“Aku tak kenal erti berkorban. Malah ayat itu tak
pernah wujud dalam hatiku. Semuanya kerana sayangkan Ridwan. Tapi kenapa
sanggup dia membuangku,” luah Sabariah, bungkam. Dia masih ralit merenung longgokan sampah yang membukit.
Cahaya mentari senja, telah menukar pemandangan tempat pembuangan sampah
itu menjadi seperti emas berharga. Barangan tembaga memantulkan sinar mentari
yang menyilaukan mata. Namun hakikatnya sampah tetap sampah, sentiasa dihina
manusia. Sabariah masih mengelamun, hatinya sukar ditebak.
“Bu! Minum. Jangan dilayan usikan hati. Lepas minum
ibu solat ya. Wan mahu ke surau dulu.” Ridwan mundekati dengan wajah manis.
Sabariah masih membisu. Dia menyoroti langkah Ridwan.
Lamunannya makin larut. Makin mengusik hati. Laungan azan mencantas hatinya.
Dia beristigfar berulang kali. Air di dalam gelas tidak dijamahnya. Dia masih memikirkan
permintaan Ridwan. Anaknya mahu menghantar dia ke rumah orang-orang tua.
Mungkin Ridwan malu atau mungkin batuk kerasnya di malam hari menggangu tidur
Ridwan. Dia sendiri tidak pasti.
*******************
2.00 Petang-
Sabariah terbongkok-bongkok dengan sebatang kayu. Dia
menguis-guis longgokan sampah berhampiran kejiranan kaya itu. Sekali sekala dia
menyeka peluh di dahi. Pakaiannya yang bertampal dan berbau sudah tidak dapat
dibezakan lagi dengan barangan terbuang yang dikutipnya. Dia mengukir
senyuman sebaik terpandang sebuah komik.
“Mesti Wan suka! Taklah dia bosan lepas balik
surau.” Meleret-leret senyuman Sabariah.
“Biar sejuk hati dia.Untung-untung aku tak dihantar
ke sana,” ucap Sabaraiah.
Helaian yang
kotor dikoyak. Dan kotoran yang tersisa disapu pada bajunya. Komik itu kemudian
diselit di celah kain agar tidak kembali kotor. Bunyi loceng kedengaran jelas,
tanda sesi persekolahan sudah tamat. Sebentar lagi jalan di situ akan riuh dengan
budak-budak yang berjalan kaki untuk pulang; Ridwan juga akan melalui jalan
itu.
Sabariah memercepatkan lagi kerjanya. Dia
berkira-kira mahu pulang awal memasak untuk Ridwan. Sungguhpun begitu langkahnya
terbatas kerana usia.
Apabila selesai Sabariah memikul guni berisi tin
minuman dan sisa-sisa yang boleh dijual. Hanya beberapa langkah dia melangkah
suara tuanya mendengking kesakitan.
“Aduh! Jangan…Jangan nak. Sakit mak cik,” rayu
Sabariah.
Kejadian biasa yang harus dilalui Sabariah, malah
semua penghuni Kampung Sampah, bila terserempak dengan anak-anak perumahan
mewah di situ. Namun bukan kesemua mereka berkelakuan buruk hanya segelintir
sahaja.
“Orang gila..Orang gila. Semua baling batu,” tempik
mereka.
Hujan batu menujah Sabariah diikuti ketawa. Sabariah
berjalan dalam payah. Dia risau jika Ridwan melihat kejadian itu tentulah
anaknya akan malu mempunyai ibu sepertinya. Budak-budak itu masih mengejar dan
mengekorinya. Dia tidak pedulikan semua itu yang penting Ridwan tidak melihat
apa yang berlaku. JIka Ridwan tanya dia akan kata luka di badannya itu kerana
sengatan tebuan.
Tujahan daripada batu yang lebih besar mengenai
tepat ke betisnya menyebabkan dia menjerit nyaring. Dia menoleh dan hatinya
menjerit lebih kuat, malah lebih memeritkan bila melihat Ridwan terpaku agak
jauh seolah-olah cuba mengamati. Sejurus itu dia berlari mendapatkan Sabariah sambil menjerit
“IBU!"
Sabariah kelu. Hujan batu sudah tidak
menyakitkannya lagi. Apabila Ridwan mendekati dan cuba melindungi dengan
memeluknya. Tiba-tiba tangan Sabariah melayang ringan lalu menampar pipi
Ridwan. Suasana sunyi sejurus kemudian.
“Siapa kau! Memandai nak peluk aku. Pergi balik.
Jangan kacau aku,” jerit Sabariah, kuat. Sengaja dikuatkan agar semua
budak-budak di situ dengar. Terhincut-hincut dia meninggalkan Ridwan yang
bungkam. Budak-budak yang lain ikut bungkam.
*******************
6.00 Petang-
Kerisauan Sabariah surut mendadak bila melihat
kelibat Ridwan. Seperti biasa anaknya itu akan tersenyum lebar dan senyuman
itulah yang menambah sayangnya kepada Ridwan. Tapi kenapakah anaknya sendiri
sanggup membuangnya? Persoalan yang sama kembali menyoal hatinya.
“Assalamualaikum bu. Maaf Wan lewat hari ini,” ucap Ridwan, membuka kata, seolah-olah
kejadian tadi tidak pernah berlaku.
“Wan.” Sabariah gugup.
“Pasal siang tadi.” Gugup Sabariah memuncak, tidak
tergamak untuk dia meluahkan maaf.
“Bu tak salah dan Wan tak marah. Sudahlah jangan
fikir yang bukan-bukan.” Ridwan senyum dan dia berharap ibunya juga akan ikut
senyum.
“Bu! Malam ni Wan nak pergi basuh pinggan di
restoren Abang Abdul Rahim.” Ridwan meminta kebenaran. Wajahnya sedikir gusar
kerana dia tahu ibunya tidak suka dia bekerja.
“Belajar dulu Wan. Ibu tak suka anak ibu kerja,
nanti letih. Belajarlah dulu Wan. Jangan jadi macam ibu. Hidup di dunia ni kena
ada illmu. Nak ke akhirat pun dengan illmu. Wan kena faham betapa pentingnya
illmu. Dah ibu tak izinkan,” tegah Sabariah.
“Bu izinkan Wan ya? Minggu ini saja. Buat bayar
yuran peperiksaan. Minggu depan hari terakhir kalau tidak Wan tak boleh ambil
periksa,” ucap Ridwan, lembut.
Sabariah termenung agak lama manakala Ridwan masih
berharap ibunya memberikan keizinan. Sabariah barkalih punggung. Sebuah kotak
mancis dikeluarkan dari dalam tin biskut. Dibelek-belek dengan wajah sugul. Namun
dia sudah nekad biarlah Ridwan membencinya sekalipun, namun membiarkan anaknya
sengsara tidak sama sekali. Dan biarlah wang itu menjadi pengorbanan
terakhirnya sebelum dia dihantar ke rumah orang-orang tua.
“Janji dengan ibu.”
“Janji apa bu?”
“Bila dah cukup duit untuk bayar yuran mesti
berhenti kerja.” Sabariah merenung tajam.
“Baik bu.” Ridwan senyum lebar, lega hatinya kini.
“Ambil kotak mancis ni. Dalamnya ada sedikit duit.
Buat tambah bayaran yuran kamu. Janji denga ibu belajar rajin-rajin,” luah Sabariah,
sebak. Tangan Ridwan digenggam erat.
“Insay-Allah! Besar nanti jika diizinkan Allah, Wan
mahu bawa ibu duduk di rumah lain. Wan mahu balas jasa ibu.”
“Tak perlu. Cukuplah jika Wan dapat menolong orang
yang susah. Jangan lupa bersedekah. Nanti Allah sayang.” Tawar sahaja jawapan
Sabariah kerana harapannya sudah mati dikhianati Ridwan.
“Baik bu. Wan nak ke surau sekarang.”
“Masih awal. Tak makan dulu?” soal Sabariah.
“Mahu mandi di surau. Saya makan di surau bu sebab
ada tahlil hari ini,” balas Ridwan. Selepas bersalaman dia menjinjing plastik
yang berisi tuala dan sehelai baju melayu lusuh. Berat hatinya untuk menerima
wang pemberian ibunya. Sungguhpun begitu demi menjaga hati ibunya diterima wang
itu tanpa soal.
“Bila dapat bayaran membasuh pinggan aku akan pulangkan
semula duit ibu. Anggaplah aku menjaga duit ibu untuk seminggu,” gumam Ridwan,
sendirian.
***********************
11.00 Malam-
“Masih banyak pinggannya Wan?” soal Abang Abdul
Rahim. Keningnya terangkat.
“Masih banyak. Tak putus-putus pinggan mangkuk
masuk. Ramai benar pelanggannya ya?” aju Ridwan.
“Hari ni ada jamuan VVIP.” Jawab Abdul Rahim,
pendek. Kemudian dia ketawa mendadak.
Wajah Ridwan diperhatikannya. Remaja itu agak
dewasa berbanding usianya. Mungkin kerana kehidupan yang dilalui. Kalau diikutkan
mahu sahaja diambil Ridwan atau ibunya bekerja tetapi dia risau jika diketahui pelanggannya. Mereka tentu akan pergi. Ini kerana sesiapa yang menjadi
penghuni tempat pelupusan sampah akan
dipinggirkan.
“Abang Abdul Rahim! Saya mahu minta tolong.” Ridwan
mendongakkan wajahnya. Matanya menagih simpati sekaligus mencairkan hati Abdul
Rahim.
“Ya,” dijawab Abdul Rahim.
“Hantarkan ibu saya ke rumah orang-orang tua.” Agak
tergagap Ridwan berkata.
Abdul Rahim terbeliak marah. Matanya meratah setiap
inci wajah Ridwan.Sungguh tidak disangka budak lelaki itu sanggup mengeluarkan
ayat sebegitu.
“Anak derhaka. Tak cium bau syurga kamu nanti.
Sia-sia aku ambil kamu kerja. Nampak saja baik, tapi sebenarnya berhati
syaitan. Sanggup kamu hantar ibu sendiri ke rumah orang tua. Dasar anak tak
kenang budi.”
Abdul Rahim berang, dan berangnya semakin
menjadi-jadi bila Ridwan hanya membisu. Pekerja yang lalu tidak berani menegur
kerana mereka sudah faham sikap Abdul Rahim. Namun dia kembali bertenang bila
Ridwan menyuakan keratan akhbar dengan tajuk besar.
KEBURUKAN TEMPAT PEMBUANGAN SAMPAH
….Kerajaan telah memutuskan akan membina tempat
pembuangan sampah atau tempat pembuangan akhir jauh dari kawasan kediaman
berikutan laporan kesihatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Vektor Negeri yang
melaporkan beberapa keburukan bakal dihadapi penduduk setempat…..
-Pencemaran air dan tanah
-Pelepasan gas Metana yang lebih merbahaya
berbanding gas karbon dioksida, diakibatkan oleh sampah sarap yang mereput.
-Bahaya penyakit bawaan tikus, lipas, babi dan
binatang liar yang berkeliaran.
Abdul Rahim tidak dapat meneruskan bacaannya. Hatinya
sayu dan dia kini faham mengapakah
Ridwan berkata begitu.Namun dia masih tidak dapat
menerima keputusan yang dibuat Ridwan.
“Carilah sebuah rumah murah, jika tidak sebuah
bilik. Sanggup kamu berpisah dengan ibu sendiri. Atau mungkin kamu malu ada ibu
seperti dia.” Abdul Rahim memberi cadangan diikuti menduga isi hati sebenar
Ridwan.
“Ibu saya adalah dunia saya. Ketawanya adalah
kebahagian saya dan tangisannya adalah duka saya. Ridwan menjawab dengan suara
dalam kemudian dia megalihkan pandangannya.
“ Mungkin dia bukan wanita yang paling cantik,
bukan yang paling cerdik, bukan yang paling hebat berpakaian dan bukan yang
lain-lain juga. Tapi dialah jururawat ketika saya sakit, yang bersengkang mata
di tengah malam. Penghibur yang paling memahami hati. Tukang masak yang paling
handal. Guru yang telah mengajar saya erti hidup. Malah sanggup berlapar untuk
memastikan saya makan. Patutkah saya malu mempunyai ibu sehebat dia,” luah Ridwan.
Tangannya masih pantas membasuh dan membilas pinggan mangkuk.
“Apa yang saya lakukan mungkin nampak kejam di mata
orang seperti abang. Tapi itulah yang mampu dilakukan oleh orang seperti kami.
Orang yang maruah dan hatinya tidak pernah dipandang. Mungkin menghukum lebih
sesuai untuk orang-orang kaya seperti abang.
Ridwan sinis, namun nadanya masih lembut
menyebabkan Abdul Rahim sayu.
“Salah tu.”
Satu suara kedengaran dari pintu yang memisahkan di
antara dapur dan tandas berhampiran.
Seorang lelaki separuh umur merapati Ridwan dan
Abdul Rahim. Wajahnya tegas, bermisai tebal manakala pakaiannya berkot hitam
legam, tentu dari jenis yang mahal. Ridwan kemudian memerhati kasut yang
dipakainya.”HITAM BERKILAT”
“Maaf saya mencelah. Perbualan menarik yang tak
patut saya lepaskan,” luah lelaki, ramah. Tetapi tegas.
“Dato Umar! Ada yang boleh saya bantu. Tak perlulah
Dato Umar ke dapur,” tokok Abdul Rahim.
“Tak mengapa. Cuma mahu beritahu rancangan
terbaharu kerajaan.”
“Rasanya Dato dah salah orang. Saya bukan orang
politik,” jawab Abdul Rahim. Dia masih bingung dengan kata-kata Dato Umar.
“Saya terharu dengan kata-kata pemuda ni. Jadi saya
harus menyampaikan berita gembira ini kepadanya. Sebenarnya begini. Kerajaan
akan melaksanakan projek perumahan percuma untuk warga miskin. Rumahnya kecil
tapi cukup selesa dan sempurna dengan dua bilik tidur. Saya akan tolong kamu
dan penduduk tempat pelupusan sampah. Jadi tak perlulah kamu hantar ibu kamu ke
rumah orang-orang tua,” ujar Dato Umar dengan riak wajah yang tegas.
“Alhamdullilah.” Ridwan meluahkan syukur kepada
Allah s.w.t. Air matanya bergenang gembira.
“Ada lagi. Kerajaan juga sudah melancarkan rakan
kerja untuk membantu mereka yang menggangur agar dapat berdikari. Nanti saya
akan terangkan lusa. Tunggu saja kedatangan wakil saya. Untuk kamu saya akan
minta biasiswa dan bantuan bulanan pelajar.”
“Terima kasih Dato,” ucap Ridwan. Malam itu hati dan fikirannya
bebas. Dia sudah tidak sabar memberitahu ibunya malah Abdul Rahim turut senyum
dan berjanji mengambil Ridwan dan ibunya sebagai keluarga angkat.