Home Cerpen Seram/Misteri Sepunjut Sup Punjut
Sepunjut Sup Punjut
Diq Na
5/11/2021 15:11:17
264
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Effa dinaikkan pangkat dua bulan lalu. Dia sangat gembira. Penat lelah bekerja penuh dedikasi di sebuah syarikat swasta terbalas jua.

            Namun kegembiraannya tidak lama. Lewat ini, Effa sering didatangi mimpi-mimpi aneh. Dia juga berasa resah tatkala senja tiba. Menjelang malam, bau-bauan pelik akan muncul di persekitaran rumah.

            Adakala dia seperti terdengar-dengar namanya dipanggil. Suara-suara misteri itu seakan mirip suaminya tetapi mustahil kerana mereka tinggal berjauhan. Kamal seorang guru, mengajar di Kuala Lipis. Dia bersama dua orang anak kecil berada di Kuantan. Lebih merisaukan lagi apabila anak-anak kerap terjaga waktu tengah malam dan menangis tanpa henti.

            Musliha, teman rapat di tempat kerja berpendapat Effa tiga beranak berkemungkinan terkena buatan orang. Manalah tahu kalau-kalau ada di kalangan rakan sekerja yang berdengki atau tidak berpuas hati dengan kenaikan pangkat Effa. Musliha juga menasihati Effa supaya segera pergi berubat.

            Jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Effa sedang membasuh pinggan mangkuk di dapur. Di ruang tamu kedengaran gelak ketawa Mia, si sulung yang berusia tiga tahun. Seorang lagi anaknya, Irwan berusia setahun.

            Ayah dan ibu Effa tiba dari kampung tengah hari tadi. Effa yang meminta orang tuanya datang. Dia mahu berbincang tentang situasi yang sedang dialami.

            Zuppp! Effa perasan seperti ada kelibat melintasi lorong di belakang rumah. Mendiami rumah lot tepi barisan terakhir, lorong itu memang jarang dilalui orang atau kenderaan. Dia menjenguk ke luar jendela. Tiada sesiapa. Dek kerana orang tuanya ada, beranilah dia membiarkan jendela terbuka.

            Tambahan pula  Salman, kucing jantan kesayangan masih berada di luar rumah. Orang tuanya bukan tidak suka kucing tetapi perangai Salman yang suka bergesel-gesel di kaki dan duduk di atas riba itu membuatkan mereka rimas. Salman diletakkan di luar rumah dahulu. Dekat-dekat hendak tidur nanti barulah dibawa masuk.

            Effa menjenguk-jenguk lagi. Salman yang seketika tadi bermain-main di celah rumpun pandan tiada di situ. Dia rasa tidak sedap hati.

            “Salman oh Salman!”

            Effa melaung dengan lantang tetapi Salman tidak muncul. Selalunya kucing jantan bertompok-tompok oren itu akan segera datang apabila namanya dipanggil. Dia teringatkan cerita yang sedang heboh dalam grup WhatsAap perumahan mereka. Sudah dua tiga orang penduduk yang mengadu tentang kehilangan kucing peliharaan.

            Jangan-jangan Salman telah dicuri orang dan kelibat yang melintas tadi ialah pencuri. Effa berasa cemas. Dia segera keluar mencari Salman. Puas dia melilau di belakang rumah namun Salman gagal ditemui.

            Effa beralih ke sisi tepi rumah. Nun di hujung laman dia melihat Salman terbaring di tepi pasu bunga. Dia memanggil Salman tetapi tiada respons. Kucing itu tetap mendiam di situ. Merajuk agaknya, bisik hati.

            Effa mendekati Salman. Langkah segera mati apabila terpandang benda bulat di sebelah Salman. Melalui lampu jalan yang samar-samar menerangi halaman, dia mendapati benda bulat itu adalah sepunjut kain putih. Darah terus berderau. Dia segera memanggil orang tuanya.

            “Dah terbukti, memang sah ada orang dengki. Kasihan Salman. Tak pasal-pasal terkena sama.” Effa susah hati.

            “Abahnya, awak ambilkan. Saya rasa macam kenal aje kain berpunjut tu,” pinta Hajah Ramlah.

            “Yalah. Saya pun rasa macam selalu tengok,” balas Haji Said.

            Lelaki berusia lewat 60-an itu pun mengambil kain putih berpunjut tersebut lalu diserahkan kepada isterinya. Kemudian mereka sama-sama ketawa.

            “Ini sup punjut homemade mak. Yang si Mia makan sup ayam bertambah-tambah tadi, inilah rahsianya. Mesti Salman selongkar tong sampah,” kata Hajah Ramlah.

            “Ya ke? Selama ni tak pernah nampak pun mak guna yang homemade.” Effa mati-mati tidak percaya.

            “Memanglah tak pernah nampak mak guna kalau dari kecil duduk asrama. Bila cuti liat nak turun ke dapur. Makanan dah terhidang, tersengih-sengih aje tarik kerusi terus makan. Dari sekolah sampai masuk U, perangai tak berubah. Dah beranak-pinak pun gitulah juga.” Hajah Ramlah meleteri Effa.

            “Bak sini. Abah tunjukkan ya nak.” Haji Said mengambil semula kain putih berpunjut dari tangan isterinya.

            Ikatan pun dileraikan. Rempah ratus yang ditumbuk kasar dan telah kembang dikuis-kuis oleh Haji Said.

            “Tengok betul-betul. Ada kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan rempah biji. Ini sukatan untuk sup. Kalau kurma atau kari lain pula,” jelas Hajah Ramlah.

            Effa masih tidak percaya. Dia mengambil kain putih berpunjut yang terlerai ikatan itu lalu diletakkan ke tapak tangan. Memang betul, isi kandungan rempah ratus seperti yang disebut ibunya.

            “Mak rasa kamu ni sebenarnya stres. Yalah, berjauhan dengan suami, nak uruskan anak, kerja-kerja pejabat lagi. Letih buat semua perkara seorang diri. Sebab tu fikiran kamu terbayang macam-macam,” pendapat ibunya.

            “Abah setuju. Pasal budak-budak ni, rasanya mereka tak rasi dengan pengasuh sekarang. Cubalah cari pengasuh lain.” Ayahnya mencelah.

            Tiba-tiba…

            “Abang Man, kenapa tinggalkan Yah, kenapa?”

            Mereka berpaling ke arah suara berkenaan. Di sebalik pintu pagar belakang, berdiri seorang wanita tua memakai kain batik dan berbaju kurung kedah. Badannya kurus, muka berkerepot dan rambut mengerbang tidak terurus. Rupanya sungguh menakutkan.

            Effa merapati kedua orang tuanya. Irwan yang didukung oleh Hajah Ramlah menangis ketakutan. Mia pula bersembunyi di sebalik kaki datuknya.

            “Siapa tu? Ooo… patutlah Abang Man tak nak balik. Dah ada orang baru rupanya. Mesti perempuan tu main guna-guna sampai abang lupakan Yah.” Wanita tua itu terus naik suara.

            “Masuk dalam cepat. Jangan pandang belakang. Masuk, masuk!” Haji Said segera mengarahkan semua kembali ke rumah.

            Mereka lima beranak berlari ke pintu dapur. Tangisan Irwan semakin kuat. Mia pula menjerit ketakutan.

            “Nak bawa ke mana laki aku tu. Pulangkan balik, pulangkan!” Wanita tua itu meradang lalu menggegar pintu pagar.

            Kemudian…

            “Itu dia neng. Cepat!”

            “Pegang dia bik. Kalau dia panjat pagar tu susah kita nanti.”

            Dua susuk tubuh tiba-tiba muncul dari gelap. Suasana yang menyeramkan bertukar kecoh.

            “Pegang kuat-kuat bik.”

            “Ya, ya.”

            “Lepaskan. Aku nak laki aku balik.”

            “Ya ampun ibu. Itu bukan Bapak Eman. Dia kan udah lama meninggal. Bukan bu. Itu orang lain.”

            “Itu laki aku. Pulangkan!”

            “Bukan Wan Yah. Itu bukan Tuk Man.”

            “Laki aku. Pulangkan, pulangkan!”

            Suasana menjadi semakin kecoh. Bersuluhkan lampu jalan, Effa mengecam wajah Cikgu Aira, jiran selang dua lorong.

            “Laaa… nenek cikgu ke. Mati-mati kami ingatkan hantu tadi. Meremang kami dibuatnya. Maaflah, tersalah sangka. Kenapa sampai jadi gini?”

            “Saya pun nak minta maaf sebab mengganggu. Nenek saya ni dah nyanyuk.”

            “Apa nyanyuk-nyanyuk. Aku tak nyanyuklah. Aku kenal laki sendiri. Hey, aku nak laki aku balik, pulangkan!”

            “Alah, macam mana ni bik? Pujuklah Wan Yah. Bibik yang jaga, tentu tahu caranya.”

            Kekecohan yang timbul menyebabkan ramai jiran tetangga keluar dari rumah. Setelah mengetahui situasi sebenar, mereka turut berusaha memujuk nenek Cikgu Aira. Selepas 10 minit wanita tua itu beransur tenang.

            “Maaflah ya. Sebenarnya mak ayah saya pergi umrah, mereka bimbang nak tinggalkan Wan Yah berdua saja dengan bibik. Jadi saya bawa ke sini. Agaknya dia curi-curi keluar masa saya buang sampah tadi.” Cikgu Aira memberi penjelasan kepada semua jiran yang berada di situ.

            “Tak mengapalah. Nenek cikgu dah tenang nampaknya. Bawa balik cepat. Hari pun dah lewat. Elok kita semua bersurai,” kata Haji Said.

            Lorong belakang itu kembali lengang. Effa memanggil Salman. Sesudah kucing jantan itu masuk ke dalam rumah dia segera mengunci pintu.

            Zuppp! Ada kelibat melintas sekali lagi sebaik lampu dapur terpadam.

 

            Jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Seperti biasa, Effa membasuh pinggan mangkuk di dapur. Di ruang tamu riuh rendah suara anak-anak, ditemani oleh datuk dan nenek mereka. Esok, kedua-duanya akan pulang semula ke kampung.

            Hasil perbincangan bersama, Effa tidak jadi berubat. Dia turut dinasihati oleh orang tuanya agar tidak terlalu memikirkan perkara tahyul dan khurafat itu semua. Mungkin betul kata mereka, dia hanya stres. Kamal pula meminta Effa supaya bersabar dan terus berdoa. Moga-moga permohonan pertukaran ke Kuantan diluluskan secepat mungkin.

            Seperti malam semalam, Salman diletakkan di luar rumah. Jendela terbuka. Sesekali Effa menjenguk kucing jantan itu.

            Zuppp! Effa terasa ada kelibat yang melintasi lorong belakang rumah, sama seperti semalam. Dia memerhati ke luar jendela. Salman tiada. Rasa tidak sedap hati terus menyerang.

            “Salman, Salman!”

            Effa memanggil tetapi Salman tidak muncul. Dia terus keluar mencari dan ternampak Salman tidak jauh dari pintu pagar belakang. Kucing itu menggelisah tidak tentu arah. Kemudian berlari masuk ke dalam rumah.

            Effa memandang ke arah pintu pagar. Berbekalkan cahaya lampu jalan, dia melihat seorang wanita tua berkain batik dan berbaju kurung kedah di situ. Wajahnya tidak jelas kerana dilindungi rambut yang mengerbang. Jangan-jangan…

            “Nek Yah, jangan pergi mana-mana ya! Saya telefon Cikgu Aira sekejap.”

            Effa bergegas masuk ke dalam rumah. Dia segera mencapai telefon. Orang tuanya bertanya mengapa dia cemas semacam.

            “Nek Yah terlepas lagi, ada dekat belakang. Cepat, takut dia buat hal macam semalam.”

            Mereka pantas keluar menuju ke pintu pagar belakang. Wanita tua itu sudah tiada. Effa terus menelefon Cikgu Aira.

            “Ibu saudara dah bawa balik ke Perak petang tadi sebab takut kejadian semalam berulang. Kenapa Kak Effa?”

            “Kalau macam tu, siapa yang berdiri…”

            Belum sempat ayat habis, kedengaran suara mengilai di atas bumbung rumah. Wanita tua yang dilihat oleh Effa tadi sedang mencangkung di atas atap.

            “Hi hi hi hi.” Kali ini lebih nyaring lagi menyeramkan.

            “Masuk cepat. Jangan tengok-tengok. Kali ni memang betul ‘benda’ mengacau.” Haji Said mengarahkan semua ahli keluarganya masuk ke dalam rumah.

            Semasa di dalam rumah, gangguan berterusan lagi. Pintu rumah seperti dicakar-cakar. Kemudian diketuk dan digegar dengan kuat, seakan makhluk itu berusaha untuk masuk ke dalam. Haji Said melaungkan azan. Barulah cakaran dan ketukan itu berhenti.

            “Jangan bimbang. Abah dah pagar rumah kamu malam semalam. Lepas semua orang balik, memang terasa lain macam. Ingatkan cuma perasaan abah aje. Rupa-rupanya memang betullah yang ‘benda’ tu ada.”

            Malam itu seisi rumah berjaga. Salman juga duduk diam di sudut rumah, seakan kucing itu dapat merasakan ada yang sedang mengganggu di luar sana. Sesekali telinganya capang, seolah-olah mendengar sesuatu.

            Haji Said dan Hajah Ramlah membaca Al Quran sepanjang malam. Effa pula tidak berenggang dengan anak-anaknya. Syukur, tiada lagi gangguan selepas itu.

            Keesokan hari, Effa mengikut orang tuanya pulang ke kampung untuk berubat. Seminggu kemudian, dia dan suami kembali semua ke rumah. Turut bersama, ustaz yang telah mengubati mereka sekeluarga. Mereka berjaya menemui sepunjut kain putih yang mengandungi benda-benda kotor tertanam di belakang rumah.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.