Ayah
merenung jauh ke luar jendela. Dia
menghela nafas panjang. Entah apa yang
bermain di kotak fikirannya. Lama sunggguh dia merenung hujan. Hujan yang
turun dengan lebat begitu menarik perhatiannya, kelihatan titis hujan membasahi
jendela tua itu. Mulut ayah kumat-kamit menyebut kalimah Allah. Hati seorang
tua yang tidak dapat kita duga.
Ayah tidak lagi seperti dulu, dia sudah tidak
kuat. Kelihatan garis-garis kedutan diwajahnya. Badan ayah tinggal tulang saja.
Ayah sudah kurus dan tidak berdaya lagi seperti dulu. Hendak bangun
pun susah, perlu berpimpin kerana lututnya sudah lemah dan tidak mampu berdiri
lama. Pendengarannya sedikit menjadi kurang entah tidak tahu apa puncanya.
Wani memandang muka ayah dari jauh.
Sesungguhnya dia kagum dengan ayah. Bagi Wani ayah adalah segala-galanya. Tiada
sesiapa yang dapat menggantikan tempat ayah di muka bumi ini. Selepas emak
meninggal dunia 20 tahun yang lalu, ayahlah yang telah membesarkan dan memberi
kasih sayang kepada Wani dan adik-adik. Ayah tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti arwah emak. Walaupun ramai
yang meminta supaya ayah kahwin lain, namun itu semua tidak diendahkannya.
Kerana
bagi ayah tempat emak tiada
penggantinya. Lagipun ayah telah berjanji pada emak. Ingat lagi pesan emak sebelum
meninggal dia pinta supaya ayah dapat menjaga anak-anak dengan baik, berikan
pelajaran dan didiklah anak-anak dengan baik. Mungkin itulah yang menjadi
pegangan ayah sehingga kini. Dan kini
semua anak-anak ayah sudah menjadi insan yang berjaya.
Wani selesai membancuh kopi untuk
ayah, lalu dihidangkan secawan kopi dan sepinggan pisang goreng di hadapan
orang tua itu.
“Ayah..Kopi”.
Wani berkata pada ayah. Ayah hanya mengangguk perlahan tanpa sepatah kata. Wani
duduk bersila depan ayah. Dia renung lagi wajah ayah.
”Bismillahirrahmannirrahim”...Lalu
dihirup kopi yang masih panas itu. Diletakkan semula cawan kopi dan diambil
pula pisang goreng dan dikunyah dengan perlahan.
Wani turut makan
bersama ayah. Sesekali wani menjeling melihat ayah. Ayah hanya diam membisu
seperti tiada apa-apa yang berlaku. Hujan yang lebat di luar sedikit membataskanperbualan
Wani dan ayah. Namun hujan itu mendatangkan keindahan kepada umatnya yang tahu
mensyukuri nikmat yang diberi.Hendak
saja Wani membuka mulut untuk bertanya kepada ayah, tapi dilupakan sahaja
hasratnya kerana takut ayah akan berkecil hati. Bukan sekali dua ayah pernah
merajuk tapi berkali-kali tak terhitung dek jari. Puas semua ahli keluarga
memujuk ayah, namun ayah akan seperti biasa apabila Wani yang datang memujuk. Kata ayah, semua orang tak faham perasaannya,
apa yang dia rasa. Kata-kata ayah sungguh pilu dan setiap kali itu lah Wani
pasti akan menitiskan air mata. Wani akan peluk ayah dan memberi kata-kata peransang untuk ayah. Wani sayang
akan ayah lebih dari segala-galanya. Cepat-cepat Wani mengesat air mata
yang tumpah, takut nanti ayah nampak pula
dia menangis dengan tiba-tiba. Wani tidak mahu ayah risau dan sedih.
“Kakak,
nanti siapa nak jaga ayah kat sini?”, Liya bersuara. Tapi suaranya perlahan
sahaja takut ayah dengar.
“Kenapa
pula?, kita semualah jaga ayah”, Wani bertanya seolah-olah tidak faham.
“Ala,
mana boleh akak, Liya kerja, sibuk ,mana ada cuti”. Liya muncung menarik muka
masam. Protes tanda tidak setuju dengan cadangan kakaknya Wani. “ Adik kan ada,
biarlah dia yang jaga, kan dia anak lelaki ayah. Adik bukannya kahwin lagi,
jadi senangla dia jaga ayah kat sini”, Liya menyambung bicaranya semula.
Tiba-tiba
adik mencelah.” Kak Ngah (panggilan bagi Liya) memang la adik boleh tengok ayah, tapi makan
minum dia camna? Adik dahla kerja pagi balik petang, kalau office adik dekat
boleh la adik balik tengah hari belikan ayah makanan. Adik pula selalu ada
kerja luar daerah, kesian ayah kena tinggal seorang”. Tambah adik lagi.
Memang benar apa yang adik kata. Kerjayanya
sebagai seorang Pegawai Perhubungan Diplomatik di Syarikat Bijih Besi itu
memaksanya selalu ‘Out-station’ ke luar untuk bertemu pelanggan.
Wani
seboleh-bolehnya tidak ingin menyusahkan adik-adiknya. Dan dia seboleh-bolehnya
tidak mahu bertekak dan bertegang urat dengan adik-adiknya. Tidak mahu mencari
siapa salah dan siapa yang benar. Bagi Wani dia rela berkorban segala. Harta,
nyawa dan selagi kudratnya ada, dia mahu terus berbakti dan menjaga ayahnya. Wani masih ingat ketika dia dan adik-adiknya
masih kecil, ayahlah yang menjadi pengganti emak. Makan, pakai, tempat tinggal
semuanya disediakan dengan sebaik mungkin. Apa yang diminta pasti akan dipenuhi
oleh ayah. Dengan susah payah ayah pasti dapat menyediakan segala yang
dikehendaki. Adik berkehendakkan kasut baru, angah inginkan basikal dan
semuanya pasti akan dapat. Itulah seortang ayah yang sejati.
Tidak pernah sesekali ayah memukul dan
menjentik anak-anaknya tanpa sebab. Walaupun ketika itu keadaan hidup amat
susah. Namun ayah gembira kerana dapat menyediakan segala kemudahan itu untuk
anak-anaknya.
Pada ketika itu ayah hanya ada
sebuah basikal. Basikal itulah yang menjadi teman ayah untuk ke mana-mana.
Hendak ke tempat kerja pun ayah akan mengayuh basikal. Tiada mengenal erti jemu
dan penat namun ayah tetap bekerja keras untuk membahagiakan anak-anaknya.
Ketika
Wani demam panas, ayah mengayuh basikal tua nya untuk membawa Wani ke hospital.
Walaupun jauh namun ayah tetap gagahi jua mengayuh agar cepat sampai ke sana.
Segala kebajikan untuk Wani dan adik-adik tidak pernah di abaikan. Ayah tiada
galang gantinya. Kasih dan sayangnya tidak boleh dijual beli. Andai suatu hari
ayahnya pergi, maka pasti dia akan mengalami penyesalan yang teramat sangat
kerana dia tidak berbakti dan membalas segala jasa ayahnya.
Ayah memerlukan jagaan yang rapi,
setelah dia jatuh dari basikal tempoh hari akibat dikejar anjing liar, ayah
terus jatuh sakit. Lama ayah terbaring tidak bangun-bangun. Di situlah ayah
makan, minum dan segala-gala aktivitinya hanyalah di situ. Dek kerana lama terbaring
ayah tidak boleh bangun lagi, sendi-sendi kakinya tidak berfungsi dengan baik.
Akhirnya langkah ayah terhenti begitu
dan begitu juga dengan kehidupannya.
Oleh sebab pergerakannya terbatas, ayah hanya
mengharapkan Wani dan adik-adik menyediakan segala keperluannya. Mujurlah Wani
bercuti selama 2 bulan memandangkan sekarang musim persekolahan sedang bermula
bolehlah dia melihat dan menjaga ayah di sana. Mujurlah ada Kisya, puterinya sudi
mengikut ibunya yang seorang ni pulang ke kampung. "Kisya
nak jaga tokwan" katanya."
Kesian tokwan sakit". Comel muka
Kisya bila dia mula berceloteh, walaupun masih kecil dia pun faham
dengan situasi yang sedang berlaku.
Cuma
Wani sedikit gusar apabila memikirkan tentang Muiz suaminya. Muiz seakan-akan tidak mengerti
dengan masalahnya. Muiz tidak pernah bersetuju dengan apa yang Wani nyatakan
dan lakukan. Bagi Muiz itu bukan masalahnya dan juga bukan masalah Wani yang
harus Wani tanggung dan fikirkan. Wani tahu sebagai seorang isteri tempatnya
adalah di sisi suami.
Namun,
Wani menjadi dalam keadaan serba salah. Wani terhimpit dengan perasaan kasih dan
sayang antara suami dan ayah. Wani pasrah dan berserah kepada Yang Maha Esa.
Wani berdoa agar pintu hati Muiz sentiasa
terbuka dan boleh menerima kehadiran ayahnya. Wani tidak mahu menjadi
isteri yang derhaka. Isteri yang derhaka tiada tempatnya di syurga.
"
Ya Allah ampunilah aku dan berikanlah aku petunjuk dan hidayahMu". Bisik
hati Wani.
Wani masih
ingat pertengkaran yang berlaku pada petang itu di antara dia dan Muiz. Muiz
tidak bersetuju dengan permintaannya untuk menjaga ayah dan membawa ayah ke
Kuala Lumpur untuk tinggal bersama-sama mereka. Muiz menentang sekeras-kerasnya
permintaan Wani
Waktu
itu ayah sedang berbaring di beranda rumah, dia mendengar segala-galanya dengan
jelas walau ada sedikit masalah pendengaran. Segala-galanya berlaku dengan
pantas. Jeritan Muiz menjadikan semua yang berada di dalam rumah tergamam. Kelu
seribu kata hanya yang ada esakan kuat. Ayah terbangun dari lena, mengusap
mukanya.
"Sudahlah,
jangan kalian bertengkar kerana aku, biarkan aku sendiri.huuuuuuuuuuuuu. Aku
sudah tua esok lusa aku akan mati" Ayah berkata dalam tangisan.
"Ayah,
jangan berkata begitu" . Wani meluru mendapatkan ayahnya. Mendakap erat
badan ayahnya. Luluh hati Wani mendengar kata-kata ayahnya.
"Walau
apa pun yang terjadi, Wani tidak akan sesekali tinggalkan ayah". Wani
meraung dengan kuat. Akhirnya
takdir telah menentukan Wani terdampar
di daerah sepi ini demi membalas jasa dan budi seorang ayah. Bagi Wani ayah
tidak boleh diganti dan kasih sayang ayah itu tidak boleh dijual beli. Selagi
ada hayat dikandung badan, Wani akan terus menjaga ayah walau apa pun keadaannya.
Wani tidak pernah merungut dan kesal dengan tindakannya, malah Wani bersyukur
kerana Tuhan menunjukkan jalan yang mana untuk dipilih.
"Kembalilah kepada ibu bapamu dan buatlah keduanya tertawa sebagaimana engkau
telah membuat keduanya menangis" (Hadis Riwayat Abu Daud & Baihaqi)
Menggadaikan sebuah kebahagiaan
bukan satu jalan penyelesaian yang mudah. Bertahun-tahun Wani membinanya,
membajai dengan benih-benih cinta, kasih dan sayang. Namun mahligai itu musnah
di tengah jalan. Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah
hari. Namun Wani tidak menyalahkan
sesiapa di atas apa yang berlaku. Wani pasrah dan Redha dengan segala ketentuan Ilahi.
Pilihan
adalah ditangan Wani sendiri. Akhirnya melepaskan seseorang yang disayangi
lebih baik daripada mengikatnya dengan kuat, tapi dia tetap ingin lari. Namun
bagi Wani dia yakin apa yang diberi oleh Tuhan itu adalah satu ANUGERAH yang
tidak ternilai.