Home Cerpen Thriller/Aksi Juliet
Juliet
Syaida Ilmuna Ismail
13/4/2014 17:11:21
3,394
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

CERPEN : JULIET

Aidan ligat berlari mengejar kelibat hitam di hadapannya. Peluh mulai merindik di dahi dan jantungnya berdegup kencang dari kebiasaan. Penjenayah yang dikejarnya ini sangat licik. Tak kurang juga pantas berlari. Pasti seorang jaguhan semasa di zaman sekolahnya. Sesaat dia terasa tidak terhambat dengan kelajuan si penjenayah ini. Namun disebabkan dia seorang anggota polis yang bertanggungjawab, si pencopek wang orang tua di jalanan tadi harus diberkas!

Hambatan Aidan terhadap penjenayah itu membawa ke satu lorong yang hujungnya diakhiri pagar besi yang berketinggian tujuh kaki. Lelaki yang dikejarnya memanjat pagar besi tersebut dengan lincah. Hanya dengan satu lompatan, kedua-dua tangannya tersauk di puncak pagar dan badannya ditolak naik untuk merangkak turun ke kawasan sebelah sana.

Aidan melepaskan tembakan dari pistol elektronnya. Tujahan elektrik yang beribu-ribu kilowatt itu tidak mengenai tubuh penjenayah.

“Cis! Tak guna!” rungut Aidan. Dia ikut memanjat pagar besi tersebut. Walaubagaimana cara sekalipun, dia harus menumpaskan lelaki itu.

Kelibat si penjenayah semakin menjauh. Aidan mula merasakan urat-urat dan tulang temulang badannya lenguh-lenguh. Jarang sekali dia berlari sejauh ini. Anggota polis di Putrapolitan selalu dimanjakan. Hal ini kerana kes-kes kecurian dan menyamun jarang sekali berlaku di bandar ini. Hampir 99% dari penduduknya adalah orang yang berkedudukan tinggi.

Prap! Muncul seorang lagi kelibat menggelecek dari celah kanan bangunan dan sekaligus membuat tendangan sudut ke penjenayah yang sedang dikejar Aidan. Seterusnya, kelibat manusia kedua itu menendang perut si penjenayah sehingga badannya terlambung ke dinding bangunan pejabat pos yang berwarna biru.

Tergamam seketika Aidan melihat kejadian tersebut. Siapa pula yang nak tunjuk hero mencatas penjenayah yang sepatutnya tumpas di tangannya?

“Hoi!” sergah Aidan. Dia yang tercungap-cungap berlari mula memerlahankan langkah dan mendekati kelibat yang telah berjaya menumpaskan penjenayah tadi.

Kelibat itu mula menampakkan keseluruhan bentuk fizikalnya setelah terkena limpahan lampu jalan yang kian malap. Lagak gayanya seperti ninja dan wajahnya pula berhijab. Pakaiannya serba hitam dan disarungkan jubah kembang yang kelihatan seakan-akan kain pelayang apabila terbang ditolak angin kasar.

“Kau siapa? Kenapa tendang dia?” soal Aidan tidak puas hati. Wajahnya merah disimbah amarah. Sebagai seorang pegawai polis yang berpangkat sarjan, dia terasa tercabar!

Melalui gerak mata yang dipamerkan manusia di sebalik hijab misteri itu, matanya kelihatan tersenyum. Ada muslihat yang ingin dimainkannya. Aidan berprasangka buruk. Manusia zaman kini mahukan imbalan di atas segala pertolongan yang dihulurkan. Tiada lagi manusia berhati mulia wujud di era ini.

Kelibat itu hanya berdiam. Membiarkan Aidan mendekatinya.

“Kenapa diam?” Aidan masih tidak berputus asa bertanya. Pistol elektronnya dikeluarkan. Manakala anak matanya sempat mengerling ke arah penjenayah yang sudah terjelepok tidak sedarkan diri di tanah.

Kelibat misteri itu mula membuka kuda-kuda seni mempertahankan diri. Bersedia untuk bertempur dengan Aidan jikalau pistol elektron itu ditekan picunya.

Aidan pantas mengangkat kaki kirinya untuk menujah wajah kelibat itu. Namun belum sempat kakinya dipanjangkan, kelibat itu dengan pantas melompat dan menendang tulang belakang Aidan. Seluruh tubuh Aidan terasa kejang dan lumpuh seketika. Dia terjelepok ke tanah dan mengalami nasib yang sama seperti penjenayah tadi.

Kelibat itu memalingkan badan Aidan dari meniarap. Bebola mata si kelibat berhijab yang berwarna perang itu menjadi tumpuan Aidan walaupun pandangannya masih berpinar-pinar.

“Ingat namaku. Juliet,” bicara kelibat itu dengan lembut walaupun terselit sedikit ketegasan pada nadanya. Alunan suara tersebut bergema di telinga Aidan sehinggalah dia perlahan-lahan terlelap di dalam kesakitan yang dialami.

***

“Id… Id…”

Nelissa menepuk lengan Aidan. Sudah hampir seharian Aidan tidak sedarkan diri. Suaminya itu telah dijumpai pengsan di belakang bangunan pejabat pos Putrapolitan bersama seorang lagi lelaki yang tidak dikenali.

“Id… bangunlah. Awak dah sehari tidur macam ni. Saya risaulah,” bisik Nelissa ke telinga Aidan. Dahi suaminya diurut-urut. Kemudian dikucup lembut.

Nelissa kembali duduk di kerusinya. Melepaskan keluhan berat. Bibirnya diketap kuat. Bimbang jikalau Aidan tidak sedarkan dirinya langsung walhal doktor ada mengatakan kepadanya tadi yang keadaan Aidan tidaklah begitu serius.

“Nely…” Suara serak Aidan mula berbicara.

“Id! Awak dah jaga!” Nelissa bingkas bangun dari kerusinya dan memanggil doktor yang bertugas.

Setelah Aidan diperiksa, doktor dan jururawat meninggalkan mereka berdua bersendirian. Aidan didudukkan dan diberi minum serta makan oleh Nelissa. Wajahnya yang pucat lesi semasa pengsan tadi perlahan-lahan berubah menjadi merah dan bertenaga.

“Awak nak makan apa-apa lagi?” soal Nelissa sambil mengerling ke arah bakul buah-buahan yang berada di atas meja tepi katil.

Aidan menggeleng. Dia melebarkan senyumannya sambil menggengam erat telapak tangan Nelissa.

“Awak mesti risaukan?” tanyanya prihatin.

Nelissa mencebik. Matanya dijelingkan. “Mestilah! Sebab tu saya tak suka awak jadi polis. Kalau awak tak sedarkan diri langsung tadi macam mana?”

Aidan ketawa kecil. Rungutan Nelissa hanyalah kicauan burung di telinga. Dia sudah biasa dengan teguran Nelissa seperti itu sejak hampir setahun menjadi isterinya.

“Nely, kalau awak nak tahu… jadi polis kat Putrapolitanlah yang paling tak bahaya tau. Kat sini mana ada jenayah. Semua orang baik-baik. Kecualilah…” Aidan terdiam dan menelan air liurnya. Dia tahu Nelissa pasti tidak akan menyukai bicaranya tentang hal itu.

“Kecualilah mereka orang luar Putrapolitan? Saya dah agak awak akan cakap macam tu. Saya masih kurang setuju! Awak pun tahu yang saya berasal dari daerah luar Putrapolitan.” Nelissa menyambung kata-kata Aidan dengan nada yang tidak puas hati. Sudah berkali-kali mereka berbincang tentang hal ini. Fahaman politik yang berbeza di antara dia dan suaminya itu selalu menjadi masalah. Sedangkan mereka saling mencintai antara satu sama lain.

“Awak berbeza.” Aidan menguis hidung Nelissa.

“Kerajaan Putra sepatutnya lebih ketat dalam melaksanakan sistem segregasi ni. Orang berkedudukan tidak boleh hidup dengan mereka berdarjat rendah. Bila rakyat daerah luar mulai masuk ke Putrapolitan, mereka akan membuat kacau. Contohnya macam apa yang terjadi semalam. Orang tua pun nak dirompaknya. Lepas tu entah siapa-siapa dari mana entah dia datang, tiba-tiba saja serang saya. Cuba kalau saya betul-betul tak sedarkan diri tadi. Macam mana?” sambung Aidan panjang lebar.

Nelissa terdiam. Dia tahu bicara Aidan ada benarnya. Namun bandar-bandar lain yang diluar lingkaran Putrapolitan juga adalah sebahagian dari daerah negara Putra. Mengapa mereka dilayan seperti rakyat asing? Kemudahan serta pembangunan juga tidak dijalankan secara menyeluruh. Seluruh harta dan kemewahan negara dicurahkan ke Putrapolitan selaku bandar utama negara Putra. Manakala rakyat di daerah lain hidup melarat dan nasib mereka tidak dibela!

“Saya masih tak bersetuju. Bukan sebab saya berasal dari Ixora Putra, tetapi disebabkan tindakan pemerintah yang tidak adil. Oleh sebab itulah daerah lain memberontak. Kita tak boleh terus-terusan membezakan serta memisahkan setiap daerah mengikut darjat dan kekayaan semata-mata. Maafkan saya,” tingkah Nelissa. Dia bangun dari kerusi yang didudukinya dan mulai menapak ke pintu kamar.

Aidan pula hanya mampu mengeluh. Segala hal mengenai Nelissa adalah yang terbaik dan tidak dapat ditemuinya pada mana-mana gadis di Putrapolitan yang dianggapnya murah dan tiada maruah diri lagi. Namun hanya satu hal ini sajalah yang sentiasa membuatkan dia kurang senang dengan sikap Nelissa. Kadang-kadang Aidan kehilangan kata-kata dalam bertingkah soal politik bersama Nelissa. Ternyata isterinya itu bukan saja seorang isteri yang pandai menguruskan hal rumah tangga tetapi bijak juga dalam melontarkan ideanya.

***

Tepukan bergemuruh dari dalam La Galleria saat persembahan akrobatik hologram mengenai pusat membeli belah ini mula ditayangkan. Aidan seperti biasa bertugas sebagai pengawal peribadi Datuk Megat Shahbudin, Datuk Bandar Putrapolitan yang juga selaku perasmi La Galleria pada hari ini.

Pusat membeli belah yang terbesar di negara Putra ini merupakan hasil ilham ahli perniagaan terkenal, Puan Sri Zalea dan anaknya, Audra. Ia telah menelan belanja sebanyak 5 billion Ringgit Putra (RP 5 billion) dan siap setelah hampir dua tahun pembinaan. 90% hasil binaannya pula daripada kaca yang membuatkan ia 100% tembus pandang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang menjadi tumpuan penduduk bandar Putrapolitan.

Aidan dan beberapa orang anggota polis berkawal di sekeliling pentas utama. Semenjak kejadian yang menimpanya hampir tiga hari lalu, kesemua pengawal serta anggota polis diberi peringatan untuk berjaga-jaga. Takut-takut keselamatan yang telah mereka genggam hampir sepuluh tahun ini tergugat. Ada juga ura-ura mengatakan bahawa pengintip dari daerah Ixora Putra sudah menyusup ke Putrapolitan tanpa mereka sedar. Pengintip-pengintip ini bercadang untuk menumpaskan pemerintahan totalitarian Putra yang mereka kecam sebagai tidak adil.

“Sebagai Datuk Bandar Putrapolitan, saya amat berbangga dengan usaha dan kejayaan yang telah ditonjolkan Puan Sri Zalea dan anaknya, Cik Audra Izani,” ucap Datuk Megat Shahbudin sambil sempat mengerling ke arah Puan Sri Zalea.

Mereka berdua berbalas senyuman namun tidak pula pada Audra Izani yang mula meronyokkan wajah. Datuk Bandar itu ada hati pada ibunya! Oleh sebab itulah projek yang menelan belanja berbillion ini lulus dengan mudah tanpa kerenah birokrasi.

“Dengan itu… saya selaku Datuk Bandar Putrapolitan merasmikan La Galleria!”

Datuk Megat Shahbudin menekan butang pen yang memantulkan laser merah daripada hujung matanya. Tujahan laser itu mengenai bongkah ais kecil yang diletakkan di tengah bumbung yang berbentuk kubah. Perlahan-lahan bongkah ais itu mencair dan pantulan hologramyang membentuk perkataan La Galleria mulai terkeluar darinya. Seraya pengunjung di dalam pusat membeli belah tersebut memberi tepukan gemuruh. Teruja melihat kecanggihan serta gimik yang dipamerkan pada hari pelancaran pusat membeli belah ini.

Puan Sri Zalea, Audra Izani dan Datuk Megat Shahbudin mulai turun dari pentas. Mereka bersalaman dengan ahli-ahli korporat serta golongan aristokrat yang dijemput menghadiri majlis pelancaran ini. Aidan mengiringi mereka bertiga. Pada saat itu juga beberapa anggota polis di arah berkawal di pintu hadapan La Galleria.

Puff! Suatu letupan kecil dari kubah bangunan membeli belah ini meletus secara tiba-tiba. Pengunjung mulai panik. Beberapa botol gas yang melemaskanpula dicampak ke lantai.

Aidan mendongak ke atas. Kelihatan lima orang lelaki yang berpakaian ala ninja yang berhijab mulai terjun ke lantai menggunakan tali halus berwarna putih dari pelbagai arah. Salah seorang darinya memakai jubah hitam seperti kelibat yang dilihat Aidan tiga hari lalu.

Ketiga-ketiga orang ahli kehormat yang di bawah jagaan Aidan dibawa keluar dari La Galleria dengan pantas. Manakala pengunjung lain mulai lari bertempiaran keluar. Ada yang sesak nafas dan ada juga yang mengambil keputusan untuk menyorok di celah-celah dinding kaca yang tembus pandang itu kerana terlalu takut untuk bergerak.

Aidan melepaskan tembakan dari pistol elektronnya ke arah ninja yang berjubah itu. Tenaga elektrik yang keluar dari muncung pistol itu tersasar lalu mengenai dinding kaca bangunan La Galleria.

Ninja berjubah itu mengibaskan kain pelayangnya sehingga mengenai wajah Aidan. Lalu dada Aidan ditolaknya ke belakang sehingga tubuh Aidan tersandar ke dinding. Ninja tersebut seterusnya berlari ke arah pintu utama dan mula mengejar tetamu kehormat yang dikawal oleh beberapa anggota polis untuk masuk ke dalam kenderaan mereka.

Namun Aidan bertindak pantas dengan merentap kain pelayang ninja berjubah itu sehingga tubuhnya terlentang ke lantai. Pistol elektron diacu dahi ninja durjana itu.

Matanya si ninja tersenyum. Dia bertempur tanpa sebarang senjata di tangan. Walhal Aidan serta anggota polis lain mempunyai kelengkapan senjata moden lagi unik yang dengan mudah mampu menumpaskan mereka. Sungguhpun begitu mereka masih gagal!

“Juliet?” tutur Aidan perlahan. Dia tidak jadi untuk menekan picu pistolnya. Namun leher ninja yang disangka seorang lelaki ini dicekik.

“Kau perempuan kan?” soal Aidan lagi. Dia tidak berpuas hati.

Pemilik mata yang berwarna perang ini hanya mengerdipkan matanya tanda mengiyakan persoalan Aidan.

“Kenapa serang kami? Apa yang kau orang nak?” tengking Aidan. Pistol kembali diacu ke dahi namun dia tidak berhajat untuk menembak. Baginya wanita adalah insan yang lemah. Mana mungkin dia menyakiti seorang wanita walaupun wanita itu bertindak untuk mencederakannya.

Juliet menatap tepat ke mata Aidan. Ada terselit sedikit hiba pada pandangannya terhadap anggota polis itu. Aidan juga tidak lepas dari memandang bebola mata perang milik Juliet. Dia terpaku seketika.

“Aduh!” Aidan mengerang kesakitan. Tangannya dipulas Juliet. Lalu badannya ditepis ke tepi.

Juliet bersama empat lagi lelaki yang berhijab itu melemparkan beberapa biji bebola metalik yang melepaskan asap tebal menyelubungi seluruh bangunan La Galleria. Lalu mereka berlima melompat ke kubah bangunan dan terus menghilang diri dari pandangan.

***

Datuk Megat Shahbudin menepuk meja deras. Dia malu dengan apa yang terjadi. Sebegitu banyak anggota polis yang datang berkawal, namun tiada satupun yang berjaya menangkap penceroboh di La Galleria pagi tadi.

“Kamu semua ni perlukan lebih banyak latihan! Selalu saja dimanjakan. Sekarang bila ada masalah yang melibatkan nyawa saya, Puan Sri Zalea dan Audra… nampak sangat kredibiliti polis-polis Putapolitan makin merosot!” tengking Datuk Megat Shahbudin yang sempat mengerling pada Puan Sri Zalea. Wanita berusaia akhir 40an itu hanya menunduk memandang meja.

Aidan menelan air liurnya perit. Kesakitan akibat tangannya dipulas sebentar tadi pun masih terasa. Ditambah lagi dengan hamun Datuk Megat Shahbudin. Dia terasa terhina.

“Datuk, saya berjanji yang kami akan mencari siapa pelakunya,” balas Aidan perlahan.

“Ya. Saya memang nak kamu semua cari siapa penceroboh tadi dan tangkap mereka hidup-hidup! Dan satu lagi… saya kecewa dengan kamu Aidan!” tutur Datuk Megat Shahbudin sambil memalingkan wajahnya ke tepi. Amarahnya yang membuak-buak membuatkan dia langsung tidak mampu menatap wajah anggota polis yang menjadi kebanggaannya ini.

Aidan memejamkan mata. Dia juga memekakkan telinga. Teguran Datuk Megat Shahbudin memakan isi dalam hatinya.

Datuk Megat bangun dari kerusinya dan berlalu keluar dari bilik operasi Putra Polis bersama Puan Sri Zalea dan Audra. Sejurus itu, Aidan mengumpul anggota-anggota polis yang lain dan mereka bermesyuarat di dalam bilik operasi tersebut.

“Saya nak semua rakaman-rakaman kamera litar tertutup di La Galleria diperiksa. Kemudian laporannya hendaklah diberikan kepada saya pada hari Isnin nanti!” tegas Aidan. Kesemua anggota polis yang masih muda belia itu ditatapnya dengan tajam. Mereka tidak boleh lagi diberi muka.

***

Nellisa meletakkan dulang besi berisi air kopi dan dua keping donut berbentuk tiga segi ke atas meja. Dia menatap wajah Aidan yang murung. Tidak mahu berbicara langsung dengannya sejak pulang dari rumah sebentar tadi.

“Biar saya tengok tangan awak tu…” Tangan Nelissa menghulur ke arah Aidan. Namun Aidan tetap berdiam dan menarik tangannya erat ke dada.

Nurse tadi dah balut elok-elok tak?” Nelissa berkerut. Dia risau dengan sikap endah tak endah Aidan kepadanya. Hatinya terasa tidak tenang.

“Tak payahlah. Awak tak payah susah-susah tengokkan tangan saya ni. Doktor dan nurse-nurse tadi letakkan ubat. Sejam dua lagi eloklah dia.” Aidan menjeling. Hatinya masih lagi pedih dengan insiden tiga hari lepas. Pertengkaran mereka mengenai suasana politik Putrapolitan.

“Baiklah. Kalau macam tu saya nak minta izin awak. Saya nak keluar sekejap malam ni. Jumpa Pak Cik Harris,” tutur Nelissa dalam nada kesal. Dia tidak senang diperlakukan begini.

“Keluarlah… tapi make sure balik sebelum Isyak. Saya tak nak makan malam seorang.”

Nelissa menguntum senyuman. Dia tahu Aidan tidak betah tanpanya. Harap-harap cinta Aidan kekal seperti ini selalu. Walaupun badai bakal melanda di antara mereka pada masa akan datang.

***

Setelah Nelissa keluar dari rumah, Aidan mengambil masa untuk melelapkan mata. Dia penat dengan hambatan masalah yang menghurunginya. Datuk Megat Shahbudin mahukan yang terbaik. Manakala prestasi dia dan pasukan anggota polis Putrapolitan pula hanya diparas suam-suam kuku. Mungkin Datuk Megat benar, pasukan polis Putrapolitan perlukan latihan baru. Mereka harus jadi sehebat lima orang penceroboh ninja pagi tadi.

Tak semena-mena ingatan Aidan beralih kepada Juliet. Gadis bermata perang. Entah bagaimana rupanya. Cantik ataupun biasa-biasa saja? Hijab yang mengabui sebahagian wajah Juliet membuatkan minda Aidan sering tertanya-tanya.

Astaghfirullah! Aidan menggeleng-geleng. Ingatannya terhadap Juliet membuatkannya terlupa akan Nelissa. Aidan yakin yang isterinya jauh lebih cantik dari Juliet. Mengapa harus dibezakan mereka berdua? Dia mencintai Nelissa dan bukannya… Juliet!

Alat komunikasi yang dipanggil Beeper itu bergetar di pinggang Aidan. Ia kemudiannya ditarik keluar dan diamati skrin tembus pandangnya.

“Panggilan dari pejabat Putra Polis?” Aidan tergaru-garu kepala. Informasi yang dia mahukan itu sudah mereka dapati? Pantas sungguh!

Aidan bergegas ke pejabat Putra Polis tanpa memaklumkan kepada Nelissa terlebih dahulu. Sesampainya dia di sana, kelihatan beberapa orang anggota polis serta bos besar, General Haizren sedang melihat skrin besar di bilik operasi. Mereka tersentak melihat kehadiran Aidan yang tercungap-cungap masuk ke dalam bilik tersebut tanpa memberi salam.

“Aidan?” tegur General Haizren. Dia mematikan layar skrin yang menjadi tontonan mereka sebentar tadi.

“Tuan, maafkan saya sebab tak sedar ada panggilan dari pejabat tadi. Ada apa hal? Kita dah dapat kesan identiti kesemua penceroboh tadi ke?” soal Aidan lugu.

General Haizren mendekati Aidan dan menepuk-nepuk bahu protégé yang dia banggakan ini. Sarjan Aidan adalah seorang yang berdedikasi terhadap kerjayanya. Dia tidak mahu berita yang bakal diberitahunya nanti bakal memberi kesan buruk kepada prestasi kerja Aidan pada masa akan datang.

“Saya nak awak tengok video ni betul-betul. Kemudian nyatakan kepada saya sama ada awak mengenali atau tidak mereka-mereka ini,” ujar General Haizren.

Rakaman kamera litar tertutup dimainkan. Kelihatan empat orang lelaki yang tidak dikenali sedang serius berdiskusi di dalam tandas awam. Mereka kemudiannya menyarungkan pakaian ninja dan menghijabkan wajah mereka.

Aidan menggeleng-geleng. Dia langsung tidak mengenali keempat-empat lelaki itu. Lalu General Haizren menyuruh salah seorang anggota polis yang bertugas di layar skrin memainkan sebuah lagi rakaman.

Rakaman yang kedua ini memperlihatkan seorang wanita dari sudut pandangan atas. Wanita itu bertocang tinggi dan memakai jubah yang berbentuk pelayang. Aidan jadi tidak keruan untuk melihat wajah wanita tersebut. Dia yakin ini adalah Juliet. Namun begitu, wanita ini masih lagi menunduk. Dia memakai sarung kepala dan rambutnya yang panjang berjurai tadi diikat menjadi sanggul.

Saat hijab wajah ingin disarungkan, wanita itu mendongak. Dia tersenyum pada kamera litar tertutup yang sedang merakam wajahnya. Lalu sejenis penyembur berwarna dikeluarkan dari beg sandangnya dan disemburkan ke cermin kamera tersebut. Dengan itu, layar skrin berubah menjadi hitam.

Aidan tersentak. Dadanya berdegup kencang. Tak semena-mena tangannya berpeluh. Dia bakal pitam tidak lama lagi. Wanita itu… tidak mungkin wanita itu Juliet!

***

Aidan dan beberapa anggota polis yang bertugas pada malam itu bergegas ke kediaman Datuk Megat Shahbudin. Daripada laporan yang mereka terima, rumah Datuk Bandar Putrapolitan telah diceroboh.

Pasukan Putra Polis mengepung halaman banglo empat tingkat milik Datuk Megat. Manakala Aidan serta beberapa orang pegawai polis yang terpilih menyusup masuk ke dalam ruang tamu rumah. Mereka seterusnya mengorak langkah terus ke pejabat Datuk Megat Shahbudin yang terletak di tingkat paling atas banglo ini.

Pintu pejabat tersebut ditendang kuat. Aidan bersama lima orang anggota polis masuk ke dalam ruangan itu dalam keadaan berjaga-jaga. Kelihatan Datuk Megat sedang duduk di meja kerja dengan lehernya dicangkuk kuat oleh lengan ninja berjubah yang diyakini Juliet oleh Aidan.

Sign kertas tu cepat!” tengking Juliet apabila menyedari yang ruangan pejabat itu telah dikepung. Tiga orang ninja yang berpakaian hampir sama dengannya berkawal di hadapan Datuk Bandar. Mereka bertiga menghunus pedang samurai ke arah Aidan dan lima orang anggota polis yang lain.

Aidan merengus kencang. Datuk Megat Shahbudin terpaksa menurut kata Juliet dengan mula menandatangani kertas perjanjian yang tidak diketahui apa isinya. Setelah kertas itu selesai ditandatangani, Juliet dan tiga orang ninja lain mula menyerang Aidan dan anggota polis yang lain. Pertempuran ini kelihatan berat sebelah. Dua orang ninja berhijab telah berjaya ditumpaskan dengan hanya satu tembakan pistol elektron milik Aidan.

Kini hanya tinggal Juliet dan seorang lagi ninja yang masih kuat mempertahankan diri. Juliet dan ninja itu mula membuka kuda-kuda seni mempertahankan diri mereka. Aidan diajak bertempur. Namun lelaki itu memilih untuk setia dengan pistol elektronnya. Sedas tembakan disasar ke dada ninja berhijab yang melindungi Juliet. Ninja itu rebah. Manakala Juliet pula kelihatan panik.

Wanita itu mula mendekati jendela yang terbuka luas di sebelah kanan ruangan pejabat. Aidan menghirup nafas dalam-dalam. Tangannya yang berisi pistol diacukan ke arah dada Juliet.

“Lebih baik awak menyerah saja, Juliet. Dah tak ada jalan keluar. Dalam kiraan tiga, saya akan lepaskan tembakan terhadap awak!” ugut Aidan.

Juliet sudah bersedia untuk melompat turun ke bawah dengan mengangkat kaki kanannya ke jeriji jendela. Surat yang telah ditandatangani Datuk Bandar dikeluarkan dari dalam jubahnya lalu dilayangkan ke muka Aidan.

“Satu…” Aidan sudah mulai mengira. Hatinya berat dengan keputusan gila yang bakal dilakukannya ini. Ia bakal merenggut nyawa Juliet. Dia juga tahu ketinggian dari tingkat atas banglo ini sangat merbahaya. Jarang sekali manusia bisa mendarat dengan baik kecualilah dia seorang yang terlatih.

“Dua…” Jari telunjuk Aidan berada pada picu pistol elektronnya. Manakala Juliet pula sudah mengangkat kaki kirinya naik ke atas jeriji. Dia sudah bersedia untuk terjun turun dari banglo ini lagak seorang pelakon stuntyang berpengalaman.

“Tiga!” Pom! Picu pistol elektron ditekan. Renjatan elektrik yang beribu kilowatt itu mengenai lengan Juliet. Akibat renjatan tersebut, Juliet terjun dari jendela tingkat atas ini tanpa kerelaannya.

Aidan bergegas lari ke arah jendela tersebut sambil menjenguk ke bawah bangunan. Lantai bertar di sekeliling halaman rumah Datuk Megat kelihatan kosong. Kelibat wanita itu tiada! Mana mungkin dia pergi? Sekali lagi Aidan terasa bagai nak pitam!

***

Ibu jari kanan Aidan ditekan ke sensor pengesan yang berada di sebelah kiri pintu rumah. Selang beberapa saat bunyi ‘beep’ dan lampu hijau menyala berulang kali. Aidan menolak pintu rumahnya lemah. Hatinya melayang entah ke mana. Hanya jasad saja yang membawa roh yang semakin tidak bernyawa ini.

Dia menjenguk ke dapur. Tercari-cari kelibat Nelissa. Namun begitu, pencariannya bertemu hampa. Nelissa tiada. Nelissa entah hilang ke mana. Aidan mengeluh lalu mengatur langkah ke sofa yang berhadapan dengan balkoni.

Permandangan bandar Putrapolitan yang pesat membangun itu langsung tidak menarik perhatiannya. Minda Aidan masih tersekat pada rakaman video litar tertutup yang memaparkan wajah Juliet.

Juliet. Rambut hitamnya yang panjang mengurai. Bebola matanya pula berwarna perang. Manakala tingkahnya lincah hingga mampu membuatkan Aidan terkalahkan. Ah! Aidan jadi tidak tentu arah. Wajahnya ditekur rapat. Air mata mulai merembes keluar mengenai pipi.

“Id…”

Aidan mengangkat wajahnya. Bahunya terasa dicuit. Lalu dia mendongakkan kepala.

“Nely?” soal Aidan. Matanya terbuntang melihat wajah Nelissa yang jelita walaupun sedikit pucat dari kebiasaan.

“Id dah lama balik?” Nelissa berusaha untuk tersenyum. Dia kemudian berjalan kehadapan Aidan.

Aidan menelan air liurnya dalam dan bingkas bangun dari sofa yang diduduki. Dia seterusnya menatap tepat ke mata Nelissa. Kedua-dua lengan Nelissa dicengkam kuat.

“Ah!” Nelissa mengerang kesakitan. Dia menarik lengan kirinya menjauhi tangan Aidan. Lengan itu digosok-gosok kuat.

Aidan memejamkan mata. “Juliet. Kenapa awak tipu saya?” soal Aidan tanpa berselindung lagi.

Nelissa berpaling dari tubuh Aidan. Bibirnya diketap rapat.

“Maafkan saya, Id. Saya lebih cintakan Ixora Putra dari awak.”

Aidan menghela nafas berat. “Kalau macam tu, lebih baik awak pulang ke Ixora Putra dan lupakan saya.”

“Tapi saya…” Nelissa berkalih memandang Aidan semula. Air matanya mulai bergenang di kolam mata.

“Lupakan saya kerana saya juga mencintai Putrapolitan lebih dari saya mencintai awak, Nelissa,” putus Aidan.

GLOSSARI

Segregasi – pengasingan antara satu kelompok dengan kelompok yang lainnya

Elektron – Isi bahagian atom yang bercas negatif

aristokrat – kaum bangsawan

hologram – imej fotografi tiga dimensi yang terbentuk oleh alur laser

birokrasi – cara pentadbiran yang banyak melibatkan peringkat dan peraturan

totalitarian – berkaitan dengan sistem pemerintahan yang dikuasai oleh seorang atau satu parti sahaja dan kewujudan parti-parti pembangkang lain tidak dibenarkan

Jikalau minat karya ini, like dan comment serta berikan pendapat anda untuk saya memperbaiki hasil tulisan. Ada sambungan serta background story disebalik karya ini. Cerpen ini juga adalah karya percubaan saya untuk menjebakkan diri ke genre lain selain cinta romantik.

#karya #variasi #Juliet

Thank you...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaida Ilmuna Ismail