agak sukar untuk dia melayani penghidap Skizofrenia kerana mereka mempercayai set realiti mereka sendiri. Mereka juga sukar mempercayai orang lain dan menganggap semua orang berkonspirasi untuk menganiaya diri mereka.

Safiya terus merenung wajah Dr. Aiman dengan tajam menunggu jawapan untuk keluar daripada bibirnya.

"Baiklah Safiya, cuba kamu bawakan bukti pula kepada saya bahawa jika pokok itu benar-benar boleh bercakap dengan kamu." Dr. Aiman cuba berunding pula dengan Safiya untuk menyelami dunianya. Riak wajah Safiya terus berubah 360 darjah serta-merta. Wajahnya menjadi berseri-seri. Dia teruja untuk memberitahu apa yang sering dikatakan pokok-pokok itu kepadanya.

***

Sampai sahaja di rumahnya Safiya terus meluru masuk ke biliknya yang terletak di tingkat atas. Dia merangkak ke bawah katil untuk mencari sesuatu. Dia menarik keluar sebuah kotak yang penuh dengan habuk di atasnya. Safiya terbatuk-batuk apabila dia terhidu habuk yang berterbangan dari kotak itu. Tangannya membersihkan habuk di kotak itu. Dia membukanya dan terdapat beberapa barang yang disayanginya kerana menjadi kenangan antara dia dan arwah ibunya, Safarina.

Terdapat sebuah album yang mengandungi beberapa keping gambar dia dan ibunya daripada dia kecil sampailah kali terakhir dia mengambil gambar bersama ibunya iaitu sehari sebelum ibunya ditimpa kemalangan. Ibunya ditimpa kemalangan semasa ingin menjemput Safiya pulang dari sekolah semasa Safiya masih berada di tahun satu lagi.

Pada masa itu Safiya masih terpinga-pinga dengan apa yang berlaku sebenarnya. Dia pelik kerana pada hari itu ibunya lambat menjemputnya seperti selalu. Selalunya ibunya akan mengambil Safiya tepat pada masanya, tidak bertambah atau berkurang walau seminit pun. Namun tidak pada hari itu, sebaliknya bapanya Dr. Zulfaqar yang menjemputnya dalam keadaan tergesa-gesa. Safiya asyik bertanya kepada bapanya di mana ibu tetapi bapanya hanya menjawab ibunya pergi ke satu tempat yang jauh dan tidak akan kembali lagi. Safiya benar-benar tidak faham apa yang dimaksudkan bapanya.

Ketika sampai di rumah barulah dia mengerti bahawa ibunya telah pun meninggal dunia kerana ditimpa kemalangan. Berlinangan air mata Safiya pada waktu itu melihat sekujur tubuh ibunya yang tidak lagi bernyawa. Safiya hampir tidak dapat menerima hakikat itu. Berkali-kali dia bertanyakan bapanya bahawa ini semua bukan gurauan tetapi bapanya hanya mengangguk perlahan mengiakannya. Dr. Zulfaqar hanya mampu mendiamkan diri, dia terlampau sedih untuk berkata-kata.

"Mama, jangan tinggalkan Safiya mama. Siapa mahu temani Safiya lagi jika mama telah tiada?" soal Safiya dengan nada perlahan sambil menahan tangisnya. Bapanya mengusap-usap belakang badannya untuk memujuk Safiya. Soalan Safiya dibiarkan tergantung tidak berjawab.

Tidak lama selepas ibunya meninggal dunia, bapanya telah pun berkahwin dengan seorang pegawai farmasi yang juga merupakan kawan lamanya semasa menuntut di menara gading, Maraya Bte Tuffahati.

"Safiya, ini ibu baru Safiya." Dr. Zulfaqar memperkenalkan ibu tirinya kepada Safiya. Maraya menghulurkan kedua tangannya sambil berlutut untuk meminta Safiya memeluknya. Bibirnya mengukir senyuman yang manis. Safiya tidak membalasnya. Dia masih takut dengan orang yang dianggap asing baginya. Safiya sering dimomokkan dengan cerita-cerita dongeng yang menceritakan bahawa ibu tiri biasanya jahat dan akan merampas kebahagiaan daripada hidupnya.

"Safiya, sini sayang," panggil Maraya dengan lembut.

"Makcik," balas Safiya ringkas.

"Ma... ma," kata Maraya lagi.

"Tidak, tidak makcik takkan boleh gantikan tempat mama. Mama tetap di hati saya," ujar Safiya sebelum melarikan diri ke biliknya. Dia menutup pintu biliknya dengan kasar. Maraya dan Dr. Zulfaqar terkejut melihat tingkah Safiya. Maraya memandang suaminya.

"Maafkan anak saya, Maraya," pujuk Dr. Zulfaqar sambil menepuk bahu isterinya.

"Takpa. Mungkin dia perlukan sedikit masa lagi untuk menerima saya dalam hidupnya." Maraya akur dengan reaksi yang ditunjukkan Safiya.

"Papa tak sensitif langsung dengan perasaan saya. Pusara mama pun masih merah lagi," bentak Safiya keseorangan di biliknya. Dia memeluk gambar dia dan ibunya erat-erat dalam dakapannya. Dia masih lagi berasa rindu dengan arwah ibunya.

Safiya menghentikan lamunannya yang panjang. Bukan itu yang dicarinya. Dia mencari sebuah buku berkulit keras yang telah lama disimpannya. Dia sudah lama tidak menulis lagi di buku itu sejak ibunya meninggal dunia.

"Buku inilah yang akan menjadi bukti perbualan saya dengan pokok-pokok tu."

Safiya melihat ke luar jendela biliknya. Dia melihat pelbagai jenis tanaman herba dan bunga-bunga yang berwarna-warni menghiasi taman mini di halaman rumahnya. Dahulu dia dan ibunya sering menghabiskan masa bersama-sama pada waktu petang untuk menyiram pokok-pokok itu. Dia masih ingat akan pesan ibunya bahawa pokok-pokok itu juga makhluk yang hidup dan mempunyai perasaan. Kita mesti menjaga pokok itu dengan baik dan menganggap pokok itu sebagai kawan.

"Mama sedang bercakap dengan siapa tu?" soal Safiya apabila melihat ibunya sedang berbual-bual dengan seseorang. Safiya melihat ke kiri dan kanannya untuk melihat siapakah gerangan yang sedang bercakap dengan ibunya tetapi dia tidak nampak satu kelibat pun.

"Mama sedang berbual dengan pokok-pokok ni. Mereka sedang bercerita tentang khasiat yang ada pada diri mereka," balas ibunya sambil menunjukkan pokok-pokok di sekelilingnya.

"Pokok? Pokok pun boleh bercakap ke mama? Kenapa Safiya tak pernah dengar pun pokok tu cakap dengan saya." Riak wajah Safiya penuh dengan tanda tanya.

Safarina tersenyum mendengar bait-bait kata yang keluar daripada mulut anaknya itu. Lincah benar lidahnya berbicara.

"Safiya, hanya orang tertentu sahaja yang diberi anugerah untuk mendengar pokok-pokok ini bercakap."

"Orang tertentu? Wah, hebatnya mama. Mama antara orang yang terpilih untuk mendengar pokok-pokok itu berbicara!" Safiya berasa kagum dengan ibunya. Safarina hanya tersenyum mendengar kata-kata anaknya itu. Dia kelihatan mencatatkan sesuatu di buku catatan yang berada di tangannya. Safiya hanya memerhatikan sahaja.

"Apa yang mama tulis tu?"

"Oh, ini ke? Ini buku catatan mama. Mama catat apa sahaja yang diajar pokok-pokok ini di dalam buku catatan supaya mama tak lupa. Safiya nak tengok?" Safarina menghulurkan buku itu kepada Safiya. Safiya mengambilnya dan membuka buku itu. Dia melihat ibunya mencatat tentang pokok-pokok itu lengkap dengan ciri-cirinya sekali termasuklah khasiatnya. Nama saintifik sahaja yang tidak tercatat di buku itu. Catatan ibunya begitu lengkap dan sistematik seperti catatan ahli botani sahaja.

"Mana nama saintifiknya mama?"

"Oh, nama saintifik itu nama yang diberi manusia kepada mereka. Pokok-pokok itu hanya menerangkan tentang sifat mereka sahaja dan apa yang mereka tahu," jelas ibunya pula.

Suatu hari Safiya bertanya kepada bapanya tentang perihal ibunya inginkan kepastian. "Papa, mama tu ada belajar tentang pokok-pokok ke dahulu?" tanya Safiya kepada bapanya. "Takda. Kenapa kamu tanya Safiya?" Dr. Zulfaqar pelik dengan pertanyaan anaknya secara tiba-tiba itu.

"Safiya selalu tengok mama catatkan sesuatu mengenai pokok-pokok itu dalam bukunya." Penjelasan Safiya menyebabkan riak wajah bapanya berubah. Safiya terkejut dengan perubahan itu namun dia membiarkan sahaja bapanya begitu.

"Berapa kali abang dah cakap jangan tunjukkan buku tu pada Safiya. Jangan cerita perkara pelik-pelik kamu pada anak kita. Bukan apa, Safiya itu sedang membesar. Abang taknak Safiya nanti percaya pada benda yang tak wujud."

Safarina hanya diam seribu bahasa. Dia akur dengan kehendak suaminya itu. Bagi suaminya, sesuatu yang tidak dibuktikan dengan kaedah saintifik tidak boleh disahkan kesahihannya. Safarina memang kalah jika berhujah dengan suaminya. Tugas suaminya sebagai seorang doktor menyebabkan dia tidak mudah percaya kepada sesuatu yang tidak ada bukti yang jelas. Safiya terkejut melihat bapanya yang tiba-tiba marah kepada ibunya. Dia tidak mahu masuk campur hal orang dewasa.

"Sudah. Jangan cakap bukan-bukan lagi dengan Safiya dan makan ubat kamu tu ikut waktu, faham?" kata Dr. Zulfaqar dengan tegas sebelum meninggalkan ibunya. Safarina mengangguk perlahan.

"Mama, papa memang tak boleh dengar ke pokok-pokok itu bercakap?" Ibunya menggeleng perlahan sambil tersenyum pahit.

"Patutlah, papa marah betul tadi, hehehehe." Safiya ketawa kecil apabila melihat jawapan ibunya.

"Mama, saya janji saya takkan cakap hal ni dengan papa lagi." Safiya mengangkat sebelah tangannya seperti berikrar.

"Takpa, mama dah biasa dah kena macam tu dengan papa." Ibunya membalas dengan nada lembut.

"Mama nak tahu tak? Safiya pun dah boleh dengar pokok-pokok itu bercakap. Tadi pokok hempedu bumi dan pokok seribu jarum tegur saya mama." Safarina terkejut mendengar kata-kata yang terpacul keluar daripada mulut anaknya itu. Setahunya dia belum pernah lagi menerangkan tentang nama-nama pokok itu kepadanya.

"Betul ke ni Safiya?" soal ibunya tidak percaya. Safiya mengangguk laju dalam keadaan teruja.

"Hebatnya anak mama. Tapi Safiya janji tau jangan bagitahu kat papa okey?" kata ibunya sambil memeluk Safiya. Safiya mengangguk lagi sambil tersenyum. Dia berasa amat gembira kerana dikurniakan anugerah yang sama seperti ibunya. Sejak daripada hari itu dia juga mula mencatat apa-apa sahaja yang diajar pokok-pokok itu kepadanya. Dia ingin menjadi seperti ibunya. Dia menyimpan buku itu di bawah katil kerana khuatir diketahui bapanya. Dia juga tidak pernah bercakap soal pokok bercakap di depan bapanya. Dia menyimpan rahsia itu dengan baik.

***

"Safiya, apa sayang tengok tu?" soal Maraya apabila melihat Safiya sedang menyemak buku catatan arwah ibunya sambil melihat pokok-pokok di halaman rumahnya. Safiya cepat-cepat menyorokkan buku itu daripada dilihat ibu tirinya.

"A... saya tengah hirup udara segar," bohong Safiya dengan senyum yang dibuat-buat. Maraya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. Naluri keibuannya kuat mengatakan bahawa Safiya sedang menyorokkan sesuatu daripadanya. Dia berundur sedikit demi sedikit ke belakang cuba untuk melarikan diri daripada ibu tirinya yang baru dikahwini bapanya seminggu itu.

Safiya terlanggar seseorang. Dia menoleh ke belakang. Dia terkejut kerana bapanya sudah berada di belakangnya. Buku yang dipegang di tangannya terjatuh ke atas tanah. Safiya cuba mengambilnya namun tangan bapanya lebih tangkas mengambil buku itu. Safiya kaget dan cuba merampas semula buku itu. Dr. Zulfaqar mengangkat tinggi-tinggi buku itu untuk mengelakkan Safiya daripada mengambil buku itu. Tangan Safiya tidak sampai untuk mencapai buku itu dek fizikalnya yang masih rendah ketika itu.

"Papa, pulang baliklah buku mama tu!" marah Safiya sambil tangannya masih cuba mencapai buku itu.

"Maraya, tolong bawa Safiya masuk ke dalam rumah," arah Dr. Zulfaqar kepada isterinya. Maraya segera menuruti arahan suaminya. Tubuh Safiya yang masih kecil itu didukungnya untuk masuk ke dalam rumah. Safiya meronta-ronta meminta dirinya dilepaskan.

"Lepaslah, makcik! Lepaskan saya! Evil queen!" jerit Safiya sambil meronta-ronta. Safiya didudukkan di atas sofa rumahnya. Dr Zulfaqar mengambil tempat di hadapan Safiya sementara Maraya di sebelah Dr. Zulfaqar.

"Papa, mana papa sorokkan buku arwah mama tu?" jerkah Safiya tidak puas hati.

"Maafkan papa, sayang. Ini untuk kebaikan sayang juga," pujuk bapanya dengan lembut. Mukanya menunjukkan kerisauan. Maraya pula masih terpinga-pinga dengan apa yang sedang berlaku. Maraya memandang suaminya memohon penjelasan. Dr. Zulfaqar mengajak Maraya ke suatu sudut di rumahnya membiarkan Safiya melayan perasaannya.

"Kenapa abang rampas buku tu daripada Safiya? Ada apa-apa ke dengan buku itu?"

"Maafkan abang. Abang terpaksa buat macam ni. Buku itu dulu ditulis oleh arwah Safarina semasa dia sakit dahulu."

"Sakit? Dia sakit apa?" tanya Maraya dengan nada terkejut. Dr. Zulfaqar menarik nafas dalam sebelum menyambung bicaranya.

"Dia mengalami halusinasi auditori dan semua pengalaman dia semasa sakit akan ditulis di dalam buku itu, kira macam diari dialah. Abang takut jika Safiya baca buku itu set realiti dia akan menyimpang dari keadaan yang sebenar. Dengan kata lain, dia akan sakit seperti ibunya juga."

"Maafkan Maraya. Maraya tak sangka pula arwah Safarina tu sakit. Patutlah Maraya ada nampak Safiya cakap sorang-sorang depan pokok tu, siap gelak ketawa lagi."

"Betul ke apa yang kamu cakap ni Maraya!" Terbeliak mata Dr. Zulfaqar mendengar penjelasan Maraya.

"Sejak bila Maraya perasan dia jadi macam tu?"

"Lama dah. Sejak kita mula-mula kahwin dulu. Maraya takut nak cakap dengan abang, takut abang tak percaya pula."

"Takpalah. Esok abang akan hubungi Dr. Aiman, doktor yang merawat arwah Safarina dulu. Maraya jangan bimbang okey?" Maraya mengangguk mendengar cadangan suaminya.

***

Dr. Aiman menyelak helaian demi helaian pada buku catatan Safiya. Safiya pula hanya memerhatikannya dari kerusinya yang empuk sambil berpeluk tubuh. Dia berharap buku catatan mengenai tumbuh-tumbuhan itu akan memberi bukti yang jelas tentang anugerahnya boleh berkata-kata dengan pokok itu. Walaupun buku itu tidak selengkap buku catatan ibunya tetapi dia ada juga menulis tentang beberapa fakta yang dipelajarinya daripada pokok-pokok itu.

Buku catatannya tidak sama seperti buku arwah ibunya. Bukunya ditulis dengan gaya seorang kanak-kanak lengkap dengan lakaran-lakaran kartun pokok itu sekali. Katanya, dia ingin merakamkan kenangannya bercakap dengan pokok-pokok itu. Bukunya juga masih kurang lengkap, dia tidak sempat mencatat lebih banyak kerana dia lebih banyak berseronok bersama pokok-pokok itu.

Dr. Aiman habis menyemak buku catatan itu. Dia tersenyum memandang Safiya. Safiya menarik nafas lega.

"Diari kamu ya?"

"Bukan diari tetapi grimoire."

"Grimoire?" ujar Dr. Aiman sambil mengerutkan keningnya.

"Yup. Grimoire yang tercatat tentang rahsia tumbuh-tumbuhan itu. Hanya orang yang boleh mendengar suara pokok itu sahaja yang boleh mengetahui rahsianya," balas Safiya dengan selamba. Dr. Aiman menggelengkan kepalanya.

"Safiya, Safiya. Ini bukan buktinya. Ia masih belum boleh mengukuhkan lagi dakwaan kamu tentang pokok itu sama ada ia boleh bercakap atau tidak. Takpalah, saya nak simpan buku ini sebagai rujukan saya, boleh?" Safiya masih tidak berpuas hati dengan reaksi yang ditunjukkan Dr. Aiman.

"Ada bukti lain?" Dr. Aiman masih lagi mahu memberi Safiya peluang.

"Ada, mama tapi mama dah tiada." Riak wajah Safiya bertukar muram.

"Takpa, saya faham. Memang saya pun yang merawat arwah ibu kamu dahulu," balas Dr. Aiman mahu memujuk Safiya.

"Arwah mama takda tunjukkan pada doktor ke buku catatan dia?" Dr. Aiman hanya menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Safiya tidak tahu apa maksud senyuman itu.

"Kalau boleh saya nak tunjukkan pada doktor buku catatan mama supaya doktor boleh percayakan saya. Tapi papa dah sorok awal-awal buku itu. Mesti papa dah berpakat dengan evil queen ni untuk sorokkan daripada saya. Tak pun evil queen sendiri yang pengaruhi papa." Dr. Aiman hanya tersenyum mendengar bait-bait kata yang terbit dari mulutnya.

Dr. Aiman menyandar di mejanya sambil berpeluk tubuh. Dia melihat ke arah Safiya sebelum melepaskan keluhan berat. Sementara itu Safiya pula bersandar di kerusi yang empuk sambil memandang syiling bilik itu.

Kedua-duanya berkata serentak, "Susahlah macam ni."

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.