Rindu, sukar disangkal. Bertemankan radio di sudut dapur, siaran IKIM.fm berkumandang. Sebuah lagu nasyid dendangan kumpulan nasyid popular Rabbani sedang berputaran di corongnya.
Tatkala mendengar lantunan suara penyanyi utama Allahyarham Mohamad Asri bin Ibrahim, dia teringatkan arwah suami. Hari ini genap lima tahun pemergiannya. Sama seperti tahun-tahun yang berlalu pergi, rindu itu tidak pernah susut sama sekali.
Selang beberapa minit, putaran lagu tamat. Juruhebah berceloteh semula. Zizah menyambung kembali kerja yang tergendala. Balang kaca yang digunakan untuk menjeruk maman dibuka berhati-hati. Meruap bau ke segenap ceruk dapur, membangkitkan sekali lagi memori tiga dekad perkongsian hidup bersama lelaki bernama Mohd Daud.
Maman jeruk kesukaan Abang Daud. Sama ada dimakan terus bersama nasi atau dibuat gulai. Selepas bertahun-tahun ketiadaan suami, masih jua dia menanam dan menjeruk maman walaupun makan tidak sebanyak mana.
Dahulu, rezeki yang dinikmati meskipun berdua akan diselangi puji-pujian penyedap hidangan. Itulah perisa tambahan yang mengeratkan hubungan mereka. Kalaulah dia boleh kembali semula ke waktu itu…
Maman jeruk dibungkus siap-siap ke dalam plastik. Selepas zuhur, dia akan ke warung Wirda. Sebahagiannya akan diletakkan di situ. Beberapa bungkus lagi dia simpan untuk makan sendiri. Selebihnya akan disedekahkan kepada jiran tetangga. Sudah menjadi rutin, mereka duduk bersantaian di bawah pohon kundang kala petang sambil memerhati anak-anak bermain. Duduk-duduk sambil bercerita, mengeratkan lagi ikatan silaturrahim.
Sebaik semua kerja beres, sebuah kereta memarkir di halaman. Bukan kereta Wirda, anak angkatnya.
Dia mencongak-congak siapa gerangan dari balik dedaun jendela. Sehingga penumpangnya keluar lalu memberi salam, barulah dia cam tetamu yang melayahkan kunjungan.
“Takkan semuanya Zizah, banyak ni.”
“Ambillah, rezeki Durrah dan anak. Dua tiga bungkus yang tinggal tu untuk Milah dan Ramnah.”
“Kalau semuanya nak diberi pada orang, apa lagi yang tinggal untuk jualan di warung Wirda nanti.”
“Tak mengapa, aku bukan nak buat duit sangat. Saja teringatkan arwah Abang Daud. Separuh kau buat gulai lemak yang Durrah teringinkan sangat tu. Selebihnya boleh dibawa balik ke KL. Pesan dengan Durrah, simpan di dalam peti sejuk. Tahan lama.”
“Terima kasihlah Zizah. Sesak juga aku. Tiba-tiba dia menyebut. Katanya tertengok dokumentari pasal maman semalam. Dia mengidam nak makan gulai lemak maman jeruk dengan ikan keli.”
“Aku mana pernah rasa mengidam itu semua. Pinjamkan aku sekejap keseronokan bergelar ibu. Dapat layan kerenah orang mengidam pun jadilah.”
Zizah tunduk. Hati tersayat pilu mengenang ketidakupayaan diri melahirkan zuriat. Rubiah mencapai tangannya lantas digenggam erat.
“Setiap daripada kita dah ditentukan bahagian rezeki masing-masing. Walaupun tak punya anak tapi ada suami yang baik, setia dan penyayang. Kau dan Daud bercerai mati. Aku pula bercerai hidup. Hujan tidak, ribut pun tidak, Bahar tinggalkan aku terkontang-kanting mencari di mana silap. Bayar nafkah anak pun sambil lewa.”
Zizah dongak kepala semula. Kata-kata itu sarat dengan kekuatan. Dia memaku pandangan ke tampang Rubiah lalu melampiaskan senyuman.
“Betul kata kau Rubiah. Kadang-kadang, kita jadi manusia yang lupa bersyukur apabila terlalu memikirkan kekurangan diri.”
“Sudahlah, jangan difikirkan sangat. Aku kan ada. Anak aku dah macam anak kau juga. Durrah contohnya. Mengidam maman jeruk kau. Tak nak yang orang lain. Wirda tu pula, nama saja anak angkat tapi aku tengok cara layanan dia sama macam emak ayah sendiri. Aku beransur dulu Zizah. Lama sangat menantu aku tunggu dalam kereta. Hari pun dah tinggi. Nak masak gulai lemak maman lagi. Kau masak apa tengah hari ni?”
“Aku macam biasalah. Puasa sunat hari Isnin.”
“Aku baru nak ajak kau ke rumah. Sekarang cuti sekolah. Anak menantu dan cucu semua balik. Makan beramai-ramai tentu seronok.”
“Esok-esok sajalah.”
Ukhwah di antara mereka sudah terjalin sekian lama. Rubiah pernah tinggal di salah sebuah rumah sewa mereka. Lewat 20-an, Rubiah bercerai. Demi membesarkan anak-anak, sahabatnya itu bekerja di sebuah kantin sekolah. Durrah dan adik bongsunya pernah menumpang kasih di rumah Zizah kerana mereka masih kecil. Sementara dua lagi kakak mereka bersekolah di tempat yang sama Rubiah mencari rezeki.
Zizah pernah mengusulkan cadangan agar Abang Daud mengambil Rubiah sebagai isteri kedua. Dia rela bermadu kerana kasihankan Rubiah anak-beranak. Hasil kebun dan rumah sewa mereka melimpah-ruah. Ditambah lagi cakap-cakap kurang enak orang kampung kerana ada waktunya Rubiah bermalam di rumah mereka. Lebih baik Abang Daud dan Rubiah bernikah sahaja.
Namun cadangan itu dibantah keras. Ketiadaan zuriat sendiri bukan alasan untuk bernikah lagi. Abang Daud bahagia meskipun rumah tangga mereka ada kelompongan.
Rubiah juga bertegas enggan berkongsi kasih. Kata Rubiah, dia tidak kesah kalau Zizah suami isteri ikhlas membantu tetapi bermadu tidak sama sekali.
Pedulikan kata orang. Mulut tempayan mana mungkin ditutup. Kalau mereka sudah penat, berhentilah bercakap. Tambah Rubiah lagi, Zizah sudah dianggap sebagai adik-beradik. Abang Daud pula tidak ubah seperti seorang abang yang prihatan. Hubungan itu tidak sepatutnya dirosakkan hanya kerana hasutan fitnah semata-mata.
Ah! Jauh benar lamunan. Kereta yang dipandu menantu Rubiah sudah lama berlalu. Dia mengunci pintu dapur. Wirda selalu meninggalkan pesan agar rumah tidak dibiarkan terdedah lantaran dia tinggal berseorangan. Penjenayah tidak memilih mangsa. Waima di kampung sekalipun, perlu sentiasa berwaspada.
Menu apa untuk berbuka puasa nanti? Lewat ini, mungkin juga faktor usia, selera makan semakin berkurangan. Makan sekadar melapik perut kosong. Mendatangkan mudarat jika dibiar berlapar terutama bila badan sudah berumur. Nanti timbul pelbagai penyakit.
Kalau jatuh sakit, siapa yang akan menjaganya? Hendak menumpang harap pada Wirda, sesekali bolehlah. Wirda ada keluarga. Anak-anaknya masih kecil. Ada warung yang perlu diuruskan lagi.
Hendak diharapkan Rubiah, dua kali lima sahaja. Rubiah sebaya dengannya. Sama-sama sedang meniti usia senja. Sudah sakit sana, sengal sini. Kalau dia kurang sihat, Rubiah akan tidur di rumah. Begitulah juga andai sebaliknya.
Pengat labu, pemanis mulut tradisional itu melantun keluar dari kotak ingatan. Kecur air liur pabila terbayangkan pengat labu kesukaannya.
Bertentangan pula dengan Abang Daud, sifat labu yang berangin itu menjadi kepantangan bagi orang yang selalu sakit-sakit badan. Kalau terhidang di atas meja, dia sekadar menjamah sedikit demi menjaga hati isteri.
Hai, mengidam pengat labu pula. Mengalahkan Durrah yang sedang mabuk sulung. Biasalah, selera kala berpuasa memang teringin itu dan ini. Tengoklah waktu berbuka nanti, tidak luak mana pun.
Situasi sebegitu juga sama ketika Ramadan. Sebaik azan maghrib berkumandang, segelas air sirap bersama tiga biji kurma yang dikenyam dahulu. Usai bersolat, perut cuma menjamah nasi ala kadar.
Perempuan kalau mengidam, kemahuannya macam-macam. Kekadang pelik-pelik terutama bagi mereka yang berbadan dua. Atau tekak tiba-tiba teringinkan sesuatu, macam dia sekarang.
Warung Wirda, anak angkatnya itu ada menyediakan pelbagai pengat untuk minum petang selain mi goreng, mi sup, nasi goreng dan laksa sebagai menu utama. Berselang hari dengan kuih-muih, pisang goreng atau keledek goreng. Mungkin hari ini giliran pengat.
Perancangan asal, dia memang hendak ke situ. Kalaupun maman jeruk untuk jualan kehabisan,dia perlu keluar juga demi pengat labu.
Harap-harap ada apa yang dihajati. Kalau tiada, tidak kesahlah pengat apa pun. Janji lepas hajat. Air tangan Wirda memang enak. Dia buat macam makan sendiri. Cukup segala manis dan lemak.
Ketika arwah suami masih ada, apa sahaja yang disebut dek mulut, dia akan sedaya upaya menyediakannya dengan alasan takut ada yang kempunan. Selepas zuhur dia mesti jenguk warung Wirda. Lambat-lambat nanti kehabisan pula.
Lunas kewajiban bersolat zuhur, Zizah bersiap-bersiap. Dia mendongak ke langit ketika berdiri di muka pintu. Tompokan awan putih berlatarkan warna biru jelas kelihatan. Mentari membiaskan bahang, mengiringi cuaca cerah.
Tidak semena-mena Zizah mengeluh. Meskipun warung Wirda letaknya cuma di simpang kampung, bermandi peluh juga sebelum sampai ke destinasi. Dalam keadaan diri yang sedang berpuasa, terlaratkah dia mengharungi hari yang terik sebegini?
Spontan Zizah mengucap. Dia tidak sepatutnya berfikiran seperti itu. Ini baru panas dunia. Di akhirat nanti entah bagaimana keadaannya. Dia terkenang semasa menunaikan fardu haji setahun sebelum Abang Daud kembali ke rahmahtullah, cuaca lebih panas daripada ini. Boleh sahaja dia mengharunginya tanpa masalah.
Payung kan ada. Jalan itu juga teduh. Dirimbuni pohon kelapa dan buah-buahan milik jiran tetangga. Dia terus kunci pintu. Perlahan-lahan menelusuri jalan kampung.
Hanya tinggal beberapa meter sebelum Zizah menyedari yang warung Wirda tutup. Diteruskan juga menapak meskipun jelas kelihatan kerusi dan meja tersusun rapi di hujung sudut. Mungkin Wirda ada di dalam warung. Boleh jadi dia lambat berniaga hari ini.
Harapan yang dikendong pudar tatkala terpandang pintu terkatup rapat. Mengapa warung tutup? Tidak pula anak angkatnya itu berkhabar. Selalunya jika berlaku kecemasan, Wirda pasti akan menelefon atau setidak-tidaknya menghantar pesanan ringkas.
Hati ditindih kerunsingan. Tak boleh jadi! Dikeluarkan telefon pemberian Wirda. Dia masih ingat, Wirda beria-ia mengajak ke bandar untuk membeli sebuah telefon sempena hari lahirnya. Jelas Wirda, alat komunikasi itu akan memudahkan perhubungan mereka.
Wirda mahu beli telefon pintar tetapi dia menolak. Memadai yang biasa-biasa sahaja. Asalkan boleh berkomunikasi dan menghantar pesanan-pesanan mudah cukuplah.
Dia bukan ada sesiapa yang penting untuk dihubungi. Bukan macam Wirda, telefonnya sentiasa berdering. Pesanan daripada pelanggan, panggilan daripada pembekal dan bermacam-macam urusan lagi. Orang berniagalah katakan. Naik rimas pula dia melihatnya.
Bukan juga macam Rubiah yang sentiasa dihubungi anak, menantu dan cucu-cucunya. Di dalam telefon pintarnya itu ada banyak foto dan video mereka. Kalau Rubiah sunyi, dia belek sahaja telefon.
“Wirda di kampung suami sekarang. Pak mentua masuk hospital. Kami bergegas pulang pagi tadi. Lupa nak maklumkan pada Mak Zizah. Maaflah ya.”
“Patutlah warung kamu tutup. Ingatkan kamu tak sihat.”
“Susah-susah saja Mak Zizah ke warung. Kenapa tak telefon saya dulu.”
“Bosan duduk rumah. Saja-sajalah keluar cari juadah untuk berbuka puasa nanti.”
“Nanti Wirda telefon Lan pembantu warung, minta dia belikan apa-apa di pekan.”
“Tak usahlah menyusahkan dia. Buka puasa dengan apa yang ada saja nanti. Janji perut kenyang. Kamu jangan bimbang. Uruskan saja hal keluarga tu. Sampaikan salam Mak Zizah pada mentua kamu sekali ya.”
“Mak Zizah jaga diri baik-baik. Wirda mungkin berada di sini dua tiga hari, bergantung pada keadaan.”
Jadi itu penyebabnya mengapa warung Wirda tutup. Memang tiada rezeki hari ini, sabarlah wahai hati.
Hendak dibuat sendiri, kena mencari labu pula. Pisang raja yang ditebang beberapa hari lalu masih belum masak. Keledek juga sudah habis dibuat sayur manis bersama bayam semalam. Dia menapak pulang dengan perasaan hampa.
Kuatkan semangat Zizah, dugaan orang berpuasa. Berbuka nanti nikmati apa sahaja yang ada. Ganjaran puasa sunat yang dijanjikan, itu lebih penting.
Sebaik kaki mencecah muka tangga, dia duduk seketika. Mengah juga berjalan biarpun tidak sejauh mana. Mata tidak lekang memandang halaman. Daun-daun kekeringan terdampar berselerakan di bawah pohon mangga.
Ketika Abang Daud masih ada, tugas menyapu memang rutin harian menjelang petang. Kemudian longgokan daun-daun tersebut akan dibakar. Asap yang berkepul-kepul ke serata halaman akan menghalau nyamuk. Aduhai, rindu bertamu lagi.
Cepat-cepat Zizah menguak pintu sebaik kunci terbuka. Berlama-lama di muka tangga, entah apa lagi yang menerawang di fikiran. Lafaz janji sehidup semati sampai ke syurga, dia tidak mahu terlalu melayan perasaan. Sudah lima tahun Abang Daud pergi, dia yang masih hidup perlu terus melangkah.
Ketika hendak mengatup pintu, Zizah terpandang sebuah motosikal membelok masuk ke simpang rumah. Melihat akan ciri-ciri tubuh dan gaya pakaian, Udin anak bongsu Rubiah. Anak teruna itu sudah tamat pengajian dan sedang mencari pekerjaan. Mengapa pula agaknya? Barangkali ada lagi benda yang diidam oleh Durrah.
“Mak dan Kak Durrah yang suruh hantar.”
“Apa pula ni?”
“Macam-macam ada. Mak Zizah tengoklah sendiri. Saya nak cepat. Ada janji dengan kawan. Esok kami nak ke Kuantan. Lusa ada temuduga. Mak Zizah doa-doakan saya. Manalah tahu kali ini sangkut.”
“Insya-Allah. Kalau sudah tertulis rezeki kamu di situ, Allah perkenankan juga.”
Apa agaknya yang dikirim oleh dua beranak ini? Besar juga bungkusan plastik yang dibawa Udin. Dia cuma sedekah maman jeruk. Tidak seberapa berbanding nilai balasan yang diterima.
Kandungan bungkusan itu dikeluarkan satu-persatu. Ada kek, biskut dan kudapan moden yang tidakdi ketahui namanya. Akhir sekali sebuah bekas plastik berwarna merah. Terasa panas sewaktu dipegang. Sebaik penutup dibuka, aroma daun pandan, gula kabung dan santan menyatu di udara.
Subhanallah, pengat labu…