Home Cerpen Seram/Misteri HILANG
HILANG
11/6/2016 12:18:40
6,106
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Nor Hidayah memerhatikan sekumpulan anak – anak gadis yang hampir seusianya dengannya mengayuh basikal diluar. Hanya tingkap memisahkan antara dia dengan kumpulan gadis itu. Dia tidak dapat bersuara. Kalau dia menjerit sekali pun kanak – kanak diluar itu mungkin tidak akan ambil pusing.

Dari tempat dia berdiri dia hanya dapat mendengar suara mereka tanpa tahu akan butir bicara mereka dengan tepat. Yang hanya dia fahami cumalah hilai ketawa mereka. Nampak riang dan ceria. Teddy Bear yang dipegang kemas diusap – usap kepala patung itu dengan lembut. Tumpuannya tidak lagi pada patung beruang yang agak besar saiznya itu. Dia lebih tertarik pada sekumpulan anak gadis yang lalu didepan rumahnya. Keinginannya untuk menyertai mereka mengaru – garu hatinya. Kalaulah dia boleh keluar dan bermain dengan mereka?

Nor Hidayah tahu itu tidak mungkin akan terjadi. Kalau berlaku pun hanyalah didalam mimpi saja. Tidak lebih dari itu. Matanya berkaca. Perasaannya dihiris pilu. Dia masih lagi tercegat ditepi jendela. Patung beruang ditangannya terus diramas – ramas dengan keras. Hati perempuannya dipaut sedih. Kenapa aku? Nor Hidayah tidak faham. Kanak – kanak seusianya memang sukar untuk memahami. Yang dia tahu keinginannya sering dihampakan. Tidak pernah tertunai. Kenapa aku?

“ Dayah?”

Nor Hidayah memusingkan kepalanya kebelakang.

Ibunya Fazlina berdiri dimuka pintu bilik diperhatikan dengan pandangan kosong. Nor Hidayah tidak menyahut.

Fazlina menapak masuk kedalam kamar. Terus bergerak mendekati Nor Hidayah yang masih lagi tercegat ditepi tingkap.

“ Dayah buat apa tu?” tegur ibunya sambil Fazlina melemparkan pandangannya kearah bawah.

Nor Hidayah tidak menjawap.

Fazlina mendengus tatkala terpandangkan sekumpulan anak – anak perempuan sedang mengayuh basikal melintasi kawasan didepan rumahnya.

“ Boleh tak Dayah keluar ibu?” dengan suara penuh simpati anak kecil bertocang dua itu bertanya. Walhal dia sendiri sudah maklum akan keputusan ibunya. Tidak salah jika dia terus mencuba.

Fazlina mengeluh panjang. Lalu dia bertenggong sambil mengusap wajah Nor Hidayah dengan penuh mesra. Bibirnya mengukir senyum.

“ Dayah buat apa nak keluar rumah?” soal Fazlina dengan nada lembut. Tidak henti – henti tangannya mengusap lembut wajah anak kesayangannya itu.

Nor Hidayah menoleh kearah luar rumah sekilas. Hatinya membuak – buak dengan tiba – tiba.

“ Dayah nak main dengan kawan – kawan kat luar sana, ibu,” jujur anak kecil itu menyuarakan hasrat hatinya.

Fazlina terdiam. Lama dia merenung anak mata Nor Hidayah.

“ Dah berapa kali ibu pesan. Tak elok bercampur dengan kawan – kawan diluar sana. Tak baik. Lagi pun dia orang tu.....”

“ Jahat,” pantas Nor Hidayah memotong kata – kata ibunya. Memang dia sudah menduga akan jawapan itu. Lazimnya itulah jawapan yang selalu ibunya berikan jika dia ingin berkawan. Telinganya sudah biasa mendengar alasan tersebut. Tidak ada alasan lain. Balik – balik itu juga. Hati Nor Hidayah diserbu dengan rasa tidak puas hati.Kenapa aku?

Fazlina mengeluh. Kepalanya ditundukkan kebawah. Kemudian dia mengusap lagi wajah anak manjanya itu dengan penuh kasih – sayang.

“ Baik Dayah ikut cakap ibu. Ini pun untuk kebaikan Dayah juga,” ulas ibunya sambil tersenyum. Berharap agar senyuman itu mampu meredakan rasa ketidakpuasan hati anak tunggalnya itu. Nor Hidayah diam tidak bersuara. Terkulat – kulat dia memandang wajah ibunya. Dia tahu senyuman yang dilemparkan oleh ibunya satu pembohongan.

Dia kenal dengan ibunya. Biar pun wajah Fazlina kelihatan lembut dan ayu, namun itu hanyalah luaran. Ibunya seorang yang keras hati. Mudah panas baran. Setiap kata – katanya adalah satu arahan yang mesti diikuti. Jangan banyak membantah. Jika tidak terimalah padahnya. Dia tahu benar tentang sikap buruk ibunya itu. Andai berkeras juga tubuhnya akan dihinggapi dengan cubitan. Paling teruk dia pernah ditampar kerana mempertikaikan keputusan ibunya. Sejak itu dia mula serik. Rasa pijar akibat ditempeleng oleh ibunya masih berbekas lagi hingga ke hari ini. Nor Hidayah takut untuk mengulangi perbuatannya lagi.

“ Dah.... ibu tak mahu dengar apa – apa lagi. Sekarang ni Dayah turun kebawah dan makan tengahari. Lepas tu ibu akan kemaskan barang – barang dalam bilik Dayah. Nanti malam Dayah boleh tidur. Nanti kita minta tolong ayah kemaskan bilik Dayah ye,” pujuk Fazlina sambil menghadiahkan senyuman buat anak gadisnya itu. Seperti kelazimannya Nor Hidayah tidak bersuara sebaliknya hanya menganggukkan kepala tanda setuju. Sebelum meninggalkan kamar sempat juga dia menoleh dan memerhatikan jalan didepan rumahnya yang sudah pun kosong.

Malam itu usai saja makan malam Nor Hidayah dibawa oleh ibunya ke kamar tidur. Bilik tidurnya sudah siap berkemas dengan cantik. Memang dia terasa penat tadi kerana menolong ibu dan ayahnya mengemas bilik. Lantas badannya terasa letih.

Pintu kamar dibuka dan mereka berdua meloloskan diri kedalam. Fazlina mengarahkan Nor Hidayah naik diatas katil. Anak gadis bertubuh kecil itu tidak membantah. Fazlina pula mencapai sekeping buku dan seperti selalu dia akan membacakan buku cerita sehingga Nor Hidayah tertidur sendiri.

Nor Hidayah memang tidak dibenarkan untuk tidur sebilik dengan Fazlina dan suaminya. Alasannya dia mahukan anaknya berdikari sendiri. Dan Nor Hidayah tahu setiap kemahuan ibunya perlu dituruti. Jangan bangkang jika tidak buruk padahnya. Perkara itu selalu disematkan didalam fikiran.

Fazlina membuka dan menyambung semula pembacaannya yang tertangguh. Nor Hidayah pula sekadar berbaring sambil memasang telingannya dengan hati – hati. Sesekali dia menjeling kearah ibunya tanpa bersuara. Dek kerana penat dalam waktu yang singkat Nor Hidayah terlelap sendiri.

Fazlina yang menyedari anaknya sudah terlelap menutup semula buku ditangannya. Secubit senyuman menghiasi bibirnnya ketika itu. Selimut ditarik hingga menutup dada anak kecil itu. Dengan hati – hati dia bangkit dan meletakkan buku tadi disisi katil anaknya. Perlahan – lahan Fazlina meninggalkan kamar tidur Nor Hidayah. Pintu ditutup rapat – rapat.

Terus dia menuju ke kamar tidurnya sendiri dihujung ruang. Sebaik saja dia masuk kelihatan suaminya sedang mengemaskan tempat tidur untuk mereka berdua. Azlan menoleh.

“ Dah tidur Dayah?”

Fazlina berjalan sambil mengangguk. Raut wajahnya terserlah riak penat.

“ Awal jugak dia tidur malam ni.”

“ Penat agaknya tadi kemaskan bilik dia,” ucap Fazlina selamba. Rambutnya yang panjang dibiarkan terurai sendiri. Kemudian dia duduk dimeja solek. Seperti kelazimannya dia akan membelek – belek wajahnya dulu didalam cermin sebelum masuk tidur. Azlan sudah bersandar dikatil. Memerhatikan kearah isterinya.

“ Pindah rumah baru, memanglah macam tu,”ulas Azlan sambil tersenyum nipis. Fazlina menjeling. Malas dia hendak memberi sebarang komen. Rambutnya yang panjang disisir perlahan – lahan.

“ Abang perasan tadi kat sini ramai jugak budak – bduak sebaya dengan dia,” nyata Azlan masih lagi bernafsu untuk berbual dengan isterinya.

“ Nanti ramailah dia kawan baru,” sambung Azlan sambil melipat tangannya dibelakang kepala.

Mendengar akan ucapan suaminya itu membuatkan Fazlina pantas berkalih pada suaminya. Sorotan matanya tajam menikam wajah Azlan.

“ Itu yang buat saya tak suka bang.”

Azlan mendengus. Ada rasa kecewa menghambat perasaannya dikala itu. Dari bersandar tenang dia mengubah posisinya dengan duduk menegak. “ Sayang ni pun satu.Sampai bila nak jadi macam ni?” tegur Azlan.

Fazlina berpaling semula mengadap muka cermin. Tiba – tiba hatinya dipanah dengan rasa marah. Kecewa juga datang menimpa. Saling bercampur baur.

“ Sayang tak boleh terus macam ni,” Azlan memujuk. “ Budak tu perlukan kawan. Mana ada manusia yang boleh hidup sorang – sorang” tambah lelaki berkumis nipis dibibir itu.

“ Siapa cakap dia hidup sorang – sorang?” tikam Fazlina dengan suara yang garang. Ada amarah mengunung didadanya ketika itu.

Fazlina beralih duduk mengadap suaminya yang masih lagi tercegat diatas katil. “ Siapa cakap dia sorang – sorang. Saya kan ada. Saya yang akan jaga dia,” keras lagi suara Fazlina ketika itu. Azlan mengeluh.

“ Sayang ni masih tak faham? Atau pura – pura tak faham?” soal Azlan. Tidak seperti isterinya, suaranya masih lagi boleh dikawal.

“ Maksud abang?” sinar dimata Fazlina makin garang.

“ Budak tu perlukan kehidupan dia sendiri. Dia perlu berkawan. Perlu ambil tahu dunia luar. Kadang – kadang abang kasihan tengok budak tu. Terperuk dalam rumah sejak kecil. Tak bercampur dengan orang lain. Nanti kalau dia sudah besar macam mana? Kenal orang pun tidak,” tekan Azlan dengan nada memujuk.

Fazlina mendengus kasar. Mukanya mencuka. Perubahan wajah Fazlina membuatkan Azlan diterkam dengan rasa serba salah pula. Bukan niat dia mahu meluka atau menyinggung perasaan isterinya. Dia cuma menegakkan akan pendiriannya. Tidak lebih dari itu.

“ Abang ingat dengan Asmah?” nama itu meniti dibibir Fazlina ketika itu. Membuatkan Azlan tertegun sendiri diatas katil.

“ Abang ingat dengan adik perempuan saya tu kan?” galak Fazlina bertanya.

Mahu tidak mahu terpaksa juga Azlan menganggukkan kepalanya. Memang dia kenal benar dengan adik perempuan Fazlina yang bernama Asmah.

“ Saya tak nak apa yang terjadi pada Asmah, berlaku pada Nor Hidayah. Cukuplah dengan apa yang dah jadi, abang faham tak?” Fazlina menjegilkan biji matanya. Seolah – olah mahu saja ditelan suaminya ketika itu juga.

“ Tapi....,” Azlan cuba membantah.

“ Tapi apa bang? Tapi apa?” mencerlang matanya menikam wajah Azlan ketika itu. Marah didalam dadanya bagaikan meluap – luap.

“ Mana boleh sayang samakan dia dengan Asmah. Anak kita lain,” ujar Azlan. Fazlina berdiri lantas bergerak mendekati Azlan. Punggungnya dilabuhkan dibirai katil. Matanya tajam merenung wajah bulat suaminya.

“ Abang jangan ambil mudah dalam perkara ni tau. Saya tak suka. Saya memang tak suka dia bercampur dengan budak – budak kat luar sana. Saya tak suka,” suaranya mula ditinggikan. Azlan yang masih lagi berada diatas katil diam seribu bahasa. Dia tahu isterinya sudah mula naik angin.

“ Soalnya apa kena mengenanya Asmah dengan anak kita?” soal Azlan. Biar apa pun dia merasakan yang mereka perlu berbincang.

“ Abang ni buta ke apa? Abang pun tahukan apa yang dah jadi pada Asmah? Masih lagi nak tanya?” serang Fazlina yang sememangnya sudah mula berangin.

Fazlina sudah serik dengan apa yang terjadi pada adik perempuannya. Dia tidak mahu bala yang menimpa keluarga ibunya berulang pula dalam keluarganya sendiri. Lebih – lebih lagi pada anaknya. Darah dagingnya sendiri. Dia terlalu sayangkan Nor Hidayah. Dia tidak mahu ada perkara buruk berlaku pada anak gadisnya. Minta dijauhkan.

“ Kerana kawanlah Asmah jadi macam tu. Abang tahukan?” sergah Fazlina lagi.

Azlan diam.

“ Hidup dia musnah sebab kawan – kawan bang. Dia jadi penagih sebab kawan – kawan. Lina tak mahu Dayah ikut macam dia.”

“ Tapi tak kan Dayah pun jadi macam tu,” ujar Azlan dengan suara yang perlahan. Sempat juga dia menjeling kearah isterinya.

“ Segala kemungkinan boleh berlaku bang. Segala kemungkinan dan.... saya tak mahu ianya berlaku lagi. Abang faham tak?” kali ini Fazlina menjegilkan lagi biji matanya.

“ Lina....”

“ Tak ada tapi – tapi lagi bang. Saya buat semua ni demi untuk kebaikan dia. Abang faham tak?” Fazlina sudah bercekak pinggang.

“ Tapi abang rasa Lina dah melampau sangat. Sampaikan budak tu tak berkawan. Nak keluar rumah pun dah tak boleh. Apa nak jadi ni?” Azlan meluahkan rasa tidak puashatinya.

“ Saya tak kira bang. Abang jangan nak mempertikaikan apa yang saya buat. Saya tahulah apa yang terbaik untuk anak saya,” putus Fazlina. Terus dia berbaring dan menarik selimutnya. Membelakangkan suaminya.

JAM menunjukkan kepukul tiga pagi. Nor Hidayah membuka kelopak matanya. Ruang bilik yang suram diperhatikan lama – lama. Selimut yang menutup dadanya diraba dengan tangan.

Ketik!

Nor Hidayah tersentak. Matanya melilau mencari dari mana datangnya bunyi yang baru saja dia dengar.

Ketik!

Gebar tebalnya dilemparkan hingga kehujung kaki. Kepalanya didongakkan. Ruang yang hanya diterangi dengan lampu tidur diperhatikan lagi.

Ketik!

Kini dia pasti yang dia tidak salah dengar lagi. Memang ada bunyi terbit dari dalam kamar tidurnya sendiri. Persoalannya bunyi apa?

Ketik!

Nor Hidayah bangkit dari atas katil. Kakinya terjuntai. Bola matanya terus melinggas mencari dari mana datangnya punca bunyi itu.

Anak gadis itu memerhatikan daun pintu yang tertutup rapat. Mustahil bunyi itu datang dari pintu bilik, gumamnya didalam hati. Lalu dia turun dari katil.

Ketik!

Nor Hidayah memandang kearah tingkap. Dia tahu bunyi yang dia dengar datang dari tingkap biliknya. Tapi apa yang membuatkan bunyi itu terhasil?

Ketik!

Dada Nor Hidayah berdebar – debar. Bulu romanya brdiri tegak dengan tiba – tiba. Perasaannya dijalar dengan rasa seram. Pun begitu pandangannya tidak lepas dari memandang kearah tingkap cermin biliknya. Langsirnya terbuka sedikit. Dari celahan tingkap itu dia hanya dapat melihat suasana gelap diluar. Tanpa dipaksa Nor Hidayah berjalan setapak demi setapak mendekati tingkap biliknya.

Ketik!

Gadis kecil itu tersentak apabila ada batu kecil menyinggahi tingkap cerminnya. Mulutnya terbuka mahu menjerit namun tidak ada suara yang keluar. Wajahnya mula pucat. Meskipun begitu dia tidak melarikan diri. Tingkap didalam kamar tidurnya terus dipandang lagi.

NOR HIDAYAH memandang kearah ibunya yang baru saja meletakkan semangkuk nasi goreng diatas meja. Mulutnya terkunci rapat. Mak Limah pembantu rumahnya masih lagi sibuk mengemas diruang tamu. Begitulah keadaannya sejak dari dulu lagi. Tugas mengemaskan rumah sememangnya diserahkan pada pembantu rumah. Fazlina hanya menyediakan makanan saja didalam rumah. Sejak dari dulu lagi dia tidak membenarkan Mak Limah menyibuk kalau dia memasak. Tugasnya menyediakan hidangan untuk suaminya tetap dia jalankan biar pun dia sesibuk mana sekali pun.

Fazlina meletakkan pula seteko teh diatas meja sambil diperhatikan lagi oleh anaknya, Nor Hidayah. “ Dayah nak makan?” soal ibunya sambil menjeling sekilas.

Nor Hidayah menganggukkan kepalanya.

Fazlina menyendukkan sepinggan nasi goreng lalu dihulurkan pada anak gadisnya. “ Makanlah. Nanti perut tu lapar,” anjur Fazlina sambil menuangkan teh kedalam cawan. Kemudian dia melabuhkan punggung diatas kerusi.

Nor Hidayah menyuapkan nasi kedalam mulut sambil sesekali pandangannya dilemparkan pada ibunya. Dari riak wajahnya ketika itu dia seperti ada sesuatu yang ingin diberitahu pada Fazlina.

“ Kenapa ni?” tegur Fazlina sebaik saja dia ingin mencicip teh didalam cawannya.

Nor Hidayah tidak menjawap.

“ Nasi goreng tu tak sedap ke?” soal Fazlina lagi. Suaranya kedengaran tegas.

Nor Hidayah geleng.

“ Dah tu?” Fazlina mula sangsi dengan kelakuan anak gadisnya nan seorang itu.

Nor Hidayah tetap menguncikan mulutnya. Hatinya berbelah bagi. Ketidak pastian jelas teriak diwajahnya tatkala itu.

“ Dayah ada benda yang nak cakapkan dengan ibu?” kali ini Fazlina bagaikan dapat menangkap apa yang sedang difikirkan oleh gadis kecil bertocang dua itu. Perlahan – lahan Nor Hidayah mengangguk bak belatuk.

Fazlina meletakkan kembali cawannya diatas piring. Lama dia merenung wajah bulat Nor Hidayah. Kemudian dia mendekatkan mukanya pada gadis comel itu.

“ Cakaplah apa yang Dayah nak bagitau ibu,” desak ibunya. Intonasi suaranya kembali tenang. Setenang wajahnya ketika itu.

Untuk beberapa detik anak gadis itu kelihatan teragak – agak. Masih lagi ragu – ragu. Hanya matanya saja yang kelihatan bergerak – gerak meneliti wajah ibunya sendiri.

“ Cakaplah,” pujuk Fazlina lagi. Ada secubit senyum manis terukir dibibirnya.

“ Malam tadi.....,” Nor Hidayah terhenti seketika.

“ Malam tadi, kenapa?”

Belum pun sempat Nor Hidayah menyambung semula kata – katanya Mak Limah muncul di muka pintu.

“ Puan.... depannya saya sudah kemaskan. Saya bersihkan tingkat atas ya?” pinta Mak Limah dengan penuh hormat. Fazlina mengangguk dan tersenyum.

“ Baju kotor tu nanti bawak turun sekali. Basuh,” arah Fazlina seketika kemudian biar pun bayang Mak Limah sudah hilang dari pandangannya. Yang terdengar cuma bunyi tapak kaki wanita itu menginjak tangga batu naik keatas.

Fazlina kembali memandang anaknya. “ Okay.... apa yang yang Dayah nak cakap dengan ibu tadi. Oh.... pasal malam tadi? Kenapa malam tadi?”

“ Dayah cuma nak bagitau ibu yang malam tadi....,” nyata Nor Hidayah tidak berani memberitahu ibunya apa yang dia alami malam tadi ketika orang lain sedang lena.

“ Cakaplah.... kenapa?”

“ Malam tadi Dayah nampak ada budak.”

Fazlina tergamam. Wajah bulat Nor Hidayah yang bulat itu direnung lagi lama – lama. Tidak percaya dengan apa yang baru dia dengar tadi.

“ Ada budak? Dekat mana? Dayah nampak?” Fazlina mendesak. Ada keterujaan bermain disudut hatinya.

“ Dekat tingkap bilik Dayah.”

“ Dekat tingkap?” dahi Fazlina berkerut seribu. “ Siapa? Dayah kenal?”

Nor Hidayah menggeleng. Bibirnya juga dijuihkan.

“ Dayah tak salah tengok?” andaian itu bermain dibibir Fazlina. Takut – takut anak gadisnya itu tersalah pandang.

Nor Hidayah menggeleng. “ Dayah memang nampak ada budak perempuan kat bawah malam tadi.”

Fazlina mengusap rambut anaknya perlahan – lahan. Kemudian pipi gadis kecil itu dicubitnya dengan manja. “ Dahlah tu. Dayah makan. Tak ada apa – apa,” akhirnya Fazlina membuat kesimpulan sendiri. Biar pun anak kecil tidak pandai berbohong namun dia sengaja tidak mahu melayan karenah Nor Hidayah itu. Baginya tidak penting. Dia merasakan yang anak tunggalnya itu memang tersalah pandang malam tadi.

Lagi pun dia sudah melihat sekeliling kawasan rumah yang baru dibeli oleh suaminya. Tidak ada jalan masuk selain dari pintu pagar didepan rumah. Lagi pun rumahnya dikelilingi oleh tembok batu yang agak tinggi. Mustahil ada orang lain menceroboh masuk. Apatahlagi kanak – kanak seusia anaknya.

“ Cepat, habiskan makan nasi tu. Nanti ibu nak kerja lagi,” arah Fazlina sambil mencapai semula cawan tehnya. Lalu dihirup perlahan – lahan sambil memandang kearah Nor Hidayah.

Seperti kelazimannya Nor Hidayah tidak dibenarkan bermain diluar rumah. Lebih – lebih lagi ketika matahari sedang naik. Lalu Fazlina membiarkan anak tunggalnya itu bermain seorang diri didalam kamarnya. Dia sendiri sibuk menguruskan perkerjaannya secara on line didalam kamar ditingkat bawah. Kamar itu memang dijadikan pejabat kecilnya. Mak Limah pula dari tadi tidak henti - henti bekerja.

Didalam bilik tidurnya Nor Hidayah bermain pondok – pondok sendiri. Patung – patung beruang yang dibeli oleh ibunya dijadikan teman sepermainan. Becok mulutnya bercerita tentang itu dan ini.

Ketik!

Nor Hidayah tersentak. Lama dia memandang kearah tingkap yang terbuka luas. Langsir berbunga kecil berwarna pink terbuai lembut disapa angin dari luar. Kemudian matanya beralih pula pada seketul batu kecil yang terdampar diatas lantai.

Dia bangun dan menghampiri batu tersebut. Batu itu dibelek – beleknya dahulu sebelum diambilnya. Sekali lagi dia melihat batu yang ada ditangannya. Dari mana batu ini datang?

Ketik!

Seketul batu lagi melayang masuk dan menghampir – hampir mengenai batang tubuhnya. Nor Hidayah segera berdiri dan berjalan kearah tingkap. Matanya dilorongkan kebawah.

Seorang gadis berambut panjang sedang berdiri diluar sana sambil memerhatikan kearahnya. Secubit senyuman menghiasi bibirnya. Kemudian tangannya diangkat dan dilambai kearah Nor Hidayah. Nor Hidayah tersentak. Siapa gadis kecil itu? Lambaiannya seolah – olah memanggil Nor Hidayah. Tidak lama selepas itu gadis yang masih tidak diketahui namanya itu berlari menuju kearah belakang rumah. Sekali lagi Nor Hidayah tersentak. Kemana dia pergi?

Tanpa menunggu lama lagi Nor Hidayah berlari keluar dari kamar tidur. Terus dia menuruni tangga menuju ketingkat bawah. Jelas bunyi tapak kakinya berlari menginjak lantai. Mak Limah yang sedang membasuh baju di ruang kamar mandi tidak diendahkan. Terus saja dia berlari keluar ikut pintu dapur. Kemudian dia tercanggak – canggak sendiri. Matanya melilau mencari bayang gadis kecil tadi. Namun tidak juga dia melihatnya dimana – mana. Kemana dia pergi? Siapa budak perempuan itu? Nyata dia sendiri tidak mampu menjawapnya.

Kawasan belakang rumahnya diperhatikan lagi. Yang ada cuma sepohon pokok jejawi yang agak besar saiznya. Daunnya merimbun lebat. Dari atas rantingnya ada akar – akar halus yang tumbuh menjulur dan tergantung kebawah. Agak menyeramkan. Daun – daun kering yang gugur dari pokok jejawi itu bertaburan dibawah.Yang lain hanya ditanam dengan pokok – pokok renek. Kawasan disitu berumput. Pendek dan kemas. Perlahan – lahan Nor Hidayah melangkah sambil matanya diliarkan kekiri dan kekanan. Semakin lama dia semakin hampir dengan pokok jejawi ditepi tembok pagar.

Tidak lama kemudian dia terdengar ada bunyi hilaian orang ketawa. Suaranya kedengaran halus dan kecil. Ketawanya pula kedengaran terputus – putus. Nor Hidayah tertegun sendiri. Berdiri tegak bagaikan patung batu. Dadanya mula berdebar – debar. Jari - jemarinya diramasnya kuat – kuat. Begitulah tingkah lakunya bila dia merasa binggung.

“ Siapa tu?” entah kenapa Nor Hidayah berani bertanya. Pun begitu suaranya kedengaran bergetar.

Sapaannya hanya disambut dengan hilai ketawa panjang.

“ Siapa tu? Awak ke tadi?” dari suara yang dia dengar dia pasti suara itu milik suara budak perempuan.

Nor Hidayah terkejut besar apabila mendapati seorang kanak – kanak perempuan yang hampir dengan usianya muncul dari sebalik pokok jejawi. Untuk beberapa detik kedua – dua mereka tergamam. Hanya mata masing – masing bertaut. Mulut pula terkunci rapat.

“ Awak siapa?” soal Nor Hidayah dengan perasaan gementar. Terlintas juga difikirannya bagaimana gadis kecil ini boleh terlepas hingga kesini. Dari mana dia masuk?

“ Saya Farah,” ucap gadis itu sambil tersenyum. “ Nama awak?”

“ Saya.... Nor Hidayah,” sahut gadis bertocang dua itu teragak – agak. Tidak ada huluran tangan sebagai tanda perkenalan. Nor Hidayah tegak seperti patung. Hanya matanya saja yang kelihatan terpejam celik memerhatikan raut wajah Farah. Sepertinya juga, gadis itu berambut panjang dan dilepaskan terurai kebawah. Tubuhnya lebih kecil sedikit dari badan Nor Hidayah. Kulit cerah seakan – akan pucat.

“ Macam mana awak boleh masuk kesini?” soal Nor Hidayah dengan suara yang masih lagi bergetar.

Mendengar pertanyaan itu Farah mengukirkan senyumnya. Sejurus kemudian dia memerhatikan kearah kawasan sekitar. Seakan – akan sedang mengawasi sesuatu. “ Saya selalu datang kesini.”

Nor Hidayah terkejut. Lama dia merenung wajah bujur sirih Farah.

“ Awak selalu kesini?”

Farah angguk lagi. “ Dulu – dulu pun saya pernah tinggal disini. Tapi sekarang tak lagi,” sambung Farah lagi. Kali ini matanya beralih pada rumah bercat putih dua tingkat itu. Ada kesayuan tergambar diriak wajahnya tatkala itu.

“ Saya tak tahu pun,” ulas Nor Hidayah. Mula tertarik dengan rakan barunya itu.

“ Dulu saya memang tinggal didalam rumah ini. Ini dulu rumah ibu bapa saya,” tambah Farah lagi. Kali ini dia berjalan menghampiri bahagian dapur rumah banglo tersebut. Nor Hidayah hanya mengekor dengan anak matanya saja. Tidak pula dia menyangka yang teman barunya itu pernah tinggal disitu.

“ Sekarang awak duduk dimana?” pantas Nor Hidayah bertanya.

Farah berpusing dan menjawap “ Sekarang saya tinggal dibelakang sana.”

Nor Hidayah terus meninjau kebelakang. Namun tembok putih yang agak tinggi membataskan pandangannya. Mungkin ada rumah lain dibelakang rumahnya, fikir gadis itu lagi.

Tiba – tiba Nor Hidayah diterkam dengan perasaannya sendiri. Bagaimana jika ibunya tahu akan kemunculan Farah disini? Mesti dia akan dimarahinya. Dia tahu yang ibunya tidak suka dia berkawan dengan orang lain. Itu memang pantang sejak dari dulu lagi. Biar pun dia tidak tahu kenapa, namun dia sedar tentang itu. Yang boleh menjadi kawannya cuma Mak Limah, pembantu didalam rumahnya sendiri.

“ Awak,” Nor Hidayah memanggil Farah. Gadis yang leka memerhatikan rumah dua tingkat itu berkalih lagi kebelakang.

“ Saya rasa elok kalau awak balik sekarang,” pinta Nor Hidayah dengan berat hati. Sebenarnya dia tidak mahu Farah pergi dari situ. Jauh didalam hatinya dia teringin benar ingin berkawan dengan Farah. Perasaannya memang teruja sekali. Namun bila memikirkan tentang angin ibunya, dia menjadi kecut dengan tiba – tiba. Kalaulah ibunya tahu?

“ Kenapa?” soal Farah.

“ Saya takut ibu saya marah nanti,” jujur Nor Hidayah memberitahu Farah.

Farah diam agak lama.

“ Kenapa dia marah?” tidak lama kemudian Farah bertanya pula.

“ Ibu saya tak suka saya berkawan dengan orang lain,” terang Nor Hidayah dengan nada sayu. Kepalanya ditundukkan sebentar kebawah sebelum merenung semula kearah Farah.

“ Tapi saya memang nak berkawan dengan awak,” ucap Farah jujur. Kata – kata itu membuatkan Nor Hidayah tersentak.

“ Tak boleh,” sahut Nor Hidayah ragu – ragu. Wajah ibunya yang garang terbayang dilayar fikirannya saat itu.

“ Awak takut dengan mak awak?” soal Farah bagaikan mencabar keberaniannya. Nor Hidayah diam lagi. Tidak pasti bagaimana dia mahu menjawap pertanyaan Farah itu. Hatinya terus berbelah bagi. Keliru. Tidak lama kemudian dia menganggukkan kepalanya.

Farah berjalan mendekatinya. Bahu Nor Hidayah disentuhnya dengan lembut. Masing – masing berpandangan sesama sendiri.

“ Awak tak perlu takut,” tenang Farah menuturkan kata – katanya.

Nor Hidayah terkesima.

“ Tapi ibu saya.... garang.”

Farah tersenyum. “ Itu awak jangan bimbang. Dia tak akan tahu.”

Kali ini Nor Hidayah betul – betul terkejut. Bagaiamana? Apa yang membuatkan Farah pasti dengan kata – katanya itu? “ Awak cakap apa ni?”

Farah tiba – tiba memegang tangan dan menarik Nor Hidayah hingga kebawah pokok jejawi. Kini tubuh keduanya dilindungi oleh dedaunan yang merimbun dibawah pohon tersebut. Tidak langsung tersengat dengan terik cahaya matahari yang mula memanjat langit.

“ Kita rahsiakan persahabatan kita ni dari pengetahuan mak awak.”

“ Kalau dia tahu?”

Farah ligat mengeleng. “ Percayalah cakap saya. Ibu awak tak akan tahu. Janji awak jangan beritahu dia yang kita berkawan. Jangan takut,” desak Farah apabila melihat wajah Nor Hidayah ketakutan dan tidak pasti.

“ Kita boleh main bersama. Kalau awak nak, awak datang saja kesini. Nanti saya akan datang. Awak jangan takut, percayalah,” bersunggguh – sungguh benar Farah cuba menyakinkan Nor Hidayah. Lama kemudian barulah Nor Hidayah yakin dan akhirnya menganggukkan kepalanya. Farah tersenyum manis. Kalau ibunya tidak tahu, apa salahnya, fikir gadis comel itu lagi. Dia cuma ingin berkawan. Itu saja. Dan sejak dari hari itu termeterailah janji diantara Nor Hidayah dan Farah. Rasmi dia sudah punya rakan sepermainan. Hatinya girang tidak terperi.

Dan dari sejak hari itu Nor Hidayah tidak lagi bermain seorang diri. Seperti yang diberitahu apabila dia menginginkan Farah dia hanya perlu berada dibawah pohon jejawi dibelakang rumah. Farah akan muncul tidak lama kemudian. Kadang – kadang kehadiran temannya itu menimbulkan juga rasa curiga didalam hati Nor Hidayah. Lalu dia bertanya pada Farah suatu hari.

“ Apa yang hendak dihairankan. Saya selalu nampak awak pergi ke pokok tu. Dari situ saya tahulah yang awak nak berjumpa dengan saya. Saya selalu datangkan?” itu yang dijawap oleh Farah. Dan seterusnya Nor Hidayah tidak bertanya lagi. Hari – hari yang dilaluinya dengan penuh gembira. Kini dia tidak lagi berseorangan.

Berlainan pula dengan Fazlina. Sedikit sebanyak sejak akhir – akhir ini dia merasa ada sesuatu yang berlaku pada anak gadisnya itu. Meskipun begitu dek kerana sibuk dengan perniagaan on linenya membuatkan dia terpaksa melupakan anak gadisnya untuk seketika. Ada masanya kadang – kadang dia akan memerhatikan Nor Hidayah yang seakan – akan buat tidak peduli pada dirinya lagi.

Masalah itu disuarakan juga pada suaminya pada satu malam. “ Lain benar saya tengokkan Dayah tu bang,” adu Fazlina pada Azlan. Kedua – duanya baru saja masuk kedalam kamar. Bersiap - siap untuk tidur.

“ Apa yang lainnya?” soal suaminya.

“ Dia tak macam selalu. Nampak macam dia leka dengan sesuatu.”

“ Apa maksud awak ni Lina?”

Fazlina terdiam. Tidak tahu apa yang patut dia cakapkan pada suaminya.

“ Tapi dia memang nampak lainlah bang sejak kebelakangan ni. Saya pun dia tak hiraukan. Kadang – kadang tu saya ajak dia makan tengahari pun dah susah. Kejap – kejap dia keluar, kejap – kejap dia keluar,” luah Fazlina lagi dengan wajah berkerut seribu.

“ Dia ada berkawan dengan budak – budak luar tak?”

Kata – kata suaminya itu membuatkan Fazlina terkejut. Sepantas kilat dia berkalih pada suaminya. Renungannya cukup tajam dan menakutkan.

“ Mana ada bang?” balas Fazlina dengan air muka yang terus mencuka. “ Mana ada dia berkawan dengan budak- budak luar.”

Pun begitu hatinya mula dilanda dengan rasa was – was. Kata – kata suaminya mula menjadi racun dalam lubuk fikirannya. Biar pun dia cuba menolaknya namun dia akui kata – kata itu membuatkan dia terpenjara sendiri. Bagaimana jika apa yang diucapkan oleh suaminya itu benar? Nor Hidayah secara senyap – senyap berkawan dengan budak – budak luar? Apa yang perlu dia buat? Fazlina mula merancang sesuatu. Mungkin ada eloknya jika dia mengintip pergerakan anaknya selepas ini.

Itulah yang apa yang dilakukan oleh Fazlina terhadap anaknya itu. Usai saja bersarapan pagi dia sengaja berpura – pura meninggalkan anaknya dan masuk kedalam bilik kerjanya ditingkat bawah. Sepuluh minit kemudian dia keluar dan bergerak mencari Nor Hidayah. Dia mencari anak gadisnya ditingkat bawah. Hampa. Bayang Nor Hidayah tidak kelihatan. Hatinya mula panas. Kemudian dia beralih pula ke tingkat atas. Hasilnya sama juga. Langsung dia tidak menemui Nor Hidayah disitu. Bilik tidurnya juga diperiksa. Selalunya Nor Hidayah akan bermain pondok – pondok didalam kamar tidur apabila bosan. Namun dia hampa sebaik saja mendapati kamar tidur si kecil itu kosong.

Dengan perasaan marah dia turun semula ketingkat bawah. Kemudian dia masuk ke dapur dan menemui Mak Limah yang sibuk membasuh dibilik mandi.

“ Mak Limah?” dia memanggil pembantu rumahnya.

Tergesa – gesa wanita tua itu keluar dari bilik mandi dan berdiri didepan Fazlina.

“ Mak Limah ada nampak anak saya tak?”

Mak Limah angguk. Ada sedikit perasaan lega didalam hati Fazlina.

“ Dia ada dekat mana?”

“ Dia keluar tadi.”

“ Kemana?”

“ Tadi saya nampak dia keluar ikut pintu dapur,” jujur Mak Limah memberitahu majikannya.

Fazlina tidak bersuara lagi. Terus dia keluar melalui pintu dapur. Dari tempat dia berdiri dia melihat Nor Hidayah sedang duduk bermain dengan seorang lagi anak kecil yang hampir seusia dengannya. Fazlina menjadi marah. Tidak pula dia tahu kebelakangan ini anak gadisnya itu curi – curi berkawan dengan orang luar. Soalnya bagaimana mereka bertemu. Anak siapa yang sedang bermain dengan anaknya? Bagaimana dengan latar belakangnya? Dari keluarga yang baik – baikkah? Segera wajah adik perempuannya Asmah tergambar dilayar fikirannya.

Kerana hasutan dan bercampur dengan kawan- kawanlah membuatkan hidup Asmah hancur dan tidak berguna lagi. Dia sudah serik. Asmah kini menjadi penagih dadah. Tidak lagi pulang ke rumah. Entah dimana dia merempat, Fazlina tidak tahu. Yang dia tahu dia sudah kehilangan seorang adik yang amat dia kasihi sebelum ini. Semuanya kerana kawan – kawan! Sejak mengetahui apa yang terjadi pada diri Asmah, Fazlina mula menjadi trauma. Sebolehnya dia tidak mahu Nor Hidayah mengalami nasib yang sama seperti mana adik perempuannya. Dia sudah serik. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku. Dia tidak mahu kehilangan Nor Hidayah pula selepas dia kehilangan Asmah.

“ Dayah!”

Kedua – dua anak kecil yang leka bermain itu menoleh. Nor Hidayah terkejut besar melihat ibunya sedang bercekak pinggang dimuka pintu dapur.

“ Siapa tu?” sempat Farah berbisik pada Nor Hidayah.

Nor Hidayah tidak menjawap. Mukanya pucat. Nafasnya mula terasa sesak. Dia takut dan kaget. Apatahlagi melihat muka garang ibunya.

“ Dayah!” suara Fazlina melengking memecah keheningan pagi itu.

Fazlina mendekati keduanya. Nor Hidayah menundukkan kepalanya kebawah. Farah pula masih lagi memandang kearah ibu Nor Hidayah dengan pandangan yang tidak berkerlip.

“ Kamu buat apa dekat sini, Dayah!?” tengking Fazlina.

Nor Hidayah kecut perut. Manakala Farah pula diam. Masih lagi memerhatikan kearah Fazlina.

“ Cakap dengan ibu. Apa yang kamu buat dekat sini hah!” suara Fazlina makin kuat. Nor Hidayah membisu. Kepalanya terus ditundukkan. Tidak berani langsung mahu menentang muka ibunya.

“ Heh! Kamu ni pulak siapa hah!?” kini kemarahannya ditujukan pada Farah pula. Anak kecil itu terpingga – pingga sendiri.

“ Kamu dah pekak ke? Aku tanya ni!” sekali lagi Fazlina menengking. Perasaan marahnya bagaikan tidak dapat ditahan - tahan lagi.

Farah bingkas bangun dan berlari meninggalkan Nor Hidayah dan Fazlina. Fazlina yang terkejut dengan sikap Farah cuba mengejar dari belakang. Namun sayang langkah Farah lebih laju darinya. Ketika dia sampai didepan banglo dilihatnya bayang Farah sudah hilang. Dia tercunggap – cunggap sendiri. Kemana budak perempuan tu pergi? Tak kan sekejap saja sudah lesap? Fazlina merasa tidak puashati. Matanya liar mencari bayang Farah namun tidak kelihatan dimana – mana. Fazlina merapati pintu pagar yang tertutup rapat. Dia menjengah keluar. Farah sudah hilang! Fazlina melangkah masuk sambil terus membebel dan merungut.

Hari itu juga Nor Hidayah dimarahi oleh Fazlina dengan semahunya. Tidak cukup setakat memarahi tubuh Nor Hidayah juga dihinggapi dengan rotan beberapa kali. Nor Hidayah yang meraung kesakitan tidak mampu melembutkan hati ibunya yang sudah terbakar. Libasan demi libasan rotan hinggap dilengan, kaki dan belakang badannya.

“ Kamu memang degil ya Dayah!” amuk Fazlina seolah – olah kerasukan dengan perasaan amarahnya.

“ Tolong mak.... Dayah tak buat lagi!” berterusan juga Nor Hidayah memohon ampun dari ibunya.

Setelah puas melepaskan kemarahannya Fazlina berhenti. Nafasnya tercunggap – cunggap. Nor Hidayah terus jatuh kelantai. Sayang, keadaannya langsung tidak mendapat simpati dari ibunya. Sebaliknya Fazlina terus memandang kearah gadis comel itu dengan pandangan garang. Dadanya kelihatan berombak menahan rasa marah yang masih lagi bersisa.

Nor Hidayah pula meraba – raba bahagian yang sakit. Lengan, kaki dan belakangnya badannya terasa pedih dan bisa. Sesekali dia menjeling juga pada rotan yang masih lagi dipegang oleh ibunya. Takut jika angin ibunya naik lagi, dia akan menerima akibatnya lagi.

“ Kamu jangan keluar dari bilik ni. Sampai ibu panggil. Faham!” tengking Fazlina tiba – tiba. Nor Hidayah yang kecut perut sekadar mengangguk. Tangisan dan sendunya masih lagi kedengaran. Sayu. Fazlina segera keluar dan menghempaskan daun pintu sekuat mungkin. Marahnya masih lagi belum reda. Tinggalkan Nor Hidayah keseorangan sambil ditemani dengan kesakitan yang dirasakan diseluruh badannya. Air matanya makin lebat mengalir.

MALAM itu usai makan malam Nor Hidayah terus berkurung didalam kamarnya. Fazlina langsung tidak membenarkan anaknya itu keluar menonton TV seperti biasa. Hanya Mak Limah saja yang sempat menjenguk kanak – kanak itu. Simpatinya datang bertimpa – timpa.

“ Sudah.... jangan banyak bergerak. Nanti badan tu sakit lagi. Tidurlah. Jangan bantah cakap ibu, tahu,” pesan Mak Limah sebelum meninggalkan kamar tidur si kecil itu. Nor Hidayah hanya mengangguk. Perasaannya dilanda kesedihan yang amat sangat. Kenapa dia tidak dibenarkan berkawan dengan orang lain? Apa salahnya? Lalu dalam sendu dan tangis akhirnya si comel itu terlena.

JAM 3 pagi Nor Hidayah membuka kelopak matanya. Terpisat – pisat dia sendiri diatas katil. Ruang kamar itu hanya diterangi dengan cahaya lampu tidur yang samar – samar. Sejenak dia menoleh kekiri dan kekanan.

Ketik!

Nor Hidayah menoleh ketingkap. Dia tahu benar akan bunyi batu dibaling ketingkap. Farah? Apa yang dia buat malam – malam begini? Nor Hidayah merangkak turun dari katil. Terus dia mendekati tingkap.

Benar seperti yang dia jangka. Farah ada diluar sana. Melambai tangan kearahnya. Nor Hidayah merasa pelik. Kenapa gadis kecil itu tidak tidur lagi? Kenapa dia ada disini?

“ Dayah,” sayup – sayup kedengaran suara Farah memanggilnya dari luar. Tangannya terus melambai – lambai kearah Nor Hidayah. Seolah – olah mahu mengajak dia turun.

Nor Hidayah pula terus kaku ditepi tingkap. Masih lagi memandang kearah Farah dengan riak hairan.

“ Dayah.... sinilah,” panggil Farah lagi.

Seperti dirasuk, Nor Hidayah keluar dari dalam kamar. Berlari dia menuruni tangga. Secara senyap – senyap dia keluar ikut pintu belakang. Tanpa berlenggah lagi dia menemui Farah yang sedang menunggunya.

“ Dayah,” tegur Farah. Pantas dia menarik lengan gadis itu.

Nor Hidayah mengaduh kesakitan. Segera dia mengurut lengannya yang terdapat kesan calar akibat dirotan oleh ibunya siang tadi.

“ Sakit?” soal Farah dengan rasa simpati.

Nor Hidayah tidak menjawap sebaliknya hanya menganggukkan kepalanya saja.

“ Ibu awak pukul ye?”

Sekali lagi Nor Hidayah mengangguk.

“ Teruk... kan,” sambung Farah.

Angguk lagi.

Farah tersenyum pahit. Jari – jemari Nor Hidayah dipegangnya dengan penuh mesra. Mereka saling berpandangan sesama sendiri.

“ Saya tahu perasaan awak, Dayah,” ucap Farah dengan lembut. Senyumnya masih menghiasi bibir.

“ Mana awak tahu?” suara Nor Hidayah kedengaran sayu.

Senyum dibibir Farah makin panjang.

“ Mestilah saya tahu, sebab saya sendiri pernah kena pukul,” sahut Farah.

Nor Hidayah terkesima. Lama dia memandang kearah Farah. Tidak percaya.

“ Awak pun pernah kena pukul?”

Giliran Farah pula mengangguk. Senyum dibibirnya tidak mati.

“ Sama macam awak. Saya pun pernah kena dera. Saya tahu sakitnya macam mana.”

Nor Hidayah diam.

“ Tiap - tiap hari saya kena pukul. Habis badan saya bengkak – bengkak. Luka sana, luka sini. Tapi tak ada orang yang kesian tengok saya. Makin kena pukul lagi adalah,” adu Farah. Namun air mukanya kelihatan tenang saja.

“ Awak rasa ibu awak sayangkan awak?” soal Farah dengan tiba – tiba. Nor Hidayah kaku lagi. Dia tidak pasti kenapa sahabatnya itu bertanyakan soalan seperti itu.

“ Saya rasa dia tak sayangkan awak. Awak sama macam saya.”

“ Maksud awak?” Nor Hidayah perlukan penjelasan dari teman baiknya itu.

“ Kalau dia sayangkan awak, kenapa dia pukul awak macam ni. Sama macam saya. Ibu saya tak sayangkan saya. Itu sebabnya dia selalu pukul dan dera saya. Kadang – kadang dia tak bagi saya makan. Seharian saya lapar. Dia tak pernah kesiankan saya,” luah Farah. Pengalamannya yang lalu diterangkan pada Nor Hidayah.

“ Mak saya memang tak sukakan saya,” sambung Farah lagi. Kepalanya ditundukkan. Namun tangan Nor Hidayah tidak dilepaskan.

“ Mungkin betul apa yang awak cakapkan,” Nor Hidayah mula bersuara. Angin malam yang bertiup kuat membuatkan rambutnya yang tidak ditocang mengerbang. Baju tidur yang dipakainya juga mengeletar kuat. Daun kering dari pokok ditepi pagar berguguran.

“ Ibu saya tak sayangkan saya. Tiap hari dia paksa saya duduk dalam rumah. Dia tak suka saya berkawan dengan sesiapa pun, termasuk awak. Tengok siang tadi bila dia dapat tahu terus dia pukul saya sampai jadi macam ni,” Nor Hidayah menunjukkan lengannya yang masih lagi berbekas akibat dipukul dengan rotan. “ Betul cakap awak, ibu saya memang tak sayangkan saya lagi,” lanjut Nor Hidayah merintih sedih.

Farah mengukir senyumnya.

“ Awak,” Farah menyeru lembut.

Nor Hidayah mendongak perlahan.

“ Mulai sekarang awak jangan takut ye,” ujar Farah dengan nada memujuk.

“ Kenapa awak cakap macam tu?” ketidak pastian membuatkan Nor Hidayah bertanya.

“ Kalau awak nak saya akan temankan awak untuk selama – lamanya,” ucap Farah dengan nada mengharap. Seulas senyum manis tergaris dibibirnya yang kelihatan agak pucat.

Nor Hidayah tidak faham.

Seperti mengerti dengan reaksi Nor Hidayah, Farah tersenyum lagi.

“ Mulai sekarang tak ada sesiapa pun boleh sakiti awak. Termasuk ibu awak. Itu pun kalau awak mahu,” Farah seolah – olah membuat tawaran pada teman barunya itu.

Nor Hidayah melopong. Tidak faham dengan apa yang baru dia dengar.

“ Saya tak akan benarkan sesiapa pukul dan dera awak lagi. Termasuk ibu awak. Dia tidak boleh cuit awak walau pun sedikit. Kita boleh bermain sama – sama selalu. Awak tak akan kehilangan saya lagi. Malah awak akan punya ramai kawan nanti,” kata Farah sambil terus tersenyum manis.

“ Tapi....,” Farah tidak meneruskan ucapannya.

“ Tapi apa?” soal Nor Hidayah. Hatinya mula tertarik. Memang dia sudah serik dipukul dan dikurung didalam rumah. Dia ingin berteman. Dia ingin berkawan. Dia tidak mahu main seorang diri sambil ditemani dengan patung – patung kaku yang ada didalam kamar tidurnya. Dia sudah bosan. Dia perlukan kawan yang boleh berinteraksi dengannya. Yang boleh berkata – kata dengannya. Dia mahu hidup dalam realiti. Bukan dalam alam mimpi.

“ Kalau awak nak, ada syaratnya,” sambung Farah lagi. Menanti reaksi rakannya itu.

“ Apa syaratnya.”

“ Awak mesti ikut saya.”

“ Ikut awak. Kemana?”

“ Ke tempat saya. Sana ada ramai kawan yang menanti awak. Awak boleh berkawan dengan sesiapa saja yang awak suka. Tak ada sesiapa yang boleh ganggu kita lagi,” senyum dibibir Farah makin mekar. Menambahkan lagi keterujaan dihati Nor Hidayah.

“ Tempat awak? Tapi tempat awak tu dekat mana? Jauh tak?” soal Nor Hidayah. Tidak menghiraukan akan kedingin malam yang makin kuat mencengkam. Rambutnya yang panjang terus menari – nari dipukul angin yang datang.

Mendengar pertanyaan itu Farah mengekeh ketawa. “ Tak jauh sangat. Di belakang sana tu,” telunjuk Farah menunding kearah belakang rumah Nor Hidayah.

“ Awak nak ikut saya?” pelawa Farah lagi. Senyumnya langsung tidak lengkang dari bibirnya.

“ Nanti.... kalau ibu saya tahu macam mana? Tentu dia marah lagi,” Nor Hidayah merasa bimbang. Bekas rotan yang ada pada tubuhnya mengingatkan dia akan ibunya.

Farah ketawa sambil menggeleng – gelengkan kepalanya. “ Awak tak perlu takut. Ibu awak tak akan tahu sampai bila – bila. Dia tak akan ganggu awak lagi. Awak boleh bebas. Bukan kata hendak pukul hendak dekat dengan awak pun tak boleh. Sebab dia tak tahu pun,” sahut Farah lagi. Nor Hidayah termenung agak lama.

“ Betul ke?”

Farah mengangguk. Tangan Nor Hidayah diramasnya makin kuat. Cuba menyakinkan temannya itu.

“ Betul ke ibu saya tak akan pukul saya lagi?”

Sekali lagu Farah mengangguk. “ Percayalah cakap saya,” senyum dibibir Farah kelihatan makin manis.

Akhirnya Nor Hidayah menganggukkan kepalanya tanda bersetuju.

“ Mari.... kawan – kawan kita yang lain dah lama tunggu awak,” lalu tangan Nor Hidayah ditarik. Nor Hidayah pula mengekori saja arah yang dibawa oleh Farah.

Mereka melangkah menuju kearah pokok jejawi dibelakang rumah. Apa yang dilihat oleh Nor Hidayah ketika itu amat memeranjatkannya. Lidahnya kelu. Jantungnya berdegup kencang. Matanya juga terbeliak besar. Sungguh dia tidak menyangka dengan apa yang dia lihat ketika itu.

Tidak ada lagi pagar tembok yang berwarna putih memagari kawasan belakang rumahnya. Pokok jejawi masih berada ditempatnya. Namun kawasan disekitar pokok itu kini bertukar dengan satu kawasan yang amat lapang. Luas mata memandang. Ramai kanak – kanak yang hampir seusia dengannya sedang bermain sesama sendiri. Sesekali gelak ketawa mereka mencubit cuping telinganya. Pakaian mereka juga amat cantik dan menarik perhatian. Yang dia pasti setiap riak wajah mereka mengambarkan yang mereka terlalu gembira. Seolah – olah tidak ada lagi apa yang merunsingkan mereka. Mereka saling bekerjaran sesama sendiri sambil bergelak ketawa.

“ Siapa dia orang ni?” soal Nor Hidayah sambil memandang kearah Farah.

“ Itulah kawan – kawan kita. Tengok dia seronok bermain. Awak pun boleh ikut serta,” pelawa Farah dengan wajah yang manis.

“ Mari....,” tangan Nor Hidayah ditarik lembut lagi. Perlahan – lahan Nor Hidayah melangkah. Diwaktu yang sama tubuhnya mula pudar sedikit demi sedikit ditelan kegelapan malam dan akhirnya menghilang. Nor Hidayah tidak memperdulikan tentang ibu dan ayahnya lagi. Apa yang terhidang didepan matanya lebih menarik perhatiannya. Dia ingin berkawan dan bergembira. Itu saja. Sejak dari itu Nor Hidayah tidak pulang lagi ke rumah. Dia sudah melangkah masuk ke alam lain. Fazlina yang kehilangan anaknya meracau seperti orang gila. Kehilangan anaknya itu masih lagi tidak berjawap hingga kesaat ini. Biar sedaya-upaya dia menjaga dan mengawal anaknya selama ini, namun apa yang berlaku tidak mampu ditolaknya dengan kudrat yang ada.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.