Home Cerpen Keluarga Aidil Sayang Adha
Aidil Sayang Adha
Isha Idiaz
14/10/2013 21:38:18
3,209
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Cerpen : Aidil sayang Adha

Oleh : Isha Idiaz

*****

AIDILmelihat emak masih duduk termenung di tepi tangga. Ibu ayam sudah sibuk membawa anak masuk ke reban. Kereta yang lalu-lalang di jalan raya di hadapan rumah juga semakin banyak. Namun semua tidak boleh mengembalikan emaknya ke alam nyata. Emak seolah-olah hanyut di dalam dunianya setiap kali hari raya aidiladha tiba.

“Sudah-sudahlah tu maknya termenung,” ujar Encik Ali sekaligus membuatkan Puan Aina berpaling dan keluar dari dunianya.

“Saya ni masih ada. Awak jangan lupa. Aidil ni pun masih ada,” tambah Encik Ali lagi. Sedar ada benarnya kata-kata Encik Ali tadi, Puan Aina bangun dan mengesat air mata yang bergenang di kolam mata.

“Awak tak faham perasaan saya abang,” ujar Puan Aina kepada Encik Ali sebelum masuk ke dapur menyiapkan makanan berbuka.

Aidil lihat ayah menggeleng-gelengkan kepala. Lama dia berdiri di sudut itu sebelum berlari keluar dari rumah. Aidil dengar ayah menjerit memanggil namanya. Namun dia terus berlari hingga sampai di tebing sungai ini.

Aidil duduk di tebing sungai itu. Melihat airnya yang mengalir tenang petang itu. Sungai inilah punca segala-galanya. Tiba-tiba kenangan bersama Adha mengasak ingatan. Aidil menangis teresak-esak di situ.

“Aidil sayang Adha!” laung Aidil kuat.

Lapan tahun yang lalu…

ADHA sibuk menolong Puan Aina memarut kelapa yang akan dijadikan kerisik untuk memasak rendang sebentar nanti. Sesekali Puan Aina mengerling ke arah anak lelaki sulungnya itu. Walaupun Adha ini anak lelakinya, tetapi anak ini sudah mengambil kerja anak perempuan. Dari memasak hingga membetulkan paip, semuanya boleh diserahkan kepada Adha.

“Berapa biji kelapa lagi mak nak pakai untuk masak?” soal Adha sambil tangannya memarut kelapa. Matanya tidak lepas memandang mesin parut kelapa di hadapan. Sekali hilang fokus, silap hari bulan tangannya yang diparut.

“Dua biji lagi cukuplah Adha,” ujar Puan Aina. Bibirnya mengukir senyum. Walaupun tiada anak perempuan, dia tidak pernah rasa kekurangan. Adha segala-galanya untuk dia.

Adha mengangguk. Dia harus menyelesaikan pekerjaannya dengan cepat supaya emaknya boleh memasak. Setelah siap memarut kelapa nanti dia mahu menggantung langsir pula. Nak diharapkan Aidil, adiknya itu baru enam tahun. Yang dia tahu cuma main mercun kalau tiba musim raya ni.

Setelah meletakkan kelapa yang sudah diparut ke dalam besin, cepat-cepat Adha membasuh tangan. “Adha naik atas dulu mak. Nak pasang langsir,” ujar Adha meminta diri. Puan Aina hanya mengangguk dan melihat Adha naik ke atas rumah.

“Abang Adha. Aidil nak tolong jugak,” ujar Aidil petah. Kain langsir yang masih belum digantung, diheret ke sana sini. Adha yang pening melihat gelagat adiknya itu sudah mula panas hati.

“Janganlah adik. Adik duduk je. Biar abang buat. Adik bukan sampai pun,” ujar Adha.

“Tak mahu! Adik nak buat jugak,” protes Aidil. Tidak cukup dengan kata-kata, Aidil sudah menghentak-hentakkan kakinya ke lantai apabila Adha tidak melayan permintaannya.

“Abang cakap tak payah. Abang janji nanti apa je adik nak, abang buatkan,” ujar Adha sambil mengusap kepala adiknya itu.

Mendengar kata-kata Adha, cepat sahaja Aidil mengangguk. Abangnya tidak pernah tidak menunaikan janji. Aidil sudah tersenyum lebar. Otaknya sudah merencanakan sesuatu. Aidil teringat perbualannya dengan Aiman di sekolah.

“Aidil sayang Abang Adha!” ujar Aidil gembira sebelum menghilangkan diri ke dalam bilik.

Adha yang tidak tahu apa-apa hanya menggelengkan kepalanya. Langsir seterusnya digantung.

AIDIL lihat semua orang berkumpul di meja Aiman. Dia turut berlari ke arah meja tersebut. Puas dia menyelit di antara kawan-kawan yang lain untuk melihat apa yang ada di meja Aiman.

“Waaaaa..” Terlopong mulutnya apabila melihat seekor anak ikan yang cantik berada di dalam balang di atas meja Aiman.

“Ha, Aidil. Aku ada anak ikan ni. Kau ada?” ujar Aiman sombong.

Aidil tidak segera menjawab. Dia leka memandang anak ikan itu di dalam balang.

“Hei, kalau nak tengok kena bayarlah! Mana boleh free,” Aiman menjerkah Aidil. Aidil memandang wajah Aiman.

“Nanti aku suruh abang Adha tangkap lagi besar daripada kau punya,” ujar Aidil dan langsung meninggalkan Aiman disitu terpinga-pinga.

DARI tadi Aidil mengekorinya ke mana-mana. Naik rimas Adha dibuatnya. Hatta Adha mahu ke tandas pun Aidil mahu mengikutinya.

“Adik ni dah kenapa?” jerkah Adha tiba-tiba.

Aidil yang membontotinya dari belakang sedikit terkejut. Tapi tepat tiga saat, Aidil buat muka tidak bersalahnya.

“Mana ada apa-apa,” ujar Aidil selamba.

Puan Aina yang sedari tadi menjadi pemerhati, meragui tindak tanduk Aidil dan Adha. Namun, kerana dia sedang sibuk menyiapkan juadah hari raya, dia tidak berkata apa-apa.

“Tengok Aidil ni mak. Dari tadi dia ikut je mana abang pergi,” ngadu Adha kepada Puan Aina.

“Abang mainlah dengan adik tu,” Puan Aina akhirnya bersuara. Arahan Puan Aina tadi disambut dengan senyum kambing oleh Aidil.

Adha mengeluh. Main apa petang-petang raya begini. Dia sudah penat. Apalagi hari ini dia masih berpuasa. Adha duduk di atas pangkin berhampiran rumah.

Aidil berlari mendapatkannya lalu duduk di atas pangkin tersebut. Sekejap-sekejap, Aidil memandang Adha dan tersenyum. Sebentar kemudian, Aidil bangun dan duduk betul-betul depan Adha.

“Abang…” Aidil memulakan muqaddimahnya.

“Hmm.” Adha sudah menyandarkan badannya ke batang pokok kelapa.

“Tadi abang cakap, abang akan buat apa je yang Aidil nak kan?” ujar Aidil seraya mengingatkan janji Adha kepadanya.

“Hmm.” Sungguh dia letih kini. Adha lihat maknya masih sibuk ke sana ke mari. Sekejap dilihat Puan Aina mengacau kuah. Sekejap lagi dia lihat Puan Aina sibuk mencuci pinggan mangkuk.

“Aiman dia bawak ikan pergi sekolah hari tu. Cantik,” ujar Aidil cuba memancing perhatian Adha.

“Jadi?” Adha menjawab acuh tak acuh.

“Aiman tanya Aidil ada ke tak ikan macam tu,” ujar Aidil jujur. Dia cuba curi-curi melihat reaksi Adha.

“Lepas tu adik jawab apa?” Kali ini Adha sudah memandang ke arah Aidil.

Melihat umpannya sudah mengena, Aidil makin bersemangat bercerita.

“Adik cakap dekat Aiman, nanti abang boleh pancingkan ikan lagi besar daripada dia punya,” ujar Aidil bongkak. Adha sudah mahu tertawa. Ternyata ini muslihat adiknya mengekorinya sejak tadi.

“Owh, tu yang adik ikut abang ke mana-mana tadi tu?” Sengaja dia mengenakan Aidil.

Aidil sudah tarik muka masam.

“Tapi esoklah abang pergi. Hari ini abang penat. Hari pun dah nak hujan,” ujar Adha kepada Aidil.

“Alaaa tapi Aiman dah janji nak datang raya esok dan nak tengok ikan adik,” Aidil sudah mula merengek lagi.

Adha berat hati mahu pergi memancing petang itu. Banyak lagi kerja yang belum disiapkannya. Balang kuih belum berisi. Ketupat yang sudah masak tadi belum digantung. Namun setelah mendengar pujuk rayu Aidil, akhirnya dia akur, tetapi dengan satu syarat.

“Aidil jangan beritahu mak ya abang pergi pancing dekat sungai tu. Kalau mak tahu, nanti abang kena pukul,” Adha meletakkan syarat itu kepada Aidil dan anak kecil itu bersetuju dengan syaratnya.

PUAN Aina melihat Adha meninggalkan perkarangan rumah dengan sebuah baldi kecil dan sebuah dahan rambutan yang sudah patah di tangan.

“Adha nak pergi mana tu!” Laung Puan Aina dari rumah.

Adha berhenti seketika. Dia lupa memberitahu Puan Aina. Langkah kaki dihalakan semula ke rumah.

“Adha nak ke mana?” soal Puan Aina sekali lagi apabila Adha menghampirinya.

Adha menundukkan kepalanya. Entah kenapa dia rasa hatinya berat mahu memberitahu Puan Aina arah tujuannya lewat petang itu. Kali ini, dia terpaksa menipu Puan Aina. Akhirnya Adha bersuara.

“Adha nak pergi rumah Zaki sekejap boleh mak?” Adha meminta izin. Dia lihat riak wajah Puan Aina sudah berubah.

“Buat apa pergi rumah orang petang raya ni Adha. Esok kan ada,” Puan Aina cuba memujuk Adha.

“Tapi Adha dah janji dengan Zaki nak datang petang ni,” Adha cuba berdalih lagi. Wajah Aidil dipandang.

Belum sempat Puan Aina berkata apa-apa, Adha cepat-cepat mencapai tangan ibunya. Dia mengucup lama tangan Puan Aina. Badan itu dipeluk lama.

“Maafkan salah silap abang mak. Selamat Hari Raya Korban mak,” ujar Adha sayu.

Puan Aina pelik dengan perubahan sikap Adha. Anaknya ini entah kenapa tiba-tiba meminta maaf petang raya. Selalunya, malam raya, setelah solat Maghrib baru mereka akan bermaaf-maafan. Namun, bibirnya seolah-olah terkunci untuk berbicara. Dia hanya mengusap lembut kepala Adha.

Adha meminta diri dan melangkah keluar daripada perkarangan rumah. Wajah Puan Aina dilihat sekilas sebelum dia meneruskan perjalanan.

“Mak tunggu Adha balik berbuka,” laung Puan Aina.

Adha hanya mengangguk. Dan tiba-tiba hujan gerimis membasahi bumi.

AZAN Maghrib di masjid sudah menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Lauk-pauk sudah tersedia di atas meja. Namun, kelibat Adha masih belum kelihatan. Puan Aina sudah tidak senang hati dibuatnya.

Sebentar tadi, Puan Aina sudah menelefon ke rumah Zaki bertanyakan tentang Adha. Namun ibu Zaki mengatakan Adha tidak ke rumahnya. Malah Zaki juga tidak keluar rumah kerana demam. Makin risau Puan Aina. Encik Ali dari tadi sudah keluar mencari Adha. Namun, hingga kini, kelibat suaminya itu belum lagi kelihatan.

“Aidil tahu abang Adha pergi mana?” soal Puan Aina sambil berharap anak bongsunya itu tahu ke mana abangnya menghilang sejak petang tadi.

Aidil diam lama kemudian menggeleng. Jawapan tanpa suara Aidil itu membuatkan Puan Aina kecewa. Mahu sahaja dia meraung saat ini.

“Betul Aidil tak tahu?” soal Puan Aina lagi inginkan kepastian.

Dan serentak itu, pintu rumah mereka diketuk. Berlari-lari anak Puan Aina ke depan untuk membuka pintu. Dia agak Adha sudah pulang.

Namun, sebaik sahaja pintu dibuka, Puan Aina terduduk di atas tangga. Adha memang sudah pulang. Tetapi hanya jasadnya yang pulang. Puan Aina meraung di hadapan pintu. Dia tidak percaya Adha sudah meninggalkannya selama-lamanya.

Menurut cerita orang kampung, ada beberapa orang yang merentas titi sungai itu untuk ke kampung sebelah menjumpai Adha sudah terapung di atas air. Bersusah payah mereka cuba membawa keluar Adha daripada air sungai yang semakin deras akibat hujan yang turun lebat. Untung tubuh Adha tersangkut pada akar pokok. Jika tidak pasti sudah hanyut.

SEDAR Aidil tidak ada di rumah petang itu, Puan Aina sudah tidak tentu arah. Dia tidak mahu kejadian lapan tahun lalu berulang kembali. Dia tidak mahu kehilangan Aidil pula.

“Abang, carilah anak kita abang,” rayu Puan Aina.

Encik Ali sudah tidak keruan. Dia trauma dengan kejadian yang berlaku lapan tahun lalu. Walaupun dia tidak pernah menunjukkannya kepada Puan Aina, tetapi dia merasai kehilangan Adha.

“Baik. Saya pergi cari sekarang. Awak tunggu di rumah. Kalau ada apa-apa telefon saya,” Encik Ali memesan sebelum meninggalkan rumah itu.

ENCIK Ali kembali ke rumah dengan Aidil yang sudah basah kuyup. Puan Aina yang melihat kelibat kedua beranak itu, terus berlari menuruni anak tangga dan mendapatkan mereka.

“Aidil pergi mana? Kenapa pergi tak beritahu mak?” soal Puan Aina bertubi-tubi. Tubuh anak itu dipukul berkali-kali.

Aidil diam. Air matanya mengalir laju. Sama lajunya dengan rintik hujan yang turun petang itu.

Puan Aina memeluk erat Aidil. Air matanya yang tumpah sejak tadi semakin deras kini. Hatinya yang risau hanya Allah yang tahu. Takutnya sebentar tadi sama takutnya seperti dia menerima jasad Adha yang sudah kaku.

“Mak, Aidil minta maaf. Kalau Aidil tahu abang Adha pergi tak balik-balik, Aidil mesti dah beritahu mak petang tu,” ujar Aidil perlahan.

Puan Aina melonggarkan pelukan dan menolak sedikit badan Aidil sehingga dia dapat memandang anak itu tepat di wajahnya.

“Aidil tahu abang Adha pergi sungai petang tu. Abang Adha dah janji nak tangkap ikan untuk Aidil,” ujar Aidil berterus-terang.

Puan Aina keliru. Peristiwa lapan tahun lalu kembali menjengah ingatan. Waktu itu, dia ingat Aidil hanya menggelengkan kepala sewaktu dia bertanya di mana Adha.

“Kenapa Aidil tak beritahu bila mak tanya?”soal Puan Aina. Kedengaran nada suaranya sedikit tinggi.

“Sebab Aidil dah janji dengan abang Adha Aidil tak kan beritahu mak. Abang Adha cakap kalau Aidil beritahu mak yang abang Adha pergi dekat sungai tu, mesti nanti mak pukul Abang Adha,” ujar Aidil sambil teresak-esak menangis.

“Aidil sayang abang Adha. Aidil tak nak mak pukul abang Adha. Sebab tu Aidil tak beritahu masa mak tanya,” kali ini suara Aidil sudah tenggelam timbul.

“Tapi kalau Aidil tahu abang Adha akan tinggalkan kita buat selama-lamanya hari tu, Aidil mesti dah beritahu mak. Maafkan Aidil mak,” tambah Aidil lagi. Puan Aina yang sedari tadi mendengar pengakuan anaknya hanya mampu menangis. Tubuh Aidil dipeluk erat.

Puan Aina tidak tahu anak bongsunya itu menanggung rasa yang lebih berat daripadanya. Pasti anak itu merasa bersalah sewaktu melihat jenazah Adha dibawa masuk ke dalam rumah. Pasti anak itu merasa bersalah setiap kali melihat dia menitiskan air mata sewaktu hari raya aidiladha.

“Kenapa Aidil tak pernah beritahu mak semua ni dari dulu?” soal Puan Aina dalam tangis.

“Sebab Aidil takut mak marah dan tak sayangkan Aidil lagi,” ujar Aidil tersedu-sedu. Kali ini Puan Aina sudah tidak boleh menahan sebak. Encik Ali juga begitu.

“Aidil sayang abang Adha, mak,” ujar Aidil dalam esakannya yang bertambah kuat.

“Mak dan ayah sayang Aidil juga,” ujar Puan Aina dan Encik Ali.

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

*****

Saya Isha Idiaz, ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam. Maaf zahir dan batin. Terima kasih atas sokongan semua kepada saya selama ini.

Sudikanlah meringankan jari dan tangan anda dengan menekan bintang di sudut paling atas cerpen untuk memberikan penilaian bagi cerpen Aidil sayang Adha ini. Terima kasih. 

'Isha Idiaz sayang anda!'

Salam dari perantauan,

Isha Idiaz.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.