Home Cerpen Seram/Misteri Gamelan - sebuah karya eksentrik seram
Gamelan - sebuah karya eksentrik seram
A. Darwisy
17/4/2013 16:41:32
10,932
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang

Kampung Kiai Samodro, 1957

Malam itu Dian resah tidak senang duduk. Bukan dia mahu membuat onar tetapi galau di hatinya semakin menjadi-jadi. Berkidung-kidunglah dia seorang diri cuba menenteramkan sukma. Tabuh kayu yang berbalut kain merah pada hujungnya, dicapainya lembut. Lalu cembul-cembul bonang di hadapannya, dipalu satu demi satu menghasilkan bunyi-bunyian yang halus lagi indah. Larut genderang jiwanya di dalam alunan gamelan yang membuai-buai. Dian memejamkan kelopak matanya rapat-rapat sambil tangannya penuh gemalai mencipta rentak yang asyik sekali.

“Berhenti!” Tegur satu suara keras menggoncang semangat Dian. Terasa rohnya berdesur masuk ke jasad. Tabuh di tangan, terlepas dari genggaman. Serta-merta tampangnya memucat. Dian memaku pandang ke arah sesusuk tubuh yang entah bila masanya sudah ada di muka pintu.

“Hisy, kau rupanya! Kenapa tidak kau beri salam terlebih dahulu?” Dian menghela nafas lega. Jantungnya bagai mahu luruh tadi.

“Maaf kalau kehadiran aku yang tiba-tiba ini menakutkan kau. Terdengar bunyi gamelan, dan aku tahu sudah tentu kau yang memainkannya. Jadi, aku ke mari.” Dian mengutip semula tabuh yang tercampak tidak jauh darinya dan kemudian menyambung semula melagukan malam itu dengan mainan bonangnya. Kartika bersimpuh duduk di sebelah sahabatnya itu, memerhatikan betapa kemasnya gerakan tangan Dian memukul bonang. Bonang yang ditempa dari perunggu, logam campuran tembaga dan timah putih.

“Apa tujuan kau ke mari, Kartika?”

“Aku runsing, Dian. Kakang aku tetap mahu meneruskan perkahwinan ini. Sedangkan dia tahu pantang-larang kita di sini,” luah Kartika, memuntahkan gundah yang menakung lelah. Dian menghentikan gerak tangannya serta-merta. Dia juga sama seperti Kartika. Hidup mereka dilingkari adat dan budaya, jangan sekali-kali cuba melanggar batasnya.

“Dara juga sudah tidak makan nasihat, Kartika. Barangkali dia sudah mabuk kasmaran sama kakang kau. Kata-kata aku dijirusnya ke daun keladi. Malam akad nikah Dara Puspita dan Budi akan berlangsung tiga malam lagi. Aku asyik tidak sedap hati saja kebelakangan ini.” Dian mengadu nasib. Sejenak, suasana menjadi hening, sepi sekali. Dara Puspita adalah kakak Dian manakala Budi pula abang kepada Kartika. Mereka mahu menikah pada hari Khamis ini di mana pada malam itulah, Kampung Kiai Samodro gempar dengan kematian Murni.

“Maaf aku bertanya... almarhumah mbakyu Murni meninggal dunia kerana terkena buatan orang, ya?” bisik Kartika perlahan. Sebelum ini, dia hanya mendengar kata-kata dari mulut-mulut orang kampung yang mengkhabarkan Murni menemui ajal akibat dibusung orang yang menaruh rasa hasad terhadap perempuan malang itu. Selebihnya, dia tidak tahu apa-apa.

Dian tidak segera menjawab. Hatinya luluh apabila mahu mengingatkan semula kejadian setahun yang lalu. Dian lebih rapat dengan Murni berbanding Dara. Murni dan Dara bagaikan langit dengan bumi. Murni perilakunya lemah lembut, sopan santun dan tidak pernah sekali bicaranya menyakitkan hati. Bahkan, paras rupanya menawan sekali. Murni adalah kakak sulungnya selepas Dara Puspita. Mereka cuma tiga beradik di dalam keluarga meski hakikat sebenar, Murni datangnya dari rahim perempuan yang berbeza. Ayah Dian dan Dara berkahwin dua.

Mengikut pantang-larang masyarakat Jawa di situ, ditegah untuk mengadakan sebarang kenduri mahupun keraian pada hari dimana jatuh pada hari keluarga terdekat meninggal dunia. Apatah lagi majlis walimah. Dikhuatiri malapetaka akan datang menimpa, turun dari petala. Tetapi Dara tidak peduli. Bukan kerana dia tidak percaya akan larangan turun-temurun itu tetapi dia tidak menganggap Murni itu saudara terdekatnya. Malah Dara membenci Murni.

“Hanya Tuhan yang punya jawapan, Kartika...” Dian tidak mahu melanjutkan bual. Sudahlah pundaknya berat dek memikirkan akan tingkah si kakak yang degil, ini ditanya pula tentang orang yang cukup dekat di hatinya. Dia sangat menyayangi Murni meski mereka berlainan ibu.

“Kau fikir angkara siapa?” Kartika masih tidak berputus asa cuba mencangkuk umpan. Dia tidak akan berpuas hati selagi tidak mendengar dari mulut Dian sendiri. Dian yang tidur sebantal, secadar dan segebar dengan Murni, pastinya tahu serba-serbi.

“Aku mohon jangan kau ungkit perkara ini lagi. Kasihanilah aku, Kartika...” Kartika diterjah rasa bersalah. Tidak sepatutnya dia bertanyakan soalan-soalan yang mampu mencalarkan perasaan Dian. Kartika lekas-lekas meminta maaf.

Kedua-dua sahabat itu berdakap, saling meminjam semangat. Baru Dian hendak memainkan gamelannya, terdengar suara jeritan dari kamar sebelah. Kartika mencapai pergelangan tangan Dian lalu mereka berdua bergegas bangkit menuju ke sana. Kamar Dara Puspita, bakal isteri Budi Hartono. Terbeliak mata Dian dan Kartika apabila menyaksikan tingkah aneh Dara yang cuba mencederakan dirinya sendiri.

“Dian, tolong aku! Tolong aku!” Pekik Dara meminta tolong sebaik saja dia menyedari kelibat adik perempuannya sudah tercegat berdiri di hadapan pintu. Dian yang terpempan dengan apa yang dilihatnya, terpasung kakinya tidak bergerak. Begitu juga dengan Kartika. Mereka melihat telapak tangan kiri Dara berlumuran dengan darah merah. Sementara tangan kanan Dara yang sedang memegang cucuk sanggul, terus-menerus menikam telapak tangan kirinya. Baik Dian mahupun Kartika, tercengang-cengang kehairanan. Sudah hilang kewarasankah Dara?

“Tolong aku, Dian! Ada sesuatu yang mengawal pergerakan tangan aku. Bukan aku! Bukan aku!” Dara yang bongkak, berlidah tajam lagi mata pedang akhirnya meletakkan egonya di tapak kaki. Perempuan itu menangis-nangis ketakutan. Dia sendiri tidak faham dengan apa yang terjadi. Ibarat ada kuasa lain yang sedang mengawal pergerakan tubuhnya.

Dian maju ke hadapan, mulutnya berbisik-bisik mengungkapkan sesuatu. Bagai sedang berbicara langsung dengan seseorang. Kartika merinding bulu romanya. Pertama kali dia melihat Dian yang lagaknya seperti seorang dukun. Tidak beberapa lama kemudian, cucuk sanggul yang dipegang kuat oleh Dara akhirnya jatuh ke bawah. Berlari Dian mendapatkan Dara yang sudah longlai tubuhnya, hampir-hampir saja mahu rebah. Kartika pula segera merawat luka tusukan cucuk sanggul di telapak tangan kiri bakal kakak iparnya itu.

“Aku nampak dia, Dian! Aku nampak dia!” Dara sudah meracau-racau. Cepat-cepat Dian memujuk. Dia tidak mahu rahsia keluarganya diketahui Kartika yang kebetulan bermalam di rumah mereka pada malam itu. Sekali lagi Dian bergerak-gerak bibirnya dan Dara Puspita akhirnya terkatup kelopak mata. Kartika semakin berasa aneh dengan kehandalan Dian mengubat. Dari mana Dian mempelajarinya?

Serentak itu juga, bunyi gamelan kedengaran dari kamar Dian. Rentak angker yang menyeramkan. Kartika untuk sekalian kalinya, meremang bulu roma. Tetapi Dian lagaknya biasa-biasa saja. Malah sempat lagi menggarisi wajahnya dengan senyuman. Kartika mulai tidak sedap hati.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.