Sepasang kakinya kejap
melangkah merentas laluan denai yang agak bersemak. Dikiri dan kanannya hanya
ditumbuhi dengan belukar kecil. Tidak ramai yang kerap bertandang kesini
melainkan jika ada kematian yang terjadi pada penduduk kampung.
Lolongan anjing yang saling bersahutan
tidak dihiraukan. Tangan kirinya kejap memegang batang cangkul. Pakaian hitam
yang membungkus tubuhnya menjadikan orang lain sukar untuk melihatnya dalam
keadaan gelap gelita begini. Rempuhan angin yang sesekali bertiup kasar tidak
dipedulikan. Rambutnya yang panjang mencecah bahu itu sesekali terbuai lembut.
Nafasnya diaturkan dengan tenang. Biar pun malam itu agak dingin namun dahinya
tetap merenek dengan peluhnya sendiri.
Sesekali sewaktu berjalan
itu dia menoleh kebelakang. Melihat kearah denai kosong yang baru saja dia
lewati. Bimbang jika ada orang lain yang turut serta. Mungkin ada yang merasa
curiga dengan kehadirannya disini pada ketika ini. Debar didadanya makin kuat
menendang dari dalam.
Suara jampuk meningkah
entah datang dari mana tidak dipedulikan. Persetankan dengan semua itu. Ada
urusan yang perlu dia lakukan. Baginya urusan itu penting. Sudah lama dia
merancang semua ini. Mana mungkin bila muncul ketika dan waktunya dia
mensia-siakan semua yang dirancang itu. Uncang berwarna hitam yang terselit
dililitan dipinggangnya diraba dengan tangan. Memastikan uncang itu tidak
tercicir dimana-mana. Penting. Tanpa uncang itu segalanya malam ini tidak akan
berhasil. Setelah memastikan segala keperluannya ada, dia melajukan langkah
kakinya. Lorong gelap itu biar pun sukar dilihat namun dia sudah mampu membaca
setiap selekoh yang ada. Malah dia kenal setiap pohon yang tumbuh dikawasan
sekitar itu. Bukan asing semuanya.
Daun-daun kering gugur
menyembah kebumi tatkala ada angin rakus bertiup kencang. Daun yang tersangkut
dibahunya ditepis dengan tangan. Matanya terus dilorongkan kedepan. Nyata
kawasan yang ingin ditujunya sudah tidak berapa jauh lagi.
Sedapatnya dia harus cepat
melakukan kerjanya malam ini. Sebaiknya sebelum ayam jantan berkokok. Sebelum
bunga berkembang. Sebelum burung keluar dari sarangnya. Sebelum tanah menjadi
cerah. Sebelum fajar menyapa alam.
Dalam waktu yang singkat
dia sudah berada ditempat yang dituju. Sejenak dia berhenti. Ibaratkan musafir
yang kepenatan. Peluh didahi diseka lagi dengan tangan. Baju hitam yang dipakai
bergetar lagi. Kepalanya didongakkan kelangit. Merenung bintang yang berkerdipan.
Mencari bulan yang bersembunyi dibalik awan. Tidak ada tanda-tanda hujan datang
menyirami alam.
Cangkul diletakkan ditanah
dan uncang kecil diraba lagi dengan tangan. Matanya menyorot pada batu-batu
nisan yang terpacak kaku. Pohon kemboja yang tumbuh melatari kawasan itu
dijamahnya dengan ekor mata. Seakan-akan sedang mengawasi sesuatu yang tidak
kelihatan dengan mata kasar. Kawasan tanah perkuburan itu hampir dipenuhi
dengan semak samun.
Ada kocakan bermain
didada. Ada gementar datang mengusik. Ada gemuruh berpencak dihati. Ada resah
mengintai disebalik sanubari. Pun begitu dia tetap mempersetankan semua itu. Dihalau
dengan kasar. Dijerkah dengan bengis. Sesekali dia tidak akan membenarkan
ketakutan yang mahu menjajah perasaan lelakinya membantutkan usaha yang mahu
dilakukan. Biar bumi bergegar rancak, biar guruh berdentum dilangit namun,
untuk menyerah tidak sekali-kali. Jejaka menghelakan nafasnya dengan panjang. Hulu
badik yang tersisip kemas dipinggang dikisarnya dengan tangan untuk beberapa
detik. Jejaka kemudiannya menyambung semula langkah kakinya. Capal dikakinya memijak
tanah lalu meninggalkan bekas.
Kubur yang dicari akhirnya
ditemui juga. Jejaka terpacak sebentar dan mengamati ketulan tanah yang agak
membukit. Memang disinilah simati ditanam siang tadi. Jejaka tidak salah. Dia
yakin. Malah kayu nisannya menyatakan yang Jejaka tidak tersilap. Pelita kecil
dinyalakan bagi menerangi kawasan disitu.
Dengan kudrat yang dia
miliki tanah yang masih merah itu digalinya dengan cangkul. Sedikit demi
sedikit tanahnya mula terbongkah. Tidak menghiraukan akan kepenatan yang
dirasai, Jejaka bagaikan kerasukan. Dikala malam kian dicengkam dingin, sekujur
tubuhnya bermandikan peluh. Bila dirasakan rimas bajunya dibuka dan dicampakkan
ketepi. Kembali dia menyambung pekerjaannya.
Jejaka terhenti sebaik
saja merasakan yang mata cangkulnya terbenam didasar kubur. Lalu cangkul
diletakkan ketepi. Dengan hanya mengunakan tangan dia menguis saki-baki tanah
yang melekat. Akhirnya apa yang diingini sudah diketemuakan jua. Kuisannya
terhenti lagi sebaik saja hujung jemarinya menjamah kain putih yang sudah
bersalut dengan tanah. Nafasnya dihela dengan panjang. Kemudian kembali dia
menguis kembali tanah.
Susuk tubuh yang berbalut
putih sudah kelihatan makin jelas. Dengan bersusah payah dia menarik dan
kemudian mayat yang masih baru itu diduduk bersandar ditebing kubur.Lolongan
anjing serta-merta kedengaran bagaikan menyahut kejayaannya malam itu.
Pelita kecil dicapai dan
dia mendekatkannya kewajah simati. Tidak salah lagi memang inilah yang
perempuan yang menjadi pilihannya. Bukan sembarangan mayat yang harus dia
digunakan. Ada syarat dan pantang-larangnya. Andai tidak apa yang diusahakan
nanti bakal menjadi sia-sia.
Jejaka menyelak kain pada
wajah mayat. Pucat dan bibirnya kelihatan membiru. Jejaka kemudiannya
meletakkan pelita dibawah. Uncang yang tersisip dipinggangnya dibuka. Sebiji
botol kecil ditarik keluar. Penutupnya dibuka. Kembali dia mencapai pelita
kecil tadi.
Dengan mulut
terkumat-kamit dia membaca mentera. Ini syarat yang harus dia penuhi. Bagi
menghalau segala ketakutan yang mula bertandang. Semangatnya perlu kuat.
Telinganya menangkap desah angin yang entah dari mana munculnya. Geselan daun
pokok kemboja keras menampar cuping telinga. Hawa disekelilingnya mula terasa
sejuk. Jeritan nyaring anjing dikaki bukit makin galak dan saling bersahutan. Terdengar
panjang dan sayu.
Botol yang terpegang
ditangan kirinya diletakkan dibawah dagu mayat wanita muda itu. Tangan kanannya
pula mula melayur untuk mendapatkan minyak yang dihajati. Mantera yang sudah
dihafal terus meniti dibibirnya yang kering. Pelita juga digerakkan kekiri dan
kanan sewaktu melayur.
Jejaka menatap wajah mayat
sebentar. Tidak timbul rasa kasihan. Hatinya sudah kering dan kosong. Tidak ada
sebarang perasaan yang dirasai. Lama dia merenung wajah mayat tersebut. Dengan
tidak semena-mena mayat itu membeliakkan matanya. Berlaga dengan sepasang mata
Jejaka. Lantas jejaka berpaling kearah lain.
Dia tahu mayat itu tidak
akan mengapa-apakan dia kerana awal-awal lagi sudah dipesan oleh bomoh Bereng.
“ Jika mayat itu membuka matanya, usah kau takut wahai anak muda. Teruskan
saja. Nanti banyak lagi dugaan yang akan kau terima,” itulah pesan lelaki tua
yang ditemuinya se pekan yang lalu.
“ Harus kau ingat. Cari
perempuan yang mati dibunuh. Kesannya mungkin lebih dashyat,” tambah bomoh
Bereng tersengih disebalik api pelita yang melintuk lembut diruang tengah
terataknya. “ Kau harus berani wahai anak muda.”
Dan kerana merasa dirinya
tercabar dia melakukannya malam ini. Siang tadi mayat ini dikebumikan kerana
kematiannya akibat dibunuh dengan kejam. Mayatnya ditemui dihujung kampung.
Memang ini peluang yang
ditunggu-tunggu. Jejaka tidak boleh berlengah lagi. Waktu yang ada dirasakan
berlari deras. Yang dicita harus dicapai dengan tangan. Tidak dapat secara
halus, cara kasar dia akan lakukan.
Dalam cahaya pelita
ditangan Jejaka menoleh sekilas kearah mayat. Masih lagi mata mayat itu
memandang kearahnya. Hati lelakinya diburu resah. Tidak pasti berapa lama dia
harus melayur begitu. Dilangit bintang muda pudar. Kepulan awan hitam berarak
perlahan. Dedauan kering berterbangan diterjah angin yang kian keras. Suara
angin juga kedengaran membisik keras.
“ Jejaka!”
Jejaka terkejut dan
hampir-hampir saja pelita ditangannya jatuh kebawah. Sederas kilat dia menolah
dan mula sedar tanah perkuburan itu sudah terang dengan api jamung. Beberapa
orang lelaki kelihatan berdiri ditebing kubur.Wajah masing-masing kelihatan
hanya samar-samar kerana membelakangkan api jamung.
“ Apa yang kau lakukan ini
Jejaka!” teriak satu suara.
Jejaka tidak pasti suara
siapakah itu. Dia benar-benar terkejut. “ Keluar kau dari situ Jejaka!” arah
suara itu lagi dengan keras.
“ Naiklah Jejaka,” pinta
satu suara lain agak lembut. Tangan dihulurkan.Kekar dan berotot. Kali ini dia kenal
dengan empunya suara yang menegurnya.
“ Damak?” serunya seakan tidak percaya.
Lelaki yang dipanggil Damak itu tidak menyahut. Hanya jari-jemarinya saja
mengamit agar Jejaka menyambut hulurannya itu.
Rahsianya sudah pecah.
Tidak dia tahu siapa yang empunya angkara. Namun untuk menyerah tidak
sekali-kali. Hanya helah mungkin dia dapat melepaskan diri ketika itu.
Tangan Damak disambut dan
segera lelaki itu menarik Jejaka naik. Namun sebaik saja kakinya keluar dari
lubang kubur terus dia menolak tubuh Damak. Parang dipinggangnya ditarik dan
dihunuskan kearah sahabat yang sudah dianggap musuh.
Damak dan beberapa orang
rakannya yang lain terkejut. Masing-masing berundur dan diam seketika sambil
memerhatikan setiap pergerakan pada tubuh Jejaka. Mereka tahu bila-bila masa
saja Jejaka akan menyerang. Ada diantara
mereka sudah mengisar hulu badik dan keris dipinggang masing-masing. Bersiaga.
“ Apa yang kau lakukan ini Jejaka!” suara yang mula-mula tadi kedengaran
menengking. Mencelah dan kemudian muncul didepan pemuda-pemuda tadi.
“ Oh.....tok penghulu,”
parang bertukar arah. Kini tok penghulu yang sudah beruban dikepala itu menjadi
sasarannya.
“ Apa yang kau buat ni Jejaka!” marah tok penghulu. Api kemarahannya
bagaikan disiram dengan minyak. Menjulang didalam hati. Manakan tidak kerana
apa yang berlaku didepan matanya jauh dari sangkaannya. Tidak sesekali
terlintas didalam benaknya.
“ Apa yang kau lakukan ini
Jejaka!” soal tok penghulu lagi.
“ Tok ketua dan yang
lain-lain jangan masuk campur dalam urusan hamba!” pekik Jejaka. Suaranya
lantang.
Tok ketua
menggeleng-gelengkan kepalanya. Syaitan apa yang sudah merasuk anak buahnya
ini? Kegilaan apa yang sedang dia hadapi kini?
“ Kau sedar tak apa yang kau buat ni Jejaka!”
“ Hamba kata jangan campur. Kalau tidak buruk padahnya!” parang ditangan
digenggam dengan kemas. “ Kalau tidak senjata ditangan hamba yang akan buat
perkiraan,” ancam anak muda itu lagi.
“ Sudah gila ke kau Jejaka!” tempik tok ketua lagi. “ Apa yang kau lakukan
ini sudah lebih dari batas seorang manusia!”
Jejaka tidak menyahut. Dia
tahu apa yang dikatakan oleh lelaki itu ada kebenarannya. Tetapi ada sesuatu
yang mendesak dia melakukan perbuatan ini. Tidak ada jalan lain yang dia
nampak. Apatahlagi waktu yang berlari harus dikejar sedapat mungkin. Terlambat
bermakna sesuatu yang amat dia hajati akan terlepas untuk selamanya.
“ Sanggup kau buat begini
pada adik kandung kau Jejaka? Sudahlah dia mati dibunuh. Ini engkau datang buat
angkara pula!” serang tok penghulu. Benar Melati yang sudah menjadi mayat dan
ditanam itu adalah adik kandungnya sendiri.
“ Ampunkan hamba tok penghulu. Hamba terpaksa melakukan kerana tidak mahu
berputih mata,” ucap Jejaka dengan suara yang ditekan kedalam. Kuda-kudanya
sudah dipasang.
“ Apa maksud mu Jejaka?” Damak bertanya kehairanan. Badik yang berdiri
disebelahnya juga menoleh. Ada kerutan tergaris didahinya. Cuba mengertikan
akan maksud disebalik bicara Jejaka itu.
Seperti ada yang lucu
Jejaka menyeringai. “ Tuan hamba semua tak perlu tahu. Ini soal hamba. Biar
hamba yang uruskan,” dimatanya sudah terbayang sesusuk tubuh dan seraut wajah.
Kerana susuk itulah dia sanggap bertemu dengan bomoh Bereng dan melaksanakan
kerja-kerja durjana ini.
“ Damak,” panggil tok ketua.
“ Tok penghulu,” Damak mendekat. Namun perhatiannya tetap pada gerak tubuh
Jejaka. Andai ada gerakan sumbang dimatanya, dia tidak akan teragak-agak untuk
membuka langkahnya.
“ Tangkap dia,” arah lelaki itu dengan tegas.
Kata-kata tok penghulu itu
menyusup laju memukul gegendang telinganya. Jejaka terus bertempik dan
menyerang dengan parang ditangan. Badik
segera menarik tubuh tok penghulu agar mara merbahaya tidak menyinggahinya
menimpa lelaki itu. Manakala Damak segera masuk dan menepis kasar hayunan
parang Jejaka. Lantas kakinya menendang pemuda itu.
Jeritan dan pekikkan kedua
mereka mengamatkan tanah kubur. Yang lain-lain hanya melihat saja aksi
keduanya. Badik dan rakan-rakan yang lain memusatkan perhatian pada Damak.
Andai Damak tewas dia dan yang lain-lain akan masuk mencelah.
Jejaka masih mampu
mengawal tubuhnya biar pun ditendang sebegitu rupa. Lalu terjadilah pertarungan
diantara kedua sahabat sepermainan dan seperguruan itu. Jejaka rakus menyerang
manakala Damak bermatian mengelak. Diparang keatas, Damak pantas menyusup
kebawah. Diparang pula kebawah maka
Damak deras melompat diudara. Ditetak ketubuh, Damak mengelak kekiri dan
kekanan. Sengaja Damak tidak menghunuskan senjatanya kerana dia tidak mahu
melukai sahabatnya sendiri. Pun begitu matanya tidak lepas dari memerhatikan
gerak tubuh Jejaka. Andai tersilap nyawa menjadi galang gantinya.
Ketika dan saat yang
sesuai, sebaik saja Jejaka alpa Damak segera menyambar peluang. Keras dia
menepis hingga parang Jejaka tercampak ketanah. Lalu anak muda itu mengunci
pergerakan Jejaka. Jejaka meronta namun dia tewas untuk membuka kunci yang
sudah dipasang oleh Damak.
“ Lepaskan aku Damak!” Jejaka menjerit lantang.
“ Sudah Jejaka.....aku kata sudah,” Damak cuba mententeramkan Jejaka.
“ Jangan campur urusan aku Damak!”
“ Aku kata sudah!” akhirnya Damak terpaksa bertempik.
“ Damak.....bawak dia
kerumah,” kemudian tok penghulu berpaling pada Badik. “ Kau Badik,” serunya
perlahan.
“ Hamba, tok penghulu,” Badik menunduk hormat.
“ Kau timbus semula kuburnya Melati. Panggil kawan kau menolong
sekali,”arah lelaki itu separuh semput.
“ Baik, tok penghulu,” Badik terpaksa akur. Lantas dia memanggil Jalak,
Demang dan Jantan untuk membantunya.
Laman rumah tok penghulu
sudah diterangi dengan api jamung. Ramai juga orang kampung datang berhimpun
untuk mengetahui asal-usul peristiwa yang mengemparkan. Semunya bermula apabila
terdengar tempikan suara Jejaka yang minta dilepaskan sewaktu dia diheret
kerumah tok penghulu.
Dengan perintah tok
penghulu juga kedua ayah dan ibu Jejaka dijemput datang kerumah. Berlari Alang
memenuhi permintaan tok penghulu. Sebaik saja sampai Hitam, ayah Jejaka
bertanyakan apa yang berlaku. Tok penghulu menerangkan apa yang dia lihat ditanah
perkuburan tadi.
Demi mendengar kisah yang
terjadi Hitam segera menyambar keris dipinggang tok penghulu dan berteriak mahu
menikam tubuh Jejaka. Namun tindakan itu sempat dipatahkan oleh Damak.
“ Bersabar ayah Hitam,” pujuk Damak sambil mengunci pergerakan lelaki itu.
“ Celaka kau Jejaka! Lepaskan aku Damak, biar aku ajar binatang ni!” Hitam
bagaikan kerasukan.
“ Sudahlah ayah Hitam. Biar tok penghulu yang putuskan. Jejaka sudah pun
kita tangkap,” berat bibirnya berbicara kerana mengenangkan yang Jejaka itu
adalah salah seorang sahabatnya.
Hitam sendiri terjelepok
ditanah sambil ditenangkan oleh Damak. Bahunya bergoyang-goyang mengikut rentak
tangisnya sendiri.Tidak terduga dia akan semua ini boleh berlaku pada darah dagingnya
sendiri. “ Tergamak kau buat begini pada Melati Jejaka. Adik mu,” sayu suara
Hitam merintih. Isterinya, Kintan segera menerpa dan memeluk Hitam dari
belakang. Turut merasa aib yang sama. Kemana lagi hendak disorokkan mukanya.
Perbuatan Jejaka memang tidak dapat dimaafkan hingga dia mati. Arang sudah
terconteng diwajah mereka.
“ Sudahlah Hitam.
Banyakkanlah bersabar. Biar kita putuskan apakah hukuman yang sesuai untuk
Jejaka. Pulanglah dulu,”arah tok penghulu. Kemudian dia meminta Damak dan
rakan-rakannya yang lain membawa Jejaka ketempat kurungan.
“ Pastikan dia tidak terlepas,” tok penghulu memberi amaran lalu kerisnya
dihulurkan pada Damak. Andai terjadinya geruh, senjata itulah jalan
penyelesaiannya. Damak angguk dan faham.
Saat Jejaka diheret
ketempat kurungan matanya tertancap pada kelibat susuk wanita dicelah-celah
orang ramai disitu. Sari Ayu!
Si dara kelahiran tanah
jawa itu datang bersama oleh ayahnya, Wak Karman. Sari Ayu tidak melepaskan
pandangannya dari Jejaka. Renungan simpati bermain dikolam mata sigadis itu.
Sepasang mata itu bagaikan berbicara sesuatu padanya. Meskipun demikian Jejaka
yang keletihan gagal untuk menafsirkan apa-apa. Kekesalannya menjadi sebesar
gunung. Dia dibadai kecewa yang amat sangat.
“ Sari.....,” sebaris nama itu membasahi ulas bibirnya. Mungkinkah ini kali
terakhir dia dapat melihat wajah dan renungan Sari Ayu?
Sari Ayu melangkah pergi
bersama Wak karman. Namun beberapa langkah kemudian dia menoleh kembali kearah
Jejaka. Renungannya masih sama seperti tadi. Seolah-olah membicarakan sesuatu
pada Jejaka. Lambat-lambat tubuh dan seraut wajah Sari Ayu hilang dalam
kepekatan malam. Jejaka sedar, dia sudah tewas.
*****
“ Kenapa Jejaka?”
Jejaka mendongak.
Memandang kearah Damak. Seraut wajahnya disimbahi dengan cahaya yang datang
dari jamung yang dipasang. Kelam dan samar-samar. Agas yang hinggap ditepuk
dengan kasar.
“Kenapa tuan hamba buat begitu,” Damak mengulangi soalannya. Awang dan
Badik berdiri dipenjuru tempat kurungan tidak menghiraukan akan mereka berdua.
“ Sari,” ucap Jejaka
pendek.
“ Sari.....maksud tuan hamba? Sari
Ayu?”
Jejaka mengangguk. Damak menghelakan nafasnya dengan panjang.
“ Tapi kenapa?”
“ Aku mencintai Sari Ayu, Damak.”
Damal mencerunkan lagi pandangan pada wajah Jejaka yang nampak berbalam-balam
dimamah api andang ditepi tempat kurungan.
Siapa yang tidak kenal
dengan Sari Ayu. Gadis pendatang yang mencari rezeki dikampung sejak beberapa
purnama yang lalu. Benar, dia tidak menolak akan kecantikan milik gadis yang
berasal dari tanah jawa itu. Seraut wajahnya memiliki kecantikan yang tidak ada
pada mana-mana gadis kampung. Tidak juga pada Kemboja, Mawar, Cempaka mahu pun
Melati adik kandung Jejaka.
Damak juga tahu bukan
sedikit hati-hati lelaki terpaut pada keayuan milik Sari Ayu. Setiapkali
berselisih pasti mereka akan menjeling sedapat yang boleh. Wak Karman yang
dikenali sebagai ayah Sari Ayu tidak membantah biar pun itu bukan lagi rahsia.
Kerlingan Sari Ayu sudah cukup membuatkan hati lelaki mereka meruntun mahu
mendekati. Haruman tubuh Sari Ayu juga mampu mengoncang nafsu.
“ Tapi apa yang kau
lakukan satu kesalahan besar Jejaka,” sambung Damak dengan kesal.
“ Kau mahu memiliki Sari Ayu dengan jalan yang salah?” Damak sudah tahu apa
tujuan Jejaka melayur dagu mayat adik kandungnya sendiri. Minyak dagu yang
diperolehi itulah nanti akan dijadikan jambatan untuk menghambat jiwa dan raga
Sari Ayu. Sari Ayu tidak akan memandang pria yang lain lagi selepas disihir.
“ Untuk Sari Ayu, aku sangggup lakukan apa saja, Damak,” Jejaka berdiri.
“ Engkau sudah gila Jejaka. Sudah gila,” Damak mendesah dengan nafas yang
berat.
“ Barangkali benar dengan
tutur bicara mu Damak. Aku sudah cukup gila untuk membunuh Melati.”
Damak tertegun. Hampir
gugur jantung didadanya. Sungguh dia tidak menyangka sama sekali tergamak
Jejaka melakukan semua itu. Bagi jejaka pula tidak ada gunanya dia menyimpan
rahsianya lagi. Esok tentu tok penghulu akan menjatuhkan hukuman bunuh
keatasnya. Lantaran itu elok benar jika dia berterus-terang saja. Tidak ada apa
yang hendak difikirkan lagi. Nyawanya akan ditamatkan esok.
“ Jejaka!” Damak bertempik halus. Bimbang apa yang dilafazkan oleh Jejaka
tadi turut sama didengar oleh Awang dan Badik.
“ Bukan engkau tidak tahu
yang minyak dagu perlu diambil dari mayat wanita yang dibunuh kejam, Damak?”
Jejaka melanjutkan lagi buah bicaranya.
Damak kehilangan
kata-kata. Kerasukan apakah yang menguasai batang tubuh dan fikiran sahabat
sepermainannya itu? Petaka apa yang menjadikan Jejaka tegar melakukan semua
ini? Kepalanya ditundukkan. Kesal menikam sanubarinya bertubi-tubi.
“ Kerana Sari Ayu, aku sanggup.”
Damak, tangannya sudah mengisar hulu keris yang ditempa dari tujuh jenis logam
yang diberikan oleh tok penghulu tadi. Tidak pasti apakah dia akan menghunus
keris berlok tujuh itu untuk menikam dada Jejaka? Sungguh dia tidak menyangka
sekejam itu Jejaka dalam bertindak. Sanggup melepaskan bahtera kewarasan untuk
lemas dalam cintanya pada gadis bernama Sari Ayu?
Angin mendesah kuat dengan
tiba-tiba. Awang dan Badik mendongak memandang langit. Begitu juga Damak. Api
dari andang yang dipasang mula meliuk dan seakan-akan mahu terpadam.
Dalam keadaan terpingga-pingga
itu terdengar bunyi sesuatu. Bunyi seperti pasir dilayangkan keudara. Bunyi itu
berterusan untuk beberapakali. Seolah-olah datang dari semua arah.
Masing-masing terpingga-pingga.
“ Ada apa?” Badik berpusing-pusing cuba mencari arah datangnya bunyi itu.
Sepasang mata mula
memberat. Mulut menguap luas. Tubuh mula terasa lembik. Damak dan
rakan-rakannya mula dipasung rasa mengantuk yang amat sangat. Hanya Jejaka saja
yang masih lagi mampu bertahan.
“ Damak?” Jejaka menyeru tatkala melihat Damak mula layu dan akhirnya rebah
ketanah. Begitu juga dengan Awang dan Badik. Masing-masing tidak sedarkan diri.
Jejaka kehairanan. Jamung diempat penjuru sudah terpadam sama sekali. Gelap
likat. Pandangan Jejaka hanya dibantu dengan cahaya bulan yang tidak seberapa.
“ Damak? Awang? Badik?” nama teman-temannya diseru lagi.
Jejaka menoleh dan
memasang telinganya apabila terdengar ada bunyi seperti kaki melangkah membelah
semak dan belukar. Dalam samar-samar malam dia melihat ada dua susuk tubuh
muncul menghampiri tempat kurungannya. Siapa?
“ Siapa kalian?” Jejaka sudah memasang langkah. Andai ada geruh yang datang
dia akan menyerang pada bila-bila masa.
Dua batang susuk yang
muncul didepan mata tidak menyahut. Berpakaian hitam dan menutup muka. Yang
kelihatan hanya sepasang mata yang tajam menikam memandang kearah Jejaka.
“ Siapa kalian? Untuk apa kalian disini?” bentak Jejaka.
“ Usah takut wahai anak
muda. Kami datang untuk menyelamatkan mu,” lantas berubah riak wajah Jejaka
sebaik mendengar akan hajat dan tujuan manusia asing itu.
“ Buka kurungan,” jelas yang menutur itu adalah perempuan. Kedengaran
bergermersik dan merdu.
Kurungan dibuka dan mereka menarik Jejaka
keluar. Jejaka tidak membantah. Nalurinya mengatakan yang mereka benar-benar
datang untuk menyelamatkannya.
“ Siapa kalian?” Jejaka bertanya.
“ Usah ditanya siapa gerangannya kami. Yang penting kau harus selamatkan
nyawa mu dulu,” biar pun suara perempuan itu lembut namun kedengaran mengancam
pada telinga Jejaka.
“ Sudah! Usah banyak
bicara, ikut kami!” lalu Jejaka diheret meninggalkan kawasan itu. Lantas dalam
sekelip mata bayang susuk ketiga-tiga mereka hilang ditelan gelap malam yang
kian gelita.
*****
Jejaka duduk bersila
dilantai kayu. Kedua belah tangannya diletakkkan dilutut sambil menunduk. Dadanya
berombak tenang. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat.
Dalam perkiraannya dia
tidak menyangka sama sekali. Ibarat bermimpi namun itulah hakikat yang terhampar
didepan matanya. Dia diselamatkan oleh Sari Ayu dan ayahnya!
Hampir gugur jantungnya
tatkala Sari Ayu membuka penutup muka sebaik saja kakinya menjejak masuk
kedalam teratak milik mereka. Seulas senyum manis milik gadis itu membuatkan
dia dibuai perasaannya sendiri. Untuk sementara dia dibiarkan berehat sendiri
diruang yang disediakan. Sari Ayu dan ayahnya menghilang buat sekadar waktu. Jauh
dilubuk hati Jejaka berterima kasih pada kedua mereka.
Dalam menungannya itu
timbul satu persoalan menerjah kedalam benaknya? Kenapa Sari Ayu datang
menyelamatkannya?
Bunyi pintu kamar dibuka
membuatkan Jejaka mendongak. Sari Ayu muncul bersama talam ditangan. Perasaan
Jejaka menjadi tidak keruan tatkala matanya menatap senyum yang berbunga
dibibir gadis manis itu.
Sari Ayu dengan sopan dan
tertib bersimpuh dan meletakkan talam dilantai. “ Silakan mas,” pelawa Sari Ayu
pada Jejaka. Untuk beberapa detik sepasang mata Jejaka tidak mampu dialihkan
dari menatap sinar mata milik Sari Ayu. Pria itu benar-benar terpesona.
“ Mas.....sila kan,” suara merdu
Sari Ayu mengejutkannya. Gementar tangan Jejaka mencapai gelas minuman yang
dibuat dari logam kuningan.
Jejaka meneguk minuman
yang disediakan. “ Bagaimana tuan hamba menyelamatkan hamba?” Jejaka
memberanikan diri bertanya. Matanya tidak lepas dari menatap wajah bujur sirih
Sari Ayu. Dia kagum dengan kecantikan milik Sari Ayu.
Gadis itu tersenyum
sebelum menjatuhkan pandangannya kelantai. Simpuhnya dikemaskan. Kemudian dia
mendongak. “ Tidak susah aku merencanakan semua itu. Lagi pun aku dibantu oleh
ayah ku, Wak Karman.”
Jejaka melinggas cuba
mencari kelibat Wak Karman namun tidak kelihatan. Barangkali berada diluar
bilik, fikir Jejaka lagi. Biarlah, lagi pun dia mula merasa enak apabila dapat berdua-duaan
dengan Sari Ayu. Memang itu pun kehendak yang tersimpul dihatinya.
Apakah keadaan
sahabat-sahabatnya tadi dipengaruhi dengan ilmu kepunyaan Wak Karman? “ Kami
hanya memukau apabila saat diperlukan saja. Jangan salah tafsir mas,” seperti
dapat membaca fikiran Jejaka, Sari Ayu menuturkan bicaranya. Lantas lelaki itu
mengangguk.
“ Aku berterima kasih atas
apa yang kau lakukan untuk aku,” Sari Ayu bersuara lagi. Jejaka diam. Untuk
beberapa detik bilik itu menjadi hening seketika.
“ Aku tahu kau yang
membunuh adik mu, Melati. Kerana susah untuk mencari perempuan mati dibunuh kau
akhirnya sanggup mengorbankan nyawa adik mu sendiri,” Sari Ayu menyimpulkan
senyumnya lagi.
“ Aku juga tahu kau
berhajat untuk mendapatkan minyak pengasih untuk kau gunakan pada ku. Tapi
nasib mu malang kerana niat kau terhalang.”
Jejaka menelan air liurnya. “ Bagaimana.....kau tahu semua ini, Sari?” Jejaka
terkejut. Dadanya berombak. Kepalanya mula memberat.
“ Kenapa? Mas terkejut?” kening
didahi Sari Ayu terjungkit.
“ Jangan khuatir mas. Aku milik mas dan mak jugak milik aku,” senyumnya
terpahat lagi dibibir mungilnya. Berubah terus air muka Jejaka. Sungguh,
tubuhnya bagaikan lumpuh.
“ Tidak ada perlunya untuk mas merasa
terperanjat begitu,” lalu Sari Ayu memejamkan matanya. Bibirnya mula menuturkan
bahasa jawa yang sukar difahami oleh Jejaka. Anak muda itu pula mula merasa
pening kepala. Bilik itu bagaikan berputar-putar. Tangannya memegang dahi. Rasa
berdenyut makin kuat menikam. Diwaktu yang sama Sari Ayu melafazkan manteranya
dengan lancar dan kuat.
Sari Ayu meraba keris jawa
yang disisipkan dibelakang pinggangnya. Kelopak matanya dibuka dan riak
wajahnya yang lembut bertukar menjadi bengis.
Sementara itu Jejaka mula khayal akibat
kesan dari minuman yang diberikan oleh Sari Ayu tadi. Matanya yang mula berat
dicuba buka sedaya-upaya. Apa yang dilihatnya ketika itu amat memeranjatkannya.
Dia melihat bukan Sari Ayu lagi yang duduk bersimpuh didepannya, malah susuk
seorang perempuan tua menjelma. Rambutnya panjang dan beruban, mengerbang kasar.
Kulitnya berkedut seribu. Hidungnya juga kelihatan jatuh. Kedua biji matanya
terpersuk kedalam. Mantera yang diucapkan menyusup masuk kecuping telinganya.
“ Sari.....Sari,” Jejaka yang hampir rebah menyeru. Mengharapkan
pertolongan dari gadis itu.
Sari Ayu segera menarik
bahu Jejaka dengan tangan kirinya. Dengan mengunakan tangan kanannya, keris
ditusuk tepat kedada Jejaka lalu dirobek dengan kasar. Darah memancut keluar
membasahi tubuh dan lantai. Jejaka menjerit kesakitan. Keris itu kemudiannya
dicampak dan pantas Sari Ayu memasukkan tangannya kedalam belahan luka ditubuh
Jejaka. Pantas menarik jantung dan direntapnya dengan kasar.
Sari Ayu menolak tubuh
Jejaka. Pemuda itu mengeletek dilantai. Jantung Jejaka yang berada ditangannya
dipandang sambil menghamburkan ketawa besarnya. Jelas suara itu bukan milik
Sari Ayu melainkan kedengaran milik seorang perempuan tua. Mengekah dan
menakutkan.
Wak Karman yang mengintai
menyandarkan tubuhnya ke dinding. Dia tahu apa yang dilakukan oleh Sari Ayu. Memang
itu sudah perjanjiannya. Untuk mengekalkan kecantikan, Sari Ayu disyaratkan
agar memakan jantung pria. Tidak kira asalkan ada kesempatan. Dia yang hanya
bergelar cicit keturunan Sari Ayu hanya membantu seperti yang diarahkan. Rahsia
hubungan mereka perlu dijaga dengan rapi.
Dan malam ini Sari Ayu
berkesempatan lagi memenuhi syaratnya. Mana mungkin perempuan yang tubuhnya
dihuni iblis dan sudah berusia ratusan tahun itu melepaskan peluang yang
terhidang. Dengan jantung Jejaka itu wajah Sari Ayu pasti akan kelihatan makin
anggun dan menawan. Bakal memukau setiap mata pria yang memandangnya.
Wak Karman tergesa-gesa
bangun tatkala Sari Ayu keluar dari kamar. “ Kau uruskan mayat lelaki itu,”
arah Sari Ayu dengan wajah bengis.
“ Berapa lama lagi kita perlu tinggal disini sebelum semuanya rencana kita
diketahui orang?” Wak Karman bertanya.
Sisa-sisa darah yang
melekat dibibirnya dikesat dengan sehelai kain.Sari Ayu memandang kearah Wak
Karman kemudiannya. “ Untuk beberapa ketika lagi. Usah bimbang. Aku tahu saat
bila kita perlu tinggalkan kampung ini dan berpindah ditempat lain,” balas Sari
Ayu sambil tersenyum. Benar, dia tidak mungkin dapat menetap disatu-satu daerah
itu terlalu lama. Jika tidak mungkin rahsia hitamnya akan terbongkar.
“ Pergi,” arah Sari Ayu lagi.
Wak Karman angguk dan
segera berlalu untuk menguruskan mayat Jejaka. Sari Ayu tidak perlu bimbang
untuk mencari jantung lelaki muda. Dengan kecantikan yang dimilikinya, dia
mampu menundukkan mana-mana lelaki yang ada diluar sana.
SEKIAN