HOTEL STALLION
Prolog
Aku berkurung di dalam bilik. Lebih tepat di dalam
bilik air. Air mata membasahi pipi aku. Air di sinki aku biarkan mengalir
sehingga melimpah ruah. Selajur membasahi lantai dan juga seluar aku. Aku tidak
pedulikan semua itu. Aku benar-benar berada dalam tidak terurus.
Aku
tidak lagi dapat membezakan antara ilusi dan fantasi. Realiti mahupun khayalan.
Semuanya bersatu di dalam minda aku. Siang dan malam aku tak dapat bezakan. Aku
benar-benar terperangkap di tempat ini.
Tempat yang aku tidak sangka akan
membawa sejuta musibah kepada diri aku. Kini aku dapat merasakan aku bakal
terperangkap di sini untuk selama-lamanya. Tiada siapa yang dapat menyelamatkan
aku. Tiada siapa yang dapat menarik tangan aku keluar dari tempat yang aku rasakan
lebih teruk dari lubuk puaka ini.
Dentuman
di pintu membuatkan tubuh aku menggigil ketakutan. Aku dapat rasakan ini adalah
saat-saat terakhir dalam kehidupan aku. Tiada daya dan upaya lagi untuk aku
melawan. Aku berada di dalam kawasan ‘jajahannya’. Aku benar-benar tidak
bermaya. Wajah aku pucat seolah-olah darah aku telah disedut sehingga kering.
Berjuta penyesalan sudah tiada gunanya lagi. Andai waktu dapat diputar aku tak
akan menjejak kaki ke hotel ini!
HOTEL STALLION. Anda boleh check out bila-bila
masa. Tapi anda tak boleh keluar dari sini!
***
12.59 minit
tengah hari. 1 April 2014
Semuanya bermula pada hari ini. Aku bekerja sebagai
pegawai pemasaran di sebuah syarikat terkemuka di tanah air. Bebanan kerja yang
menimbun membuatkan aku menjadi tertekan ditambah dengan kerja aku yang
menuntut ke sana ke mari berunding dengan pelbagai orang.
Lantas
aku mengambil satu keputusan drastik untuk mengambil cuti tanpa gaji selama
seminggu. Mujur permohonan aku diterima oleh pihak atasan. Kalau tidak diterima
sekalipun aku nekad untuk bercuti sendiri. Tekanan dan stress yang melampau
buatkan aku tidak boleh bekerja sama sekali. Tambah-tambah saat sakit kepala
menyerang. Rasa macam hendak terjun bangunan saja rasanya.
Saat
permohonan cuti aku diterima aku sendiri tak tahu ke mana aku hendak
menghabiskan cuti tersebut. Yang pasti aku merancang ingin berjalan-jalan
sekitar Malaysia sahaja tidak termasuk Sabah dan Sarawak. Lagipun aku malas nak
merantau jauh-jauh. Banyak pulak barang nak kena bawa dan sediakan. Aku tak
suka semua tu.
Entah
mengapa tiba-tiba hati aku tergamit untuk datang ke Melaka. Bandaraya
bersejarah. Kenapa di panggil bandaraya bersejarah? Sebab disitu pelbagai
peristiwa sejarah yang penting kepada negara pernah terjadi. Misalnya hikayat
Hang Tuah Lima Bersaudara. Asal-usul yang aku tahu dari Melaka. Banyak lagi
sejarah yang diketahui ramai dan tidak diketahui ramai berada di Melaka.
Sebaik
keputusan diambil, aku rancang untuk drive seorang diri dari Selangor hingga ke
Melaka. Lagipun jarak tidak begitu jauh. Hanya memakan masa beberapa jam
sahaja. Sebelum keluar daripada rumah, sempat aku mesej seorang kawan perempuan
yang kebetulan orang Melaka. Dalam perancangan aku ingin mengajaknya menemani
aku bersiar-siar.
Aku
tiba di Bandar Hilir setelah menempuh halangan lalu lintas yang menyesakkan
jiwa. Aku lepak di Reggae Café yang terletak berdekatan Dataran Pahlawan.
Sambil menghirup secawan kopi yang dipesan sebentar tadi lagu Hotel California
menjadi halwa telinga. Meskipun aku tidak berapa minat dengan ahli kumpulan
Eagle tetapi entah mengapa pada hari itu aku boleh layan lagu tersebut sehingga
habis. Bila dihayati betul-betul liriknya kedengaran agak misteri tetapi aku
tidak endahkan sangat. Kopi dihirup sehingga habis.
Aku
melingas jam di tangan. Rakan wanita aku masih belum tiba meskipun setengah jam
berlalu. Aku menunggu beberapa ketika lagi. Baru sahaja jam hampir menunjukkan
pukul 4.05 minit petang, sebuah kereta Mini Cooper berwarna merah berhenti di
hadapan Reggae Café. Seorang wanita berskirt mini dan berambut perang keluar
daripada kereta. Dia berjalan mendapatkan aku. Hampir kesemua mata yang berada
di dalam kafe memandang ke arah kami berdua. Mungkin penampilan Sherry yang
agak seksi menarik perhatian mereka.
“Awal
kau sampai?”tegur aku dalam nada menyindir.
Sherry
tertawa menampakkan lesung pipitnya. “Sorry late. Jamp masa nak datang tadi.
Jangan marah ye.”
“Tak
marah cuma geram saja.”jawab aku. Sherry tertawa lagi.
“Dah
lama tak jumpa kau. Apahal simpan rambut panjang macam tu? Tapi smart jugak. Macam Antonio
Banderas.”puji Sherry.
Aku
hanya tersengih menerima pujiannya.
“So,
kau nak pergi mana saja ni?”tanya Sherry.
Aku
menjungkitkan bahu. “Entah. Kau bawa saja aku tempat yang best-best dalam
Melaka ni. Aku tak ada idea.”
“Kalau
macam tu jom kita gerak sekarang. Naik kereta aku ke kau?”tanya Sherry.
“Kereta
aku.”jawab aku pendek.
Lantas
kami berdua melangkah menuju ke arah Honda Civic yang diparkir tidak jauh
daripada kafe tadi.
***
10.00 minit
malam.
Hampir seluruh tempat di Melaka aku jelajahi dalam
masa beberapa jam. Dari tempat yang aku tahu namanya sehinggalah tempat yang
aku tak pernah dengar sama sekali. Walaupun agak letih tapi sebenarnya agak
menghiburkan hati juga tambah-tambah dengan kerenah Sherry yang agak gila-gila
bahasa.
“So,
kau rancang nak ke mana pulak ni?”tanya aku.
“Aku
rasa dah semua tempat aku bawa kau pergi. Sekarang tinggal nak balik jelah. Kau
tidur hotel mana?”tanya Sherry.
Aku
menjungkitkan bahu. “Aku tak tahu. Aku tak cari lagi.”
Sheery
melopongkan bibirnya. “Kau datang redah saja? Dari tadi tak mandi? Patut aku
bau tengik je.”
Aku
tergelak kecil. “Kau kenal aku dari universiti. Aku mana pernah buat
perancangan dalam apa-apa hal. Main redah je.”
“Redah
pun agak-agak jugak. Pakai helmet lain kali.”tingkah Sherry.
Aku
hanya tergelak kecil. “Kebiasaan lama-lama akan menjadi tabiat. Tabiat akan
sebati menjadi tingkahlaku.”
Sherry
mencebik. “Habis kau nak tidur mana malam ni?”
“Rumah
kau boleh?”usik aku.
Sherry
mengepalkan penumbuknya dan menunjuk ke arah aku. Aku tertawa terbahak-bahak.
Aku kenal dengan sikapnya. Meskipun berpakaian agak seksi tetapi dia pandai
menjaga batas-batas pergaulan. Setahu aku dia bukan jenis sosial cuma suka
berpakaian menjolok mata.
“Kita
pergi makan dulu. Nanti lepas hantar kau pandai-pandai aku cari hotel dekat
kawasan ni.”ujar aku. Tumpuan masih terarah kepada pemanduan.
“Ikut
suka kau lah sayang oi. Mengantuk pulak aku rasa.”nyata Sherry sambil menguap
kecil. Matanya ku lihat agak layu.
Lantas
kelajuan kereta aku tingkatkan supaya dapat menghantar Sherry pulang dengan
segera.
***
12.00 minit
malam
Selesai menghantar Sherry di kawasan Reggae Café,
tempat dia memarkir kenderaan, aku memandu kereta berseorangan. Tujuan utama
adalah mencari hotel. Sebenarnya dekat kawasan kafe itu bukannya tidak ada
hotel cuma tak kena dengan selera aku. Aku bukannya demand sangat cuma aku
pentingkan keselesaan dan lebih best kalau ada keindahan alam semula jadi yang
berdekatan.
Sambil
memandu aku melayan lagu di radio. Siaran Hot Fm menjadi pilihan. Lagu terbaru
Akim berkumandang. Aku layan sambil menyanyi kecil mengikut rentak meskipun aku
dapat rasakan ibarat langit dan bumi suara aku dan Akim. Aku tak pedulikan
semua tu. Yang penting dapat mengubat kesunyian dan kebosanan memandu seorang
diri. Mujur mata masih mampu celik meskipun tubuh terasa letih.
Jalan
raya ku lihat lengang. Hanya sesekali kereta berselisih dengan kereta aku.
Sambil itu aku memanjangkan leher melihat ke arah kiri dan kanan. Cuba mengesan
mana-mana hotel yang berjaya mencuit hati aku untuk menginap di situ sepanjang
percutian ini. Sempat aku kerling jam di dashboard. Jam menunjukkan 12.13 minit
malam.
Tatkala
aku mengalihkan pandangan ke arah hadapan, tidak semena-mena satu susuk tubuh perempuan
kecil lengkap berpakaian baju tidur sedang berdiri di hadapan kereta aku. Aku
terkejut. Serta merta kaki menekan brek. Tayar berdecit berusaha memberhentikan
kenderaan namun gagal lantaran jarak terlalu dekat. Tubuh kanak-kanak perempuan
itu dilanggar dan aku dapat rasakan tayar kereta menggelek tubuhnya. Kereta
berhenti mendadak dan aku tergamam seketika. Segala-galanya berlaku terlalu
pantas. Aku menelan liur lambat-lambat.
Peluh
dingin terasa membasahi tubuh. Aku dapat rasakan seluruh tubuh aku menggeletar
ketakutan. Bagaimana kalau budak tu mati? Mungkin tubuhnya telah bersepai dan
berlumuran darah di bawah kereta aku. Aku membuka pintu kereta perlahan-lahan.
Aku tertoleh-toleh melihat sekiranya ada mana-mana mata yang melihat. Mujur
tiada siapa di kawasan sunyi tersebut.
Serta merta aku check di bahagian
hadapan kereta. Tiada kerosakan yang dialami. Aku tunduk dan meniarap di atas
jalan raya. Tiada jasad yang berada di bawah kereta. Lantas aku berdiri dan
memeriksa seluruh kawasan kereta aku. Anehnya tiada sekujur tubuh pun yang
dijumpai. Hatta walau setitis darah aku tak dapat kesan.
Kalau
ikut logik akal memang parah keadaan budak tadi. Tapi peliknya bila jasadnya
tidak ditemui. Aku berusaha mencari seluruh kawasan berdekatan tetapi tetap
tidak dijumpai. Hampir setengah jam aku mencari tubuh kanak-kanak itu. Aku
menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Lantas aku masuk semula ke dalam perut
kereta. Aku berusaha menenangkan diri sendiri. Aku tarik nafas dan hembus
berulang kali sehingga aku rasa stabil.
Aku
tampar pipi berulang kali. Cuba menyedarkan diri yang mungkin sedang
berhalusinasi lantaran keletihan menguasai tubuh badan. Aku mengepal stereng
dan nafas ditarik dalam-dalam lalu dihembus kuat. Aku cuba melupakan kejadian
sebentar tadi. Enjin kereta dihidupkan semula. Aircond sengaja aku pasang
kuat-kuat. Berusaha mendinginkan tubuh yang terasa hangat. Lebih tepat
kehangatan jiwa yang sedang merusuh.
Aku
kerling jam di dash board.
12.13 MINIT MALAM!
Aku tergamam sekali lagi. Setahu
aku sebelum kemalangan tadi jam menunjukkan waktu yang sama. Aku dapat rasakan
agak lama masa aku ambil mencari tubuh kanak-kanak itu. Aku lihat pula jam di
tangan. Waktunya bersepadanan dengan waktu di dashboard. Liur di telan kasar
dan keras. Enggan mengusutkan fikiran aku memandu kenderaan dengan emosi dan
jiwa yang tidak selari.
***
Aku memandu perlahan dan lebih berhati-hati kali
ini. Aku tak mahu pisang berbuah dua kali. Walaupun aku tak tahu kemalangan
tadi ilusi mahupun realiti tetapi aku tetap berwaspada. Pada anggapan mungkin
keletihan yang melampau membuatkan minda tertipu. Aku menguatkan volum radio.
Kali ini lagu A Thousand Years menjadi pilihan deejay yang bertugas. Walaupun
bernada agak sentimental tetapi aku layan juga untuk mengubat kerusuhan jiwa.
Baru
sahaja lagu ingin sampai di bahagian korus, siaran radio tidak semena-mena
berdesir. Siaran terganggu. Ia berlangsung selama beberapa saat sebelum
memainkan lagu semula. Lagu Hotel California berkumandang. Aku menekan butang
memilih siaran Hot Fm. Lagu Christina Perry berkumandang semula. Namun tidak
lama kemudian siaran bertukar lagi. Lagu Hotel California sekali lagi
kedengaran di speaker.
“Apa
masalah pulak radio aku ni.”rungut aku sendirian.
Aku
menekan-nekan punat cuba menukar tune. Namun keanehan melanda diri aku sebab
hampir seluruh siaran radio memasangkan lagu Hotel California. Aku merengus
kecil lantas membiarkan lagu itu bermain.
“May
God have mercy on your soul!!”
Suara
jeritan itu membuatkan aku tersentak. Aku merenung lama ke arah radio. Setahu
aku petang tadi dengar lagu ini tak ada pula ayat yang agak menyeramkan itu.
Tapi malam ini lain pulak. Aku cuba menyedapkan hati dengan menganggap mungkin
ini adalah versi terbaru lagu itu. Tapi dalam masa yang sama radio aku off
sebab tidak semena-mena bulu roma aku meremang selepas mendengar suara jeritan
yang parau dan kasar itu.
Tatkala
itu aku terpandang sebuah hotel yang terletak di bahagian kiri aku. Aku
memasang signal dan membuat pusingan U menuju ke arah hotel itu. Aku sendiri
pun tak tahu apa yang membuatkan hati aku tertarik ke arah hotel itu.
Dari luar
memang agak tidak menarik. Terdapat sebuah bangku usang di luar. Seni bina yang
agak ketinggalan. Cat yang agak memudar. Masih menggunakan lampu kalimatang
(mentol bulat). Sekali pandang seakan-akan rumah Inggeris lama. Tidak besar dan
tidak kecil. Hanya sederhana sahaja. Aku kira mungkin dalam 2 tingkat sahaja.
Aku
memarkir kereta di satu ruangan. Aku matikan enjin dan keluar dari kereta. Aku
tinjau sekeliling. Baru aku perasan tiada sebuah kereta pun di kawasan itu.
Berhadapan dengan hotel itu terdapat hutan tebal. Namun di belakang hotel itu
ku lihat ada sebuah pantai yang tersergam. Aku mengukir senyuman, Itu ciri-ciri
yang aku idamkan. Bagasi kecil aku keluarkan dari bonet dan dibawa bersama.
Aku
melangkah dan berdiri di hadapan hotel tersebut. Aku mendongak dan melihat
banner berwarna coklat kekusaman, Aku kira ia diperbuat daripada sejenis papan.
“HOTEL
STALLION. Since 1914.”
Saat
itu angin sejuk menerpa tubuh aku. Aku mengzipkan jaket sehingga ke bahagian
leher. Kedinginan mulai terasa. Kemudian aku melangkah masuk ke dalam hotel
tersebut.
***
“SELAMAT
DATANG KE HOTEL STALLION”
Ucapan
pertama yang aku terima sebaik kaki menginjak lantai hotel itu. Senyuman manis
wanita pembuka pintu mencairkan hati lelaki aku. Bila aku perhati wajahnya
sukar untuk aku mengesani jenis kaumnya. Pada anggapan aku mungkin wanita itu
campuran Barat kerana wajahnya agak berbeza dengan orang Asia.
Dia
membawa aku menuju ke kaunter pendaftaran. Di situ terdapat dua wanita
bertugas. Masing-masing menyambut kedatangan aku dengan senyuman yang tak lokek
daripada bibir. Mungkin salah satu cara bagi menarik perhatian pelanggan. Aku
memerhati kedua-dua pekerja wanita itu. Rupa mereka juga tidak iras dengan
mana-mana jenis kaum yang terdapat di Malaysia. Seolah-olah mereka adalah orang
Eropah. Aku mengitari kawasan sekeliling.
Hampir
keseluruhan ruangan hotel diperbuat daripada kayu yang aku tak pasti jenisnya.
Bahkan lantai tempat aku berpijak kini. Aku seolah-olah berada di zaman
Inggeris kuno. Rata-rata pekerja pula kebanyakan berwajah ala-ala Eropah.
Bahkan cara mereka berpakaian juga agak pelik pada pandangan aku. Lelaki
memakai sut serba hitam. Begitu juga dengan wanita. Walhal aku pasti hotel ini
bukan bertaraf lima bintang.
“Bilik
untuk seorang.”kata aku.
Tanpa
banyak bertanya, wanita berambut perang menyerahkan kunci kepada aku. Aku
menyambut kunci tersebut. Lazimnya kunci akan diberi selepas mendaftar tetapi
ini sebaliknya. Kemudian dia menyerahkan buku pendaftaran kepada aku. Aku
memerhati nama-nama yang menginap di hotel tersebut.
Linsdsay. 12 Mac 1917
Anthony. 1 May 1919
Micahel. 28 December 1935.
Itu
adalah secebis daripada keseluruhan nama yang terdapat di dalam buku tersebut.
Dahi aku berkerut melihat tarikh-tarikh yang tertera. Agak mustahil hotel ini
masih menyimpan senarai nama pelanggan sejak berkurun yang lalu. Buku tersebut
juga telah agak kusam dan kekuningan warnanya. Enggan membejatkan fikiran, aku
menulis nama dan tarikh pendaftaran. Kemudian buku diserahkan kepada pekerja
wanita itu.
Baru
sahaja aku ingin berlalu, nama aku dipanggil sekali.
“Tolong
turunkan tandatangan di borang ini.”ujar wanita itu.
Aku
mengambil kertas berwarna coklat itu. Tanpa melihat butiran isi kandungan aku
mencapai pen dan menurunkan tandatangan.
Saat itu sesuatu yang tajam sifatnya berada di hujung mata pen telah
mencucuk ibu jari aku. Pen terlepas dari pegangan. Setitis darah tumpah di atas
kertas tersebut. Aku mengulum jari cepat-cepat bagi menghentikan pendarahan. Selajur aku menunduk mengambil pen yang
berada di atas lantai.
Sebaik
aku berdiri, kelibat dua orang wanita tadi telah tiada. Aku tertoleh-toleh
mencari mereka. Tetapi tiada seorang pekerja pun yang kelihatan. Bahkan borang
yang berada di atas kaunter sebentar tadi juga telah lenyap. Aku menghela nafas
kasar dan meletakkan pen di atas meja. Aku mengheret bagasi dan menuju ke arah
tangga kayu yang terletak di bahagian tengah ruangan bawah hotel itu.
Semasa
aku mendaki tangga, aku melihat seorang lelaki berpakaian sut serba hitam
menuruni tangga. Rambutnya beruban keputihan. Wajahnya berkedut dimamah usia.
Namun fizikalnya ku lihat masih gagah dan bertenaga. Dia merenung ke arah aku
dan tersenyum.
“Selamat
datang ke Hotel Stallion. Saya kapten di sini.”ucapnya dengan nada suara yang
mendatar dan seolah-olah berbisik.
Aku
hanya tersenyum dan mengangguk sebelum berlalu. Tangan aku dipegang olehnya
membuatkan pergerakan aku terhenti. Tapak tangannya aku dapat rasakan kasar dan
tersangat dingin. Aku berkalih. Lelaki itu merenung lama ke arah aku.
“Kami
akan bawa anda ke satu dunia yang anda tak pernah lalui. Tapi ingat! Anda boleh
checkout bila-bila masa. Tapi anda tak boleh keluar dari sini.”
***
Aku memasukkan anak kunci dan membuka pintu. Sebaik
pintu dibuka, mata aku merayapi susun atur di dalam bilik itu. Dekorasinya agak
menarik dan vintage. Mungkin pemilik hotel ini menyukai corak dekorasi rumah
Inggeris lama. Jadi dia telah menerapkan di dalam hotelnya ini. Aku meletakkan
bagasi dan beg galas di atas lantai. Aku melangkah menuju ke tingkap.
Tingkap
kayu aku buka penyendaknya dan ditolak keluar. Sebaik terkuak, angin sejuk
menerpa tubuh aku. Aku tersenyum melihat pemandangan. Bulan kelihatan separa
penuh. Manakala air ombak galak menghempas pantai. Bunyi yang terhasil terasa
mendamaikan jiwa aku. Mata sengaja aku pejam bagi menikmati rasa yang sukar
untuk ditafsirkan itu.
Sebaik
mata aku dibuka, nun di hujung pantai aku terlihat kelibat seseorang sedang
berdiri sambil merenung ke arah aku. Aku memicingkan anak mata bagi melihat
dengan jelas. Sebaik mengenali kelibat tersebut hati aku tidak semena-mena
berdetak kencang. Kanak-kanak perempuan berbaju tidur yang aku langgar sebentar
tadi! Dia sedang berdiri sambil merenung tajam ke arah aku. Biasan cahaya
rembulan membantu aku untuk melihat.
Aku
menarik nafas dan memejamkan mata. Aku berharap semua ini hanyalah ilusi
semata-mata. Aku berharap apabila aku bukakan mata nanti budak itu akan lenyap
dari pandangan. Aku mengumpul nafas dalam-dalam lantas mata dibukakan.
Serentak
itu, satu tangan asing menyentuh bahu aku. Aku terkejut dan berkalih pantas.
Hampir-hampir luruh jantung aku lantaran dihambat kejutan. Aku mengurut dada
sambil memandang ke arah kapten yang sedang berdiri di hadapan aku.
“Tuala
untuk awak.”ujar kapten tersebut sambil mengunjukkan sehelai tuala kepada aku.
“Terima
kasih..”ucap aku setelah berasa kembali stabil.
Kapten
tersebut terus berlalu keluar daripada bilik tanpa berkata hatta sepatah.
Sebaik pintu bilik ditutup, aku melontarkan pandangan ke arah pantai semula.
Ternyata kelibat kanak-kanak tadi telah tiada. Aku menghembus nafas kelegaan.
Ternyata aku hanya berimaginasi. Lantas tingkap aku katup semula.
Aku
merebahkan badan di atas katil yang empuk. Tubuh aku tenggelam dalam keempukan
tersebut. Telefon bimbit aku berbunyi. Lantas aku keluarkan dan ku lihat
sekejap. Ternyata bateri hanya tinggal satu bar sahaja. Aku bangun dengan rasa
malas menyelongkar beg galas yang dibawa. Carger dikeluarkan dan aku mencari-cari
suis untuk mencucuk plug.
Aku
mencari hampir keseluruhan kawasan bilik ternyata tiada suis yang terdapat. Aku
menghempaskan keluhan kasar. Terpaksa aku gunakan power bank yang aku spare
untuk keadaan terdesak. Sebaik selesai aku berbaring di atas katil semula.
Keletihan yang menyarung tubuh membuatkan aku terus terlelap dibuai mimpi.
***
1.00 pagi. 3
April 2014.
Aku terjaga daripada tidur dalam keadaan mamai dan
kepala yang teramat berat. Aku bangun perlahan-lahan dan duduk melunjur. Aku
urut tengkuk bagi melancarkan aliran darah. Hampir beberapa minit aku dalam
keadaan begitu barulah keadaan aku kembali normal.
Aku
bangun dan terus menuju ke tingkap. Aku harapkan dapat menjamu pandangan dengan
sinaran mentari pagi. Sebaik tingkap dibuka keadaan gelap dan kelam. Dahi aku
berkerut. Lantas aku berlalu menuju ke katil mencapai telefon bimbit.
Hampir-hampir terkeluar biji mata sebaik melihat waktu dan tarikh tertera. Ini
bermakna aku telah tidur hampir satu hari suntuk! Aku menelan liur basi ku sendiri.
Tidak pernah seumur hidup aku tidur selama sehari suntuk. Aku meramas rambut
berulang kali. Peti mesej dan panggilan aku semak. Mesej dan panggilan dari
Sherry memenuhi skrin telefon.
12.34 p.m @Jawab call please.
12.40 p.m @Kau ada mana ni? Call
dari tadi x angkat.
12.42 p.m @Kau tido lagi k?
2.03 p.m @Jawablah call.
2.15 p.m @Bro. Aku risau pasal kau
ni. Jawab call or mesej please.
3.00 p.m @Kau ada dekat mana? Aku
risau ni!
Mesej
selanjutnya aku tidak buka lagi. Baru aku teringat aku ada berjanji untuk
menjemput Sherry pada hari ini. Pantas aku membuat aku membuat panggilan
telefon. Tetapi panggilan tidak bersambung. Baki menunjukkan RM 0.00 ringgit.
“Masa
ni kau nak buat hal pun!”rungut aku sambil merengus kasar.
Aku
melangkah menuju ke bilik air. Sebaik selesai menyegarkan diri dan menyalin
pakaian, aku melangkah keluar daripada bilik. Aku merancang untuk keluar ke
kedai serbaneka berdekatan untuk membeli kredit dan sedikit makanan bagi
mengisi kekosongan perut.
Sebaik
tiba di ruangan bawah, hampir kesemua pekerja berhenti melakukan kerja mereka
dan mula merenung ke arah aku.Aku
yang menapak pantas sebentar tadi mula mengatur langkah perlahan sambil
memerhati wajah-wajah mereka yang merenung ke arah aku. Renungan mereka amat
tajam seolah-olah berbaur dendam yang bernanah. Aku cuba untuk tidak
mengendahkan renungan mereka tetapi hati aku berasa tidak senang. Satu perkara
yang mula perasan. Wajah mereka masing-masing memucat seolah-olah pesakit
leukemia.
“Encik
nak ke mana?”tegur pekerja wanita di kaunter pendaftaran.
“Kedai
sekejap. Beli barang.”jawab aku acuh tidak acuh.
Bagi aku itu adalah privasi
diri untuk keluar ke mana-mana sahaja. Tak perlu untuk memberitahu atau meminta
kebenaran sesiapa pun.
“Maaf
encik. Encik boleh checkout. Tapi encik tak boleh tinggalkan tempat ini.”balas
wanita itu dengan nada suara yang perlahan tetapi tegas.
“Apa
maksud awak?”aku menyoal.
“Saya
cuma menurut arahan kapten.”jawab wanita itu. Dia menundukkan wajah apabila
melihat aku sedikit meradang.
“Mana
kapten? Saya nak berjumpa.”ujar aku tegas.
Masing-masing
hanya menundukkan kepala. Aku merengus perlahan lantas mengorak langkah menuju
ke pintu keluar hotel. Sebaik tombol dipulas ternyata ianya berkunci. Aku
merentap berulang kali dengan kasar dan keras. Kemarahan mula terasa membuar di
jiwa.
“Buka
pintu ni.”arah aku kepada salah seorang pekerja yang berdekatan.
Sebaliknya
dia tidak menghiraukan arahan aku. Seolah-olah aku tidak wujud di situ sama
sekali. Aku berlalu menuju semula ke kaunter pendaftaran.
“Tolong
buka pintu depan tu.”kata aku. Nafas aku turun naik menahan kemarahan.
“Saya
hanya mendengar arahan kapten.”jawab pekerja wanita itu.
“Kalau
macam tu saya nak berjumpa dengan kapten sekarang!”balas aku lantang.
Sebaik
aku berkata sedemikian, lantai aku berpijak terasa bergegar. Aku lihat
pekerja-pekerja mulai cemas dan ketakutan. Aku tidak faham dengan situasi yang
terjadi. Seluruh hotel terasa bergegar seolah-olah dilanda gempa bumi. Cuping
telinga aku menangkap bunyi dengungan yang berpuing-puing. Semakin lama semakin
kuat seolah-olah kerumunan lebah yang sedang membuat sarang. Aku berkalih
perlahan-lahan.
Dari
atas tangga, aku lihat gerombolan asap hitam berkepul-kepul menuruni tangga
dengan pantas. Pusaran asap itu meluncur laju meluru ke arah aku. Sebaik hampir
tiba di hadapan aku, pusaran asap hitam itu berkecai lalu membentuk satu wajah
yang amat mengerikan dan menakutkan. Wajah itu menderam dengan buaran nafas
yang ganas.
“May
God have mercy on your soul!!!”
Lantunan
suara amarah yang garau dan keras itu bergema di seluruh pelusuk ruangan hotel.
Selajur itu, wajah buruk yang terbentuk dari gerombolan asap itu terus menerpa
ke arah aku. Aku terdorong ke belakang menerima hentaman bersifat tembus itu.
Aku hilang kawalan diri lantas terjatuh di atas lantai. Kepala aku terhentak
dengan kuat. Dunia terasa berputar dan pandangan kian kelam. Aku tidak ingat
apa-apa lagi selepas itu.
***
Aku terjaga dari pengsan dalam keadaan kepala yang
terasa memusing. Aku memegang kepala. Rasa sakit terasa di bahagian belakang
kepala. Aku mengitari pandangan di sekeliling. Aku berada di dalam bilik yang
aku sewa tempoh hari. Aku cuba mengingati perkara terakhir yang terjadi ke atas
diri aku semalam. Tetapi ingatan aku gagal dikembalikan. Yang aku ingat aku
terjaga daripada tidur dan kemudian aku tertidur semula. Tiada memori lain yang
hinggap di kotak fikiran. Aku mengeluh perlahan.
Aku
capai telefon bimbit. Tarikh dan masa yang ditunjukkan membuatkan aku
tersentak. 4 April 2014 pukul 3.00 pagi! Aku menelan liur. Ini bermakna telah
hampir dua hari aku berkurung di dalam bilik menghabiskan cuti. Tidak
semena-mena memori aku kembali terpanggil perisitiwa semalam.
Segalanya
melayang-layang di hadapan mata memutarkan kembali ingatan. Kepala aku terasa sakit.
Aku tidak mampu menghadami semua ini. Aku berlari menuju ke bilik air.
Sekonyong-konyong aku membuarkan isi perut di dalam sinki. Hanya sedikit isi
perut yang keluar. Liur aku sahaja yang keluar tanpa henti.
Aku
kesat saki baki kesan muntah di bibir menggunakan belakang tangan. Pili air
dibuka. Air meluncur laju. Aku membasahkan tangan dan bibir. Kemudian aku
melihat refleksi wajah di cermin. Rambut aku yang panjang tidak terurus dan
kusut. Wajah aku mula ditumbuhi tunggul-tunggul janggut. Lebam hitam melingkari
kawasan mata aku. Bahkan wajah aku juga pucat tidak bermaya. Aku meraup wajah
dan meramas rambut. Tekanan perasaan mula dirasai. Aku tidak tahu musibah apa
yang sedang melanda diri aku kini.
Lantas
aku menakung air yang meluncur laju dari pili. Lalu aku simbahkan ke wajah. Aku
lakukan berulang kali. Pada takungan aku yang keempat, air bertukar warna
menjadi merah darah. Serta merta aku menarik tangan. Aku dihambat kejutan
apabila melihat sinki dipenuhi dengan air berwarna merah. Bau hanyir yang
meloyakan tekak menusuk ke hidung. Aku melihat wajah di dalam cermin.
Satu
lagi hambatan kejutan melanda diri aku. Satu susuk tubuh berpakaian serba putih
yang berlumuran tanah kubur dengan rambut yang menutupi wajah sedang berdiri di
belakang aku. Aku menoleh pantas. Tiada apa-apa yang berada di belakang aku. Sebaik pandangan dialihkan semula ke arah
cermin, ternyata makhluk itu masih ada. Bulu roma aku berdiri keseluruhannya.
Tubuh aku menggeletar ketakutan. Darah merah membuak-buak keluar dari kawasan
perut mengalir sehingga bertakung di kawasan lantai. Pakaian putihnya telah
dicemari dengan darah merah yang pekat lagi hanyir. Aku menahan diri dari
muntah.
Tiba-tiba
makhluk itu mengangkat wajahnya. Aku dapat melihat dengan jelas wajahnya itu. Biji
mata yang terjojol merah bernyala. Tiada mulut yang kelihatan melainkan gigi
yang berceracak tajam. Daging-daging mereput hampir keseluruhan bahagian muka.
Ulat satu persatu gugur dari liang-liang wajahnya yang berlubang. Dia menderam
dan merenung aku dengan tajam. Serentak itu satu jeritan nyaring yang
membingitkan anak telinga terletus.
“May
God have mercy on your soul!!!!”
Aku
berlari keluar dari bilik air. Aku mengunci pintu dari luar. Nafas aku
tercungap-cungap. Seluruh tubuh aku menggigil ketakutan. Gigi aku berlaga
sesama sendiri. Tidak pernah aku alami kejadian menakutkan sebegitu seumur
hidup. Aku dihambat satu lagi kejutan apabila telefon bimbit berbunyi secara
tiba-tiba memecah kesunyian. Aku lekas-lekas mendapatkan telefon bimbit. Nama
Sheery tertera di ruangan skrin. Pantas aku menjawab panggilan.
“Akhirnya
kau jawab call aku. Kau ada mana ni? Puas aku cari kau.”
“Aku
tak ada masa nak terangkan. Kau kena tolong aku Sherry.”
“Tenang
Stephen. Kau ada mana? Aku datang sekarang.”
“Aku
tak tahu aku ada dekat mana. Tapi aku dapat rasa ajal akan datang jemput aku
bila-bila masa.”suara aku menggeletar. Aku tertoleh-toleh bimbang jika
kelibat-kelibat menakutkan muncul lagi secara tiba-tiba.
“Apa
kau cakap ni? Cuba bawa bertenang. Bagitau kau ada dekat mana sekarang?”
“Aku
masih dalam Melaka. Hotel Stallion.”
“Hah?
Kau biar betul. Mana ada hotel nama macam tu dalam Melaka ni.”
“Aku
tak tahu. Tapi memang aku check in hotel nama tu. Tolong aku Sherry. Aku tak
boleh keluar dari sini.”suara aku separuh merintih.
“Kau
tenang. Aku akan selamatkan kau. Aku….”
Suara
Sherry lenyap dari talian.
“Hello!
Hello! Sherry!...”panggil aku berulang kali.
“May
God have mercy on your soul!!!!!”
Panggilan
aku disahut dengan satu tengkingan yang amat kuat. Suara garau dan keras itu
melantun-lantun keluar dari corong speaker Galaxy S4 aku. Aku mencampakkan
telefon bimbit di atas lantai.
Telefon berkecai dan bateri terkeluar tercampak
ke bawah katil .Tapi suara itu masih menjerit berulang-ulang dari corong
speaker. Aku duduk bercangkung memeluk lutut dan menekap telinga. Tubuh aku
menggeletar ketakutan. Aku menangis teresak-esak merintih. Aku tak mahu dengar
suara-suara itu lagi. Aku tak sanggup lagi diganggu sebegini. Aku nak keluar
dari tempat ini!!!!
***
Aku tercari-cari arah dalam kegelapan. Aku pun tidak
pasti bagaimana aku boleh berada di kawasan seperti ini. Sekeliling gelap dan
amat sunyi. Tiada secebis cahaya pun yang menerangi kawasan sekeliling. Aku
berjalan tertatih-tatih dan teraba-raba. Hanya bergantung pada deria rasa
sentuhan semata-mata.
Aku
menjerit meminta tolong. Lantunan suara aku bergema sebelum lenyap ditelan
kegelapan. Aku menghempaskan keluhan kasar. Aku harus mencari jalan keluar dari
tempat itu. Aku melangkah berwaspada. Namun tidak semena-mena kaki kanan aku
tersepak sesuatu yang keras. Aku terdorong ke hadapan sebelum jatuh tertiarap.
Aku menyeringai menahan kesakitan yang mula menjalar.
Saat
itu, kawasan yang tadinya gelap mula dilimpahi cahaya. Aku mendongakkan kepala.
Rupa-rupanya sang bulan mula memunculkan diri dari sebalik awan. Aku menarik
nafas kelegaan. Sakit sebentar tadi mula beransur kurang. Aku bangun semula
perlahan-lahan. Baju dan seluar dikibas berulang kali cuba menyinkirkan debu
dan habuk yang melekap.
Sejurus
pandangan aku rayapi di seluruh kawasan aku berada kini. Tidak semena-mena mata
aku terbentang luas melihat pemandangan di hadapan aku. Rupa-rupanya aku berada
di kuburan Kristian. Lambang-lambang salib berceracak di serata tempat. Aku
menelan liur. Terasa lambat dan perlahan melalui anak tekak.
Aku
berjalan terketar-ketar cuba mencari jalan keluar dari kawasan perkuburan itu.
Tetapi tanah perkuburan itu seolah-olah terlalu luas. Di bahagian kiri, kanan,
depan dan belakang penuh dengan kubur dan seolah-olah tiada penghujungnya.
Peluh renik mula membasahi dahi. Aku terlingas-lingas mencari jalan keluar.
Terasa
penat melangkah membuatkan aku berhenti sejenak. Nafas dihirup berulang kali
bagi menstabilkan laluan pernafasan. Aku duduk terbongkok sambil memegang kedua
belah lutut aku. Pada ketika itu, aku terpandang salah satu batu nisan di
sebuah kubur. Terdapat nama dan sekeping gambar di atas batu nisan tersebut.
Apabila diamati wajah di batu nisan itu saling tidak tumpah dengan wajah
pekerja wanita berambut perang di Hotel Stallion.
Aku
beralih ke kubur yang lain. Batu nisan itu memaparkan pula sekeping gambar
kusam. Dia juga merupakan pekerja wanita yang pernah aku lihat sebelum ini. Aku
meraup wajah berulang kali. Rambut disibakkan ke belakang. Fikiran aku terbejat
dan benar-benar kusut. Bukan dua buah kubur itu sahaja, bahkan hampir kesemua
kubur itu mengandungi gambar-gambar pekerja hotel tersebut.
“Psst!”
Suara
itu membuatkan aku berkalih. Aku lihat kanak-kanak perempuan yang aku langgar
tempoh hari sedang berdiri di sebuah pokok rending. Dia menggamit tangan
memanggil aku ke arahnya. Aku melangkah menuju ke arahnya. Entah mengapa rasa
takut aku hilang. Mungkin dibius oleh persoalan demi persoalan yang mengasak
minda.
Aku
berdiri di hadapan kanak-kanak perempuan itu. Dia merenung ke arah aku. Anak
matanya jelas terpamer ketakutan. Dia tertoleh-toleh ke arah kiri dan kanan.
Dia memanggil aku supaya lebih dekat lagi ke arahnya. Aku hanya menurut. Wajah
aku didekatkan dengan wajahnya.
“Larikan
diri dari Hotel Stallion.”bisiknya perlahan.
Aku
merenung wajah kanak-kanak itu. Aku mengharapkan jawapan darinya bagaimana cara
aku dapat melepaskan diri dari hotel itu.
“Cari
bilik itu. Tapi jangan sampai kapten tahu.”bisiknya lagi.
“Bilik
apa?”tanya aku pantas.
Dia
tertoleh lagi ke arah kanan dan kiri di belakangnya.
“Bilik
jasad-jasad tersimpan.”
Kening
aku berkerut mendengar kata-kata kanak-kanak itu. Baru sahaja aku ingin
bertanya lagi, kanak-kanak itu berlari. Dia memegang tangan aku dan menarik aku
supaya turut sama berlari. Aku berkeras tidak mengikutnya.
“Kenapa
ni?”soal aku.
“Dia
dah sampai. Cepat lari!”suaranya kedengaran cemas.
“Siapa
dia?”tanya aku ingin tahu.
“Dia
yang….”
Tidak
sempat kanak-kanak itu menyudahkan ayatnya, tubuhnya terpelanting secara
tiba-tiba. Berputar beberapa kali di angkasa lalu menghentam sebatang pokok
sebelum terhempas ke tanah. Dia menjerit kesakitan. Tubuhnya mengeluarkan
bilah-bilah cahaya kebiruan sebelum terus lenyap.
Aku
tergamam seketika. Sebaik aku berkalih, satu susuk wajah buruk yang bertanduk
dua melengkung di bahagian dahi muncul secara mendadak di hadapan aku. Dia
menderam dengan buaran nafas yang ganas. Satu tempikan dahsyat dilakukan
membuatkan aku terpaksa menutup telinga menahan kebingitan. Aku terduduk di atas
tanah.
“May
God have mercy on your soul!!!”
***
Aku terjaga mendadak daripada tidur. Mimpi sebentar
tadi berkecai. Nafas aku turun naik seolah-olah pelari pecut 100 meter yang
baru sahaja menamatkan larian. Sekujur tubuh aku dibasahi keringat. Aku meraup
wajah berulang kali, Rambut aku sibakkan ke belakang.
Mimpi
yang aku alami sebentar tadi dirasakan seolah-olah benar-benar berlaku. Aku
dapat merasakan ketakutan saat makhluk bertanduk tadi muncul. Namun persoalan
besar bermain di fikiran aku kini. Siapa sebenarnya budak perempuan itu? Apa
yang pasti aku dapat melihat dia seolah-olah bersungguh-sungguh cuba
menyelamatkan aku dari lingkaran misteri yang membelenggu aku kala ini. Aku
mengeluh kasar dan keras. Sungguh aku tidak faham dengan perkara yang melanda
aku ini.
Aku
melangkah turun daripada katil. Aku membuka pintu dan keluar daripada bilik.
Bilik aku terletak di penghujung koridor. Ruangan koridor memanjang ini
ditempatkan dengan bilik yang diletak secara bertentangan dan berhadapan antara
satu sama lain. Aku tak pasti sama ada bilik lain ada penghuninya atau tidak.
Tapi aku dapat merasakan hanya aku seorang yang terkurung di dalam hotel gila
ini.
Aku
bertapak selangkah demi selangkah menuju ke penghujung koridor bahagian utara.
Di situ terdapat jendela kecil yang tidak mempunyai cermin tingkap. Aku
berjalan ke arahnya.
Sebaik tiba, aku melontarkan pandangan keluar. Satu
kehairanan terbetik tidak semena-mena. Pantai yang menjadi tarikan aku memilih
hotel ini dahulu telah hilang. Aku rayapi pandangan ke serata arah tetapi tetap
tiada. Aku melihat ke bawah. Jarak antara tanah dan tempat aku berdiri agak
tinggi. Aku berkalih di sebelah kanan. Terdapat satu batang paip besi yang
menganjur sehingga ke bawah.
Lantas
satu keputusan diambil. Aku menghulurkan kaki terlebih dahulu untuk keluar
melalui jendela itu. Tetapi kaki aku terhadang oleh sesuatu. Kerutan terbentuk
di wajah aku. Segera aku meraba permukaan tingkap menggunakan tangan.
Rupa-rupanya terdapat cermin bersifat lutsinar yang langsung tidak dapat
terlihat dari pandangan mata. Aku mengetuk, menampar dan menendang beberapa
kali namun kaca itu tidak pecah. Yang menghairankan apabila angin yang berpuput
dingin menerobos menyapa tubuh aku seolah-olah tiada penghalang di antara dunia
luar dan dalam hotel itu.
Akhirnya
aku berputus asa. Aku berpusing dan melangkah menjauhi tingkap tersebut. Baru
beberapa tapak melangkah, telinga aku dapat menangkap bunyi dengungan di
belakang aku. Aku teragak-agak untuk menoleh. Ketakutan mula terasa menjalar di
jiwa. Namun desakan hati kuat untuk mengetahui jika ada sesuatu di belakang
aku. Bulu roma aku pula mula meremang keseluruhannya.
Akhirnya
sisa keberanian dipacu. Aku menoleh melihat ke arah belakang. Saat itu, mata
aku terbeliak. Jantung terasa berhenti berdegup. Satu makhluk berpakaian serba
putih sedang terapung beberapa meter dari lantai sedang menghala ke arah aku.
Dia mengangkat muka menampakkan wajahnya yang buruk dan menggerunkan. Tidak
semena-mena kepalanya perlahan-lahan berputar 360 darjah.
Aku
tidak menunggu lama. Lantas aku memacu kekuatan melarikan diri. Namun langkahan
kaki terasa memberat seolah-olah terdapat berjuta tangan memegang kaki aku dari
berlari. Namun aku gagahkan jua. Aku benar-benar dalam ketakutan. Lampu-lampu
koridor satu persatu terpadam mengiringi larian aku. Seolah-olah ia turut sama
mengejar aku. Aku melihat menerusi ekor mata. Aku dapat melihat dengan jelas
makhluk itu terbang di belakang aku. Dia mengejar aku! Jantung aku berdegup
pantas.
Aku
berhenti di hadapan bilik. Tombol pintu dipulas kasar dan keras. Namun ianya
berkunci. Aku menendang-nendang pintu dengan rasa cemas dan takut yang
mengasak. Makhluk menakutkan itu semakin hampir dengan tubuh aku. Jari
jemarinya yang berkuku tajam bersedia bila-bila masa untuk mencengkam leher
aku. Aku terpaksa berlari lagi sehingga tiba di tangga.
Di
situ aku terlihat terdapat anak tangga yang menganjur ke bahagian atas hotel.
Aku tidak berfikir lama. Aku mendaki dengan pantas. Meskipun nafas terasa
semput namun semangat untuk menyelamatkan diri menjadi penunjang kekuatan.
Sebaik
tiba di bahagian atas hotel yang sedikit sempit, aku mengitari pandangan ke
serata arah. Nasib aku baik apabila terdapat sebuah bilik di bahagian kiri
tidak jauh dari aku berdiri. Aku berlari pantas. Tombol pintu dipulas dan ianya
tidak berkunci. Aku segera masuk ke dalam bilik itu. Pintu serta merta aku
kunci dari dalam.
Aku
bernafas tercungap-cungap menahan kepenatan. Namun sekurang-kurangnya aku lega
dapat melarikan diri daripada makhluk tersebut. Perlahan-lahan aku mengalihkan
tubuh. Aku ingin melihat persekitaran bilik yang aku masuk itu. Sebaik
pemandangan terserlah mulut aku terlopong. Aku tersandar di pintu.
Perlahan-lahan tubuh aku melorot dan jatuh terduduk. Ibarat lepas dari masuk
singa kini masuk di mulut naga.
Di
hadapan aku, terdapat berpuluh-puluh jasad yang sedang terbaring kaku di atas
stretcher. Semuanya dialas dengan sehelai kain putih yang ditutup sehingga
paras dada. Liur ditelan. Terasa keras dan perit melalui kerongkong. Aku terketar-ketar
bertapak melihat satu persatu mayat yang terbaring.
Mata
aku terbeliak sebaik melihat wajah wanita berambut perang yang menjaga kaunter
sedang terbaring dengan wajah yang pucat. Kulit wajahnya ku lihat mengering dan
tulang-tulang muka timbul seolah-olah mayat tersebut telah lana mati. Aku
menoleh ke arah kiri, depan dan belakang. Hampir kesemua jasad yang berada di
situ adalah pekerja di Hotel Stallion!
“Apa
sebenarnya yang berlaku ni?”bisik aku perlahan.
Aku
menekup mulut lantaran hambatan kejutan yang melampau. Rambut aku sibak ke
belakang berulang kali. Tidak semena-mena aku teringat kanak-kanak perempuan
yang aku jumpa di dalam mimpi itu. Dia ada mengarahkan aku untuk mencari bilik
yang dipenuhi jasad. Mungkin ini adalah biliknya. Jadi apa yang perlu aku
lakukan sekarang?
“Psstt..”
Aku
berkalih pantas apabila mendengar bunyi tersebut di belakang aku. Kanak-kanak
perempuan itu berdiri sambil merenung ke arah aku.
“Cari
jasad aku. Hanya aku yang mampu tamatkan keganasan kapten. Cepat!”arah kanak-kanak
itu. Dia tertoleh-toleh ketakutan.
“Apa
yang perlu aku buat bila jumpa jasad kau?”tanya aku. Aku sendiri dihurung
ketakutan.
Kanak-kanak
itu mengeluarkan sebilah pisau dari sebalik bajunya. Dia melemparkan pisau
tersebut ke arah aku. Aku lekas-lekas menyambutnya.
“Titiskan
darah di atas jasad aku. Ingat! Hanya aku yang mampu tamatkan semua
ini.”katanya lagi.
Sebaik
berkata sedemikian tubuhnya terus lenyap. Aku tahu apa yang perlu aku buat
kini. Aku lekas-lekas mencari jasad kanak-kanak itu di dalam bilik tersebut.
Akhirnya aku menjumpai jasadnya yang terbujur kaku di atas stretcher.
Aku
pandang pisau yang berada dalam genggaman. Sudah tiba masanya untuk aku
tamatkan segala-galanya. Aku pegang pisau di tangan kanan. Tangan kiri aku
menggenggam mata pisau. Perlahan-lahan aku tarik pisau ke bawah. Kulit tangan
aku terkoyak dan mula mengeluarkan darah. Aku menahan kesakitan.
Belum
sempat darah aku menitis di atas jasadnya, satu libasan kuat menampar wajah
aku. Aku melambung dan terjatuh di satu sudut. Aku menyeringai kesakitan.
“Jangan
lakukannya!”
Kapten
bertapak mendapatkan aku. Leher aku dicekak dan satu libasan lagi hinggap di
muka. Aku terbaring lemah. Tenaga aku direnggut oleh kesakitan.
“Aku
yang berkuasa di sini!”marah kapten itu.
Suaranya kedengaran bergema di seluruh
pelusuk bilik.
“Kenapa
kau biar jasad-jasad mereka di sini? Apa yang kau dah lakukan pada roh
mereka?!”tanya aku.
Ketakutan aku mula terbius. Sisa-sisa tenaga aku dikumpul.
Aku berdiri perlahan-lahan. Aku dan kapten saling menghadap antara satu sama
lain. Aku nekad kini. Kalau aku ditakdirkan mati sekalipun biarlah aku mati
melawan!
“Itu
bukan urusan kau!”tingkah kapten.
Dia menderam kemarahan. Anak matanya
mencerlung merenung ke arah aku.
“Jangan
buang masa lagi! Cepat!”
Kanak-kanak
perempuan itu muncul di sebelah aku secara mendadak. Kapten menjerit
menghamburkan kemarahan sebaik melihat kanak-kanak perempuan itu. Dia berlari
lantas melancarkan serangan. Kanak-kanak perempuan itu serta merta ghaib.
Serangan
di bahagian muka gagal aku sanggah. Aku menyeringai kesakitan. Serangan bertali
arus dari kapten sukar untuk aku tangkis. Meskipun usianya tua tetapi
kekuatannya menyamai dengan orang muda.
Pada satu kesempatan, aku berjaya
menyepak pelipatnya sehingga dia jatuh terduduk. Tumbukan aku layangkan
berulang kali di mukanya sehingga dia menjadi lemah. Pantas aku berlari ke arah
jasad kanak-kanak itu. Aku tak mahu berlengah lagi.
Satu
lagi toresan di lengan aku lakukan. Darah aku mengalir keluar. Setitis demi
setitis jatuh di atas wajah mayat kanak-kanak perempuan itu.
“Jangan!!!!!”jerit
kapten.
Dia bingkas berdiri dan berlari ke arah aku.
Serta
merta jasad kanak-kanak itu ‘hidup’. Dia membuka mata dan bertukar menjadi
kepulan asap hitam. Berpuing-puing dan membentuk pusaran lalu menghentam
kapten. Tubuh kapten berkecai serta merta dan terus lenyap. Hanya raungannya
yang kedengaran nyaring sebelum perlahan-lahan mengecil dan terus lenyap.
Pusaran
asap itu membentuk semula tubuh kanak-kanak perempuan itu. Dia berdiri
menghadap ke arah aku.
“Terima
kasih sebab selamatkan aku.”ucap kanak-kanak itu.
Aku
mengangguk.
“Habis macam mana dengan mereka yang lain ni?”tanya aku.
Mata aku
merayapi jasad-jasad lain yang terbujur kaku.
Kanak-kanak
itu tidak menjawab. Dia merenung lama ke arah aku. Kemudiannya bibirnya
menguntum senyuman. Aku perasan akan kelainan dalam senyumannya itu. Liur aku
ditelan dan aku terundur-undur ke belakang.
“Siapa
kau yang sebenarnya?”tanya aku.
Soalan
itu disambut hilai tawa yang menyeramkan. Seluruh bulu roma aku meremang. Aku
dapat rasakan sesuatu yang tidak baik sedang berlaku. Tubuh kanak-kanak
perempuan itu menjadi pusaran asap sebelum berkecai menjadi bentuk yang lain.
Satu makhluk hitam legam, bertubuh sasa dan tegap serta memiliki sepasang
tanduk sedang berdiri di hadapan aku. Dia menyeringai menampakkan giginya yang
berceracak tajam.
“Siapa
kau yang sebenarnya!”tanya aku tegas.
Dia
tertawa dengan suara yang garau. Matanya bersinar kemerahan merenung ke arah
aku.
“Terima
kasih sebab membebaskan aku yang terkurung di dalam tubuh kanak-kanak itu.
Selama ini aku akan menawan roh setiap pelanggan hotel ini supaya kekuatan aku
bertambah. Tapi kedatangan kapten telah mengubah segalanya. Dia berjaya
memerangkap jasad aku di dalam tubuh kanak-kanak perempuan yang telah mati
sejak sekian lama. Kuasa aku menjadi lemah di sini. Tapi jika ada pelanggan
yang berjaya keluar dari hotel ini, aku akan memburu mereka di luar sana. Sebab
itu kapten telah melalukan perjanjian berdarah yang kau hanya boleh check out.
Tapi tak boleh keluar dari sini.”terang makhluk hodoh itu.
Aku
teringat titisan darah yang tumpah di atas borang coklat sewaktu aku mendaftar
mula-mula dahulu. Aku meraup wajah berulang kali. Aku dapat merasakan bahaya
yang menimpa diri aku kini. Aku telah tersalah membuat keputusan.
“Kapten
hanya boleh mengawal kuasa aku di dalam hotel ini. Tapi tidak di luar. Dia juga
tak berupaya hendak bebaskan roh-roh mereka yang terperangkap di sini sebab
kuncinya berada di jiwa aku. Hanya satu cara sahaja iaitu mematikan aku. Tapi
dengan cara itu roh-roh mereka juga akan turut mati! ”lanjut dia lagi sambil
tertawa galak.
“Kau
penipu!!”bentak aku sekeras-kerasnya.
Makhluk
bertanduk itu tertawa lagi. Suaranya keras dan garau melantun-lantun ke serata
arah.
“Terima
kasih sebab bebaskan aku. Dah lama aku tak menikmati kelazatan roh manusia. Apa
kata aku bermula dengan kau?”makhluk itu tersenyum menyeringai memandang aku.
“Aku
takkan menyerah dengan mudah.”balas aku lantang.
Sejurus
itu makhluk tersebut melayang menerpa ke arah aku. Sekelip mata tangannya
mencengkam leher aku. Kukunya yang tajam menggores kulit leher sehingga
mengalirkan darah. Aku menyeringai kesakitan. Dia mencengkam erat leher aku
sehingga kedua belah kaki terapung dari lantai. Aku bernafas tersendat-sendat.
Aku dapat merasakan maut bakal menjemput aku bila-bila masa sahaja. Dada aku
berombak keras berusaha menghirup nafas.
Namun
aku takkan menyerah dengan mudah. Aku akan mempertahankan nyawa aku nan satu
dengan apa cara sekali pun. Kedua belah tangan aku menggenggam kuat tangannya.
Serentak itu aku menghayunkan satu tendangan tepat ke dadanya dengan sisa-sisa
tenaga yang ada. Usaha aku berhasil. Cengkamannya terlepas dan aku jatuh
tertiarap di atas lantai.
Aku
bingkas bangun. Aku berlari sekuat hati dan melayangkan tubuh menujah makhluk
tersebut. Makhluk tersebut bertindak pantas apabila menyanggah tujahan aku.
Tubuh aku diangkat lalu dilontar ke satu arah. Aku terhempas ke dinding sebelum
jatuh di atas salah satu stretcher. Aku jatuh menindih mayat dan tergeletak di
atas lantai. Makhluk itu pantas mendapatkan aku. Dia menarik tubuh aku dan memaksa
aku berdiri.
Serangan
bertali arus dilancarkan olehnya. Aku gagal menangkis hatta satu serangan
sekalipun. Tumbukan terakhir tepat mengenai perut. Aku terbatuk menyemburkan
darah. Aku benar-benar tidak bermaya sama sekali. Tenaga aku terasa direnggut.
Dia menolak tubuh aku. Aku jatuh lemah di atas lantai. Perlahan-lahan aku
merangkak cuba menjauhinya. Terketar-ketar tangan aku mencengkam lantai
berpacukan sisa tenaga yang terakhir.
“Aku
beri peluang pada kau sebab kau dah selamatkan aku. Kita main sorok-sorok. Kau
sembunyi aku cari kau. Aku tak jumpa, kau selamat dan boleh larikan diri. Tapi
kalau aku jumpa..”dia tak menghabiskan kata-katanya. Sebaliknya satu ketawa
panjang menjadi simbolik kepada perlakuannya.
Aku
bangun terketar-ketar. Darah yang berjabeh di mulut aku kesat menggunakan
belakang tangan. Aku harus selamatkan diri. Walau dengan apa cara sekalipun.
Aku melangkah longlai keluar daripada bilik tersebut. Aku jatuh terduduk semula
gara-gara tubuh aku terlalu lemah. Aku merangkak perlahan-lahan sehingga tiba
di tangga. Aku menuruni tangga dalam keadaan merangkak. Nafas aku terasa lelah.
Malang
tidak berbau apabila tapak tangan aku tersalah menekan anak tangga. Aku jatuh
terguling-guling dari anak tangga atas sehingga ke penghabisan. Aku menyeringai
kesakitan yang menjalar di seluruh pelusuk tubuh. Aku membius kesakitan dengan
semangat yang tersisa. Aku merangkak masuk semula ke dalam bilik. Di dalam
bilik aku menguncikan diri di dalam almari. Aku melepaskan lelah. Aku
benar-benar kehilangan daya upaya.
Aku
perlu mengembalikan tenaga aku sekurang-kurangnya sebelum melarikan diri dari
hotel puaka ini. Aku berharap hari cepat siang supaya aku dapat melarikan diri
keesokan harinya. Namun persoalan besar hinggap di fikiran secara tiba-tiba.
Apakah esok masih ada untuk diri aku?
Pintu
bilik dibuka. Bunyi keriutan jelas kedengaran. Aku dapat melihat makhluk itu
berlegar di dalam bilik. Dia menderam-deram sambil melilaukan matanya yang
merah bernyala ke serata arah. Aku menahan nafas. Kalau boleh aku enggan
bernafas sama sekali kerana tidak mahu dia menyedari aku di dalam almari ini.
Debaran jantung terasa memuncak. Aku memerhati gelagatnya menerusi ruang kecil
di pintu almari ini.
Degupan
jantung terasa terhenti saat makhluk itu memandang lama ke arah almari yang
sedang aku duduk kini. Aku menekup mulut dengan tangan aku sendiri. Dalam hati
aku tak putus-putus berdoa agar aku selamat dari cengkaman makhluk jahat
tersebut. Perasaan cemas aku bertukar lega apabila aku lihat makhluk itu keluar
daripada bilik. Aku menghela nafas panjang.
“Aku
jumpa kau!”
Satu
suara berbisik garau di belakang aku. Serentak itu satu hentaman dari belakang
membuatkan aku terpelanting keluar daripada almari. Pintu almari terkopak dan
terpelanting. Aku jatuh terhempas di atas lantai. Aku mengengsot perlahan-lahan
menjauhi makhluk tersebut yang bertapak menghampiri aku. Dia menderam dengan muka
yang membengis.
Aku
mengengsot sehingga tiba di muka pintu bilik air. Aku lekas-lekas masuk dan
menguncikan pintu bilik air. Di dalam bilik air aku menangis teresak-esak
menghamburkan segala rasa yang bergelumang di dada. Pili air aku buka dan aku
biarkan air mengalir. Aku tidak apa lagi yang aku harus lakukan. Bayangan maut
dirasakan sedang menari-nari di hadapan aku dengan rentak tarian yang keras
lagi menakutkan.
Dentuman
di pintu membuatkan tubuh aku menggigil ketakutan. Aku dapat rasakan ini adalah
saat-saat terakhir dalam kehidupan aku. Tiada daya dan upaya lagi untuk aku
melawan. Aku berada di dalam kawasan ‘jajahannya’. Aku benar-benar tidak
bermaya. Wajah aku pucat seolah-olah darah aku telah disedut sehingga kering.
Berjuta penyesalan sudah tiada gunanya lagi. Andai waktu dapat diputar aku tak
akan menjejak kaki ke hotel ini!
Epilog
Azizi memperlahankan kenderaan. Dia memberi signal
lalu membuat pusingan U. Dia memandu kereta masuk ke ruangan parkir. Lalu dia
melangkah keluar daripada kereta. Hotel di hadapannya itu terasa memenuhi cita
rasanya. Pemandangan pantai yang mengasyikkan. Jauh dari hiruk pikuk kota.
Terasa damai dan menenangkan apabila dilihat.
Dia
memerhati pemandangan di luar hotel. Terdapat sebuah bangku usang di luar. Seni
bina yang agak ketinggalan. Cat yang agak memudar. Masih menggunakan lampu
kalimatang (mentol bulat). Sekali pandang seakan-akan rumah Inggeris lama.
Tidak besar dan tidak kecil. Hanya sederhana sahaja.
Azizi
mengheret bagasinya sehingga tiba di muka pintu hotel tersebut. Pintu hotel
dibuka oleh seorang pekerja. Azizi menapak masuk.
Pekerja
lelaki berambut panjang, memiliki wajah iras-iras Antonio Banderas dan bersut
serba hitam tersenyum memandang ke arah Azizi. Dia menunduk dan mempersilakan
Azizi masuk dengan hormat.
“Selamat
datang ke Hotel Stallion.”
TAMAT
Mohon pembaca memberikan komen setelah selesai membaca bagi meningkatkan mutu penulisan penulis. Segala pujian dan kritikan amat dialu-alukan sama sekali. Penulis ucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Moga dengan kritikan dan pujian yang diberikan dapat memberikan saya idea dan ilham untuk menulis dengan lebih baik lagi bagi disajikan kepada anda semua.
TERIMA KASIH.
Nota:
*Pembaca boleh merujuk teori yang terselindung di sebalik lagu Hotel California di Google"