Home Cerpen Seram/Misteri Hantu Kak Wok Uli Karipap Cerita 4 bahagian 2
Hantu Kak Wok Uli Karipap Cerita 4 bahagian 2
Diq Na
30/3/2020 14:57:11
2,559
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            “Cakap betul-betul Wok. Sekarang satu negara dah kecoh dengan hantu karipap bengkel kamu. Ayah da ni bila keluar semua orang serbu. Kalah artis.” Mat Apam Balik mencerlungkan pandangan.

            “Betul. Saya tak guna pelaris-pelaris tu semua. Fitnah belaka. Pengalaman berdepan penjaga barang andaman pengantin dulu pun dah cukup menakutkan. Sampai sekarang geruh tak hilang lagi. Eee… bila terkenang, macam nak putus nyawa.” Wok Maisara menidakkansekeras-kerasnya.

            “Betul ni.” Mat Apam Balik mahukan kepastian lagi.

            “Betul, percayalah,” tegas Wok Maisara.

            Tiba-tiba alam maya Malaysia digemparkan dengan kemunculan hantu yang pandai menguli karipap. Semuanya gara-gara seramai 15 orang penduduk kampung dikejarkan ke hospital setelah memakan karipap di bengkel Wok Resepi Warisan Frozen. Apabila Wok Maisara, pemilik bengkel menafikan bahawa dia yang menjamu orang kampung sebaliknya berada di rumah adik pada hari kejadian, cerita bertambah panas.

            Maka berduyun-duyunlah ahli kelab paranormal serata negara ke kampung Jambu Sebatang. Bengkel Wok Resepi Warisan Frozen menjadi tumpuan. Mangsa-mangsa keracunan dicari. Macam-macam versi kejadian yang timbul. Yang sedikit ditokok tambah. Sesudah ditokok tambah, dibubuh pelbagai rencah sebagai penyedap cerita. Akibatnya cerita sebenar sudah jauh menyimpang.

            Ada yang menuduh Wok Maisara menggunakan khadam dari alam ghaib. Dia dikatakan telah melanggar perjanjian sehingga menyebabkan khadamnya mengamuk dan membalas dendam. Tidak kurang juga yang berpendapat kejadian itu memang sengaja dirancang sebagai salah satu strategi melariskan perniagaan.

            Rentetan berita tular itu, Wok Maisara dilarang oleh bapa saudaranya pulang ke kampung. Hari ini setelah 10 hari berlalu, hantu karipap yang ditunggu juga tidak muncul-muncul, ceritanya beransur reda. Barulah Wok Maisara dan Eda memijak Kampung Jambu Sebatang. Itupun secara senyap-senyap sesudah hari malam.

            “Jangan-jangan ada yang sengaja nak buat khianat pada bengkel kami. Biasalah manusia, dengki tak sudah-sudah. Bukan boleh tengok orang lebih maju daripada dia.” Giliran Eda pula bersuara.

            “Saya pun rasa macam tu. Inilah yang kami bincang dalam perjalanan tadi. Ayah da pun pernah kena kan. Ingat lagi cerita ayah da dengan arwah mak da masa mula-mula berniaga dulu. Pelanggan semua tanya kenapa tak buka gerai apam balik. Rupa-rupanya ada yang dengki, sengaja ‘tutup’ pandangan orang.” Wok Maisara mengutarakan pendapat.

            Ingatan Mat Apam Balik menerawang ke masa silam, ketika dia memulakan perniagaan sedekad lalu bersama isteri. Selama seminggu gerai mereka tiada pelanggan. Macam ada sesuatu yang tidak kena. Sahabat baik menasihatinya supaya bertemu dengan seorang alim. Ternyata telahan itu benar.

            “Baik, nanti ayah da jumpa Ustaz Ahmad. Mari kita lihat siapa yang kena kali ni. Dah, hari pun nak isyak kejap lagi. Di masjid nanti ada ceramah. Lambat sikit balik, Kamu berdua ingat, jangan ke mana-mana selagi masalah tak selesai,” putus Mat Apam Balik.

            Bapa lima orang anak itu bergegas mencapai kunci motor yang tersangkut di dinding. Malam ini ada ceramah oleh Ustaz Ahmad selepas solat isyak. Mat Apam Balik tidak mahu terlepas peluang mendengarnya.

            “Lepas sembahyang nanti kita keluar.”

            “Keluar ke mana? Kau jangan mencari nahas kak. Kan abah dah kasi amaran.”

            “Sekarang ni kita kena buat sesuatu untuk bersihkan nama Wok Resepi Warisan Frozen termasuklah nama kita. Modal pun dah banyak keluar. Takkan nak duduk diam aje.”

            “Dah tu, nak buat apa. Aku takutlah.Tengok kereta aku. Baik punya kemas abah kelubung, tak nak orang nampak. Mahu sekampung dengar abah bertempik kalau kita langgar perintah dia. Elok-elok balik rahsia, sekampung tahu nanti.”

            “Kau lurus bendul sangat kenapa. Motor kapcai tua tu kan ada. Cakaplah dengan abah yang kita balik rumah sana kejap. Nak jenguk-jenguk rumah. Nak ambil kain baju.”

            “Cakaplah nak balik rumah. Yalah, aku ikut aje.”

            “Lepas balik rumah kita pergi siasat.”

            “Siasat apa? Alah, betul-betullah kak. Nak balik rumah sana ke nak pergi siasat?”

            “Dua-dua sekali. Kau ikut ajelah. Kalau kantoi karang, pandailah aku cover.”

            Eda memandang Wok Maisara. Wajahnya serius. Mata pula menajam tepat ke muka pintu yang separa terbuka. Eda tahu fikiran Wok Maisara jauh menjelajah entah ke mana.

 

            Zaki meletakkan kotak berisi periuk cap buaya tiga beradik kepunyaan ibu saudara di atas raga motor. Periuk legenda zaman-berzaman belian dalam talian menggunakan akaunnya itu baru sampai petang tadi. Kalau diikutkan, Zaki akan hantar pagi esok sambil lalu pergi kerja tetapi Mak Ngah Jah sudah tidak sabar mahu melihatnya. Dia meminta Zaki hantar malam ini juga. Esok boleh buat nasi lemak guna periuk baharu katanya.

            “Balik cepat. Jangan merayap merata. Sekarang ni orang kampung masih kecoh dengan hantu karipap. Ikut jalan jauh. Ikut jalan tepi bengkel Wok takut dipelawa hantu makan karipap panas. Jenuh berkejar ke hospital lagi.”

            “Ya, Zaki ingat.”

            “Sekarang ingatlah. Keluar simpang rumah tu karang lupa segala benda. Bukannya mak tak tahu, budak muda pekan kita ni angaukan si Wok, termasuklah kamu. Geng-geng kamu semua back up janda tu. Ingat, ikut jalan jauh!”

            Zaki cepat-cepat hidupkan enjin motosikal. Sebelum syarahan ibu memanjang, lebih baik dia beredar segera. Keluar sahaja simpang, dia memecut laju membelah malam. Sebenarnya dia berasa takut juga. Buatnya hantu karipap itu menunggu mangsa di mana-mana. Pengalaman bermalam di hospital selama beberapa hari masih segar di ingatan.

            Memikirkan kemungkinan yang terjadi, Zaki langsung terlupa akan pesanan ibu. Sedar-sedar bengkel Wok Resepi Warisan Frozen hanya 20 meter di hadapan. Dia pantas membrek motosikal.

            Nak lalu ke tak, nak lalu ke tak, nak lalu ke tak, kata hati yang berbelah bagi.

            Bengkel itu kelihatan suram walaupun lampu di bahagian dapur terpasang. Kata Mat Apam Balik lampu itu memang sengaja dibuka untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini terutama pada waktu sekarang. Kejadian 10 hari lalu menerpa di kepala. Dada mula berdebar-debar.

            Lalu sajalah, hati memuktamadkan keputusan.

            Malam masih muda. Zaki memandang jauh ke depan. Sudah dekat dengan jalan besar pula. Nampak lampu kereta hilir mudik. Apa yang hendak ditakutkan. Dia pun meneruskan perjalanan.

            Beberapa meter ke depan, seekor kucing hitam tiba-tiba merentas jalan. Zaki terkejut. Dia gagal mengawal motosikal lalu tersasar ke tepi semak tidak jauh dari bengkel.

            Zaki terjatuh tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan. Dia berharap motosikal baik-baik sahaja. Begitu juga periuk cap buaya tiga beradik milik ibu saudaranya. Kotak masih berikat kemas dengan tali raffia. Selamat. Dia bangun lalu mengibas pakaian. Ketika hendak mengangkat motosikal dia terpandang tingkap bengkel.

            Ada kelibat berlegaran di bahagian dapur. Jangan-jangan hantu bengkel karipap? Debar di dada semakin kencang. Anggota badan menggeletar. Kemudian Zaki mendengar suara tetapi buah butir tidak dapat ditangkap. Jangan-jangan ada orang yang pecah masuk bengkel. Jika benar, inilah peluang dia menjadi hero. Hilang rasa takut, timbul keberanian.

            Zaki terhendap-hendap menuju ke tingkap. Dia merapatkan telinga pada kepingan-kepingan cermin yang tertutup. Memang suara manusia. Dia mendengar dengan lebih teliti. Tidak semena-mena tingkap itu terselak.

            “Bang, cari karipap ke? Sekejap ya. Tengah goreng.”

            Ada kepala terjengul di ambang tingkap. Zaki pucat lesi tatkala melihat wajahnya. Dia mengundur ke belakang dan berlari ke arah motosikal. Pada waktu yang sama muncul satu lagi motosikal. Mujurlah penunggang itu sempat membrek. Rupa-rupanya Man Lampung.

            “Selamatkan diri Abang Man!”

            Zaki ambil kotak berisi periuk cap buaya tiga beradik dan lari lintang-pukang. Man Lampung yang melihat Zaki pecut langkah seribu terus capai bapak baung di dalam raga motor. Selepas beberapa kali mencuba nasib, malam ini rezeki miliknya. Biar tinggal joran jangan tinggal ikan. Dia ikut lari bersama persoalan, apa sebenarnya yang berlaku.

            “Oi Zaki, tunggu aku. Apahalnya? ”

            “Selamatkan diri dulu. Ceritanya kemudian.”

            “Selamatkan diri daripada apa? Kita nak lari ke mana?”

            “Ke masjid depan tu. Cepatlah.”

            Kedua-duanya menyusup belakang rumah orang kampung, jalan pintas menuju ke masjid Kampung Jambu Sebatang. Para Jemaah yang menuruni tangga masjid kehairanan melihat Zaki dan Man Lampung berlarian bagaikan dikejar sesuatu.

            “Hah, dah kenapanya kau orang berdua ni? Seorang kepit kotak, seorang lagi cebek ikan.” Imam Ali bertanya.

            “Tolong kami. Ada hantu karipap.” Zaki menjawab termengah-mengah.

            “Hai, berkenan betul hantu bengkel tu dengan kau orang berdua. Kami ni lalu-lalang dekat situ tak kena kacau pun. Budak-budak grup paranormal berhari-hari berkampung, tak pernah sekali pun terjumpa,” Madi menyindir.

            Dalam kekecohan, muncul pula sebuah motosikal, memecut laju ke perkarangan masjid. Penunggangnya berbaju labuh putih berwajah serba putih. Pemboncengnya juga sama. Kaum perempuan menjerit ketakutan. Begitu juga anak kecil dan remaja yang turut sama berjemaah di masjid.

            “Itulah orang yang buat onar di bengkel saya. Terintai-intai entah apa yang dicari. Jangan-jangan cerita hantu hulur karipap dengan teh tarik malam tu rekaan semata supaya tak da orang syak kerja dia. ” Penunggang motosikal menuding ke arah Zaki.

            “Betul bah. Zakilah punya kerja,” sampuk si pembonceng.

            “La, Wok dengan Eda rupanya. Kan abah dah cakap tadi duduk rumah. Yang kau orang berdua berjubah putih dengan muka macam pelakon opera cina ni apa kes. Aduh, sesak dada aku dengan perangai budak-budak ni!” Mat Apam Balik mencelah.

            “Hish, kau orang berempat ni kan, kalau tak mengharu-birukan kampung tak boleh ke. Sekarang cuba cerita satu-persatu apa sebenarnya yang berlaku. Kita sama-sama selesaikan.” Pak Razak mencari penjelasan.

            Di perkarangan bengkel Wok Resepi Warisan Frozen kelihatan seekor kucing hitam sedang berlegaran. Haruman karipap goreng nan semerbak menyerak ke segenap bahagian bengkel. Lampu yang menyala di bahagian dapur terus terpadam.

 

            Keesokan malam, beberapa kelibat mundar-mandir di belakang bengkel Wok Resepi Warisan Frozen. Tatkala tiba di satu kawasan, kesemuanya berhenti. Salah satu kelibat itu kelihatan terbongkok-bongkok sambil mencangkul.

           “Inilah bendanya. Memang betul Wok, ada orang yang berdengki dengan kamu. Dia tak nak kamu buka perniagaan kat sini,” jelas Ustaz Ahmad.

           Lubang yang digali itu disuluhi dangan lampu picit. Di dalamnya terdapat sepunjut kain putih.

           “Siapa punya kerja ustaz?” Wok Maisara bertanya.

           “Maaf Wok. Ini memang syarat, pelakunya dirahsiakan. Soal balasan atas apa juga amalan, biarlah antara si pelaku dan ALLAH. Tak elok kita berdendam dan bermusuhan. Doakan yang baik-baik saja.” Ustaz Ahmad mengulas.

           Wok Maisara, walaupun hati panas dengan orang yang cuba menyekat pintu rezekinya mengangguk faham. Begitu juga Imam Ali, Mat Apam Balik dan Eda.

           Malam semakin larut. Sayup-sayup kedengaran salakan anjing di pinggir kampung. Di jalan kampung, ada seekor kucing hitam berlari pantas menjauhi kawasan bengkel.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.