Suzaiman membuka kedua-dua belah
kelopak matanya perlahan-lahan.Gelap-gelita. Hanya bunyi derapan tapak kaki
yang kedengaran. Semakin lama bunyi tapak kaki itu semakin menghampirinya.
Suzaiman berasa sedikit sesak nafas apabila berada dalam keadaan gelap dengan
keadaan seluruh tubuhnya berikat di kerusi. Dia turut terbersin beberapa kali
apabila debu kekotoran di tempat misteri tersebut mula menganggu rongga
hidungnya. Satu tubuh yang tidak kelihatan siapa gerangannya berdiri tegak di
depannya kini.
‘’Errr…kau…err siapa?’’
Tergagap-gagap Suzaiman bersuara.
Dia seakan takut melihat bayangan tubuh dalam gelap itu.
‘’Kau…siapa ha?Aku kat mana
ni???’’
Sekali lagi Suzaiman bertanya.
Kali ini lontaran suaranya kedengaran lebih jelas dan berani.
‘’Kau di neraka!’’Garau suara itu
pula menjawab. Suzaiman terkesima dengan jawapan yang langsung tidak diduganya
itu.
‘’Ne…raka?Bohong!’’Tepis
Suzaiman.
‘’Kau memang berada di neraka. N.E.R.A.K.A…Neraka,
faham!Neraka ciptaan aku untuk orang bangsat macam kau!’’
Suara garau itu mengeja pula
perkataan NERAKA sambil ketawa mengejek kepada Suzaiman. Tak guna! Carut
Suzaiman dalam hati. Dalam keadaan masih takut-takut itu otaknya tidak dapat
berfikir dengan waras bagaimana caranya untuk dia melepaskan diri daripada
tempat kegelapan yang digelar neraka oleh suara garau itu tadi.
‘’Tolong lepaskan aku! Aku
sanggup bayar berapa saja kau nak!’’
Pujuk Suzaiman pula. Suara garau
itu masih galak ketawa mengejek. Semakin lama semakin nyaring bunyi tawanya.
Tegak bulu roma Suzaiman dibuatnya.
Ting…!Pandangan Suzaiman yang
gelap-gelita tadi mula terang benderang apabila lampu kalimantan dihidupkan dan
disuluh tepat ke mukanya yang sudah keluar merintik peluh-peluh jantan. Mata
Suzaiman silau. Terkebil-kebil matanya sebelum dia dapat melihat dengan lebih
jelas.
Satu susuk tubuh sedang tegap berdiri di hadapannya kini. Mata lelaki
itu sedang tajam memerhatikannya. Wajahnya separuh bertutup memakai mask. Renungan itu seperti sedang
menunggu masa mahu menikamnya. Lelaki itu sedang memegang sebilah kapak di
sebelah tangannya. Suzaiman menelan air liur berkali-kali. Perit tekaknya.
Gila! Apa bedebah ni nak buat
dengan kapak tu?Dia nak bunuh aku ker?Pelbagai persoalan mula muncul di
benaknya. Suzaiman semakin gelisah. Semakin laju peluh-peluh jantan turun
membasahi seluruh tubuhnya.Lencun.
‘’Kau…nak buat
apa?Tolong…errr…Lepaskan aku..To..long…Kau nak duit aku boleh bagi.’’
Suara itu mengekek ketawa
kembali. Kapak yang berada di tangannya sengaja diacah-acahkan ke muka
Suzaiman. Suzaiman mengelak. Lelaki bersuara garau itu mengacukan kapaknya
kearah tangan Suzaiman yang berikat dengan tali itu. Terlerai sudah ikatan di
tangan Suzaiman.
Suzaiman berasa sedikit lega walaupun bahagian kaki dan
tubuhnya masih lagi berikat. Sekurang-kurangnya tangannya berasa sedikit bebas.
Mungkin lelaki itu setuju dengan tawarannya mahu memberikan duit tadi. Suzaiman
tersenyum yakin bahawasanya duit mampu membeli segala-galanya.
‘’Kali ini duit takkan mampu
tolong kau keluar dari neraka jahanam ni!Kau takkan terlepas!’’
Sambung suara garau itu lagi.
Lelaki itu seakan senyum mengejek disebalik topeng muka yang dipakainya itu. Suzaiman
kelihatan sedikit hampa. Dia sempat mengelap peluh-peluh jantan yang sudah
membasahi seluruh mukanya.
Terketar-ketar tangannya kerana ketakutan apabila
mata lelaki itu masih tajam memandangnya. Seakan ada dendam yang mahu
dilunaskan. Secara tiba-tiba tangan kanan Suzaiman dicerkam kuat.
‘’Aghhhhh…!!!!Sakittttt!!!Tolong…Jangan
bunuh aku!’’
Suzaiman menjerit kesakitan yang
teramat sangat sebaik saja jari-jemarinya di
tangan sebelah kanan dikapak oleh lelaki misteri itu tanpa belas
kasihan. Terpelanting kelima-lima jari-jemarinya itu ke dinding dan darahnya
terpercik di wajah lelaki tersebut. Topeng mulutnya dibuka dengan rakus dan
percikan darah daripada jari-jemari Suzaiman yang dipotongnya tadi dijilatnya
penuh nikmat.
Suzaiman seakan loya melihat perilaku aneh lelaki kejam yang
tergamak memotong kelima-lima jari tangan kanannya itu. Suzaiman mengetap
mulutnya menahan kesakitan yang mencucuk-cucuk. Pandangannya sudah mula
berpinar-pinar. Suzaiman mula mengamati wajah lelaki yang seakan dikenalinya
itu. Ketawa lelaki itu semakin nyaring menyapa gegendang telinganya sambil
menjilat-jilat jari-jemarinya yang berlumuran dengan darah berbau hanyir .
‘’Kau gila!!!’’Pekik Suzaiman sambil memegang
kepalanya yang terasa berpusing. Kepalanya pening apabila menghidu bau hanyir
darah yang masih lagi meleleh di jari-jemarinya yang sudah terpotong itu.
Lelaki tersebut berpaling semula kepada Suzaiman. Dia bengang apabila Suzaiman
sewenang-wenangnya menuduhnya gila.
‘’Heyyyy bedebah apa kau cakap
tadi? Kau cakap aku gila ye?Haaa…Memang! Memang aku gila! Aku gila sebab
melayan bos yang tak berperikemanusian macam kau!’’
PAP!
Kapak yang berada di tangan
lelaki itu dihayunkan ke muka Suzaiman. Nasib baik Suzaiman sempat mengelak
sebelum wajahnya pula terbelah dua. Cis kurang ajar! Marah Suzaiman dalam hati.
Entah benda gila apa pula yang mahu dilakukan oleh lelaki kurang siuman ini.
Ya, baru sekarang Suzaiman mengecam muka lelaki itu. Farhan!Pekerja dia!Budak
despatch di pejabatnya. Budak yang selalu kena maki hamun dengannya. Budak yang
selalu dibuli oleh pekerja-pekerja lain termasuklah dia, sebagai boss. Berani
budak ini mahu mencari pasal dengannya!
‘’Kau memang dah gila Farhan!
Baik kau lepaskan aku. Heyyy…aku ni bos kau lah!Kau memang nak kena pecat ke
ha!’’
Jerkah Suzaiman. Walaupun
tenaganya sudah semakin lemah tetapi dia perlu pertahankan dirinya daripada
terus menjadi mangsa lelaki yang semakin mengganas itu.
‘’Ooo…kau ingat nama
aku…Heyyy…dengar sini…Aku tak kisahlah kena buang keje ke apa ke!Kau tu memang
patut dihukum! Kau tak layak langsung jadi boss! Kau patut mati! Aku dah
ciptakan neraka jahanam ni untuk orang macam kau!’’
Lelaki yang bernama Farhan itu
ketawa mengejek kembali. Semakin takut dan terbelalak mata Suzaiman melihat
aksi gila pekerjanya bernama Farhan itu. Farhan sempat berjoget-joget dengan
kapak yang masih ditangannya itu. Dia menjilat sisa darah yang masih melekat di
kapaknya. Matanya tajam memandang Suzaiman yang sedang menahan kesakitan
memegang separuh jari-jemarinya yang sudah dikapak sebentar tadi.
Suzaiman
menelan air liurnya bekali-kali. Cuak. Nampak sangat budak ini sudah lama
berdendam dengan dia. Matilah dia macam ni! Sudahlah jari-jemarinya masih
berdenyut-denyut kesakitan lagi. Pedih.Ngilu. Semuanya bercampur-aduk.
‘’Baiklah. Aku mintak maaf sebab
selalu maki kau macam-macam…Kerah kau buat kerja itu ini, padahal tu bukan
kerja kau. Aku janji aku takkan pecat kau…Aku akan up gaji kau…Kalau kau nak
duit, cakap je berapa aku sanggup bagi! Yang penting kau lepaskan aku…Boleh
kan?’’
Suzaiman cuba taktik memujuk
pula. Mudah-mudahan lelaki itu tertarik dengan tawarannya. Tetapi jangan
bermimpilah dia akan tunaikan kata-katanya itu. Kata-katanya tadi sekadar untuk
memancing perhatian lelaki gila ini supaya melepaskannya.
‘’Kau tipu! Aku takkan percaya
kata-kata orang munafik macam kau! Jangan sampai anu kau pun aku kapakkan! Kau
nak?’’
Sepantas kilat Suzaiman menahan
tangannya di bahagian tersebut. Risau dia kalau-kalau Farhan benar-benar
melakukan perkara yang disebutnya itu. Berderau darah Suzaiman dibuatnya dengan
ugutan lelaki tersebut. Sudahlah jarinya sudah terpotong takkan tut tut dia pun
mahu dipotong.
Aghhh…parah! Suzaiman sempat mengucap dalam hati. Berdebar-debar
laju hati dia dibuatnya. Lencun seluruh tubuhnya dengan peluh-peluh jantan yang
semakin rancak turun membasahi baju kemeja yang dipakainya. Sementara itu, Farhan
terduduk menghadap Suzaiman. Riak air mukanya seakan kecewa.
‘’Aku tak suka kau kerah aku buat
macam-macam. Aku ni umpama balaci kau je. Macam takde harga diri. Kau
tujal-tujal kepala aku walaupun benda tu aku tak buat salah. Kau maki aku
macam-macam. Aku tak dapat nak bela diri aku, sebab apa? Sebab aku kuli, kau
boss! ‘’
Farhan mengeluh. Dia meluahkan
apa yang terbuku dihatinya selama ini. Suzaiman khusyuk mendengar sambil
otaknya ligat memikirkan cara untuk melepaskan diri.
‘’Dunia ni memang tak adil.
Kenapa orang bawahan macam aku ni selalu kena tindas dengan orang atasan macam
kau?Tak boleh ker kau dengar masalah orang-orang kerdil macam aku ni?Aku kecewa
sangat…Kecewa tau tak!’’
Farhan bangun. Dia mengambil satu
tong yang mengandungi cecair. Farhan mencurahkan cecair di dalam tong tersebut
ke tubuh Suzaiman. Kebasahan Suzaiman dibuatnya.
‘’A…aa..air apa ni?Kau…kau… nak
buat apa lagi dengan aku ha?’’
Tanya Suzaiman tergagap-gagap.
Dia semakin cuak. Bau cecair yang membasahi seluruh tubuhnya itu berbau pelik. Seakan
bau….
‘’Aku nak bakar kau! Orang macam
kau memang layak dibakar rentung dalam neraka ciptaan aku ni!HAHAHA…!’’
Farhan mengeluarkan pemetik api
yang berada di kocek seluarnya itu.
‘’Jangan…!!!Tolong jangan buat
aku macam ni!Maafkan aku!!!’’
Suzaiman merintih-rintih sayu
meratap merayu bagai kepada Farhan. Sayangnya sudah terlambat. Farhan sudah
nekad dengan keputusannya. Bak kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar
sampai ke pangkal lengan.
Alang-alang dah buat benda gila teruskan saja. Bisik
suara hati jahat Farhan lagi. Sebenarnya syaitan yang berbisik. Tidak
sabar-sabar syaitan mahu bersorak kemenangan dengan perbuatan Farhan yang
terang-terangan dilaklat oleh Allah S.W.T. itu. Tanpa teragak-agak lagi Farhan
mencurahkan baki cecair dalam tong tersebut ke badannya pula.
‘’Kita mati bersama-sama ye,
boss. Aku pekerja yang setia.’’
Bisik Farhan di telinga Suzaiman.
Farhan sempat tersenyum kepada Suzaiman sambil mengenyitkan sebelah matanya.Wajah
Suzaiman pucat lesi. Langsung tak terkata. Pemetik api dihidupkan. Akhirnya
mereka berdua mati rentung terbakar dalam neraka buatan sendiri. –TAMAT-