“Tu adik-beradik awak ke?” Damia bertanya setelah
ternampak seorang lelaki di belakang Shah. Lelaki itu duduk bertinggung di
belakang Shah.
“Saya sorang je kat rumah ni Mia. Kawan-kawan saya
semua keluar.”
“Tak, bukan kawan-kawan awak tapi yang bertinggung
kat belakang awak tu. Adik-beradik awak ke?”
Shah tergamam. Dia teragak-agak untuk melihat apa
yang ada di belakangnya ketika itu. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam dan rakan-rakannya
masih belum pulang.
“Saya anak tunggal…”
Jawapan Shah memeranjatkan Damia. Anak tunggal? Tapi
lelaki itu seiras wajah Shah! Bulu romanya meremang.
“Tapi dia masih ada kat belakang awak…” bisik Damia
melalui microphone yang disambungkan ke laptop. Ketakutan dirasakan semakin
menular di dalam dirinya. Semakin lama semakin aneh rupa lelaki yang menyerupai
Shah itu.
Shah menelan liur. Dia tiada keberanian untuk
berpaling. Visualnya di dalam webcam diperhati lama tetapi lelaki yang
dikatakan Damia langsung tidak kelihatan. Dia tahu itu bukan manusia.
“Mia, nanti kita sambung chat balik…” ujar Shah lalu
terus mematikan Skype. Dia sudah tidak mempunyai kekuatan untuk meneruskan chat
itu.
Damia menelan liur. Apa yang dia saksikan itu? Bukan
manusiakah?
“Mia….”
*****
Seminggu sebelum itu...
Syafa, Saloma dan Damia sedang enak menikmati makan
malam di dapur. Ayam goreng dikunyah penuh selera bersama nasi putih. Semuanya
dibeli dari kedai makan di hujung simpang.
“Aku nampak kau kuat berskype dengan seseorang
sekarang?” Syafa bertanya sambil tersenyum penuh minat. Yelah, kiranya setiap
malam Damia berchatting dengan seseorang. Sejak kebelakangan ini, wajah Damia
berseri-seri seperti orang yang sedang dilamun cinta.
Damia hampir tercekik. Cepat-cepat dia meneguk air
sirap. Nasi terasa perit menuruni anak tekak.
“Boyfriend ke?” tebak Saloma pula.
“Mengarut la kau ni Sal. Mana aku ada boyfriend..”
Damia berdalih. Dia menyambung makannya yang tergendala sebentar tadi.
Syafa dan Saloma berbalas pandangan dan tersenyum.
Nampak sangat Damia tidak mahu berterus-terang. Tidak mengapa, segalanya pasti
akan terbongkar nanti.
“Lelaki tu nama dia Shah…” ujar Damia secara
tiba-tiba
Mata Syifa dan Saloma serta-merta membulat. Mereka
benar-benar berminat mahu tahu.
“Dah dua minggu aku kenal dengan dia..”
Syafa dan Saloma mengangguk-angguk. Nasi sudah tidak
berusik. Cerita Damia lebih menarik perhatian mereka.
“Macam mana kau boleh kenal dia?” Syifa tidak sabar.
“Dia tiba-tiba tegur aku. Aku pun tak pasti dari
mana dia dapat ID aku…”
“Boleh percaya ke?” Saloma mulai ragu-ragu. Iyalah,
manusia zaman sekarang ni bukan boleh dipercayai sangat. Ada saja yang cuba
mengambil kesempatan.
Damia menjongket bahu.
“Entahlah. Tapi aku rasa dia baik. Banyak bagi aku
nasihat..”
Syafa dan Saloma tersenyum penuh makna.
“Sah kau dilamun cinta ni Mia!” usik Saloma. Lalu
tawa keduanya berderai. Damia mencebik.
*****
“Hari ni kat ofis saya asyik teringatkan awak tau
hehe…”
Tersenyum Damia membaca mesej skype yang ditulis
Shah. Sejujurnya dia juga merindui lelaki ini. Rindu mahu berchatting
dengannya. Siang hari mereka berdua sibuk dengan kerja masing-masing. Cuma
malam saja mereka berpeluang berbalas mesej seperti sekarang.
“Tadi kawan-kawan saya tanya pasal awak. Dorang
ingat awak boyfriend saya.”
“Saya bukan boyfriend awak eh?”
Terbakar kulit pipi Damia apabila ditanya begitu.
Shah memang pandai membuatnya malu. Dia menekup muka dengan tangan.
“Entah….” Ringkas jawapan Damia.
Shah memasang webcam dan Damia dapat melihat dengan
jelas betapa manisnya rupa paras lelaki ini. Kemudian Damia turut memasang
webcam. Keduanya tersenyum-senyum di hadapan laptop.
“Saya ada kawan-kawan yang single. Nak saya kenalkan
pada kawan-kawan awak? Kawan awak ada berapa orang?” tanya Shah ikhlas.
“Dua orang..”
“Ha cantik sangat dah hehe. Dorang single tak?” Shah
bertanya lagi.
“Single…”
Shah tergelak. Seronok betul dia. Mungkin
rakan-rakannya jodoh rakan-rakan Damia?
“Kawan-kawan awak ada ID skype tak?”
“Tak. Dorang tak reti sangat nak berskype ni
hehehe…”
Shah menepuk dahi. Nampaknya dia akan kenalkan
mereka dengan menggunakan plan b. Dia dan Damia bersetuju untuk berkomunikasi
melalui webcam sambil ditemani rakan-rakan mereka. Bila sampai masa mereka akan
berjumpa. Siapa tahu mungkin hubungan mereka akan berakhir hingga ke jinjang
pelamin?
*****
Malam esoknya Damia mengajak Syafa dan Saloma
menyertainya di hadapan webcam. Shah sudah menunggu bersama Fadley dan Hakimie.
“Hai….” Fadley dan Hakimie menyapa sambil
melambai-lambaikan tangan. Syafa dan Saloma tersipu-sipu.
“Hai…” keduanya membalas perlahan.
“Ni lah kawan-kawan saya. Kenalkan ni Fadley dan ni
Hakimie. Handsome kan?” Shah bergurau. Ia berjaya membuahkan senyuman di bibir
para gadis itu.
“Kawan-kawan awak nama apa? Kenalkanlah…” Hakimie
bertanya nakal. Manis-manis sungguh rakan-rakan Damia. Tidak sia-sia dia dan
Fadley menyertai sesi ‘mencari jodoh’ pada malam itu.
“Ni Syafa dan ni Saloma…” Damia memperkenalkan.
“Saloma? Klasiknya nama awak. Sedap nama tu…” Fadley
tersengih. Dia memang berkenan dengan gadis bernama Saloma ini. Biarlah dia yang
menjadi P.Ramlee nya.
Sesi berkenalan berjalan lancar selama 30 minit
sehingga ada sesuatu yang aneh mengganggu konsentrasi Syafa.
“Apa tu?” Syafa menyoal sambil menghalakan
telunjuknya ke webcam.
“Kenapa?” Lelaki-lelaki itu bertanya serentak. Dari
cara Syafa bertanya seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.
“Saya nampak ada benda berdiri kat hujung sofa..”
Jawapan Syafa memeranjatkan mereka. Saloma dan Damia
sudah meremang satu badan. Entah apalah yang dilihat Syafa.
“Benda? Orang?” Fadley bertanya. Sesekali dia
merenung hujung sofa. Tiada apapun di situ.
“Entahlah tak pasti..”
Perbualan ditamatkan di situ. Damia dan Saloma
menghadap Syafa. Mereka berdua memaksa Syafa menceritakan hal yang sebenar.
Tentang apa yang dilihatnya tadi. Seram pula mereka.
“Aku nampak benda hitam berdiri kat hujung sofa. Tak
nampak muka.”
“Besar ke?” Saloma bertanya.
“Tinggi jugak. Macam mencangkung pun ada…”
Saloma dan Damia menelan liur. Okey, itu memang
seram!
*****
Dua malam selepas kejadian itu, Shah menceritakan
bagaimana dia dan rakan-rakannya diganggu dengan bunyi-bunyi pelik. Sudah dua
malam lena mereka terganggu. Mereka juga tidak tahu apa yang sedang berlaku.
“Entah-entah benda hitam yang Syafa nampak yang
ganggu korang tak?” Damia cuba meneka.
Shah menjongket bahu. Sesungguhnya dia juga tidak
tahu.
“Jangan lupa baca ayat suci banyak-banyak…” pesan
Damia. Risau pula dia.
“Okey, awak janganlah risau ye?” balas Shah sambil
mengukir senyuman manis.
Kebimbangan gadis itu berkurangan sedikit setelah
melihat senyuman di wajah Shah.
*****
Malam seterusnya, sesi skype sekali lagi disertai
rakan-rakan mereka. Seperti biasa Fadley dan Hakimie suka mengusik Saloma dan
Syafa dengan lawak jenaka mereka.
“Geng….” Saloma tiba-tiba mencuit lengan Damia dan
Syafa. Mukanya pucat.
“Kenapa dengan kau ni?” Damia panik. Syafa juga
begitu.
“Kenapa tu?” Shah bertanya bimbang.
Saloma berbisik sesuatu ke telinga Damia. Mata Damia
terbeliak. Dadanya berdebar-debar. Syafa terpinga-pinga.
“Sal nampak muka kat tingkap. Kau nampak tak?” Damia
berbisik ke telinga Syafa.
Syafa merenung tepat ke webcam dan dapat melihat apa
yang dilihat Saloma. Ada wajah putih kebiruan yang melekap di tingkap kaca di
belakang lelaki-lelaki itu. Wajah itu seolah-olah sedang tidur.
“Mia, kenapa ni?” Shah mendesak. Hairan melihat
reaksi Damia dan rakan-rakannya.
“Takde apa-apa. Cuma ada masalah sikit. Malam esok
kita sambung ya?”
*****
Seperti yang dijanjikan, Shah dan Damia berhubung
melalui skype pada malam esoknya. Kali ini tiada rakan-rakan yang menemani.
Cuma mereka berdua sahaja.
“Kenapa dengan Sal malam semalam?” Shah mahu tahu
kisah yang sebenarnya.
Serbasalah pula Damia mahu berterus-terang. Khuatir
akan lebih menakutkan Shah dan kawan-kawannya pula. Sudahlah selepas Syafa
melihat benda hitam itu, lena Shah dan kawan-kawannya terjejas teruk.
Belum sempat Damia bercerita…
“Tu adik-beradik awak ke?” Damia bertanya setelah
ternampak seorang lelaki di belakang Shah. Lelaki itu duduk bertinggung di
belakang Shah.
“Saya sorang je kat rumah ni Mia. Kawan-kawan saya semua
keluar.”
“Tak, bukan kawan-kawan awak tapi yang bertinggung
kat belakang awak tu. Adik-beradik awak ke?”
Shah tergamam. Dia teragak-agak untuk melihat apa
yang ada di belakangnya ketika. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam dan
rakan-rakannya masih belum pulang!
“Saya anak tunggal…”
Jawapan Shah memeranjatkan Damia. Anak tunggal? Tapi
lelaki itu seiras wajah Shah! Bulu romanya meremang.
“Tapi dia masih ada kat belakang awak…” bisik Damia
melalui microphone yang disambungkan ke laptop. Ketakutan dirasakan semakin
menular di dalam dirinya. Semakin lama semakin aneh rupa lelaki yang menyerupai
Shah itu.
Shah menelan liur. Dia tiada keberanian untuk
berpaling. Visualnya di dalam webcam diperhati lama tetapi lelaki yang
dikatakan Damia langsung tidak kelihatan. Dia tahu itu bukan manusia.
“Mia, nanti kita sambung chat balik…” ujar Shah lalu
terus mematikan Skype. Dia sudah tidak mempunyai kekuatan untuk meneruskan chat
itu.
Damia menelan liur. Apa yang dia saksikan itu? Bukan
manusiakah?
“Mia….”
Damia memandang ke kiri dan kanan. Ada suara parau
yang menyeru namanya beberapa saat yang lepas. Dia terus mematikan laptop dan
bersedia untuk tidur. Berdiri habis bulu romanya.
*****
“Sebenarnya rumah sewa yang kami duduk ni ada
sejarah hitam.”
Damia, Syafa dan Saloma membesarkan mata. Kening
mereka bergerak-gerak. Akhirnya Shah terpaksa berterus-terang. Kasihan pula
mereka asyik ternampak benda yang pelik-pelik. Sejujurnya sebelum ini mereka
tidak pernah diganggu sehingga selepas Syafa ternampak benda hitam di hujung
sofa.
“Kita bertukar cerita esok. Seram pulak nak cerita
malam-malam macam ni..” Shah tersenyum pahit.
“Okey, kita jumpa esok..”
*****
Damia, Syafa dan Saloma beriringan keluar dari
kereta. Mereka sudah sampai ke satu kawasan perumahan. Shah dan rakan-rakannya
akan bertemu mereka di situ.
Pak Mat yang kebetulan berada di situ menyapa
gadis-gadis yang sedang berdiri menghadap ke rumah yang terbakar beberapa bulan
lepas.
“Rumah ni terbakar 4 bulan lepas... Pak cik ingat
lagi macam mana arwah-arwah menjerit mintak tolong tapi kami tak dapat buat
apa-apa. Api menjulang tinggi, sekejap je rumah ni kena jilat api..”
Damia, Saloma dan Syafa mengangguk-angguk. Menarik
juga cerita pak cik ini. Mesti dia pernah berada di sini ketika kebakaran
tersebut berlaku.
“Semoga roh-roh arwah Shah, Fadley dan Hakimie
tenang di sana….” Sambung orang tua itu lagi.
Ketiga-tiganya tersentak. Mata mereka terbeliak.
Peluh dingin laju mengalir membasahi baju. Shah, Fadley dan Hakimie…..
YA ALLAH!
*TAMAT*