Home Cerpen Keluarga ANUGERAH
ANUGERAH
SHAHLAWATI ABDUL WAHID
11/2/2016 23:35:18
3,269
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Ayah merenung jauh ke luar jendela. Dia menghela nafas panjang. Entah apa yang bermain di kotak fikirannya. Lama sunggguh dia merenung hujan. Hujan yang turun dengan lebat begitu menarik perhatiannya, kelihatan titis hujan membasahi jendela tua itu. Mulut ayah kumat-kamit menyebut kalimah Allah. Hati seorang tua yang tidak dapat kita duga.

Ayah tidak lagi seperti dulu, dia sudah tidak kuat. Kelihatan garis-garis kedutan diwajahnya. Badan ayah tinggal tulang saja. Ayah sudah kurus dan tidak berdaya lagi seperti dulu. Hendak bangun pun susah, perlu berpimpin kerana lututnya sudah lemah dan tidak mampu berdiri lama. Pendengarannya sedikit menjadi kurang entah tidak tahu apa puncanya.

Wani memandang muka ayah dari jauh. Sesungguhnya dia kagum dengan ayah. Bagi Wani ayah adalah segala-galanya. Tiada sesiapa yang dapat menggantikan tempat ayah di muka bumi ini. Selepas emak meninggal dunia 20 tahun yang lalu, ayahlah yang telah membesarkan dan memberi kasih sayang kepada Wani dan adik-adik. Ayah tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti arwah emak. Walaupun ramai yang meminta supaya ayah kahwin lain, namun itu semua tidak diendahkannya.

Kerana bagi ayah tempat emak tiada penggantinya. Lagipun ayah telah berjanji pada emak. Ingat lagi pesan emak sebelum meninggal dia pinta supaya ayah dapat menjaga anak-anak dengan baik, berikan pelajaran dan didiklah anak-anak dengan baik. Mungkin itulah yang menjadi pegangan ayah sehingga kini. Dan kini semua anak-anak ayah sudah menjadi insan yang berjaya.

Wani selesai membancuh kopi untuk ayah, lalu dihidangkan secawan kopi dan sepinggan pisang goreng di hadapan orang tua itu.

“Ayah..Kopi”. Wani berkata pada ayah. Ayah hanya mengangguk perlahan tanpa sepatah kata. Wani duduk bersila depan ayah. Dia renung lagi wajah ayah.

”Bismillahirrahmannirrahim”...Lalu dihirup kopi yang masih panas itu. Diletakkan semula cawan kopi dan diambil pula pisang goreng dan dikunyah dengan perlahan.

Wani turut makan bersama ayah. Sesekali wani menjeling melihat ayah. Ayah hanya diam membisu seperti tiada apa-apa yang berlaku. Hujan yang lebat di luar sedikit membataskanperbualan Wani dan ayah. Namun hujan itu mendatangkan keindahan kepada umatnya yang tahu mensyukuri nikmat yang diberi.Hendak saja Wani membuka mulut untuk bertanya kepada ayah, tapi dilupakan sahaja hasratnya kerana takut ayah akan berkecil hati. Bukan sekali dua ayah pernah merajuk tapi berkali-kali tak terhitung dek jari. Puas semua ahli keluarga memujuk ayah, namun ayah akan seperti biasa apabila Wani yang datang memujuk.

Kata ayah, semua orang tak faham perasaannya, apa yang dia rasa. Kata-kata ayah sungguh pilu dan setiap kali itu lah Wani pasti akan menitiskan air mata. Wani akan peluk ayah dan memberi kata-kata peransang untuk ayah. Wani sayang akan ayah lebih dari segala-galanya. Cepat-cepat Wani mengesat air mata yang tumpah, takut nanti ayah nampak pula dia menangis dengan tiba-tiba. Wani tidak mahu ayah risau dan sedih.

“Kakak, nanti siapa nak jaga ayah kat sini?”, Liya bersuara. Tapi suaranya perlahan sahaja takut ayah dengar.

“Kenapa pula?, kita semualah jaga ayah”, Wani bertanya seolah-olah tidak faham.

“Ala, mana boleh akak, Liya kerja, sibuk ,mana ada cuti”. Liya muncung menarik muka masam. Protes tanda tidak setuju dengan cadangan kakaknya Wani. “ Adik kan ada, biarlah dia yang jaga, kan dia anak lelaki ayah. Adik bukannya kahwin lagi, jadi senangla dia jaga ayah kat sini”, Liya menyambung bicaranya semula.

Tiba-tiba adik mencelah.” Kak Ngah (panggilan bagi Liya) memang la adik boleh tengok ayah, tapi makan minum dia camna? Adik dahla kerja pagi balik petang, kalau office adik dekat boleh la adik balik tengah hari belikan ayah makanan. Adik pula selalu ada kerja luar daerah, kesian ayah kena tinggal seorang”. Tambah adik lagi.

Memang benar apa yang adik kata. Kerjayanya sebagai seorang Pegawai Perhubungan Diplomatik di Syarikat Bijih Besi itu memaksanya selalu ‘Out-station’ ke luar untuk bertemu pelanggan.

Wani seboleh-bolehnya tidak ingin menyusahkan adik-adiknya. Dan dia seboleh-bolehnya tidak mahu bertekak dan bertegang urat dengan adik-adiknya. Tidak mahu mencari siapa salah dan siapa yang benar. Bagi Wani dia rela berkorban segala. Harta, nyawa dan selagi kudratnya ada, dia mahu terus berbakti dan menjaga ayahnya.

Wani masih ingat ketika dia dan adik-adiknya masih kecil, ayahlah yang menjadi pengganti emak. Makan, pakai, tempat tinggal semuanya disediakan dengan sebaik mungkin. Apa yang diminta pasti akan dipenuhi oleh ayah. Dengan susah payah ayah pasti dapat menyediakan segala yang dikehendaki. Adik berkehendakkan kasut baru, angah inginkan basikal dan semuanya pasti akan dapat. Itulah seortang ayah yang sejati.

Tidak pernah sesekali ayah memukul dan menjentik anak-anaknya tanpa sebab. Walaupun ketika itu keadaan hidup amat susah. Namun ayah gembira kerana dapat menyediakan segala kemudahan itu untuk anak-anaknya.

Pada ketika itu ayah hanya ada sebuah basikal. Basikal itulah yang menjadi teman ayah untuk ke mana-mana. Hendak ke tempat kerja pun ayah akan mengayuh basikal. Tiada mengenal erti jemu dan penat namun ayah tetap bekerja keras untuk membahagiakan anak-anaknya.

Ketika Wani demam panas, ayah mengayuh basikal tua nya untuk membawa Wani ke hospital. Walaupun jauh namun ayah tetap gagahi jua mengayuh agar cepat sampai ke sana. Segala kebajikan untuk Wani dan adik-adik tidak pernah di abaikan. Ayah tiada galang gantinya. Kasih dan sayangnya tidak boleh dijual beli. Andai suatu hari ayahnya pergi, maka pasti dia akan mengalami penyesalan yang teramat sangat kerana dia tidak berbakti dan membalas segala jasa ayahnya.

Ayah memerlukan jagaan yang rapi, setelah dia jatuh dari basikal tempoh hari akibat dikejar anjing liar, ayah terus jatuh sakit. Lama ayah terbaring tidak bangun-bangun. Di situlah ayah makan, minum dan segala-gala aktivitinya hanyalah di situ. Dek kerana lama terbaring ayah tidak boleh bangun lagi, sendi-sendi kakinya tidak berfungsi dengan baik. Akhirnya langkah ayah terhenti begitu dan begitu juga dengan kehidupannya.

Oleh sebab pergerakannya terbatas, ayah hanya mengharapkan Wani dan adik-adik menyediakan segala keperluannya. Mujurlah Wani bercuti selama 2 bulan memandangkan sekarang musim persekolahan sedang bermula bolehlah dia melihat dan menjaga ayah di sana. Mujurlah ada Kisya, puterinya sudi mengikut ibunya yang seorang ni pulang ke kampung.

"Kisya nak jaga tokwan" katanya." Kesian tokwan sakit". Comel muka Kisya bila dia mula berceloteh, walaupun masih kecil dia pun faham dengan situasi yang sedang berlaku.

Cuma Wani sedikit gusar apabila memikirkan tentang Muiz suaminya. Muiz seakan-akan tidak mengerti dengan masalahnya. Muiz tidak pernah bersetuju dengan apa yang Wani nyatakan dan lakukan. Bagi Muiz itu bukan masalahnya dan juga bukan masalah Wani yang harus Wani tanggung dan fikirkan. Wani tahu sebagai seorang isteri tempatnya adalah di sisi suami.

Namun, Wani menjadi dalam keadaan serba salah. Wani terhimpit dengan perasaan kasih dan sayang antara suami dan ayah. Wani pasrah dan berserah kepada Yang Maha Esa. Wani berdoa agar pintu hati Muiz sentiasa terbuka dan boleh menerima kehadiran ayahnya. Wani tidak mahu menjadi isteri yang derhaka. Isteri yang derhaka tiada tempatnya di syurga.

" Ya Allah ampunilah aku dan berikanlah aku petunjuk dan hidayahMu". Bisik hati Wani.

Wani masih ingat pertengkaran yang berlaku pada petang itu di antara dia dan Muiz. Muiz tidak bersetuju dengan permintaannya untuk menjaga ayah dan membawa ayah ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama-sama mereka. Muiz menentang sekeras-kerasnya permintaan Wani

Waktu itu ayah sedang berbaring di beranda rumah, dia mendengar segala-galanya dengan jelas walau ada sedikit masalah pendengaran. Segala-galanya berlaku dengan pantas. Jeritan Muiz menjadikan semua yang berada di dalam rumah tergamam. Kelu seribu kata hanya yang ada esakan kuat. Ayah terbangun dari lena, mengusap mukanya.

"Sudahlah, jangan kalian bertengkar kerana aku, biarkan aku sendiri.huuuuuuuuuuuuu. Aku sudah tua esok lusa aku akan mati" Ayah berkata dalam tangisan.

"Ayah, jangan berkata begitu" . Wani meluru mendapatkan ayahnya. Mendakap erat badan ayahnya. Luluh hati Wani mendengar kata-kata ayahnya.

"Walau apa pun yang terjadi, Wani tidak akan sesekali tinggalkan ayah". Wani meraung dengan kuat.

Akhirnya takdir telah menentukan Wani terdampar di daerah sepi ini demi membalas jasa dan budi seorang ayah. Bagi Wani ayah tidak boleh diganti dan kasih sayang ayah itu tidak boleh dijual beli. Selagi ada hayat dikandung badan, Wani akan terus menjaga ayah walau apa pun keadaannya. Wani tidak pernah merungut dan kesal dengan tindakannya, malah Wani bersyukur kerana Tuhan menunjukkan jalan yang mana untuk dipilih.

"Kembalilah kepada ibu bapamu dan buatlah keduanya tertawa sebagaimana engkau telah membuat keduanya menangis" (Hadis Riwayat Abu Daud & Baihaqi)

Menggadaikan sebuah kebahagiaan bukan satu jalan penyelesaian yang mudah. Bertahun-tahun Wani membinanya, membajai dengan benih-benih cinta, kasih dan sayang. Namun mahligai itu musnah di tengah jalan. Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Namun Wani tidak menyalahkan sesiapa di atas apa yang berlaku. Wani pasrah dan Redha dengan segala ketentuan Ilahi.

Pilihan adalah ditangan Wani sendiri. Akhirnya melepaskan seseorang yang disayangi lebih baik daripada mengikatnya dengan kuat, tapi dia tetap ingin lari. Namun bagi Wani dia yakin apa yang diberi oleh Tuhan itu adalah satu ANUGERAH yang tidak ternilai.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SHAHLAWATI ABDUL WAHID