Home Cerpen Seram/Misteri Geng Paranormal Kampung Rebung
Geng Paranormal Kampung Rebung
Zhar Aruzi Hairi
6/1/2017 12:55:48
4,592
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Sebuah kereta proton saga lama berwarna merah menyusuri lorong kampung dengan bunyi enjin yang tersangkut-sangkut. Pemandu yang berkupiah putih menguatkan bunyi radio yang mengumandangkan lagu-lagu dari corong radio klasik FM. Bunyi yang seiring dengan bunyi kereta itu boleh didengar hingga ke rumah-rumah jiran di sepanjang laluan. Berdendang dendang lelaki tua itu mendengarkan lagu nyanyian S.M Salim.

“Assalamualaikum..senang hati nampak Pak Yob" Salleh yang berselisih dengan basikalnya menegur.

“Waalaikumsalam, senang hati la, …Anak aku balik!” Balas Pak Yob.

“Anak yang mana?”

“Asmawi!" jawab Pak Yob sebelum keretanya memecut menusuri jalan kampung.

“Balik jugak kau Mawi!” Salleh memusingkan basikal menuruti laluan kereta Pak Yob dari belakang.



Salleh memberhentikan basikalnya dibawah pohon mempelam di hadapan rumah Pak Yob. Sebuah van putih dengan tulisan “Paranormal Zone" terpampang di kiri dan kanan van. Lambang sebuah stesyen televisyen tempatan turut tertera.

“Dasyat juga kau Mawi, sampai dapat masuk tivi" ujar Salleh sendirian.Dia mengintai-intai kalau-kalau terlihat kelibat sahabat sekampungnya itu.

“Oppocot!” latah Salleh sebaik bahunya ditepuk dari belakang. Macam nak terlucut jantungnya kerana terkejut. Mawi tergelak.

“Menyorok macam pencuri !..aku bukan bawa balik anak dara pun” Mawi menyapa Salleh yang masih terpinga-pinga.

“Jom masuk dulu" ajak Mawi.

“Aku nak ke kedai dulu. Barang yang mak aku kirim tadi pun tak terbeli lagi" balas Salleh mengelak. Dia tahu sangat lama mana dia boleh tersangkut di situ.

“Eleh..sombong"

“ Sungguh Mawi, aku tak boleh lama. Kalau aku masuk nanti, sah sah Pak Yob ajak aku pekena kopi. Sejam pun tak cukup kalau bersembang dengan dia"

“Suka hati kau lah"

“Kau kerja apa sekarang?”

“Aku kerja bawak van dengan stesyen tv. Sekarang ni aku follow team ParanormalTeam, geng yang memburu tempat-tempat berhantu kat Malaysia ni"

“Kau tak takut?”

“Apa nak takutnya. Bawak van je kut. Bukan bawak hantu. Satu van tu penuh barang diaorang. Dua orang kru diaorang, member aku jugak, pun ikut aku balik sekali. Petang esok kami bertolak ke Penang. Ada satu rumah kat balik pulau yang kami nak buat pengambaran.”

“Bagus juga tu. Bangga juga aku, kau dapat masuk TV. Aku nak blah dah ni"

“Alah..bukan apa pun..tumpang nama aku masa habis siaran tu ja..kau boleh tengok nama Asmawi keluar part tulisan-tulisan mereka yang terlibat dalam pengambaran tu. Tak glamer pun"

“Walau apa pun, aku tumpang bangga.” Salleh menongkah basikalnya ke arah dia datang tadi.



Salleh menyengetkan basikal sebelum mengayuh ke arah tingkap belakang kedai makan Syarifah. Matanya tertancap pada tukang masak yang sedang menggoreng sesuatu di dapur.

“masak apa tu bang?” Tegurnya dengan suara perempuan yang dibuat-buat.

“Leh, kau jangan kacau aku boleh… Banyak order aku nak buat ni. Kakak aku masuk petang nanti" Adu Sobri sambil tangannya ligat menggaul mee di dalam kuali.

“Tak kan kerja sikit pun dah nak komplen..aku saja nak beritahu kau yang Mawi dah balik"

“Hah..balikjugak dia. Aku dah cakap. Lama mana sangat Mawi tu boleh tahan kerja kat bandar"

“Dia balik sekejap je la. Bawak balik van orang televisyen" cerita Salleh bangga.

“Hah..dasyat kalu camtu..aku pun tumpang bangga"

“Petang esok dia ke Penang. Ada pengambaran untuk Paranormal Zone”

Sobri memasukkan mee yang digoreng tadi ke dalam pinggan. “Eh, Berani pulak dia"

“Mawi tu dah banyak berubah lah sejak kerja di bandar ni. Makin berani, dressing pun dah lain sikit"

“Baru enam bulan tu, kalau setahun lagi banyak la yang berubah. Aku hantar mee Pak Zainal ni kejap" Pesan Sobri.



Sobri membawa mee tadi kepada Pak Zainal di ruang meja makan.

“Beri, kau buat aku kuew tiaw kung fu satu lagi. Milo ais pun sama” Pesan Bob dengan muka mencuka.

“Kenapa Bob?”

“Kau tengok tu!” tunjuk Bob ke arah pemuda berambut pendek yang sedang makan di meja.

“Awalnya Meon sampai hari ni" Sobri menggaru kepala sambil tersenyum.

“Aku bangun sekejap jer nak ke kaunter ni ambik tisu. Tup..tup..dia dah duduk situ, sambung makan kuew teow kung fu aku. Air milo ais aku pun dia belasah sekali..Meon..Meon" jelas Bob.

“ Kau sabar sekejap Bob, aku buat yang lain. Semua dah faham sangat perangai Meon. Sapa-sapa yang tinggalkan makanan, confirm dia akan tolong habiskan kalau terserempak. Kau sabarlah sekejap" jelas Sobri sebelum masuk semula ke dapur.

Pelanggan lain yang melihat Meon hanya tersenyum dan menggelengkan kepala.


“Kau nak order apa?” Tanya Sobri pada Salleh yang masih tercegat di tingkap.

“Menu apa yang free hari ni?”

Sobri menuang air suam dan diserah kepada Salleh.

“Yang ni je yang free" Katanya seraya menuang minyak ke dalam kuali. Rencah-rencah untuk masakan kuew teow kungfu diceduk satu persatu.

Salleh meneguk air suam sehingga habis. Gelas diletakkan semula diatas birai tingkap.

“Kau tak terasa ke nak buat aktiviti paranormal macam dalam tv tu..guna kamera dan alat-alat canggih untuk buktikan kewujudan hantu..”

“kau cakap ni macam budak U nak buat assignment jer. Mana nak cari semua benda tu..setakat kamera hanset tu, bolehlah dapat" Balas Sobri yang rancak menggoreng.

“Kita pau la alat-alat dalam van yang mawi bawak"

“Kau ingat senang..dia bukannya CEO stesyen tv tu. Driver cabuk jer"

“kau tak tanya lagi, dah cakap macam tu. Bagi aku tanya dulu"

“Kalau kau yang tanya, kebarangkalian nak dapat tu, tipis sangat. Tapi kalau Miah yang mintak. Gerenti jadik. Kalau Miah suruh bakar van tu pun, Mawi masih sanggup rasanya"

“Takkan hal macam ni pun nak libatkan Miah!”

“Kau nak benda ni jadi ke tak?”

“Nak jadi la. Bukan senang nak rasa pengalaman cari hantu ni"

“Kalau nak kau pergi cari Miah sekarang!”

“Ok..aku pergi. Lepas hantar barang mak aku ni, aku gi rumah Miah. Apa-apa aku hello kau nanti"

“Hmm ..ok"



“Assalamualaikum Mak Nah, Miah ada?” Salleh melaung dari halaman. Dia perasan Mak Nah ada di dapur.

“Waalaikumsalam Salleh, buat apa tengah hari rembang ni cari anak dara orang" Tegur Mak Nah.

“Hal penting Mak Nah, antara hidup dan mati"

“Siapa yang hidup, siapa yang mati ni?”

“Mak Nah hidup, ikan dalam kuali tu mati!” jawab Salleh tersengih.

“Boleh tahan jugak punchline kau Salleh. Miah ada dalam bilik tu.Asyik dengan Whatapps, insta dan facebook la tu. Nak tolong aku pun tak. Kau jerit kuat sikit tu keluarlah dia.” Balas Mak Nah.

Salleh mula melaung nama Miah dan mula mengetuk dinding luar bilik gadis itu.

“Apa halnya kau ni Salleh" Miah yang keluar dengan bertudungkan tuala.

“Mawi dah balik la!”

“Laa…lantak la dia nak balik. Aku bukan ada apa-apa pun dengan dia.”

“Kau jumpa la dia dulu…dah banyak berubah la kawan kita tu"

“Ah..ada aku kesah"

“Tolong jumpa dia boleh. Ada benda la aku nak kau tanya dia"

“Hal kau dengan dia, jangsn libatkan aku boleh" Miah mulai cengeng.

“Kau suka tak kalau kita buat rakaman paranormal macam dalam tv tu"

Miah terdiam seketika. Memang ada terdetik dihatinya untuk merasai pengalaman di tempat-tempat yang dikatakan berhantu. Ada juga cerita yang boleh dikongsi dengan kawan-kawan di insta dan facebook. Biar semua tahu yang dia bukan calang-calang gadis kampung.

Dia turun dan duduk di tangga untuk mendengar lebih lanjut penerangan Salleh.Pemuda itu riang kerana umpannya berjaya menarik minat Miah.

“Mawi sekarang kerja dengan stesyen tv yang buat rancangan paranormal tu. Satu van yang dia bawak penuh dengan alat-alat diaorang. Kalau kau boleh pujuk dia pinjamkan alat-alat dalam van tu, malam ni jugak kita jalan projek ni"

“Nak ke Mawi dengar cakap aku?”

“Tak cuba Miah, mana kita nak tahu?”

“Eh, kalau jadi projek malam ni, aku ajak Biah sekali tau. Takkan aku pompuan sorang-sorang. Confirm bapak aku tak kasi keluar"

“Alah, dah ramai la pulak. Kalau ajak Biah tu, sama macam kau ajak budak jantan la. Kau kan tahu dia tu cammana?”

“Tak baik la Salleh kau cakap macam tu. Dia tu keras sikit jer..”

“Sikit je apa kalau pokok kelapa tu dia boleh turun naik macam sarkas"

“Kau ni, dah la. Tak ada Biah, aku pun tak jadi la"

“Alah..sikit-sikit nak merajuk, Biah pun Biah la.. janji jadi”

“Jom, kita pergi sekarang. Aku ikut kau dengan moto dari belakang"

“ Aku bonceng sekali la. Cepat sikit sampai dari kayuh basikal ni"

Miah menggepal penumbuk dan dihulur betul-betul di hadapan muka Salleh. Cepat-cepat pemuda kurus itu lari mengayuh basikal.



Berpeluh juga Salleh mengayuh basikal untuk sampai ke rumsh Pak Yob. Malu dia kalau Miah mengatakan dia mengayuh terlalu perlahan, macam pondan. Kayuhannya kena laju macam orang sedang berlumba.Sekurang-kurangnya Miah boleh menunggang motor laju sedikit dengan mengejar dari belakang.

“Miah!” Hampir sahaja Mawi melompat turun dari tangga sebaik perasan Miah sudah terpancul di halaman rumahnya. Hujung bajunya yang dilepaskan diselit ke dalam seluar. Sempat juga dia mengerling ke arah biasan pada cermin tingkap, untuk membetulkan alur rambut. Bukan senang gadis idamannya itu untuk berkunjung ke rumahnya.

“Apa khabar Miah?” tegur Mawi sambil menelan air liur. Gugupnya masih seperti selalu.

“Sihat je. Salleh yang cakap abang dah balik, tapi Miah tak percaya. Sebab tu Miah datang nak tengok dengan mata kepala sendiri"

“Alang-alang dah dekat sini, Abang singgah la tengok mak ayah dekat rumah"

“Van tu abang bawak ke?”

“Ya. Van company jer"

“Tu macam nama siri kat tv jer"

“Memang kami buat cerita tu la. Ada dua lagi kawan abang, technichian yang setup alat tu. Dah tertidur agaknya kat atas rumah"

“Oooh" Miah pun hilang punca untuk memujuk Mawi. Apa yang yang harus digunakan pun dia tak terfikir lagi.

“Miah nak tengok ke alat-alat dalam van tu"

“Nak sangatt!” jawab Miah dengan mata membulat. Salleh yang hanya melangut dari pun mengangguk.

“Abang Mawi, kalau Miah nak cuba guna kamera dan sensor tu boleh tak?” Pinta Miah dengan suara paling menggoda. Mawi mula menggaru kepala.

“Tak boleh Miah, semua yang ada barang mahal-mahal ni. Kalau jadi apa-apa, susah abang nanti.”

“Abang ni kan, kalau dengan Miah pun nak kedekut, baik Miah balik jer. Menyesal pulak Miah datang sini. Kot-kot nak cari pengalaman jumpa hantu pun susah…iye la, orang tu kan dah kerja kat bandar. Siapa la sangat orang kat sini" Rajuk Miah. Dia melangkah keluar dari van.

“ Nanti Miah, abang bukan macam tu la..Bagi abang cakap dengan technician yang ada tu..tunggu kejap"

Hati Miah berbunga penuh harapan. Dia mengerlip mata pada Salleh yang mengangkat ibu jari tanda bagus.

“Sini Miah!” Mawi turun ke tanah, diekori dua rakan yang datang bersama.

“Kawan abang dah setuju la nak buat pengambaran sikit. Diaorang nak cari footage untuk siaran musim baru. Nanti Miah bagi la cadangan nak buat kat mana?”

“Best la abang Mawi, petang ni Miah datang ngan kawan-kawan. Kita bincang nak buat kat mana"

Mawi tersenyum panjang.



Petang itu, seperti yang dijanjikan, semua bertandang ke rumah Pak Yob.Salleh membonceng motosikal Sobri dan Miah dengan Biah pula berdua. Mereka berkumpul di pankin bawah pokok rambutan depan rumah Pak Yob.

“Ramai ni!” Mawi tidak menyangka yang Salleh dan Sobri pun ikut serta. Kalau boleh, dia nak Miah sahaja yang datang. Barulah peluang untuk dia mengayat awek itu terbuka luas.

“Ai, dengan kawan sekampung pun nak berkira" Tingkah Sobri. “Baru kerja dengan stesyen tv sikit dah nak menyombong.”

Mawi merapatkan kening dengan pandangan tajam. Memang dia berseteru dengan Sobri dari dulu. Puncanya dari Miah. Dua-dua mahu berebutkan gadis yang seorang ni.

“Kalau nak bergaduh kat sini, baik Miah balik!”ugut Miah.

Kedua-dua seteru yang panas tadi mulai beralah. Kalau Miah merajuk, mereka juga yang rugi.

“Dah..dah..tadi kata nak bincang tempat yang nak kita terjah malam ni. Sapa ada idea!" Salleh cuba meredakan keadaan.

“Apa kata kita buat dekat rumah lama Bidan Siah, tempat tu memang keras sangat!!!” Cadang Biah. Dari tadi dia menunggu peluang untuk bercakap.

“Rumah lama Bidan Siah, kau hilang akal ke apa? Rumah tu kalau pergi, gerenti tak balik-balik dah..segala saka mak nenek ada kat sana tau" Bantah Salleh. Dia nampak gementar bila nama bidan itu disebut.

“tempat macam tu la kita nak cari!" Sampuk Mawi.

“Kau sanggup ke kalau alat-alat yang beribu-ribu ringgit tu rosak kat situ. Lagi-lagi kalau semua cabut lari nanti, sapa yang susah" ugut Salleh.

“Yang kau anti sangat dengan Bidan Siah tu kenapa?, bukan ke dia yang sambut kau lahir" Sobri pula menambah.

“Sebab tu la aku marah. Uri aku masa lahir tak tahu ke mana..Bapak aku cadang nak tanam depan sekolah,nak bagi aku cerdik. Tup..tup uri aku dah hilang. Bidan Siah kata dia dah tanam awal-awal, takut penanggal masuk rumah…tapi..aku syak la, dia yang makan uri aku tu…sebab tu sekarang ni, aku jadi macam ni..” Luah Salleh.

“Bersyukur sikit Salleh, yang dia makan tu uri jer..buatnya dia makan telinga ke..kaki ke..mau OKU kau sekarang ni" Balas Sobri tertawa. Yang lain pun sama.

“Ah! Pandai la kau fikir macam-macam. Habis tu kau nak kita buat kat mana?” Tanya Mawi.

“Surau lama hujung kampung. Tempat tu dah tak ada orang guna. Hantu yang duduk kat kawasan surau, mesti hantu yang baik-baik kan"

“Ada ke hantu kat surau lama tu?” Tanya Mawi.

“Baru minggu lepas je, Jefri anak Mak Senah tersampuk kat surau tu, demam seminggu. Katanya terjumpa pocong. Si Fazura anak Kak Leha pun kena sama..puas jugak berubat..sampai busung katanya.. bukan calang-calang jugak hantu kat situ. Jamal dengan Hussein, budak kampung yang paling berani pun takut ke situ..mencecet diorang lari masa kena sakat dulu..belakang surau tu kan banyak kubur lama..lepas surau tu tak digunakan, keluarlah semua jembalang yang ada kat sana" Cerita Salleh bersungguh-sungguh.

“Bukan kau ke yang kata tadi hantu surau tu baik-baik" Biah pulak bersuara.

“Baik sikit kot, sebab tak makan uri orang"

“Yang lain setuju tak kita ke surau malam ni"

Miah dan Biah mengangkat tangan serentak. Pelan-pelan baru Sobri mengikut.

“Kalau semua dah setuju, aku akan bincang dengan dua orang krew kita nanti kejap lagi. Korang boleh balik, tukar baju, makan siap-siap, prepare apa yang patut. Pukul 5.30 kita jumpa kat depan surau tu. Aku akan pergi dengan dua orang lagi tu terus ke sana. Ada apa-apa nak tanya" Mawi berpanjang lebar.

Salleh mengangkat tangan. “Boleh bawak makanan tak?”

“Terpulanglah!, Yang lain!” Semua menggeleng.

“Nanti kita jumpa lagi"



Semua berada di depan surau lama seperti yang dijanjikan. Figura surau lama dengan pohon-pohon besar disekelilingnya, menambah aura seram. Tambahan pula dengan binaan darikayu yang semakin mereput.Walaupun sudah sekian lama terbiar, bahagian dalam surau itu hanya kelihatan berhabuk dan berdebu.

“Selamat ke kita nak buat pengambaran di sini?” Zack, salah seorang juruteknik yang dibawa Mawi bertanya.

“ Macam rumah kayu je ni, tak runtuh ke?” Haikal, juruteknik kedua menokok.

“ Surau ni kukuh bang. Nanti saya akan masuk dulu untuk buktikan" awal-awal lagi Salleh memberi jaminan. Dia melangkah ke pintu masuk.

“Patut dibuat surau baru ni?” tegur Haikal.

“ Bukan tak nak buat Haikal, tapi tempat tak sesuai. Tiap-tiap tahun air naik. Sebab tu tiang-tiang surau ni tinggi. Atas dan bawah surau tu kita boleh pasangkan kamera. Luas juga kawasan yang kita boleh cover.” Mawi memberikan penerangan.

“Kami taknak pakai semua. Cuma dua kamera hd, satu infrared dan dua portable kamera je kami nak guna. Yang lain korang boleh support dengan kamera handphone. Kalau dapat apa-apa, syer dengan kami nanti" Tokok Haikal.

“Ramai jugak kita ni, campur kami berdua dah jadi tujuh orang.” Zack mengulas.

“Lagi ramai, lagi meriah" Balas Salleh tersenyum.

“Takut entiti yang ada tak munculkan diri la..takut tengok orang ramai sangat"

“Ah..itu tak jadi hal, tempat ni memang keras. Nanti aku cabar dia keluar" Janji Salleh penuh yakin.

“Kau jangan riak sangat Salleh, ni bukan rumah kau. Macam-macam boleh jadi nanti" Miah yang tadinya diam mula bersuara.

“Aku tau la..”



Mereka mula membahagikan tugas untuk membuat persiapan. Miah dengan Mawi membuat plan untuk aktiviti malam nanti. Salleh dan Biah membuat risikan sekitar kawasan surau. Takut-takut kalau ada gangguan dari binatang berbisa atau haiwan liar. Sobri membantu Zack dan Haikal memasang kamera di tempat yang telah ditentukan.

Salleh melangkah ke kawasan perkuburan di belakang surau lama itu dengan berhati-hati. Biah mengikut dari belakang. Tiba-tiba sahaja langkah Salleh terhenti.

“Kenapa?” Biah tertanya.

“Aku rasa aku ternampak sesuatu kat situ” Tunjuk Salleh ke suatu sudut. Biah melangkah ke situ tanpa ragu-ragu. Berterbangan burung terkukur yang mencari makan di situ.

“Burung jer Salleh oi..itu pun kau takut sangat"

“Biah oi..kau ni berani sangat la. Kau ni sebenarnya lelaki ke perempuan?" Tanya Salleh mengejek. Biah memandang Salleh dengan mata berkedip-kedip. Marah tidak, senyum pun tidak.

“Kalau Salleh nak tau Biah ni lelaki ke perempuan, masuklah meminang Biah. Lepas nikah nanti Biah buktikan kat Salleh, Biah ni lelaki ke perempuan.” Salleh menelan air liur dalam-dalam. Biah yang tadinya keras macam kayu mulai berjalan meliuk-liuk macam ular. Salleh cepat-cepat berjalan ke arah Zack dan Haikal yang tengah memasang kamera. Dia takut kalau-kalau ular betina tadi melilit kakinya.


Sobri yang dari tadi melilit wayar gelisah sangat melihat Mawi yang semakin rapat dengan Miah. Menyesal juga dia kerana mencadangkan pada Salleh untuk menjadikan Miah sebagai umpan memujuk Mawi tadi. Mulanya dia merasakan yang Miah Cuma jinak-jinak merpati sahaja dengan Mawi. Sekarang jinaknya dah semacam anak kucing, lama tak jumpa pun masih mengiau dan meliuk menggosok badan di kaki. Cuba Miah setakat meliuk-liuk sahaja.

“Mawi, tolong ambil set wayar dekat dalam van kejap" Suara Zack melaung dari bawah rumah. Mawi mengeluh kerana terpaksa meninggalkan Miah keseorangan seketika. Kesempatan yang ada digunakan untuk Sobri mendekati Miah.

“Miah tak takut ke nak tengok hantu malam ni?” Tanya Sobri.

“Taklah, ramai kan kat sini. Bukan senang nak dapat pengalaman macam ni"

“Mak dengan Ayah Miah bagi pulak datang sini,”

“Sshhhh… jangan cakap kuat-kuat. Diorang ingat Miah tidur rumah Biah"

“Bijak jugak Miah ni, otak bergeliga. Sebab tu Abang suka"

“Ye la tu..alang-alang abang sobri kat sini, Miah ada satu soalan nak tanya"

“ Tanyalah,”

“Kenapa nama kedai Abah Sobri tu kedai makan Syarifah, padahal tak seorang pun ahli keluarga perempuan Sobri yang namanya Syarifah. Ke ada yang Miah tak tahu" Sobri tersenyum mendengar soalan itu. Kepalanya yang tak gatal digaru.

“Macammana nak cerita ek..Sebenarnya abang pernah tanya abah abang hal ni, Cuma dia tanya abang balik dengan satu soalan.”

“Soalan apa?”

“Miah pernah makan di restoran Mc Donalds"

“Pernah"

“Ada tak sapa-sapa dalam restoran tu yang nama Mc Donalds.”

“Setahu Miah tak ada”

“ kesimpulannya jangan tanya tu dari nama siapa. Abah cakap tu kedai dia, suka hati dia nak letak nama apa"

“Eh..macam tu ka"

“Abang Sobri nak pakai nama tu ka kalau buka kedai lain..”

“ Tak lah…Abang letak kat papan tanda tu Mi Sup sahaja"

“kenapa?”

“Mi untuk Miah, Sup tu ringkasan untuk Sobri"

Terangkat bahu Miah mendengar pick up line Sobri.

“Kenapa tak letak restoran Brim jer, Bri untuk Sobri, M untuk Miah…” Celah Mawi yang hangat bila mendengar pick up line tadi.

“Dah..dah Miah nak buat ketja. Kejap lagi dah malam..” Luah Miah yang berserabut dengan dua jejaka yang hendak menjadi teman tapi mesra dengannya.



Malam mulai mencecah jam sembilan. Awan hitam pekat tanpa secalit cahaya. Hanya suara unggas dan cengkerik melengkapkan suasana malam ini.

Mereka berjanji sekali lagi untuk berjumpa di surau. Dari tadi, Cuma Mawi, Zack dan Haikal yang menunggu di situ. Mereka bimbang kalau alat-alat yang dipasang tadi dicuri.

Miah datang bersama Biah. Itu pun sebab emak dan ayahnya menyangka dia menumpang tidur di rumah Biah. Salleh pula datang bersama Sobri. Dia seorang sahaja yang menggalas beg ke situ.

“Semua ada. Ingatkan ada yang nak tarik diri. Tak sangka anak-anak kampung Rebung ni semuanya berani" Mawi memulakan taklimat. Secara tidak langsung dia mengangkat dirinya sebagai ketua operasi malam itu.

“Ingat semua..Niat kita cuma satu, nak bertemu dengan makhluk lain yang turut sama dengan kita di alam ini. Bukan untuk riak dan takbur. Kalau bertemu sekalipun, anggaplah itu sebagai tanda persaudaraan dari alam lain" Mawi menyusun kemas kata-katanya. Kalau diberi peluang, masa perhimpunan sekolah pun dia mahu berucap. Semua ini gara-gara Miah ada bersama. Dia nak buktikan, walau berdepan Pak Mahat, Ayah Miah. Dia tak akan gugup.

“Kalau ikut perancangan tadi. Setiap orang akan berpeluang bersendirian di dalam gelap nanti.Cuma sekarang kita minta persetujuan, siapa dulu, lelaki ke perempuan.”

“Bagi Miah dengan Biah dulu..lewat malam nanti, aku dengan Salleh" Sobri memberikan keputusan yang dipersetujui semua.

Miah memilih untuk duduk di dalam kegelapan surau.Dia ditemani bunyi cicak dan ranting serta daun kayu yang jatuh di atas bumbung. Dengan berbekalkan walkie-talkie, topi yang dipasangkan kamera dan lampu suluh, Miah diminta untuk duduk di kerusi yang telah disediakan. Kamera infra red turut terpasang tidak jauh dari tempat dia duduk.

Baru lima minit pertama, peluh sudah mencurah di dahi Miah. Ini kerana suasana di dalam surau itu panas tanpa saluran udara dan tiupan angin.

“Kalau Miah nak keluar, cepat-cepat beritahu tau.” Suara Mawi kedengaran di walkie talkie.

“Baik" Balas Miah ringkas. Dia sudah mula dapat mendengar bunyi lantai yang berkeriut dipijak. Tapi kelibat yang memijak tidak kelihatan!. Miah masih diam menanti sebab dia memang nak tengok hantu.


Biah yang dari tadi di bawah rumah hanya menampar nyamuk. Lagipun dia boleh nampak kelibat semua yang berada di pusat kawalan dari situ. Cuma mereka sahaja yang tidak nampak dia kerana terlindung dalam gelap.

“Siapa punya plan la ni, hantu mana yang nak datang sini" Rungut Biah.


“Jom, tukar orang pulak" Suara Mawi dari walkie talkie.

“Tunggu sampai saya nampak hantu boleh tak?” Balas Miah. Walkie talkie di tangan Mawi dirampas Salleh.

“Miah, aku dah tak sabar nak duduk kat sana pulak. Kalau kau nak, lepas aku nanti kau ulang balik!” jerit Salleh.

Mawi, Haikal dan Salleh ke situ untuk membawa Miah keluar dan digantikan dengan Salleh. Biah awal-awal lagi keluar kerana sudah tidak tahan digigit nyamuk.


“Apa yang kau bawak tu Salleh?” Tanya Miah sebaik perasan ada bungkusan di tangan Salleh.

“Nasi Lemak dan air mineral. Bekal aku” Jawab Salleh yang meletakkan bungkusan tersebut tidak jauh dari tempat dia duduk.

“Kau Ok Salleh!” tanya Mawi. Mulut Salleh terkumat-kamit membaca doa sebelum dia membuat ibu jari naik, tanda bagus.

Sabri pula memilih untuk duduk di bahagian belakang berhampiran tandas dan tempat mengambil wuduk. Dia memasang ubat nyamuk lepas dinasihatkan Miah tadi.



Salleh menahan nafas sebelum menyedutnya kembali dalam-dalam. Inilah pengalaman pertama dalam hidupnya untuk berhadapan dengan entiti paranormal. Walaupun dia pernah dilabelkan penakut, kerana tidak berani keluar rumah selepas senja. Aktiviti malam ini akan membuktikan sebaliknya.

Bunyi lantai dipijak, seperti yang didengar Miah tadi berulang lagi. Bulu roma Salleh meriding tiba-tiba. Pundi kencingnya pula terasa penuh!. Tangannya menggenggam kemas walkie talkie. Terlalu awal untuk dia membuat panggilan kecemasan.

Dalam kegelapan itu, Salleh dapat melihat satu kelibat hitam yang bergerak ke arah penjuru bilik. Dengan degup jantung yang turun naik dan peluh jantan yang membasahi dahi, Salleh memberanikan diri untuk membuka dua langkah ke arah kelibat tersebut. Tiba-tiba sahaja dia ternampak tangan menyelongkar ke dalam bungkusan yang diletakkan di situ. Bungkusan nasi lemaknya kemudiannya berada di atas lantai. Dalam kesamaran Salleh melihat nasi lemak disuap ke mulut kelibat itu.

Salleh cuba untuk menambah satu langkah lagi ke situ sebelum..

Huarghhh!!!

Jeritan marah dari kelibat itu membuatkan pundi kencing Salleh berfungsi secara automatik. Bahagian hadapan seluarnya lencun. Dan dalam masa yang sama Salleh berlari keluar dan melanggar semua peralatan dan kamera yang diletakkan di laluan ke luar.Walkie talkie di tangan turut dicampakkan.

“Hanntuuu…makan nasi lemak” Jeritnya sambil lalu di meja kawalan dan terus berlari ke jalan luar. Mawi dan yang lainnya tidak sempat menahan. Masing-masing turut terbau hancing.

“Ada yang tak kena kat dalam tu” Getus Mawi. Dia dan Haikal memasang lampu suluh dan segera ke tempat Salleh menunggu tadi. Sobri yang terdengar jeritan tadi dan suara Salleh pun turut sampai ke tempat itu.

“Aaaaa ghhhhhh!!!” Mawi pun hampir lari sebaik tersuluh kelibat yang sedang asyik membaham nasi lemak. Mujur sempat ditahan Sobri.

“Laaa..Meon rupanya” Ujar Sobri yang kenal sangat dengan susuk itu. Meon yang tidak berbaju dan berdebu itu sedang makan dengan lahapnya.

“siapa suruh bawak makanan. Meon ni kalau lapar, apa pun dia makan” Jelas Sobri. Dia mengangkat nasi dan memimpin Meon keluar ke tempat yang lebih cerah.

“Meon ke tadi?” Tanya Miah. Pecah ketawa mereka sebaik mengenangkan lagak Salleh tadi.



“Kau nak teruskan tak? “ tanya Mawi pada Sobri.

“Entahlah.. Hilang mood aku tengok Meon ni. selama ni memang dia tidur kat sini. Kalau nak tengok hantu surau ni, dah ada depan mata sekarang !!!” Jelas Sobri tersenyum.

“Takkan nak balik. Aku belum dapat apa-apa ni. bising produser kang. Dia dah bagi kebenaran untuk kita. At least ada something untuk kita bawa balik malam ni” Rungut Zack.

“Kita belum masuk lagi kat area kubur lama tu. Kat situ orang pun pernah nampak kelibat jugak” Celah Biah.

“Siapa yang berani nak ke situ?” tanya Mawi. Masing-masing kelu. Selepas apa yagn terjadi tadi, semua mulai merasa ragu-ragu.

“ Macam ni la. Kalau semua takut, kita bagi orang yang paling berani kat sini pergi” Jelas Sobri.

“Aku!” Kata Mawi. “ Mintak simpang la. Jaga depan ni aku boleh, kalau ke sana mintak maaf”

“Bukan kau, kita suruh Meon”

“Meon?”

“Meon ni bukan tak faham arahan. Cuma dia lembam sikit jer. Kalau kita suruh ke sana, gerenti dia boleh buat”

“Ada yang nak bantah!” Tanya Mawi. Semua diam bersetuju. Meon pula hanya tersengih-sengih sebab namanya disebut-sebut tadi.



Meon yang tidak berbaju dipakaikan set kamera infrared di kepala. Kamera itu dihubungkan ke monitor yang ada di pusat kawalan berhampiran van. Earpiece dipasang di telinganya supaya arahan dari Sobri terus dapat di dengar.

“Meon boleh dengar apa Sobri cakap tak?”

Meon mengangguk.

“Meon nak makan nasi ayam tak?”

Dia mengangguk lagi. Kali ini lebih laju.

“Kalau nak, siang nanti Sobri belanja. Dua pinggan tau. Tapi sekarang ni Meon dengar baik-baik…Lepas ni Meon pergi pusing-pusing kat belakang kubur lama sana tau. Kalau Meon dengar suara Sobri suruh buat apa-apa, Meon buat tau..” Pesan Sobri.

“Baik..Nasi ayam dua pinggan tau" Meon mengangkat tangan dengan jari telunjuk dan jari tengah ditegakkan, tanda dua pinggan.

“Ok, Sobri janji"

Sobri memandang Haikal yang memantau monitor. Sebaik Haikal mengangguk, bahu Meon ditepuk dan dia segera menghilang ke belakang surau.


“Hiap!!!!!”

Semua mata yang ada di situ beralih ke arah Mawi yang tiba-tiba membuka langkah silat di belakang.

“ Kenapa?” Zack melaung. Dia bimbang kalau-kalau Mawi dirasuk entiti di situ.

“Ada orang cuit bahu aku" Jelas Mawi yang bersedia dengan kekuda lebih kemas. Matanya meliar memerhati sekeliling.

Zack mengambil belantan diatas meja dan berjalan ke belakang van.

“Kau rupanya" Jerkah Zack. Semua yang ada berlari ke belakang van.

“Salleh, kenapa kau datang balik" Tanya Mawi. Salleh datang semula. Cuma kali ini seluar dia diganti dengan guni baja yang disarung macam kain pelikat.

“Aku takut nak balik. Kiri kanan hutan..kat depan sikit tu kubur..” Jelas Salleh malu-malu.

“Mana seluar kau?” Tanya Miah.

“Ada kat kebun depan tu. Aku bukak sebab tak tahan gatal-gatal. Mujur ada guni ni kat situ"

“Tak malu sungguh la, Salleh ni" Miah menyambung lagi.

“Aku nak mintak jasa semua yang ada, jangan cerita apa yang jadi kat aku malam ni kat sapa-sapa tau..aku mintak tolong sangat-sangat.” Rayu Salleh.

Snappp!!

Bunyi flash yang datang dari handset yang dipegang Biah.

“Abang Salleh nampak seksi la!” Lain pulak komen dari Biah. Matanya tak lepas memandang Salleh atas bawah. Bulu roma Salleh lagi meremang dari tadi.

“Dah, jom tengok Meon" Masing-masing ke monitor untuk melihat perkembangan pergerakan Meon.


“Apa tu?” ayat yang keluar dari mulut Haikal membuat semua terpaku. Masing-masing mula meriding bulu roma. Angin sejuk mula menyapa tubuh mereka dan pokok-pokok sekeliling terbuai lembut. Salleh pula merasa pundi kencingnya penuh semula. Satu objek putih seakan lutsinar berlegar-legar di kaca monitor.

“Meon….Meon!!!” Suara dari Sobri tidak mendapat sebarang respon. Semua yang ada saling berpandangan. Meon seakan dipaku di situ dan tak bergerak-gerak.

“Kita kena pergi tengok Meon"Sobri membuat keputusan. Dia merasa bersalah kerana menyuruh Meon ke kawasan itu tadi.

“Siapa nak pergi dengan aku?” Seorang pun tidak menyahut seruannya.

“Kita pergi ramai-ramai. Aku tahu kita semua ni penakut. Lagipun kita tak tahu apa benda yang kita nampak di monitor tadi" Ujar Mawi.

“Haikal boleeh tunggu, jagakan alat-alat kat sini"

“Ah! Aku pun nak ikut. Tak berani aku tunggu sorang-sorang.

“Oklah..cepat" Mawi mencapai lampu suluh dan Zack menggenggam semula belantan.



Semasa mereka berjalan ke tempat Meon berdiri, angin yang bertiup semakin laju. Bunyi daun tingkap surau yang dipukul angin, semakin laju dan menyeramkan. Bunyi burung hantu tiba-tiba kedengaran.Pokok-pokok yang dibuai angin semakin kasar. Bunyi daun-daun dan ranting yang bergeseran jelas kedengaran. Masing-masing dihantui ketakutan. Miah cepat-cepat menangkap tangan Biah dan memegang erat. Salleh yang dibelakang sekali pun sama. Tangan kanan Biah cepat-cepat dipegang. Dalam takut-takut Biah masih mampu tersenyum!.

“Meon!!!” Jerkah Sobri. Semua yang ada tertumpu kepada Meon yang berpaling perlahan-lahan. Tubuhnya membongkok sedikit dari biasa dengan muka yang menunduk.

“Hmmmm….mmm" Gumam mulut Meon yang masih bertutup.

“Arghhhhh….” Hampir semua yang ada menjerit. Salleh mengepit paha kerana takut kejadian tadi berulang. Meon yang mengangkat muka kelihatan sangat menyeramkan. Bola matanya semuanya keputihan dengan muka pucat kebiruan.Anak matanya merenung tajam ke arah semua yang ada.

“Basuh!!!!!!!” Suara yang keluar dari tenggorok Meon kedengaran kasar dan menakutkan. Hampir sahaja Salleh pengsan kerana menahan air di dalam pundi kencingnya.

“Apa yang nak dibasuh tok!” Sobri sudah dapat meneka apa yang merasuk tubuh Meon. Dia juga faham yang makhluk itu sedang marah.

“Basuh kencing dalam surau tu..Aku nak beribadat nanti !!!!” Hampir tercabut jantung kalau mendengar tempikan sebegitu.

Lembut lutut Salleh mendengar ayat tersebut. Lemah longlai sebelum dia rebah pitam. Cepat-cepat Zack dan Haikal menyambut dari belakang.

“Kami basuh sekarang tok. Tok ni siapa?” Mawi cuba untuk berkomunikasi. Alat perakam suara didalam poketnya dikeluarkan.

“Atuk orang dekat sini.. atuk juga yang jaga surau ni lepas terbiar. Sayang, tak ada yang nak pelihara surau lama ni…banyak jasanya” Makhluk itu bersuara dengan nada yang lebih lembut.

“Atuk ke yang selama ini menggangu orang-orang yang datang ke sini..” Soalan berani dari Mawi yang semakin yakin untuk bertanya.

“Bukan aku sahaja yang ada kat sini, ramai lagi…kalau yang niat tak tak memang kami usir. Yang nak isap dadah..yang bawak anak dara bunting nak buat maksiat…semua kami halang” Tegas suara itu.

“Fazura tu bunting rupanya" bisik Miah perlahan. Biah mengangguk bersetuju.



Suasana yang seram tadi semakin berkurangan.

“Maafkan kami tok, sebab ganggu tempat ni” Sobri pula menyampuk. “Kami nak tahu je kalau-kalau ada makhluk lain kat sini”

“Hmmm…atuk paham. Dari siang tadi kami perhatikan apa yang kamu buat. Cuma satu atuk nak mintak tolong..sampaikan pada orang kampung untuk makmurkan juga surau ni sekali sekala, macam dulu-dulu. Tak selalu pun tak apa. Atuk tak suka kalau tempat ibadah dibiarkan terbiar macam ni…”

“Baiklah tuk!. Kejap lagi kami basuh tempat yang kena kencing tadi. Lepas tu kami buat jemaah subuh dekat sini” Janji Sobri. Yang lain mengangguk bersetuju.

“Assalamualaikum..” Suara kasar tadi terus menghilang.

“Waalaikumsalam” sahut semua.

Meon yang tersedar, tersengih melihat mereka semua di situ. Dia menggaru-garu kepala.


“Mmmm…mana nasi ayam??”





P/S : Karya saya Enigma ( Prolog dan Bab 1 ) di bahagian novel. Jemput baca dan komen.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.