Home Cerpen Islamik Aku Yang Lupa
Aku Yang Lupa
illifadli
7/6/2016 15:48:27
1,583
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Aku Yang Lupa


Kedengaran Azan Asar dan ketika inilah orang ramai semakin memenuhi kawasan Bazaar Ramadan ini. Mungkin sekejap lagi bila orang mulai berkurangan aku akan menunaikan solat Asar.

Masuk waktu maghrib, aku hanya berbuka dengan buah kurma, air bandung dan sebatang rokok. Pada sebelah siang tadi ramai sungguh pelanggan sehingga menghampiri waktu berbuka masih ada orang yang datang ke bazaar bagi mendapatkan juadah berbuka dan aku tidak pasti sempat atau tidak mereka berbuka di rumah. Mungkin untuk dimakan selepas solat maghrib. Syukur, jualan laksa aku untuk kali pertama sejak beberapa hari berniaga di bazaar ini berjaya mencapai KPInya, Sold Out.

Selesai berbuka aku bersegera mengemas, khemah kecil perlu ditutup, meja, periuk dan semua peralatan meniaga perlu aku masukkan ke dalam Van. Aku hanya berniaga sendirian, jadi semuanya harus aku lakukan dari A hingga Z sendiri. Ini semua untuk memaksimumkan keuntungan demi menikmati raya yang gemilang. Aku masih belum menunaikan solat Maghrib. Mungkin sebentar lagi

Selesai mengemas, jam sudah menghampiri lapan suku, aku tidak terus pulang tetapi aku berehat dahulu di kawasan tasik yang menghadap masjid. Sebenarnya tadi aku tidak sempat menunaikan solat Maghrib. Sejujurnya ini bukan kali pertama aku terlepas menunaikan solat Maghrib, tapi sudah banyak kali. Namun bukan aku seorang sahaja yang gagal melaksanakan solat malah ramai juga peniaga di bazaar yang seperti aku, terlalu sibuk dengan mengemas peralatan perniagaan. Namun itu semua hanya telahan aku, mungkin juga mereka solat di rumah. Entah, aku tidak mahu ambil peduli.

Kedengaran Azan Isyak. Jarak antara masjid dengan tasik tempat aku berehat ini kurang enam puluh meter namun aku berasa letih dan mengantuk untuk berjalan menuju ke masjid itu. Kejap lagi, bila kepenatan aku beransur hilang aku akan terus pulang ke rumah. Nanti di rumah aku solat Isyak dan kalau rajin disambung dengan terawih bersendirian dengan bacaan ayat-ayat lazim. Mungkin.

Aku terlelap seketika. Kemudian aku dikejutkan dengan ucapan salam dari seseorang. Aku membuka mata. Aku lihat seorang lelaki dalam lingkungan awal 20 an memakai baju melayu berwarna merah berdiri di depan aku. Dia minta izin untuk duduk di sebelah aku. Alamak budak ni, ada banyak bangku kosong sini juga yang kau berkenan.

“Abang nampak penat.” Soal lelaki itu kepada aku. Rasanya kalau aku tak penat mesti aku sudah di dalam masjid solat berjemaah.

“Meniaga dik, biasalah.” Aku membalas acuh tak acuh.

“Oh. Abang tak ke masjid tu? Saya ingatkan abang baru habis solat terawih dan terus ke sini”

Hah? Mungkinkah aku terlelap sehingga selesai solat terawih?. Aku lihat telefon. Jam baru 9.15 malam.

“Biar betul dah habis solat dik, tu abang dengar bilal sedang selawat tu.”

“Belum habis lagi. Baru habis lapan rakaat.”

“Adik tak solat di masjid?”

“Saya solat lapan rakaat je bang. Abang kenapa tak balik rumah kalau tak solat di masjid?”

Bukan tadi aku dah cakap yang aku baru habis meniaga ke. Ishh budak ni banyak soal pula.

“Ni abang nak balik ar ni dik”

“Malam ni sungguh tenang kan bang. Cuaca baik tak hujan tapi berangin. Air tasik ini pun nampak tenang. Macam mana Ramadan abang setakat ini?”

Aku yang baru berkira-kira hendak bangun, terus membatalkan niat itu.

“Biasa je dik. Orang meniaga, sibuk memanjang.”

“Ada beza dengan Ramadan abang setahun yang lalu?”

“Mestilah beza dik, tahun lepas bekerja makan gaji tahun ni berniaga sendiri.”

Lelaki itu memandang aku dengan senyuman. Haruskah aku memberi jawapan yang lebih detail? Sebelum aku menjadi peniaga di bazaar ramadan, aku bekerja makan gaji dengan sebuah syarikat penerbangan tempatan sebagai Eksekutif Pentadbiran. Dek kerana kegagalan pihak pengurusan syarikat mengurus dengan baik (pengurusan yang cekap jarang kita dengar mengalami masalah bukan?) selain kelembapan ekonomi serta sentimen pelancong yang tidak yakin dengan syarikat penerbangan itu kerana insiden tertentu, maka syarikat memutuskan untuk memberhentikan beribu pekerja (tetapi masih mampu menggaji bos baru yang bukan rakyat tempatan). Aku salah seorang daripada ribuan yang diberhentikan kerja. Orang kata kerja makan gaji memang takdirnya begitu, samaada kau kerja sampai pencen, kau berhenti sebelum pencen atau kau dibuang tanpa kerelaan diri. Mungkin.

Ya, Memang aku dibayar pampasan dan ianya aku jadikan modal untuk memulakan perniagaan menjual laksa. Inilah satu-satunya cara yang aku terfikir bagi menampung kos kehidupan aku, isteri dan dua orang anak yang masih bersekolah rendah. Lagipun, laksa tidak terlalu rumit dan kuahnya jika hari ini tidak habis esok masih boleh ditambah ke dalam kuah yang baru asal sahaja dimasak sempurna dan selalu dipanaskan. Mungkin ini juga yang dipratikkan oleh sesetengah peniaga. Mungkin.

Bayangkan pada usia yang sudah mencecah 40 tahun, syarikat mana lagi yang mahukan aku? Di luar sana terlalu ramai anak muda yang berijazah, berdiploma malahan walau sekadar SPM berebut-rebut untuk menjadi Eksekutif Pentadbiran atau paling tidak pun kerani walaupun ditawarkan gaji bertaraf “Layak Menerima BRIM”.

“Dalam bulan Ramadan ni bang kita kena selalu bermuhasabah supaya kita dapat menilai sendiri kelemahan dan kegagalan kita khususnya dalam perkara mentaati perintah Tuhan”

Aku terdiam, kenapa tiba-tiba dia membangkitkan soal muhasabah?

“Hari ini berapa kali abang berdoa?”

Persoalan tentang doa pula yang keluar dari mulutnya.

“Abang tak kira dik” Aku sedang menipu diri sendiri.

“Doa itukan ibadah. Sesuai sangat di bulan ibadah ini kita beristiqamah dalam berdoa terutama pada waktu-waktu yang mustajab.”

“Betul” aku bersetuju dengan kenyataan lelaki itu.

“Saya pernah mendengar ceramah dari seorang ustaz, katanya Rasulullah SAW bersabda bahawa di bulan ini turun naik nafas kita menjadi tasbih, tidur kita menjadi ibadah, amal-amal diterima dan doa kita didengar. Sangat beruntung kan kita?”

Aku melihat wajah lelaki itu dengan rasa kehairanan. Mungkin sedikit keraguan, namun apa sebabnya aku tidak pasti atau kerana dia menuturkan sesuatu yang masuk terus ke dalam jiwa aku.

“Agak-agaknya bagaimana solat abang pada Ramadan kali ini, dan pada tahun lalu?”

Aku tidak menjawab persoalan itu. Aku lihat ke langit yang gelap. Benar, solat aku semakin merosot dek kerana kelalaian dan kemalasan, bahkan di bulan yang mulia ini aku seperti tidak berasa bersalah bila meninggalkan solat, padahal ganjarannya berlipat kali ganda.

“Walaupun puasa itu dituntut, solat lebih juga dituntut. Dosa meninggalkan solat itu tidak cukup ditebus dengan pahala berpuasa. Cuba abang bayangkan, dengan berpuasa kita sebenarnya sedang berusaha meraih kasih sayang dari Allah, tetapi bila kita meninggalkan solat tidakkah kita sebenarnya mencari murka-NYA”

Jujurnya aku tidak pasti mengapa sejak tadi lelaki ini sering memperkatakan tentang muhasabah, doa dan solat. Seolah-olah dia sedang menujukan semua itu kepada aku. Ya, kepada aku yang pada hari ini tidak menunaikan kewajipan solat dari Subuh hingga sekarang.

“Kenapa ya manusia boleh menahan lapar selama berbelas jam tetapi tidak boleh memberikan sekitar lima minit untuk mentaati perintah Allah dengan mengerjakan solat?” Dia berdiri kemudian melihat tepat ke wajah aku sebelum duduk semula dan menyambung semula bicaranya.

“Katakanlah, ini Ramadan terakhir abang, apa yang abang nak minta pada Allah?”

“Abang tak terfikir dik. Dah. Abang nak balik, adik pun patut balik atau adik nak ke masjid sambung beriktikaf?”

“Katakan hari ini abang diberikan rezeki lebih oleh Allah, bukankah itu tandanya Allah sayangkan abang?. Kita manusia ini, sesudah banyak melakukan dosa tapi masih diberi nikmat oleh Allah. Masihkah kita tidak mahu bersyukur? Bukankah dengan melaksanakan solat itu sebenarnya kita sedang menzahirkan rasa syukur pada Maha Agung kan?

“Betul juga” aku menjawab pertanyaan itu tanda bersetuju.

“Masih belum terlambat untuk kita berubah menjadikan diri dan keluarga manusia yang lebih baik. Sekurang-kurangnya kita pastikan bila berakhir Ramadan nanti kita bukan golongan yang disebut Nabi SAW sebagai mereka yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja kerana berpuasa.”

Aku memandang lelaki itu dengan senyuman. Kata-katanya yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan ceramah agama di televisyen telah menjentik perasaan aku.

“Abang suka baca buku?” Pertanyaan tentang buku pula dan rasanya buku terakhir yang aku baca ialah buku laporan sekolah anak aku!

“Kurang. Kenapa adik tanya?”

Dia tidak menjawab sebaliknya dia hanya menguntumkan senyuman kepada aku. Dia bangun dari bangku batu itu. Kemudian dia menghulurkan sebuah buku kepada aku. Buku berwarna hijau dengan tajuk “Manusia Dan Islam-Jilid Tiga” yang tertera nama penulisnya “Dr.Haron Din”.

“Oh. Ini buku lama ni. Tadi abang tak perasan pun adik bawa buku. Kenapa adik bagi buku ni?”

“Untuk dibaca.”

“Baca?”

Dia tidak menjawab soalan aku, kemudian dia beredar meninggalkan aku kembali bersendirian. Masih kedengaran melalui pembesar suara Imam membaca surah al-fatihah dari masjid di depan tasik. Ada persoalan yang hadir dalam pemikiran aku, siapakah lelaki itu? Persoalan itu aku biarkan sahaja. Aku melihat masjid yang cukup indah itu dengan pandangan yang sayu. Rupa-rupanya sejak aku diberhentikan kerja, aku semakin jauh dengan- NYA. Buat kali pertama untuk hari ini aku berdoa memohon kepada Allah.

“Ya Allah Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku menanggung beban dosa yang tiada kesudahan”.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.