Home Cerpen Seram/Misteri ADIT - Watak PEMBANTU DARI NERAKA
ADIT - Watak PEMBANTU DARI NERAKA
Noorfadzillah Omar
11/10/2016 15:07:57
8,645
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri


“SUNGGUH kejam! Beraninya mereka menjatuhkan hukuman ke atas Mbah Tun demikian rupa. Di mana hati nurani mereka hingga sanggup mengambil nyawa nenek pada Mayang? Bunda yang mendengarnya juga dapat rasai kesengsaraan hidup Mayang Sari saat ini,” luah Bunda Anisa sebaik sahaja melabuhkan punggung di serambi rumah itu.

Ustaz Rakhmad pula melepaskan lelah dengan bersila santai di atas tikar mengkuang itu begitu tenang dengan biji-biji tasbihnya. Sementara Adit yang hanya mendengar perbualan itu masih terkejut dengan apa yang disaksikannya malam itu.

Depan matanya sendiri dia menjadi saksi pembunuhan kejam dilakukan ke atas Mbah Tun dengan membakarnya hidup-hidup.

'Semua ini fitnah yang disebarkan oleh Yantika! Isteri kepala desa itu.'

Pengebumian Mbah Tun baru sahaja disempurnakan mereka dan beberapa warga kampung yang berasa bertanggungjawab atas kewajipan fardu kifayah itu. Selebihnya pula langsung tidak berasa dan simpati atas apa yang terjadi. Malah berlaku pertengkaran lagi bila jenazah almarhum tidak mahu dikuburkan sekali di tanah perkuburan kampung itu. Akhirnya ia dikuburkan di belakang rumah, tengah hutan kediaman Mayang Sari.

Adit ikut bergabung duduk bersila dengan kedua orang tuanya sebaik saja minuman dihidangkan oleh pembantu rumah itu. Fikirannya sarat memikirkan keadaan Mayang Sari yang hilang selepas pengebumian Mbah Tun tadi.

Kopiah sentiasa terlekap setia pada kepalanya itu ditanggalkan. Rambutnya diraup dengan tangan ke belakang. Melontarkan pandangan ke segenap ceruk pesantren milik keluarganya sejak sekian lama. Pesantren milik orang tuanya tidak lekang dengan pelbagai pengajian agama. Ada yang datang dari serantau asia hanya untuk berdiskusi tentang permasalahan ilmu agama islam dan duniawi.

“Benar kata bunda. Dulu semasa ibunya Mayang, Bunda Rahayu juga dianiaya sekembalinya balik dari rumah Yantika. Mbah Tun seorang pengamal perubatan kampung tahu kalau anaknya telah diracun. Tapi tiada siapa yang sudi tegakkan kebenaran. Bila bapa juga cuba bawa hal ini ke muka pengadilan pula dilawan dengan sogokkan wang oleh isteri kepala desa itu. Sekarang nenek Mayang pula dibakar dan bunuh tapi dianggap tiada bukti. Adit sanggup jadi saksinya, bunda..bapa. Kepala desa kita benar-benar dayus.” Adit melepaskan kemarahannya.

“Sabar, Adit. Kita semua masih terkejut dan marah. Tapi tiada yang mampu dilakukan. Sekarang ini hanya Mayang yang perlu kita bantu,” ujar Ustaz Rakhmad.

Menggeleng Bunda Anisa mendengarnya. Cawan diangkat dan teguk melegakan rengkungan menikmati teh manis. “Benar kata bapamu, Adit. Mayang yang harus diselamatkan.”

“Yantika tidak sepatutnya menganiaya keluarga madunya sebegitu. Apa salah Rahayu dan Mbah Tun,” tutur Ustaz Rakhmad.

“Kalau sudah jodoh Yantika harus bermadu dengan Rahayu dia harus terima. Bukan menyakiti mereka. Setahu bunda ni, Rahayu tidak pernah minta macam-macam pada suaminya itu.”

“Kasihan Mayang, bunda. Dia sangat tertekan dengan kematian neneknya. Kita harus menolong Mayang,” ujar Adit. Dia ingin sekali mencari Mayang Sari yang mungkin larut dalam kesedihannya.

“Mayang itu bagaikan kakak kamu juga, Adit. Bunda ingin Mayang Sari tinggal saja dengan kita. Bunda juga tidak ada anak perempuan. Kamu juga tidak mempunyai saudara kandung lain dan Mayang boleh menjadi selayak kakakmu,” ujar Bunda Anisa sentiasa berpenampilan muslimah.

“Kakak?” Adit tidak selesa dengan tanggapan bundanya.

“Mayang Sari itukan lebih tua dari kamu usianya. Pantaslah (Sesuailah) dianggap kakak juga,” balas Ustaz Rakhmad.

“Tapi bunda.. err..” Kalau saja dia mampu ungkapkan kasihnya buat Mayang Sari selayak kekasih hati.

Tiba-tiba muncul pembantu pesantren mereka mahu bercakap sesuatu padanya.

“Sebentar ya, bunda,.. bapa.” Adit turun dari serambi rumah itu lalu berjalan turun ke bawah.

“Ada apa ni?” soalnya.

“Ada yang mahu ketemu (bertemu) sama Mas Adit” beritahu Budi

“Siapa?”

“Mayang.. cucu penyihir tu?”

“Astagfirulhalazim. Jangan sebarang ngomong (main cakap) kamu. Berdosa!”

Tertunduk diam pembantu pesantren itu. “Ma.. maaf.”

“Mayang ada di mana?”

“Tempat biasa.”

“Kita pergi sekarang.”

Budi, pembantu pesantren sentiasa menemaninya kalau dia mahu bertemu gadis itu agar tidak terjebak dengan racun fitnah. Kalau bercakap soal fitnah ia bagaikan satu gelombang badai meranapkan sisi kehidupan seseorang. Itulah sebabnya dosa fitnah itu lebih besar daripada membunuh seseorang.

Bila bercakap tempat biasa dia dan Mayang saling bertemu terus langkahnya laju menapak ke tebing sungai tidak jauh dari kediaman itu. Selalunya sebahagian orang kampung akan ke sungai itu untuk mencuci pakaian dan mandi-manda.

Sampai di sana sahaja Mayang berdiri-diri resah menantinya sedang menyeka air mata di pipinya.

“Kamu, kenapa Mayang?” Dia tidak mampu memanggil gadis itu dengan gelaran kakak atau pertalian ke arah demikian. Jujurnya, Adit menyukai Mayang walau usia mereka berbeza beberapa tahun.

“Aku sudah tidak tahan Adit. Aku akan pergi dari kampung ini. Aku sudah tiada sesiapa di sini,” luahnya dengan tangisan mengalir laju.

“Sabar Mayang. Orang yang sabar itu disayang Allah.”

“Disayang Allah? Mana kasih sayang Allah itu, Adit? Mana? Adilkah kami diperlaku begini. Ibu dan nenek rela tinggal di dalam hutan kerana fitnahnya isteri kepala desa itu. Tapi semakin kami mengikut kata-kata mereka semakin kami dipijak-pijak maruah dan nyawa jadi mainan mereka.”

“Mayang..aku tahu kalau keluargamu sentiasa mendapat ancaman oleh isteri kepala desa. Cemburu buta Bu Yantika itu keterlaluan sehingga ke tahap membunuh. Orang kampung ini juga tertipu dengan fitnah tentang Mbah Tun. Tapi aku mohon kamu terus tidak berputus asa untuk memohon kepada Allah Ta'ala.”

Budi berdeham-deham. “Mas Adit, nanti ada yang liat (lihat) kita.”

“Sebentar saja.” Adit menjeling kepada Budi.

“Dengar sini Mayang, kami juga sedih atas pemergian ibumu, Mayang. Dan bunda juga sudah rencanakan (rancangkan) untuk membawa Mayang tinggal di pesantren. Kamu mampu menjadi putri pesantren di kampung ini. Berbakti kepada kampung ini akan mengangkat darjatmu.”

Mayang tersenyum sinis. “Puteri pesantren? Aku? Tidak mungkin.”

“Dengarlah kata-kataku, Mayang.”

“Untuk apa aku berbaik dan berbakti kepada orang kampung yang membunuh ibu dan nenekku! Terutamanya si perempuan iblis, Yantika! Supaya mereka boleh jadikan nyawa aku sebagai boneka lagi?”

“Jangan bajai rasa marah di hatimu Mayang kelak ia akan menjadi racun. Itu hasutan syiatan!”

“Adit.. Kau dan Budi menjadi saksi pada saat ini. Akanku balas setiap perbuatan mereka. Setiap orang di kampung ini, Adit. Mereka semua akan mendapat pembalasan yang setimpal.”

“Istighfar Mayang! Kamu punya agamakan? Kenapa harus ikut hasutan iblis!”

“Untuk apa? Dan kenapa?”

Adit menarik nafas dalam-dalam. “Aku menyukaimu Mayang.”

“Suka?” berkerut dahinya lalu tergelak lucu mendengarnya.

“Iya aku tahu kau lebih berusia daripadaku. Tapi cinta ini begitu tulus dan murni untuk dirimu. Aku tahu terlalu muda dan polos untuk mengatakannya kepadamu tapi percayalah niatku baik.”

Mayang Sari tertawa mendengarnya. Seolah luahan tulus dirinya satu lelucon.

“Kau salah orang Adit. Hatiku sudah terlalu sakit dan luka yang amat dalam untuk menerima kasih sayang orang lain. Cinta itu tiada dalam kamus hidupku. Aku akan pergi dari sini dan mencari sesuatu yang mampu mengisi cita-cita dan pembalasan diri ini.”

“Mayang.. dengar kataku. Tempatmu terbuka luas di pesantren. Dan aku akan membimbingmu. Jangan sesekali termakan hasutan syaitan. Dendam itu hanya akan mengheretmu ke tebing neraka.”

“Tebing neraka? Kau tahu aku akan menjadi puteri kegelapan yang menyeru pembantu-pembantu neraka dari segenap alam. Akan kuabadikan diri untuk membalas dendam atas apa yang mereka lakukan ke atas ibu dan nenekku. Mungkin inilah detik terakhir kita bertemu, Adit. Mungkin selepas ini Mayang Sari itu sudah mati dari atas bumi ini. Mayang Sari akan berubah menjadi seorang yang sangat jauh dari sisi kehidupan manusia sebaik-baiknya.”

“Mengucap yang banyak Mayang.”

“Kau tahu aku terfikir ilmu putih Tuhanmu tidak mampu membawaku lebih jauh. Dan aku adalah puteri kegelapan didampingi pembantu neraka yang hebat. Mbah Tun pernah bilang padaku, pada ratusan tahun dulu ada satu manusia dari neraka yang paling kejam menyeksa orang-orang kita. Dia adalah Qundari.”

“Qundari? Aku tidak faham. Siapa dia?”

“Kita akan bertemu satu hari nanti tapi bukan sebagai Mayang Sari.”

Mayang Sari menyeka kasar air matanya lalu beredar dari situ.

“Mayang!” Adit mengejarnya namun suara seseorang yang memanggil-manggilnya dari ceruk belukar itu.

Muncul bapanya, Ustaz Rakhmad dan seorang pembantu pesantren juga mendapatkannya.

“Kenapa bapa?” soalnya.

“Mana Mayang?”

“Adit baru mahu mengejarnya.” Bila dia ingin berbuat demikian Ustaz Rakhmad menghalangnya.

“Ni bapa mahu beritahu kamu. Rumah Mayang di tengah hutan habis dibakar oleh orang kampung. Bapa risaukan keselamatannya.”

Adit menghela nafas panjang. “Adit risau kalau Mayang buat sesuatu yang jauh lebih buruk. Dia bukan lagi sepertinya dulu.”

“Kita mesti mencarinya terlebih dahulu sebelum orang kampung menemuinya. Bapa risau Mayang diapa-apakan.”

Mereka berjalan di sepanjang tebing sungai itu tetapi tiba-tiba sahaja ada runtuhan tanah lumpur yang datangnya dari arah hadapan. Mereka semua tidak jadi maju ke hadapan. Hatinya terus diancam gelisah.


**


BILA melihat tempat tinggal Mayang Sari rentung tiada yang tersisa lagi, hatinya sebak. Adit hanya mampu menelan kepahitan dan kekecewaan bila terpaksa menerima hakikat kehilangan Mayang Sari. Ke mana sahaja gadis itu meneruskan liku-liku kehidupan. Hari kian senja dan dirinya ditemani oleh Budi, pembantu pesantren itu.

“Mas Adit, hari sudah senja. Nanti Pak Ustaz liat (lihat) kita tidak kembali lagi. Tiada sebab untuk kita tunggu di sini lagi.” Budi memujuknya balik.

“Kamu baliklah. Tapi aku masih ingin di sini. Siapa tahu Mayang akan kembali ke sini.”

“Waduh Mas Adit. Mayang sudah pergi jauh dari sini. Tadi sudah dibilangnya (dikatakan).”

Remang-remang senja kian memekat di kaki langit. Tengah hutan itu semakin dirancak dengan kehadiran unggas dan margasatwa. Dari ekor matanya dia seolah melihat kelibat demi kelibat dengan sepasang mata berdarah sedang memerhati mereka dari semak belukar.

Budi juga merasai aura yang menyelubungi mereka saat itu lain benar rasanya. Lelaki itu mulai merapati Adit.

“Kita bukan sendiri di sini.” Adit menghidu kehadiran aktiviti mistik.

“Kita balik, yuk!” Budi ketakutan.

“Zikirlah Budi. Kau tidak akan takut kalau hatimu penuh dengan kalimah-kalimah Allah.”

“Ini bukan masanya. Kita harus pergi sekarang.” Budi mendesak.

“Sudah terlambat.”

Budi terpenpam. “Mak.. maksudnya?”

“Mereka sudah di sekeliling kita.”

Pembantu pesantren itu melihat sekeliling mereka hanya kegelapan dalam hutan dilatari pesta bunyi unggas dan cengkerik.

Me.. mereka itu siapa?” Budi kebingungan.

“Lebih baik kau tidak usah tahu kalau belum bersedia.”

Allahu wujudullah dzatullah sifatullah sirrullah kunfayakun”. Sebanyak tiga kali dibacanya dalam satu tarikan nafas.

Kali pertama percubaannya dia tidak melihat sebarang entiti. Lalu sekali lagi dia mencuba tunjuk ajar yang pernah dibimbing oleh bapanya. Memejam mata untuk memberikan tumpuan yang sangat dalam dan keyakinan tingkat tinggi. Doa pembuka mata batin itu dilafaz dengan niat yang benar.

Adit tidak membuka matanya, telinganya menangkap desir bunyi aneh. Bunyi menderam bercampur suara seakan sesak nafas yang sangat panjang. Lalu perlahan mencelik kelopak mata dan melihat kehadiran makhluk neraka di hadapan mata.

Hampir sahaja Adit terundur-undur lemah semangat seandainya tidak melihat kedatangan Ustaz Rakhmad bersembunyi di sebalik belukar hutan itu. Menyirap darahnya melihat kewujudan empat siluman itu.

Ada empat makhluk bertubuh besar, berbulu, kepala botak, sepasang cuping telinga tirus tajam, bersoket mata merah dan gigi bergerigi tajam. Air liur menitis mengalir menerusi celah gigi hitam tajam. Bertingkah pelik memandang ke arahnya.

“Berani kau datang ke wilayah kami!” Salah satu siluman lebih besar saiznya bersuara.

Adit membalas pandangan bapanya dari sebalik belukar itu memberi isyarat angguk. Budi pula terus menggesel-gesel kakinya menahan ketakutan.

“Aku hanya datang ke sini untuk mencari temanku.”

Dengus berbaur marah dari makhluk itu menentang marah. “Mayang Sari?”

“Kau melihatnya?” Bohonglah kalau dia tidak gentar berhadapan dengan makhluk neraka itu.

“Mayang Sari sudah lama pergi jauh dari sini. Dan bersiaplah bila dia akan menjadi penguasa alam hitam yang kami tunggu. Kau sudah terlambat untuk mencarinya.”

“Di mana dia?”

Gelak sinis saling berbalas antara makhluk siluman itu.

“Kau perlukan dia? Mayang Sari perlukan kau juga, anak muda. Tapi sebelum itu kau harus tinggalkan kepercayaanmu dulu dan menyertai kami. Kau sayangkan Mayang Sari bukan? Pilihlah antara kehidupan keras ini atau Mayang Sari.” Makhluk-makhluk itu memasang perangkap.

“Jangan berdiplomasi denganku cara begini.” Adit menegaskannya.

Tiba-tiba bagaikan ada sorakan kera dari segenap hutan itu mencabarnya. Budi di sebelahnya pula semakin tertoleh-toleh dan menempel pada sisi tubuhnya.

“Ini antara aku dengan Mayang Sari bukan seluruh alam buana ini.”

Gelak sinis makhluk-makhluk itu bagaikan merangka sesuatu dalam diam. Tiba-tiba suara-suara mantera dari makhluk itu bagaikan memanggil sesuatu. Dari rekah tanah itu, menjadi terkuak sedikit. Melintuk liuk asap-asap keluar dari rekahan tanah itu sehingga ia membentuk imej wanita. Semakin tebal asap itu lalu ia menjadi jelas terbentuklah jasad wanita mengiurkan.

Adit berjalan menghampiri imej itu dan ternyata wajah putih gebu yang sangat rupawan itu bukan orang lain.

“Ma.. Mayang Sari?”

Hati lelakinya benar-benar merindui gadis itu. Terpaut dengan bentuk tubuh dan lenggok manja Mayang Sari bila bersalut pakaian Jawa umpama Ratu Laut.

“Adit, kalau kau sayang padaku. Turutkan segala kemahuanku,” tutur penuh menggoda dari jelmaan Mayang Sari.

Makhluk-makhluk durjana itu meleret senyum lebar. Bila kecantikan gadis dicintai mulai merayu kepada pemangsanya hanya iman kental sahaja menyelamatkannya.

Adit terpersona. Langkahnya sudah mengorak dekat kepada jelmaan Mayang Sari. Walhal ia hanya tipu daya makhluk-makhluk durjana agar akidahnya terjual, imannya dijerut. Maka nafsu lelakinya mampu menenggelamkan segala kebaikan diri.

Tiba-tiba kerinduan dan rasa cinta dirasakannya tidak mampu lagi dibendung hampir sahaja memeluk jelmaan Mayang Sari. Melihat Adit hilang pertimbangan diri, Ustaz Rakhmad keluar dari belukar itu.

Al laknuka bilaknatillah!” (Maksudnya : Laknatlah engkau dengan laknat daripada Allah.)

Membaca ayat-ayat suci Al Quran lalu melemparkan biji-biji tasbih ke arah sekumpulan makhluk-makhluk durjana. Dengan sekali tempik sahaja semuanya hilang ditelan angin dan kegelapan malam. Seolah semboyan ditiup bagaikan pelesit bersembunyi dalam sarang kejahatan.

Adit tersedar. Tertoleh-toleh. Lalu mendapatkan bapanya.

“Kamu tidak apa-apa Adit?”

“Hampir saja tadi.” Dia masih keliru

Ustaz Rakhmad mengeluh. “Bapa sudah kata jangan lagi ke sini. Ini perginya waktu senja begini. Kalau bapa tidak datang tadi ke sini, kamu sudah masuk ke dalam perangkap makhluk durjana itu. Jangan kerana nafsu kelak kamu binasa. Sia-sia kamu belajar ilmu agama kalau sampai tergoda dengan hasutannya. Adit, dunia yang kamu tempuh ni penuh dengan tipu daya dan sandiwaranya.”

“Adit minta maaf.”

“Jangan sama bapa.. tapi Allah Ta'ala.”

“Besok kita akan mencari Mayang. Bapa juga tidak mahu sampai dia tergelincir akidahnya.”

Adit tersenyum tipis. Sebelum mereka berangkat balik, bapanya mendapatkan semula biji-biji tasbih di atas tanah.

Saat itulah dia melihat ada banyak pasang mata halus sedang memerhati mereka. Satu bisikan halus menerjah ke cuping telinga Ustaz Rakhmad.

'Selagi kiamat belum bangkit, akan kusesatkan keturunan anak cucu Adam dan Hawa. Hari ini kau menang, kemudian hari kau semua akan terseret ke neraka!'


NOTA : Lalu apakah yang berlaku ke atas Adit, Mayang Sari dan dendam iblis tiada penghujungnya itu? Kalau ingin tahu kisah lebih lanjut kena dapatkan novel PEMBANTU DARI NERAKA.

Watak Adit adalah salah satu watak yang menyokong watak-watak utama cerita ini. Akan ada watak-watak seterusnya menjadi kesinambungan cerita.

Kisah Cerpen ini tidak ada dalam novel PEMBANTU DARI NERAKA. Sekadar membuat pembaca lebih teruja untuk tahu apa yang berlaku sebenarnya sebelum kemunculan Nyai Dewor Lampor.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.