Bunyi ketukan pada papan kekunci yang menjadi halwa telinga Darwish selama hampir dua jam, akhirnya berhenti. Darwish menghela nafas sambil menyandar pada kerusi, puas hati dengan hasil kerjanya. Kemudian dia menunggu di hadapan mesin cetak menunggu surat yang ditulisnya keluar dari mesin cetak itu. Surat-surat tersebut di masukkan ke dalam sampul berwarna coklat yang telah pun mempunyai alamat untuk dikirimkan pada si penerima. Sudah hampir dua minggu Darwish menjalani latihan di sebuah syarikat guaman. Namun dia telah dipertanggungjawabkan untuk menulis surat-surat kepada pelanggan. Darwish hanya mampu melihat rakan sekerja yang lain mengendalikan pelbagai kes. Walaupun di dalam hatinya begitu teruja mahu menyertai mereka menyelesaikan kes.
“Abang Rosli, ini ada beberapa surat untuk ‘klien’. Saya mahu abang hantar surat-surat ini dengan segera kerana terdapat tarikh akhir pada surat-surat ini.” Beritahu Darwish lalu surat tersebut beralih pada abang Rosli selaku ‘Despatch’ di pejabat itu. “Baik, Darwish. Ini ada surat untuk Dijah.” Ucap Rosli. “Terima kasih, abang Rosli.” Lalu Darwish masuk semula ke dalam biliknya. Dia melalui meja Khadijah lalu meletakkan surat ke atas meja wanita 40-an itu. Darwish duduk semula ke tempat duduknya sambil memandang dua lagi meja yang kosong dihadapannya. “Kak Dijah dan abang Azad sudah keluar cari bahan untuk kes mereka. Sekarang aku cuma duduk macam patung di sini sampailah habis waktu kerja. Mahu susun fail kes di dalam bilik simpanan, sudah aku siapkan minggu lepas. Setakat tulis surat, bukannya susah sangat bagi aku. Aduhai, apa yang aku nak buat sekarang ni. Tak adakah orang telefon untuk beri aku kes untuk dikendalikan.” Rungutnya sambil memandang telefon pejabat yang terletak di atas mejanya.
Kini sudah masuk minggu keempat Darwish bekerja di syarikat tersebut, dia mula terasa bosan dan merasa dirinya seperti bayang-bayang. Dia mula merasakan dirinya tidak diperlukan disitu. Kerana rakan sekerjanya yang lain begitu sibuk dengan kes masing-masing sehingga Darwish rasa tersisih. Dia hanya diberikan kerja yang selalu dilakukan oleh seorang setiausaha, walaupun mereka mempunyai seorang setiausaha di situ. Darwish mula ragu-ragu dengan keputusan untuk menjadi seorang peguam seperti yang dia idamkan itu. Kerana tiada siapapun di situ memandangya sebagai seorang peguam, walaupun masih di dalam latihan. Pada suatu hari sedang Darwish menulis, telefon di mejanya berbunyi, dengan segera pemuda itu mengangkat gangang. “Encik Darwish ada seorang lelaki ini bercakap dengan encik, katanya dia kawan encik. Sekarang dia ada di dalam talian.” Beritahu Anita selaku setiausaha mereka. “Baiklah, sambungkan talian saya.” Ucap Darwish teruja, ingin tahu siapa rakan yang hubunginya secara tiba-tiba itu.
Beberapa kali Darwish melihat alamat ditangannya, lalu membandingkan dengan nombor yang tertera ditembok sebuah rumah besar yang agak mewah di hadapannya. “Nombor di dalam alamat dan di atas tembok ni sudah betul. Tapi betulkah si Razi tinggal di rumah besar macam ni?” soalnya sedikit ragu-ragu sambil mata memandang pada banglo mewah dihadapan. “Tidak kisahlah, alang-alang aku sudah sampai sini. Baik aku tengok dahulu.” Ucapnya lalu menekan loceng di tepi tembok rumah. Seminggu yang lalu Razi, iaitu rakan sekolahnya yang sudah hampir 10 tahun tidak di ketahui ke mana menghilang sejak berpindah mengikut keluarganya. Telah menghubunginya secara tiba-tiba lalu meminta datang menemui di rumah besar ini. Pada mulanya dia agak terkejut juga dengan panggilan tersebut, kemudian baru dia teringat bahawa dia kini sedang menyandang jawatan sebagai peguam walaupun masih di dalam latihan. Kerana sudah hampir sebulan dia melakukan kerja sebagai seorang budak suruhan, tidak tugas sebagai seorang peguam. Namun pun begitu, Razi merupakan ‘klien’ pertamanya. Pelbagai perasaan mula menular di dalam dirinya kini. Gemuruh, takut ,gembira dan gementar.
Selepas menunggu 3 minit selepas menekan loceng, seorang mak cik berjalan menuju ke arahnya. “Maafkan saya, ini rumah Razi?” tanya Darwish. “Ya, ini rumah tuan muda Razi. Boleh saya tahu encik ini siapa?” soal mak cik itu pada Darwish. “Saya Darwish, rakan tuan muda. Dia suruh saya datang ke sini.” Beritahu Darwish. Mak cik itu tersenyum lalu membuka pintu pagar. ‘Tuan muda Razi? Siapa dia ni siap bertuan-tuan bagai.’ Bisik Darwish di dalam hati. Dia memandang ke sekeliling kawasan rumah besar itu. Terdapat sebuah kolam ikan dan pondok kecil di kiri kanan rumah. Manakala di tengah pula terdapat sebuah padang kecil. Tanaman pokok-pokok bunga yang terdapat disekeliling padang pula kelihatan cantik dijaga dengan rapi. Darwish berjalan masuk pula ke dalam rumah. “Silakan duduk dahulu. Nanti mak cik panggilkan tuan Razi.” Jemput mak cik itu lagi. Darwish sekali lagi meneliti keadaan di dalam rumah. Perabot nampak mewah dengan bertemakan konsep English.
“Maaf kerana menunggu.” Ucap seorang lelaki yang berkulit sawo matang, berambut pendek dan sedikit ikal mayang menghampirinya. “Eh, taklah aku pun baru sahaja sampai.” Balas Darwish lalu mereka saling berjabat tangan. “Sudah hampir 10 tahun juga kita tidak bertemu.” Kata Razi memulakan perbualan. “Yalah, sejak kau pindah ikut keluarga. Selepas itu langsung tiada berita. Tup..tup.. Minggu lepas kau telefon aku surh datang ke sini.” Ujar Darwish. Tersenyum Razi mendengarnya. “Sekarang ni aku sedang sibuk dengan pameran lukisan. Kau tahukan yang aku suka melukis.” Darwish mengangguk lalu teringatkan pada zaman sekolah dahulu. Razi memenangi semua pertandingan melukis yang diadakan di sekolah. Kemudian mak cik tadi masuk semula sambil menatang sebuah dulang. “Terima kasih, mak Biah.” Ucap Razi selepas mak Biah menghidangkan air minumman untuk mereka. “Orang gaji kau?” tanya Darwish. “Ha..ah, dalam rumah ni ada tiga orang. Mak Biah, Pak Ali dan Pak Mat. Aku tinggal berempat dengan mereka di sini.” Beritahu Razi. “Eh, ibu dan ayah kau tak tinggal bersama?” soal Darwish hairan.” Mereka berdua meninggal 10 tahun yang lalu kerana terlibat nahas jalan raya.” Jawab Razi. “Ya, Allah. Maaf aku tak tahu.” Ucap Darwish kesal dengan soalannya itu. “Eh, tak mengapa. Lagipun memang tiada sesiapapun yang tahu. Mereka terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan mahu ke tempat kerja.” Kata Razi sambil tersenyum pada rakannya itu. “Darwish, sebenarnya ada perkara aku nak bincang dengan kau.” Kata Razi selepas mereka selesai minum. “Bincang? Pasal apa?” tanya Darwish. “Mari ikut aku ke bilik bacaan di tingkat dua.” Ajak Razi. Darwish segera membontoti rakannya itu.
“Aku tak sangka kau boleh jadi peguam. Kalaulah si Amira mulut murai tu tak buka cerita pasal kau, langsung aku tak tahu.” Cerita Razi apabila Darwish bertanya bagaimana dia mengetahui tentang dirinya itu. “Hurm, tak hairanlah si mulut murai tu jadi wartawan sekarang ni. Semua berita dan cerita dia tahu.” Balas Darwish. Amira merupakan rakan sekolah mereka yang mempunyai tahi lalat ditepi bibirnya dan sering menyebarkan pelbagai khabar ke seluruh sekolah. Dan mendapat nama jolokan si mulut murai sepadan dengan mulut becok bertahi lalatnya. Namun pun begitu, perkhabaran yang selalu disampaikan bukanlah palsu atau direkanya. Ia sememang berita benar dan terdapat bukti pada semua beritanya itu. Razi membuka laci meja lalu mengeluarkan sekeping sampul berwarna coklat. “Sebenarnya aku baru sahaja pulang dari Malaysia seulan yang lalu kerana dijemput untuk menghadiri sebuah seminar dan pameran di Kuala Lumpur. Rumah ni dijaga oleh mereka bertiga sehinggalah aku pulang. Selepas habis belajar, aku menjelajah ke seluruh Eropah mencari ilham untuk lukisan-lukisan ini.” Beritahu Razi sambil menunjukkan beberapa-beberapa lukisan yang terletak di tepi tingkap. Darwish mengangguk-angguk mendengarnya. “Nah, aku mahu kau baca surat ni. Surat ni aku jumpa semasa sedang mengemas bilik bacaan.” Razi menghulurkan sampul surat tersebut pada Darwish.
Tangan putih melepak itu membuka kotak kaca matanya lalu dengan perlahan menarik sekeping kertas putih di dalam sampul tersebut. Darwish mempunyai rabun cahaya yang memerlukan dia untuk memakai kaca mata, nak pula keadaan bilik bacaan tersebut sedikit terang. Tampak serius apabila pemuda berkulit putih itu membaca surat daripada Razi. Manakala Razi pula hanya memandang rakannya itu. Darwish membuka kaca matanya, apabila selesai membaca surat itu. “Jadi apa masalahnya dengan wasiat ini? Kau kan pewaris pengerusi syarikat perabot Ahmed. Tak salah rasanya kalau kau warisi harta ini. Jangan pula kau cakap yang harta ini dari sumber lain. Kau fahamkan maksud aku?” tanya Darwish persis seorang peguam. “Aku faham tapi rasanya mereka tiada buat perkara begitu. kalau kau nak tahu ini bukan wasiat yang pertama. Aku telah diberikan harta mengikut wasiat 10 tahun yang lalu selepas ibu dan ayah aku meninggal. Aku telah mendapat bahagian sebanyak RM 500 ribu. Manakala hartanah pula dapat pada pak cik dan mak cik aku. Aku tak tahu tentang pewarisan bagi rumah ini dan juga syarikat perabot Ahmed. Tapi bila aku baca je surat tu, aku jadi bingung dan segera menghubungi kau.” Jawab Razi panjang lebar. Darwish menggigit bibirnya, memikirkan sesuatu. “ini bermakna wasiat bertulis tanpa saksi. Tapi wasiat ini sah kerana ada bukti.” Ujar Darwish. Namun air muka Razi tidak menunjukkan dia gembira dengan penemuan surat wasiat itu. “Kenapa lagi ni? Kau risau pak cik dan mak cik kau akan pertikai wasiat ini? Jangan risau aku akan tolong kau.” Pujuk Darwish. “Bukan itu masalahnya. Tapi…” Belum sempat Razi mahu menghabiskan ayat-ayatnya. Bunyi ketukan pintu mengganggu perbualan mereka berdua. “Ya.” Jawab Razi. “Tuan muda Razi. Tuan Razlan dan puan Raziah datang. Mereka ingin bertemu dengan tuan. Mereka berdua ada di bawah.” Beritahu mak Biah. Sebaik sahaja Razi membuka pintu. “Baiklah,saya akan turun sebentar nanti.” Ucap Razi. “Darwish, mari ikut aku.” Ajak Razi pada Darwish yang sudah berdiri dibelakangnya.
Darwish hanya memerhatikan sahaja kedua-dua pak cik dan mak cik Razi memarahi rakannya itu. Gaya pakaian dan cara percakapan mereka menunjukkan bahawa mereka daripada golongan berada. Kalah pada dirinya yang hanya berbaju T-shirt dan berseluar Jeans hitam. “Dahlah pulang tak beritahu. Lepas tu siap pasang peguam lagi. Amboi, hebat betul kau, ya!” perli Razlan apabila Darwish mengenalkan dirinya dihadapan mereka berdua. Manakala Raziah pula mencebik-cebik sambil memandangnya. Seperti mengejeknya. “Pak cik dan mak cik, kita duduk dahulu.” Ucap Razi. “kami ni datang bukan mahu duduk-duduk. Kami datang mahu tuntut janji. Kamu sudah berjanji pada kami bahawa selepas kamu pulang dari Malaysia, kamu akan beri lagi suku harta tu.” Marah Raziah. Darwish pula memandang pada rakannya itu, ingin mengetahui apa maksud dengan kata-kata mak ciknya itu. Razi hanya sempat menjeling pada Darwish sebelum menjawab amarah Raziah. “Memanglah saya berjanji begitu, tapi saya baru sahaja pulang. Belum sempat mahu ke pejabat peguam.” Razi memberi alasan. “Kau bukannya ada hak atas harta tu. Ada hati pula mahu tangguhkan perkara ini. Aku beri masa sampai lusa. Kalau masih belum tukar lagi nama tu, aku bawa kau ke mahkamah.” Amaran daripada Razlan sebelum mereka berdua meninggalkan rumah besar itu. “Maafkan aku kerana kau terpaksa mendengar semua tu.” Ucap Razi pada rakannya yang sedang duduk dihadapannya. Darwish hanya tersenyum sumbing mendengar maaf daripada Razi. dia sedang memikirkan sesuatu, kemudian dia mengeluarkan sebuah buku nota dari beg galas yang sentiasa dibawanya. Darwish menulis sesuatu. “Boleh kau beritahu aku perkara yang sedang berlaku ni?” tanya Darwish sambil menutup bukunya. Mahu tidak mahu, akhirnya Razi terpaksa membuka rahsia keluarganya sendiri demi kebaikan dan pembelaan untuk dirinya.
Menurut Razi, sudah hampir 4 tahun kedua mereka itu meminta bahagian harta pusaka miliknya. Dia terpaksa beri kepada mereka berdua dengan alasan, bahawa Razi hanya keluarga angkat Tuan Ahmed. Mereka tidak sepatutnya dapat bahagian walaupun cuma sebagai hadiah. Pada mulanya dia ikut sahaja permintaan mereka, namun selepas itu Razi baru teringat akan syarikat perabot Ahmed. Ke mana keuntungan syarikat sehinggakan terpaksa minta wang padanya. Kemudian dia telah bertanya pada ketua akauntan syrikat iaitu Encik Kamarul. Darwish melihat fail akaun syarikat yang baru sahaja dihulurkan oleh Razi. “Encik Kamarul kata banyak wang syarikat dikeluarkan untuk membuat pelaburan, namun sehinnga sekarang tiada apa-apa berita atau pulangan daripada pelaburan tersebut. Encik Kamarul syak bahawa pak cik dan mak cik menggunakan wang syarikat untuk kepentingan peribadi mereka.” Cerita Razi. “Sepatutnya hari ini aku ada mesyuarat dengan ahli lembaga syarikat untuk membincangkan masalah yang sedang berlaku di sana. Namun disebabkan aku ada hal, terpaksa tangguh sehingga petang nanti.” Sambung Razi lagi. Darwish melihat pada jam ditangannya. Hampir pukul 12.30 tengahhari. “Macam nilah, biar aku tolong kau selesaikan masalah ini. Kau pergilah jumpa dengan ahli lembaga syrikat. Tapi sebelum tu, aku mahu tanya. Pak cik dan mak cik kau tak nakkan rumah dan syarikat tu kan?” soal Darwish. Razi mengeluh perlahan. “Memanglah buat masa ni. Kalau mereka tahu aku mewarisi kedua-duanya, pasti mereka akan mengambilnya. Aku cuma tidak mahu harta ini semua habis macam tu sahaja. Bersusah-payah atuk Ahmed usahakan semua ini, namun bila ditangan anaknya semua kena jual.” Jawab Razi. Darwish tersenyum mendengarnya. Kemudian mereka berdua keluar untuk melakukan tugas masing-masing.
Darwish kembali semula ke pejabat selepas makan tengahhari dan menukar pakaiannnya. Tugas pertamanya adalah menghubungi peguam keluarga Ahmed. Dia membuka buku notanya lalu mencari nombor peguam Mokhsin. “Maafkan saya, ini pejabat Tuan Mokhsin? Boleh saya dapatkan temujanji dengan beliau? Baik, terima kasih.” Ucap Darwish lalu menulis sesuatu di dalam buku notanya. Kemudian dia mendail pula nombor pejabat Razi, namun tangannya berhenti menekan nombor. “Alamak! Sekarang ni mereka sedang ada mesyuarat. Tak mengapa, esok sahaja aku telefon. Baik sekarang ni aku semak semula maklumat yang aku perolehi sebelum berjumpa dengan Tuan Mokhsin nanti.” Ucap Darwish lalu membuka fail yang telah diberikan oleh Razi. Dia cuba mahu memahami masalah yang sedang di hadapi oleh Razi dan mencari jalan penyelesaiannya.
“Saya datang ni sebagai rakan Razi. Niat saya cuma mahu menolong dan membantu menyelesaikan masalah rakan saya ini.” Ucap Darwish apabila Tuan Mokhsin bertanya apa tujuan dia ingin mengetahui salasilah keluarga Tuan Ahmed. “Dan saya juga merupakan seorang peguam yang masih di dalam latihan.” Beritahu Darwish lagi. Tuan Mokhsin hanya diam mendengar ucapan pemuda dihadapannya itu. “Semalam Razi telah beri surat wasiat yang dijumpainya semasa mengemas bilik
bacaan pada saya. Walaupun Razi telah mengamanahkan saya supaya tidak memberitahu pada sesiapa, namun Tuan Mokhsin selaku peguam keluarga mereka patut tahu tentang surat wasiat ini.” Darwish menghulurkan surat tersebut pada Tuan Mokhsin. Tuan Mokhsin membaca isi surat tersebut lalu memandang Darwish. Hampir satu jam Darwish berada di dalam pejabat Tuan Mokhsin, akhirnya dapat juga maklumat yang diinginnya.
Darwish membaca portfolio keluarga Razi. pengerusi Ahmed Mustafa telah mewarisi syarikat perabot daripada bapanya. Ketika berumur 25 tahun, dia telah berkahwin dengan seorang gadis bernama Siti Hawa. Mereka dikurnai dengan sepasang anak yang bernama Razlan dan Raziah, yang hanya berbeza setahun umur mereka. Tuan Ahmed terkenal dengan sikap murah hati dan senyuman manisnya. Selesai sahaja Darwish membaca muka surat yang terakhir, tiba-tiba dia terlihat ada kesan dakwat pada muka surat sebelah yang melekat pada kulit fail tersebut. Dengan berhati-hati dia membuka muka surat yang melekat itu.
“Maklumat tambahan, Tuan Ahmed telah mengambil seorang anak angkat perempuan yang bernama Rozita.” Baca Darwish perlahan. Lalu meneruskan bacaannya. Rozita telah berkahwin dengan seorang pekerja di syarikat bapa angkatnya. Mereka telah dikurnai seorang anak lelaki. Manakala Azlan, suami Rozita telah diamanahkan untuk membantu Tuan Ahmed bersama menerajui syarikat kerana kedua-dua anak Tuan Ahmed menolak untuk mewarisi syarikat turun-temurun mereka. Namun malang tidak berbau, 10 tahun yang lalu mereka bertiga terlibat di dalam nahas jalan raya dan telah meragut nyawa mereka. Penjagaan Razi pula telah diletakkan di bawah tanggungjawab tiga orang gaji keluarga. “Nampak macam maklumat ini baru sahaja ditulis, namun mengapa pula ditampal macam ni? Tuan Mokhsin mahu sembunyikan daripada siapa? Razlan? Raziah? Atau Razi?” soal Darwish hairan selepas membaca maklumat tersebut. ‘Nampaknya semakin menarik kes ini’. Darwish tersenyum sambil memikirkan rahsia maklumat terakhir itu. Kemudian Darwish membaca pembahagian harta Tuan Ahmed. “Segala hartanah telah dibagi pada Razlan dan Raziah, manakala Razi pula mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM 500 ribu. Rumah pusaka dan syrikat masih lagi diatas nama Tuan Ahmed. Patutlah, mereka berdua tidak bising. Harta ni tidak boleh tukar nama.” Ucapnya lalu menutup fail tersebut.
Malam itu, Darwish membuat rumusan ke atas kes Razi. Kemudian dia membuat nota penting. “Aku kena siasat kes kemalangan dan perlu tahu keadaan syarikat perabot tu sekarang.” Omelnya sambil menulis di atas buku notanya.
Tuan Mokhsin memandang pada setiap tetamunya, lalu memandang pula pada Darwish yang duduk di sebelahnya. Pemuda itu hanya tersenyum memandangnya. “Baiklah, tujuan kita semua berkumpul di sini adalah untuk membahagikan harta tuan muda Razi yang masih berbaki kepada pak cik dan mak ciknya.” Tuan Mokhsin memulakan mukadimahnya. “Harta dialah sangat. Dia cuma pemegang sahaja.” Ujar Raziah kasar. Razi tidak dapat berkata apa-apa, dia hanya tunduk mendengar ucapan mak ciknya itu. Manakala Tuan Mokhsin sudah menggeleng-geleng kepala mendengar suara Raziah itu. “Sebelum kita teruskan agenda ini, encik Darwish ingin beritahu sesuatu yang penting pada kamu bertiga.” Beritahu Tuan Mokhsin. “Aduh! Apa lagi yang penting? Kami tiada masa untuk benda-benda macam ni.” Marah Razlan . Darwish yang tidak mengendahkan amarah Razlan itu hanya diam sambil membuka beg galasnya. Kemudian mengeluarkan sebuah fail, lalu berdiri. “Ini perkara penting! Encik Razlan dan puan Raziah kena tahu hal yang hampir 24 tahun disorokkan daripada kamu bertiga.” Ucap Darwish lantang. “Apa lagi yang aku tak tahu selain harta tu semua ayah aku yang punya dan aku ada hak ke atasnya. Dan juga tentang anak angkat ni.” Tengking Razlan. “Jika saya mengatakan sebaliknya dan mungkin harta Tuan Ahmed takkan jatuh pada kamu berdua, bagaimana?” soal Darwish mencabar. Raizah memandang abangnya tidak faham dengan kata-kata peguam muda itu. Manakala Razi pula sudah memandang Darwish dengan wajah terkejut. “Darwish, apa yang kau merepek ni?” marah Razi pula. “Aku tak merepek. Ini bukti yang kau ada pertalian darah dengan Tuan Ahmed dan sekaligus menjadi ahli keluarga ini.” Jawab Darwish lalu meletakkan fail ditangan dihadapan Razi. rakannya itu segera mengambil dan membaca butiran di dalam fail tersebut. Razi terduduk saat membaca isi di dalam fail itu. Raziah dan Razlan segera merampas fail daripada tangan Razi lalu membacanya. “Tak mungkin! Tak mungkin!” jerit Raziah. Razlan pula segera mencampak fail tersebut ke atas meja. “Ini tentu laporan palsu. Kau sengaja mahu kenakan kami dengan membuat laporan DNA palsu ini. Mana mungkin si Razi ni adik aku!” marah Razlan lalu mendapatkan Darwish. Dia mencekak leher baju pemuda itu. “Buat apa saya mahu palsukan laporan itu, kalau Tuan Mokhsin sendiri yang beri laporan itu pada saya.” Beritahu Darwish. Razlan melepaskan cengkamannya lalu memandang pada Tuan Mokhsin. “Saya hanya menjalankan tugas sebagai pemegang amanah dan rahsia keluarga Tuan Ahmed.” Ucap Tuan Mokhsin. Semalam Darwish telah berjumpanya lalu bertanyakan mengapa maklumat terakhir itu dilekat pada kulit fail dan dia terpaksa membuka rahsia yang hampir 24 tahun disimpannya. Dia mahu merahsiakan maklumat itu pada Razi. Tuan Mokhsin telah beri laporan DNA pada Darwish untuk membantu Razi dalam mendapatkan haknya sebagai seorang pewaris yang sah.
“Kalau benar Razi ini anak ayah, mengapa kami tidak tahu?” tanya Raziah pula. Razlan sudah duduk ke tempatnya sambil memeluk tubuh. Razi pula masih di dalam keadaan terkejut dengan kebenaran yang baru sahaja diterimanya. Tuan Mokhsin mahu menjawab namun sempat dihalang oleh Darwish. “Biar saya yang beritahu.” Ucapnya. “Puan Siti Hawa melahirkan Razi ketika berumur 40 tahun, ketika itu Rozita telah menjadi anak angkat Tuan Ahmed. Selepas 2 tahun, puan Siti Hawa telah disahkan mempunyai kanser rahim tahap 4. Tuan Ahmed tidak beritahu pada kamu berdua kerana ketika itu kamu masih belajar dan jarang pulang. Razi telah diberikan pada Rozita dan Azlan, sebaik sahaja puan Siti Hawa meninggal dunia. Rozita dan Azlan yang tidak mempunyai anak, menerima Razi sebagai anak mereka. Ini apa yang dikatakan oleh ibu Rozita sendiri, iaitu mak Biah.” Darwish menghulurkan sehelai kertas pada Tuan Mokhsin. Tuan Mokhsin mengangguk-angguk sambil membaca surat pengakuan daripada mak Biah.
“Nampaknya kini sudah jelas bahawa Razi merupakan pewaris sah keluarga Tuan Ahmed. Jadi selain hadiah, syarikat dan rumah pusaka secara mutlaknya menjadi hak Razi. Razlan dan Raziah tiada hak untuk menuntut harta tersebut selain dengan kerelaan Razi.” ucap Tuan Mokhsin sekali lagi mereka berdua berpandangan. “Syarikat dan rumah pusaka tu milik Razi? Bagaimana pula? Bukankah kedua-duanya di atas nama ayah? Macam mana pula boleh jadi milik dia?” sekali lagi letusan gunung berapi Razlan keluar. “Tuan Ahmed telah menulis surat sepucuk surat wasiat yang terakhir dan beliau telah beri semua hartanya pada Razi, anak bongsunya.” Jawab Tuan Mokhsin lalu meletakkan surat wasiat Tuan Ahmed di atas meja. Mereka berdua membaca surat tersebut. Lalu mengamuk sesama mereka. Raziah dengan berang mengoyakkan surat tersebut. Razlan sudah terduduk melihat keadaan tidak berpihak padanya. Darwish mendekati Razi yang dari tadi hanya diam membatu mendengar penjelasan daripada mereka berdua. “Kau tak apa-apa, Razi?” rakannya itu mendongak memandang Darwish. “Aku tak tahu mahu beri reaksi apa. Aku merasakan bermacam-macam perasaan berada di dalam diri aku sekarang ni.” Jawab Razi. “Seronoklah kau. Semua harta ayah aku jatuh ke tangan kau. Dasar budak tak guna!” herdik Raziah. “Sudahlah! Ingatkan datang ke sini bolehlah dapat duit kita. Rupanya dia sapu semuanya.” Ucap Razlan. Kemudian mereka berdua keluar dari bilik Tuan Mokhsin.
Sedang Darwish dan tuan Mokhsin memujuk Razi, terdengar bunyi riuh-rendah di luar. Segera mereka bertiga keluar dari bilik. Terlihat beberapa orang anggota polis sedang bertikam lidah dengan Razlan dan Raziah. “Ada apa ni encik?” tanya Tuan Mokhsin pada seorang anggota polis. “Kami mendapat waran untuk menangkap encik Razlan dan puan Raziah. Dan kami mendapat tahu mereka berada di sini.” Jawab anggota polis itu. “Tetapi atas kes apa mereka ini ditangkap?” soal Tuan Mokhsin ingin tahu. “Encik Razlan terlibat dengan kes langgar lari 10 tahun lalu yang melibatkan kematian Tuan Ahmed dan anak angkatnya iaitu Rozita bersama suaminya, Azlan.” Darwish segers mencelah pada penjelasan kedua pula. “Puan Raziah pula terlibat dengan menggelapkan wang syarikat.” Anggota polis itu segera memandang Darwish. “Jadi enciklah yang melaporkan kejadian dan memberitahu tentang lokasi ini kepada kami?” Darwish hanya mengangguk sambil tersenyum. Mereka berdua sudah diberkas,namun masih lagi mahu meronta-ronta melepaskan diri. Razi yang mendengarnya cuba menahan marah dan sebak didadanya.
“Mari kita pergi.” Ucap anggota polis itu sambil membawa mereka pergi. Sekali lagi meeka meronta minta dilepaskan dan mengatkan mereka tidak bersalah. “Sekejap, tuan. Saya mahu bercakap dengan mereka berdua.” Razi minta mahu bercakap dengan Razlan dan Raziah. “Terima kasih.” Ucap Razi apabila diberikan kebenaran. Razi mendekati sambil memandang wajah mereka berdua silih berganti. Dia menarik nafas sebelum mengatur bicaranya dihadapan mereka berdua. “Saya takkan maafkan kamu berdua atas apa yang telah terjadi, namun saya akan jaga dan pertahankan syarikat dan rumah pusaka keluarga kita. Buat masa ini saya hanya menjaga sahaja. Namun selepas kamu berdua keluar dari penjara kelak, kita akan bersama-sama membangunkan bersama.” Ucap Razi lalu masuk ke dalam pejabat Tuan Mokhsin semula. Dia tidak dapat menahan lagi air mata yang hampir gugur dari tubir matanya. Bukan sedih kerana mereka berdua akan dipenjarakan, namun sedih kerana perkara yang mereka telah lakukan pada ayah dan keluarga angkatnya. Darwish hanya melihat sahaja rakannya itu masuk ke dalam bilik semula. Razlan dan Raziah terdiam mendengar ucapan Razi itu lalu mereka tunduk pergi mengikut anggota polis ke balai untuk siasatan selanjutnya.
Tiga hari kemudian, Darwish memberitahu bagaimana dia mendapat meklumat tentang kes langgar lari Razlan dan kes pecah amanah Raziah pada Razi. “Aku pakai ‘orang dalam’.” Ucap Darwish sambil tersengih memandang Razi. “Orang dalam? Maksud kau, polis? Siapa?” tanya Razi ingin tahu. “Ayah aku. Dia ketua balai. Aku tanya dia pasal kes langgar lari 10 tahun lalu dan kes penipuan pelaburan. Tak sangka pula mereka berdua terlibat dalam kes tu.” Beritahu Darwish. Razi hanya mengangguk-angguk mendengarnya. “Selepas tu aku jumpa dengan seorang mekanik. Menurutnya dia ada membetulkan sebuah kereta yang sama dengan nombor plat dan jenis kereta yang aku tunjukkan padanya. Terdapat banyak kerosakkan pada kereta dan mekanik tersebut menolak untuk membaikinya. Namun setelah diberikan bayaran yang lumayan, akhirnya terpaksa akur dengan permintaan untuk membaiki segala kerosakan pada kereta tersebut. Pihak polis ada menjumpai cat pada badan kereta mangsa, dan cat yang sama pada badan kereta pak cik kau. Tapi tiada bukti kukuh untuk mengaitkan dengan kemalangan tersebut.” Darwish terdiam sekejap. “Tapi macam mana kau boleh dapat bukti bahawa pak cik aku yang langgar lari?” soal Razi tidak sabar. Tersenyum Darwish mendengarnya. “Aku dapat tahu apabila mekanik tu tunjukkan aku cek yang diterimanya adalah cek syarikat perabot Ahmed. Dari situ aku tahu siapa dalangnya.” Tersengih Razi mendengarnya. “Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga ke tanah.” Ucapnya perlahan.
“Manakala kes mak cik kau pula, aku berjumpa dengan bekas pekerjanya, Ita. Mak cik Raziah telah menghasutnya untuk membantu mengegelapkan wang syarikat, namun mak cik Raziah hanya makan seorang dan telah memberhentikannya kerja kerana tidak mahu rahsianya terbongkar. Ita mahu melaporkan pada pihak polis, namun ugutan dan ancaman bunuh telah membataklan niatnya itu.” Beritahu Darwish panjang lebar. “Mengapa kau tidak jadi sahaja polis atau detektif sahaja? Hebat juga kau mencari maklumat dan bukti.” Puji Razi. Darwish tersenuym sebelum menjawab pertanyaan rakannya itu. “Mulanya memang aku bercita-cita mahu menjadi seperti ayahku. Namun disebabkan aku sering jatuh sakit ketika kecil membuatkan ayah melarang. Kau pun tahu tubuh badan yang sihat adalah faktor utama untuk menjadi seorang penjaga keamanan. Jadi aku memilih kerjaya peguam sebagai profesion. Bukankah peguam juga seperti polis dan askar? Mereka juga penegak keadilan. Walaupun hanya mereka banyak menggunakan bahan rujukan dan mengunakan pelbagai cara untuk mencari bukti, namun tetap pada niat yang satu, iaitu menangkap penjenayah.” Jawab Darwish. “Kau pula bagaimana? Syarikat perabot Ahmed dan pameran lukisan?” tanya Darwish pula. “Buat masa ni aku akan cuba untuk memulihkan kembali masalah kewangan syarikat dengan penglibatan aku di dalam pameran lukisan yang akan mejelang tidak lama lagi. Mungkin selepas ini aku akan kurangkan melukis dan tumpukan perhatian pada syarikat pula.” Beritahu Razi tentang rancangan akan datangnya.
Darwish memandang wajah Razi yang begitu gembira dengan kehidupan sekarang. Sememangnya hak kembali kepada yang berhak. Dia berasa bangga kerana dapat membantu Razi dalam menyelesaikan kemelut yang melanda di dalam keluarganya. Kini dia berasa yakin dengan keputusan untuk menjadi seorang peguam. Dia cuma perlu lebih berusaha untuk mencapai cita-citanya itu.