Nor Hidayah memerhatikan sekumpulan
anak – anak gadis yang hampir seusianya dengannya mengayuh basikal diluar.
Hanya tingkap memisahkan antara dia dengan kumpulan gadis itu. Dia tidak dapat
bersuara. Kalau dia menjerit sekali pun kanak – kanak diluar itu mungkin tidak
akan ambil pusing.
Dari tempat dia berdiri dia hanya
dapat mendengar suara mereka tanpa tahu akan butir bicara mereka dengan tepat.
Yang hanya dia fahami cumalah hilai ketawa mereka. Nampak riang dan ceria.
Teddy Bear yang dipegang kemas diusap – usap kepala patung itu dengan lembut.
Tumpuannya tidak lagi pada patung beruang yang agak besar saiznya itu. Dia
lebih tertarik pada sekumpulan anak gadis yang lalu didepan rumahnya.
Keinginannya untuk menyertai mereka mengaru – garu hatinya. Kalaulah dia boleh
keluar dan bermain dengan mereka?
Nor Hidayah tahu itu tidak mungkin
akan terjadi. Kalau berlaku pun hanyalah didalam mimpi saja. Tidak lebih dari
itu. Matanya berkaca. Perasaannya dihiris pilu. Dia masih lagi tercegat ditepi
jendela. Patung beruang ditangannya terus diramas – ramas dengan keras. Hati
perempuannya dipaut sedih. Kenapa aku? Nor Hidayah tidak faham. Kanak – kanak
seusianya memang sukar untuk memahami. Yang dia tahu keinginannya sering
dihampakan. Tidak pernah tertunai. Kenapa aku?
“ Dayah?”
Nor Hidayah
memusingkan kepalanya kebelakang.
Ibunya Fazlina berdiri dimuka pintu
bilik diperhatikan dengan pandangan kosong. Nor Hidayah tidak menyahut.
Fazlina menapak masuk kedalam kamar.
Terus bergerak mendekati Nor Hidayah yang masih lagi tercegat ditepi tingkap.
“ Dayah buat
apa tu?” tegur ibunya sambil Fazlina melemparkan pandangannya kearah bawah.
Nor Hidayah
tidak menjawap.
Fazlina
mendengus tatkala terpandangkan sekumpulan anak – anak perempuan sedang
mengayuh basikal melintasi kawasan didepan rumahnya.
“ Boleh tak
Dayah keluar ibu?” dengan suara penuh simpati anak kecil bertocang dua itu
bertanya. Walhal dia sendiri sudah maklum akan keputusan ibunya. Tidak salah
jika dia terus mencuba.
Fazlina mengeluh panjang. Lalu dia
bertenggong sambil mengusap wajah Nor Hidayah dengan penuh mesra. Bibirnya
mengukir senyum.
“ Dayah buat
apa nak keluar rumah?” soal Fazlina dengan nada lembut. Tidak henti – henti
tangannya mengusap lembut wajah anak kesayangannya itu.
Nor Hidayah menoleh kearah luar
rumah sekilas. Hatinya membuak – buak dengan tiba – tiba.
“ Dayah nak
main dengan kawan – kawan kat luar sana, ibu,” jujur anak kecil itu menyuarakan
hasrat hatinya.
Fazlina
terdiam. Lama dia merenung anak mata Nor Hidayah.
“ Dah berapa
kali ibu pesan. Tak elok bercampur dengan kawan – kawan diluar sana. Tak baik.
Lagi pun dia orang tu.....”
“ Jahat,”
pantas Nor Hidayah memotong kata – kata ibunya. Memang dia sudah menduga akan
jawapan itu. Lazimnya itulah jawapan yang selalu ibunya berikan jika dia ingin
berkawan. Telinganya sudah biasa mendengar alasan tersebut. Tidak ada alasan
lain. Balik – balik itu juga. Hati Nor Hidayah diserbu dengan rasa tidak puas
hati.Kenapa aku?
Fazlina mengeluh. Kepalanya
ditundukkan kebawah. Kemudian dia mengusap lagi wajah anak manjanya itu dengan
penuh kasih – sayang.
“ Baik Dayah
ikut cakap ibu. Ini pun untuk kebaikan Dayah juga,” ulas ibunya sambil
tersenyum. Berharap agar senyuman itu mampu meredakan rasa ketidakpuasan hati
anak tunggalnya itu. Nor Hidayah diam tidak bersuara. Terkulat – kulat dia
memandang wajah ibunya. Dia tahu senyuman yang dilemparkan oleh ibunya satu
pembohongan.
Dia kenal dengan ibunya. Biar pun
wajah Fazlina kelihatan lembut dan ayu, namun itu hanyalah luaran. Ibunya
seorang yang keras hati. Mudah panas baran. Setiap kata – katanya adalah satu
arahan yang mesti diikuti. Jangan banyak membantah. Jika tidak terimalah
padahnya. Dia tahu benar tentang sikap buruk ibunya itu. Andai berkeras juga
tubuhnya akan dihinggapi dengan cubitan. Paling teruk dia pernah ditampar
kerana mempertikaikan keputusan ibunya. Sejak itu dia mula serik. Rasa pijar
akibat ditempeleng oleh ibunya masih berbekas lagi hingga ke hari ini. Nor
Hidayah takut untuk mengulangi perbuatannya lagi.
“ Dah.... ibu tak mahu dengar apa –
apa lagi. Sekarang ni Dayah turun kebawah dan makan tengahari. Lepas tu ibu
akan kemaskan barang – barang dalam bilik Dayah. Nanti malam Dayah boleh tidur.
Nanti kita minta tolong ayah kemaskan bilik Dayah ye,” pujuk Fazlina sambil
menghadiahkan senyuman buat anak gadisnya itu. Seperti kelazimannya Nor Hidayah
tidak bersuara sebaliknya hanya menganggukkan kepala tanda setuju. Sebelum
meninggalkan kamar sempat juga dia menoleh dan memerhatikan jalan didepan
rumahnya yang sudah pun kosong.
Malam itu usai saja makan malam Nor
Hidayah dibawa oleh ibunya ke kamar
tidur. Bilik tidurnya sudah siap berkemas dengan cantik. Memang dia terasa
penat tadi kerana menolong ibu dan ayahnya mengemas bilik. Lantas badannya
terasa letih.
Pintu kamar dibuka dan mereka berdua
meloloskan diri kedalam. Fazlina mengarahkan Nor Hidayah naik diatas katil.
Anak gadis bertubuh kecil itu tidak membantah. Fazlina pula mencapai sekeping
buku dan seperti selalu dia akan membacakan buku cerita sehingga Nor Hidayah
tertidur sendiri.
Nor Hidayah memang tidak dibenarkan
untuk tidur sebilik dengan Fazlina dan suaminya. Alasannya dia mahukan anaknya
berdikari sendiri. Dan Nor Hidayah tahu setiap kemahuan ibunya perlu dituruti.
Jangan bangkang jika tidak buruk padahnya. Perkara itu selalu disematkan
didalam fikiran.
Fazlina membuka dan menyambung
semula pembacaannya yang tertangguh. Nor Hidayah pula sekadar berbaring sambil
memasang telingannya dengan hati – hati. Sesekali dia menjeling kearah ibunya
tanpa bersuara. Dek kerana penat dalam waktu yang singkat Nor Hidayah terlelap
sendiri.
Fazlina yang menyedari anaknya sudah
terlelap menutup semula buku ditangannya. Secubit senyuman menghiasi bibirnnya
ketika itu. Selimut ditarik hingga menutup dada anak kecil itu. Dengan hati –
hati dia bangkit dan meletakkan buku tadi disisi katil anaknya. Perlahan –
lahan Fazlina meninggalkan kamar tidur Nor Hidayah. Pintu ditutup rapat –
rapat.
Terus dia menuju ke kamar tidurnya
sendiri dihujung ruang. Sebaik saja dia masuk kelihatan suaminya sedang
mengemaskan tempat tidur untuk mereka berdua. Azlan menoleh.
“ Dah tidur
Dayah?”
Fazlina
berjalan sambil mengangguk. Raut wajahnya terserlah riak penat.
“ Awal jugak
dia tidur malam ni.”
“ Penat
agaknya tadi kemaskan bilik dia,” ucap Fazlina selamba. Rambutnya yang panjang
dibiarkan terurai sendiri. Kemudian dia duduk dimeja solek. Seperti
kelazimannya dia akan membelek – belek wajahnya dulu didalam cermin sebelum
masuk tidur. Azlan sudah bersandar dikatil. Memerhatikan kearah isterinya.
“ Pindah rumah
baru, memanglah macam tu,”ulas Azlan sambil tersenyum nipis. Fazlina menjeling.
Malas dia hendak memberi sebarang komen. Rambutnya yang panjang disisir
perlahan – lahan.
“ Abang perasan tadi kat sini ramai
jugak budak – bduak sebaya dengan dia,” nyata Azlan masih lagi bernafsu untuk
berbual dengan isterinya.
“ Nanti
ramailah dia kawan baru,” sambung Azlan sambil melipat tangannya dibelakang
kepala.
Mendengar akan ucapan suaminya itu
membuatkan Fazlina pantas berkalih pada suaminya. Sorotan matanya tajam menikam
wajah Azlan.
“ Itu yang
buat saya tak suka bang.”
Azlan
mendengus. Ada rasa kecewa menghambat perasaannya dikala itu. Dari bersandar
tenang dia mengubah posisinya dengan duduk menegak. “ Sayang ni pun satu.Sampai
bila nak jadi macam ni?” tegur Azlan.
Fazlina berpaling semula mengadap
muka cermin. Tiba – tiba hatinya dipanah dengan rasa marah. Kecewa juga datang
menimpa. Saling bercampur baur.
“ Sayang tak
boleh terus macam ni,” Azlan memujuk. “ Budak tu perlukan kawan. Mana ada
manusia yang boleh hidup sorang – sorang” tambah lelaki berkumis nipis dibibir
itu.
“ Siapa cakap
dia hidup sorang – sorang?” tikam Fazlina dengan suara yang garang. Ada amarah
mengunung didadanya ketika itu.
Fazlina beralih duduk mengadap
suaminya yang masih lagi tercegat diatas katil. “ Siapa cakap dia sorang –
sorang. Saya kan ada. Saya yang akan jaga dia,” keras lagi suara Fazlina ketika
itu. Azlan mengeluh.
“ Sayang ni masih tak faham? Atau
pura – pura tak faham?” soal Azlan. Tidak seperti isterinya, suaranya masih
lagi boleh dikawal.
“ Maksud
abang?” sinar dimata Fazlina makin garang.
“ Budak tu
perlukan kehidupan dia sendiri. Dia perlu berkawan. Perlu ambil tahu dunia
luar. Kadang – kadang abang kasihan tengok budak tu. Terperuk dalam rumah sejak
kecil. Tak bercampur dengan orang lain. Nanti kalau dia sudah besar macam mana?
Kenal orang pun tidak,” tekan Azlan dengan nada memujuk.
Fazlina mendengus kasar. Mukanya
mencuka. Perubahan wajah Fazlina membuatkan Azlan diterkam dengan rasa serba
salah pula. Bukan niat dia mahu meluka atau menyinggung perasaan isterinya. Dia
cuma menegakkan akan pendiriannya. Tidak lebih dari itu.
“ Abang ingat
dengan Asmah?” nama itu meniti dibibir Fazlina ketika itu. Membuatkan Azlan
tertegun sendiri diatas katil.
“ Abang ingat
dengan adik perempuan saya tu kan?” galak Fazlina bertanya.
Mahu tidak
mahu terpaksa juga Azlan menganggukkan kepalanya. Memang dia kenal benar dengan
adik perempuan Fazlina yang bernama Asmah.
“ Saya tak nak apa yang terjadi pada
Asmah, berlaku pada Nor Hidayah. Cukuplah dengan apa yang dah jadi, abang faham
tak?” Fazlina menjegilkan biji matanya. Seolah – olah mahu saja ditelan
suaminya ketika itu juga.
“ Tapi....,”
Azlan cuba membantah.
“ Tapi apa
bang? Tapi apa?” mencerlang matanya menikam wajah Azlan ketika itu. Marah
didalam dadanya bagaikan meluap – luap.
“ Mana boleh sayang samakan dia
dengan Asmah. Anak kita lain,” ujar Azlan. Fazlina berdiri lantas bergerak
mendekati Azlan. Punggungnya dilabuhkan dibirai katil. Matanya tajam merenung
wajah bulat suaminya.
“ Abang jangan
ambil mudah dalam perkara ni tau. Saya tak suka. Saya memang tak suka dia
bercampur dengan budak – budak kat luar sana. Saya tak suka,” suaranya mula
ditinggikan. Azlan yang masih lagi berada diatas katil diam seribu bahasa. Dia
tahu isterinya sudah mula naik angin.
“ Soalnya apa kena mengenanya Asmah
dengan anak kita?” soal Azlan. Biar apa pun dia merasakan yang mereka perlu
berbincang.
“ Abang ni
buta ke apa? Abang pun tahukan apa yang dah jadi pada Asmah? Masih lagi nak
tanya?” serang Fazlina yang sememangnya sudah mula berangin.
Fazlina sudah serik dengan apa yang
terjadi pada adik perempuannya. Dia tidak mahu bala yang menimpa keluarga
ibunya berulang pula dalam keluarganya sendiri. Lebih – lebih lagi pada
anaknya. Darah dagingnya sendiri. Dia terlalu sayangkan Nor Hidayah. Dia tidak
mahu ada perkara buruk berlaku pada anak gadisnya. Minta dijauhkan.
“ Kerana
kawanlah Asmah jadi macam tu. Abang tahukan?” sergah Fazlina lagi.
Azlan diam.
“ Hidup dia musnah sebab kawan –
kawan bang. Dia jadi penagih sebab kawan – kawan. Lina tak mahu Dayah ikut
macam dia.”
“ Tapi tak kan Dayah pun jadi macam
tu,” ujar Azlan dengan suara yang perlahan. Sempat juga dia menjeling kearah
isterinya.
“ Segala kemungkinan boleh berlaku
bang. Segala kemungkinan dan.... saya tak mahu ianya berlaku lagi. Abang faham
tak?” kali ini Fazlina menjegilkan lagi biji matanya.
“ Lina....”
“ Tak ada tapi
– tapi lagi bang. Saya buat semua ni demi untuk kebaikan dia. Abang faham tak?”
Fazlina sudah bercekak pinggang.
“ Tapi abang rasa Lina dah melampau
sangat. Sampaikan budak tu tak berkawan. Nak keluar rumah pun dah tak boleh.
Apa nak jadi ni?” Azlan meluahkan rasa tidak puashatinya.
“ Saya tak kira bang. Abang jangan
nak mempertikaikan apa yang saya buat. Saya tahulah apa yang terbaik untuk anak
saya,” putus Fazlina. Terus dia berbaring dan menarik selimutnya.
Membelakangkan suaminya.
JAM
menunjukkan kepukul tiga pagi. Nor Hidayah membuka kelopak matanya. Ruang bilik
yang suram diperhatikan lama – lama. Selimut yang menutup dadanya diraba dengan
tangan.
Ketik!
Nor Hidayah tersentak. Matanya
melilau mencari dari mana datangnya bunyi yang baru saja dia dengar.
Ketik!
Gebar tebalnya dilemparkan hingga
kehujung kaki. Kepalanya didongakkan. Ruang yang hanya diterangi dengan lampu
tidur diperhatikan lagi.
Ketik!
Kini dia pasti yang dia tidak salah
dengar lagi. Memang ada bunyi terbit dari dalam kamar tidurnya sendiri.
Persoalannya bunyi apa?
Ketik!
Nor Hidayah bangkit dari atas katil.
Kakinya terjuntai. Bola matanya terus melinggas mencari dari mana datangnya
punca bunyi itu.
Anak gadis itu memerhatikan daun
pintu yang tertutup rapat. Mustahil bunyi itu datang dari pintu bilik, gumamnya
didalam hati. Lalu dia turun dari katil.
Ketik!
Nor Hidayah memandang kearah
tingkap. Dia tahu bunyi yang dia dengar datang dari tingkap biliknya. Tapi apa
yang membuatkan bunyi itu terhasil?
Ketik!
Dada Nor Hidayah berdebar – debar.
Bulu romanya brdiri tegak dengan tiba – tiba. Perasaannya dijalar dengan rasa
seram. Pun begitu pandangannya tidak lepas dari memandang kearah tingkap cermin
biliknya. Langsirnya terbuka sedikit. Dari celahan tingkap itu dia hanya dapat
melihat suasana gelap diluar. Tanpa dipaksa Nor Hidayah berjalan setapak demi
setapak mendekati tingkap biliknya.
Ketik!
Gadis kecil itu tersentak apabila
ada batu kecil menyinggahi tingkap cerminnya. Mulutnya terbuka mahu menjerit
namun tidak ada suara yang keluar. Wajahnya mula pucat. Meskipun begitu dia
tidak melarikan diri. Tingkap didalam kamar tidurnya terus dipandang lagi.
NOR
HIDAYAH memandang kearah ibunya yang baru saja meletakkan semangkuk nasi
goreng diatas meja. Mulutnya terkunci rapat. Mak Limah pembantu rumahnya masih
lagi sibuk mengemas diruang tamu. Begitulah keadaannya sejak dari dulu lagi.
Tugas mengemaskan rumah sememangnya diserahkan pada pembantu rumah. Fazlina
hanya menyediakan makanan saja didalam rumah. Sejak dari dulu lagi dia tidak
membenarkan Mak Limah menyibuk kalau dia memasak. Tugasnya menyediakan hidangan
untuk suaminya tetap dia jalankan biar pun dia sesibuk mana sekali pun.
Fazlina meletakkan pula seteko teh
diatas meja sambil diperhatikan lagi oleh anaknya, Nor Hidayah. “ Dayah nak
makan?” soal ibunya sambil menjeling sekilas.
Nor Hidayah
menganggukkan kepalanya.
Fazlina
menyendukkan sepinggan nasi goreng lalu dihulurkan pada anak gadisnya. “
Makanlah. Nanti perut tu lapar,” anjur Fazlina sambil menuangkan teh kedalam
cawan. Kemudian dia melabuhkan punggung diatas kerusi.
Nor Hidayah menyuapkan nasi kedalam
mulut sambil sesekali pandangannya dilemparkan pada ibunya. Dari riak wajahnya
ketika itu dia seperti ada sesuatu yang ingin diberitahu pada Fazlina.
“ Kenapa ni?”
tegur Fazlina sebaik saja dia ingin mencicip teh didalam cawannya.
Nor Hidayah
tidak menjawap.
“ Nasi goreng
tu tak sedap ke?” soal Fazlina lagi. Suaranya kedengaran tegas.
Nor Hidayah
geleng.
“ Dah tu?” Fazlina
mula sangsi dengan kelakuan anak gadisnya nan seorang itu.
Nor Hidayah
tetap menguncikan mulutnya. Hatinya berbelah bagi. Ketidak pastian jelas teriak
diwajahnya tatkala itu.
“ Dayah ada
benda yang nak cakapkan dengan ibu?” kali ini Fazlina bagaikan dapat menangkap
apa yang sedang difikirkan oleh gadis kecil bertocang dua itu. Perlahan – lahan
Nor Hidayah mengangguk bak belatuk.
Fazlina meletakkan kembali cawannya
diatas piring. Lama dia merenung wajah bulat Nor Hidayah. Kemudian dia
mendekatkan mukanya pada gadis comel itu.
“ Cakaplah apa
yang Dayah nak bagitau ibu,” desak ibunya. Intonasi suaranya kembali tenang.
Setenang wajahnya ketika itu.
Untuk beberapa detik anak gadis itu
kelihatan teragak – agak. Masih lagi ragu – ragu. Hanya matanya saja yang
kelihatan bergerak – gerak meneliti wajah ibunya sendiri.
“ Cakaplah,”
pujuk Fazlina lagi. Ada secubit senyum manis terukir dibibirnya.
“ Malam
tadi.....,” Nor Hidayah terhenti seketika.
“ Malam tadi,
kenapa?”
Belum pun
sempat Nor Hidayah menyambung semula kata – katanya Mak Limah muncul di muka
pintu.
“ Puan....
depannya saya sudah kemaskan. Saya bersihkan tingkat atas ya?” pinta Mak Limah
dengan penuh hormat. Fazlina mengangguk dan tersenyum.
“ Baju kotor tu nanti bawak turun sekali.
Basuh,” arah Fazlina seketika kemudian biar pun bayang Mak Limah sudah hilang
dari pandangannya. Yang terdengar cuma bunyi tapak kaki wanita itu menginjak
tangga batu naik keatas.
Fazlina kembali memandang anaknya. “
Okay.... apa yang yang Dayah nak cakap dengan ibu tadi. Oh.... pasal malam
tadi? Kenapa malam tadi?”
“ Dayah cuma
nak bagitau ibu yang malam tadi....,” nyata Nor Hidayah tidak berani
memberitahu ibunya apa yang dia alami malam tadi ketika orang lain sedang lena.
“ Cakaplah....
kenapa?”
“ Malam tadi
Dayah nampak ada budak.”
Fazlina
tergamam. Wajah bulat Nor Hidayah yang bulat itu direnung lagi lama – lama.
Tidak percaya dengan apa yang baru dia dengar tadi.
“ Ada budak? Dekat mana? Dayah
nampak?” Fazlina mendesak. Ada keterujaan bermain disudut hatinya.
“ Dekat
tingkap bilik Dayah.”
“ Dekat
tingkap?” dahi Fazlina berkerut seribu. “ Siapa? Dayah kenal?”
Nor Hidayah
menggeleng. Bibirnya juga dijuihkan.
“ Dayah tak
salah tengok?” andaian itu bermain dibibir Fazlina. Takut – takut anak gadisnya
itu tersalah pandang.
Nor Hidayah
menggeleng. “ Dayah memang nampak ada budak perempuan kat bawah malam tadi.”
Fazlina mengusap rambut anaknya
perlahan – lahan. Kemudian pipi gadis kecil itu dicubitnya dengan manja. “
Dahlah tu. Dayah makan. Tak ada apa – apa,” akhirnya Fazlina membuat kesimpulan
sendiri. Biar pun anak kecil tidak pandai berbohong namun dia sengaja tidak
mahu melayan karenah Nor Hidayah itu. Baginya tidak penting. Dia merasakan yang
anak tunggalnya itu memang tersalah pandang malam tadi.
Lagi pun dia sudah melihat
sekeliling kawasan rumah yang baru dibeli oleh suaminya. Tidak ada jalan masuk
selain dari pintu pagar didepan rumah. Lagi pun rumahnya dikelilingi oleh
tembok batu yang agak tinggi. Mustahil ada orang lain menceroboh masuk.
Apatahlagi kanak – kanak seusia anaknya.
“ Cepat,
habiskan makan nasi tu. Nanti ibu nak kerja lagi,” arah Fazlina sambil mencapai
semula cawan tehnya. Lalu dihirup perlahan – lahan sambil memandang kearah Nor
Hidayah.
Seperti kelazimannya Nor Hidayah
tidak dibenarkan bermain diluar rumah. Lebih – lebih lagi ketika matahari sedang
naik. Lalu Fazlina membiarkan anak tunggalnya itu bermain seorang diri didalam
kamarnya. Dia sendiri sibuk menguruskan perkerjaannya secara on line didalam
kamar ditingkat bawah. Kamar itu memang dijadikan pejabat kecilnya. Mak Limah
pula dari tadi tidak henti - henti
bekerja.
Didalam bilik tidurnya Nor Hidayah
bermain pondok – pondok sendiri. Patung – patung beruang yang dibeli oleh
ibunya dijadikan teman sepermainan. Becok mulutnya bercerita tentang itu dan
ini.
Ketik!
Nor Hidayah tersentak. Lama dia
memandang kearah tingkap yang terbuka luas. Langsir berbunga kecil berwarna
pink terbuai lembut disapa angin dari luar. Kemudian matanya beralih pula pada
seketul batu kecil yang terdampar diatas lantai.
Dia bangun dan menghampiri batu
tersebut. Batu itu dibelek – beleknya dahulu sebelum diambilnya. Sekali lagi
dia melihat batu yang ada ditangannya. Dari mana batu ini datang?
Ketik!
Seketul batu
lagi melayang masuk dan menghampir – hampir mengenai batang tubuhnya. Nor
Hidayah segera berdiri dan berjalan kearah tingkap. Matanya dilorongkan
kebawah.
Seorang gadis berambut panjang sedang
berdiri diluar sana sambil memerhatikan kearahnya. Secubit senyuman menghiasi
bibirnya. Kemudian tangannya diangkat dan dilambai kearah Nor Hidayah. Nor
Hidayah tersentak. Siapa gadis kecil itu? Lambaiannya seolah – olah memanggil
Nor Hidayah. Tidak lama selepas itu gadis yang masih tidak diketahui namanya
itu berlari menuju kearah belakang rumah. Sekali lagi Nor Hidayah tersentak.
Kemana dia pergi?
Tanpa menunggu lama lagi Nor Hidayah
berlari keluar dari kamar tidur. Terus dia menuruni tangga menuju ketingkat
bawah. Jelas bunyi tapak kakinya berlari menginjak lantai. Mak Limah yang
sedang membasuh baju di ruang kamar mandi tidak diendahkan. Terus saja dia
berlari keluar ikut pintu dapur. Kemudian dia tercanggak – canggak
sendiri. Matanya melilau mencari bayang
gadis kecil tadi. Namun tidak juga dia melihatnya dimana – mana. Kemana dia
pergi? Siapa budak perempuan itu? Nyata dia sendiri tidak mampu menjawapnya.
Kawasan belakang rumahnya
diperhatikan lagi. Yang ada cuma sepohon pokok jejawi yang agak besar saiznya.
Daunnya merimbun lebat. Dari atas rantingnya ada akar – akar halus yang tumbuh
menjulur dan tergantung kebawah. Agak menyeramkan. Daun – daun kering yang
gugur dari pokok jejawi itu bertaburan dibawah.Yang lain hanya ditanam dengan
pokok – pokok renek. Kawasan disitu berumput. Pendek dan kemas. Perlahan –
lahan Nor Hidayah melangkah sambil matanya diliarkan kekiri dan kekanan.
Semakin lama dia semakin hampir dengan pokok jejawi ditepi tembok pagar.
Tidak lama kemudian dia terdengar
ada bunyi hilaian orang ketawa. Suaranya kedengaran halus dan kecil. Ketawanya
pula kedengaran terputus – putus. Nor Hidayah tertegun sendiri. Berdiri tegak
bagaikan patung batu. Dadanya mula berdebar – debar. Jari - jemarinya diramasnya kuat – kuat. Begitulah
tingkah lakunya bila dia merasa binggung.
“ Siapa tu?”
entah kenapa Nor Hidayah berani bertanya. Pun begitu suaranya kedengaran
bergetar.
Sapaannya
hanya disambut dengan hilai ketawa panjang.
“ Siapa tu?
Awak ke tadi?” dari suara yang dia dengar dia pasti suara itu milik suara budak
perempuan.
Nor Hidayah terkejut besar apabila
mendapati seorang kanak – kanak perempuan yang hampir dengan usianya muncul
dari sebalik pokok jejawi. Untuk beberapa detik kedua – dua mereka tergamam.
Hanya mata masing – masing bertaut. Mulut pula terkunci rapat.
“ Awak siapa?”
soal Nor Hidayah dengan perasaan gementar. Terlintas juga difikirannya
bagaimana gadis kecil ini boleh terlepas hingga kesini. Dari mana dia masuk?
“ Saya Farah,”
ucap gadis itu sambil tersenyum. “ Nama awak?”
“ Saya.... Nor
Hidayah,” sahut gadis bertocang dua itu teragak – agak. Tidak ada huluran
tangan sebagai tanda perkenalan. Nor Hidayah tegak seperti patung. Hanya
matanya saja yang kelihatan terpejam celik memerhatikan raut wajah Farah.
Sepertinya juga, gadis itu berambut panjang dan dilepaskan terurai kebawah.
Tubuhnya lebih kecil sedikit dari badan Nor Hidayah. Kulit cerah seakan – akan
pucat.
“ Macam mana awak boleh masuk
kesini?” soal Nor Hidayah dengan suara yang masih lagi bergetar.
Mendengar pertanyaan itu Farah
mengukirkan senyumnya. Sejurus kemudian dia memerhatikan kearah kawasan
sekitar. Seakan – akan sedang mengawasi sesuatu. “ Saya selalu datang kesini.”
Nor Hidayah
terkejut. Lama dia merenung wajah bujur sirih Farah.
“ Awak selalu
kesini?”
Farah angguk
lagi. “ Dulu – dulu pun saya pernah tinggal disini. Tapi sekarang tak lagi,”
sambung Farah lagi. Kali ini matanya beralih pada rumah bercat putih dua
tingkat itu. Ada kesayuan tergambar diriak wajahnya tatkala itu.
“ Saya tak
tahu pun,” ulas Nor Hidayah. Mula tertarik dengan rakan barunya itu.
“ Dulu saya memang tinggal didalam
rumah ini. Ini dulu rumah ibu bapa saya,” tambah Farah lagi. Kali ini dia
berjalan menghampiri bahagian dapur rumah banglo tersebut. Nor Hidayah hanya
mengekor dengan anak matanya saja. Tidak pula dia menyangka yang teman barunya
itu pernah tinggal disitu.
“ Sekarang
awak duduk dimana?” pantas Nor Hidayah bertanya.
Farah
berpusing dan menjawap “ Sekarang saya tinggal dibelakang sana.”
Nor Hidayah terus meninjau kebelakang. Namun
tembok putih yang agak tinggi membataskan pandangannya. Mungkin ada rumah lain
dibelakang rumahnya, fikir gadis itu lagi.
Tiba – tiba Nor Hidayah diterkam
dengan perasaannya sendiri. Bagaimana jika ibunya tahu akan kemunculan Farah
disini? Mesti dia akan dimarahinya. Dia tahu yang ibunya tidak suka dia
berkawan dengan orang lain. Itu memang pantang sejak dari dulu lagi. Biar pun
dia tidak tahu kenapa, namun dia sedar tentang itu. Yang boleh menjadi kawannya
cuma Mak Limah, pembantu didalam rumahnya sendiri.
“ Awak,”
Nor Hidayah memanggil Farah. Gadis yang
leka memerhatikan rumah dua tingkat itu berkalih lagi kebelakang.
“ Saya rasa
elok kalau awak balik sekarang,” pinta Nor Hidayah dengan berat hati.
Sebenarnya dia tidak mahu Farah pergi dari situ. Jauh didalam hatinya dia
teringin benar ingin berkawan dengan Farah. Perasaannya memang teruja sekali.
Namun bila memikirkan tentang angin ibunya, dia menjadi kecut dengan tiba –
tiba. Kalaulah ibunya tahu?
“ Kenapa?”
soal Farah.
“ Saya takut
ibu saya marah nanti,” jujur Nor Hidayah memberitahu Farah.
Farah diam
agak lama.
“ Kenapa dia
marah?” tidak lama kemudian Farah bertanya pula.
“ Ibu saya tak suka saya berkawan
dengan orang lain,” terang Nor Hidayah dengan nada sayu. Kepalanya ditundukkan
sebentar kebawah sebelum merenung semula kearah Farah.
“ Tapi saya memang nak berkawan
dengan awak,” ucap Farah jujur. Kata – kata itu membuatkan Nor Hidayah
tersentak.
“ Tak boleh,”
sahut Nor Hidayah ragu – ragu. Wajah ibunya yang garang terbayang dilayar
fikirannya saat itu.
“ Awak takut
dengan mak awak?” soal Farah bagaikan mencabar keberaniannya. Nor Hidayah diam
lagi. Tidak pasti bagaimana dia mahu menjawap pertanyaan Farah itu. Hatinya
terus berbelah bagi. Keliru. Tidak lama kemudian dia menganggukkan kepalanya.
Farah berjalan mendekatinya. Bahu Nor
Hidayah disentuhnya dengan lembut. Masing – masing berpandangan sesama sendiri.
“ Awak tak
perlu takut,” tenang Farah menuturkan kata – katanya.
Nor Hidayah
terkesima.
“ Tapi ibu
saya.... garang.”
Farah
tersenyum. “ Itu awak jangan bimbang. Dia tak akan tahu.”
Kali ini Nor
Hidayah betul – betul terkejut. Bagaiamana? Apa yang membuatkan Farah pasti
dengan kata – katanya itu? “ Awak cakap apa ni?”
Farah tiba – tiba memegang tangan dan
menarik Nor Hidayah hingga kebawah pokok jejawi. Kini tubuh keduanya dilindungi
oleh dedaunan yang merimbun dibawah pohon tersebut. Tidak langsung tersengat
dengan terik cahaya matahari yang mula memanjat langit.
“ Kita
rahsiakan persahabatan kita ni dari pengetahuan mak awak.”
“ Kalau dia
tahu?”
Farah ligat
mengeleng. “ Percayalah cakap saya. Ibu awak tak akan tahu. Janji awak jangan
beritahu dia yang kita berkawan. Jangan takut,” desak Farah apabila melihat wajah
Nor Hidayah ketakutan dan tidak pasti.
“ Kita boleh main bersama. Kalau
awak nak, awak datang saja kesini. Nanti saya akan datang. Awak jangan takut,
percayalah,” bersunggguh – sungguh benar Farah cuba menyakinkan Nor Hidayah.
Lama kemudian barulah Nor Hidayah yakin dan akhirnya menganggukkan kepalanya.
Farah tersenyum manis. Kalau ibunya tidak tahu, apa salahnya, fikir gadis comel
itu lagi. Dia cuma ingin berkawan. Itu saja. Dan sejak dari hari itu
termeterailah janji diantara Nor Hidayah dan Farah. Rasmi dia sudah punya rakan
sepermainan. Hatinya girang tidak terperi.
Dan dari sejak hari itu Nor Hidayah
tidak lagi bermain seorang diri. Seperti yang diberitahu apabila dia
menginginkan Farah dia hanya perlu berada dibawah pohon jejawi dibelakang
rumah. Farah akan muncul tidak lama kemudian. Kadang – kadang kehadiran
temannya itu menimbulkan juga rasa curiga didalam hati Nor Hidayah. Lalu dia
bertanya pada Farah suatu hari.
“ Apa yang hendak dihairankan. Saya
selalu nampak awak pergi ke pokok tu. Dari situ saya tahulah yang awak nak
berjumpa dengan saya. Saya selalu datangkan?” itu yang dijawap oleh Farah. Dan
seterusnya Nor Hidayah tidak bertanya lagi. Hari – hari yang dilaluinya dengan
penuh gembira. Kini dia tidak lagi berseorangan.
Berlainan pula dengan Fazlina.
Sedikit sebanyak sejak akhir – akhir ini dia merasa ada sesuatu yang berlaku
pada anak gadisnya itu. Meskipun begitu dek kerana sibuk dengan perniagaan on
linenya membuatkan dia terpaksa melupakan anak gadisnya untuk seketika. Ada
masanya kadang – kadang dia akan memerhatikan Nor Hidayah yang seakan – akan
buat tidak peduli pada dirinya lagi.
Masalah itu disuarakan juga pada
suaminya pada satu malam. “ Lain benar saya tengokkan Dayah tu bang,” adu
Fazlina pada Azlan. Kedua – duanya baru saja masuk kedalam kamar. Bersiap
- siap untuk tidur.
“ Apa yang
lainnya?” soal suaminya.
“ Dia tak
macam selalu. Nampak macam dia leka dengan sesuatu.”
“ Apa maksud
awak ni Lina?”
Fazlina
terdiam. Tidak tahu apa yang patut dia
cakapkan pada suaminya.
“ Tapi dia memang nampak lainlah
bang sejak kebelakangan ni. Saya pun dia tak hiraukan. Kadang – kadang tu saya
ajak dia makan tengahari pun dah susah. Kejap – kejap dia keluar, kejap – kejap
dia keluar,” luah Fazlina lagi dengan wajah berkerut seribu.
“ Dia ada
berkawan dengan budak – budak luar tak?”
Kata – kata
suaminya itu membuatkan Fazlina terkejut. Sepantas kilat dia berkalih pada
suaminya. Renungannya cukup tajam dan menakutkan.
“ Mana ada
bang?” balas Fazlina dengan air muka yang terus mencuka. “ Mana ada dia
berkawan dengan budak- budak luar.”
Pun begitu hatinya mula dilanda
dengan rasa was – was. Kata – kata suaminya mula menjadi racun dalam lubuk
fikirannya. Biar pun dia cuba menolaknya namun dia akui kata – kata itu
membuatkan dia terpenjara sendiri. Bagaimana jika apa yang diucapkan oleh
suaminya itu benar? Nor Hidayah secara senyap – senyap berkawan dengan budak –
budak luar? Apa yang perlu dia buat? Fazlina mula merancang sesuatu. Mungkin
ada eloknya jika dia mengintip pergerakan anaknya selepas ini.
Itulah yang apa yang dilakukan oleh
Fazlina terhadap anaknya itu. Usai saja bersarapan pagi dia sengaja berpura –
pura meninggalkan anaknya dan masuk kedalam bilik kerjanya ditingkat bawah.
Sepuluh minit kemudian dia keluar dan bergerak mencari Nor Hidayah. Dia mencari
anak gadisnya ditingkat bawah. Hampa. Bayang Nor Hidayah tidak kelihatan.
Hatinya mula panas. Kemudian dia beralih pula ke tingkat atas. Hasilnya sama
juga. Langsung dia tidak menemui Nor Hidayah disitu. Bilik tidurnya juga
diperiksa. Selalunya Nor Hidayah akan bermain pondok – pondok didalam kamar
tidur apabila bosan. Namun dia hampa sebaik saja mendapati kamar tidur si kecil
itu kosong.
Dengan perasaan marah dia turun semula
ketingkat bawah. Kemudian dia masuk ke dapur dan menemui Mak Limah yang sibuk
membasuh dibilik mandi.
“ Mak Limah?”
dia memanggil pembantu rumahnya.
Tergesa – gesa
wanita tua itu keluar dari bilik mandi dan berdiri didepan Fazlina.
“ Mak Limah
ada nampak anak saya tak?”
Mak Limah
angguk. Ada sedikit perasaan lega didalam hati Fazlina.
“ Dia ada
dekat mana?”
“ Dia keluar
tadi.”
“ Kemana?”
“ Tadi saya
nampak dia keluar ikut pintu dapur,” jujur Mak Limah memberitahu majikannya.
Fazlina tidak bersuara lagi. Terus
dia keluar melalui pintu dapur. Dari tempat dia berdiri dia melihat Nor Hidayah
sedang duduk bermain dengan seorang lagi anak kecil yang hampir seusia
dengannya. Fazlina menjadi marah. Tidak pula dia tahu kebelakangan ini anak
gadisnya itu curi – curi berkawan dengan orang luar. Soalnya bagaimana mereka
bertemu. Anak siapa yang sedang bermain dengan anaknya? Bagaimana dengan latar
belakangnya? Dari keluarga yang baik – baikkah? Segera wajah adik perempuannya
Asmah tergambar dilayar fikirannya.
Kerana hasutan dan bercampur dengan
kawan- kawanlah membuatkan hidup Asmah hancur dan tidak berguna lagi. Dia sudah
serik. Asmah kini menjadi penagih dadah. Tidak lagi pulang ke rumah. Entah
dimana dia merempat, Fazlina tidak tahu. Yang dia tahu dia sudah kehilangan
seorang adik yang amat dia kasihi sebelum ini. Semuanya kerana kawan – kawan!
Sejak mengetahui apa yang terjadi pada diri Asmah, Fazlina mula menjadi trauma.
Sebolehnya dia tidak mahu Nor Hidayah mengalami nasib yang sama seperti mana
adik perempuannya. Dia sudah serik. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku. Dia
tidak mahu kehilangan Nor Hidayah pula selepas dia kehilangan Asmah.
“ Dayah!”
Kedua – dua
anak kecil yang leka bermain itu menoleh. Nor Hidayah terkejut besar melihat
ibunya sedang bercekak pinggang dimuka pintu dapur.
“ Siapa tu?”
sempat Farah berbisik pada Nor Hidayah.
Nor Hidayah
tidak menjawap. Mukanya pucat. Nafasnya mula terasa sesak. Dia takut dan kaget.
Apatahlagi melihat muka garang ibunya.
“ Dayah!”
suara Fazlina melengking memecah keheningan pagi itu.
Fazlina mendekati keduanya. Nor
Hidayah menundukkan kepalanya kebawah. Farah pula masih lagi memandang kearah
ibu Nor Hidayah dengan pandangan yang tidak berkerlip.
“ Kamu buat
apa dekat sini, Dayah!?” tengking Fazlina.
Nor Hidayah
kecut perut. Manakala Farah pula diam. Masih lagi memerhatikan kearah Fazlina.
“ Cakap dengan
ibu. Apa yang kamu buat dekat sini hah!” suara Fazlina makin kuat. Nor Hidayah membisu.
Kepalanya terus ditundukkan. Tidak berani langsung mahu menentang muka ibunya.
“ Heh! Kamu ni pulak siapa hah!?”
kini kemarahannya ditujukan pada Farah pula. Anak kecil itu terpingga – pingga
sendiri.
“ Kamu dah
pekak ke? Aku tanya ni!” sekali lagi Fazlina menengking. Perasaan marahnya
bagaikan tidak dapat ditahan - tahan
lagi.
Farah bingkas bangun dan berlari
meninggalkan Nor Hidayah dan Fazlina. Fazlina yang terkejut dengan sikap Farah
cuba mengejar dari belakang. Namun sayang langkah Farah lebih laju darinya.
Ketika dia sampai didepan banglo dilihatnya bayang Farah sudah hilang. Dia
tercunggap – cunggap sendiri. Kemana budak perempuan tu pergi? Tak kan sekejap
saja sudah lesap? Fazlina merasa tidak puashati. Matanya liar mencari bayang
Farah namun tidak kelihatan dimana – mana. Fazlina merapati pintu pagar yang
tertutup rapat. Dia menjengah keluar. Farah sudah hilang! Fazlina melangkah
masuk sambil terus membebel dan merungut.
Hari itu juga Nor Hidayah dimarahi
oleh Fazlina dengan semahunya. Tidak cukup setakat memarahi tubuh Nor Hidayah
juga dihinggapi dengan rotan beberapa kali. Nor Hidayah yang meraung kesakitan
tidak mampu melembutkan hati ibunya yang sudah terbakar. Libasan demi libasan
rotan hinggap dilengan, kaki dan belakang badannya.
“ Kamu memang
degil ya Dayah!” amuk Fazlina seolah – olah kerasukan dengan perasaan
amarahnya.
“ Tolong
mak.... Dayah tak buat lagi!” berterusan juga Nor Hidayah memohon ampun dari
ibunya.
Setelah puas melepaskan kemarahannya
Fazlina berhenti. Nafasnya tercunggap – cunggap. Nor Hidayah terus jatuh
kelantai. Sayang, keadaannya langsung tidak mendapat simpati dari ibunya.
Sebaliknya Fazlina terus memandang kearah gadis comel itu dengan pandangan
garang. Dadanya kelihatan berombak menahan rasa marah yang masih lagi bersisa.
Nor Hidayah pula meraba – raba
bahagian yang sakit. Lengan, kaki dan belakangnya badannya terasa pedih dan
bisa. Sesekali dia menjeling juga pada rotan yang masih lagi dipegang oleh ibunya.
Takut jika angin ibunya naik lagi, dia akan menerima akibatnya lagi.
“ Kamu jangan
keluar dari bilik ni. Sampai ibu panggil. Faham!” tengking Fazlina tiba – tiba.
Nor Hidayah yang kecut perut sekadar mengangguk. Tangisan dan sendunya masih
lagi kedengaran. Sayu. Fazlina segera keluar dan menghempaskan daun pintu
sekuat mungkin. Marahnya masih lagi belum reda. Tinggalkan Nor Hidayah
keseorangan sambil ditemani dengan kesakitan yang dirasakan diseluruh badannya.
Air matanya makin lebat mengalir.
MALAM
itu usai makan malam Nor Hidayah terus berkurung didalam kamarnya. Fazlina
langsung tidak membenarkan anaknya itu keluar menonton TV seperti biasa. Hanya
Mak Limah saja yang sempat menjenguk kanak – kanak itu. Simpatinya datang
bertimpa – timpa.
“ Sudah....
jangan banyak bergerak. Nanti badan tu sakit lagi. Tidurlah. Jangan bantah
cakap ibu, tahu,” pesan Mak Limah sebelum meninggalkan kamar tidur si kecil
itu. Nor Hidayah hanya mengangguk. Perasaannya dilanda kesedihan yang amat
sangat. Kenapa dia tidak dibenarkan berkawan dengan orang lain? Apa salahnya?
Lalu dalam sendu dan tangis akhirnya si comel itu terlena.
JAM
3 pagi Nor Hidayah membuka kelopak matanya. Terpisat – pisat dia sendiri diatas
katil. Ruang kamar itu hanya diterangi dengan cahaya lampu tidur yang samar –
samar. Sejenak dia menoleh kekiri dan kekanan.
Ketik!
Nor Hidayah menoleh ketingkap. Dia
tahu benar akan bunyi batu dibaling ketingkap. Farah? Apa yang dia buat malam –
malam begini? Nor Hidayah merangkak turun dari katil. Terus dia mendekati
tingkap.
Benar seperti yang dia jangka. Farah
ada diluar sana. Melambai tangan kearahnya. Nor Hidayah merasa pelik. Kenapa
gadis kecil itu tidak tidur lagi? Kenapa dia ada disini?
“ Dayah,”
sayup – sayup kedengaran suara Farah memanggilnya dari luar. Tangannya terus
melambai – lambai kearah Nor Hidayah. Seolah – olah mahu mengajak dia turun.
Nor Hidayah
pula terus kaku ditepi tingkap. Masih lagi memandang kearah Farah dengan riak
hairan.
“ Dayah.... sinilah,”
panggil Farah lagi.
Seperti dirasuk, Nor Hidayah keluar
dari dalam kamar. Berlari dia menuruni tangga. Secara senyap – senyap dia
keluar ikut pintu belakang. Tanpa berlenggah lagi dia menemui Farah yang sedang
menunggunya.
“ Dayah,”
tegur Farah. Pantas dia menarik lengan gadis itu.
Nor Hidayah
mengaduh kesakitan. Segera dia mengurut lengannya yang terdapat kesan calar
akibat dirotan oleh ibunya siang tadi.
“ Sakit?” soal
Farah dengan rasa simpati.
Nor Hidayah
tidak menjawap sebaliknya hanya menganggukkan kepalanya saja.
“ Ibu awak
pukul ye?”
Sekali lagi
Nor Hidayah mengangguk.
“ Teruk...
kan,” sambung Farah.
Angguk lagi.
Farah tersenyum pahit. Jari – jemari
Nor Hidayah dipegangnya dengan penuh mesra. Mereka saling berpandangan sesama
sendiri.
“ Saya tahu
perasaan awak, Dayah,” ucap Farah dengan lembut. Senyumnya masih menghiasi
bibir.
“ Mana awak
tahu?” suara Nor Hidayah kedengaran
sayu.
Senyum dibibir
Farah makin panjang.
“ Mestilah
saya tahu, sebab saya sendiri pernah kena pukul,” sahut Farah.
Nor Hidayah
terkesima. Lama dia memandang kearah Farah. Tidak percaya.
“ Awak pun
pernah kena pukul?”
Giliran Farah
pula mengangguk. Senyum dibibirnya tidak mati.
“ Sama macam
awak. Saya pun pernah kena dera. Saya tahu sakitnya macam mana.”
Nor Hidayah
diam.
“ Tiap - tiap hari saya kena pukul. Habis badan saya
bengkak – bengkak. Luka sana, luka sini. Tapi tak ada orang yang kesian tengok
saya. Makin kena pukul lagi adalah,” adu Farah. Namun air mukanya kelihatan
tenang saja.
“ Awak rasa ibu awak sayangkan awak?”
soal Farah dengan tiba – tiba. Nor Hidayah kaku lagi. Dia tidak pasti kenapa
sahabatnya itu bertanyakan soalan seperti itu.
“ Saya rasa
dia tak sayangkan awak. Awak sama macam saya.”
“ Maksud
awak?” Nor Hidayah perlukan penjelasan dari teman baiknya itu.
“ Kalau dia sayangkan awak, kenapa
dia pukul awak macam ni. Sama macam saya. Ibu saya tak sayangkan saya. Itu
sebabnya dia selalu pukul dan dera saya. Kadang – kadang dia tak bagi saya
makan. Seharian saya lapar. Dia tak pernah kesiankan saya,” luah Farah.
Pengalamannya yang lalu diterangkan pada Nor
Hidayah.
“ Mak saya
memang tak sukakan saya,” sambung Farah lagi. Kepalanya ditundukkan. Namun
tangan Nor Hidayah tidak dilepaskan.
“ Mungkin
betul apa yang awak cakapkan,” Nor
Hidayah mula bersuara. Angin malam yang bertiup kuat membuatkan
rambutnya yang tidak ditocang mengerbang. Baju tidur yang dipakainya juga
mengeletar kuat. Daun kering dari pokok ditepi pagar berguguran.
“ Ibu saya tak sayangkan saya. Tiap
hari dia paksa saya duduk dalam rumah. Dia tak suka saya berkawan dengan
sesiapa pun, termasuk awak. Tengok siang tadi bila dia dapat tahu terus dia
pukul saya sampai jadi macam ni,” Nor Hidayah menunjukkan lengannya yang masih
lagi berbekas akibat dipukul dengan rotan. “ Betul cakap awak, ibu saya memang
tak sayangkan saya lagi,” lanjut Nor Hidayah merintih sedih.
Farah mengukir
senyumnya.
“ Awak,” Farah
menyeru lembut.
Nor Hidayah
mendongak perlahan.
“ Mulai
sekarang awak jangan takut ye,” ujar Farah dengan nada memujuk.
“ Kenapa awak
cakap macam tu?” ketidak pastian membuatkan Nor Hidayah bertanya.
“ Kalau awak nak saya akan temankan
awak untuk selama – lamanya,” ucap Farah dengan nada mengharap. Seulas senyum
manis tergaris dibibirnya yang kelihatan agak pucat.
Nor Hidayah
tidak faham.
Seperti
mengerti dengan reaksi Nor Hidayah, Farah tersenyum lagi.
“ Mulai
sekarang tak ada sesiapa pun boleh sakiti awak. Termasuk ibu awak. Itu pun
kalau awak mahu,” Farah seolah – olah membuat tawaran pada teman barunya itu.
Nor Hidayah
melopong. Tidak faham dengan apa yang baru dia dengar.
“ Saya tak akan
benarkan sesiapa pukul dan dera awak lagi. Termasuk ibu awak. Dia tidak boleh
cuit awak walau pun sedikit. Kita boleh bermain sama – sama selalu. Awak tak
akan kehilangan saya lagi. Malah awak akan punya ramai kawan nanti,” kata Farah
sambil terus tersenyum manis.
“ Tapi....,”
Farah tidak meneruskan ucapannya.
“ Tapi apa?”
soal Nor Hidayah. Hatinya mula tertarik. Memang dia sudah serik dipukul dan
dikurung didalam rumah. Dia ingin berteman. Dia ingin berkawan. Dia tidak mahu
main seorang diri sambil ditemani dengan patung – patung kaku yang ada didalam
kamar tidurnya. Dia sudah bosan. Dia perlukan kawan yang boleh berinteraksi
dengannya. Yang boleh berkata – kata dengannya. Dia mahu hidup dalam realiti.
Bukan dalam alam mimpi.
“ Kalau awak
nak, ada syaratnya,” sambung Farah lagi. Menanti reaksi rakannya itu.
“ Apa
syaratnya.”
“ Awak mesti
ikut saya.”
“ Ikut awak.
Kemana?”
“ Ke tempat
saya. Sana ada ramai kawan yang menanti awak. Awak boleh berkawan dengan sesiapa
saja yang awak suka. Tak ada sesiapa yang boleh ganggu kita lagi,” senyum
dibibir Farah makin mekar. Menambahkan lagi keterujaan dihati Nor Hidayah.
“ Tempat awak? Tapi tempat awak tu
dekat mana? Jauh tak?” soal Nor Hidayah. Tidak menghiraukan akan kedingin malam
yang makin kuat mencengkam. Rambutnya yang panjang terus menari – nari dipukul
angin yang datang.
Mendengar pertanyaan itu Farah
mengekeh ketawa. “ Tak jauh sangat. Di belakang sana tu,” telunjuk Farah
menunding kearah belakang rumah Nor Hidayah.
“ Awak nak ikut
saya?” pelawa Farah lagi. Senyumnya langsung tidak lengkang dari bibirnya.
“ Nanti....
kalau ibu saya tahu macam mana? Tentu dia marah lagi,” Nor Hidayah merasa
bimbang. Bekas rotan yang ada pada tubuhnya mengingatkan dia akan ibunya.
Farah ketawa
sambil menggeleng – gelengkan kepalanya. “ Awak tak perlu takut. Ibu awak tak
akan tahu sampai bila – bila. Dia tak akan ganggu awak lagi. Awak boleh bebas.
Bukan kata hendak pukul hendak dekat dengan awak pun tak boleh. Sebab dia tak
tahu pun,” sahut Farah lagi. Nor Hidayah termenung agak lama.
“ Betul ke?”
Farah
mengangguk. Tangan Nor Hidayah diramasnya makin kuat. Cuba menyakinkan temannya
itu.
“ Betul ke ibu
saya tak akan pukul saya lagi?”
Sekali lagu
Farah mengangguk. “ Percayalah cakap saya,” senyum dibibir Farah kelihatan
makin manis.
Akhirnya
Nor Hidayah menganggukkan kepalanya
tanda bersetuju.
“ Mari....
kawan – kawan kita yang lain dah lama tunggu awak,” lalu tangan Nor Hidayah
ditarik. Nor Hidayah pula mengekori saja arah yang dibawa oleh Farah.
Mereka melangkah menuju kearah pokok
jejawi dibelakang rumah. Apa yang dilihat oleh Nor Hidayah ketika itu amat
memeranjatkannya. Lidahnya kelu. Jantungnya berdegup kencang. Matanya juga
terbeliak besar. Sungguh dia tidak menyangka dengan apa yang dia lihat ketika
itu.
Tidak ada lagi pagar tembok yang
berwarna putih memagari kawasan belakang rumahnya. Pokok jejawi masih berada
ditempatnya. Namun kawasan disekitar pokok itu kini bertukar dengan satu
kawasan yang amat lapang. Luas mata memandang. Ramai kanak – kanak yang hampir
seusia dengannya sedang bermain sesama sendiri. Sesekali gelak ketawa mereka
mencubit cuping telinganya. Pakaian mereka juga amat cantik dan menarik
perhatian. Yang dia pasti setiap riak wajah mereka mengambarkan yang mereka
terlalu gembira. Seolah – olah tidak ada lagi apa yang merunsingkan mereka.
Mereka saling bekerjaran sesama sendiri sambil bergelak ketawa.
“ Siapa dia
orang ni?” soal Nor Hidayah sambil memandang kearah Farah.
“ Itulah kawan
– kawan kita. Tengok dia seronok bermain. Awak pun boleh ikut serta,” pelawa
Farah dengan wajah yang manis.
“ Mari....,” tangan Nor Hidayah ditarik lembut lagi. Perlahan
– lahan Nor Hidayah melangkah. Diwaktu yang sama tubuhnya mula pudar sedikit
demi sedikit ditelan kegelapan malam dan akhirnya menghilang. Nor Hidayah tidak
memperdulikan tentang ibu dan ayahnya lagi. Apa yang terhidang didepan matanya
lebih menarik perhatiannya. Dia ingin berkawan dan bergembira. Itu saja. Sejak
dari itu Nor Hidayah tidak pulang lagi ke rumah. Dia sudah melangkah masuk ke
alam lain. Fazlina yang kehilangan anaknya meracau seperti orang gila.
Kehilangan anaknya itu masih lagi tidak berjawap hingga kesaat ini. Biar
sedaya-upaya dia menjaga dan mengawal anaknya selama ini, namun apa yang
berlaku tidak mampu ditolaknya dengan kudrat yang ada.