DETIK 1 : BANGLO SIR HOWARD CLIFFTONS
RAYYAN berlari-lari anak
masuk ke ruangan yang dipanggil ofis mini untuk menguruskan hal-hal
berkenaan aktiviti paranormal mereka. Team paranormal yang ditubuhkan
sejak beberapa bulan yang lepas itu diberi nama “Detik Paranormal” dan
ia mula mendapat tempat di hati penonton di YouTube selepas mereka
memuatnaik beberapa teaser di laman itu.
“Guys!” Rayyan memanggil dan termengah-mengah. Cuba mengatur nafasnya.
“Kenapa ni?” tanya Azri selaku ketua team.
“Aku dapat call dari kawan lama aku tadi. Dia suggest tempat baik punya
untuk aktiviti paranormal kita nanti!” ujar Rayyan, ceria. Dia
mengangkat-angkat keningnya.
Mata rakan-rakannya terbuka luas.
Wah ini sudah bagus! Mereka memfokuskan pandangan pada Rayyan dan
berminat untuk tahu di mana lokasinya.
“Kat mana?” Aaron bertanya. Dia merenung jejaka melayu berdarah kacukan mat saleh itu tidak berkelip-kelip.
“Di banglo Inggeris lama.” Rayyan membalas.
“Berapa jam dari sini ke sana?” tanya Shah pula. Dia sudah teruja.
Rayyan menarik kerusi plastik dan melabuh duduk di atasnya. Selepas menarik dan menghela nafas beberapa kali, “Dalam 3 jam.”
“Banglo Inggeris lama, hmm…” Azri menggosok dagu.
“Apa nama banglo tu Ray?” Azri bertanya. Dia mahu mencari info tentang
banglo itu di Google. Jemarinya sudah bersedia di atas keyboard laptop.
“Sir Howard Clifftons Bungalow…”
Azri mengangguk dan menaip nama banglo itu di petak carian Google. Shah
dan Aaron duduk di sisi Azri untuk sama-sama melihat rupa banglo lama
itu. Perasaan teruja sudah menguasai diri masing-masing.
“Woah!” Shah dan Aaron berkata serentak. Rupa banglo itu terpampang jelas di skrin laptop di hadapan mereka.
“Memang creepy gila weh!” Shah tersengih lebar. Nampaknya episod pertama rancangan paranormal mereka ini bakal menjadi hit.
Aaron memeluk bahu Shah dan keduanya ketawa puas hati.
Azri merenung gambar-gambar yang terpampang di dalam laptop. Tidak
dinafikan, banglo Inggeris lama ini kelihatan menyeramkan dengan kawasan
sekitarnya yang tidak terjaga. Pasti banglo ini sudah berusia puluhan
tahun. Dia pantas mencari info seterusnya.
**Banglo Inggeris Sir
Howard Clifftons dibina pada tahun 1950. Tragedi berdarah berlaku pada
tahun 1960 iaitu sepuluh tahun selepas ia dibina. Ia dicatatkan sebagai
kes pembunuhan yang terburuk pada tahun itu apabila Sir Howard
Clifftons, isteri dan 4 orang anak mereka meninggal pada satu malam yang
sama. Mayat-mayat mereka dijumpai dalam keadaan tersandar ke dinding
banglo bersama sebilah pedang di dada masing-masing. Pembunuh mereka
kekal misteri sehingga ke hari ini.**
Berkerut muka Azri membacanya. Sungguh mengerikan!
“Boleh tahan rupa banglo ni. Meremang jugak aku menengoknya,” kata
Rayyan secara tiba-tiba. Memang terasa aura negatifnya apabila memandang
gambar banglo itu lama-lama.
“Bila kita nak start projek ni?” Aaron bertanya sambil membelek-belek kamera yang terletak di atas meja.
“Malam ni.” Azri memberi kata putus. Projek baik seperti ini tidak elok
ditangguh lama-lama. Dia bingkas bangun dan mengarahkan supaya
ahli-ahli team mengemas apa-apa yang patut.
“Siang-siang ni kita tinjau-tinjau dulu keadaan banglo tu,” ujarnya dengan muka serius. Yang lain mengangguk faham.
KERETA pacuan empat roda diberhentikan di hadapan banglo tersebut.
Empat sekawan itu berdiri sambil menghadap ke banglo. Ia banglo dua
tingkat dan bercat putih. Ciri-ciri Inggerisnya sangat terserlah kerana
bekas pemilik bangunan ini merupakan orang Inggeris. Walaupun ia cantik
tetapi tetap nampak menakutkan apabila senja melabuhkan tirainya.
Ditambah dengan sejarah hitamnya.
Bulu roma Shah, Aaron dan
Rayyan berdiri tegak. Belum apa-apa lagi mereka sudah berasa seriau.
Langitpun sudah bertukar jingga. Tidak lama lagi malam akan tiba.
“Jom masuk,” ajak Azri selepas kunci banglo dibuka. Mereka telah
mendapat keizinan dari penjaga banglo itu untuk menjalankan aktiviti
paranormal mereka sehingga subuh.
Tatkala kaki menjejak lantai
banglo, mereka semua terbatuk-batuk. Debu yang menghuni bangunan itu
berebut-rebut memasuki rongga pernafasan. Dari maklumat yang mereka
dapat dari penjaga banglo, sudah hampir dua puluh tahun rumah itu tidak
dibuka. Tiada siapa yang berani ke situ kerana ia dikatakan berpuaka.
Dalaman banglo sangat luas. Barangan perabot ditutup dengan kain putih.
Sawang labah-labah kelihatan di sana-sini. Apa yang paling menarik
minat Azri ialah tingkat atas. Tingkat di mana Sir Howard dan ahli
keluarganya mati dibunuh.
LANGIT sudah bertukar gelap. Jam sudah
menunjukkan pukul 8 malam. Beberapa static night vision camera telah
dipasang dan diletakkan di beberapa penjuru banglo. Kamera itu akan
merakam apa-apa aktiviti aneh yang berlaku di situ kelak. Shah dan Aaron
ditugaskan untuk memantau segala aktiviti yang akan dilakukan kelak. Ia
akan dilakukan di dalam salah satu bilik dalam banglo itu. Terletak di
tingkat bawah dan digunakan sebagai nerve centre.
Azri dan
Rayyan mengunci pintu utama banglo. Lampu yang dipasang menggunakan
bateri akhirnya dimatikan. Suasana dalam banglo itu serta-merta bertukar
gelap-gelita. Hanya nerve centre sahaja yang diterangi lampu.
Azri mengajak Rayyan ke tingkat atas terlebih dahulu kerana ia lokasi
terjadinya pembunuhan penuh tragis pada puluhan tahun yang lalu.
“Aku dengan Rayyan akan ke tingkat atas,” ujar Azri melalui walkie-talkie.
“Okey,” balas Shah dari nerve centre.
Semasa keduanya menaiki anak tangga untuk ke atas, ekor mata Rayyan
seolah-olah menangkap kelibat seseorang. Dia berhenti melangkah dan
menoleh ke kanan. Pandangannya sangat terbatas dan mereka hanya dibantu
dengan lampu dari kamera night vision mereka.
“Kenapa Ray?” soal Azri. Dia melihat rakannya itu bingung.
“Aku nampak someone kat atas tadi. Kau nampak tak?” Rayyan bertanya dengan suara separuh berbisik. Matanya melilau-lilau.
Azri segera menghalakan kameranya ke atas dan tiada apa-apa yang
dilihatnya di situ. Hanya kegelapan semata-mata. Dia mengajak Rayyan
menyambung langkah dan meneruskan penyiasatan di atas. Seketika
kemudian, suara Aaron kedengaran dari walkie-talkie.
“Kami nampak something tadi.”
“Nampak apa?” tanya Azri.
“Macam kelibat putih dekat tingkat atas.”
Rayyan memandang Azri. Dia menelan liur. Berdiri habis reromanya.
Selesai berkomunikasi dengan Aaron, keduanya mengatur langkah ke bilik
utama. Bilik Sir Howard dan isterinya pada satu ketika dahulu. Mereka
menolak pintu perlahan-lahan dan penuh hati-hati.
Rayyan menyentuh birai katil yang masih elok bercadar.
“Ri, cuba kau sentuh birai katil ni,” arahnya. Azri memegangnya seperti yang disuruh dan keningnya terangkat.
“Dingin kan?” tanya Rayyan inginkan kepastian.
Azri mengangguk. Dia pantas menghidupkan EVP iaitu Electronic Voice
Phenomenon untuk berkomunikasi dengan roh-roh yang ada di situ.
“Sir Howard Clifftons, are you here with us?” Azri memulakan perbualan.
Tiada apa-apa respons.
“Cuba dengar.” Rayyan memberi cadangan.
Azri memainkan semula rekod suara dan keduanya terkejut apabila ada suara seorang lelaki menjawab pertanyaannya sebentar tadi.
“Yes.”
Shah dan Aaron menekup mulut. EVP itu berjaya merakam suara si mati! Awesome!
“Who killed you and your family?” Azri bertanya lagi. Beberapa saat
selepas itu, suara lelaki yang sama kedengaran menjawab soalannya.
“Somebody.”
Okay, nampaknya mendiang juga tidak mengetahui siapa pembunuhnya dan ahli keluarganya yang lain.
Rayyan mengambil EVP dari tangan Azri dan gilirannya untuk bertanya.
“Are you happy to see us?”
BUNYI ketukan di pintu mengejutkan Shah dan Aaron. Pandangan keduanya
bertemu lama. Shah mengangkat walkie-talkie dan bertanya jika yang
sedang mengetuk pintu ialah Azri dan Rayyan. Jawapan mereka, bukan.
“Bukan dia orang.” Shah memberitahu Aaron.
Aaron menelan liur. Dia memberanikan diri untuk ke pintu. Dengan bacaan
bismillah, dia memulas tombol dan membuka pintu. Kegelapan pantas
menyapa matanya. Memang tiada sesiapapun di luar.
“Try snap
dengan kamera ni,” usul Shah lalu menyerahkan full spectrum still photo
camera kepada Aaron. Kamera itu digunakan untuk menangkap gambar
benda-benda yang tidak terlihat dengan pandangan mata kasar.
Aaron mengambilnya dan menghalakannya ke luar bilik. Semua imej bertukar
ungu. Dia menekan butang snap beberapa kali sebelum menutup pintu.
Selepas meneliti beberapa gambar yang disnap Aaron, akhirnya ada satu
gambar yang benar-benar membuatkan darah mereka berderau. Ada figura
seorang wanita Inggeris sedang berdiri di hadapan pintu bilik. Dia
sedang tersenyum lebar sambil memandang ke lensa kamera. Namun dia
seperti kabus.
Aaron dan Shah serentak merenung pintu.
SOALAN Rayyan tidak berjawab.
“Do you want us to get out from this place?” Rayyan mengubah soalannya. Sengaja memprovok.
“Get out…”
Akhirnya suara roh itu kedengaran lantang. Dia tidak sukakan kehadiran
team paranormal itu. Mereka telah menceroboh kediamannya.
Azri
dan Rayyan beralih ke bilik anak-anak mendiang pula. Khabarnya mendiang
mempunyai empat orang anak dan kesemuanya perempuan.
“Kau duduk
dalam bilik anak ketiga dan keempat, aku akan ke bilik anak pertama dan
kedua,” Azri memberi arahan. Rayyan mengangguk lalu berlalu ke bilik
yang diarahkan.
MATA Shah dan Aaron terbeliak apabila ternampak
sesuatu dalam komputer. Ketika Rayyan melangkah masuk ke dalam bilik
yang dipenuhi anak patung, ada bayang putih sedang berdiri di satu
penjuru. Seolah-olah sedang memerhatikan Rayyan.
“Ray, aku dengan
Shah nampak bayang putih dekat sudut penuh anak patung tu. Cuba kau
berkomunikasi.” Aaron memberi arahan melalui walkie-talkie.
Rayyan mengangguk. Dia mengeluarkan Ovilus III dari kocek seluarnya dan
berjalan ke penjuru yang dikatakan Aaron. Ovilus III ini ialah alat
komunikasi dengan roh melalui perkataan. Perkataan-perkataan itu dipilih
oleh roh-roh sebagai jawapan dan ia terhasil dari tenaga mereka.
“What is your name?” Dia mula menyoal.
[EMILY]
Okay, memang benar. Anak bongsu mendiang bernama Emily Grace.
“Can I touch your dolls?” tanyanya lagi. Tangannya menyentuh anak patung perempuan yang ada di situ.
[PLAY]
[WITH]
[ME]
Rayyan pantas berpaling ke belakang apabila dia merasakan hujung
bajunya ditarik-tarik. Kemudian, bunyi tawa anak-anak kecil bergema
mengetuk gegendang telinganya. Jantungnya bagaikan mahu gugur.
AZRI duduk di rocking chair yang terletak di dalam bilik itu. Ini bilik
anak sulung dan anak kedua mendiang Sir Howard. Dia memegang EVP.
“Hello…” ucapnya.
Tiada respons.
“Are you here, Amanda?” tanya Azri. Amanda ialah nama anak sulung mendiang Sir Howard Clifftons.
Bunyi menjerit membuatkan Azri terbangun dari duduk. Dia cemas.
“Who was that?” Dia menyoal. Tubuhnya mulai berpeluh.
Jeritan kali kedua memaksa Azri keluar dari bilik itu. Dia juga berasa
pening dan loya secara tiba-tiba. Dia berlari mencari Rayyan. Dia mahu
membawa rakannya ke nerve centre di tingkat bawah.
“Ray!” panggilnya.
Rayyan yang sedang berkomunikasi dengan Emily terus menjenguk di muka
pintu. Dilihatnya Azri sedang berdiri di koridor sambil menekan-nekan
perut.
“Ya ALLAH, kenapa ni Ri?” soalnya cemas. Muka Azri berpeluh-peluh. Dia menahan dirinya dari muntah.
SKRIN komputer direnung lama. Shah, Aaron dan Rayyan tekun meneliti
setiap aktiviti yang berlaku di situ. Manakala Azri pula tersandar di
kerusi dengan muka pucat. Dia sudah tidak tahan. Semakin lama di situ,
semakin sakit dirasakan.
Jam juga sudah menunjukkan pukul 5 pagi.
Mungkin sudah sampai masa untuk mereka keluar dari situ. Simpati dengan
keadaan ketua mereka, akhirnya mereka menamatkan penyiasatan mereka di
banglo tersebut. Semua alat dikemas dan dimasukkan ke dalam kereta
pacuan empat roda yang diparkir di luar.
EVP didekatkan ke telinga. Azri menekan butang replay dan suara seorang gadis begitu jelas kedengaran.
“I hate you…”