Home Cerpen Cinta Pelangi Di Kaki Senja
Pelangi Di Kaki Senja
Aurian
26/11/2013 14:56:42
3,523
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Detik Pertama Yang Tegang

Langit makin kelam, sesekali petir sabung menyabung. Aku mengeluh entah berapa kali. Runsing di hati jelas di raut wajah. Orang yang lalu lalang hanya menoleh sepi kemudian berlalu dengan bukaan payung di tangan. Sesekali kilat yang menyambar menyentap debar di dadaku. Bajuku sudah sedikit kebasahan tempias hujan. Aku merapatkan diri ke dinding di bawah tangga stesen LRT. Cuba mengelak dari di basahi hujan hembusan angin rakus. Sesekali aku memeluk tubuh dan mengusap lengan, kesejukkan hingga ke tulang sum sum. Sudah hampir setengah jam aku di bawah tangga ini. Hujan tidak menunjukkan tanda-tanda berhenti. Aku lihat seorang gadis yang baru turun dari stesen LRT membuka payung, kemudian rakannya tumpang berteduh. Beberapa orang gadis juga berlalu dengan payung di tangan masing-masing.

Kenapa mereka bukan sahabat ku? Jika mereka aku kenali pasti mereka tidak akan meninggalkan aku kesejukkan di sini. Pasti mereka akan tumpangkan aku berkongsi sekaki payung meredah hujan. Aku mengeluh sendiri. Begitulah persahabatan; perkongsian, bersama susah senang, perlindungan, ambil berat, menyayangi dan mengasihani. Sekaki payung jelas menunjukan erti persahabatan sebenar. Aku mengesat pipi yang basah dek hujan. Rindu sungguh pada sahabat dan rakan di Seremban. Kerana tawaran gaji yang lebih tinggi aku bersetuju di tukarkan bertugas di Kuala Lumpur, kota yang penuh kesibukkan dan persaingan. Kerana kesesakkan jalan raya, aku memilih untuk ke pejabat menaiki LRT. Natijahnya, aku terlupa membawa payung, dan tersekat di bawah tangga ini. Hujan yang melebat makin reda, seolah memahami perasaanku yang rawan. Senja sudah mengundang, Mustahil aku tega berada di sini sehingga kelam malam menyapa.

Aku mula berjalan pantas, sesekali menutupi kepala dari hujan yang masih renyai-renyai. Dalam benakku ingin sampai ke rumah secepat mungkin. Kondominium kelabu tempat tinggalku makin menghampir. Rumah itu antara kemudahan yang syarikat sediakan. Antara penyebab aku bersetuju bertugas di sini.

“Splasssshhh!! brummmm!!”

“Ahhhh!!” Aku terjerit sebelum terjeda dengan mulut terlopong. Bajuku sudah di basahi air yang terpercik dari tayar kereta yang melaju.

“Hoi!! Tak nampak orang ke?” Aku menjerit geram, mataku mencerlung pada kereta BMW warna hitam yang menderu di hadapan.

“Bawak kereta tu pandang-pandang la orang sikit! Mentang-mentang kereta besar. Dasar manusia sombong!” aku meluah amarah, kemudian membebel-bebel meluahkan ketidakpuasan hati. Walhal bukannya aku tidak tahu, pemandu kereta itu tidak mendengar satu haram pun perkataanku. Dengan mulut memuncung, hati yang bungkam aku melangkah pantas menyusuri lorong kedai. Bau makanan dari restoran membuatkan perutku yang kosong makin berkelodak. Aku berhenti melangkah, dan pantas menyedari aku mengenakan kemeja putih.

“Aduhh, melekap la baju ni kalau basah…” tanpa berfikir panjang aku berlari anak masuk ke restoran, mencari meja kosong dan cepat-cepat duduk. Aku mencari-cari tisu dalam beg, kemudian ternampak sapu tangan atas meja. Pantas ku capai, dan ku kesat bahagian baju yang kebasahan.

“Ehem!, cik.. Urm itu handkerchief saya..”

Aku pantas menoleh, mataku tertancap pada wajah seorang jejaka yang bersinar dan kacak . Aku terpaku sesaat.

“Ya, itu sapu tangan saya..”

Aku memandang handkerchief di tangan.

“Eh, bukan restoran punya ke? Kenapa sapu tangan encik ada kat sini?” Aku kebingungan.

“Ya, sebab tadi saya duduk sini, saya pergi bilik air sebentar. Tengok ni..” Lelaki itu mengangkat barang yang di letak atas kerusi hadapan ku. Langsung aku tak sedar meja ini berpenghuni.

“Laa, lain kali dah duduk jangan la tinggal-tinggal meja.” Aku pantas bangun dengan wajah memerah. Marah ku hanya untuk menutup perasaan malu.

“Eh, tak apa, cik boleh duduk sini dengan saya.. Sekejap, cik yang berjalan di hujung jalan tadi ya? Ya Allah, saya minta maaf sangat-sangat. Saya tak sengaja langgar lopak air tu sampai terkena cik..” Dahi lelaki itu berkerut, wajahnya kesal.

“Oh, jadi encik la yang langgar lopak tadi tu? Encik buta ke, tak nampak?, Bawak kereta pandang-pandang la orang sikit. Jangan ingat dah bawak kereta besar, dah tak ingat orang yang jalan kaki!” Aku membentak, perasaan malu sudah bertukar jadi tersinggung. Marahku hanya meluah kesal di hati.

“Ya Allah cik, saya tak terniat macam tu pun. Saya memang tak nampak cik kat tepi jalan tadi. Maklum lah dengan hujan renyai, petang pun makin gelap.” Wajah lelaki itu penuh perasaan bersalah. Aku hilang kosa kata, perasaan geram tidak juga reda. Aku yang sudah berdiri, menarik beg atas meja.

“Tak apalah..” Aku berlalu membelakangi dia.

“Cik, duduklah minum dulu. Saya minta maaf..”

“Saya tak duduk dengan orang tak kenal!”

“Baiklah, nama saya Fariz, nama cik? Saya tinggal kat kondominium depan tu je. Cik pula?”Aku tidak mengendahkan dia, entah kenapa. Mungkin kerana keadaan aku yang tidak selesa. Hati yang kurang senang, baju yang kebasahan, perut yang berkeroncong, badan yang penat, semuanya cukup mengundang kelelahan. Aku terus melangkah sebelum berpatah semula.

“Ini sapu tangan awak..” aku menghulur pada dia. Wajah jejaka itu mendung seperti cuaca ketika itu juga.

“Tak apalah, cik simpan. Lagipun baju cik basah..”

Aku terus berlalu tanpa kata. Pasti dia anggap aku sombong. Baguslah, orang sombong harus dilayan sombong juga. Ini Ana Sofiana, tidak mudah diperkotak-katikkan orang tau!

***

Malam itu selepas membersihkan diri aku duduk di hadapan PC, membelek-belek kertas kerja projek terbaharu. Projek besar inilah punca aku terdampar di sini. Baru sebulan, aku perlu lebih masa untuk sesuaikan diri dengan keadaan Kuala Lumpur. Aku bangun keluar ke beranda bersama segelas air panas. Rasa sunyi dan sepi. Rakan serumahku out station melakukan research untuk syarikat. Sejak habis master aku hanya tumpukan pada karier, aku boleh dikatakan berjaya. Tetapi hidupku masih belum sempurna. Entah kenapa bayangan lelaki di restoran tadi tersapa. Kalau punya teman lelaki atau suami seperti dia alangkah indahnya. Mungkin dia terlalu sempurna. Adakah lelaki sekacak itu punya hati yang baik lagi setia?. Entah-entah teman wanita keliling pinggang… Tetapi, kenapa sedari awal bersua dengannya aku selalu buruk sangka? Mungkin kesempurnaan yang ada padanya buat jiwa wanitaku rasa tidak selamat. Tiada wanita yang bebas dari rasa was-was pada lelaki seperti dia.

Aku menggeleng kepala lantas menghampiri tas tangan atas meja, mengeluarkan handkerchief milik jejaka itu. Aku mendekatkan ke hidung, wangi.. kemudian ku buka. Ah, memang bukan macam sapu tangan restoran. Bagaimana aku boleh tersilap. Logo jenama terkemuka menghiasi sapu tangan sutera warna hijau coklat itu.

“Sapu tangan ni mahal, aku mesti pulangkan. Fariz, dan dia duduk kat kondo ni juga. Pasti kita akan berjumpa lagi..” Aku meramas sapu tangan itu dengan senyuman.

***

Aku mengeluh, Hampir setiap hari aku memandang ke arah restoran. Tetapi kelibat Fariz tidak kelihatan, menyesal sungguh kerana jual mahal hari itu. Bila difikir semula, kelakuan ku memang tak wajar. Bukankah dia sudah minta maaf berkali-kali. Kini aku pula yang di amuk perasaan bersalah. Selagi sapu tangan milik jejaka itu dalam simpanan, hatiku rasa tak tenang. Aku sudah punya kenderaan yang di sediakan syarikat untuk kemudahan ku.Kerana jejaka itu, aku tinggalkan kereta di pejabat dan menaiki LRT. Manalah tahu mudah untuk terserempak lagi. Tapi harapan tak kunjung tiba, hinggalah langkahku terhenti di sisi kereta BMW hitam yang ku kenali. Kereta yang membuat onar membasahi bajuku.

“Tadi tak nampak pulak dalam restoran, tapi kereta ada parking kat sini..” Sungutku penuh tanda tanya. Pantas aku berpatah masuk ke dalam restoran meninjau. Dalam hati, sudah ku karang ayat permohonan maaf. Mataku tertancap pada susuk yang masih ku ingat. Duduk di meja tersorok. Dia segak berbaju kemaja hitam dan berbual senang. Ku lihat dia duduk berhadapan seorang wanita cantik lagi anggun bergaya. Langkah ku terhenti, aku menarik nafas. Sah dia sudah berpunya seperti ku duga. Hatiku tersapa kecewa. Sekejap, kenapa aku harus rasa kecewa, apa urusan aku dengan dia? Aku hanya mahu pulangkan sapu tangan. Aku meneruskan langkah sebelum terhenti sekali lagi. Ku lihat wanita itu membelai pipi Fariz dengan mesra, jejaka itu tersenyum senang.

“Ish tak sesuai lah, orang tengah bahagia bermesra, aku datang kacau daun..” Keluh ku lantas berlalu keluar dari restoran.

***

Bunga Ros Tisu

“Untunglah kau, baru masuk kerja dah rasa majlis tahunan syarikat.” Sapa Maria sambil menghulur gelas air. Aku hanya tersenyum sambil mengekor langkahnya menuju ke meja.

“Kau tahu, ramai tau staff lelaki yang tengah usha kau. Antaranya Zamir, banyak kali dia suruh aku kirim salam pada kau.” Usai melabuh punggung Maria membuka cerita.

“Ala, malas lah nak layan..” Aku menjamah sedikit halwa. Menu makanan Arab menjadi santapan majlis hari itu.

“Kau single lagi kan. Cantik pulak tu, banyak la buaya yang mengintai. Orang suruh sampaikan salam, aku sampaikan je. Pandai-pandai kau lah.” Maria menghirup air. Aku hanya senyum hambar, tak berminat nak berbicara pasal hubungan. Entah kenapa ada rasa kecewa tak berasas di jiwa. Kenapa nama dia bermain di fikiran?

“Kau tunggu kejap ye, aku nak ambil dessert..” Maria bingkas bangun. Aku senyum dan melepas pandang pada sekeliling. Pada Hisyam ketua baruku yang tak putus-putus melayan tetamu yang baru sampai. Meneliti wajah-wajah yang masih tidak ku kenali. Staf di sini agak ramai, dan… Mataku tertancap pada sepasang mata yang sedari tadi merenungku. Hanya duduk berjarak dua meja di hadapanku. Kemas dengan blazer dan tali leher. Aku terlopong, lelaki itu… Fariz! Apa dia buat di sini!?. Senyum terukir di bibir lelaki itu. Aku pantas menunduk seperti seorang pesalah. Dadaku berdebar kencang. Aku menoleh lagi, dan dia masih merenung dengan mata yang menggoda. Hatiku rasa geram. Oh, sudah berpunya, jangan berlagak solo!.

Aku bingkas bangun dengan wajah masam mencuka, sempat ku kerling Fariz. Lelaki itu kelihatan terkejut dengan reaksi aku. Aku menghampiri Maria yang berbual dengan Zamir, lelaki yang meminatiku. Melihat aku Zamir tersenyum lebar. Aku melayan Zamir mesra. Sesekali aku mengerling Fariz yang memerhati dengan mata yang tajam. Aku Ana Sofiana, aku cukup matang dari tergoda dengan pesona si hidung belang. Aku berbual mesra tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Sedar-sedar ketika berpaling ku lihat Fariz yang duduk dengan rakannya tadi, sudah tiada. Mataku mencari-cari, kelibatnya langsung tak kelihatan. Aduhai, apa kena dengan diriku?

Aku kembali ke meja lalu duduk sambil memicit kepala. Mataku menangkap botol kosong Barbican malt drink atas meja. Sejak bila pula botol ini berada di sini? Jemariku menyentuh sekuntum bunga ros yang dipintal dari kertas tisu putih kemas tersisip dalam botol. Aku menarik bunga itu dengan perasaan tidak percaya. Bunga itu sempurna dari batang, dua helai daun, dan kuntuman kelopak bunga. Dipintal kemas seperti origami. Aku terlopong, siapa kah yang pandai buat sebegini? Pasti bukan Zamir kerana dia berbual denganku sedari tadi.

Di bawah letak botol terletak nota kecil bertulis ‘You look wonderful tonight..’ Argghhh! Aku meraup wajah. Sudah boleh mengagak siapa yang lakukan ini. Bibirku mengorak senyum senang. Aku tidak mampu menipu diri, hatiku terbuai-buai. Panahan matanya yang merenung terbayang-bayang. Debar dadaku memuncak. Dan bunga ros tisu ini, buatkan jiwaku terawang-awangan. Aku sudah dipancing kasanova. Pasti malam ini tidurku tak lena.. Tidak, tidak, aku Ana Sofiana, tak akan rebah dengan rayuan dan pujuk rayu pujangga.

***

“Masuk Ana..” Kedengaran suara Hisyam dari dalam. Aku masuk dengan membawa segugus fail dan kertas kerja.

“Ana, perkenalkan arkitek yang akan berkerjasama dengan awak nanti. Syed Fariz, dia ni sepupu saya, merangkap partner syarikat ni jugak..”

“Oh, Ana Sofiana rupanya..” Lelaki yang duduk membelakangi aku menoleh. Senyum di wajahku memudar. Hidupku pasti akan jadi lebih sukar. Syed Fariz menghulur salam. Aku menyambut dengan gugup gementar. Renungan matanya membuatkan dadaku rasa senak. Terus aku teringat bunga ros dari kertas tisu putih. Seorang arkitek boleh jadi pandai menganyam bunga tisu juga kan?. Aku rasa macam nak pitam.

“Ana Sofiana tinggal di tingkat tiga kan? Company dah bagi kereta kenapa masih naik LRT?. Kalau hujan kasihan kebasahan lagi..” Syed Fariz menggumam dengan mata masih merenung kertas kerja di tangan. Hisyam pula di luar café bercakap di telefon. Aku rasa gelisah. Pusing kiri, pusing kanan serba tak kena.

“Mana Encik tahu?”debar dadaku makin kencang.
“Panggil saya Fariz je. Mesti la staff syarikat sendiri kita boleh siasat. Walaupun partner tidur, kalau ada project saya involved jugak.” Syed Fariz mengerling nakal. Aku bertambah gelisah, rasanya macam nak hantar surat resign masa itu juga.

“Encik, saya minta maaf kalau saya kurang sopan masa hujan tu. Maklum lah saya tengah basah kuyup. Lagi satu, nanti saya pulangkan handkerchief encik tu, ada kat rumah” suaraku seperti merayu bunyinya.

“Panggil saya Fariz je. Handkerchief tu awak simpan, saya hadiah kan sebagai kenangan pertemuan pertama kita..” Syed Fariz mengeyit mata. Aku mengetap bibir geram. Buat tak dengar dan pura-pura membelek dokumen atas meja.

“Lagi satu…” Syed Fariz meletak tangan pada dokumen yang ku selak. Aku terjeda, merenungnya dengan pandangan kurang senang.

“Zamir tu bukan boyfriend awak kan? Awak masih belum ada sesiapa yang istimewa bukan?”

“Apa sebenarnya yang awak nak encik Fariz?” suaraku sedikit meninggi.

“Mudah, saya nak awak..”

“Oh semudah itu. Habis tu perempuan dekat restoran depan kondo tu nak campak mana?”

Dahi Syed Fariz berkerut. “Siapa, bila?”

“Alah, yang pakai dress merah menyala, rambut perang sikit. Sehari sebelum majlis tahunan syarikat encik ada jumpa dia kan?”

“Siapa.., kak Siska? Dia yang awak maksudkan? Hisyam, Kak Sis nampak macam girlfriend aku ke?” spontan Syed Fariz bertanya Hisyam yang baru sampai ke meja dan melabuh punggung.

“Oh, kak Sis kalau umur 40 tahun pun layak jadi girlfriend budak umur 18 tau!” Hisyam bercanda.
“Dia tu kakak saya lah Ana. Dia duduk UK, bila balik sini mestilah cari adik kesayangan dia. Nanti ada peluang saya kenalkan Ana pada dia…” senyum Syed Fariz makin melebar. Aku merenung wajah kedua bos ku itu silih berganti. Apakah yang bakal terjadi selepas ini? Aku tak mampu untuk fikirkan apa-apa lagi. Aku rasa gembira, juga keliru dan buntu.

***

Impian Pedamba Cinta

Hujan renyai-renyai beserta angin bertiup membuai kedinginan. Aku masih sama, terlupa membawa payung, tetapi pulang sendiri dengan LRT. Dalam hati mengutuk diri sendiri yang agak cuai. Aku berlindung di balik tiang besar tangga station LRT. Hujan tidak melebat, masih boleh redah. Tetapi aku masih mengira-ngira.

“Marilah..” serentak bunyi payung terbuka kedengaran. Aku menoleh. Syed Fariz menghadiahkan senyum manis seraya menarik lenganku ke bawah payung.

Dari mana pula mamat ni datang! Aku tak daya menolak. Kami berdua berjalan di bawah satu payung besar bercorak warna-warni pelangi. Aku hanya membisu kaku. Tangan kirinya kemas menggenggam jemariku.
“Ada kereta, kenapa balik naik LRT, lepas tu tak bawa payung pula tu..”

“Jalan jem teruk. Tak sanggup. Kereta tu bawak pergi site, jumpa klien o.k lah.”
“KL memang macam ni, kena biasakan diri dengan jem.”

“Kat Seremban dulu pun Ana mengelak masuk bandar. KL ni lagi tak sanggup..”

“Kalau nanti kena duduk lama kat KL, kenalah biasakan diri. Mana tahu kahwin orang KL. Kalau ada suami, mesti suami tak benarkan naik LRT sorang-sorang. Berhujan panas lagi..”

“Yek eleh benda kecik je..” Aku mencebik.

“Kalau Fariz jadi suami, Fariz tak akan benarkan isteri jalan sorang-sorang macam ni, bahaya..” Aku hanya diam, debar dadaku makin memuncak. Kami tiba di hadapan Kondominium.

“Ana tahu Fariz duduk tingkat berapa?” Fariz merenung mesra. Aku hanya menggeleng.

Town house kat tingkat paling atas….” Dia menekan punat lif ke tingkat 32.

“Nak pergi rumah Fariz ke?” wajahku sedikit pucat. Fariz tidak menjawab, dia hanya ketawa. Lif sampai ke tingkat 32. Faris menggamit aku yang makin rawan. Oh! lelaki ini sukar di duga... Tindakannya penuh kejutan. Fariz menolak pintu tangga kecemasan dan menghulur tangan menggamit aku naik. Pintu keluar ke bumbung di tolak. Pandangan yang luas terbentang. Wajahku pantas berubah ceria dan kagum.

“Cantiknya….” Aku takjub melihat pemandangan Kuala Lumpur dari atas bumbung kondominium. Kabus akibat hujan renyai membuai nyaman kedinginan. KLCC dan Menara KL jelas kelihatan. Lampu bangunan yang sudah dipasang, berkerlipan kelihatan dari kejauhan.

“Malam lagi cantik, meriah dengan lampu ibu kota. Kalau ada bunga api macam tahun baru, kita boleh nampak di semua arah, berlawan-lawan..” Syed Faris bersuara dengan mata bersinar menatap wajahku yang riang. Sesekali aku menakung rintik hujan di tapak tangan. Matahari yang dilindung awan mendung sudah nampak keperangan. Hari mampir lewat petang, indah dan nyaman.

“Ana Sofiana.. Indah sungguh nama seindah orangnya..” Syed Fariz menggenggam tanganku di bawa rapat ke bibir.

“Sudikah awak menemani saya seumur hidup..” Syed Fariz mengeluarkan bekas baldu hitam dari poket. Kotak kecil dibuka, berkelip kilauan permata disimbah mentari kuning. Aku kaku, suaraku tidak keluar.. Dadaku berombak seperti mahu pecah.

“Awak pasti ke Fariz?, kita tak kenal lama..” Aku menelan air liur.

“Saya kenal awak Ana. Pertama kali saya lihat awak dari cermin pandang belakang. Wajah terkejut kerana disimbah air tepi jalan. Saya rasa simpati, tetapi tak sempat berhenti, sebab dah terlanjur laju. Saya jumpa awak kali kedua dan nampak wajah awak meradang marah. Kali ketiga ketika awak sombong pada saya di majlis tahunan syarikat. Saya kenal awak yang jujur. Tak pandai selindung emosi, berdikari, tegas dan berkerja keras.. Kualiti seorang wanita yang sempurna..” mata Syed Fariz redup merenung mata ku.

“Tapi itu luaran.. Saya…” aku terpinga-pinga. Aku hilang punca.

“Sanggupkah awak terima cincin turun temurun keluarga saya ini. Kak Siska beri semasa awak nampak dia dulu. Cincin arwah mama saya. Saya Syed Fariz Ibrahim seorang yatim piatu, hanya dua beradik. Dibesarkan oleh nenek dan pakcik. Orang yang membosankan, hanya tahu memerap di rumah main game, baca buku dan cuma pandai buat kerja design bangunan. Bertukang rumah bolehlah sikit-sikit. Berharap dapat membina keluarga dengan wanita jelita yang selama ini di tunggu-tunggu. Yang selalu di angan-angankan dalam impian..”

“Tunggu? Fariz, pandai betul awak bermain kata..” Aku menggigit bibir. Angin lembut merecik rintik gerimis ke wajahku.

“Betul.. Setiap lelaki akan menunggu bidadarinya Ana. Satu masa dia akan terpandang wajah seorang gadis, yang entah kenapa tidak mahu hilang dari fikirannya. Wajah gadis itu seperti ada magis, bersinar seperti bintang di langit terang. Pandang langit, pandanglah bumi, wajah itu tidak akan terpadam. Pada masa itu lelaki itu akan tahu, bahawa dia mahu hidup bersama gadis itu hingga ke akhir hayat. Itulah yang saya rasa bila pertama kali melihat awak sayang..” Syed Fariz mengusap pipiku. Aku sebak, kata-kata itu pasti mencairkan kerikil beku. Aku menyayangi dia, cuma aku perlu sedikit keyakinan untuk memastikan bahawa ini cinta yang benar.

“Adakah cinta ini benar Fariz?” Air mataku mula menitis.

“Ya, pandang ke kanan sayang..”

Aku menoleh.. “Subhanallah… Indahnya…”

Pelangi dengan lengkung yang panjang, hampir memenuhi bulatan dunia di hadapan kami. Bermula di awan mendung dan berakhir di kaki senja. Warna-warni pelangi tidak mahu kalah dalam remang senja yang keemasan.

“Lihat dalam gerimis kelam petang, pelangi itu tersenyum pada kita. Dia mengiyakan cinta kita kan? Dia berkata; sesungguhnya cinta kita adalah cinta yang benar. Maka dia menghadiahkan garis-garis pelangi yang ceria. Bukan mudah mentari senja suram menggaris pelangi Ana. Bukankah alam tersenyum pada kita sayang.. Alam sentiasa menunaikan janji. Biar mendung mahupun ribut taufan. Pelangi tetap di hadiahkan…”

“Alam pasti menunaikan janji pada Tuhan. Tetapi kita manusia yang banyak khilaf ini, adakah mampu berjanji untuk saling mencintai dan tidak menyakiti..?”

“Ya, berjanji lah dengan nama Tuhanmu, Seperti mana alam berjanji dengan nama Penciptanya..” Mata Syed Fariz berkaca, penuh harapan. Air mata ku sudah tidak segan mengalir pilu. Sebak dan bahagia silih berganti. Indahnya detik ini, biarlah disemat dalam hati sanubari hingga ke akhir nafas. Maka, cincin pusaka itu ku semat ke jariku. Tanda ikatan kasih sayang yang diwarisi zaman berzaman. Sesiapa sahaja punya impian mengikat mati tali temali penyambung kasih di dunia hingga ke syurga. Amin.

Tamat

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.