Setelah hampir tiga minggu mengadakan beberapa ujian, akhirnya Sean berjaya didalam kedudukan kesebelasan yang utama. Walau bukan kali pertama dia mendapat watak utama, namun kerana kecederaan lutut yang dialaminya tahun lepas, membuatkan dia terpaksa mengundurkan diri dari kelab tersebut. Dia terpaksa menjalani pemulihan selama 6 bulan. Beberapa kejohanan terpaksa dilepaskan olehnya. Walaupun sayang kerana tidak dapat beraksi, namun pemulihan dan kesihatan lebih penting dari sebarang pertandingan. Jika dipaksa juga, kemungkinan besar Sean tidak dapat lagi bermain dipadang buat selamanya. Itulah nasihat guru penasihat dan selaku jurulatihnya. Sean terpaksa akur dan berehat dengan secukupnya. Kini dia bersemangat semula dan stamina pula semakin bertambah kerana mempunyai tahap kesihatan yang baik.
“Sean!” laung Aizat dari belakang. Sean yang sedang memanaskan badan melambai tangan padanya. Aizat berjalan bersama Raj mendekatinya. Raj atau nama sebenarnya adalah Rajan, merupakan penggantinya tahun lepas. Sebelum ini Raj hanya pemain simpanan utama. Namun disebabkan kecederaan yang menimpanya, jurulatih telah menjadikan Raj sebagai pemain utama sayap kiri. Kini apabila dia sudah kembali dan mengambil semula tempatnya, Raj telah ditukarkan dibahagian penyerang bersama Aizat. “Mengapa lambat?” tanya Sean sambil melakukan regangan. “Maaf, tadi cikgu Aida tahan kami. Dia minta tolong suruh hantar barang ke keretanya.” Jelas Raj. Mereka bertiga merupakan rakan sekelas dan telah bersama sejak Sean masih pelajar baru tiga tahun dahulu. Sejak itu mereka sentiasa bersama tidak kira kemana dan dimana jua.
Pada suatu pagi selepas tamat pelajaran sejarah, guru sejarah mengumumkan sesuatu. “Baiklah, sekarang ni cikgu mahu kamu semua buat kumpulan untuk projek sejarah yang akan datang ni.” Beritahu cikgu Awang selaku guru mata pelajaran sejarah kelas Intelek.“Sekurang-kurangnya dalam 2 atau 4 orang dalam satu kumpulan. Dan tajuk projek kamu bebas dan berkaitan dengan sejarah.” Ucap cikgu Awang lagi. Maka dengan itu seluruh kelas kecoh dengan suara para pelajar dan mereka semua segera mencari ahli kumpulan masing-masing. Mereka bertiga terpaksa satu kumpulan kerana kelas mereka tidak mencukupi untuk membuat kumpulan yang mempunyai nombor genap.
Petang itu mereka bertiga telah ke perpustakaan untuk mencari maklumat bagi menyiapkan projek sejarah mereka. “Kenapa kita tak cari didalam internet sahaja? Lecehlah nak ke perpustakaan ni” rungut Aizat sambil berjalan bersaing dengan Sean dan Raj. “Kalau kau nak tahu di perpustakaan ni lagi banyak maklumat dari internet tu. Lagipun kitan tengah cari sejarah tentang sekolah kita. Sudah pasti hanya di perpustakaan sekolah yang dapat memberi maklumat yang berguna untuk projek kali ni” jawab Raj. Sean menyokong kata-kata Raj. Aizat hanya mencebik mendengar kata-kata rakannya itu.
“Manalah tahu nanti kau dapat maklumat yang berguna atau terjumpa harta karun di perpustakaan tu” ucap Raj sambil tersenyum pada Aizat yang sudah membuat muka bosan. Dia tahu rakannya seorang itu amat bencikan perpustakaan, namun dia tidak tahu mengapa Aizat begitu anti dengan perpustakaan. “Kau saja nak perli aku.” Ujar lalu menanggalkan kasut dan diletakkan diatas rak yang telah disediakan dihadapan pintu perpustakaan. Aizat menjawab pertanyaan Sean tentang mengapa dia tidak suka masuk ke dalam perpustakaan. “Sebab aku tak suka baca buku. Bosan. Kalau untuk ulat buku macam kamu berdua bolehlah. Aku lebih suka bermain dengan alat elektronik seperti playstation 4, PSP, dan telefon pintar.” Lalu duduk dihadapan Sean dan Raj. Sean dan Raj hanya mengangkat kening sambil mengangguk faham.
Setelah hampir setengah jam mereka mencari dan menulis maklumat yang diperlukan untuk menyiapkan projek sejarah mereka.“Kawan-kawan, cuba tengok apa yang aku jumpa ni?” jerit Aizat sambil berjalan pantas mendapatkan Sean dan Raj yang sedang sibuk dengan kerja mereka dimeja. “Perlahan sedikit suara tu” tegur seorang pengawas yang sedang bertugas. “Maaf.” Ucap Aizat lalu mendapatkan mereka berdua. Aizat menunjukkan sesuatu dari dalam sebuah buku kepada Sean dan Raj. “Apa yang kau jumpa? Harta karunkah? Sampai satu perpustakaan kau menjerit” ujar Raj pada Aizat.
“Entahlah, aku pun tak pasti. Tapi cuba kamu berdua lihat peta pada majalah ini. Ada sesuatu yang pelik tentangnya.” Aizat menunjukkan sebuah peta yang dilukis dikulit belakang sebuah buku majalah sekolah. Majalah itu kelihatan sedikit kusam dan sudah lama sahaja rupanya. “Kenapa dengan peta ni? Apa yang peliknya? Biasalah, semua buku sekolah ada peta sekolah.” Ucap Sean sambil meneliti peta diatas buku tersebut. “Memanglah, tapi cuba kau tengok betul-betul. Bukankah peta ini hanya menunjukkan bangunan tiga tingkat yang terletak ditepi padang sekolah kita. Lagipun hanya ini satu-satunya majalah yang mempunyai peta pelik.” Sean dan Raj melihat dengan khusyuk peta tersebut, kemudian memandang Aizat. “Bagaimana kau pasti ini bangunan tepi padang tu?” tanya Sean. “Cuba kau tengok betul-betul simbol ni” Aizat menunjukkan simbol pokok kelapa sawit dan rumah guru didalam peta tersebut. “Betullah. Hanya ditepi bangunan tu je yang ada rumah guru.” Jawab Raj setelah memerhatikannya dengan teliti. “Bukan itu sahaja, cuba kamu berdua tengok helaian belakang ni pula. Macam plan rumahkan?” Aizat sekali lagi menyelak muka surat sebelah. Sean dan Raj sekali lagi terkejut dengan penemuan rakannya itu.
Setelah hampir 2 jam mereka bertiga bertungkus-lumus menyiapkan projek sejarah, akhirnya siap juga. Semalam Sean telah mempelawa mereka berdua ke rumahnya. “ Aku ada benda nak tunjukkan pada kamu berdua.” Ucap Aizat lalu mengeluarkan sesuatu didalam begnya. Terbeliak mata kedua rakannya saat melihat sesuatu ditangan Aizat. “Hei, kau ambil majalah sekolah semalam.” Jerit mereka berdua serentak. “Apa pula aku ambil. Aku pinjamlah.” Beritahu Aizat. “Apa yang kau buat ni? Kau tahu kan majalah sekolah ni kita tak boleh bawa keluar.” Ujar Raj. “Aku bukannya nak buat apa pun. Cuma nak tahu sahaja pasal peta semalam. Takkan kau tak nak tahu?” soal Aizat pada Raj. Sean hanya memandang mereka berdua bertikam lidah. Raj tidak bersetuju dan mahu memulangkan majalah tersebut. Mereka berdua mula berebut majalah sekolah itu.
“Kamu berdua!” marah Sean. Aizat dan Raj segera memandang Sean. “Macam nilah kita tengok dan dengar dulu apa yang ingin disampaikan oleh Aizat. Kalau tiada yang menarik kita pulangkan majalah ini. Daripada kamu berdua berebut macam ni, lagi susah kita nak jawab dengan pengawas perpustakaan kalau koyak nanti.” Cadang Sean. Aizat dan Raj berhenti berkelakuan seperti kanak-kanak. “Aizat, apa yang kau nak tunjukkan pada kami?” soalnya sambil memandang Aizat. Dengan segera Aizat menyelak muka kulit yang terakhir kemudian dia mengeluarkan sehelai kertas yang telah berconteng diatas.
“Cuba kamu berdua tengok peta ni, bila aku letakkan plan diatasnya.” Aizat menggabungkan peta dan plan yang telah dilukis diatasnya. “Kamu berdua tidak rasakah bahawa bangunan dan plan ni ada kena-mengena diantara satu sama lain?” soalnya pada kedua rakan itu. Mereka berdua meneliti kedua-dua bangunan dan plan tersebut sebelum menjawab pertanyaan Aizat. “Kau yakinkah bangunan dan plan ini berkait? Entah-entah plan ni untuk bangunan lain.” Ujar Raj kurang yakin dengan penjelasan Aizat. “Aku dah agak, kau mesti cakap macam tu. Mari sini aku tunjuk.” Aizat mengambil buku projek mereka yang mempunyai peta sekolah mereka. “Cuba kau tekap dan padankan dengan bangunan sekolah yang lain.” Arah Aizat lalu memberikan plan pada Raj. Sean hanya memerhatikan perbuatan rakannya itu. Raj menekapkan plan pada bangunan sekolah dan cuba memadankannya. “Tak sama dengan peta yang lain.” Ucap Sean sambil mengambil buku daripada Raj. “Kamu berdua rasa, apa yang ada dibangunan tiga tingkat ni?” soal Sean lagi sambil matanya memandang peta dihadapannya. “Tak tahu.” Jawab mereka berdua serentak. “Kalau macam tu kita…” Sean tidak menghabiskan kata-katanya, dia membiarkan sahaja ianya tergantung. Aizat dan Raj memandangnya sambil menunggu sambungan ayat.
“Aizat, maaflah lambat. Si Raj ni buat hal. Tiba-tiba sakit perut nak membuang pula.” Sean memberi alasan mengapa mereka berdua lewat sampai. Raj hanya tersenyum sumbing mendengar jawapan Sean. “Dahlah, jomlah kita jalankan operasi yang kamu cadangankan tempoh hari.” Ucap Aizat pada Sean. Tempoh hari Sean telah mengemukakan satu cadangan semasa mereka bertiga membincangkan sebuah peta sekolah dan sebuah plan bangunan ketika mereka sedang membuat projek sekolah di rumahnya. Cadangannya adalah melihat sendiri bangunan tiga tingkat tersebut. Memastikan plan bangunan tersebut benar atau tidak. “Marilah, lagipun hari semakin panas ni” ajak Sean.
Dengan keberanian dan perasaan ingin tahu yang tinggi. Mereka bertiga berjalan melintas bangunan tingkatan enam kemudian melalui padang sekolah, sebelum sampai ke bangunan tiga tingkat yang berada dihujung padang sekolah. “Jauh juga nak sampai ke bangunan ni.” Ucap Raj sambil mengelap peluh yang meleleh dipipinya. Sean dan Aizat, masing-masing tersenyum sumbing mendengarnya sambil membuka butang baju sekolah mereka kerana panas. Hari ini terasa panas yang amat, selalunya panas begini yang tiada angin, menandakan ribut akan melanda. Selepas 3 minit berjalan, akhirnya mereka bertiga sampai dihadapan bangunan usang tiga tingkat itu.
“Dah berapa lama bangunan ni di tinggalkan?” tanya Sean sambil berjalan mengintai sebuah kelas melalui sebuah cermin yang telah pecah. “Kalau tidak silap aku, sudah hampir 50 tahun. Sejak berlaku kebakaran yang telah meragut sehingga 10 orang pelajar disini. Bangunan ini langsung tidak diusik. Ada juga mereka bercadang mahu buat pembaikan dan menggunakan semula bangunan ni. Namun cadangan itu hanya tinggal sebagai cadangan sahaja sampai sekarang. Aku tak tahu sebab-sebab mengapa cadangan itu tidak dilaksanankan. Tetapi terdapat beberapa dakwaan yang mengatakan cadangan tersebut tidak dapat dilaksanakan. Ada yang mengatakan mahu bangunan ini dijadikan tanda memorial pada kebakaran yang berlaku, ada juga yang mengatakan bangunan ini berhantu dan ada juga terdapat dakwaan bahawa bangunan ini bukan bangunan sekolah. Aku sendiri pun tidak pasti yang mana satu berita sahih.” Beritahu Aizat. Raj dan Sean memandang Aizat, mereka berdua terkejut dengan infomasi yang diberikan oleh rakannya itu. Padat dan terperinci. “Amboi, panjang betul penerangan kau. Mana kau dapat maklumat semua tu?” tanya Sean lagi. “Semua tu dihujung jari ni.” Jawab Aizat sambil menunjukkan jari telunjuknya pada Sean.
Raj tidak mengendahkan perbualan mereka berdua, dia begitu leka melihat kelas-kelas yang telah lama ditinggalkan itu. Dia mencuba membuka pintu namun berkunci. “Kamu berdua, mari kita teroka bangunan ni” ajak Raj sambil berjalan naik ke tangga yang berdekatan dengan rakannya itu. Mereka bertiga memulakan perjalanan naik ke tingkat dua. Di tingkat ini mempunyai tiga buah kelas, namun ketiga-tiga sudah habis hangus terbakar. Tiada rupa langsung, yang ada hanya meja dan kerusi yang sudah hangus. Kemudian mereka bertiga naik ke tingkat 3 bangunan tersebut. Sean cuba membuka sebuah pintu.
“Eh, pintu ni terbukalah.” Ucapnya teruja lalu mereka bertiga masuk ke dalam. “Besar juga kelas didalam ni” ujar Aizat sambil berjalan. “Macam dewan je ditingkat ni” kata Raj pula apabila melihat kelas tersebut terlalu luas baginya. Ini kerana hanya didinding didepan sahaja yang mempunyai sebuah papan hitam dan terdapat banyak kerusi meja yang telah bersepah disitu. “Yalah, aku pun rasa macam tingkat 3 ni dewan. Macam dewan peperiksaan sahaja.” Sokong Sean. Mereka bertiga kemudiannya berjalan ke sebuah tingkap yang menghadap padang sekolah. “Wah, dari sini kita boleh nampak kelas kita.” Jerit Aizat sambil memandang ke bangunan kelas yang terletak di seberang padang sana. “Aizat, cuba tengok semula plan bangunan ni.” Sean mengambil plan tersebut daripada tangan Aizat. Dia melihat dan memandang ke sekeliling dewan tersebut. “Eh, kamu berdua cuba tengok plan ni.” Ucapnya pada Raj dan Aizat yang begitu leka menikmati pemandang sekolah mereka dari tingkat atas itu. “Kenapa?” hampir serentak mereka ajukan soalan pada Sean. “Cuba tengok ni.” Tunjuk Sean.
Ada sesuatu yang pelik tentang plan yang dilukis oleh rakannya itu. Terdapat satu bilik di tingkat dua yang mereka terlepas pandang. “Aku tak perasan pula ada bilik lain tadi. Yang aku nampak hanya tiga kelas yang telah hangus terbakar sahaja.” Ujar Raj sambil matanya melihat plan tersebut. “Agaknya bilik ni didalam kelas.” Aizat bersuara setelah lama dia melihat plan ditangan Sean. Rakannya memandang Aizat dengan muka terkejut. “Kau rasa dalam bilik tu ada apa?” tanya Raj ingin tahu. “Kalau kau nak tahu, mari kita turun dan lihat bersama. Sebab aku pun tak boleh nak jawab soalan kau tu” balas Sean sambil berjalan membontoti Aizat yang sudah bergerak ke hadapan. Mereka bertiga sekali lagi ke tingkat dua. Ketika itu pula angin bertiup kencang dan langit pula sudah gelap diliputi dengan awan mendung. Menandakan hujan akan turun. Aizat telah membuka pintu depan kelas pertama, sebelum mereka ke tingkat tiga tadi. Namun tidak berjaya. Sean dan Raj pula mencuba nasib mereka dengan membuka pintu dikelas yang lain.
“Kamu berdua, pintu ini boleh dibuka” jerit Raj teruja dengan pencapaiannya itu. Lalu mereka bertiga masuk ke dalam kelas yang paling hujung. Hujan lebat telah turun membasahi bumi yang kering itu. Mereka cuba membuka suis lampu, kerana keadaan didalam kelas tersebut yang sememangnya gelap dan ditambah pula dengan keadaan hujan diluar. Nasib mereka baik kerana terdapat satu lampu didepan telah menyala. “Nasib baik lampu ni masih hidup lagi, kalau tidak bergelaplah kita disini.” Ucap Aizat syukur. “Teruk juga kebakaran yang berlaku disini.” Rungut Sean perlahan sambil melihat keadaan disekelilingnya. Terdapat satu rekahan ditengah lantai yang amat besar. Seperti ada sesuatu yang menbuatkan lantai itu merekah dengan teruk sekali. “Kring!! Kring!! Kring!!” Raj yang sedang bersandar di dinding, terdengar bunyi loceng yang begitu sayup dibalik dinding tersebut. “Kamu berdua! Kamu dengar tak apa yang aku dengar?” panggil Raj pada rakannya yang sedang sibuk mencari tempat untuk berteduh, ini kerana banyak siling sudah bocor. “Dengar apa? Yang aku dengar bunyi hujan diluar tu saja.” Jerit Aizat kerana semakin lama bunyi hujan semakin kuat.
“Cuba kamu berdua tekapkan telinga pada dinding ni” arah Raj. Sean dan Aizat hanya turuti sahaja permintaan Raj. Apabila rakannya itu berkali-kali mengatakan bahawa dia mendengar sesuatu dibalik dinding tempat dia berdiri. “Mana ada apa-apa. Aku tak dengar apa-apa pun.” komen Sean. “Entah, aku pun tak dengar apa-apa.” Sokong Aizat. “Aku dengar! Macam mana pula kamu berdua tak dengar pula” tungkas Raj. “Entah-entah cuma khayalan kau je kot. Dahlah, marilah kita duduk dulu. Sejuk ni” ajak Sean kemudian berjalan tempatnya semula. “ Hish, takkan aku berkhayal atau hanya imaginasi aku.” Rungut Raj sambil menekap telinga semula pada dinding tersebut. Sekali lagi dia terdengar bunyi seperti loceng. “Aku dengar lagi bunyi tu.” Beritahu Raj tidak puas hati. Namun mereka berdua hanya buat tidak endah sahaja kata-kata rakannya itu. Dan mengatakan bahawa loceng yang didengari oleh Raj adalah loceng dari sekolah mereka. “Tak apa nanti kita dengar lagi selepas hujan berhenti.” Raj mengalah buat sementara.
Selepas hampir satu jam, akhirnya hujan lebat yang membasahi bumi sudah berhenti. Raj sekali lagi menekapkan telinga pada dinding untuk mendengar bunyi loceng. Dia tersenyum sambil memandang pada kedua rakannya itu. Raj menarik tangan mereka berdua, lalu mengarahkan mereka berdua. Mereka berdua mengeluh sambil melakukan apa yang disuruh oleh Raj. Buat kali pertama mereka berdua tidak mendengar apa-apa, namun apabila mereka focus dan menumpukan perhatian. Akhirnya kebenaran berpihak pada Raj. “Macam mana? Kamu ada dengar apa-apa?” soal Raj tidak sabar apabila melihat Sean dan Aizat tidak bersuara. “Betullah kata kau, memang ada bunyi loceng dibalik dinding ni” jawab Aizat. “Maaflah, sebab kata kau berkhayal tadi. Memang ada bunyi” ucap Sean kesal dengan ucapannya tadi pada Raj. “Tak ada hal. Lagipun aku tahu, kau buat macam tu sebab perangai aku yang penakut ni. Tapi kamu berdua rasa dari mana bunyi ni datang?” soal Raj. “Entahlah, nak kata ada pintu rasanya macam tiada sebarang tanda ada pintu disini. Rata je aku tengok.” Jelas Aizat sambil menggosok tangannya pada dinding dibelakangnya.
“Kalau dinding ni sebenarnya bukan dinding macam mana?” celah Sean. “Apa maksud kau yang dinding ni bukan dinding?” soal Raj terkejut. “Yalah, maksud aku. Dinding ni sebenarnya hanya penutup bagi bilik yang lain. Mungkin dinding itu penutup bilik yang kita cari.” Sean menjelaskan kemungkinannya itu pada mereka berdua. “Kalau macam tu, macam mana kita nak pecahkan dinding palsu ni?” tanya Raj lagi. “aku rasa kita boleh pecahkan dinding ni. Di tingkat bawah ada bengkel kayu dan motor, mungkin ada sesuatu yang kita boleh gunakan untuk pecahkan dinding ni.” Cadang Aizat. Bercahaya mata Sean dan Raj mendengar cadangan Aizat itu. Kemudian mereka bertiga bergerak ke tingkat satu. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa memecahkan pintu dengan menyepak. Dek kerana mereka bertiga merupakan atlet bola sepak, jadi sepak-menyepak merupakan kepakaran mereka.
Dengan tenaga sebagai seorang lelaki, mereka bertiga memukul dinding sekuat hati sehingga dinding tersebut pecah. Mereka bertiga buat kali pertamanya tergamam dengan penemuan itu. “Betul lah, ada pintu lain disebalik dinding ni.” Ucap Aizat terkejut dengan penemuan baru itu. Sean dengan beraninya membuka pintu kayu tersebut. “Bunyi yang kita dengar tu, datang dari sinikah?” soalnya sambil melihat ke dalam bilik tersebut. “Aku dengar macam dari dalam bilik ni” beritahu Raj. “Gelap bilik ni. Aku tak nampak apa-apa pun. Kamu berdua ada bawa lampu suluh tak?” tanya Sean lagi. Aizat membuka begnya, lalu menyerahkan sebatang lampu suluh pada Sean. “Aku bawa kerana takut kecemasan begini.” Ujarnya sambil melihat bersama Sean. Mereka bertiga masuk ke dalam bilik yang kosong itu. “Tiada apa-apa pun disini.” Bisik Raj pada Aizat. “Tu lah, tapi bunyi yang kita dengar tu datangnya dari sini. Kau rasa ada bilik lain tak selain dari bilik ni?” tanya Aizat separuh berbisik. Dia mula merasakan seram sejuk semacam. Bertambah sejuk dengan keadaan luar yang baru sahaja hujan sebentar tadi. Manakala Sean pula menyentuh dinding sepertinya sedang mencari sesuatu. Kemudian secara tidak sengaja sebuah pintu terbuka dibelakang Aizat dan Raj berdiri. Apabila dia menyentuh dinding yang agak kemek bentuknya. Terdapat sebuah tangga menuju ke bawah. “Wah, siap ada tangga. Bangunan apa sebenarnya ni. Betulkah ini bangunan sekolah. Pelik je.” Ujar Raj sambil melihat tangga dihadapannya.
“Apa lagi mari kita turun.” Ucap Sean lalu turun menuruni tangga. Dia terasa teruja dengan penemuan barunya itu. Mereka berdua hnaya turuti sahaja Sean. Alangkah terkejutnya mereka apabila sebaik sahaja mereka bertiga turun dari tangga. Terdapat banyak senjata dan bom dari pelbagai jenis ada disitu. Mereka bertiga tidak dapat berkata apa-apa dan hanya pandangan mata menjadi tanda persoalan. Mereka kini terjebak dengan sesuatu yang amat berbahaya dan boleh memusnahkan diri mereka. Mereka bertiga mula panik dan segera berlari naik semula ke atas. Namun nasib mereka malang, apabila salah satu bom yang berada diatas salah satu rak bergolek mahu jatuh apabila berlaku gegaran disekelilingnya. Raj yang berada di belakang segera mengambil bom tersebut. “Nasib baik tak meletup bom ni.” Ucap Raj sambil meletakkan semula ke tempatnya semula. Sean dan Aizat masing-masing menarik nafas lega. Hampir sahaja jantung mereka bertiga gugur dek kerana satu bom itu.
“Kita tidak boleh berlari. Kita kena berjalan seperti kita masuk tadi” beritahu Aizat selepas takut dan paniknya hilang. Kali ini mereka dengan berhati-hati berjalan naik semula. “Aduhai, lagi sikit je jantung aku nak gugur tadi. Lain yang kita cari, lain pula yang kita jumpa.” Komen Sean sambil terduduk diatas lantai. Manakala Aizat dan Raj, masing-masing menghela nafas lega kerana baru sahaja terhindar dari bahaya. “Apa kita mak buat sekarang ni?” soal Raj sambil melihat kedua wajah rakannya. “Em…Sekarang sudah jam berapa?” soal Sean pula tidak menjawab soalan Raj. Aizat yang memakai jam memberitahu bahawa sudah melepasi jam 5.15 petang. “Kalau macam tu kita pergi jumpa cikgu yang berkenaan. Kita beritahu apa yang kita jumpa hari ini.” Cadang Sean. Aizat memandang Raj dan Sean silih berganti. “Marilah, kita pergi. Benda penting ni.” Ucapnya lalu berdiri.
Petang itu mereka kembali semula ke bangunan tiga tingkat itu bersama seorang guru disiplin dan guru bertugas. “Tidak sangka rupanya ada bilik tersembunyi disini.” Ucap cikgu Ramli seorang guru disiplin. Manakala cikgu Amin pula melihat keadaan didalam bilik yang gelap itu. “Macam mana kamu bertiga boleh terjumpa bilik ni?” soal cikgu Amin sambil memandang mereka bertiga. Sean yang berani menceritakan dari mula bagaimana mereka boleh mengetahui tentang bilik tersebut. “Bunyi loceng? Cikgu tak dengar apa-apa pun.” Ucap cikgu Ramli yang baru sahaja keluar dari bilik tersebut. “Tapi memang kami dengar ada bunyi loceng dibalik dinding ni, cikgu” tungkas mereka bertiga. “Agaknya kamu bertiga terdengar bunyi loceng sekolah.” Balas cikgu Amin. Mereka bertiga tidak dapat berkata apa-apa kerana bunyi loceng itu tidak lagi kedengaran semasa mereka ingin tujukkan kepada guru mereka.
“Kita tunggu pihak polis dahulu disini. Tadi cikgu sudah arahkan kerani sekolah untuk telefon pihak polis dan pihak yang berkenaan untuk mengesahkan keaktifan bom yang terdapat di tingkat bawah sana.” Ujar cikgu Ramli pada mereka bertiga. Cikgu Amin sedang melihat plan bangunan yang diperolehinya daripada Aizat. Dia juga tidak menyangka ada bilik penyimpan senjata didalam bangunan ini. “Cikgu, tahu bangunan ini dahulu, bangunan apa?” tanya cikgu Amin pada cikgu Ramli. “Entahlah, saya tidak berapa tahu sangat tentang sejarah bangunan ni. Terdapat banyak khabar angin tentang bangunan tiga tingkat ni. Salah satunya adalah bangunan ini bukan kepunyaan pihak sekolah. Disebabkan itu pihak sekolah tidak dapat berbuat apa-apa pada bangunan ini.” Beritahu cikgu Ramli. Mereka bertiga hanya diam mendengar perbualan guru mereka. “Patutlah, bangunan ini kelihatan seperti tidak dijaga.” Ujar cikgu Amin. Selepas 20 minit, pihak polis bersama pasukan pengesan bom sampai. Sean, Aizat dan RJ bekerjasam dengan pihak polis dengan memberi maklumat yang diperlukan sebagai pengakuan saksi.
Seminggu kemudian mereka bertuga dipanggil oleh pengetua. “Syabas, saya ucapkan kepada kamu bertiga kerana telah berjasa pada sekolah. Namun sebagai guru yang bertanggungjawab ke atas kamu, saya ingin katakan jangan ulangi perbuatan kamu itu. Kawasan yang kamu pergi itu berbahaya. Nasib kamu tidak apa-apa. Kalau tidak bagaimana mahu cikgu jawab pada ahli keluarga kamu.” Nasihat cikgu Ali. “Maafkan kami, cikgu. Lain kali kami tidak buat lagi.” Ucap mereka bertiga serentak. “Sudahlah, perkara sudah berlalu. Cikgu maafkan kamu” kata cikgu Ali sambil tersenyum. “Cikgu, boleh saya tanya satu soalan tentang bangunan tiga tingkat tu?” tanya Sean. “Tanyalah.” Ucap cikgu Ali. Sean bertanyakan tentang sejarah bangunan itu. Cikgu Ali tersenyum sebelum menjawab soalan daripada pelajarnya itu. “Bangunan itu merupakan bangunan penyimpan senjata pada zaman penjajahan jepun dahulu. Setelah peperangan telah tamat dan bangunan itu tidak lagi digunakan. Beberapa tahun kemudian bangunan tersebut diperbaiki semula untuk dibuat sekolah pertama.” Mereka bertiga khusyuk mendengar cerita daripada pengetua mereka.
“Namun sekolah itu hanya bertahan selama 20 tahun. Ini kerana terdapat satu letupan berlaku ditingkat dua dan telah meragut ramai nyawa para pelajar. Menurut cerita ada pelajar terpijak perangkap samar yang tertanam dibawah lantai. Selepas kejadian bangunan itu tidak lagi digunakan dan bangunan sekolah yang baru sedang dibina dan inilah bangunan sekolah sekarang. Rasanya tahun 2019 ini, sudah hampir 50 tahun bangunan itu dibina. Lagi satu, ada khabar angin yang mengatakan terdapat beberapa pelajar terdengar bunyi loceng dibangunan tersebut, namun cikgu tidak tahu adakah ianya benar atau hanya mahu menakut-nakutkan pelajar lain supaya tidak menghampiri bangunan tersebut. Kerana sepanjang cikgu berkhidmat disini, tidak pernah langsung cikgu mendengar loceng dibangunan itu.” Mereka bertiga berpandangan sebaik sahaja mendengar ayat terakhir daripada guru mereka itu. Ini bermakna hanya mereka bertiga sahaja yang mendengar bunyi loceng itu. Bulu roma masing-masing sudah naik meremang. Apakah itu benar atau khayalan mereka sahaja. Kini mereka tidak pasti. Teka-teki tentang rahsia bangunan tiga tingkat itu masih lagi belum terjawab.
TAMAT