Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Jangan Ganggu Lenaku, Maduku
Jangan Ganggu Lenaku, Maduku
SITI ROZILAH
7/4/2013 00:38:55
5,407
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Tajuk Cerpen: JANGAN GANGGU LENAKU, MADUKU...

SUDAH berminggu-minggu Dijah tidak dapat tidur lena. Sekadar tidur-tidur ayam saja. Malah, mungkin ayam pun dapat tidur lebih lena daripada Dijah. Bukan sebab rumah Dijah ada kepinding. Bukan! Bukan juga sebab tilam di bilik tidur Dijah sudah nipis. Bukan! Untuk makluman anda semua, rumah Dijah tak ada kepinding. Untuk pengetahuan ramai, tilam di bilik tidur Dijah jenis Crown, Summerland yang suami Dijah beli dengan harga RM800 sebuah. Bukan ‘koman-koman’ punya tilam, beb!

Kalau rumah Dijah tak ada kepinding dan Dijah tidur di atas tilam empuk, kenapa atau siapakah agaknya yang telah mengganggu lena Dijah?

“Hah, Dijah... kenapa kepala dah berkoyok tu?” tegur Mak Temah, ketika Dijah menapak ke rumah emaknya itu yang terletak lebih kurang 100 meter sahaja dari rumah Dijah.

“Dijah pening kepalalah, mak. Malam tadi tak boleh lelapkan mata.”

“Tak boleh tidur lagi?” soal Mak Temah. “Ala... Dijah, kau izinkanlah aje. Buat apa kau nak fikir panjang-panjang? Nanti kepala kau jugak yang botak. Dulu masa Encik Abangku Romantik nak bernikah dengan perempuan tu, kau tak halang pun. Sekarang ni pulak kau banyak hal. Izinkan aje, Dijah oi!”

Dijah mengeluh. Berat. Dia malas hendak bertekak dengan Mak Temah. Dia tahu emaknya sudah bersekongkol dengan suaminya. Entah apa yang digula-gulakan Encik Abangku Romantik pada emak agaknya, dia bermonolog.

Dia menghempaskan punggungnya yang padat itu di atas tangga batu yang paling bawah. Dia termenung lagi di situ. Mak Temah yang sudah kehabisan air liur menasihatinya, mengambil keputusan untuk meneruskan tugasnya menyapu sampah yang terhenti seketika tadi.

Dijah menopang dagu. Memori lalu kembali semula ke ruang ingatannya.

“Kat mana abang kenal si Vee tu?” soalnya dengan hati yang mangkak ketika pertama kali Encik Abangku Romantik menyuarakan hasrat hatinya untuk meminang seorang perempuan. Encik Abangku Romantik yang sedang mabuk kepayang itu tersengih-sengih bagai kerang busuk. Naik meluat Dijah memandangnya.

“Abang kenal Vee secara tak sengaja. Masa tu abang sedang berjalan di kaki lima kedai dan jengjengjeng... abang terpandangkan Vee untuk pertama kalinya. Mata kami bertentangan. Lidah jadi kelu, macam orang bisu. Abang terus jatuh cinta untuk kali yang kedua. Entahlah Dijah, dah memang jodoh kami termaktub sejak azali agaknya. Dijah redhakan ajelah ye.”

Dijah tergeleng-geleng. Berat hatinya hendak meredhakan. Dia tidak sanggup berkongsi kasih. Dia tidak sanggup dimadukan.

“Janganlah macam tu, Dijah. Abang janji... abang akan berlaku adil pada Dijah dan juga Vee. Abang janji!” Encik Abangku Romantik merayu-rayu. Sebagai seorang isteri, tersentuh juga hati Dijah tatkala melihat suaminya merayu-rayu sebegitu rupa. Hebat betul penangan si Vee ni.

“Bang, kita ni manalah mampu nak menambah bilangan ahli keluarga. Sekarang ni pun semput.” Dijah cuba berdiplomasi dengan niat agar Encik Abangku Romantik melupakan hasratnya untuk membawa Vee dalam keluarga mereka.

“Tu Dijah jangan risau ye, sayang...”

Pergh! Sayang, beb! Hendak terkentut Dijah mendengar Encik Abangku Romantik menuturkan kata-kata sayang di depannya, sedangkan perkataan itu sudah berkurun rasanya luput daripada rumah tangga mereka. Dan, pada petang itu... ketika Encik Abangku Romantik bersungguh-sungguh menyatakan isi hatinya untuk masuk meminang Vee, perkataan ‘sayang’ yang hanya disebut di zaman prasejarah itu kini muncul lagi dalam hidup mereka. Cair sekejap hati Dijah.

“Lagipun Vee tu mandul. Jadi kita tak perlu risau pasal anak.” Sambung Encik Abangku Romantik membuatkan Dijah yang sedang menyisip kopi pekat itu hampir-hampir sahaja tertelan serdak kopi.

“Kalau Dijah tak bagi jugak?”

“Abang tak peduli. Abang dah minta cara baik dengan Dijah. Kalau Dijah tak bagi, abang tetap jugak nak kahwin dengan Vee. Abang ni dah mabuk kepayang, Dijah. Mandi tak basah, tidur tak lena. Asyik teringatkan Vee aje. Tolonglah, Dijah!” Encik Abangku Romantik tetap bertegas.

Dijah mengurut-ngurut dada. Sampai begitu sekali angau suamiku ini. Hatinya menggerutu.

“Kalau abang dah angau sangat ke si Vee tu, temukan Dijah dengan dia.” Dijah mula buat syarat.

“Okey, pagi esok abang temukan Dijah dengan Vee.” Sahut Encik Abangku Romantik dengan berani.

Keesokan paginya mereka ke lokasi yang telah ditentukan untuk bertemu dengan Vee. Di pertemuan pertama itu, Vee dan Dijah saling pandang-memandang dan nilai-menilai. Tiada sepatah perkataan pun terluah dari bibir mereka berdua.

Bentuk tubuh Vee memang ramping, macam kerengga. Mungkin sebab tulah suami aku terpikat, bisik hatinya sambil membandingkan tubuh Vee dengan tubuhnya yang sudah bertambah beberapa kilo di sana sini. Akhirnya, dalam keadaan separuh rela dia mengizinkan saja Vee dibawa masuk ke dalam keluarga mereka sebagai isteri kedua suaminya. Selepas kahwin, Vee tinggal berhampiran dengan rumah mereka.

“Kenapa kau benarkan suami kau nikah satu lagi, Dijah?” soal Mona, kawan baiknya.

“Aku nak rebut payung emas kat akhirat nanti,” sahut Dijah perlahan. Realitinya hanya dia yang tahu. Bukan payung emas yang dia dapat, tetapi barang-barang kemasnya pula yang keluar masuk pajak gadai semata-mata kerana Vee.

Bayangkan, hantaran kahwin Vee sahaja beberapa kali ganda lebih tinggi daripada hantaran kahwin yang Dijah terima daripada Encik Abangku Romantik dahulu. Encik Abangku Romantik pula terlalu memanjakan Vee. Sakit sikit saja Encik Abangku Romantik akan menghantar Vee untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta yang sudah tentu mahal bayarannya. Sedangkan kalau Dijah ataupun anak mereka, Firdaus, yang sakit Encik Abangku Romantik hanya menyuruh mereka berdua menapak ke klinik 1Malaysia saja. Murah, bayar RM1 tapi dapat ubat segala bagai, kata Encik Abangku Romantik selalu.

Di manakah keadilan yang dijanjikan oleh Encik Abangku Romantik sebelum menikahi Vee dulu? Hai, jantan.... jantan! Dasar cepat lupa janji. Itu yang membuatkan Dijah makan hati.

Anak tunggal mereka, Firdaus juga sudah pandai mengkritik ayahnya. Kata Firdaus, “...mak, ayah tu dah malas nak bawa kita jalan-jalan macam dulu. Dia asyik bawa Mak Cik Vee aje jalan-jalan.” Adu Firdaus. Apa yang Dijah mampu katakan selain daripada mengeluh.

“Eh, bang... nak ke mana tu?”

“Nak keluar kejap. Nak panaskan enjin.” Encik Abangku Romantik menyahut setiap kali selepas makan malam.

Heemmph... nak panaskan enjin? Hai, beruntungnya kau Vee... hari-hari Encik Abangku Romantik panaskan enjin kau, sedangkan enjin aku ni.... Heeeiii.... sabar ajelah! Dijah merungut-rungut dalam hati. Hendak merungut dengan Encik Abangku Romantik terasa malu pulak. Nanti buatnya disembur Encik Abangku Romantik... “dah tua-tua pun nak panaskan jugak!” hah, baru padan dengan muka.

Dijah cuba bersabar dengan sikap Encik Abangku Romantik selagi terdaya. Nak berpayung emas kenalah redha, bisik hatinya. Tetapi, apabila Encik Abangku Romantik pulang ke rumah lebih kurang sebulan lalu dan memberitahu bahawa dia sudah merancang untuk membawa Vee pergi bercuti di Cherating, Dijah sudah tidak tertahan lagi. Kesabarannya bagai sudah diuji ke tahap gaban.

“What? No, no... no!” Dijah terkekau-kekau. Tidak pernah seumur hidupnya dia berbahasa Inggeris dengan suaminya, tapi kalau dah marah macam-macam perkataan yang tak diduga boleh terkeluar dari mulut.

“Ala... bukannya lama pun. Dua hari satu malam aje.” Encik Abangku Romantik berdegil.

“Saya dengan Firdaus dah lama tak pergi bercuti. Abang patutnya bawa kami berdua pergi bercuti, bukannya si Vee tu!”

“Hai, banyak cakaplah awak ni, Dijah. Bulan 12 nanti lepas sunatkan si Firdaus tu, kita bawaklah dia pergi bercuti. Sekarang bagilah peluang pada saya dengan Vee.” Sahut Encik Abangku Romantik.

“Abang ni lebih sayangkan dia daripada Dijah!”

“Dua-dua pun abang sayang. Dahlah Dijah, jangan rumitkan perasaan abang ni. Abang tetap akan ke Cherating dengan Vee.” Begitulah kata putus yang diberi oleh Encik Abangku Romantik yang membuatkan Dijah tidak dapat tidur dengan lena.

“Dijah, suami kau telefon ni. Dia dah nak gerak dari rumah katanya. Dia panggil kau balik. Pergilah balik, Dijah. Tak baik macam ni. Kau isteri dia.” Mak Temah cuba menasihatinya untuk kali yang terakhir.

“Ah, biarlah! Dia asyik dengan betina tu aje, mak.”

“Hey, tak fahamlah aku dengan kau ni, Dijah. Dah... pergi balik jumpa laki kau. Kalau kau tak balik jugak, aku belasah kau dengan penyapu ni nanti.” Mak Temah mengangkat penyapu yang dipegangnya.

Dijah terpaksa bangun. Takut kalau-kalau Mak Temah benar-benar membelasahnya, dia segera melangkah pulang ke rumah. Dia mengintai ke rumah sebelah. Dilihatnya, Encik Abangku Romantik sedang membelai-belai isteri keduanya. Bukan main mesra lagi. Sakit mata Dijah melihatnya.

“Eh, Dijah dah balik. Lama abang dan Vee tunggu Dijah. Kami tak boleh gerak sebelum jumpa Dijah.” Kata Encik Abangku Romantik sambil tersenyum-senyum. Dia menepuk-nepuk manja belakang Vee membuatkan Dijah terasa hendak membelasah madunya dengan kayu api.

“Abang dah nak gerak ni, tak nak salam abang ke?”

Dijah menarik muka masam. “Dijah benci dengan abang. Dijah benci dengan dia ni jugak. Abang asyik lebihkan dia aje sejak dia muncul dalam keluarga kita.”

“Janganlah macam ni, Dijah. Hari Ahad nanti abang baliklah.”

“Pergilah... pergi! Kalau abang tak balik lagi ke rumah ni pun tak apa. Dijah benci! Benci!!” Dijah menjerit-jerit marah.

“Okey, abang pun tak faham kenapa Dijah benci sangat pada Vee. Macam-macam Dijah tuduh abang. Dijah kata abang menduakan Dijahlah sedangkan Vee ni bukannya manusia pun. Dijah jangan menyesal kalau di Cherating nanti abang betul-betul jumpa seorang perempuan lain dan berkenan untuk jadikan dia isteri kedua abang!” Serentak itu Encik Abangku Romantik terus celapak belakang motosikal Viragonya lalu memecut laju meninggalkan Dijah yang mengangis tergolek-golek di perdu pokok langsat.

[tamat]


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.