Mak Temah memerhati sahaja tingkahlaku
anak perempuanya June yang sedang leka membaca. Duduk tenang macam tidak
ada apa yang perlu dibimbangkan. Berkerut dahi Mak Temah. Berita
yang disampaikan oleh kawannya sebentar tadi memang memeranjatkan.
Siapa sangka menantunya yang nampak baik dan tenang itu, diam-diam
berkahwin lagi. Paling memeningkan anak perempuannya boleh duduk santai
macam tiada apa yang berlaku. Semakin berserabut fikiran Mak Temah.
Kalaulah laki dia yang berkahwin sudah tentu dia buka langkah seribu.
Menghalang atau apa sahaja yang mampu. Tidak mungkin dan tidak akan
dia membenarkan perkara itu berlaku. Anak dia perempuan, dia juga
perempuan. Takkan tidak ada perasaan cemburu di hati atau sakit di hati.
Pelik memang pelik. Mak Temah duduk di sebelah anaknya. Dia
memerhatikan sahaja wajah bersahaja June.
“Kau relax je Jun?” Tanya emaknya. Dahi June berkedut.
“Kenapa mak?” Soal June kembali
“Laki kau dah kahwin lagi, kau boleh duduk santai-santai?” Lengking suara Mak Temah
“Ala mak ni, kahwin je, bukan ada apa pun.” June tersenyum.
“Eh! Budak ni, kita risau bagai nak ghak, dia boleh
buat tak faham je.” Mak Temah mencekak pinggang. Hairan dia dengan
sikap anak perempuannya yang seorang ni. Suami kahwin lagi, dia boleh
buat tak tahu.
“Yang mak risau kenapa? Suami saya yang nikah lagi, bukannya ayah.” June menjeling. Dia tersenyum.
“June! Kalau laki nikah lagi, orang akan kata kau tak pandai layan… tak malu ke?”
“Nak malu apanya? Kalau laki June buat maksiat ke?
Kena tangkap berdua-duaan di hotel murah dengan perempuan lain ke?
Baru June malu mak. Ini kahwin secara sah, biarlah. Lagi pun
lelakikan boleh kahwin lebih dari satu. Suami saya mampu, mak.” June
tersenyum. Mak Temah menggelengkan kepala. Macam ini punya perempuan
pun ada, detik hati kecil Mak Temah.
June sibuk mengemas rumah. Bilik tetamu dikemas
cantik. Suaminya baru sahaja telefon. Sejam dua lagi mereka akan
sampai di rumah. June sibuk pula di dapur. Menu kesukaan suaminya
disediakan. Sambal Udang dengan Petai, Ikan Terubuk Bakar, Air Asam,
Sayur Kangkung Goreng Belacan dan Masak Lemak Cili Api Ikan Baung. Dia
menelan air liur. Sedapnya menu, detik hati kecilnya. Eee! Sendiri
masak, sendiri puji. Tanda-tanda perut lapar sebenarnya tu. June
ketawa kecil. Dia berlari ke ruang tamu apabila sahaja terdengar bunyi
hon kereta. Daun pintu dibuka luas. Bibirnya menguntum senyuman
selebar-lebarnya. Berdiri di muka pintu bagaikan penyambut tetamu,
menunggu kehadiran tetamu untuk ‘check in’.
Johan melangkah keluar dari perut kereta. Memberi
senyuman selebar-lebarnya pada isteri pertama yang sedia menunggu. Di
sebelah seorang perempuan cantik, jelita menawan melangkah keluar.
Turut tersenyum manis. June menerpa mendekati si jelita. Saling
berpelukan.
“Tahniah, selamat pengantin baru." Semakin lebar senyuman June.
“Terima kasih kembali kerana sudi menerima saya sebagai madu akak.” Kata si manis, senyuman masih bersisa di bibir.
"Okey," June menarik tangan si manis.
“Jomlah masuk,” pelawa June.
“Eh! Lupa nak tanya… siapa nama?” June memandang si
jelita. Madu sendiri tidak tahu nama. June ketawa dalam hati. Nampak
sangat dia tidak ambil tahu. Nanti-nanti kenal jugakan.
“Juita,” jawab si jelita masih malu-malu. Mereka
berjalan seiringan melangkah masuk ke dalam rumah. Juita dan Johan
duduk di sofa menghilangkan lelah.
"Eh! sama je huruf depan nama kita ya, June, Johan dan Juita. Memang
dah jodoh agaknya ya!" June tersenyum riang. Mereka saling
berpandangan dan ketawa. Juita gembira kerana madunya amat mesra dan
baik. Tidak pula marah-marah. Memang benarkan kata suaminya, isteri
pertama memberi izin untuk suami dia bernikah lagi.
“Terima kasihlah sudi berkahwin dengan suami akak.”
June duduk mengadap pengantin baru. Juita tersenyum lebar.
“Saya patut terima kasih kerana akak benarkan suami akak kahwin dengan saya,” kata Juita.
“Ala! Biasalah, sekurang-kurangnya akak ada kawan,” June ketawa. Juita turut ketawa.
"Tak
sangka akak baik, susah nak dapat madu macam akak. Terima kasih sekali
lagi ya, kak," puji Juita. June terus tersenyum sambil memandang wajah
suaminya yang turut menyengih di sebelah isteri barunya.
“Lupa nak bagi tahu, Abang Johan kita ni mati pucuk
dan mandul.” June ketawa lagi. Kali ini berdekah-dekah. Juita
terlopong mendengarnya. Johan turut tersenyum dan menganggukkan kepala.
June bingkas bangun dan mendekati madunya.
“Mati pucuk? Mandul? Habis tu kenapa kahwin lagi?”
“Nak cari kawan untuk akak. Teman akak pergi
shopping, tolong akak kemas rumah. Bantu akak memasak, layan akak
bersembang” semakin lebar
senyuman June. Johan turut tersenyum. Juita rasa nak pengsan. Apakah
dia salah dengar? Wajah suami dan madunya dipandang silih berganti
seperti tidak percaya sahaja. June menyengih. Johan menyengih.
“Sayang madu akak,” kata June sambil memeluk madunya.