Home Cerpen Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT
KISAH SERAM MALAM JUMAAT
S.Kausari
7/4/2016 14:50:08
15,478
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri


KISAH SERAM MALAM JUMAAT 2: KARAOKE

ANGIN malam bertiup sepoi-sepoi bahasa. Ada kala bulu roma terasa meremang disapa begitu dengan pokok-pokok yang menggalah tinggi tanpa lampu jalan. Hanya cahaya dari warung kayu beratap zink yang kelihatan di kawasan terceruk beberapa meter ke dalam dari jalan utama kampung. Kampung yang terkenal dengan kewujudan hutan puaka di seberang sungai. Hutan dengan kelompok rimbun pokok buluh itu sudah bertahun lamanya digelar Hutan Semambu Kuning. Hutan yang menyimpan pelbagai khazanah yang tidak tercemar. Pelbagai spesis flora, fauna dan makhluk ghaib yang tidak terjangkau dek pemikiran manusia.

Seperti biasa pada lewat malam, warung itu menjadi tumpuan peminat karaoke seperti Adli, Mael, Rashdan, Zamil dan Khai. Semua genre muzik mereka sapu termasuk dangdut, heavy metal, Melayu asli dan Inggeris.

“Mana Adli ni? Tadi beria ajak aku ke sini.” Omel Zamil.

“Kejap lagi sampailah tu.” Kata Mael sambil memetik gitar sementara menunggu korum cukup.

“Tak payah tunggulah. Kita jalan dulu.” Rashdan sudah tidak mampu bertahan. Tangannya terasa gatal ingin memegang mikrofon. Faring suara juga sudah terasa merenyam ingin melalak.

“Betul kata Rashdan tu. Kita jalan dululah.” Khai pun sudah mula hilang sabar.

“Alah, apalah salahnya tunggu. Kau pun bukan tak tahu perangai si Adli. Kalau dah bengang, mengungkit entah bila nak habis. Boleh berdarah telinga dibuatnya kau tau!” Kata Zamil.

“Macam hari tu. Dia tak nak lepaskan mic sebab kita dah jalan dulu. Dekat sepuluh lagu dia balun solo tak berhenti.” Jawab Rashdan.

“Haa… tahu pun kau! Kalau rasa tak nak bernanah telinga layan karok dia, baik kau tunggu.” Kata Zamil.

“Kalau tak dapat karok kat TV, aku guna gitar kau ajelah Mael. Akustik gitu.” Kata Khai.

“Gitar aku? Kau nak lagu apa?” Kata Mael sambil membetulkan posisi memegang gitar. Siap sedia ingin mengalunkan lagu yang diminta.

“Sudah Ku Tahu,” jawab Khai.

“Lagu tu? Eiii… meremang bulu roma aku!” kata Rashdan.

“Apasal pulak?” Khai tidak puas hati.

“Kau tak tengok video viral pasal lagu Smule tu?” Jawab Rashdan.

“Oh yang itu. Ah! Karut semuanya tu.” Mael buat muka selamba sambil memetik gitarnya dengan intro lagu Sudah Ku Tahu.

“Mengarut kebende? Memang dah sah lagu tu dia rekod dalam kereta. Siap dengan azan bagai. Suara dia kalut gila.” Rashdan tidak setuju.

Mael membetulkan tune gitarnya dengan gaya selamba. “Zaman ni orang senang je nak kelentong. Ada macam-macam cara. Itu semua kes nak viralkanlah tu. Nak popular.”

“Eleh… kau main cakap aje. Bukannya kau ada hujah pun nak mengatakan yang kau tu betul. Kan?” sindir Rashdan.

“Lantak kaulah nak cakap apa pun. Kau nak nyanyi ke tak ni bro? Dah berapa kali aku main intro lagu ni.” Mael mula hilang sabar dengan serangan Rashdan.

“Okey, okey. Aku dah ready ni.” Khai duduk di sebelah Mael.

Mael memetik gitar. Serta-merta angin sepoi menampar pipi mereka hingga roma di lengan dan tengkuk terasa meremang. Ada yang tergambar pada riak wajah mereka dan cara mereka saling berpandangan. Namun bagi Mael dia buat tak endah.

Baru saja Khai hendak buka mulut mengalunkan bait-bait baris pertama lagu itu, hasratnya terbantut. Adli muncul.

“Sorry, sorry. Aku terlambat sikit.” Adli nampak tidak bersemangat.

“Hish… kacau betullah kau ni. Aku dah set nak buat lengguk suara gaya Khai Bahar.” Khai berang.

“Eleh, Khai Bahar konon. Pitching kau pun selalu ke laut. Macam aku ni lainlah. Setakat Khai Bahar tu tak payahlah kau nak bangga sangat. Lagu dia pun aku tak pernah layan. Aku cukup pantang kalau orang samakan sesiapa dengan suara aku. Aku nak identiti sendiri. Ramai jugak follower aku.” Celah Zamil yang lama berdiam diri tadi.

Khai malas menjawab. Dia sudah masak dengan perangani Zamil.

“Kenapa dengan kau ni? Muka nampak pucat semacam ni?” tanya Mael.

“Aku tak berapa sihat.” Adli senyum tawar.

“Dah tahu tak sihat, berehatlah kat rumah.” Celah Zamil.

“Mana boleh. Tangan aku dah menggigil tak dapat pegang mic ni.” Kata Adli dengan gaya sedang memegang mikrofon.

“Huh… kalau dah hantu karok.” Zamil melirik mata.

“Woi! Choilah kau ni Zamil. Malam-malam macam ni jangan sebut perkataan tu, boleh tak?” Rashdan gosok bulu lengan.

“Perkataan apa? Hantu? Ops… sorry. Lepas ni aku janji takkan sebut lagi perkataan hantu. Kenapa? Kau takut hantu? Alamak, tersebutlah. Jangan risau, aku takkan sebut lagi perkataan hantu. Alamak aku dah tersebut hantu lagi. Hantu betul aku ni. Tak elok aku sebut hantu. Sebab aku tahu kau takut HANTU!” Zamil mengusik Rashdan yang dah terkebil-kebil macam ayam berak kapur.

Adli menampar belakang bahu Rashdan hingga rakannya itu terhantar sedikit ke depan. “Mana ada hantu malam-malam macam ni. Eh, ini malam Jumaat kan?” Adli tega mengusik Rashdan juga.

“Hish… korang ni memanglah! Ini yang buat aku rasa macam nak balik aje.” Rashdan mula gelisah.

“Rileklah bro! Jom kita mula karok. Eh mana remote dvd ni?” Mata Khai melingas melihat sekeliling. Rakan lain buat tak tahu. Masing-masing tidak berusaha menolong.

“Dah lama juga kita karok kat tempat ni kan?” kata Zamil.

“Hmm… dulu lagi ramai. Semenjak Jaafar kena buatan perempuan bunian kat hutan seberang tu, Jefri dengan Kamal pun dah tak nampak batang hidung diorang. Siapa nama perempuan tu?” Zamil membuka cerita.

“Nirmala,” jawab Khai sambil terus mencari alat kawalan DVD yang telah lesap entah ke mana.

“Kesian arwah. Balik karok terus terkenan dengan perempuan tu. Ramai juga pemuda kampung ni yang dah terkena.” Kata Zamil dengan nada kesal.

“Woi! Boleh tak jangan cerita benda macam ni. Eii… risau aku!” Rashdan terasa peluhnya mula merecik di balik baju.

Rakan-rakan lain buat tak endah.

“Aku rasa kampung kita ni pun dah femes kau tau. Hari tu ada wartawan majalah Mistiq datang nak tanya pasal hutan tu. Siapa nama dia? Abdul Manap kalau aku tak silap. Penulis novel seram pun ada jengah kampung kita ni. Nama dia aku tak ingat. Tapi dia dah ada dua novel. Kalau tak silap aku, Sumpahan Ophelia dengan Misteri Mimpi Liyana.” Khai berhenti mencari buat seketika.

“Apalah kau ni. Tajuk novel penulis tu kau ingat. Nama dia tak.” Zamil menggeleng.

“Alaah… penulis tak terkenal kot.” Khai terus tertinjau-tinjau di ceruk dalam warung.

“Lamanya kau cari. Takkan tak jumpa lagi. Tak payah guna remote lah. Tekan butang kat DVD tu je.” Rashdan mula terasa bosan menunggu.

“Masalahnya butang tu dah rosak. Entah tangan siapalah yang tekan macam gergasi. Sampai jem butang tu dibuatnya.” Rungut Khai.

Adli tidak banyak bercakap. Mungkin badannya terasa tidak selesa kerana kurang sihat.

“Kau memang tak percaya lagu Smule yang viral tu berhantu ke Mael?” tanya Rashdan. Dia masih belum puas hati dengan jawapan Mael.

“Yelah! Aku dengar macam bukan suara hantu pun.” Mael jawab selamba.

“Ooo… maksud kau kalau suara benda tu mesti macam mengilai macam che lang atau garau macam hantu kubur. Macam tu?” Tambah Rashdan.

“Yelah. Ini macam suara kawan dia yang dah mati. Kawan dia tu dulu memang suka karok lagu smule tu. Entah-entah dia dah siap rakam sebelum ni. Kita pulak senang-senang kena tipu.” Mael jawab dengan konfiden.

Zamil hanya senyum sinis. Melihat keadaan Zamil, Rashdan terus bertanya. “Apa pendapat kau Mil?”

“Entah, aku pun susah nak cakap. Tapi kalau dengar macam real.” Jawab Zamil sambil melihat Khai yang masih tak habis-habis mencari alat kawalan yang hilang entah ke mana.

“Kau Adli?”

Adli diam seketika sebelum menjawab. “Benda tu pantang dicabar. Kalau kau tunjuk terer, memang nak kena.”

Mael berpaling melihat Adli. Kemudian dia buat tak kisah. Seolah-olah terkesan dengan kata-kata itu tanpa menunjukkan reaksi sebegitu.

“Aku teringat satu kisah pasal karok ni.” Kata Rashdan.

“Aku pun ada cerita.” Sampuk Zamil.

“Aku pun.” Celah Khai. Kemudian dia sambung mencari benda yang hilang.

Mael tahu rakan-rakan yang lain cuba ingin mengubah persepsinya.

Nak psiko aku ler tu, bisik hatinya.

“Kau takde cerita Adli?” sindir Mael.

“Ada. Kalau kau nak, aku pun boleh cerita.” Adli menjawab tanpa ekspresi wajah.

“Siapa nak mulakan cerita dulu?” tanya Khai.

“Eh, yang kau sibuk buat apa? Pergi cari remote tu!” sergah Zamil.

“Ewah ewah… dahlah aku cari sorang-sorang. Korang semua buat dek je.” Khai bengang.

“Alaah… ini kan kedai kau dan keturunan kau. Kami pelanggan je.” Zamil ketawa mengejek.

Khai buat gaya mata ke atas dengan tangan ke bahu. Rashdan dan Zamil berderai dengan tawa.

“Akulah cerita dulu,” kata Rashdan.

[Nota penulis: Kisah-kisah tambahan ini akan disiarkan sepenuhnya dalam versi bercetak, jika berjaya diterbitkan kelak.]


SETELAH mendengar cerita rakan-rakannya, Mael masih tidak menunjukkan ekspresi teruja atau terkesan. Mungkin juga dia berjaya menyembunyikannya kerana ego yang menebal.

“Hah!” Khai menyergah mereka semua.

Rashdan yang berdarah gemuruh terkujat macam cicak terkena lastik.

“Dah jumpa pun,” Khai berdiri dengan gaya perwira yang berjaya menewaskan musuh dalam boss battle permainan komputer dan memegang harta karun dengan tangan yang diangkat tinggi.

“Kau ni! Buat aku terkejut je. Choi!” Kata Rashdan.

“Siapa nak mula dulu?” tanya Khai.

“Aku! ” Rashdan beria-ia.

Rakan lain tidak membantah, termasuk Adli.

Rashdan bangkit untuk memilih lagu pilihannya. Kemudian dia mencapai mikrofon sambil beraksi mengikut rentak intro lagu Sudah Ku Tahu yang ingin dinyanyikan Khai tadi.

“Woi! Potong trip lah kau ni. Aku yang nak nyanyi lagu tu dulu.” Khai bengang.

“Nasib ah!” Rashdan tidak peduli.

“Dan, cuba kau nyanyi lagu Alda Risma, Menanti Kekasih.” Usik Zamil. Dia menahan tawa.

“Mana ada lagu tu.” Dalih Rashdan.

“Aku boleh donlod kat internet kalau kau nak. Boleh guna USB.” Khai menangkis dalih Rashdan.

“Ah! Jangan nak mengada.” Rashdan kembali ambil mood untuk lagu yang akan dia nyanyikan.

Zamil dan Khai ketawa. Mael tersengih. Adli senyum nipis.

“Seringkali…” Baru selesai bait pertama, lampu di warung terpadam. Begitu juga televisyen dan semua peralatan letrik.

“Adeeeh… choi betullah! Aku baru nak feeling jiwang.” Rashdan bengang.

Setelah beberapa lama, keadaan gelap gelita mula kelihatan samar-samar. Setelah anak mata masing-masing bertindak balas dengan membesar dan membenarkan lebih banyak cahaya masuk ke retina.

“Kau punya pasallah ni Adli. Lambat sangat sampai. Kan dah blackout. Kau tak bayar bil ke Khai?” Tuduh Zamil.

“Aku pulak. Entah-entah ada yang sabo ni. Geng Kiai Nordin kot yang tak suka kita buat aktiviti ni malam-malam.” Khai lepas geram.

“Eh, tak baik tuduh-tuduh tau. Entah-entah… ada benda kat sini yang tak suka kita karok malam Jumaat macam ni.” Mata Rashdan mula melingas melihat pokok-pokok yang kelihatan samar-samar dalam cahaya bulan.

“Nak buat apa sekarang?” tanya Adli.

“Buat apa lagi? Baliklah!” Khai mula bersiap sedia menutup warungnya.

“Eii… hampeh betullah malam ni. Aku nak layan karok pun tak sempat.” Rashdan bengang.

“Itulah kau. Nak sangat mula dulu. Kalau aku mula tadi, mesti tak blackout. Suara ori aku ni boleh tahan sedapnya. Sebab tu ramai follower.” Zamil buat gaya berlagak. Cara dia berseloroh ada kala menyebabkan yang lain terasa jengkel, tapi masing-masing malas ambil pusing.

“Ori ke? Macam Marilyn Manson je.” Usik Mael.

“Hish… aku cukup pantang betul kalau ada yang nak samakan suara aku dengan orang lain.” Zamil bengang.

“Rilek ah bro. Dah jom kita balik.” Khai selesai menutup warungnya.

“Hati-hati balik ni. Jangan lalu tepi sungai tempat Nirmala selalu lepak. Nanti…” Usik Zamil.

“Woi! Mulut tu boleh tak jangan cabul sangat!” tempelak Rashdan yang baru duduk di seat motosikalnya.

“Betul tu Mil. Aku takut si Rashdan ni terkencing kat seat motor dia. Tak pun tercirit nanti.” Tambah Khai.

Mereka berderai dengan tawa. Rashdan tahan geram dalam hati.

Mael terkial-kial membetul fon telinga di balik helmet.

“Kau buat apa Mael?” tanya Zamil.

“Aku nak Smule lah,” jawab Mael sambil membelek handphone.

“Nak Smule pun takkan sampai pakai helmet.” Khai tersengih melihat.

“Kalau pakai helmet, bunyi sedap sikit. Bass efek dia power.” Jawab Mael.

Zamil geleng. Khai mengekeh ketawa.

“Okey geng. Aku ciao dulu.” Kata Rashdan sambil mengangkat tangan dan dibalas oleh rakan yang lain.

Adli telah pun pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal. Dia hanya berjalan kaki kerana rumahnya tidak jauh dari situ.

Zamil dan Khai berlalu dengan kenderaan masing-masing membiarkan Mael masih terkial-kial mencari lagu untuk dinyanyikan. Sebenarnya Mael sengaja ingin membuktikan keberaniannya ber-smule dalam keadaan tengah malam seperti itu. Di samping ingin membuktikan video viral itu palsu dan hanya rekaan semata-mata.

Kalau lagu yang aku nyanyikan tak ada apa-apa gangguan pun, tak bermakna video viral tu palsu. Mungkin dia je yang kena. Aku tak. Hati Mael berceloteh, seolah-olah sebahagian dirinya percaya kebenaran video itu.

“Ah, lantaklah.” Bisik hatinya sebelum berlalu dari situ. Lagu Romancinta mula berkumandang di dalam telinganya dan dia mula menyanyi dengan penuh perasaan.

Selesai menyanyi, dia berhenti seketika untuk mendengar semula rakaman. Bunyi enjin motosikal yang dibawa dengan perlahan tidak mengganggu suara yang dirakamkan. Tiada apa-apa yang aneh pada lagu itu dan dia terus menyimpan dalam senarai lagu yang telah dia dendangkan selama dia mula membuka akaun Smule Sing! itu.

“Hehe… lagu berhantu konon. Pirah!” kata Mael dengan angkuh sebelum dia berlalu dari situ sambil bersiul.


Keesokan hari…

PAGI-PAGI lagi Mael sudah bergegas ke warung Khai. Di sana kelihatan beberapa orang tua sedang bersarapan. Zamil, Khai dan Rashdan sedang duduk di meja dengan perbincangan yang nampak hangat. Terus Mael menuju ke arah mereka dengan riak wajah kalut.

“Dah sampai pun kau. Baru aku nak telefon.” Kata Zamil.

“Kenapa dengan kau ni Mael? Muka macam ternampak hantu di siang hari.” Seloroh Khai dengan tersengih.

Rashdan menyepi seribu bahasa. Seolah-olah ada berita luar biasa yang mengunci ketat mulutnya.

“Wei, aku ada benda nak tunjuk pada korang.” Kata Mael sambil mengeluarkan handphone. Cara dia menekan objek itu seperti terlalu kelam-kabut.

“Apasal kau ni Mael?” Zamil turut terasa pelik melihat.

“Kau dengar ni.” Mael memasang speaker handphone pada tahap paling besar. Kedengaran lagu Romancinta yang dinyanyikan malam tadi. Beberapa pelanggan warung turut menoleh melihat mereka.

Rakan bertiga mengamati lagu itu.

“Kau dengar tak?” Muka Mael begitu teruja.

“Dengar apa?” tanya Khai.

“Dengar betul-betul.” Arah Mael.

“Macam… ada suara perempuan.” Kata Zamil.

Rashdan masih menyepi.

“Korang pun dengar kan?”

Rakan bertiga angguk.

Mael mula bercerita dari awal hingga akhir kejadian yang berlaku malam tadi.

“Bila aku bangun pagi tadi, aku cek komen pasal lagu ni. Ada yang tegur terdengar suara perempuan masa kat bahagian tengah lagu ni. Au tak percaya. Aku pun dengar balik. Memang sah ada. Padahal masa aku save tak ada pun suara ni. Dari mana datangnya?” Mael mengakhiri cerita.

“Sebenarnya… kami pun ada cerita nak beritahu kau ni.” Zamil memandang wajah Khai dan Rashdan silih berganti.

Mael terasa pelik melihat ketiga rakannya. Seolah-olah cerita yang disampaikan tadi tidak berkesan di hati mereka. Tiada ekspresi seram atau teruja yang tergambar.

“Apa dia?’ Mael terasa begitu aneh pagi itu.

“Pasal Adli,” kata Khai.

“Kenapa dengan Adli?”

“Dia accident malam tadi.” Rashdan akhirnya bersuara.

“Ai… rumah dekat dengan warung pun boleh accident. Pelik betul mamat tu.” Jawab Mael selamba.

“Bukan lepas jumpa kita semalam.” Kata Khai.

“Habis tu?”

“Sebelum jumpa kita lagi.” Tambah Rashdan.

“Hah?” Mael garu kepala yang tak gatal.

Zamil mengeluh sebelum memulakan bicara. “Sebenarnya dia accident masa balik dari bandar semalam. Keluarga dia semua ke hospital malam tadi. Tak ada sorang pun yang beritahu orang lain, termasuk kita.”

Mael tercengang.

“Dia ada di hospital sepanjang malam tadi. Dengan keluarga dia.” Sampuk Khai.

“Kalau macam tu, siapa yang ada dengan kita semalam?”

“Itulah masalahnya. Padanlah rupa dia lain macam. Bercakap pun tak banyak. Bukan macam selalu. Eii… seram aku.” Rashdan mula menjungkit bahu dan menggosok lengan.

“Pelik. Selama ni tak ada pulak kita kena kacau. Puas melalak sampai pagi buta.” Kata Mael.

“Agaknya sebab mulut kau lah. Kau beria-ia tak percaya semalam. Kerek sangat.” Selar Rashdan.

“Aku pulak.” Mael cuba mengelak.

“Kau ingat tak apa yang berlaku sebelum Adli muncul. Maksud aku… benda tu. Lepas tu apa yang dia kata semalam.” Rashdan cuba mengingatkan Mael.

Mael diam sebentar sambil memikirkan kejadian malam tadi. Akhirnya dia tersedar dan mengangguk.

“Lepas kau cakap pasal tu, baru benda tu datang kan?” Rashdan menguatkan hujahnya.

Warung sepi seketika selepas itu. Hanya kedengaran perbualan pelanggan lain di warung.

“Nak karok malam ni?” tanya Rashdan.

Tiga pasang mata terpacak ke wajahnya. Seperti ada pancaran laser yang menyelar lapisan kulitnya hingga terasa bera dan hangat.

SEKIAN



Nota penulis:

Ada empat kisah sampingan akan diselitkan dalam versi penuh nanti.

a) Rashdan – Karok Biar Sampai Mati!

b) Zamil – Kerana Langgar Pantang

c) Khai – Lagu Puaka

d) Adli – Prank Makan Tuan

Jangan ketinggalan untuk mendapatkannya jika telah ada di pasaran kelak. Peace! ^__^


CERPEN KISAH SERAM MALAM JUMAAT 1: TEKSI

HUTAN SEMAMBU KUNING

CERPEN BERSIRI INTERAKTIF MISTIQ


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.